Categories
SELANGOR

MAIS – NGOi kolaborasi martabat Islam, perkasa umat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berharap Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) dapat memainkan peranan selari dengan matlamat bagi memartabatkan Islam dan umat Islam di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan NGO-i, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata usaha itu penting terutama dalam keadaan masa kini banyak isu berkaitan Islam dibangkit pelbagai pihak.

Datuk Mohd Shukri Dahlan“Tentunya NGO-i sebagai rakan kongsi bagi umat Islam di Selangor dapat bersama memainkan peranan membantu MAIS menangani masalah di kalangan umat Islam dan juga perkara mencabar khususnya Islam di negeri ini.

“Di sebalik bantuan kita salurkan, diharap mereka akan bangkit bukan sekadar membangunkan umat Islam tetapi bersama memberikan memberikan pandangan membina dalam isu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan dana kepada 75 NGO-i di sini, hari ini.

MAIS NGOiBeliau berkata, bantuan RM1.03 juta diagihkan kepada NGO-i bagi fasa kedua dengan jumlah keseluruhan RM1.58 juta bagi tahun lalu. Ia sekaligus mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu kira-kira RM960,000.

Katanya, ia berikutan jumlah masyarakat Islam semakin bertambah dan kemudahan pembayaran zakat di Selangor.

“Peruntukan ini adalah wang zakat Selangor untuk membantu pertubuhan Islam supaya mereka dapat melaksanakan program selari dengan matlamat penubuhan NGO-i berkaitan.

“Kita harap ia digunakan sebaik mungkin dan tiada sama sekali digunakan bagi tujuan sebaliknya,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

MAIS: Tangkap khalwat ikut SOP, bukan main terjah

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempertahankan proses siasatan dibawah undang-undang syariah bagi kesalahan khalwat dijalankan mengikut prosedur dan bukan intipan, bahkan tidak bertujuan mengaibkan mana-mana pihak.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, semalam.

MAIS“Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa agama adalah hasil dari aduan orang ramai.

“Proses siasatan dilaksanakan mengikut prosedur termaktub dalam akta atau enakmen tatacara jenayah syariah negeri bagi memastikan aduan atau maklumat diterima benar sebelum pendakwaan dibuat,” katanya.

Kenyataan itu susulan saranan Kumpulan penjawat awam, G25 yang baru-baru ini mahu penubuhan jawatankuasa bagi membincangkan pemansuhan beberapa undang-undang syariah.

Kumpulan yang disertai profesional Melayu itu menuntut hukuman terhadap perbuatan khalwat dimansuhkan jika dibuat di rumah persendirian dengan beranggapan dosa individu adalah antara pelaku dengan Tuhan, selagi ia tidak dilakukan di tempat awam.

MAIS berkata, kenyataan G25 dilihat tidak tepat apabila penguatkuasa agama dituduh mengintip dan menceroboh hak privasi seseorang sedangkan tindakan mereka selaras dengan undang-undang.

“Adalah menjadi prosedur penyiasatan (SOP) bagi pegawai penguatkuasa agama apabila sesuatu aduan dibuat untuk ke tempat di mana kejadian khalwat dikatakan berlaku, seterusnya mengetuk pintu dan memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu sebelum proses siasatan lanjut dijalankan.

“Pegawai penguatkuasa agama juga ditegah daripada mengambil tindakan menyerbu dengan membuta tuli dan mendakwa seseorang melakukan khalwat atau penzinaan tanpa usul periksa,” kata mereka.

Dalam pada itu, MAIS turut mengingatkan umat Islam bahawa kenyataan menghina undang-undang Islam boleh dikenakan denda atau dihukum penjara.

-nR-

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016: Orang Asal mahu tumpuan khusus

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 30 SEP: Kerajaan Negeri diharap dapat memberikan tumpuan khusus kepada masyarakat Orang Asal dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2016 penghujung Oktober nanti.

Nelayan Orang Asal, Sunyi Inchi, 32, berkata sektor perumahan seharusnya turut menjadi agenda Kerajaan Negeri dalam membantu masyarakat memiliki kediaman yang mampu dimiliki dan selesa.

Majlis Jalinan Kasih Orang Asal anjuran MAIS di Hotel Premiere Bukit Tinggi Klang (4)“Ini termasuk status tanah didiami masyarakat Orang Asal yang kebanyakannya masih berstatus rizab dan bukan milikan tetap.

“Selain itu, isu kebajikan juga perlu diambil kira terutama golongan nelayan yang seolah-olah dipinggirkan, apalagi nelayan orang asal seperti kami,” katanya yang tinggal di Kampung Pulau Indah.

