Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor pelancongan terus dibantu, peruntuk lebih RM2.5 juta

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Selangor meneruskan bantuan kepada sektor pelancongan negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana terbabit sebagai usaha membantu kelangsungan industri berkenaan yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri bersetuju memberi geran bantuan aktiviti pelancongan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar (one-off) kepada persatuan pelancongan negeri.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.55 juta,” katanya ketika membentangkan pakej bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

November tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000.

Kerajaan Negeri turut melancarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu pada penghujung tahun lalu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac ini hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bazar, kampung budaya tarikan baharu Sungai Klang

KLANG, 24 MAC: Beberapa projek pembangunan pelancongan berdampak tinggi akan dilaksana di Sungai Klang tahun ini bagi memajukan zon ekonomi maritim Selangor.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin berkata inisiatif melalui Gerbang Maritim Selangor (SMG) meliputi bazar dan perkampungan budaya.

Menurutnya, projek rintis ladang urban organik di tepian sungai juga akan diperkenal dan dimasukkan dalam fokus usahawan agro Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Projek berkaitan diyakini meningkatkan lagi nilai Sungai Klang dan memajukan kedudukan maritim yang akan menarik minat pelabur untuk menjadi sebahagian daripada masa depan Selangor,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas melawat Taman Awam Pangkalan Batu di sini semalam berkata kawasan seluas 13,000 meter persegi itu dinaik taraf bagi mewujudkan ruang awam yang lebih terbuka.

Syaiful menjelaskan taman berkenaan turut dilengkapi lokasi permainan interaktif bertemakan lanun yang mampu merangsang imaginasi kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat sebuah pusat pendidikan tanah lembab (educational wetland) bagi menunjukkan bagaimana air sungai boleh dipulih secara semula jadi dan organik,” katanya.

Dalam pada itu, Syaiful memaklumkan perkhidmatan teksi sungai SMG akan dilancarkan dalam masa terdekat dan jeti Pangkalan Batu bakal menjadi stesen utama kemudahan tersebut.

Menurutnya, taman Mangrove Point iaitu taman alam semula jadi pertama di negara ini juga bakal dibuka hujung tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

13 SOP diperkenal rancakkan sektor pelancongan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menetapkan 13 tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat dilaksanakan dalam norma baharu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Nancy Shukri berkata SOP berkenaan dibentuk bagi membantu penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam situasi pandemik Covid-19.

“SOP ini akan menjadi panduan kepada orang ramai serta penggiat industri bagi merancakkan sektor tersebut semasa pandemik ini.

“Penyediaan SOP ini melibatkan sesi libat urus antara Motac dengan pemain industri berkaitan pelancongan seperti hotel, taman tema dan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan  semalam.

Beliau berkata meskipun sektor tersebut antara yang terjejas teruk sepanjang tempoh Covid-19 melanda negara, Motac tetap komited melipatgandakan usaha bagi memastikan industri itu terus bertahan dan pulih dengan segera seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan bersasar mampu bantu industri pulih berperingkat

MELAKA, 10 MAC: Kebenaran aktiviti pelancongan rentas antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, dijangka mampu memulihkan kembali sektor berkenaan secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka Goh Hock Gin berkata beliau yakin langkah itu mampu mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata keputusan itu sekurang-kurangnya merupakan permulaan baik yang dilaksanakan kerajaan yang disifatkannya bukan sahaja boleh mengawal pergerakan pelancong, malah mampu membantu mengesan pelancong terlibat sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan mereka.

“Pemain industri dan pelancong perlu akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira tentang penularan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada jangkitan baharu melibatkan kluster pelancongan sekali gus menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya penduduk dari negeri PKPP yang ingin melancong ke Melaka boleh mendapatkan khidmat ejen pelancongan di bawah Matta yang kesemuanya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Goh berkata sehingga hari ini, 80 ejen pelancongan berdaftar di bawah Matta Melaka serta MOTAC, dan pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan kepada pelancong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancong Melaka, Madelina W.L Kuah berkata syarat yang dikenakan kepada pelancong dari negeri PKPP yang ingin melancong ke negeri PKPP lain dilihat agak membebankan terutama dari segi kos kerana mereka perlu melancong menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Beliau berkata selain itu, pergerakan pelancong juga agak terhad berbanding sekiranya mereka dibenarkan melancong dengan menaiki kenderaan sendiri.

