Categories
SELANGOR

MB dan Exco turun padang daerah Sabak Bernam hari ini

SABAK BERNAM 24 OKT: Dato’ Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali dan barisan Exco turun padang ke daerah Sabak Bernam, hari ini.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar dan rombongan bersama-sama penjawat awam di daerah ini di Dewan Sri Bernam,Sungai Besar, di sini.

10710930_891502750860905_7929737292856932150_nTurut sama dalam perhimpunan ini Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Sabak, Sallehen Mukhyi.

Rombongan Dato’ Menteri Besar seterusnya mengujungi PPRT Desa Kasih Tebuk Pulai, Jeti Nelayan Bagan Sekinchan dan Pantai Redang Sekinchan, di sini dalam lawatan sehari itu.

Seterusnya rombongan akan bersama-sama masyarakat untuk Solat Jumaat dan Jamuan rakyat di Masjid Nurul Alaniah, Pekan Sekinchan.

sekinchanProgram turun padang itu adalah kesinambungan turun padang Menteri Besar ke daerah di seluruh Selangor selepas daerah Gombak, Kuala Langat dan Klang sebelum ini.

EZY

Categories
SELANGOR

Peguam: “Abdul Khalid mula saman Bank Islam bukan sebaliknya”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mula mengambil tindakan undang-undang terhadap Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan bukan sebaliknya.

Perkara itu disahkan peguam Menteri Besar itu, Matthew Thomas Philip dalam satu kenyataan media malam tadi.

islamic-bankPhilip berkata beliau terpaksa membuat penjelasan selepas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengeluarkan maklumat berkenaan penyelesaian itu yang sepatutnya tidak didedahkan.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bukan BIMB yang pertama sekali mengambil tindakan berhubung penjualan yang salah saham Guthrie miliknya oleh BIMB.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah plaintif sementara BIMB ialah defendan dalam kes itu,” jelas Philip.

Pada pertengahan bulan lepas, Abdul Khalid meminta Khalid Samad berjumpa kedua peguamnya, Philip dan Derek Fernandez bagi mendapatkan penjelasan berhubung penyelesaian luar mahkamah pinjaman BIMB.

10672338_10154604814165430_6328284949898023354_nArahan itu dilakukan Menteri Besar selepas diminta Khalid Samad bagi menjelaskan penyelesaian berkenaan yang didakwa meragukan oleh bekas parti Abdul Khalid iaitu PKR.

“Sejak awal 2007 lagi, ia menjadi sebahagian rancangan keseluruhannya untuk melihat sebarang kemungkinan penyelesaian luar mahkamah. Ini bukan sesuatu yang baru.

“Kami sudah memberi nasihat yang kami fikir merupakan terma munasabah untuk penyelesaian luar mahkamah dan terma akhir penyelesaian luar mahkamah itu lebih kurang sama seperti yang kami nasihatkan kepada Khalid Ibrahim,” kata Philip lagi.

10653684_10154604814260430_3501185267899536367_nTambah Philip, sebagai peguam, pihaknya maklum akan kesemua terma yang terkandung dalam penyelesaian itu tetapi tidak dapat didedahkan kepada umum tanpa kebenaran pihak BIMB.

EZY

Categories
SELANGOR

Isu MB: Hormati & taat keputusan Presiden PAS

SHAH ALAM 8 SEPT: Dewan Ulamak PAS Pusat menasihati ahli-ahli PAS menghormati keputusan Presiden dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor dan memberikan ketaatan serta thiqah (kepercayaan) atas tindakan beliau.

Demikian dinyatakan pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan, semalam.

PAS-for-AllMenurutnya, mesyuarat Dewan Ulamak PAS Pusat Sabtu lalu di Pejabat Agung PAS Pusat sebulat suara menegaskan bahawa tindakan dan arahan Presiden PAS dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor merupakan kuasa prerogatif Presiden yang diperuntukkan oleh Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Tambahnya, Majlis Syura Ulamak sebagai badan yang diberi kuasa untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS sebagaimana termaktub dalam fasal 8 (1a), dalam mesyuaratnya semalam turut mengesahkan hak Presiden tersebut.
Berikut adalah kenyataan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat berkenaan isu itu :

Dengan merujuk kepada Perlembagan PAS, Fasal 8 (1) (a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulamak untuk menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS,

Maka mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada Ahad, 7 September 2014, membuat keputusan bahawa:

“Ketua” yang dimaksudkan di dalam fasal Fasal 26 (1) (a) tersebut hendaklah difahami sebagai mempunyai kuasa pemutus secara bersendiri walaupun berbeza dengan kehendak ahli perbincangan dan mesyuarat selepas melakukan perbincangan dan mesyuarat.

