Categories
NASIONAL SELANGOR

Laporan Audit Puji Tabung Biasiswa Selangor – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Prestasi keseluruhan program biasiswa pinjaman tanpa faedah dan pinjaman,Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor (Tabung) yang diurus secara langsung oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat pujian Jabatan Audit Negara dalam laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2012.

2. Laporan Ketua Audit Negara 2012 merumuskan bahawa program Hadiah Anak Masuk Universiti yang diperkenal Kerajaan Selangor adalah baik dan mencapai sasaran.

3. Pembaziran terhadap pembiayaan laman sosial Facebook dan Twitter oleh Kementerian Kesihatan sebagai antara siri ketirisan kerajaan BN.

4. Kerajaan Pusat tidak bersikap profesional dalam menangani isu penggunaan ijazah palsu dari luar negara yang dimiliki sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN).

5. Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas perlu ditubuh siasat kehilangan senjata api

Audit-PolisKUALA LUMPUR 2 OKT: Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menilai Laporan Ketua Audit Negara.

Jawatankuasa ini perlu dianggotai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ia dizahirkan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendedahkan terlalu banyak ketirisan terutama melibatkan polis.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, anggota perkhidmatan awam tidak boleh dipersalah secara keseluruhan berhubung kehilangan pelbagai peralatan dalam simpanan polis.

“Pakatan menegaskan perkara ini dihenti dengan membentuk jawatankuasa khas untuk melihat secara terperinci Laporan Ketua Audit Negara.

“Kalau ada keperluan mereka yang bertanggungjawab terus dibawa ke muka pengadilan,” katanya di lobi Parlimen.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan polis merekod 309 barangan dalam bentuk senjata api, gari dan kenderaan, hilang.

Ia berlaku antara 2010 hingga 2012, melibatkan kerugian RM1.33 juta melibatkan kehilangan gari sebagai kes paling tinggi iaitu 156, diikuti senjata api (44) dan kenderaan polis (29).

– FZL

Categories
NASIONAL

PCA & ISA ulangi tahanan tanpa bicara, PM tak tepati janji

azmin-ali-3KUALA LUMPUR 2 OKT : Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bercanggah dengan ketetapan tidak mengembalikan kuasa tahanan tanpa bicara.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Peguam Negara sebelum ini pernah menegaskan usaha mengembalikan Rang Undang-undang (RUU) itu perlu dibincang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal berbuat demikian sebaliknya meneruskan bacaan kali kedua pindaan RUU itu pada sidang Dewan Rakyat semalam.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana ada percanggahan dengan ketetapan yang dibuat Peguam Negara pada Ogos tahun ini dalam bengkel bersama KDN di Hotel Sunway.

“Peguam Negara dengan jelas menolak sebarang usaha untuk mengembalikan semula tahanan tanpa bicara dan menegaskan supaya ia dibincang terlebih dahulu.

“Ini tidak berlaku. Apakah KDN ada masalah dgn Majlis Peguam? Adakah RUU ini diteliti oleh Peguam Negara?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Beliau berkata, Artikel 4A akta menyebut ia berkuasa mengembalikan semula tahanan tanpa bicara selama dua tahun tetapi ia bercanggah dengan kenyataan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Katanya, ia juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO).

“Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk tidak lagi benarkan tahanan tanpa bicara tetapi RUU itu dengan bercanggah dengan janji beliau,” katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan ruang dalam perbahasan RUU itu dan akan mendesak supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa pilihan terlebih dahulu.

Katanya, tindakan itu boleh dilakukan mengikut peraturan 54 di mana sesuatu RUU itu boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum pembacaan kali kedua.

“Saya akan terus mendesak supaya perkara ini dilakukan untuk memberi ruang perbahasan yang menyeluruh bagi mendapatkan maklumat dalam menggubal RUU yang penting ini.

“PKR komited untuk bersama PDRM menangani jenayah tetapi kita mahu perbahasan ini dibuat secara menyeluruh dan dapat dibuat dgn baik,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Indeks rasuah parah, Najib hanya bermain kata-kata

najib tidoKUALA LUMPUR 25 SEPT: Datuk Seri Najib Razak tidak perlu bermain kata-kata bagi membendung gejala rasuah sedangkan indeks rasuah pentadbiran Perdana Menteri itu semakin parah.

Situasi itu menunjukkan kerajaan tiada komitmen mengatasi gejala berkenaan sedangkan isu rasuah acap kali dibangkitkan selama ini.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi lebih kuasa dari segi pendakwaan supaya mereka yang sabit kegiatan rasuah dijatuhi hukuman setimpal.

