Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada istilah perdana menteri sementara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JAN: Istilah perdana menteri sementara atau perdana menteri interim bukan sahaja tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, malah mampu memberi kesan negatif terhadap keyakinan pengundi.

Profesor Sains Politik Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, hal ini kerana pengundi di negara ini dipercayai kurang berminat terhadap tawaran bersifat sementara.

“Secara psikologinya pengundi tidak akan mengundi perkara sementara, melainkan berlaku peralihan kuasa. Proses itu sahaja mungkin memakan lebih tiga bulan atau bertahun.

“Apabila kita melantik perdana menteri, kita tidak boleh katakan sementara. Katakanlah Tun Dr Mahathir Mohamad, maka dialah perdana menteri, bukan boleh ditonjolkan kita ada perdana menteri sementara sebagai bahan kempen.

“Apabila Pakatan Harapan menyebut Dr Mahathir sebagai perdana menteri, maka inilah komitmen konsesus itu sebelum pilihan raya termasuk ketika kempen,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Shaharuddin yang juga Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL berkata, perjanjian untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggugat peranan pentadbir tertinggi negara itu.

Katanya, proses mendapatkan pengampunan daripada Yang di-pertuan Agong untuk Anwar juga akan mengambil masa panjang.

Semalam, PAKATAN mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri jika konsesus itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Categories
NASIONAL

Anwar gesa Najib dan Kerajaan tidak bantah permohonan perkenan diraja

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan tidak membantah permohonannya mengembalikan keperluan mandatori mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk membolehkan sesebuah rang undang-undang menjadi akta.

Beliau membuat permohonan itu di Mahkamah Persekutuan pada 2 Januari lalu menggesa pendengaran dapat diadakan secepat mungkin memandangkan kes itu bersifat kepentingan awam.

Katanya, Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka Perlembagaan Negara.

“Saya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan dengan tujuan mengembalikan keperluan mandatori pengembalian keperluan mandatori perkenan diraja ini adalah untuk menjamin keseimbangan perlembagaan di antara pihak kerajaan yang dipilih dan institusi Raja-Raja Melayu yang kita warisi turun-temurun.

“Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa darurat kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dipimpin Barisan Nasional memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut tanpa perkenan diraja.

“Insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti betapa perlunya perkenan diraja dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesebuah rang undang-undang itu menjadi akta. Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Najib tidak peduli hak wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengaburi mata rakyat dengan menjanjikan 30 peratus daripada kerusi senator diberikan kepada wanita, kata Zuraida Kamaruddin.

Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, bagaimanapun Najib seperti tidak bersungguh meletakkan lebih ramai calon wanita dalam pilihanraya ketika berucap pada Persidangan Women in Politics, Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017) baru baru ini.

“Ini merupakan penghinaan kepada wanita dan kegagalan besar buat Malaysia memandangkan negara kita sudah 60 tahun mencapai kemerdekaan, namun masih belum berupaya membabitkan 30 peratus penglibatan wanita dalam politik.

Zuraida berkata, adalah tindakan memalukan apabila Pengerusi Persidangan Women in Politics WIPKL 2017, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjemput pemimpin negara terbabit dalam skandal gergasi 1MDB untuk merasmikan persidangan itu.

Katanya, langkah Shahrizat menimbulkan persoalan daripada delegasi dari 18 negara dan 27 parti politik mengenai integriti dan autoriti wanita membenarkan perkara ini berlaku.

“Tindakan Najib Razak yang begitu kejam terhadap wanita ini sepatutnya menjadi sebab yang amat kukuh untuk semua wanita tidak menerima kehadiran beliau di dalam persidangan yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada persidangan berkenaan, negara yang menghantar delegasi ke persidangan WIPKL 2017 itu adalah Uganda dan Rwanda dengan masing masing mempunyai keterlibatan wanita lebih ramai berbanding Malaysia.

“Malaysia berada di tangga 158 dari seluruh negara di dunia, dengan hanya 23 wanita sebagai ahli parlimen dari 222 kerusi. Fakta ini direkodkan oleh Inter-Parliamentary Union yang diterbitkan pada Oktober lalu.

“Wanita menurut UMNO perlu sentiasa disuruh taat setia, tinggal di rumah, memasak dan menjaga keluarga, jauh sekali untuk terlibat dalam politik.

“Ini kerana wanita yang berani dan tabah akan terus dikecam dan dianggap tidak sesuai untuk memimpin masyarakat. Wanita UMNO tidak mempunyai apa-apa dasar lain demi kelangsungan dan pembangunan wanita,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sampai bila Najib mahu ‘bodohkan’ orang kampung?