Dalilnya ialah firman Allah Taala dalam surah Aali ‘Imran ayat 159

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu berbincang dengan mereka dalam urusan tersebut. Maka apabila kamu telah bertekad (berazam) maka hendaklah kamu bertawakkal menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal menyerah diri”

Pengambilan dalilnya ialah setelah mana Allah mengarahkan Nabi saw berbincang maka ditegaskan pula hak prerogatif Nabi saw untuk membuat keputusan sendiri iaitu “apabila kamu telah bertekad (berazam)”.

Tekad dan azam adalah merujuk kepada keputusan yang perlu dibuat oleh ketua selepas perbincangan.

Setelah bertekad dan berazam membuat satu keputusan maka kewajipan ketua ialah bertawakkal menyerah diri kepada Allah.

Menyerah diri kepada Allah adalah sifat ketua yang baik dan bertaqwa yang disukai oleh Allah. Bertawakkal dan berserah diri kepada Allah selepas seorang ketua keputusan pasti mempunyai hikmah dan kebaikan sama ada disedari atau tidak.

Majlis Syura Ulamak juga menasihatkan ahli-ahli dan pimpinan agar sentiasa selari dengan kehendak Islam sebagaimana tuntutan Perlembagaan PAS Fasal 7.

Hukum dan Kekuasaan (1) Adapun hukum yang tertinggi sekali pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata.

Categories
SELANGOR

Isu MB: “Cukup la, mari fikir pula masalah rakyat”

SHAH ALAM 8 SEPT: PAS Selangor ingin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemurkaan Baginda Tuanku DYMM Sultan Selangor atas kejadian yang telah berlaku.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata perlunya semua patuh kepada sebarang titah dibuat Baginda Tuanku Sultan Selangor untuk kebaikan rakyat di Selangor.

Sultan“PAS Selangor mohon rakan rakan kita agar akur kepada titah Tuanku Sultan kerana kita tidak akan kemana-mana apabila menentang Institusi Raja ini.

“Kita yakin kemelut ini boleh diselesaikan dan kita harap ia diselesaikan segera, lagi lama kemulut ini berlaku.. maka lagi susah rakyat kita,” kata Khairuddin dalam kenyataan media.

Beliau berharap semua untuk segera menamatkan kemelut berpanjangan itu dengan kembali bekerja membela rakyat.

“Cukup la… mari kita fikir pulak masalah kebajikan rakyat yang dah lama tergendala,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA

Apa yang kita boleh belajar daripada krisis MB Selangor?

Oleh: Adeeba Adni

Realiti, bukan kebenaran, adalah hasil reaksi/tindakbalas dinamika politik yang dipergunakan oleh para aktivis politik, khususnya para pemimpin untuk mencapai apa saja kehendak dan cita-cita semasa.

Amat tidak enak, malah membawa konotasi sesuatu yang membahayakan apabila ada di antara mereka ini digelar “warlords”.

selangorRealiti itu yang ingin diyakinkan di kalangan rakyat dan mereka yang mencari kesahihan berita dan kejadian. Bahkan ia ingin agar dapat diterima sebagai suatu realiti oleh pimpinan yang lain. Ukuran sesuatu itu sahih atau tidak adalah suatu ijtihad peribadi.

Panduan kesahihan sesuatu itu ialah ia diredhai di sisi Tuhan Pencipta manusia.Maka perlulah aktivis politik mengenal Tuhan itu kerana pengenalan terhadapNya akan memberikan petunjuk terhadap apa yang sahih, bagaimana untuk membuat pilihan dan membuat keputusan/ijtihad dalam jangkamasa dan langkah yang tidak merugikan sesiapa, terutamanya rakyat jelata.

Kesahihan yang diredhai oleh Allah swt ialah yang dapat dibuktikan dengan jelas. Ia harus dianggap sahih secara kolektif dan ia perlu dihebahkan tanpa sebarang zarah kezaliman ke atas apapun atau sesiapapun – ia berhasrat untuk mencapai redhaNya dalam segala aspek dan perspektif kerana mereka yang menghebahkan realiti itu akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah swt kelak.

