Categories
AGENDA NASIONAL

Kenderaan GLC, van sekolah diguna bawa pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Selangor akan mengguna pakai kenderaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan van sekolah untuk membawa pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital.

Dato’ Menteri Besar berkata kapasiti itu akan ditambah dengan menggunakan kenderaan jabatan atau agensi bawah Kerajaan Negeri yang kakitangannya bekerja dari rumah.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari kemudahan itu disediakan bagi menggantikan ambulans awam serta swasta sekali gus memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Kita akan mengguna beberapa kenderaan anak syarikat Kerajaan Negeri dan van sekolah bagi kemudahan membawa pesakit Covid-19 ke CAC atau hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video kemas kini usaha Kerajaan Selangor menggempur Covid-19 yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Menurut Amirudin, sebanyak 27 CAC secara fizikal beroperasi di negeri ini dengan dibantu CAC maya yang mana arahan pengawasan dari rumah (HSO) dilaksanakan menerusi digital.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut meminda beberapa laluan Bas Smart Selangor ke lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA ubah suai lori bawa jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengubah suai sebuah lori untuk dijadikan kenderaan membawa jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Bahagian Korporatnya berkata usaha itu bagi membantu mempercepat pengurusan jenazah untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21 di sini.

“Lori yang diubah suai ini boleh membawa 12 jenazah dalam satu-satu masa dari hospital yang ditetapkan. Proses pengebumian kelmarin melibatkan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kita berharap kenderaan ini dapat membantu mempercepat proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dan memudahkan urusan semua pihak,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Malaysia mencatatkan angka korban tertinggi semalam sebanyak 360 kes dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 221 kes.

Sebanyak 41 kes kematian turut direkodkan di Kuala Lumpur, Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15), Johor (14) dan Kedah (tujuh).

Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing mencatatkan enam kes, lima di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya serta satu di Kelantan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit kategori tiga hingga lima naik lebih dua kali ganda

SHAH ALAM, 7 OGOS: Jumlah pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima meningkat lebih dua kali ganda kepada 740 kes (3.8 peratus) berbanding 273 kes (1.3 peratus) semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 18,517 kes atau 96.2 peratus lagi merupakan kategori satu dan dua.

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnos Covid-19 dan terdapat kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan.

“Namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” kata menerusi kenyataan.

Pesakit kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan manakala kategori empat (bantuan pernafasan) memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari sementara kategori tiga (radang paru-paru) memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama yang berisiko tinggi.

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara hari ini menurun kepada 19,257 kes selepas merekodkan angka 20,000 selama dua hari berturut-turut.

Berdasarkan perkongsian Dr Noor Hisham di Facebook jangkitan di Selangor turut mengalami penurunan kepada 7,084 kes berbanding 8,792 semalam.

Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan disaran semak semula penempatan pusat nilai Covid-19

SHAH ALAM 29 JULAI: Kerajaan disaran menyemak semula penempatan pusat penilaian Covid-19 (CAC) seluruh negara terutama di Lembah Klang.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata ia berikutan terdapat CAC di Lembah Klang yang ditempatkan di kawasan yang kurang kondusif.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah

Menurut Dr G Gunaraj penempatan CAC bukan perkara yang perlu dipandang mudah kerana perkara ini melibatkan nyawa pesakit, tenaga kerja barisan hadapan dan kemaslahatan penduduk setempat.

“Apakah kerajaan bangga mengumumkan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) mega di hotel-hotel mewah dan tempat yang kondusif namun melepaskan batuk di tangga sahaja dalam menempatkan CAC.

“CAC adalah satu pusat sehenti bagi rakyat yang disahkan positif Covid-19 bagi mengklasifikasikan tahap pesakit untuk tindakan selanjutnya oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan kerajaan menggunakan sistem janji temu di CAC seperti yang digunakan di pusat vaksinasi supaya pesakit Covid-19 tidak perlu beratur lama.

Baru-baru ini penduduk Taman Sri Andalas membantah keputusan KKM mewujudkan CAC di Dewan Sukan Taman Sri Andalas yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.

Namun hasil perbincangan memutuskan operasi CAC di dewan berkenaan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Shah Alam terima kontena simpan mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 25 JULAI: Menyedari keperluan mendesak tempat penyimpanan jenazah pesakit Covid-19, sebuah syarikat tampil memberikan sumbangan sebuah kontena bernilai RM42,000 yang siap diubah suai dengan sistem sejuk beku kepada Hospital Shah Alam hari ini.