Belanjawan Selangor 2016 dijangka dibentang Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 28 Oktober nanti.

Sementara itu, surirumah dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Azilah Mujir, 42, pula berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan program khas untuk golongan wanita Orang Asal.

“Ini termasuk bantuan galakan dan latihan perniagaan kepada usahawan yang sukar mendapatkan kesemua itu di luar.

“Dengan ini, golongan wanita Orang Asal dapat menambah pendapatan isi rumah selain mampu memajukan diri dan keluarga,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Orang Asal bukti kemampuan, kini bergelar ikon

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 29 SEP: Status orang asal bukan halangan untuk golongan itu mengecapi kejayaan dan menjadi ikon kepada semua.

Amizan Silai, 40, dari Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Baru membuktikan perkara itu apabila lebih tiga kali menyertai pertandingan golf peringkat antarabangsa.

OA IKON“Kita lahir sama, yang membezakan adalah azam kita.

“Tetapi sejauh mana komitmen kita untuk berjaya dan menjadi contoh kepada generasi baru mengecapi perkara yang baik dalam hidup mereka,” katanya.

Sebelum ini, bapa kepada lima anak itu pernah menjuarai Champion of Champion di Melaka dan Astro Master selain akan berlepas ke Bali dalam masa terdekat untuk pertandingan antarabangsa.

Beliau merupakan penerima Anugerah Ikon Masyarakat Orang Asal dalam Majlis Jalinan Kasih anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, atlet perahu layar wanita, Norashikin Mohd Sayed, 22, menyifatkan dorongan ayahnya sebagai kunci kejayaan.

“Sejak 12 tahun saya menerima galakan ayah untuk sukan ini dan ternyata kerja keras kami bukan sia-sia dan membuktikan bahawa orang asal juga boleh berjaya.

“Saya yakin sasaran saya ke Sukan olimpik juga akan tercapai,” kata penerima pingat Emas Sukan SEA lalu.

OA IKON 2Bergelar artis, seorang lagi ikon, Shahar Koyok atau lebih dikenali sebagai Shaq, 30 menjadikan budaya dan kehidupan orang asal sebagai motif hasil seninya.

“Selain melukis,saya juga mmpu menghasilkan dan mempamer serta menjual hasil kerja di pamera tempatan dan antarabangsa,” kata anak jati Pulau Kempas yang pernah menyertai pameran seni di London dan Miami.

-NR-

Categories
SELANGOR

RM21.2 juta untuk pendidikan dan pembangunan muallaf

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 SEP : Sejumlah RM21.2 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi bantuan pendidikan dan pembangunan latihan muallaf, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf MAIS, Datuk Emran Kadir,  berkata RM17 juta dikhususkan kepada pendidikan, manakala RM4.2 juta untuk program latihan daripada jumlah itu.

Emran Kadir“MAIS juga menambahbaik insentif pendidikan muallaf untuk semua peringkat baik dalam pengajian tinggi, sekolah atau institusi pengajian khas.

“Ia bagi membolehkan golongan ini terus berjaya mendapat pendidikan Islam dengan baik dan tersusun,” katanya pada Malam Anugerah Qudwatul Hasanah Muallaf ke-2 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Emran berkata bantuan perniagaan seperti modal pusingan dan barangan bagi muallaf yang ingin menceburkan diri dalam bidang itu turut disediakan.

AKADEMIK MUALLAFKatanya, MAIS memperuntukkan kira-kira RM750,000 setahun untuk tujuan itu dan kini ia semakin mendapat sambutan.

“Bantuan ini bukan hanya untuk individu pertama kali menceburkan diri dalam perniagaan tetapi boleh dimanfaatkan untuk mereka yang mahu mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.

-NR-

Categories
SELANGOR

Akademi Muallaf sedia pendidikan kondusif

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 SEP: Usaha memperkasa pendidikan muallaf di negeri ini dipergiatkan melalui penubuhan Akademi Muallaf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Timbalan Setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar, berkata projek bernilai RM7 juta di Hulu Selangor itu akan menjadi nadi pendidikan muallaf dengan persekitaran kondusif.

Katanya, ia akan menawarkan kursus pengajian bermula daripada peringkat asas sehingga pra diploma dengan tempoh berbeza.

AKADEMIK MUALLAF“Akademi ini dijangka mampu menampung sehingga 120 orang pada satu masa melalui tawaran kursus pengajian asas selama empat bulan. manakala pra diploma selama 18 bulan.

