Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham sedih penyokong Najib langgar SOP

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ketua pengarah kesihatan sedih susulan masih ada rakyat melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Membalas hantaran Bernama di Twitter mengenai gelagat penyokong Datuk Seri Najib Razak di mahkamah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan sering mengingatkan rakyat agar mematuhi SOP khususnya penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

“Sudah terang lagi bersuluh, setiap hari KKM mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP.

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” tulisnya hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh bimbang wujud penularan Covid-19 ekoran kehadiran penyokong bekas perdana menteri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak menghiraukan pematuhan SOP.

Gambar yang memaparkan orang ramai berhimpun tanpa mematuhi penjarakan sosial turut tersebar di media sosial dan media arus perdana.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Hentikan sikap ‘saya tidak peduli’

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Malaysia mungkin melaksanakan kembali tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, jika majoriti rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang menjalani perintah kuarantin di rumah, terus mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab ‘saya tidak peduli’.

Petandanya sudah pun ada, dengan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini, manakala perintah kuarantin mandatori 14 hari di stesen yang ditetapkan bagi mereka yang pulang dari luar negara telah diwajibkan semula, sejak Jumaat.

Lebih buruk lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam berkata Kuching, Sarawak telah diisytiharkan sebagai zon merah selepas mencatatkan 41 kes baharu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata kerajaan semalam bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) dan dijangka akan membuat pengumuman mengenainya selepas mesyuarat menteri-menteri Isnin ini.

Beliau berkata perkara itu tidak menghairankan apabila 2,897 individu di bawah kuarantin mandatori di rumah masih belum melakukan ujian saringan kedua Covid-19 selepas 13 hari pulang dari luar negara.

Secara statistik, kes jangkitan baharu Covid-19 terus meningkat dengan 23 kes dilaporkan semalam berbanding 21, sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,884 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 167 kes.

Dua hari lepas, beliau berkata Malaysia mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Semasa menyatakan kebimbangan itu, Dr Noor Hisham berkata ketika ini kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lepas.

Katanya jikalau R-naught (R0) meningkat, ini bererti semakin ramai akan dijangkiti. Apa yang membahayakan adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Bendera kejayaan lawan Covid-19 dikibar Julai ini?

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kehadiran Julai pasti dinantikan apabila negara diramal bebas daripada pandemik Covid-19 setelah ‘berperang’ sejak Januari tahun ini.

Namun itu semua terletak kepada kepatuhan rakyat Malaysia terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengejar sifar kes Covid-19 berbanding satu atau dua angka ketika ini, sekaligus menyertai negara lain yang telah mengibarkan bendera kejayaan melawan Covid-19.

Keyakinan itu disandarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya pada Rabu bahawa sasaran itu dapat dicapai pada pertengahan Julai berikutan angka kes jangkitan baharu yang kecil, disertai jumlah pesakit yang dibenarkan keluar hospital yang tinggi dan kadar kematian yang rendah.

Seperti semalam, kes baharu Covid-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes dan dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,596 kes, selain tiada kematian dicatatkan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Tumpuan penjagaan kesihatan dan pencegahan penularan bukan hanya tertumpu kepada rakyat Malaysia sahaja malah turut dihala kepada warga asing yang berada Malaysia secara sah selepas masalah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diselesaikan.

Apabila kes semakin terpencil dan berada di tahap yang boleh dikawal, pelbagai aktiviti membabitkan orang awam kini boleh dilakukan termasuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada akhir Julai ini untuk kawasan Wilayah Persekutuan dengan SOP yang ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media pada Rabu berkata kebenaran itu untuk semua masjid, surau serta kawasan yang di Wilayah Persekutuan, dan perlu mengikut panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Berita gembira turut disampaikan beliau kepada mereka yang ingin bertunang dan berkahwin apabila kebenaran telah dibenarkan mulai 1 Julai ini selain majlis berkaitan keagamaan serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir.

Moga Julai datang membawa seribu makna dan keberkatan kepada Malaysia berlapikkan normal baharu dalam memastikan negara bebas sepenuhnya daripada penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Malaysia di landasan betul – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 20 MEI: Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha melihat angka kes positif baharu Covid-19 berada pada jumlah kurang dari 10, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya masih terus memburu sasaran itu, dan melihat kepada tempoh dua minggu sejak awal bulan ini, kes-kes baharu Covid-19 memang tidak menampakkan kenaikan ketara, namun ia juga tidak berkurangan sepantas yang diharapkan.

“… tapi kita masih bertahan, selagi kita boleh kekalkan angka sekitar 20 kes.., jadi dari segi kepentingan kesihatan awam, satu pasukan boleh mengambil tindakan terhadap kes-kes yang telah dikenal pasti. Lebih penting lagi, tindakan boleh diambil bagi menghalang jangkitan daripada merebak,” katanya dalam sidang media harian berhubung Covid-19 di sini, semalam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap pada hari-hari akan datang Malaysia dapat mengekalkan angka dua digit kes baharu positif Covid-19.

