Categories
GLOBAL

PBB: 480,000 Rohingya lari ke Bangladesh

COX’S BAZAR 27 SEPT: Kira-kira 480,000 Muslim Rohingya lari ke Bangladesh sejak keganasan meletus di Myanmar 25 Ogos lalu, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Angka itu tambahan kepada anggaran kemasukan 45,000 orang dalam dua hari, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Satu laporan agensi PBB dan pertubuhan kebajikan antarabangsa berkata, perubahan itu sebahagian besarnya disebabkan anggaran 35,000 etnik Rohingya yang tidak dikira sebelum ini, berpindah ke dua kem pelarian.

Ia juga berkata, jumlah pelarian yang menyeberang sempadan mula meningkat. PBB memberi angka ketibaan lebih 435,000 etnik Rohingya Sabtu lalu.

RohingyaSelepas laporan penurunan ketara ketibaan minggu lalu, laporan baharu berkata, ratusan lain menyeberangi sempadan secara harian beberapa hari lalu.
Satu ruang seluas 809 hektar (lapan kilometer persegi) berhampiran kem sedia ada dikhususkan untuk menempatkan ketibaan baharu, namun tiada kemudahan dibina setakat ini.

Kem pelarian dan penempatan sementara di sebelah sempadan Bangladesh sudah menempatkan kira-kira 300,000 etnik Rohingya sebelum keganasan terbaru dan kini terlebih sesak.

=EZY=

Categories
GLOBAL

PBB: 815 juta penduduk dunia kelaparan

NEW YORK 16 SEPT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai 815 juta penduduk dunia kelaparan tahun lalu, 38 juta lebih ramai berbanding 2015.

Tahap kelaparan global meningkat buat kali pertama dalam masa lebih sedekad, menjejaskan 11 peratus penduduk dunia, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Jumlah itu mula bertambah pada 2014, tetapi ini adalah kali pertama dalam masa lebih sedekad, bilangan penduduk yang kelaparan di seluruh dunia terus meningkat.

Kira-kira 489 juta penduduk yang kelaparan tinggal di negara yang terjejas akibat konflik.

Rohingya“Sejak dekad lalu, bilangan konflik meningkat secara mendadak dan menjadi semakin kompleks serta sukar dikawal.

“Ini menimbulkan kebimbangan yang kita tidak boleh abaikan.

“Kita tidak mampu menghapuskan kelaparan dan semua bentuk kekurangan zat makanan menjelang 2030 kecuali kita menangani semua faktor yang menjejaskan perkara ini,” kata ketua lima agensi PBB dalam laporan Tahap Keselamatan Makanan dan Zat di Dunia 2017.

Lima agensi itu terbabit dalam penilaian global dalam usaha menghapuskan kelaparan dan kekurangan zat menjelang 2030, sebagai satu daripada set yang digelar Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Kebuluran melanda beberapa bahagian Sudan Selatan awal tahun ini dan ada risiko ia berulang serta berlaku di beberapa negara lain yang terjejas akibat konflik seperti timur laut Nigeria, Somalia dan Yaman.

Categories
GLOBAL

PBB: Lebih 370,000 penduduk Rohingya jadi pelarian

GLOBAL 13 SEPT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kira-kira 370,000 penduduk Rohingya tiba di Bangladesh dari Rakhine sejak 25 Ogos lalu, menyamai satu pertiga daripada 1.1 juta populasi Rohingya di negeri itu.

Etnik minoriti Islam Rohingya ditindas selama beberapa dekad di mana mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin.

Menurut Kerajaan Bangladesh, kira-kira 3,000 masyarakt Rohingya terbunuh dalam konflik itu.

Namun, gelombang keganasan di Rakhine pada 25 Ogos lepas menyaksikan ratusan ribu penduduk Rohingya menyeberang sempadan menuju ke Bangladesh.

RohingyaPelarian Rohingya itu memberitahu, kampung-kampung mereka hangus dibakar oleh penduduk beragama Buddha dan askar Myanmar, manakala ramai antara mereka dibunuh.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PBB digesa persiap kes dakwa Korea Utara laku jenayah

GENEVA, 10 MAC: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa melantik pakar undang-undang dalam proses persiapan prosiding kehakiman terhadap kepimpinan Korea Utara atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ahli Suruhanjaya Siasatannya, Marzuki Darusman, membuat gesaan itu dengan berkata Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menangani akauntabiliti Korea Utara ekoran situasi berlaku dengan kaitan terhadap pemimpin negara itu.

“Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu memikirkan pelantikan kumpulam pakar bebas bagi tujuan itu,” katanya kepada sebuah panel diadakan di luar forum di sini, dipetik Reuters.

Katanya, gesaan itu dibuat berikutan pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang dan pengkritik pemerintahan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Malaysia, pada Februari lalu.

Korea UtaraSebuah suruhanjaya siasatan PBB dalam apa dilapor pada 2014 yang dikeluarkan selepas ia mengadakan temubual dan pendengaran awam dengan mereka berpaling tadah menyenaraikan pelanggaran besar di Korea Utara termasuk kem penjara besar, kebuluran dan hukuman mati yang menurutnya patut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC ).

Laporan pada 2014 itu yang ditolak Pyongyang menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin secara peribadi bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Pakar berharap sebuah tribunal ‘ad hoc’ ke atas Korea Utara boleh ditubuhkan suatu hari nanti kerana China dijangka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang langkah dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengheret sekutunya itu ke ICC.

“Pembunuhan Kim Jong-nam patut menjadi satu pembuka mata,” kata Lee Jung-Hoon, duta Korea Selatan tentang hak asasi manusia Korea Utara, di sesi itu.

Beliau berpandangan, pembunuhan itu membuat khalayak umum dapat melihat sendiri buat pertama kalinya “apakah jenis rejim yang kita benar-benar hadapi”.

“Jika Korea Utara boleh melakukan ini kepada abang Kim, kepada bapa saudara Kim (Jang Song Thaek yang dibunuh, pada 2013) serta semua penyingkiran elit kiri dan kanan, dapatkah anda bayangkan apa bentuk kehidupannya jika anda seorang banduan dalam kem penjara Korea Utara dengan jumlahnya lebih dari 100,000 orang?” katanya.

Hakim Australia Michael Kirby yang mempengerusikan siasatan itu pada 2014 berkata, kenyataan saksi akan digunakan apabila sebuah tribunal dan pendakwa dilantik.

-NFN-

Categories
NASIONAL

‘PBB, bukalah mata terhadap kezaliman Israel’

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LUMPUR, 7 OKT: 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kezaliman rejim Israel menahan 13 aktivis dalam misi ‘Women’s Boat To Gaza’.

Desakan itu disuarakan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada koordinator khas perwakilan PBB, Juanita Joseph di Wisma UN, di sini, hari ini.

Presiden Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, rakyat Malaysia terutamanya sudah bosan dan kecewa terhadap apa yang dilakukan Israel.

“Walaupun dimaklumkan sudah ada pembebasan, kami tetap menekankan PBB supaya perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan tidak perlu berulang lagi.

“Penakutnya rejim Israel apabila menahan 13 wanita tidak bersenjata yang membawa misi keamanan dikatakan boleh menjadi ancaman besar kepada mereka,” katanya.

img_2901Pada masa sama, Raja Ahmad berkata, maklum balas diberi wakil PBB ketika sesi penyerahan memorandum juga agak mengecewakan dan tidak jelas.

“Mereka juga masih tidak dapat memberikan jawapan tuntas kerana mereka sendiri tidak menerima maklumat jelas berkenaan penahanan itu.

“Kelemahan inilah yang ada pada PBB yang tidak mampu menjamin sesuatu informasi itu sendiri, jadi bagaimana mereka ingin mewakili dunia dalam menyelesaikan isu seperti ini,” katanya.

Katanya, penahanan terhadap 13 aktivis antarabangsa itu juga boleh dijadikan hujah puak terlibat dalam keganasan seperti IS atau Daesh untuk meneruskan aktiviti tidak berperikemanusiaan.

“Ia dibimbangi dijadikan hujah bagi mereka untuk menarik simpati pihak tertentu bahawa Israel perlu ditentang melalui cara tidak bermoral,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Doktor Malaysia dari Selangor antara 17 pemimpin muda PBB

KUALA LUMPUR 21 SEPT: Warga Malaysia yang berbakat terus melakar kecemerlangan di hall of fame antarabangsa selepas Mohd Lutfi Fadil Lokman dipilih oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertai 16 warga global yang lain sebagai pemimpin muda PBB bagi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).

