Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart Desa Selangor berdaya masyarakat luar bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Smart Desa Selangor diyakini mampu memberdaya masyarakat luar bandar terus berada dalam arus perdana pembangunan serta menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara kehidupan moden masyarakat bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PLANMalaysia@Selangor berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035, iaitu dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan desa.

Katanya, ia merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran yang menjadi asas perancangan dan kluster pembangunan strategik demi mempertingkatkan potensi kemajuan desa.

“Kita perlu memastikan ‘connectivity’ antara bandar dan desa.

“Kita juga mahu watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, muhibbah dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi terus dikekalkan dan dipertahankan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, terdapat dua hasil utama kajian iaitu Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 dan Sistem Maklumat Smart Desa Negeri Selangor.

“Ia meliputi 519 kampung melibatkan kampung tradisi, kampung tersusun, kampung baru, kampung bagan dan kampung orang asli,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan kerangka Smart Desa merupakan penterjemahan Dasar Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Katanya, ia adalah penegasan terhadap usaha menjana sumber pendapatan secara strategik, melaksanakan pembangunan berkualiti serta menyantuni rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat.

“Smart Desa Selangor diberi takrifan sebagai pembangunan desa secara bijak dengan mengambil berat terhadap pengurusan sumberjaya terkawal dan pembangunan ekonomi dan spatial terancang untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat desa.

“Penterjemahan ini mensasarkan pengiktirafan sebagai Global Village melalui pelaksanaan pusat Smart Desa dengan model kampung yang dilihat berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanjawan Selangor 2018 komprehensif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merumuskan secara menyeluruh Belanjawan Selangor 2018 yang disifatkannya lebih bersifat komprehensif kepada seluruh rakyat.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Selangor wajar menerima hasil daripada kekayaan negeri menerusi pelaksanaan dasar berkebajikan kepada golongan sasar.

“Belanjawan yang sarat dengan Inisiatif Peduli Rakyat demi membangunkan bangsa dan memakmurkan negeri telah memberikan kebaikan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri.

“Maka rakyat datang berbondong-bondong untuk merayakan kemenangan dan menikmati hasil mahsul negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau turut memetik hikayat lama merujuk kepada komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan agenda peduli rakyat di negeri ini.

“Yang capek datang bertongkat,
yang buta datang berpimpin,
yang pekak leka bertanya,
yang kecil terambin lintang,
yang jarak tolak tolakkan,
yang pendek tinjau meninjau ;

dan kini,

yang muda datang berselfie,
demam diberi kad peduli,
musafir naik bas free,
untuk berniaga modal diberi,
ibu-ibu tetap dikasihi”

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kejayaan pembentangan Belanjawan 2018 terhasil susulan keupayaan pentadbiran negeri untuk kukuh mengangkat prinsip permuafakatan negeri.

Beliau berkata, kejayaan Selangor kini sedang dicemburui oleh banyak pihak, namun ia tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus menggalas amanah dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sebagai sebuah negeri kosmopolitan, perpaduan perlu berlandaskan semangat toleransi, kesederhanaan dan saling hormat menghormati.

“Kerajaan Negeri amat prihatin tentang meningkatkanya insiden ‘intolerance’ dalam negara – toleransi semakin pudar dalam masyarakat. Situasi ini telah mengundang Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberikan pedoman

“Dengan tekad dan semangat untuk berjaya, InsyaAllah, Selangor kekal makmur dan rakyat kekal sejahtera,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM15 juta laksana Skim Smart Selangor First Home Buyers

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM15 juta melalui Skim Smart Selangor First Home Buyers untuk kemudahan rakyat memiliki Rumah Selangorku.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi Belanjawan 2018 disediakan Kerajaan Negeri, tawaran itu akan berkuatkuasa pada Januari tahun depan.

“Ia adalah bagi kemudahan pembeli Rumah Selangorku dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Peruntukan disediakan bakal dinikmati hampir 1,000 pembeli khususnya di kalangan ‘millennials’,” katanya.

Skim Smart Selangor First Home Buyers diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2016 bagi membolehkan rakyat memiliki Rumah Selangorku jenis B dan C.

“Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit 10 peratus tertakluk kepada jaminan pembiayaan diperoleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain.

“Pendahuluan ini adalah dalam bentuk pinjaman tanpa faedah yang perlu dibayar balik dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Lebih RM100 juta membangun rohani

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM106 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian, bagi 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara projek yang akan diberikan keutamaan adalah pembinaan Masjid Subang Bestari bernilai RM17 juta dan Masjid Al-Ikhlas, Taman Bukit Belimbing, Hulu Langat RM16 juta.

Katanya, projek lain termasuk pembinaan Masjid Bandar Teknologi Kajang dengan peruntukan RM12 juta dan Masjid Kota Damansara 2, Seksyen 9 (RM12 juta).

“Jabatan Agama Islam Selangor juga akan terus berperanan untuk
memberdaya institusi Islam melalui pembangunan dan program yang dapat melahirkan umat beriman dan berilmu,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, sebanyak enam projek siap dibina pada 2017 dengan nilai keseluruhan RM34.01 juta.