Menurutnya ketika ini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membolehkan angka jangkitan baharu kes postif penyakit itu berada pada dua digit, dan yang lebih penting ialah tiada lonjaklan secara tiba-tiba dalam jumlah kes positif baharu yang dikesan.

“Selagi jumlahnya kurang daripada 50, saya puas hati, namun sasaran kita adalah lebih dari angka ini, dan kita boleh mencapainya jika dapat bekerjasama. Orang ramai boleh tampil dan patuh kepada SOP (tatacara operasi piawai), ini penting,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Dr. Noor Hisham berkata daripada 35 kes jangkitan tempatan baharu hari ini, 22 melibatkan warga asing.

“Kita masih ada dua kawasan aktif yang sedang diberi perhatian rapi; iaitu kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Chow Kit, dan di sekitar Pudu.

“Jadi kedua-dua kawasan aktif ini kita sedang pantau dengan rapi dan kita buat ujian keatas ramai warga asing di kawasan itu, jadi walaupun ia jangkitan tempatan, namun majoriti melibatkan warga asing,” katanya.

Sementara itu beliau berkata ketika ini terdapat lebih 1,436 tahanan di Pusat Depoh Tahanan di Kuala Lumpur, dan 1,000 daripada mereka telah menjalani saringan Covid-19, dan menurutnya ujian saringan itu masih diteruskan sehingga kini.

Dr. Noor Hisham berkata demikian sebagai respons kepada satu laporan dari Myanmar mengenai satu kes positif Covid-19 melibatkan pekerja asing yang dihantar pulang dari Malaysia yang pernah ditempatkan di Blok A, Pusat Tahanan Depoh di Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Patuh PKPB, jangan susahkan diri sehingga ditahan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Orang ramai tidak sepatutnya merumitkan keadaan dan menyusahkan diri mereka ketika negara sedang ‘berperang’ dengan wabak Covid-19 kerana tidak mahu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Peringatan sering diberikan dalam isu pematuhan arahan PKPB kerana ia bertujuan memastikan bahawa masyarakat secara keseluruhannya terlindung daripada penularan wabak Covid-19 .

Pengunjung pasar raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam menjalani pemeriksaan suhu badan dan mematuhi jarak sosial sebelum dibenarkan masuk ke premis itu pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Berikutan kedegilan segelintir pihak mematuhi arahan itu, kerajaan terpaksa mengerakkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dengan lebih kerap di pusat membeli-belah dan pasar raya terutama di premis perniagaan yang mengadakan jualan murah atau promosi tertentu.

Walaupun tiada akta melarang membawa kanak-kanak ke pusat membeli-belah, sepatutnya ibu bapa lebih peka dengan situasi ketika ini iaitu tidak selamat untuk membawa anak ke tempat awam yang dipenuhi orang ramai.

Orang ramai juga perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Buang Sikap Pentingkan Diri

Sedarlah, sikap pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab dengan melanggar arahan yang ditetapkan bukan sahaja memakan diri sendiri malah akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Sumber Grafik: KKM

Berbaki kira-kira 10 hari lagi bagi umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah bagi perayaan itu pada hari pertama sahaja dan ia turut terpakai untuk Pesta Kaamatan serta Hari Gawai

Namun beringatlah, aktiviti ziarah itu hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu hari.

Arahan itu juga selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan (KKM), Malaysia bakal berdepan peningkatan penularan Covid-19 secara mendadak pada pertengahan Jun, sekiranya rakyat gagal mematuhi SOP PKPB.

Beliau berkata ketika ini, nilai kebolehjangkitan atau R-nought (R0) wabak itu diturunkan kepada 0.3 berbanding 3.5 pada awal pelaksanaan PKP dan sekiranya masyarakat leka dan ingkar dengan SOP yang ditetapkan, nilai R0 akan meningkat semula dan jika mencapai nilai 1.6 atau paras amaran, kemungkinan kerajaan akan melaksanakan PKP seperti 18 Mac lalu.

Sumber: KKM

Menurut unjuran itu, KKM juga menjangkakan Malaysia mampu mencapai tahap satu angka bagi kes baharu dalam tempoh seminggu sekiranya rakyat terus mematuhi SOP PKPB.