OLEH TAN KAR HING

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapannya pada Dialog eUsahawan TN50 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak bercadang memberi subsidi pembangunan internet berkelajuan tinggi di luar bandar.

Dikatakan kawasan di luar bandar tidak mempunyai permintaan tinggi dan tidak wajar sekiranya wang rakyat diambil dan digunakan untuk memberi subsidi.

Perkara ini amat mengecewakan dan saya berpendapat bahawa alasan Najib itu tidak masuk akal kerana dilihat sengaja tidak mahu memberikan penduduk kampung akses kepada internet.

Semua penduduk sewajarnya mendapat kemudahan tambahan supaya mereka juga tahu perkembangan semasa dan keadaan sebenar yang berlaku di dalam negara.

Selain itu, anggapan penduduk luar bandar tidak mampu melanggan perkhidmatan internet perlu ditolak jauh memandangkan mereka perlu berkongsi kemudahan terbabit yang mampu melonjak kekuatan ekonomi di desa.

Saya beranggapan bahawa Najib sendiri tahu internet merupakan medium paling berkesan menyampaikan dan menyebarkan maklumat, jadi beliau takut sekiranya orang kampung mengetahui keadaan sebenar melalui pelbagai sumber yang boleh diperolehi daripada internet seperti blog, portal berita dan media sosial yang melaporkan perkara sebenar tanpa ditapis.

Jangan beranggapan tiada penembusan internet di luar bandar oleh kerana penduduk sendiri yang tidak mahukannya kerana memperkenalkan internet kepada mereka sedikit sebanyak akan menimbulkan keinginan untuk menggunakannya.

Kebimbangan Umno BN dapat dilihat apabila sokongan luar bandar akan beralih arah sekiranya mereka mempunyai akses kepada internet.

Sampai bila Najib Razak ingin memperbodohkan rakyat? Semua rakyat tidak kira di bandar atau desa berhak mempunyai jaringan internet yang sama rata.

* Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai (KEADILAN)

Categories
NASIONAL

”Saya ke China cari Jho Low”

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan lawatan delegasi Selangor ke China bukan bertujuan menjual negeri, sebagaimana dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, Mohamed Azmin secara sinis di Twitter berkata, lawatan Kerajaan Selangor ke negara itu diadakan bagi ‘mencari usahawan’ yang dikaitkan dengan skandal kewangan Najib, Jho Low.

“Wahai Najib Razak, saya ke China mencari Jho Low. Ha ha ha,” tulisnya.

Sebelumnya, Perdana Menteri dalam cadangan pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat menyindir kononnya lawatan Kerajaan Selangor dibuat bertujuan untuk menjual negeri kepada pelabur luar.

Kenyataan sama turut dilemparkan Najib kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang atas lawatan delegasi negeri itu ke Amerika, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menafikan dakwaan itu, Guan Eng berkata, lawatan dibuat atas dasar pelaburan negeri.

“Saya ke China minta pelaburan, bukan macam Najib Razak, bagi USD 4B KWSP. Syukur Pulau Penang nombor 1 dalam pelaburan untuk 6 bulan pertama sebanyak RM7.7B,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, Perdana Menteri mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 yang didakwa bertujuan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat di sini, Najib yang juga menteri kewangan berkata sebanyak RM234.25 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Categories
NASIONAL

Pertemuan Najib umpama menyerah ufti kepada raja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump seperti seorang ketua negeri jajahan menghadap raja untuk mempersembahkan ufti.

Beliau dalam kenyataannya berkata, pertemuan Trump-Najib di White House memalukan rakyat Malaysia kerana ia tidak menggambarkan pertemuan dua pemimpin negara berdaulat yang berkedudukan setaraf sebaliknya seperti seorang ketua tanah jajahan bertemu raja dengan membawa hadiah seperti Bunga Mas.

“Najib mendakwa jemputan Trump ke White House merupakan pengiktirafan kepada status Malaysia sebagai ‘bintang yang semakin menyinar’.

Lim-Kit-Siang“Adakah dia sedar bahawa 15 daripada 32 pemimpin negara asing yang pernah dijemput Trump ke White House setakat ini adalah negara yang berada di bawah Ranking Demokrasi Global, metrik menilai 112 negara demokrasi di dunia, termasuk negara seperti Arab Saudi yang secara terbuka tidak mengamalkan demokrasi?” soalnya .

Kit Siang turut mempertikaikan tindakan Najib dan rombongannya yang tinggal selama tiga hari di Trump International Hotel selain mempersoal adakah kos penginapan itu bernilai beratus ribu dolar AS.

Menurutnya, Najib mungkin melanggar peraturan di AS yang melarang seorang presiden menerima hadiah atau pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan asing semasa berada di negara itu.