Katanya, sebanyak 14 projek ditender pada tahun ini dengan nilai siling RM200.8 juta melibatkan pembangunan lapan masjid, empat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) dan dua Sekolah Rendah
Agama (SRA).

“Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM34 juta untuk pembinaan blok asrama baru dan bangunan akademik MITS Istana Bandar, Jugra, Kuala Langat.

“Dua minggu lalu, saya turut meluluskan peruntukan segera RM250,000 untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf pendawaian elektrik di MITS Istana Bandar.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan kerja menaik taraf asrama dan blok akademik MITS Bagan Terap dengan kos projek sebanyak RM6 juta,” katanya.

=EZY=

 

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM7.25 juta rancakkan pelancongan & industri kraf tangan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM7.25 juta disediakan Kerajaan Negeri untuk pembiayaan promosi dan acara pelancongan, pembangunan produk pelancongan dan industri kraf tangan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak 25
projek naik taraf produk pelancongan sudah dilaksanakan dengan tumpuan kepada ‘eco-sport’, setakat September lalu.

“Antara ‘sky mirror’ di Kuala Selangor dan penaiktarafan kemudahan aktiviti sukan air di Tasik Biru Kundang.

“Selain itu, kita juga berusaha mengembangkan aktiviti sukan air seperti luncur angin, kayak dan jetski serta aktiviti menyelam di tasik semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Ia merupakan belanjawan keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

Belanjawan Selangor 2018 menyaksikan sejumlah RM1.66 bilion meliputi 53.2 peratus bagi belanja pembangunan sementara RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan (46.8 peratus).

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Komited laksana agenda pendemokrasian pembelian rumah

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 25 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus melakar sejarah apabila berjaya menyediakan 198 unit rumah mampu milik berkonsepkan Rumah Bandar (Town House) dua tingkat pertama di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha itu selaras agenda pendemokrasian pembelian rumah Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah mempunyai akses kepada perumahan selesa, selamat dan mampu milik.

Katanya, PKNS juga menawarkan beberapa unit khas buat pemilik dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“Kebiasaannya rumah berkonsepkan Rumah Bandar dijual pada harga tinggi tetapi PKNS menawarkan pada kadar mampu milik.

“Tahniah PKNS kerana mengembalikan keuntungan diperoleh kepada rakyat menerusi produk inovasi dan kreatif serta tidak berganjak daripada matlamat asal penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci kepada 10 pembeli Rumah Selangorku Idaman PKNS di Kota Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman.

Rumah berkenaan dijual pada harga RM197,000 bagi unit atas berkeluasan 995 kaki persegi manakala unit bawah dijual pada harga RM187,000 dengan keluasan 1,045 kaki persegi.

Sementara itu, lot tepi tingkat atas pula dijual pada harga RM195,000 bagi keluasan 993 kaki persegi dan tingkat bawah dengan keluasan 1,042 kaki persegi (RM185,000).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rakyat mahukan pembelaan bukan politik tak bernilai, maki hamun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Rakyat semakin mual dengan tindakan sesetengah pihak yang mengamalkan politik tidak bernilai, maki hamun dan mencetuskan ketegangan di dalam masyarakat demi memastikan kelangsungan politik mereka.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sedangkan rakyat hari ini sedang tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Kita sedang berlumba membuat kebaikan seperti diperintahkan Allah, bukan berlumba-lumba untuk memfitnah, bukan berlumba untuk budaya samseng dan rakyat hari ini tidak berminat dengan politik tidak bernilai, maki hamun dengan mencetuskan ketegangan sedangkan rakyat di bawah sedang susah.

“Rakyat sedang memerlukan pembelaan dan saya berdiri di sini bersama pimpinan berikrar kepada tuan-tuan, tanggungjawab yang sedang kami galas ini kami akan laksanakan dengan jujur, ikhlas dan berintegriti demi mengangkat martabat umat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat menerusi pelbagai program cuba ditenggelamkan oleh media kawalan kerajaan Umno-BN dengan memaparkan pelbagai fitnah yang memburukkan Kerajaan Negeri.

“Pembohongan dan fitnah seperti ini tidak akan kekal kerana saya dan kepimpinan akan turun ke bawah memastikan setiap kampung dan desa juga menikmati kekayaan hasil negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Tiada istilah belanjawan pilihan raya di Selangor seperti amalan Kerajaan Persekutuan tetapi sebaliknya Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaannya setiap masa dalam merangka belanjawan tahunannya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sama seperti tahun sebelumnya, pada November nanti beliau sekali lagi membentangkan belanjawan peduli rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu dapat diteruskan.

“Di Selangor tiada istilah belanjawan pilihan raya tetapi yang ada hanyalah belanjawan peduli rakyat seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

RAKYAT SELANGORSebelum itu ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 500 penduduk di majlis sama, Mohamed Azmin berkata, barisan exco dan pegawai tinggi Kerajaan Negeri berusaha memahami denyut nadi rakyat terbanyak dengan mengadakan program turun ke padang.