“Pelancong yang menggunakan khidmat ejen perlu menaiki bas persiaran atau kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC selain mengikut jadual perjalanan serta tempat pelancongan yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP mulai hari ini walaupun Kedah masih di bawah PKPB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan antara negeri PKPP dengan agensi berdaftar dibenarkan

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun aktiviti tersebut tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Ia juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan. Pelancongan dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu katanya, pergerakan kenderaan dari agensi pelancongan itu juga, perlu mendapat kebenaran dari pihak polis.

Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintasi negeri tersebut.

Selain itu, lokasi penginapan dan premis pelancongan juga perlu mendapat kelulusan dari MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi sebagai zon PKPP mulai esok walaupun negeri Kedah masih di bawah PKPB.

Ini kerana tiada pertambahan kes Covid-19 kawasan itu dan ia telah bertukar kepada zon hijau.

“Kes Covid-19 terakhir dilaporkan pada 20 Februari lalu dengan dua kes. Maka, Gelembung Pelancongan Bersasar juga terpakai untuk Pulau Langkawi,” katanya.

Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut mengenai SOP keputusan terbaharu tersebut boleh merujuk MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terjejas teruk, penggiat pelancongan rayu bantuan kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) meminta kerajaan memanjangkan bantuan sedia ada dan yang baharu kepada penggiat industri pelancongan bagi membantu industri itu yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Presidennya Harun Kc Ahmmu berkata antaranya ialah melanjutkan subsidi upah dan moratorium bayaran pinjaman balik sehingga Disember 2021 bagi memastikan syarikat pelancongan dapat beroperasi setakat termampu.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga memohon disediakan pinjaman khas tanpa faedah dengan jangka masa bayaran balik lima tahun daripada pengisytiharan tamatnya wabak Covid-19 dan pengecualian bayaran lesen-lesen berkaitan pelancongan bagi 2021.

“Kami juga memohon pengecualian sewa hingga Jun bagi premis perniagaan milik kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Segala kursus wajib kepada semua agensi pelancongan seperti kursus pembaharuan lesen juga perlu dibatalkan sebagai satu daripada bantuan sokongan dan mengurangkan beban kewangan syarikat agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harun turut mencadangkan supaya pembaharuan permit van dan bas persiaran atau pelancongan dikecualikan dan tidak mengenakan sebarang caj terhadap proses pembaharuan permit sehingga sektor pelancongan kembali beroperasi.

Beliau berkata bantuan bersasar seperti yang diperincikan itu amat diperlukan untuk mempertahankan syarikat pelancongan menghadapi keadaan sukar ini.

“Semoga kerajaan dapat memberi perhatian khusus kepada semua pengiat industri pelancongan yang terkesan dengan ketaranya akibat pandemik Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Langkah proaktif diperlukan selamatkan industri pelancongan – Matta

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan untuk proaktif dan merangka pelan menyelamat bersasar dan dipertingkat bagi ejen pelancongan dan pengembaraan susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan unjuran suram industri pelancongan tahun ini.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata perniagaan pelancongan ketika ini berada dalam keadaan tertekan akibat persekitaran perniagaan sangat rapuh dan tidak menentu yang dijangkakan berterusan sehingga lewat 2021.

“Ejen pelancongan dan pengembaraan bergelut dengan penurunan pendapatan dan masalah mudah tunai sejak bermulanya pandemik Covid-19 dan usaha kerajaan tidak membawa sebarang impak ketara pada segmen industri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata ejen pelancongan dan pengembaraan penting kepada ekonomi Malaysia memandangkan majoriti daripada perniagaan ini memberi sumbangan besar kepada kemasukan pengembara ke Malaysia untuk melancong atau urusan perniagaan.

Katanya banyak agensi menyediakan perkhidmatan logistik penting serta mengekalkan bas-bas mereka serta kenderaan pelancongan lain yang penting bagi infrastruktur pelancongan negara ini.

“Pelancongan memainkan peranan penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan merupakan penyumbang ketiga terbesar pada tahun-tahun sebelumnya,” kata Tan.