Rabu lalu, akhbar berpengaruh AS, The Washington Post berkata tindakan Najib dan rombongannya menginap di sebuah hotel milik Trump di ibu negara AS itu menimbulkan tanda tanya mengenai konflik kepentingan di White House.

Categories
NASIONAL

Kajian IDE: 1MDB jejaskan reputasi, Najib patut berdebat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kaji selidik dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 69 peratus responden bersetuju bahawa skandal 1MDB menjejaskan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kajian turut menunjukkan hanya 14 peratus menjawab skandal yang mendapat perhatian dunia itu tidak menjejaskan reputasi Najib dan 17 peratus lagi tidak pasti.

Kajian bertajuk ‘Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa’ itu membabitkan 4,486 responden daripada 12,082,403 pengundi seluruh Semenanjung Malaysia.

PRU-14Bagi satu soalan lain pula, sebanyak 64 peratus responden bersetuju dengan kenyataan Najib Razak perlu berdebat dengan calon Perdana Menteri pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 seperti mana debat pilihan raya presiden yang ditonjolkan media antarabangsa.

Kajian yang dijalankan pada pada 11 hingga 16 Ogos turut mendapati 15 peratus menjawab tidak perlu dan 21 peratus lagi tidak pasti terhadap kenyataan sama.

Keputusan kajian IDE itu dibentangkan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman di Auditorium IDE, Bangunan IDE di sini, semalam.

Categories
NASIONAL

Runding semula, batal projek mega sekiranya Pakatan perintah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pakatan Harapan (Pakatan) akan mengadakan rundingan semula projek mega yang sedang dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya Pakatan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Pengerusi Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan juga sedia mengkaji membatalkan perjanjian dimeterai Najib sekiranya mendapati projek terlibat bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang terlalu besar bagi tempoh panjang.

“Banyak projek ini silap dan tak perlu. Kita perlu runding balik. Malah kita batalkan beberapa projek tetapi perlu bayar pampasan untuk mengelakkan keadaan lebih buruk membabitkan 200 bilion dolar pinjaman kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum yang membicarakan isu pelaburan China di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini, malam tadi.

Jelasnya, kerajaan bakal menanggung hutang lebih 50 tahun sekiranya kerajaan meneruskan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan sekaligus membebankan kerajaan dan rakyat.

Katanya, pada masa ini negara tidak memerlukan projek keretapi berkelajuan tinggi bagi menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung.

Categories
NASIONAL

Najib gagal faham agenda reformasi – Izzah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mengkaji istilah Reformasi sebelum membuat sebarang kenyataan dangkal berhubung pelaksanaan agenda itu.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, agenda Reformasi kekal dipertahankan di bawah gabungan Pakatan demi kelangsungan kebajikan rakyat Malaysia.

“Kami tidak memulakan agenda Reformasi itu dengan merujuk khusus kepada Dr Mahathir kerana ia bersifat jelas sebagai institut pembentukan pemerintahan negara yang lebih baik.

REFORMASI“Justeru, Perdana Menteri perlulah membuat sedikit kajian berhubung (pelaksanaan) agenda itu sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Nurul Izzah berkata, agenda Reformasi berperanan sebagai institusi perubahan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan agenda berkenaan juga mampu membawa perubahan kepada pengukuhan pembinaan negara yang lebih maju.

Sebelumnya, Nurul Izzah diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak pada lawatan Perdana Menteri itu di Permatang Pauh yang meminta rakyat di kawasan itu tidak lagi menyokong agenda berkenaan.

Najib dilaporkan berkata, Reformasi disifatkan ‘mati’ lantas memerlukan pusingan u-turn warga Permatang Pauh untuk tidak lagi menyokong agenda itu.

Reformasi sinonim sebagai simbol perjuangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Permatang Pauh merupakan kawasan kubu kuat KEADILAN selepas penyingkiran Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, pada 1998.

Categories
NASIONAL

NTH2.0: Tun M hairan Najib tak malu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad hairan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu berdepan masyarakat walaupun didakwa merasuah dan mencuri wang cukai diamanahkan rakyat.

Katanya, Najib sepatutnya berani mempertahankan dirinya di hadapan rakyat termasuk tuduhan dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bila ditanya adakah kamu sembunyi sesuatu, dia tidak boleh jawab. Orang yang begitu bangga sekali, kalau berucap tangan dan badannya bergoyang-goyang tetapi kalau ditanya adakah kamu mencuri? Hahaha dia ketawa sahaja. Tak malu langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Nothing To Hide 2.0 (NTH 2.0) di Dewan Raja Muda Musa di sini, petang semalam.