Dengan sebab itu, politik baru, politik berlandaskan nilai hanya mampu didokong dan diamalkan oleh mereka yang sensitif terhadap kepertanggungjawaban sedemikian, yang punya mekanisme “check and balance” dalam diri mereka sendiri, yang punya para penasihat yang menasihatkan tentang pertanggungjawaban itu dan penasihat itu sendiri punyai dalam diri mereka mekanisme “check and balance” juga.

Tetapi, anggota parti dan rakyat juga mestilah memilih mereka yang sebegitu terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, amatlah imperatif untuk mengenali pimpinan yang akan dipilih, bukan memilih mereka yang paling banyak menawarkan kebendaan, wang ringgit, pangkat, kedudukan dan segala kewahan dunia.

Pimpinan yang sedemikian akan mudah kemudiannya untuk mengsonglap segala harta dan khazanah rakyat di hadapannya apabila mereka berkuasa ke atasnya nanti dan berleluasa rasuah dan segala maksiat dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal rakyat. Tentunya mereka perlu menggantikan segala wang, kebendaan dan apalagi yang telah mereka gunakan untuk meraih kemenangan dan undi.

Bagaimana boleh Muhammad Nazreen (MN) menyatakan bahawa kita belum bersedia untuk politik baru?

rakyat majmukRakyat sudah bersedia untuk mendamba erat politik baru. Tetapi para pemimpin masih selesa dan terus mara dengan politik bangsat, yang tiada berperikemanusiaan dan tanpa berpegang pada sempadan halal dan haram.

Politik baru ialah politik yang berlandaskan nilai (value-based politics). Ciri utamanya ialah melaksanakan musyawarah dan pembuatan keputusan secara kolektif sebagai norma.

Ia bukan dipaksakan dan bukan pula memenuhi agenda sempit individu atau kelompok anggota parti dan pemimpin. Dan sama sekali tidak berhasrat untuk memperbodohkan manusia lain.
Mereka yang enggan berkongsi secara telus sebarang agenda adalah mereka yang punya agenda peribadi dan tersendiri.

Politik berlandaskan nilai menuntut aktivis dan pimpinan meletakkan kepentingan awam mengatasi dirinya dan tidak akan menghancurkan apa yang ada di tangannya semata-mata untuk menegakkan kesahihan berkaitan peribadinya.

Politik berlandaskan nilai menuntut agar berlaku pengorbanan dari semua pihak untuk berundur dan bergencatan senjata serta serta-merta mengambil jalan yang terhormat dan terbaik untuk kepentingan semua pihak.

Tiada yang akan memperolehi kesemua yang dihajati, tetapi bersama mencari suatu penyelesaian yang “viable” dan akhirnya merapatkan semula saf yang berpecah dan memberikan hak kepada setiap insan yang terlibat.

Keluhuran hati itu akan tercerna di bibir dan dari tindakan seorang pemimpin ketika saat-saat yang genting di persimpangan membuat keputusan yang akan merubah lanskap politik di sekelilingnya – dari yang kucar kacir dan berbalah kepada yang tersusun, kembali berfungsi memfokus ke arah melaksanakan reformasi tulin, membina semula kepercayaan dan saff perjuangan dengan penuh keinsafan dan kasih sayang, tanpa sebarang dendam.

Kesemua itu tidak sukar dilaksanakan jika ada keazaman dan kesanggupan politiknya (political will).

Bukan tidak bersedia dengan politik baru tetapi pendokong politik baru tidak sepakat, tidak punya jentera yang kemas, mudah diinfiltrasi dan majoriti bilangan yang tulus hanya bersedia untuk menjadi “armchair politician” sahaja.

Antara faktor utama yang lain ialah majoriti kedudukan pembuatan keputusan dan sistem parti itu adalah di bawah kawalan “warlords” yang menghalal sebarang cara untuk mencapai matlamat.

Kesengajaan untuk tidak mendidik anggota parti tentang demokrasi dan sistem pilihan raya dalaman adalah sebahagian dari taktik untuk memenangi sebarang pilihan raya parti tanpa integriti yang diperlukan.

Ketulusan dan kerangka minda yang betul belum tentu akan menjayakan agenda politik baru.

Ada segolongan mereka yang mempercayai politik baru telah memilih untuk tetap bersama “warlords” dengan alasan bahawa ia taktik politik yang bijak untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan agar dapat meneruskan agenda reformasi.

Perlu diketahui bahawa kedudukan di manapun tidak akan mengukuhkan politik baru dan mengangkat agenda reformasi jika jelas lisan dan bahasa badannya adalah bersekongkol dengan “warlords” yang menganggap enteng politik durjana dan segala kejelekannya – keduanya menjadi kemestian dalam setiap permainan politik mereka, tiada peduli apa yang akan dihancurkannya, jika mereka tiada mendapati apa yang dihajati, maka dijahanamkan semuanya agar orang lain tidak dapat memilikinya.