Matta turut menggesa perniagaan pelancongan untuk bersatu dan bergabung. Menurut Tan, lebih 5,000 syarikat pelancongan ketika ini berada dalam keadaan yang sangat getir dan kerajaan perlu memulakan program pemulihan kerana keadaan akan bertambah buruk.

Katanya, membenarkan ejen pelancongan menutup premis perniagaan dan beroperasi dari rumah dan pembatalan program mandatori Kursus Peningkatan Pelancongan dan Pengembaraan (TTEC) bagi syarikat pelancongan adalah sokongan yang baik kepada mereka.

Tan berkata ia kini bukan lagi ‘perniagaan berjalan seperti biasa’ akibat pandemik Covid-19 dan Mattta menggesa pelbagai agensi kerajaan membuat perubahan dasar dengan segera bagi mengurangkan beban kewangan industri yang paling terjejas teruk di Malaysia itu.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Kembali bangkit, kukuhkan industri pelancongan negara

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tiada siapa menyangka ‘serangan’ pandemik Covid-19 yang bermula sekitar Disember 2019 turut membawa kepada ‘kelumpuhan’ industri pelancongan kebanyakan negara termasuklah Malaysia.

Industri pelancongan yang merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion pada 2019.

Pada tahun lepas juga, perbelanjaan pelancong asing turut meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.1 billion dengan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang, manakala perbelanjaan pelancongan domestik telah menyumbang sebanyak RM103.2 billion, iaitu peningkatan sebanyak 11.5 peratus.

Krisis Covid-19 mengakibatkan kebanyakan negara termasuk Malaysia sendiri terpaksa mengambil langkah menutup pintu sempadan negara bagi tujuan mengekang penularan pandemik.

Dengan anggaran jumlah kerugian industri pelancongan negara pada tahun ini adalah melebihi RM100 bilion, situasi ini pastinya tempoh paling sukar dan mencabar terutama kepada pemain industri yang terlibat.

Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun.

Pulihkan Kembali Industri Pelancongan

Langkah-langkah proaktif perlu dilaksanakan segera apabila kerajaan melancarkan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 pada 23 Disember lepas yang bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan dasar berkenaan secara dalam talian berkata, matlamat itu akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.

Pengunjung kelihatan berswafoto semasa matahari terbenam di Pantai Chenang, antara lokasi wajib singgah sekiranya bercuti ke Langkawi. Foto: BERNAMA

Menyifatkan DPN sebagai inisiatif terbaik bagi memulihkan semula industri pelancongan negara secara dinamik dan strategik, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Sherene Azli berkata masa depan industri pelancongan serta pelancongan kesihatan negara diharap akan lebih terjamin selepas ini.

Beliau berkata Malaysia akan terus menjadi destinasi pelancongan utama di peringkat global seiring usaha MHTC memperkasakan imej Malaysia sebagai World’s Healthcare Marvel dan mencapai unjuran pelancongan kesihatan sekurangnya sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022.

“MHTC akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memastikan Malaysia sentiasa menjadi pilihan bagi destinasi pelancongan kesihatan yang selamat dan didukung tatacara operasi piawai (SOP) demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelancong yang datang,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Berpendapat cadangan kerajaan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan dengan menerapkan nilai penjagaan kesihatan mampu meningkatkan ruang menjana pendapatan yang progresif kepada negara, beliau berkata destinasi pelancongan yang merangkumi aspek rawatan kesihatan dan kesejahteraan berpotensi menjadi sebahagian daripada destinasi eko-pelancongan secara holistik.

“Ini termasuklah penjagaan warga tua sebagai suatu perkhidmatan yang berbeza yang belum berkembang luas. Perkhidmatan ini sesuai untuk dijadikan sebagai segmen destinasi pelancongan jangka pendek atau panjang kerana lengkap dengan perkhidmatan dan kemudahan perubatan,” jelasnya.

Pelan Tiga Inisiatif

MHTC sentiasa mempelbagaikan usaha bagi merancakkan kembali sektor pelancongan kesihatan ketika fasa Covid-19 antaranya dengan mengadakan sesi perbincangan berterusan dengan pihak kerajaan, pemimpin industri dari sektor awam dan swasta serta ahli-ahli hospital MHTC untuk merancang aktiviti dalam menghadapi cabaran semasa.