Doktor perubatan berusia 29 tahun dari Gombak, Selangor itu dipilih dari kalangan 18,000 pencalonan dari 186 negara berdasarkan inisiatif beliau, Hospital Merentasi Sempadan (HBB) dan selepas penilaian menyeluruh oleh sebuah jawatankuasa pemilihan peringkat tinggi, terdiri daripada wakil dari kerajaan, PBB, masyarakat sivil dan sektor swasta.

“Saya berasa sangat bertuah dan bangga dengan pemilihan ini dan saya masih terkejut dengan penghormatan ini apabila dimaklumkan (mengenai pemilihan) saya sebulan yang lalu. Tetapi pada masa yang sama, saya sedar bahawa dipilih oleh PBB juga bermakna saya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk melaksanakan 17 SDG.

“Saya menaruh harapan untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan, badan-badan PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi memastikan semua SDGs ini tercapai,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas perasmian Social Good Summit 2016 di New York, malam Isnin.
Acara tahunan itu yang diadakan semasa minggu Perhimpunan Agung PBB (UNGA)merupakan persidangan dua hari untuk mengkaji impak teknologi dan media baharu ke atas inisiatif sosial murni di seluruh dunia.

Pada 1 Januari tahun ini, 17 SDGs daripada Agenda Pembangunan Lestari 2030, yang diterima pakai oleh pemimpin dunia pada September 2015 pada Sidang Kemuncak PBB yang bersejarah, berkuatkuasa secara rasmi.

dradfsfggty-transformedMohd Lutfi Fadil yang berkongsi impian untuk menubuhkan sebuah persatuan sukarela yang memberi tumpuan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang mapan dalam komuniti, berkata usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Mercy Malaysia, Doctors Without Borders dan NGO yang lain sentiasa memberi inspirasi kepadanya.

“Ia bermula apabila saya ialah pelajar perubatan semester empat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan dimasukkan ke hospital kerana kecederaan serius di kepala.

“Cecair otak mengalir keluar dari salah satu telinga dan gendang telinga saya rosak, menjejaskan keseimbangan dan keupayaan untuk berjalan.

“Saya berjanji jika Tuhan menyembuhkan keadaan saya, saya akan meneruskan impian dan usaha untuk membantu masyarakat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang mapan. Saya bersyukur kerana doa saya dikabulkan Tuhan dan pada 2012, HBB diwujudkan dan diasaskan bersama oleh sahabat saya, Dr. Wan Abdul Hannan,” katanya.

Menurut beliau, banyak NGO yang berusaha dalam sektor penjagaan kesihatan dan kemanusiaan tetapi kebanyakannya tidak berkekalan. Idea HBB ialah untuk membina klinik dan hospital yang mampu menampung dan memperkasakan komuniti di kawasan itu untuk menjalankan kerja-kerja sosial.

Doktor kelahiran Gombak itu berkata usaha pertubuhan sukarela itu bermula dengan memberi perkhidmatan perubatan dan khidmat nasihat kepada masyarakat luar bandar melalui klinik bergerak.

“Tetapi pada Jun 2015, kami telah menubuhkan sebuah klinik di Kemboja, dengan memberi tumpuan untuk membantu masyarakat Islam, orang Cham. Kami merekrut dua doktor perubatan dari Kementerian Kesihatan Kemboja untuk berkhidmat sepenuh masa dengan HBB.

“Pada masa yang sama, dengan menggunakan kepakaran perubatan kami, kami melatih komuniti tempatan di sana untuk bekerja sebagai pekerja kesihatan atau pembantu perubatan dan tugas mereka adalah untuk menemui masyarakat dan memberi bantuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, HBB akan menghantar beberapa doktor perubatan dari Malaysia ke Kemboja untuk menganjurkan latihan untuk doktor di sana, terutama tentang cara menggunakan peralatan hospital.