“Bagi kursus peringkat diploma, MAIS akan mula mengadakan perbincangan awal dengan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita jangka akademi ini akan beroperasi tahun depan” katanya pada Malam Anugerah Qudwatul Hasanah Muallaf ke-11 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim; Pengerusi Hal Ehwal Muallaf MAIS, Datuk Emran Kadir dan Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin.

Pada masa sama, Shahir yang juga Ketua Pendaftar Muallaf MAIS, berkata penambahbaikan pendidikan terhadap golongan itu sudah dilakukan melalui pembiayaan pendidikan di peringkat sekolah rendah sehingga doktor falsafah.

Katanya, keutamaan pendidikan akan diberi kepada muallaf cemerlang yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diiktiraf kerajaan.

“Pelajar cemerlang akan terus diberi tajaan sementara yang tidak mencapai kelulusan tahap minima akan diberi perhatian khusus melalui kursus pengukuhan dan motivasi diri,” katanya.

-NR-

MAIS jangka penerima zakat bertambah ekoran ekonomi tidak menentu

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjangkakan jumlah penerima zakat akan bertambah ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Khalid Samad mohon ampun, terkejut Sultan murka

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencadangkan Kerajaan Negeri mengkaji kemungkinan kuasa eksekutif ditarik dari
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) demi menjaga nama baik agensi itu dan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tokoh Pendakwah sifatkan perkembangan Islam Selangor menakjubkan

Tokoh Pendakwah Selangor 2013

SHAH ALAM, 8 OKT: Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Menurut Shah Kirit Kakulal Govindji, keadaan itu didorong oleh kesungguhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak terlibat dalam menyebarkan kefahaman sebenar Islam.

“Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

“Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

“Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini,” ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah,” kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai ‘Fiqh Wanita’ di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.

Categories
SELANGOR

Selangor akan ambil alih untuk atasi kelemahan kewangan KUIS

halimah kuisSHAH ALAM 04 OKT : Kerajaan Negeri bercadang mengambil alih Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bagi menyelamatkan kolej itu daripada terus dilanda masalah kewangan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata usaha pembelian saham KUIS bersama Kerajaan Negeri itu, bagaimanapun masih dalam proses rundingan.

“KUIS adalah milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), jadi mustahil KUIS dari entiti yang berbeza akan memaklumkan semua masalahnya kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilakukan Unisel.

“Setelah melihat KUIS berdepan masalah kewangan ditambah pula dengan prestasi yang tidak berapa baik, Kerajaan Negeri tampil membantu dengan membeli sahamnya,” ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pegangan saham itu nanti, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mengemas kini urus tadbir sedia ada, selain menyalurkan dana untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di kolej itu.

Sementara itu, Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkefli Hamid berkata, pihak pengurusan kolej akan membuat kenyataan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2012 memaklumkan prestasi kewangan KUIS didapati kurang memuaskan dengan kerugian sebelum cukai bernilai RM11.30 juta pada tahun 2011.

Turut ditekankan pada laporan tersebut ialah pengurusan KUIS yang dikendalikan KUIS Sdn. Bhd. kurang memuaskan termasuk tindakan pengambilan pelajar yang tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Laporan Audit: Kerajaan Negeri maklum kelemahan kewangan KUIS

faekahKerajaan Negeri sememangnya maklum dengan kedudukan kewangan Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang lemah serta keperluan untuk mengemaskini urustadbir kolej tersebut sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Audit Negara 2012. Sehubungan itu beberapa langkah telah dikenal pasti untuk membantu KUIS agar keluar dari masalah kewangan yang ditanggung sejak 2010 yang lalu.

Syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) telah diminta untuk mengkaji situasi KUIS dan berbincang dengan pihak pengurusan serta pihak-pihak berkenaan mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan termasuk menyalurkan dana kepada Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menanggung kerugian sebanyak RM11.30 juta pada 2011.

KPS sedang dalam perbincangan dengan pemilik tunggal KUIS iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan hasil perbincangan mendapati KUIS memerlukan sekurang-kurangnya RM238 juta bagi memulihkan kewangan KUIS. Dana ini termasuk bayaran berjumlah RM152 juta untuk sekali bayaran (one off payment) kepada syarikat pemegang konsesi; Redha Resources Sdn. Bhd. (RSSB) manakala dana selebihnya pula akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di KUIS seperti perpustakaan, dewan kuliah, asrama dan penyelenggaraan bangunan.