“Kaedah yang telah dikenalpasti ialah dengan meningkatkan penggunaan perkhidmatan digital untuk menaik taraf cara penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Potensi platform digital perlu dimaksimakan menerusi kerjasama erat dengan ahli-ahli hospital MHTC untuk melaksanakan perkhidmatan seperti telehealth yang membolehkan komunikasi secara terus dengan pesakit untuk kesinambungan rawatan,” katanya.

Berkongsi perancangan MHTC untuk tempoh lima tahun akan datang, Sherene berkata pihaknya akan melaksanakan sebuah pelan dengan tiga inisiatif yang memberi fokus membangunkan Malaysia sebagai World’s Healthcare Marvel dan membina sebuah platform kukuh untuk menganjurkan kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia apabila tiba masa yang sesuai.

“MHTC turut bercadang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Hab Kesuburan dan Kardiologi Asia serta Pusat Kecemerlangan Onkologi di samping memajukan hospital-hospital terpilih di bawah program Flagship Medical Tourism Hospital yang akan menjadi mercu tanda antarabangsa untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti bertaraf dunia,” katanya.

Wujud Strategi Baharu

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang pula melihat wujudnya keperluan untuk mencipta strategi pelancongan baharu bagi memenuhi permintaan pelancongan berikutan tuntutan keadaan semasa.

Beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan ialah isu keselamatan dan kesihatan dalam mengenalpasti situasi semasa secara menyeluruh selain ketidakpastian pembukaan semula sempadan negara dalam tempoh terdekat.

“Antara lain yang perlu diberi perhatian untuk tempoh akan datang ialah strategi pemasaran destinasi pelancongan, penjenamaan destinasi, digitalisasi, pengembangan produk dan infrastruktur, corak dan pilihan perjalanan, jaminan kesihatan dan keselamatan, pakej percutian dan insentif permintaan perjalanan yang tertangguh bagi dalam dan luar negara,” katanya.

Tambahnya, bagi digitalisasi, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan penglibatan pelbagai pihak yang berkepentingan untuk tujuan pengembangan aset dan produk pelancongan.

“Untuk segmen domestik, kami mempunyai kemampuan sewajarnya namun berharap agar kerajaan akan meneliti dan mendorong penggunaan platform tempatan dan memberi lebih banyak peluang berbanding bergantung pada platform asing. Kami sudah dilengkapi dengan instrumen yang tepat untuk memulakan strategi dengan cara tersendiri.

“MATTA sebelum ini telah memperkenalkan inisiatif pameran MATTA Fair secara dalam talian bagi tujuan memenuhi kehendak pelancong Malaysia yang mencari percutian menarik seperti pengembaraan unik atau percutian keluarga melalui lebih 1,000 pakej percutian dan pelancongan menarik yang ditawarkan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan peruntukan Belanjawan 2021 bagi industri pelancongan digunakan untuk komponen penting industri itu sebagai contoh meningkatkan kualiti hubungan udara, mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat, memperbaiki sistem kesihatan dan polisi insurans dalam negara serta menyediakan insentif bagi pelabur asing untuk membantu mempromosi Malaysia.

Promosi Kampung Budaya, Bangunan Ikonik

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berharap kerjasama antara pemain industri pelancongan dengan pengusaha produk Kampung Budaya di seluruh negara terus diperkukuh bagi mempromosi, meningkatkan keyakinan pelancong terhadap produk tempatan sekaligus memantapkan industri pelancongan domestik.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, peruntukan sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada MOTAC bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat aktiviti promosi produk Kampung Budaya terutama di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Kerjasama pelbagai pihak dapat membantu pengusaha produk Kampung Budaya supaya lebih fokus menyediakan pelbagai program pelancongan menarik… Jika kita pernah pergi ke Bali, Indonesia, kita dapat lihat betapa berbangganya penduduk tempatan dan pemain industri di sana mempromosi adat kebudayaan mereka contohnya Tarian Pandet, namun kita di sini agak kurang mempromosi adat tradisi kita sendiri.