“Selain dua sepenuh masa, ada dua jururawat sepenuh masa dan seorang juruteknik makmal yang mengendalikan klinik HBB di Kemboja,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai rancangannya akan datang, Mohd Lutfi Fadil teruja untuk berkongsi berita mengenai pembukaan hospital bersalin HBB di Kemboja, yang dijangka beroperasi menjelang Januari depan selepas siap pada Ogos tahun ini.

“Kami menggunakan keuntungan yang dijana dari klinik untuk memberi subsidi bagi rawatan kepada pesakit kurang berkemampuan dan membina lebih banyak kemudahan perubatan.

“Contoh kemudahan perubatan yang kami bina ialah hospital bersalin yang dijangka beroperasi pada Januari 2017. Sekali lagi, matlamat kami ialah untuk merealisasikannya di negara itu melalui pemindahan ilmu antara Malaysia dan Kemboja,” katanya.

Menurut beliau, jurang perbezaan ekonomi adalah besar di Kemboja dan ini boleh dilihat dalam ketersediaan peralatan hospital atau jentera yang hanya dterdapat di hospital-hospital utama di bandar tetapi tidak ada di kawasan yang didiami oleh komuniti miskin.

“Kami bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kemboja dan NGO tempatan di negara itu. Kerajaan (Kemboja) menyokong misi kami kerana negara itu amat miskin dan mereka tidak dapat menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua komuniti.

Saya suka melakukannya. Ia menjadikan saya dan pasukan saya menghargai perbezaan antara kedua-dua negara dan ia membantu untuk menimba ilmu yang lebih luas dalam perspektif perubatan,” katanya.

Dan nasihatnya kepada golongan belia Malaysia ialah: Jika anda mempunyai impian atau sesuatu yang membara dalam hati, lakukannya semasa anda masih muda.

Kerana permulaan adalah paling sukar. Jadi, jika anda mempunyai apa-apa impian, lakukannya. –

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida: PBB-OIC mesti tangani konflik negara Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin diberi peluang berucap di Simposium Budaya dan Diplomasi Negara-Negara Arab oleh Institute for Cultural Diplomacy, bermula 25 Julai hingga 30 Julai lalu.

Beliau satu-satunya panel wanita dalam kalangan delegasi Asia Tenggara diundang menghadiri simposium berkaitan kajian budaya di seluruh dunia yang digerakkan sebuah pertubuhan aktif di Jerman.

Ahli Parlimen Ampang itu dalam ucapatamanya memberi penumpuan terhadap isu keganasan dan peranan yang perlu dimainkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani konflik perang melibatkan negara Islam.

IMG-20160731-WA0023“Memandangkan penganut Islam mulaj berkembang di Asia Tenggara dan Malaysia adalah antara salah satu daripadanya, maka sudah tiba masa bagi negara Asia Tenggara untuk mengambil bahagian aktif bagi memberi pandangan dan cadangan mengenai krisis ini.

“Kita harapkan konflik pertelagahan negara Arab dapat diselesaikan dan kembali bersatu serta maju dalam mengangkat martabat agama dan masyarakat Islam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Zuraida turut memberi tumpuan kepada isu pemahaman khususnya masyarakat bukan Islam terhadap kecelaruan pengertian kesucian Islam yang kini disalah tafsir sesetengah pihak.

“Hentikan segala salah faham dan buruk sangka yang membawa kepada persepsi negatif agama Islam, kerana Islam itu sebenarnya adalah ajaran yang berlandaskan keamanan,” katanya.

Simposium itu insiatif ke arah perbincangan secara formal yang memberi tumpuan terhadap isu sedang berlaku di negara Arab.

Matlamat penganjurannya dibuat bagi memberi pencerahan kepada negara luar untuk mendalami pengertian dan pemahaman ajaran Islam sebenar.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PBB: Bebaskan Anwar segera

Kuala Lumpur – Hari ini, barisan peguam Anwar Ibrahim mengeluarkan Pendapat No. 22/2015 oleh Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (UN Working Group on Arbitrary Detention)(UNWGAD), yang sebulat suara mendapati Anwar dipenjarakan secara haram, dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari mengeluarkan pendapat berikut: Pemenjaraan Saudara (Anwar) Ibrahim adalah arbitrari. . . mengambil kira semua hal dalam kes tersebut, Kumpulan Kerja ini berpendapat bahawa jalan untuk membetulkan keadaan adalah untuk membebaskan Saudara (Anwar) Ibrahim dengan serta merta, dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas oleh kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan.