“Mana mungkin pemimpin bangsawan memahami kesusahan yang ditanggung rakyat,” katanya.

Terdahulu, Belanjawan Selangor sering menjadi perhatian penganalisis ekonomi dan rakyat dalam dan luar Selangor ekoran pelbagai inisiatif disediakan untuk rakyatnya.

Selain itu, sering terdapat elemen kejutan dalam Belanjawan Selangor apabila kerap menampilkan idea segar yang kemudiannya menjadi ikutan Kerajaan Persekutuan dan negeri lain.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Azmin optimis, laksana 5 tuntutan bekas tentera

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 SEPT : Lima tuntutan (T5P) oleh Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) mampu direalisasikan sekiranya Pakatan diberi mandat mentadbir Putrajaya pada Pilihan Raya Umum 14, depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bidang kuasa Kerajaan Selangor adalah terhad untuk melaksanakan keperluan itu.

“Saya tidak boleh mewakili Kerajaan Persekutuan untuk beri jaminan itu, mungkin November saya boleh, jika kita tawan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Presiden PAHLAWAN, Asri Buang pada forum Malaysia Baru bersama Dato’ Menteri Besar, di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, petang semalam.

IMG_20170916_165501Sebelum ini, PAHLAWAN menuntut Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan dan mengiktiraf jasa veteran tentera yang berkorban mempertahankan negara.

Asri Buang berkata, Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan tuntutan berkenaan walaupun pelbagai memorandum sudah dihantar kepada Putrajaya.

“Hinggakan ada antara pesara ini yang menerima bantuan sekadar RM200 sahaja walaupun mengalami kecacatan seperti hilang anggota badan,” katanya.

Hasil semakan SelangorKini, lima tuntutan itu adalah ;

* Menuntut kenaikan pencen pesara veteran tentera selaras kenaikan gaji semasa

* Menuntut kerajaan memberi imbuhan RM6,000‎ setahun kepada veteran yang tidak berpencen.

* Hak mewariskan pencen veteran pesara kepada waris terdekat selepas kematian pesara terutama isteri yang dinikahi selepas tamat perkhidmatan manakala kelayakan pencen terbitan harus untuk sepanjang hayat.

* Menuntut penyeragaman pencen, pencen hilang upaya (PHU) dan ex-gratia untuk semua veteran tentera hilang upaya (VTHU), perang tanpa mengira tahun akhir perkhidmatan.

* Menuntut kerajaan menyediakan sebidang tanah (atau rumah mampu milik / rumah kos rendah) kepada veteran tentera selepas persaraan.

=EZY=

Cegah denggi agenda utama Kerajaan Negeri 2016

Kerajaan Negeri memfokuskan agenda memerangi penularan wabak denggi sepanjang tahun ini -MB

Categories
SELANGOR

Warga emas doakan pentadbiran Selangor kekal cemerlang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 11 MAC: Kesungguhan Kerajaan Selangor memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyatnya bukan sahaja diakui generasi muda, malah warga emas.

Perkara itu dinyatakan Sulaiman Harun ketika lawatan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Kampung Sungai Bangkong, dekat sini.

IMG_6447“Saya akan sentiasa doakan semoga Selangor bertambah baik di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. InsyaAllah,” katanya kepada Mohamed Azmin.

Di sebalik usianya mencecah 104 tahun, Sulaiman yang juga bapa kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman itu tetap memiliki ingatan kuat.

Apabila ditanya apakah petuanya, Sulaiman berkata, beliau mengamalkan membaca Al-Quran sekerap yang boleh.

Lebih mengagumkan, Sulaiman masih mempunyai tubuh badan sihat dan kuat berbanding warga emas lain yang mungkin seusia atau lebih muda daripadanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk Kampung Bukit Bangkong pada Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Al-Ulum.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin turut sempat mendengar penerangan berkenaan perkembangan semasa kampung itu.

-AA-

Categories
SELANGOR

MB : Unit pemantauan semak kemajuan Belanjawan 2016

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor membuktikan setiap cadangan dalam Belanjawan 2016 bukanlah retorik, tetapi boleh diterjemahkan secara realiti bagi membantu rakyat di negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata iltizam itu dapat dilihat melalui penubuhan unit penyampaian bagi kelancaran rancangan belanjawan dan sampai kepada kumpulan sasaran.

Azmin AliKatanya, unit itu juga akan menyemak kemajuan pelaksanaan semua program, projek pembangunan, insentif dan lain-lain yang dicadangkan pada setiap tiga bulan.

“Kita menyedari keperluan ini dan membentuk satu unit penyampaian supaya dasar yang diputuskan, program yang dilaksanakan benar-benar dapat ke kumpulan dasar sehingga ke desa.

“Saya percaya tradisi dan prinsip ini akan kita pertahankan bagi memastikan Selangor terus maju dan rakyat dapat pembelaan yang adil daripada Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Menghafaz Al-Quran peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Katanya, kewujudkan unit itu akan memberi kesan kepada peningkatan kecekapan jentera Kerajaan Negeri sekaligus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.

-AA-