Kita mungkin tidak mampu membantu petugas barisan hadapan dalam aspek teknikal kesihatan namun dengan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan, matlamat memutuskan rantaian pandemik maut itu pasti akan tercapai.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Peluk cium dari jauh untuk ayah, ibu tercinta

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Sudah hampir dua bulan rakyat Malaysia ‘berkurung’ di rumah bersama ahli keluarga masing-masing, namun tidak semua berpeluang merasai nikmat itu apabila ada di antara mereka yang terpisah daripada pasangan, anak, cucu, serta saudara mara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ramai yang sedang menanggung rindu apabila sekian lama terpisah dengan insan tersayang dan tidak dapat bersua muka hanya sekadar bertanya khabar menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

Bak kata pepatah ‘air dicincang tidak akan putus’, begitulah diibaratkan eratnya hubungan kekeluargaan walau pada saat-saat sukar melawan penularan Covid-19 ketika ini.

Namun masyarakat perlu mematuhi saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bukan sahaja mematuhi jarak sosial tetapi juga tidak ada peluk cium, bersalaman seperti amalan yang selalu ketika menyambut Aidilfitri.

“Jika tidak dapat amalkan jarak sosial lebih baik kita kurangkan melawat,” kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya petang semalam.

Memandangkan Aidilfitri akan disambut umat Islam pada 24 Mei ini dalam suasana normal baharu, beliau mahu perayaan itu disambut berlandaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa berhari raya termasuk mengehadkan jumlah pelawat pada satu-satu masa.

Kerajaan juga memberi peringatan tidak digalakkan membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian perkembangan PKPB.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan mempertimbang untuk memasukkan tindakan membawa kanak-kanak ke premis berkenaan ke dalam Akta 342 sebagai perkara yang dilarang jika masih ramai ibu bapa berbuat demikian sepanjang PKPB dilaksanakan.

Setakat ini, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), masih tiada sebarang sekatan untuk membawa anak kecil ke premis tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah.

Hari ini hari ke-56 pelaksanaan PKP dan hari ke-sembilan PKPB. Situasi Covid-19 di Malaysia kekal dua digit dengan penambahan 70 kes baharu menjadikan jumlah kes positif 6,726 kes setakat semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Status PKP Bersyarat dijangka diketahui hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Perkembangan selanjutnya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui melalui perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual berlangsung hari ini.

Namun begitu apa jua keputusan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial, dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan sejak 18 Mac lepas sudah memasuki hari ke-54, tindakan yang diambil kerajaan itu sememangya membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal serta melandaikan keluk kes Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan PKPB yang dilaksanakan pada 4 Mei lepas bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula walaupun PKP keempat sepatutnya berakhir pada Selasa ini.

Ekoran pelaksanaan itu, pusat membeli-belah sudah boleh beroperasi, orang ramai boleh mengunjungi restoran untuk menjamu selera dan kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang, namun kesemua itu masih perlu mematuhi Tatacara Operasi Piawai (SOP).

Justeru itu, tiada istilah ‘merdeka’ dalam situasi ini kerana selagi vaksin merawat pandemik maut itu tidak ditemui, setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kita menang ‘peperangan’ virus ini.

Sedikit berbeza semalam, setelah hampir lima bulan bekerja tanpa henti memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 kepada rakyat, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga antara orang terpenting dalam menangani pandemik itu diberikan ‘cuti’ oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media.

Namun pihak KKM masih memberikan perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi kenyataan media dengan laporan jumlah kumulatif kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan telah dibenar pulang daripada wad mencapai 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 54 kes baharu direkodkan.

Sekali lagi diingatkan Covid-19 bukan perkara remeh, tanamlah normal baharu itu dalam diri ketika keluar dari rumah, orang ramai digalakkan memakai pelitup separuh muka ketika berada di kawasan tumpuan awam bagi mengelak jangkitan Covid-19 walaupun ia tidak diwajibkan.

Amalkan kawalan kendiri dan elakkan bersesak-sesak dengan orang ramai, tidak kira di mana sahaja anda berada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM lihat kerjasama penyelidikan dengan China

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kemungkinan kerjasama dengan China dalam penyelidikan yang berkaitan dengan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Penyelidikan itu bermakna hari ini kita sedang mengkaji virus berkenaan, sama ada kita boleh asingkan virus itu. Jika kita boleh asingkan virus itu dan kita boleh buat urutan keseluruhan genomik, ia bermakna kita boleh kenal pasti virus ini.

“Jadi kita tanya diri sendiri, kerana ini adalah virus baharu, jadi tiada siapa yang telah mengenal pasti virus ini. Adakah kita sedang melihat virus ini dari Eropah, atau dari China, kita tidak tahu,” katanya dalam persidangan media harian berhubung Covid-19, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata: “Contohnya Zika, kita tahu senarai Zika, kita ada Zika tempatan. Kita tahu genom Zika dari Brazil dan dari lain-lain negara juga. Jadi kita perlu kenal pasti virus (Covid-19), itu sebabnya kita perlu asingkannya,”.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai pasukan perubatan China yang dijangka tiba di Malaysia dalam masa dua minggu lagi untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menangani penularan Covid-19 di negara mereka.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, Malaysia China boleh berkongsi banyak teknik ujian ke atas Covid-19.