“Kenyataan ini terlalu kerap kita dengar dari Perdana Menteri tetapi pentadbiran hari ni yang lebih parah dari PM lalu.

“Indeks rasuah terlalu parah. Ini menunjukkan tiada komitmen dan kalau ada kesungguhan, saya ada beberapa saranan yang menjadikan SPRM itu diperkasa.

“Wujudkan bajet besar untuk membentuk suruhanjaya perkhidmatan sendiri supaya mereka boleh melantik atau memecat mana-mana pegawai. Ini tidak dilakukan malah ditangguh beberapa kali,” katanya kepada TV Selangor.

Najib kononnya mahu menjadikan rasuah sebagai perkara silam demi masa depan negara.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, martabat SPRM diangkat jika tiada campur tangan mana-mana pihak dan ‘tangan-tangan eksekutif’.

“Jangan bermain dengan kata-kata. Kerana kewibawaan itu penting dalam mana-mana pentadbiran. Ia hanya dapat dipertahan dan dimuliakan kalau SPRM menjadi badan bebas dan tidak terikat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin : Proses Birokrasi Cacatkan Proses Pengundian

azmin pc buang undi 01

GOMBAK, 5 MEI : Calon PKR Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali melahirkan kekesalan terhadap kelemahan sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya kali ini.

Ini kerana menurut Azmin, beliau menerima banyak aduan daripada pengundi yang mengatakan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk mengundi walaupun telah tiba seawal pukul 8 pagi.

“Saya kesal dengan sistem SPR yang saya saksikan sendiri di mana pengundi terpaksa beratur berjam-jam terutama warga emas.

“Saya dapati jumlah saluran juga tidak dapat menampung pengundi yang ramai. SPR sepatutnya selesaikan perkara ini sebelum tiba hari pengundian,” katanya semasa tiba di Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk mengundi.

Beliau tiba di perkarangan pusat mengundi dengan ditemani isterinya, Shamsida Taharin dan adiknya, Azwan Ali kira-kira pukul 2.10 petang tadi.

Pertandingan di Gombak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bertanding menentang Datuk Dr Rahman Ismail dari BN dan Datuk Said Naza Abu Bakar, calon Bebas.

Manakala DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azmin dan Mohamad Nadzim Ibrahim dari BN.

Categories
SELANGOR

Pengundi Gombak Akan Tolak Politik Kotor

azmin gombak surau 01

GOMBAK, 24 APRIL : Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yakin budaya politik matang yang dibawa Pakatan Rakyat dapat memastikan pengundi kerusi itu dan kerusi DUN di bawahnya terus bersama Pakatan Rakyat.

Meskipun kerusi Gombak dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’, Azmin yakin gerak kerja yang telah dilakukan sepanjang lima tahun lalu dalam mendekati rakyat akan di-ikhtiraf pengundi.

Ketika ditemui di Surau Darul Muhajirin, Taman Selaseh 2, di sini, beliau menyeru semua petugas parti supaya tidak terlibat dengan budaya samseng dan fitnah ketika berkempen.

Sebaliknya, mereka harus menumpukan kempen kepada menerangkan dasar dan program yang telah dilakukan Kerajaan Selangor.

“Alhamdulillah gerak kerja ini sudah lama dilakukan. Bukannya selepas pembubaran tetapi memang saya dan teman-teman Pakatan Rakyat di sini mendekati rakyat sejak lima tahun yang lalu.

“Hari ini kita meningkatkan usaha memastikan maklumat kejayaan Kerajaan Negeri itu telah pun sampai ke akar umbi agar rakyat dapat menilai pimpinan mana yang layak diberikan peluang untuk mentadbir negeri Selangor.

“Saya akan pertahankan prinsip ini kerana rakyat di Gombak merupakan rakyat yang cukup matang. Mereka tidak boleh menerima budaya (politik kotor) sebegini,? katanya yang juga penyandang Dun Bukit Antarabangsa.

Sebelum itu, Azmin menyerahkan cek sumbangan daripada Kerajaan Negeri kepada Pengerusi Surau Darul Muhajirin, Ahmad Ismail bernilai RM 5,000.

Sumbangan berkenaan merupakan pemberian bagi menampung tabung perbelanjaan dalam penganjuran program-program pengimarahan surau dan masjid di Selangor.

Peruntukan tersebut merupakan sumbangan berterusan yang telah diluluskan Kerajaan Negeri sebelum pilihanraya.

Dalam PRU-13 kali ini, Azmin akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada tahun 2008.