Kontena bersaiz 3.71 meter persegi (40 kaki) yang mampu memuatkan hingga 30 jenazah itu disumbangkan oleh Syarikat Maritime Network Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Ia disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar kepada Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman.

“Pada mulanya kontena ini ingin disumbangkan untuk kawasan di Kuala Lumpur namun diputuskan diberikan kepada Hospital Shah Alam memandangkan hospital itu lebih memerlukan ruang tambahan bagi penyimpanan jenazah pesakit Covid-19.

“Satu kontena tambahan juga akan disumbangkan dalam seminggu dua lagi untuk Hospital Shah Alam,” kata Santhara Kumar kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata ruang penyimpanan jenazah pesakit Covid-19 di Kuala Lumpur ketika ini adalah mencukupi susulan pembukaan Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) Kuala Lumpur di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sumbang RM50,000 urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 21 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM50,000 bagi menyediakan alat pengurusan jenazah pesakit Covid-19 meliputi beg mayat dan sut pelindung diri (PPE).

Setiausahanya berkata bantuan kepada Pertubuhan Amal Valley, organisasi lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menguruskan jenazah membabitkan hospital di Selangor.

Dr Ahmad Shahir Makhtar menjelaskan bantuan itu juga mempercepat pengebumian dan melancarkan pengurusan jenazah pesakit wabak yang berbeza dengan mayat biasa.

“Kami difahamkan setiap kematian berpunca dari Covid-19 memerlukan kos minimum RM940.50, satu beg mayat dan tujuh set PPE selain diuruskan pasukan terlatih serta berpengalaman.

“Oleh itu, sebagai kebersamaan Mais dan Jais dalam urusan melibatkan maslahah ummah, sumbangan disalurkan melalui Pertubuhan Amal Valley bagi melancarkan urusan pengebumian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengerusi Pertubuhan Amal Valley berterima kasih atas sumbangan terbabit berikutan keperluan PPE yang semakin meruncing akibat peningkatan jenazah selain kekurangan dana.

“Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan kerana bilangan sukarelawan yang ‘berani ‘ menguruskan jenazah Covid-19 tidak seramai pengurusan jenazah biasa, maka kewajipan persatuan untuk memastikan keselamatan mereka.

“Terima kasih kepada Mais dan Jais atas keprihatinan, semoga kerjasama ini dapat merancakkan nilai dan semangat kesukarelawanan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Dr Azfar Hussin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pesakit Covid-19 kritikal, perlu bantuan pernafasan naik sekali ganda

SHAH ALAM, 20 JULAI: Jumlah kes baharu positif Covid-19 kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan meningkat sekali ganda kepada 52 kes berbanding 26 semalam.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan namun hanya 1.5 peratus atau 178 daripada 12,366 kes dilaporkan hari ini berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Meskipun peratusan kes kategori tiga hingga lima adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa kes kategori lima memerlukan purata tempoh jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pesakit kategori empat (bantuan pernafasan) memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari manakala kategori tiga (radang paru-paru) memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama yang berisiko tinggi.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 meningkat semula kepada 12,366 hari ini berbanding 10,972 semalam.

Jumlah di Selangor meningkat kepada 5,524 kes selepas empat hari berturut-turut menurun kepada 4,404 semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas terap aura positif, tenangkan hati pesakit Covid-19 sambut Aidiladha

SERDANG, 20 JULAI: Biarpun tidak dapat berhari raya di sisi keluarga, petugas barisan hadapan masih cekal menjalankan tanggungjawab sambil menerapkan aura positif dalam kalangan pesakit Covid-19 di pagi Hari Raya Aidiladha.

Itulah usaha terbaik yang boleh dilakukan oleh petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bagi memenangkan hati pesakit yang berjauhan daripada keluarga.

Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Dewan DG, PKRC MAEPS 2.0, Engku Mohd Nazri Engku Mansor berkata perasaan sedih mula bermain di fikiran pesakit apabila menjelang Hari Raya Aidiladha dan bertambah pilu ketika takbir raya.

“Memang amat sedih apabila berjauhan dan tidak berada di sisi keluarga ketika sambutan raya. Oleh itu, kita menyediakan juadah kepada pesakit supaya kerinduan untuk berkumpul bersama itu sedikit sebanyak dapat diubati dan sambutan itu dapat dirasai,” katanya kepada Bernama ketika tinjauan di PKRC MAEPS 2.0, di sini hari ini.

Engku Mohd Nazri berkata sebagai bekas pesakit Covid-19, beliau amat memahami perasaan murung serta kecelaruan fikiran dihadapi pesakit namun mereka boleh mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan Kementerian Kesihatan bagi menyelami hati pesakit untuk berkongsi perasaan.