Katanya, sekiranya Najib tidak dapat hadir pada program NTH 2.0, pertemuan lain boleh diaturkan pada bila-bila masa sahaja.

IMG_20170813_165927-1024x683Terdahulu, NTH 2.0 berlangsung tanpa kehadiran Najib seperti program sulung NTH dua tahun lalu.

Najib sekali lagi gagal memenuhi undangan Tun Dr Mahathir yang ingin menjadikan pentas tersebut sebagai medan perdana menteri dan beliau menjawab segala isu yang berlaku di bawah pentadbiran kedua-dua pemimpin itu.

Bagaimanapun, program yang berjalan lancar di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia & Kebudayaan, Shah Alam itu bertukar menjadi kecoh apabila beberapa individu bertindak membaling kasut, kerusi dan ‘flare’ ke arah Tun Dr Mahathir yang sedang berucap.

Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi bekas perdana menteri itu.

Categories
NASIONAL

Najib amal politik takutkan rakyat – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengamalkan politik sempit dengan memainkan sentimen bersifat ‘propaganda’ bagi menakut-nakutkan rakyat, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kenyataan Najib kononnya langkah menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada tidak mampu menyelesaikan kemelut negara ini adalah tidak tepat.

Katanya, kredibiliti pimpinan Pakatan mengurus tadbir Selangor dan Pulau Pinang menjadi contoh terbaik bahawa peralihan pentadbiran kepada Pakatan mampu membawa perubahan positif kepada negara.

AZMIN ALI (1)“Pulau Pinang dan Selangor sudah membuktikan bahawa langkah menukar kerajaan adalah penyelesaian terbaik.

“Rakyat mengharapkan pemimpin bersih yang mampu melawan rasuah dan kerajaan intergriti.

“Ini sudah dibuktikan di Selangor, kalau kita boleh tadbir Selangor dengan kejayaan, saya percaya Putrajaya juga mampu kita tadbir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada penganjuran Karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Padang Awam, Kampung Baru Batu Caves, Gombak, pagi ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis di Lipis baru-baru ini menegaskan langkah menukar kerajaan bukanlah jaminan penyelesaian terbaik kepada semua masalah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa, kononnya pertukaran pentadbiran Kerajaan hanya akan mengundang lebih banyak masalah dan memudaratkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan, pentadbiran Pakatan di Selangor misalnya menjadi penandas aras terbaik dengan kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Kerajaan Pakatan.

“Kita kekal sebagai pengeluar KDNK tertinggi negara, malah dalam RM1 wang rakyat Pekan, 20 sen itu datangnya dari kejayaan ekonomi Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hishamuddin kini ejen sulit Najib?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: DAP mempersoalkan bidang tugas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang sehingga kini tidak pernah dijelaskan kepada umum.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata, persoalan itu timbul kerana peranannya didakwa begitu sulit dan tidak boleh diperjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa masalah dihadapi Najib sehingga tugas dan tanggungjawab Hishamuddin selaku Menteri Tugas-Tugas Khas tidak boleh diterangkan secara terbuka?

Tanjung_MP_Ng_Wei_Aik“Adakah beliau kini merupakan ‘ejen sulit’ (secret agent) bagi Najib hingga peranan sebenarnya perlu dirahsiakan?

“Jika pelantikan Hishamuddin sekadar untuk tujuan politik peribadi Najib, tidak perlulah wang rakyat dibazirkan begitu sahaja,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Terdahulu, Najib mengumumkan Hishamuddin dilantik memikul jawatan berkenaan pada 12 April lalu selain menjadi Menteri Pertahanan.

Wei Aik berkata, berdasarkan jawapan bertulis diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap soalan beliau kepada Dewan Rakyat menyatakan peranan Hishamuddin selaku Menteri Tugas-Tugas Khas adalah seperti mana dipertanggungjawabkan kepada beliau oleh Perdana Menteri dari semasa ke semasa selain sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu, berdasarkan semakan dengan warta-warta disiarkan berkenaan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang dibuat di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, tiada sebarang warta dibuat berkenaan pelantikan Hishamuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan tiada sebarang tugas, skop kerja, tanggungjawab dan bidang kuasa nyata diberikan.

“Warta terakhir berkenaan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan adalah bernombot P.U. (A) 228 yang dibuat Ketua Setiausaha Negara selaku Setiausaha Kabinet pada 23 Ogos 2016 berkenaan rombakan Kabinet yang dibuat 27 Jun 2016,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah status pelantikan Hishamuddin melanggari Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 sehingga apa-apa keputusan dibuat atas kapasiti Menteri Tugas-Tugas Khas juga boleh turut dicabar.