Bagi kerusi Parlimen Gombak, beliau akan berhadapan saingan tiga penjuru diantara calon Umno-BN, Dr Raman Ismail dan calon Bebas, Said Nazar Abu Baker.

Sementara di Dun Bukit Antarabangsa beliau akan bertembung dengan Mohamad Nadzim Ibrahim dari Umno-BN.

Categories
SELANGOR

Adun BN Perlu Desak Kerajaan Pusat Salur Peruntukan Kepada JPS

SHAH ALAM, 27 NOV : Kerajaan Negeri menggesa Adun Umno-BN Selangor mendesak Kerajaan Pusat supaya menyediakan peruntukan secukupnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, JPS kini beroperasi dalam keadaan kekurangan dana dengan hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta setahun daripada Kerajaan Pusat.

Ekoran itu, JPS menghadapi kesukaran menjalankan tanggungjawab menyelenggara sistem saliran dan perparitan dengan baik di negeri ini.

“Difahamkan pada 2009, JPS hanya menerima sejumlah RM8 juta daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan, manakala tahun-tahun lain, JPS hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana bernilai antara RM5 juta hingga RM8 juta setahun kepada JPS. JPS juga meminta peruntukan RM1.2 bilion untuk mengatasi masalah banjir di Klang daripada Kerajaan Pusat, namun sehingga kini dananya masih tidak sampai,” katanya.

Ronnie berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) menggesa pihak JPS untuk mengambil tindakan proaktif dengan mengemukakan senarai keutamaan kepada Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Tertinggi Exco (MTES) untuk melaksanakan program tebatan banjir.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneliti keperluan mendesak bagi pelaksanaan program tersebut.

“Sekiranya tindakan ini tidak diambil, ia akan membebankan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpaksa berhadapan masalah banjir yang semakin kerap berlaku di negeri Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pusat Gagal Respon, Kerajaan Negeri Guna Rizab Simpanan Selesai Masalah Banjir

SHAH ALAM, 27 NOV : Tiada jawapan daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir menyebabkan Kerajaan Negeri menggunakan rizab simpanan bagi menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memberi perincian perbelanjaan untuk diteliti sekiranya benar Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah dana berhubung penyelesaian masalah banjir di negeri ini.

Bagaimanapun sehingga hari ini, tiada respon diberikan kepada Kerajaan Negeri berhubung perkara tersebut.

“Saya tidak menyangka Kerajaan Pusat boleh berubah kulit kerana dalam perbicangan di Parlimen beberapa bulan lalu, Kerajaan Pusat mengatakan mereka memberi peruntukan melebihi RM40 bilion kepada Negeri Selangor untuk mengatasi masalah banjir.

“Saya menulis surat kepada Perdana Menteri tentang perincian pemberian itu supaya saya sendiri dapat kaji dan kenal pasti mana pembangunan yang dibuat. Malangnya kerana kesibukan, soalan itu tidak dijawab dan menyebabkan saya terpaksa menggunakan rizab negeri,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berhubung peruntukan Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di Selangor sewaktu perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan akan memperuntukkan RM50 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukkan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Kerajaan Negeri bersedia berbuat demikian memandangkan rizab simpanan negeri meningkat sehingga RM2.5 bilion.

Categories
NASIONAL

Lagi Pemimpin Kanan BN Sabah Bakal Sertai PR

SHAH ALAM 30 SEPT: Beberapa pemimpin kanan BN Sabah dijangka akan mengikuti jejak dua Ahli Parlimen BN Sabah yang meninggalkan parti sebelum ini.

Bayangan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan ucapan dalam Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

“Sekarang kita ada dua orang pemimpin BN Sabah sertai kita, Insyaallah minggu depan akan ada lagi yang akan jadi agen kita,” kata Azmin.

Azmin ketika memberikan penjelasan lanjut kepada TV Selangor mendakwa, pihak yang dimaksudkan akan meninggalkan BN tersebut termasuk pemimpin kanan BN di Sabah.

“Memang ada perbincangan dijalankan dengan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak tentang bagaimana mereka boleh mainkan peranan untuk membawa perubahan untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini soal startegi, jadi tak semestinya kita umumkan semuanya serentak, kita tunggu masa yang sesuai, tetapi seperti saya nyatakan tadi, akan ada lagi pimpinan kanan, penting tempatan yang akan sertai kita,” kata Azmin sebaik selesai rapat tersebut.

Menurut Azmin, pemimpin-pemimpin yang terlibat merupakan pemimpin di peringkat Parlimen dan juga Adun di Sabah.

Selain itu, Azmin berkata perkembangan terkini di Sabah dan Sarawak menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di dalam keadaan tertekan dan marah.