Politik baru adalah kepolitikan yang mengamati ketertiban dan peraturan. Justeru, pilihlah para pemimpin yang faham dan mengamalkan perlembagaan dan peraturan parti dan pentadbiran lainnya dengan teliti dan beradab mengikut apa yang tertulis. Bukan yang cenderung ke arah kepolitikan eksklusif dan bersifat diktator.

Proses yang dilalui oleh Pakatan Rakyat adalah suatu “cleaning process”. Mohon rakyat menginsafi bahawa Pakatan Rakyat dimeterai hanya baru enam tahun, maka fasa penyelarasan dan kesesuaian masih di peringkat usia yang masih muda.

Ada beberapa asas dalam proses pembuatan keputusannya yang perlu dipatuhi, antara yang penting ialah pelantikan Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah dari kalangan parti yang diamanahkan untuk mentadbir negeri berkaitan.

Sebarang “deviation” daripada asas itu perlulah dengan kesepakatan Pakatan Rakyat, bukan tindakan berasingan mana-mana anggota parti PR.

PAKATAN RAKYATDalam isu pelantikan Menteri Besar yang baru di negeri Selangor, prerogatif adalah daripada parti yang diamanahkan menerajui pentadbiran negeri Selangor, iaitu KEADILAN. Sebarang “deviation” dari asas itu oleh PAS atau DAP akan dianggap sebagai suatu kebiadaban.

Apa yang diperlukan dalam arena politik semasa ialah pembinaan kepercayaan di kalangan mereka yang inginkan reformasi/islah/pembaharuan. Ia perlu diutamakan. Kepercayaan akan terbina jika peraturan dan asas yang dibina bersama dipatuhi dengan konsisten. Ia perlu didokumentasikan dan dirakyatkan.

Ia perlu dilaksanakan di semua peringkat dan menjadi budaya PR. Rakyat akan melihat itu sebagai suatu ciri dan budaya politik PR. Tidak sukar, dan alangkah mudah jika asas itu ada secara rasminya dan diikutinya sebagai suatu konvensyen bukan menerusmarakan budaya ISH (ikut sedap hati) dalam politik dan kepolitikan PR.

Bukan budaya menangguk di air keruh, bukan budaya ingin mendominasi mana-mana pihak dan bukan merayakan sebarang zarah politik durjana. Juga penting ialah untuk membentuk suatu mekanisme ombudsman (sistem penyeliaan dan pengaduan) yang bebas, telus dan adil agar mereka yang benar-benar ditindas dan dizalimi mendapat keadilan yang hakiki.

Apakah kita belum bersedia untuk sesuatu yang sebegitu baik dan diredhai oleh Allah swt? Yang tentunya akan didokongi oleh rakyat jelata jua? Apa yang menghalangi kita? Jika kita percaya, yakini dan berhasrat, maka apakah yang menghalangi kita?

Sejujurnya, apakah yang menghalangi kita?

* Adeeba Adni ialah seorang penulis bebas, aktivis memasyarakat kebajikan dan politik.

Artikel ini adalah respon kepada tulisan Muhamad Nazreen, Apa yang boleh kita belajar daripada krisis Selangor, 1 September 2014. http://wargamarhaen.blogspot.com/2014/09/apa-yang-kita-boleh-belajar-daripada.html?m=1

Categories
SELANGOR

Jenazah juruterbang MH17 disolatkan di Masjid Negeri Shah Alam

Oleh: Syasya Sufian

SHAH ALAM 2 SEPT: Jenazah juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, selamat tiba di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada jam 10.20 pagi tadi.

kapten5Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut bersama-sama lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan sekerja Allahyarham hadir untuk melakukan solat jenazah.

Solat jenazah Kapten Wan Amran selesai dijalankan dengan diimamkan Pemangku Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Hatta Ahmad.

Rakan karib jenazah juruterbang, Zainul Mashi Mohd Zaini berkata, hampir 43 tahun beliau mengenali Allahyarham sejak di sejak bersekolah rendah sehingga bersama-sama menyambungkan pelajaran ke luar negara.

Kata beliau, Allahyarham merupakan seorang insan yang sangat baik dan sentiasa tersenyum.

kapten1“Apa-apa pun beliau tidak pernah mengadu dan bermasam jika ada masalah dengan orang lain,” kata beliau selepas selesai sembahyang solat jenazah.