“Saya amat bersyukur dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu kepada kerajaan Malaysia untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata YB Nurul Izzah Anwar.

Anwar“Pendirian tegas sebegini bersolidariti bersama-sama Datuk Seri Anwar menghantar sebuah mesej yang jelas kepada Perdana Menteri, Najib Razak, dan memastikan kemerosotan hak-hak asasi manusia yang berlaku di bawah kepimpinan beliau tidak diabaikan oleh dunia,” tambah beliau.

Kumpulan Kerja ini merupakan sebuah badan bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, dan pada masa ini terdiri daripada pakar daripada Australia, Benin, Mexico, Korea Selatan dan Ukraine.

Ianya diberikan mandat untuk mempertimbangkan dan mengeluarkan pendapat mengenai kes-kes penahanan arbitrari. Kerajaan Malaysia memegang kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada tahun 2006 hingga 2009, dan 2010 hingga 2013. Kerajaan Malaysia wajib mematuhi dapatan PBB ini serta cadangan yang diberikan.

Datuk Seri Anwar, mantan Ketua Pembangkang dan seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dipenjarakan kerana beliau mencabar hegemoni politik UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak.

A2 PLACARD Bebas Anwar_1Datuk Seri Anwar memimpin pakatan parti-parti pembangkang pelbagai bangsa dan agama untuk memenangi 52 peratus daripada undi popular di kalangan rakyat Malaysia pada pilihan raya umum pada tahun 2013.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan kesakitan sepanjang penahanan beliau, yang bermula pada Februari 2015, berikutan kecederaan yang dialami pada bahu kanan beliau.

Walaupun beliau memerlukan perhatian dan rawatan perubatan dengan segera, Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai yang merupakan Doktor yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri untuk memantau Anwar, berulangkali menafikan rawatan yang perlu diberikan kepada Anwar, dan yang paling kritikal, rekomendasi menjalani rawatan fisioterapi setiap minggu.

Fisioterapi secara intensif telah dicadangkan semenjak bulan Mac lagi oleh doktor ortopedik yang akan mengurangkan kesakitan dan mengekalkan mobiliti dan kekuatan otot, tetapi telah acapkali ditangguhkan atas arahan Dr Jeyaindran.

Kesannya, kecederaan dan kesakitan yang dialami oleh Anwar meningkat, yang mana Dr Jeyaindran hanya memberikan ubat tahan sakit, bukannya memastikan fisioterapi intensif di hospital buat Anwar.

Oleh kerana campurtangan politik dan gangguan tidak professional oleh Dr Jeyaindran, pilihan untuk rawatan pembedahan untuk Anwar Ibrahim juga amat terhad sekiranya Dr Jeyaindran masih lagi membuat keputusan berkenaan penjagaan sebelum dan selepas pembedahan.

Selain daripada penafian rawatan perubatan termasuk fisioterapi intensif yang diperlukan Datuk Seri Anwar, beliau jua berhadapan dengan halangan-halangan yang lain.

Semenjak dua bulan lepas, akses beliau kepada barisan peguam dihadkan kepada 1 jam seminggu walaupun beliau pada masa ini mempunyai sebanyak 16 kes sivil, jenayah dan syariah yang sedang dijalankan.

Halangan ini merupakan pencabulan terhadap hak-hak asasi beliau seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Ahli-ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia, Kesatuan Parlimen Antarabangsa, Human Rights Watch, Amnesty International, Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FIDH), dan pemimpin dunia seperti bekas Presiden Indonesia BJ Habibie , bekas Turki Presiden Abdullah Gül, dan bekas Naib Presiden Al Gore dari Amerika Syarikat, antara lain, turut menggesa pembebasan beliau tanpa syarat.

Kami juga menggesa supaya Anwar Ibrahim diberi rawatan perubatan mengikut pilihannya – bebas dari sebarang campur tangan politik yang akan menghalang penjagaan sebelum dan pasca pembedahan dan memberikan kesan negatif* terhadap kualiti hidup beliau. Dia mesti dibebaskan segera, selaras dengan penemuan UNWGAD.