“Ini adalah peluang bagi kita untuk belajar, bekerjasama, berkongsi maklumat dan meninjau bagaimana kita boleh bekerjasama dan terus bergerak ke hadapan dalam menangani Covid-19,” katanya.

Beliau berkata pada dasarnya lawatan pasukan perubatan dari China itu adalah untuk melihat prestasi hospital di Malaysia dalam menangani Covid-19.

“Mereka bukan ke sini untuk mengendalikan perkhidmatan kita. Kita akan berbincang dengan mereka mengenai cara terbaik dalam meningkatkan tahap perkhidmatan dan keefisienan hospital kita,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata yang lebih penting lagi adalah perkongsian pengalaman dengan mereka yang pernah menguruskan Covid-19 di negara mereka sendiri, dengan inisiatif belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita ingin mendengar dan belajar dari mereka. Mungkin mereka juga boleh belajar sesuatu dari kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi warga China pulih, pesakit sembuh 13

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pasangan warga China masing-masing berusia 52 tahun dan 49 tahun yang disahkan positif koronavirus 2019 (Covid-19) sebelum ini, dibenarkan keluar hospital petang semalam, menjadikan jumlah terkini pesakit sembuh adalah 13.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru itu disahkan sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian Covid-19 ulangan kali kedua berturut-turut, didapati negatif.

“Kes ketujuh dimasukkan ke wad para 27 Januari, dan kesihatannya terus merosot disebabkan jangkitan teruk Hypoxia pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad.

“Pada hari kesembilan, pesakit menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat baik, sehingga dia menjalani ujian dua kali berturut-turut dengan keputusan negatif Covid-19, dan hari ini dia dibenarkan pulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Susulan berita gembira itu, Dr Noor Hisham berkata semua kes positif Covid-19 yang dirawat di hospital itu telah sembuh sepenuhnya dan telah benarkan pulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awal saringan kesihatan, isteri kepada pesakit kes ketujuh itu disahkan menghidap Asymptomatic, namun simptom Covid-19 pada wanita itu dikesan pada hari kedua rawatan.

“Sampel yang diambil pada 5 Februari lepas menunjukkan negatif Covid-19, namun dia tetap berhasrat untuk tinggal di hospital sehingga suaminya dibenarkan keluar. Kita jalankan ujian sampel sekali lagi semasa suaminya sembuh, dan keputusannya tetap negatif dalam dua ujian susulan itu,” tambahnya.

Pasangan itu adalah individu kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang masing-masing disahkan positif Covid-19 pada 28 Januari dan 30 Januari lepas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

554 kes kemalangan anggota kesihatan sejak dua tahun

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kesihatan melaporkan 554 kes kemalangan ulang alik direkodkan membabitkan anggota kesihatan pelbagai kategori yang berkhidmat di hospital di bawah kementerian itu, sejak 2014 hingga 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kemalangan tertinggi membabitkan jururawat iaitu 295 kes diikuti pembantu perawatan kesihatan (91), kategori jawatan lain (52), penolong pegawai perubatan (35), pemandu (31) dan pembantu penyediaan makanan (15).

“Akhir-akhir ini kemalangan jalan raya dalam kalangan doktor perubatan mendapat perhatian ramai terutama bagi kemalangan ulang alik. Kemalangan membabitkan pegawai perubatan ini adalah 35 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor BERNAMA.

Terdahulu, akhbar melaporkan doktor yang bertugas di hospital kerajaan mengalami letih keterlaluan akibat bekerja lebih masa dan mengakibatkan mereka terdedah risiko kemalangan jalan raya.

Dr_hishamDr Noor Hisham berkata, 69 kes direkodkan membabitkan kemalangan ketika pulang dari tempat kerja selepas bekerja di luar waktu pejabat antaranya jururawat (47) dan pegawai perubatan (8) untuk tempoh sama.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes itu yang dipercayai berlaku akibat memandu dalam keadaan penat dan mengantuk selain tidur tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya adalah lumrah bagi anggota kesihatan yang bertugas di hospital di bawah Kementerian Kesihatan bekerja di luar waktu kerja biasa kerana ia menawarkan perkhidmatan berterusan, selama 24 jam.

“Terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk kakitangan, selain peruntukan sedia ada berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada anggota kesihatan berdasarkan budi bicara ketua jabatan dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua anggota kesihatan mengambil berat keselamatan diri dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat terutama selepas tugasan diselesaikan.

“Jika kelesuan atau mengantuk, mereka disarankan mengambil masa untuk berehat atau tidur sebentar sebelum memandu supaya selamat tiba ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian itu akan berganding bahu dengan agensi berkaitan antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai langkah pencegahan kemalangan.