Kapten Wan Amran merupakan juruterbang MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Beliau yang berasal dari perak, mempunyai hampir 20 tahun pengalaman penerbangan, mula berkhidmat bersama MAS sejak tahun 1999 lagi.

Jenazah Allahyarham seterusnya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini untuk dikebumikan.

EZY

Categories
SELANGOR

Nik Aziz: “Semoga keputusan Istana Selangor memberi manfaat semua”

SHAH ALAM 27 OGOS: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengharapkan keputusan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor semalam dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu dalam reaksi ringkasnya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu turut berharap mudah-mudahan keputusan itu dapat memberikan manfaat di dunia dan di akhirat.

SULTAN SELANGOR“Berdoalah kepada Allah sebanyaknya mudah-mudahan keputusan yang dibuat Istana itu dapat memberi manfaat dunia dan akhirat, Insya-Allah,” katanya dipetik Bernama.

Semalam Sultan Selangor menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menerima menghadap Abdul Khalid yang menyembah hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Keputusan baginda itu mahu memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu Sultan Selangor juga menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baru.

EZY

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah lebih dua nama dari PR untuk jawatan MB

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya setiap pemimpin parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi memudahkan pemilihan dibuat.

Titah yang dinyatakan dalam satu kenyataan rasmi oleh pihak Istana itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Tuanku Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani selepas Tan Sri Abdul Khalid mengadakan pertemuan bersama Baginda di Istana Kayangan petang tadi.

_MG_1854 copyKeputusan itu adalah sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Khalid dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaa Negeri (SUK) berkata satu surat rasmi akan dihantar Istana kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP bagi memaklumkan hasrat Tuanku Sultan.

“Baginda akan menulis surat dan saya difahamkan pejabat Tuanku Sultan akan menulis surat kepada pemimpin PAS, PKR dan DAP untuk menyatakan permintaan atau hasrat Tuanku Sultan untuk cadangan yang diberikan.

“Besar kemungkinan ada tarikh atau tempoh masa yang ditetapkan (untuk mengemukakan calon) dalam surat berkenaan,” katanya.

3333Beliau dalam pada itu menafikan Sultan Sharafuddin menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon, sebaliknya berkata Tuanku Sultan hanya meminta lebih daripada dua nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Katanya proses itu dianggap biasa malah ia pernah dilakukan semasa lantikan Menteri Besar pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

“Tuanku tidak menolak cuma Baginda minta supaya setiap calon daripada parti kerana PR bukan terdiri daripada satu kumpulan, maka tiap-tiap pemimpin kumpulan itu mesti hantar lebih dua nama.

“Biasanya calon tak lebih daripada empat dan ini tatacara yang pernah dilakukan Istana sebelum PR memerintah sama seperti semasa BN ingin menamakan calon Menteri Besar,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Isu MB: Abdul Khalid serah kepada kebijaksanaan Sultan Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 OGOS : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan kepada kebijaksanaan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau dalam sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini berkata ia sekaligus akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam.

MB Bagus“Saya yakin Tuanku Sultan akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri dalam membuat keputusan dan saya seikhlasnya akan akur kepada pilihan yang diputuskan oleh Baginda,” katanya.

Abdul Khalid turut berharap semua pihak terutama ahli politik, media dan pengguna media sosial mengelak daripada membuat kenyataan atau kritikan yang menjurus kepada niat untuk memperkecilkan peranan mana-mana pihak yang terlibat terutama institusi beraja dan Raja-raja Melayu.

Katanya hak Sultan Selangor di bawah Undang-undang Tubuh Negeri perlu dihormati meskipun negara mengamalkan prinsip demokrasi yang membenarkan kebebasan bersuara.

3333“Biarpun kita menghormati prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak-hak DYMM Sultan Selangor di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor perlu dihormati demi kesejahteraan negeri,” katanya lagi.

Abdul Khalid dalam pada itu turut menjunjung kasih kepada Sultan Selangor kerana berkenan untuk beliau menghadap Baginda petang tadi di Istana Bukit Kayangan Shah Alam bagi membincangkan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri ini.

Beliau turut memohon maaf kepada Tuanku Sultan atas suasana politik masa kini yang telah menyebabkan pihak Istana terheret sama dalam kemelut pentadbiran di negeri ini.

“Saya telah menyembah maklum bahawa dinamik politik di negeri Selangor kian meningkat dan telah menimbulkan keresahan rakyat jelata.