“Pesakit yang dihantar ke pusat kuarantin ini bingung di peringkat awal dan bertukar sedih dan risau selepas beberapa hari. Kita perlu pandai membaca emosi dan riak wajah sedih pesakit supaya tekanan emosi mereka ditangani serta mengubah suasana sedih itu kepada gembira,” katanya.

Beliau menasihati pesakit Covid-19 agar tidak sesekali lemah dan tunduk kepada virus Covid-19.

“Semangat kita kena kuat untuk melawan virus ini. Jika minda kita lemah, virus ini akan menekan dan sel badan akan berubah. Pendekatan saya ketika dijangkiti walaupun sedih pada mulanya tetapi saya bangkit semula hasil daripada perkongsian dengan pesakit yang pernah dirawat di pusat kuarantin sebelum ini,” katanya.

Engku Mohd Nazri berkata pesakit Covid-19 tidak harus mengalah dan duduk diam malah perlu meneruskan aktiviti harian kerana kehidupan yang sihat akan dapat menangani kesan itu.

Ditanya persediaan mental dan fizikal petugas kesihatan dengan kes yang masih tinggi, beliau berkata anak buah di bawah seliaannya selalu diingatkan supaya perjuangan itu harus diteruskan kerana itu adalah tanggungjawab.

“Teruskanlah usaha…itulah peringatan kepada anak buah saya. Kita tidak boleh terduduk walaupun kes masih meningkat kerana ia adalah cabaran yang perlu diterima,” katanya dan menambah bahawa perasaan positif itu harus disulami aura positif.

Tinjauan Bernama pagi tadi di Dewan G MAEPS, mendapati kira-kira 50 pesakit Covid-19 menunaikan solat sunat Aidiladha seawal 8 pagi.

Di dewan yang menempatkan petugas barisan hadapan pula, alunan takbir raya berkumandang dan bacaan doa dipimpin KOR Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Pbt Mohamad Faris Zaini disertai kira-kira 1,300 petugas.

Walaupun tidak meriah dan tidak kelihatan petugas berbaju Raya, petugas diberi juadah rendang, nasi impit dan kuah kacang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

HTAR terima dua lagi kontena kendali mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 14 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bakal menerima tambahan dua lagi kontena daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk mengendalikan kebarangkalian pertambahan jumlah mayat, susulan situasi wabak Covid-19 yang dihadapi Selangor ketika ini.

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata dengan tambahan kontena itu, HTAR memiliki empat kontena bagi menempatkan mayat termasuk satu kontena masing-masing disumbangkan oleh MIC pusat dan satu lagi milik sedia ada jabatan berkenaan yang boleh memuatkan 120 mayat.

“Dengan empat kontena tersebut dan ditambah lagi dengan kemudahan sedia ada di bilik menempatkan mayat serta jenazah di Jabatan Forensik, kita mampu menempatkan anggaran maksimum sekitar 150 mayat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas berhubung keadaan mayat yang tidak dapat diuruskan dengan rapi di Jabatan Forensik hospital itu susulan kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) untuk menguruskan mayat Covid-19, Dr Zulkarnain berkata perkara berkenaan akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan dan aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata kerjasama tersebut adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah bersama pihak ATM.

Selain itu, Dr Zulkarnain berkata HTAR yang dijadikan sebagai Hospital Hibrid Covid-19 memaklumkan pihaknya masih menerima kes selain Covid-19 khususnya kes-kes kecemasan melibatkan kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung.

”Kes tersebut kita masih terima dan HTAR juga ada merujuk kes kemalangan jalan raya dan sakit jantung kepada Hospital KPJ Selangor di Shah Alam dan KPJ Klang,” katanya.

Menurutnya, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibuat antara KKM dengan Hospital KPJ sejak Jun lepas, HTAR setakat ini sudah merujuk lebih kurang 20 pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di dua hospital berkenaan.

“Kita akan buat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum pesakit dirujuk ke hospital berkenaan serta kos perbelanjaan pesakit juga ditanggung kerajaan,” katanya.

Mengenai mobilisasi petugas perubatan dari luar Lembah Klang, beliau berkata setakat ini pihaknya sudah menerima 20 orang petugas kesihatan dari Perlis untuk membantu pengurusan di hospital terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kit kesihatan mudah diguna, bantu pesakit kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pesakit Covid-19 menyifatkan kit penilaian di rumah yang dibekal Kerajaan Negeri memudahkan mereka memantau tahap kesihatan sepanjang tempoh kuarantin.

