Categories
SELANGOR

Tong sampah botol kosong menang pertandingan reka cipta MPSp

CYBERJAYA, 26 JUN: Sebanyak 22 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Sepang menyertai Pertandingan Reka Cipta Barang Terpakai Peringkat Sekolah yang dianjurkan pada 25 Jun lalu di Dewan Serbaguna BBST.

Program anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) itu pertama kali diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Sepang di bawah program kitar semula perbandaran itu yang menekankan pemeliharaan alam sekitar secara menyeluruh.

logo majlis perbandaran sepangIa bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendedahan kepada para pelajar tentang kepentingan kitar semula serta menggalakkan penggunaan sisa buangan seperti kertas, tin minuman dan plastik yang boleh digunakan secara optimum.

“Kita mahu pelajar ini meningkatkan kreativiti dan inovasi mereka dengan menggunakan bahan terbuang bagi mencipta barangan hasil dan mengurangkan kuantiti sisa barangan terpakai di sekolah dan rumah.

“Sebanyak 22 buah sekolah menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada lapan buah sekolah menengah dan 14 buah sekolah rendah,” kata Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPSp dalam satu kenyataan.

Kategori sekolah rendah dijuarai oleh Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (A) iaitu satu-satunya sekolah orang asal yang menyertai pertandingan dengan produk tong sampah yang dihasilkan daripada botol kosong.

Manakala kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang dengan produk tempat berehat di taman yang diperbuat daripada payung, botol, tayar lama, paip pvc dan majalah lama.

Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500 berserta sijil dan piala iringan.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua MPSp, Mohd Sayuthi Bakar.

Categories
SELANGOR

Hari Pelanggan: MPSp terima banyak cadangan penambahbaikan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 26 MEI : Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) mendapat sambutan yang menggalakkan penduduk kawasan terbabit, baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPSp, Zelda Mohd Zamri berkata dalam program itu sebanyak 100 borang aduan dikeluarkan pada hari itu yang membabitkan pelbagai aduan dan cadangan daripada orang awam.

DSC_8711Katanya, setiap aduan yang diterima, pihaknya akan memberi perhatian supaya masalah tersebut dapat diatasi segera.

“Program itu diadakan bagi tujuan untuk mendekati pelanggan dan masyarakat serta sebagai langkah meningkatkan sistem penyampaian kepada masyarakat.

“Selain itu, ia juga adalah satu lagi saluran bagi penyelesaian masalah pelanggan melalui pendekatan bersemuka antara orang awam dengan pegawai terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Zelda berkata edaran borang kajian kepuasan pelanggan turut diadakan pada hari terbabit untuk menilai tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan MPSp.

Selain itu, katanya, sebagai tarikan dalam program itu kali ini, turut diadakan cabutan bertuah dan saguhati bagi penyertaan penduduk paling ramai.

“Pada hari itu Persatuan Penduduk Taman Dahlia, BBST muncul sebagai pemenang bagi penyertaan penduduk paling ramai,” katanya.

Hari Bertemu Pelanggan itu diadakan di perkarangan Pentas Budaya, Bandar Baru Salak Tinggi.

Turut mengambil bahagian dalam program itu adalah pegawai-pegawai kanan MPSp dari pelbagai jabatan selain beberapa agensi antaranya Pejabat Tanah Daerah Sepang dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Hadir sama, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Yang Dipertua MPSp, Mohd Sayuthi Bakar.

EZY

Categories
SELANGOR

‘Ops 1Premis 1Kediaman 1Tong Sampah’, didik masyarakat jaga kebersihan

Oleh: AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 19 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) akan melaksanakan ‘Operasi 1 Premis 1 Kediaman 1 Tong Sampah’ di kawasan Bersih Hijau Sejahtera (BHS) di Zon Dengkil, Taman Putra Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi dan Salak.