“Isu ini menjadi kemarahan PM Datuk Seri Najib, sebab itulah dalam belanjawan baru-baru ini tiada peruntukan yang benar-benar menggembirakan rakyat Sabah kecuali menyentuhnya secara pinggiran sahaja,” ujar Azmin lagi.

Sebelum ini, baru-baru ini bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin mengumumkan meninggalkan BN untuk menyertai PR.

Tindakan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut menyebabkan BN mulai kehilangan pengaruhnya terhadap masyarakat tempatan di beberapa kawasan kubu kuat mereka sendiri.

Categories
NASIONAL

PKR Kecam Tindakan ‘Ganti Jalur Gemilang’ Di Malam Ambang Merdeka

PETALING JAYA 2 SEPT: PKR mengecam tindakan beberapa individu yang membawa ‘bendera baru’ bagi menggantikan bendera kebangsaan negara ini, ‘Jalur Gemilang.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab yang tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.

Beliau turut menyelar tindakan seorang pemuda yang melondehkan seluar dan menunjukkan punggungnya dihadapan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Gambar-gambar tersebut diletakkan di atas Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka bersama nyalaan lilin dan sekuntum bunga daisy.

“Kedua-duanya sama, ia perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali,” kata Azmin ketika menjawab soalan media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.

Azmin juga menambah, PKR tidak perlu membuat sebarang tindakan susulan dalam isu ini kerana acara sambutan itu bukan dianjurkan oleh PKR.

“Ia bukan anjuran PKR, tetapi pengerusi JANJI, Maria Chin Abdullah juga telah mengeluarkan kenyataan yang menentang tindakan yang memalukan dalam isu ini,” kata Azmin lagi.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Azmin memberitahu budaya samseng di era Perdana Menteri sekarang(Najib) menjadi semakin tidak terkawal apabila pemimpin nombor satu negara itu sendiri seolah-olah merestui tindakan ganas itu.

Menurutnya, budaya samseng dan ugutan telah menjadi amalan dan senjata utama musuh-musuh politik yang mahu menyekat kemaraan PKR dan Pakatan Rakyat di negara ini.

Lebih malang lagi, apabila pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak memberikan sebarang komen yang menentang budaya samseng itu sekaligus memberikan isyarat salah kepada samseng-samseng terlibat.

“Ia seolah-olah satu rangsangan terus dari Datuk Seri Najib Razak kepada kaki-kaki samseng yang lain untuk terus berlaku kasar dan mengancam keselamatan pemimpin utama PKR dan Pakatan Rakyat,” kata Azmin.

Dalam perkembangan terbaru, Bas Merdeka Rakyat yang digunakan dalam Jelajah Merdeka Rakyat telah diserang di hadapan Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.

Serangan yang menggunakan batu simen dan kantung plastik mengandungi cat berwarna merah itu telah mengakibatkan cermin hadapan di bahagian pemandu retak dan bahagian sisi yang sama turut disimbahi cat warna merah itu.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar juga pernah diancam dan diganggu oleh penyokong Umno di Sembrong, Johor dan kereta yang dinaikinya juga pernah dirosakan di Kota Bharu dan beberapa tempat lain lagi.

Dalam satu siri ceramah di Lembah Pantai yang dihadiri Ahli Parlimennya, Nurul Izzah Anwar, seorang warga emas turut tercedera dibaling batu oleh individu yang dipercayai penyokong Umno yang menghadiri ceramah Umno di lokasi bersebelahan antara satu sama lain.

Selain itu, serangan beberapa individu dalam ceramah-ceramah lain yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat lain turut kerap berlaku termasuk gangguan seperti memaki hamun dan membuat bising dengan bunyi motorsikal yang dipandu oleh Mat Rempit yang diupah.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang mengalami nasib demikian adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Selain itu, tindakan ganas polis yang dilihat bertindak ala ‘samseng berlesen’ ketika mentangani peserta BERSIH 3.0 pada Mei lalu turut tidak mendapat reaksi yang sewajarnya.

Tidak ketinggalan, kempen Occupy Dataran yang dijalankan oleh aktivis mahasiswa sedikit masa dahulu turut menghadapi serangan ganas samseng yang diketahu umum sebagai pihak penyokong Umno.

“Walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat, sehingga sekarang tidak ada seorang pun yang diheret ke muka keadilan.

“Rakyat juga menunggu-nunggu reaksi Datuk Seri Najib Razak yang wajib mengutuk keras budaya samseng sebegini yang mencemarkan arena politik negara.