Susun gerak kerja terancang melalui PBB, negara asing untuk bebaskan Anwar

Pakatan Rakyat sedang menyusun gerak kerja terancang melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara asing untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Categories
NASIONAL

PBB perlu henti keganasan Israel, hantar delegasi salur bantuan segera

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JULAI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu semua umat islam di negara ini terus membantu masyarakat islam di Palestin, China dan Myanmar yang terbabit dengan keganasan.

Beliau berkata, parti itu memandang serius insiden keganasan, penindasan dan pembunuhan umat islam itu.

“PKR juga berharap dan berdoa semoga umat islam bersatu ketika ini untuk bertindak membela dan melindungi saudara seagama yang lain.

gaza1“PKR juga bimbang terhadap kegagalan negara Arab untuk bersatu melindungi kesejahteraan umat islam serantau,” katanya dalam kenyataan media.

Wan Azizah berkata, PKR juga menggesa PBB bertindak segera menghentikan keganasan Israel di Gaza seterusnya menghantar delegasi ke Gaza untuk membuat tinjauan dan bantuan segera.

Katanya, PKR juga menggesa pemerintah Mesir sentiasa membuka pintu sempadan dan memudahkan urusan petugas bantuan kemanusiaan masuk membantu rakyat yang menjadi mangsa pengeboman Israel.

“Apa yang berlaku di Palestin turut berlaku di China. PKR berasa kesal dengan kejadian yang berlaku terhadap umat islam di Uyghur.

“Begitu juga dengan umat islam Rohingya di Myanmar, ada negara islam sendiri menganggap mereka pelarian dan dilayan sebagai penduduk kelas ketiga. Oleh itu, umat islam tidak harus berdiam diri apabila keganasan terus berlaku di negara itu,” katanya.

azizahSejak kejatuhan Presiden Mohamad Morsi, umat islam semakin tertekan kerana laluan masuk di pintu Rafah yang membolehkan bantuan kebajikan disampaikan tersekat apabila Mesir menutup laluan itu.

Banyak kediaman dan bangunan juga musnah akibat pengeboman tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan menjadikan angka korban meningkat setiap hari.

Semalam, pintu Rafah dibuka atas desakan PBB, namun ramai pihak menggesa supaya tentera pengaman PBB ditempatkan di situ supaya dapat memudahkan pengurusan bantuan kemanusiaan.

Di China, selain dinafikan hak berpuasa, masyarakat Uyghur dilaporkan dibunuh dengan kejam dan kaum wanita dirogol, bahkan statistik dikemukakan kepada PBB, tetapi tiada penyiasatan dilakukan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

‘Hantar Pulang Pelarian Uyghur, Bertentangan Prinsip Islam’

khalid samad white pc 03

SHAH ALAM 9 FEB : Tindakan Kerajaan Malaysia menghantar pulang pelarian Uyghur kembali ke negara China baru-baru ini dilihat sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip mempertahankan Islam yang rancak diuar-uarkan kerajaan ketika ini.

Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor, Khalid Samad dalam satu sidang media hari ini mendakwa, tindakan tersebut juga seolah-olah menghantar pelarian yang mengharapkan suaka politik dan pengiktirafan antarabangsa itu untuk dibunuh.

“Hampir pasti mereka ini akan dibunuh kerana mereka didakwa menentang kerajaan komunis di China.

“Sedangkan jika diberi peluang, mereka mungkin mendapatkan suaka politik.

“Penghantaran ini juga bukan pertama kali dilakukan kerajaan Malaysia, dan ini sememangnya mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan media antarabangsa,” tegas Khalid.

Lebih dikesali, Khalid berkata tindakan itu dilakukan sejurus selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Gaza yang galak dicanangkan sebagai pembela Islam sejagat.

“Ini bercanggah dengan dakwaan kononnya Umno ini pejuang Islam yang bersedia untuk membela umat Islam,” jelas Khalid.

Baru-baru ini, Kerajaan Malaysia didakwa menghantar pulang sekurang-kurangnya tiga orang pelarian Uyghur yang mengharapkan suaka politik di Malaysia.