“Usaha mempromosi bangunan bersejarah dan ikonik seperti Carcosa Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan pelbagai lagi perlu digerakkan biarpun ketika ini jutaan bakal pelancong masih lagi ‘terkandas’ namun berhajat mengunjungi Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang buka sempadan, tingkat pelancongan

KUCHING, 27 DIS: Kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kini, kami di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan Zon Hijau,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

Nancy berkata beliau menerima banyak permintaan daripada pemain industri pelancongan tempatan untuk mempertimbangkan perkara itu bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan bahawa kebenaran itu diberikan untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada gelembung perjalanan zon hijau membantu meningkatkan sektor pelancongan, Nancy berkata: “Ya, malah bilik di hotel-hotel seperti Langkawi telah penuh ditempah. Jadi, ia merupakan inisiatif yang bagus khususnya untuk sektor pelancongan.”

Sementara itu, Nancy turut menggesa pelancong dari zon hijau yang mengembara ke tempat lain supaya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) terutamanya dalam mengekalkan penjarakan fizikal ketika bercuti.

“Kita tidak mahu kes Covid-19 semakin meningkat apabila kerajaan meluluskan gelembung perjalanan zon hijau kerana akhirnya ia akan memberi kesan terhadap ekonomi khususnya sektor pelancongan di negara kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB yakin mampu lonjak semula sektor pelancongan negeri

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri yakin sektor pelancongan di Selangor yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 mampu melonjak semula.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kepelbagaian lokasi unik yang terdapat di negeri ini mendorong kemasukan pelancong.

“Selangor memiliki pelbagai tempat unik dan menarik untuk dikunjungi ramai seperti yang dipaparkan oleh statistik 2019.

“Justeru, Kerajaan Negeri mempunyai keyakinan tinggi melonjakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19,” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau berkata Tourism Selangor melancarkan Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi menggalak rakyat melancong ke pelbagai destinasi menarik di negeri ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga melaksanakan program penebusan subsidi baucar pelancongan bernilai RM200 setiap seorang sebagai insentif.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan Selangor merekodkan jumlah kedatangan pelawat domestik paling tinggi di Malaysia iaitu 33.6 juta orang pada tahun lepas.

Menurutnya, laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2019 menunjukkan negeri ini mengatasi Kuala Lumpur (22.6 juta pelawat), Sabah (22 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Aktiviti pelancongan tempat terbuka dibenar operasi, patuhi SOP

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka beroperasi semula dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu dipersetujui selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mencadangkan pembukaan aktiviti seperti Zoo Negara dan Legoland semalam.

“Bagaimanapun, Motac diminta untuk membentangkan SOP terperinci setelah berbincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya menerima cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung aktiviti sukan terutama membabitkan sukan luar.

Menurutnya, kementerian berkaitan juga diminta untuk membentangkan SOP terperinci selepas berbincang dengan KKM dan MKN.

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Selangor unik, tawar banyak lokasi menarik

SHAH ALAM, 15 DIS: Hulu Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik dan unik berbanding kawasan pelancongan lain, menurut Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata antara lokasi menjadi tumpuan adalah Perigi Tujuh Serendah yang merupakan tapak warisan bersejarah di daerah itu.

“Selain tapak warisan bersejarah, daerah ini juga terkenal dengan aktiviti sukan lasak seperti mendaki, rakit redah jeram, berbasikal dan luncur udara di Kuala Kubu Bharu Paragliding Park, Kawasan Tapak Jejak Warisan dan Street Art,” katanya dalam kenyataan.

Pada 12 Disember lalu, MDHS menerima lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri ke daerah itu bagi meninjau potensi pembangunan aktiviti pelancongan.

Dr Mohd Azhar berkata, pihaknya berharap menerusi lawatan kerja tersebut dapat membantu pihak berkuasa tempatan itu memaju dan memperkenalkan lokasi pelancongan di Hulu Selangor.

“MDHS amat berbesar hati dengan kehadiran Yang Berhormat menteri dan diharap membantu pihak kami untuk memajukan industri ekopelancongan sekali gus meningkatkan bilangan pelancong,” katanya.

Menerusi lawatan itu Nancy berkata Perigi Tujuh Serendah antara 11 butiran di Selangor yang diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam kenyataan Ahad lalu.