Pekerja swasta Mohd Faezuan Mohd Izan, 34, memantau bacaan oksigen tiga kali setiap hari menggunakan oximeter bagi memastikan kandungannya tidak kurang 95 peratus, tahap normal seseorang.

Mohd Faezuan Mohd Izan

“Kit ini senang digunakan untuk pantau kandungan oksigen secara harian. Penggunaannya tiga kali sehari,” katanya yang dijangka menyelesaikan kuarantin pada 29 Jun kepada Selangorkini.

Beliau disahkan positif bersama tiga anak berusia enam hingga 11 tahun selepas menjalani Saringan Komuniti fasa tiga di Gombak pada 20 Jun. Sebelum ini, isterinya dikesan positif dalam saringan awal di klinik swasta.

Kit bernilai kira-kira RM200 memuatkan ubat-ubatan, jangka suhu, pelitup muka dan oximeter iaitu pengukur kandungan oksigen dalam tubuh.

Suri rumah Rohani Mohd Jelani, 31, pula menggunakan kit itu selama dua hari bersama suami sebelum mereka dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang pada 22 Jun.

“Kita periksa (kandungan oksigen) dengan letakkan jari pada oximeter. Mereka (petugas kesihatan) juga ajar kalau demam baru guna oximeter,” kata ibu kepada dua anak yang dikesan positif selepas menjalani saringan percuma di Gombak.

Pekerja binaan Jusuf Suleiman, 33, pula awalnya tidak mahir menggunakan oximeter sebelum dibantu isterinya dan sempat menggunakannya dua kali sebelum dibawa ke PKRC Serdang.

Jusuf Suleiman

“Saya rasa penggunaannya mudah. Mulanya saya tidak tahu cara guna oximeter tetapi lepas isteri ajar rupa-rupanya mudah,” kata bapa kepada dua cahaya mata.

Selain beliau, isteri, anak berusia tujuh tahun, ibu mentua dan adik ipar turut dikesan positif dalam saringan anjuran Kerajaan Negeri.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, peruntukan RM1.25 juta disediakan bagi membekal kit berkenaan kepada inidividu yang dikesan positif dalam Saringan Komuniti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dulu RM1,000 untuk pesakit, kini bantuan untuk khairat kematian

SHAH ALAM, 1 JULAI: Tahun lalu pesakit Covid-19 menerima bantuan RM1,000 tetapi kini waris menerima jumlah yang sama bagi khairat kematian.

Bantuan untuk pesakit diumumkan dalam pakej Selangor Prihatin fasa satu yang sudah tamat tempoh permohonan tetapi pakej Kita Selangor 2.0 mengekalkan jumlah itu kepada keluarga.

EXCO kesihatan awam menjelaskan kekeliruan di media sosial apabila keratan akhbar lama disebarkan semula, seolah-olah bantuan untuk pesakit masih ada.

“Untuk makluman semua, insentif pemberian ini (untuk pesakit) telah ditutup pada 31 Disember 2020,” jelas Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Facebook.

“Bagi tahun 2021 pula, Kerajaan Negeri telah umumkan pakej Kita Selangor 2.0 pada 9 Jun yang memuatkan pelbagai inisiatif dan insentif terbaru dengan mengambil kira situasi negeri terkini.

“Antara yang diumumkan ialah tentang bantuan kewangan untuk keluarga atau waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia atau khairat kematian sebanyak RM1,000.”

Tambahnya, permohonan dan pembayaran untuk bantuan kewangan tersebut akan diuruskan oleh anak syarikat milik negeri Selcare dan akan diumumkan perinciannya dalam tempoh terdekat.

Keratan akhbar dikongsikan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook
Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara sediakan mesin oksigen bantu penduduk dikuarantin di rumah

SHAH ALAM, 29 JUN: Pesakit Covid-19 sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara yang menjalani kuarantin di rumah boleh meminjam mesin oksigen dari pusat khidmatnya.

Ahli Dewan Negerinya berkata tiga mesin disediakan sejak minggu lalu bagi memudahkan mereka menjalani proses pemulihan.

“Pesakit yang memerlukan mesin ini diminta menghubungi kakitangan pusat khidmat, Grace di talian 016-2380326.

“Tempoh pinjaman boleh sehingga 14 hari dan ia perlu dipulangkan sebaik sahaja pulih,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, wakil pusat khidmat akan menghantar mesin terbabit terus ke rumah pesakit selepas permohonan dibuat.