Sebelum ini, pada Ogos 2011, Kerajaan juga melakukan tindakan sama dengan menghantar 11 pelarian Uyghur pulang ke China.

Sejak rusuhan di Urumqi, China pada tahun 2009, Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur, penindasan terhadap Uyghur oleh Kerajaan China dikatakan menjadi bertambah buruk.

Atas sebab itu, bilangan Uyghurs yang melarikan diri ke negara-negara asing, terutamanya di kalangan negara-negara Asia dilihat semakin meningkat.

Kebanyakan daripada pelarian Uyghur bertindak untuk memohon suaka politik di negara-negara Asia sehingga mereka diterima Amerika atau negara-negara Eropah lain selepas mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Categories
NASIONAL

Himpunan 16 Mac, Bantah Kezaliman Di Syria

SHAH ALAM,13 MAC : Gabungan Selamatkan Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad.

Menurut gabungan itu yang mewakili lebih 21 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kenyataan medianya berkata kekejaman mereka lebih terserlah apabila mereka mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Fakta kekejaman rejim Bashar terhadap rakyat di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang rakyat, seramai 39,000 orang awam cedera dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa.

Hal ini berlaku hanya kerana rakyat menuntut kebebasan, keadilan, keamanan, demokrasi dan hak asasi.

Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan (Rakyat menuntut kerajaan turun) di dinding, telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim.

Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan. Namun rejim membalas dengan peluru.

Kini, setelah hampir 12 bulan, penunjuk perasaan terus berjuang siang dan malam membela diri daripada kekejaman. Rejim Bashar al-Assad yang kejam telah menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya seperti penggunaan kereta kebal, senjata-senjata berat dan memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah dan masjid.

Perkara ini telah menarik perhatian dunia sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil inisiatif mengutuk kekejaman rejim Bashar al-Assad yang tidak lagi dapat diselindungi.

Namun, pada 6 Februari 2012 kerajaan Russia dan China bertindak menggunakan kuasa veto masing-masing menghalang satu resolusi Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan mengutuk tindakan keras kerajaan Syria terhadap rakyatnya.

Dengan penggunaan kuasa veto mereka, Russia dan China sedang bersekongkol dengan sebuah rejim yang zalim di Syria. Kedua-dua negara Majlis Keselamatan PBB ini mestilah bersikap adil dan membela mereka yang ditindas oleh regim zalim Bashar al-Assad.

Menurut Gabungan Selamatkan Syria itu lagi, utusan baru PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung PBB turut menggesa usaha antarabangsa secara sepadu untuk menghentikan keganasan di Syria.

“Dunia tidak harus membiarkan rakyat Syria terus ditindas dan dizalimi oleh Bashar al-Assad. Semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama harus bangkit bagi menyatakan tentangan kepada Bashar al-Assad dan sokongan kepada perjuangan rakyat Syria.

Atas dasar itu, satu Gabungan Selamatkan Syria telah diusahakan di Malaysia untuk memobilisasi rakyat menunjukkan solidariti bersama-sama rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar al-Assad,” katanya.

Gabungan ini terdiri daripada NGO pelbagai lapisan kaum dan agama yang bersatu hati bersama rakyat Syria menuntut kebebasan dan keamanan.

Gabungan Selamatakan Syria menuntut Bashar al-Assad menghentikan kezaliman dan pembunuhan rakyat Syria dengan serta merta ,Bashar al-Assad hendaklah berundur dengan serta-merta dan Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian mengutuk kezaliman Bashar al-Assad dan memanggil balik Duta Malaysia di Syria.

“Dengan ini juga diumumkan bahawa satu perhimpunan rakyat akan diadakan pada hari Jumaat, 16 Mac 2012 jam 2.45 petang di Kedutaan Syria, Jalan U-thant, Ampang, Kuala Lumpur. Memorandum rakyat Malaysia yang diwakili oleh Gabungan Selamatkan Syria akan diserahkan kepada Kedutaan Syria.

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, kaum atau budaya dianjurkan untuk bersama-sama perhimpunan rakyat tersebut. Bagi umat Islam mereka boleh solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau Masjid Asy-Syakirin, KLCC dan terus bersama ke Kedutaan Syria selepas solat.” katanya.