RSSB telah diberikan konsesi selama 33 tahun pada 2005 oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo. Sekiranya one off payment ini tidak dibuat, KUIS terpaksa membayar lebih RM19 juta setahun kepada RSSB selama 33 tahun yang mencecah RM600 juta. Setakat ini, KUIS telah membayar sebanyak RM50 juta kepada RSSB.

Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara, kerugian ini disebabkan proses penyusunan semula KUIS melalui pembangunan secara Build Operate and Transfer (BOT) apabila terpaksa mula membayar sewa asrama dan bangunan kepada RSSB mulai 2009. Pada tahun 2011, tanggungan terhadap konsesi tersebut merupakan 14% dari keseluruhan kos operasi KUIS.

Ironinya, KUIS dikehendaki membayar kos sewaan asrama berdasarkan penginapan 100 peratus dan 300 hari kalendar akademik meskipun kadar penginapan pelajar tidak pernah mencapai kadar 100 peratus dan kalendar akademik adalah kurang dari 280 hari.

RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul Razak, seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang. Beliau memiliki saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51% pegangan di dalam RRSB, sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula memiliki 800,000 saham bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.

RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional ketika itu. Malah Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara MAIS, RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini. MAIS turut bertindak sebagai Penjamin dengan memberi jaminan kepada bank-bank jika KUIS gagal membuat bayaran kepada pemegang konsesi; RSSB.

Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dengan kos RM125.8 juta ini, RSSB diberi konsesi sehingga tahun 2039 dengan menerima bayaran keseluruhan mencecah RM600 juta.

KUIS adalah contoh bagaimana pimpinan UMNO-BN mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan; akibatnya ditanggung oleh pelajar dan ibubapa kerana terpaksa membayar yuran pengajian dan kos asrama yang tinggi manakala pentadbiran KUIS terpaksa mengabaikan kepentingan lain demi mengawal kedudukan kewangan dari terus menjunam.

Disebabkan ‘kesilapan’ pemimpin terdahulu memilih pembangunan secara BOT dan menandatangani perjanjian konsesi yang berat sebelah, kerajaan Selangor Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato? Seri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa mencari jalan menyelamatkan sebuah institusi pendidikan kebanggaan rakyat Selangor.

Kerajaan sedang berusaha untuk mengambilalih semua kos prasarana dan infrastruktur Kolej dan Universiti milik negeri Selangor agar pentadbiran Universiti dan Kolej tidak dibebankan dengan kos tersebut tetapi hanya mengurus kos operasi harian. Dengan cara ini dijangkakan institusi tersebut akan dapat lebih menumpu kepada mutu pendidikan dan pembelajaran.
FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
YAB DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Persidangan antarabangsa mualaf 2013 diyakini, dipuji

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03BANDAR SERI PUTRA 9 SEPT : Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 anjuran Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapat pujian dari Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendekati isu pembangunan mualaf berdasarkan kajian keatas pengalaman dari pakar-pakar terlibat.

Abdul Khalid berkata pendekatan itu wajar dijadikan contoh dalam mendekati pelbagai isu mendesak kerana ia membantu membuka perspektif serta menjana idea-idea baru.

“Saya percaya pendekatan ini sangat bernas,” kata Abdul Khalid, “Persidangan ini membentangkan kertas kerja dan pengalaman pakar-pakar kita yang telah membuat kajian mengenai usaha mereka membangunkan golongan mualaf.”

Beliau berkata demikian di satu sidang akhbar selepas merasmikan persidangan itu. Persidangan ini dianjurkan oleh KUIS, bersama Institut Islam Hadhari UKM dan disokong Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut hadir, Rektor KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri dan Setiausaha MAIS, Datuk Mohd Misri Idris.

Selain kertas kerja hasil kajian tempatan, persidangan berlangsung dari 7 September hingga 8 September turut meneliti kajiselidik dari luar negara seperti dari Indonesia dan Singapura.

Abdul Khalid melahirkan keyakinan MAIS akan merangka kaedah terbaik mendekati isu pembangunan mualaf selepas pembentangan dalam persidangan itu dibukukan bagi tujuan rujukan.

Sementara itu, Abd Halim berkata, Selangor adalah antara negeri tertinggi di negara ini yang mencatat golongan bukan Islam yang memeluk Islam saban tahun.

“Pada tahun lepas perangkaan menunjukkan kira-kira 1,500 orang muallaf dan tahun ini setakat Julai ia sudah memcecah hampir 1,400 orang yang memeluk Islam.

“Ia bukan setakat orang India dan Cina tetapi dari bangsa lain macam Kadazan, orang Sabah, Sarawak termasuk dari luar negara seperti Filipina memeluk Islam di Selangor,” katanya.