“Demi kelangsungan kestabilan politik di negeri Selangor ini, saya telah kemukakan kepada DYMM Tuanku hasrat untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

“DYMM Tuanku telah mengambil maklum hasrat saya dan Tuanku telah membuat keputusan untuk menangguh penerimaaan peletakan jawatan saya sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sultan Selangor nasihat MB tidak buat kenyataan sehingga 28 Ogos ini

Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.

DYMM Tuanku Sultan telah menitahkan yang  baginda berpuashati bahawa saya  mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014.

Sultan-Selangor-Sultan-Sharafuddin-Idris-Shah1Seterusnya, DYMM Tuanku Sultan telah menitahkan supaya saya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan Menteri Besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini untuk saya menghadap baginda.

Saya menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang mendakwa saya telah mengelirukan DYMM Tuanku Sultan supaya menulis terus kepada baginda untuk mendapatkan penjelasan.

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

Rakyat makin bijak, sokong berdasarkan prestasi & integriti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Rakyat Selangor dianggap semakin bijak berpolitik apabila tidak lagi mementingkan idelogi sesuatu parti politik sebaliknya lebih mengutamakan integriti dan prestasi seseorang pemimpin bagi memacu kemajuan pembangunan di negeri terkaya itu.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berkata ini dapat dilihat apabila rakyat tanpa mengira parti yang disokongnya bersedia memberikan sokongan kepada pemimpin yang mereka lihat mempunyai ciri-ciri pemimpin pilihan mereka walaupun tidak mewakili parti yang mereka sokong.

ProfMohdAbuBakar1“Dalam konteks negeri Selangor menilai dari segi prestasi dan integriti pemimpin jadi semakin penting. Rakyat juga sudah semakin tidak menumpukan kepada persoalan di segi idealogi politik lagi.

“Jadi dalam keadaan sedemikian, penghukuman yang dikenakan oleh rakyat lebih bersandarkan keutamaan diberikan pemimpin daripada segi pembangunan, pembahagian kekayaan negeri.

“Itulah ukuran yang akan dipakai dalam pengundian akan datang,” kata Profesor Mohamad ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Profesor Mohamad juga percaya saingan sengit akan berlaku sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor terpaksa diadakan pada masa terdekat disebabkan kemarahan rakyat terhadap isu perebutan kerusi Menteri Besar yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

“Kalau pun berlaku pilihan raya semula saya rasa keadaan itu masih membawa kepada kebuntuan sebab sokongan kepada semua parti masih sama.

“Kalau pun BN menang dalam keadaan sekarang, bukanlah menang kerana sentimen rakyat ingin melihat dia menang tetapi lebih kepada kemarahan kepada pemimpin tertentu PKR,” kata Profesor Mohamad lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Rakyat mahu isu MB tak jejas kemajuan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 OGOS: Rakyat mahu isu Menteri Besar Selangor tidak menjejaskan kemajuan negeri termaju Malaysia itu demi kepentingan rakyat.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menjalankan tugas beliau sebagai Menteri Besar.

sukPekerja swasta, Nasharudin Yusuf, 41, yakin perkenan yang diberikan Sultan Selangor itu merupakan langkah yang tepat demi kebaikan rakyat.

“Tuanku Sultan Selangor pula sudah tentu memikirkan kesejahteraan rakyatnya di bawah pentadbiran Menteri Besar yang ada sekarang dan peruntukan undang-undang yang ada,” kata Nasharuddin kepada Selangor Kini di sini.

Nasharuddin juga menyifatkan perkembangan mukhtahir ini membuktikan kebijaksanaan politik rakyat memberikan sokongan kepada pemimpin berdasarkan integriti seseorang pemimpin politik dan tidak lagi berdasarkan parti politik semata-mata.

Ahli perniagaan Fatima Wati Ahmad, 41, berharap Abdul Khalid dapat meneruskan kecemerlangannya pentadbiran Kerajaan Selangor yang ada.

“Sebelum ni berdebar tapi sekarang lega bila Tuanku Sultan perkenan Tan Sri terus mentadbir dan berharap beliau membuktikan bersih daripada tohmahan dilemparkan kepadanya,” katanya.

Sementara itu kakitangan awam, Jamal Sulong, 31, berkata perkembangan terkini melegakan tapi mungkin hanya sementara.

“Saya hormati dan kagum dengan keputusan Tan Sri kerana pendirian dan gaya urus tadbir beliau di mata rakyat amat terpuji,” katanya.

EZY