Pegawai Perhubungan Awam MPSp, Zelda Mohd Zamri dalam satu kenyataan media berkata perlaksanaan operasi ini juga akan melibatkan kawasan Zon Bersih di Majlis Perbandaran Sepang iaitu di taman Seroja dan Pekan Salak.

logo majlis perbandaran sepangKatanya, hebahan kepada peniaga dan penduduk telah dibuat melalui paparan banner dan edaran notis makluman kepada pemilik premis dan kediaman.

“Tujuan operasi ini diadakan adalah mendidik penduduk dan masyarakat menjaga kebersihan dan menyediakan tong sampah di kediaman dan premis masing-masing,” katanya kepada media.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasan kempen ini merujuk kepada syarat mengadakan tong sampah di setiap premis perniagaan seperti termaktub dalam Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Sepang) 2007- UUK 18. Dan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (Majlis Perbandaran Sepang ) 2007 – UUK 6.

Tarikh pelaksanaan penguatkuasaan bagi premis perniagaan adalah pada 20 Mei – 31 Mei 2014, manakala bagi premis kediaman adalah pada 1 Jun – 30 Jun 2014.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung dengan Jabatan Penguatkuasa di talian 03-83190221 / 83190222 (samb 224).

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat-Belanjawan Selangor 2014 9 – 13 September

suk 090913.indd

Perbincangan langsung rakyat-pemimpin ini bagi mendapatkan input secara terus dari pembayar cukai bagi melaksanakan manifesto Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Maklum balas daripada perbincangaan ini akan diangkat dalam Belanjawan Negeri Selangor 2014.

“Kerajaan Selangor yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati golongan sasaran,? tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 9 September, dialog akan diadakan serentak di Galeri Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bermula jam 8 malam.

Pada 10 September, dialog akan diadakan serentak di Lobi Menara Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Dewan Sri Bernam Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Dewan Auditorium Dato’ Abdul Hamid Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di Batang Kali, bermula jam 8 malam.

Pada 11 September, dialog akan diadakan serentak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Puchong Indah, dan bagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Kompleks Sukan Dewan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi bermula jam 8 malam.

Bagi 12 September pula, dialog akan diadakan serentak bagi Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) di Hotel Empress di Sepang Bandar Baru, bagi Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bunga Tanjung Seksyen 19, dan bagi Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Dewan Sri Jugra di Banting bermula jam 8 malam.

Manakala pada 13 September, dialog akan diadakan bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah bermula jam 8 malam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Gantung Sementara Semua Projek Prasarana Persekutuan

AES_Grafik_1

SHAH ALAM, 21 FEB : Semua projek prasarana Kerajaan Persekutuan di Selangor, seperti jalanraya dan bangunan, telah digantung buat sementara waktu.

Keputusan itu dibuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai respons terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini di dalam kes dua tiang kamera penguatkuasa automatik (AES) yang dipasang di lebuhraya di dalam kawasan Sepang.

” … Kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada jalanraya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor untuk menyediakan senarai cadangan pembangunan persekutuan.

?Samada lebuhraya atau Prasarana Transit Aliran Ringat (LRT) untuk disemak semula oleh Majlis Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin,? kata Abdul Khalid.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Penasihat undang-undang Negeri Selangor akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ini kerana keputusan itu bermakna pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri membantah perlaksanaan sistem AES kerana didakwa ia tidak cekap di dalam mengurangkan kadar kemalangan dan hanya membebankan rakyat dengan saman.

Media rasmi Kerajaan Persekutuan Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh dua syarikat yang mengendalikan AES terhadap keputusan MPSp.

Pada awal Disember, MPSp telah merobohkan dua tiang kamera AES yang dipasang oleh Beta Tegap Sdn Bhd di km 301.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Dalam penghakimannya, hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa MPSpc tidak mempunyai bidang kuasa ke atas PLUS dan SKVE.

Sehubungan itu membenarkan Beta Tegap memasang kamera AES di dua lebuhraya berkenaan.

Zaleha berkata, PLUS dan SKVE berada dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Categories
SELANGOR

Pelajar Jepun Sertai Program Penanaman Pokok MPSP

CYBERJAYA 14 DIS : Seramai 120 pelajar daripada Nagasaki Nichidai High School, Jepun menyertai program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) di Taman Hutan Bandar minggu lalu.

Rombongan tersebut merupakan kali ketiga para pelajar daripada sekolah berkenaan hadir menyempurnakan upacara penanaman pokok di samping meninjau pokok-pokok yang ditanam sebelum ini.

“Dua tahun berturut-turut sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2011, mereka telah datang menanam pokok dan kita juga ada meletakkan ‘pledge’ (ikrar) mereka.

“Program sihat ini ternyata telah menjadi program tahunan kita (MPSP) dan pihak sekolah (Nagasaki Nichidai High School) kerana kami mempunyai kepercayaan yang sama.

?Iaitu pokok hijau yang banyak adalah baik untuk menangani perubahan iklim khususnya di Cyberjaya ini,” jelas Penolong Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar MPSP, Mohd Adham Mahmood berkata di program itu pada 8 Dis.

Program penanaman pokok tersebut dilancarkan pada 8 November 2009 oleh Ahli Majlis MPSP, Lau Weng Chan yang turut merasmikan program tersebut pagi itu.

Sehingga kini, hampir 2,000 batang pokok ditanam di kawasan seluas 9.67 ekar itu yang terletak bersebelahan Universiti Limkokwing di sini.

Selain para pelajar daripada Jepun, program itu turut mendapat sokongan komuniti tempatan selain syarikat-syarikat korporat seperti Prima Properties Management Sdn Bhd, Univeristi Limkokwing dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Diharap dengan penglibatan pihak pelajar dari Jepun, pihak swasta dan komuniti di sini, matlamat meningkatkan kesedaran akan kepentingan tumbuhan hijau dapat ditingkatkan di kalangan masyarakat,” ujar Adham.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tutup AES Jumaat Ini

SHAH ALAM 5 DIS : Kerajaan Negeri akan menutup dua kamera Automated Enforcement System (AES) di kawasan Sepang Jumaat ini dengan sarung setelah tidak mendapat maklumbalas daripada Kementerian Pengangkutan.

Dengan langkah itu, kedua-dua kamera tersebut tidak akan dapat berfungsi dan sekiranya Kementerian masih tidak memberi respon di dalam dua minggu, Kerajaan Negeri akan menanggalkan kedua-duanya.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) sebelum ini telah menulis surat kepada kementerian untuk membetulkan tatacara permohonan dan mendapat kebenaran untuk memasang kamera tersebut.

“Namun surat oleh YDP (Yang Di Pertua) MPSP langsung tidak diendahkan,” ujar beliau dalam satu sidang media di sini.

Sementara menunggu penjelasan daripada Kerajaan Pusat, beliau berkata Kerajaan Negeri akan bertindak menutup Kamera AES dengan sarung supaya tidak dapat berfungsi bermula Jumaat ini.

Pada Nov 9, Abdul Khalid mengumumkan bahawa Selangor akan menangguhkan perlaksanaan sistem AES di Selangor sehingga Kerajaan Selangor berpuashati dengan cara perlaksanaannya.

Beliau dilaporkan berkata perlaksanaan sistem itu adalah untuk menguntungkan syarikat tertentu berbanding mengurangkan kadar kemalangan.

Abdul Khalid mendakwa sistem tersebut akan mengkayakan syarikat yang mendapat konsensi untuk memasang dan mengendalikan sistem tersebut.

Menurutnya, syarikat konsesi projek AES bakal meraih keuntungan yang besar sekurang-kurangnya sebanyak 17 peratus setahun.

“Jika masih tiada jawapan, kita juga akan bertindak untuk menanggalkan kamera-kamera tersebut,” tegasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.