Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Tumpukan Perhatian Terhadap Wanita Ladang

KAPAR, 15 APR: Keprihatinan kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi rakyat Selangor diteruskan dengan menumpukan perhatian kepada menaikan taraf hidup wanita ladang.

Melalui Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), golongan ini akan mendapat pertolongan untuk menceburi perniagaan kecil yang sesuai dengan persekitaran komuniti mereka bagi memberi pulangan yang memuaskan.

Pegawai Operasi WALA, Nazreen Nizam berkata Skim ini akan bermula dengan 200 peserta yang akan diberi latihan sebelum dimasukkan ke dalam program yang sesuai.

WALA diberikan peruntukkan RM5 juta di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan di bawah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan keyakinan program ini dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan kejayaan dua skim bantuan sebelum ini, iaitu Proram Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL).

Katanya, apa yang penting adalah pengurusan sistem yang tersusun agar mereka yang benar-benar layak dapat menikmati skim ini bagi meningkatkan pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Peratus kemiskinan di kawasan ladang adalah tinggi. Kerajaan negeri memandang pemberian bantuan kepada wanita ladang sangat penting dalam meningkatkan pendapatan keluarga.

?Setiap tahun dalam belanjawan negeri kita akan peruntukkan bajet untuk rakyat.

“Belum ada kerajaan negeri yang memberikan RM 4 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah tamil dan sekolah jenis kebangsaan cina. Selangor sudah lakukan. Kecekapan Pakatan Rakyat melaksanakan bantuan kepada rakyat lebih jelas dan tersusun.

“Tidak seperti Barisan Nasional, mereka tidak pernah fikir sistem yang sempurna seperti yang kita lakukan,” katanya.

Skim ini terbuka kepada wanita yang menetap, pernah menetap atau bekerja di ladang-ladang sekitar Selangor dan warganegara Malaysia berusia 21-45 tahun.

Calon peserta mestilah warga Selangor atau bermustautin lebih 10 tahun, tidak mendapat sebarang bantuan dari SKIMSEL, MiMBAR, AIM, TEKUN atau program mikrokredit yang seumpamanya.

Selain itu, mereka diwajibkan menghadiri kesemua latihan WALA dan menyertai program-program susulan dan mampu membayar balik pinjaman dalam tempoh masa yang dipersetujui.

Setakat ini, pasukan operasi WALA telah mengunjungi 22 buah ladang daripada 33 ladang di seluruh Selangor bagi menerangkan skim ini dan mengenalpasti bentuk bantuan yang sesuai untuk diketengahkan.

Nazreen berkata pihaknya masih membuat penilaian berhubung bentuk program yang sesuai dilakukan di kawasan ladang dan sesi penerangan kepada kumpulan sasaran masih dijalankan.

“Kami turut mempertimbangkan cadangan seperti yang disebutkan Menteri Besar memberikan peluang dari segi penternakan, pertanian dan kraf tangan bagi membuka ruang keoada golongan wanita meningkatkan pendapatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Geran SelangorKu: 150 Projek Infrustruktur Diluluskan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebanyak 150 projek inftrastruktur di seluruh negeri telah diluluskan menggunakan peruntukan di bawah Geran Selangorku yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa satu hingga empat.

Bagi fasa satu sebanyak 19 projek infrastruktur diluluskan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat selepas proses pemilihan kontraktor selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, fasa dua pula sebanyak 17 projek diluluskan, fasa tiga 37 projek dan fasa empat 77 projek.

“Bagi fasa satu dan dua, peruntukan yang diluluskan untuk kesemua projek ini sebanyak RM5.4 juta manakala fasa tiga dan empat masih di peringkat perbincangan.

“Projek- projek yang diluluskan ini melibatkan kerja membaiki, membina dan menurap semula jalan, memasang lampu jalan, membina longkang, menaik taraf masjid,  pembinaan inftrastuktur sukan seperti gelanggang futsal.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan Geran Selangorku kepada penduduk di Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam sempena Program Khas Mesra Rakyat fasa tiga peringkat Daerah Sabak Bernam, semalam.

Geran Selangorku memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk projek inftrastruktur. Peruntukan itu hasil kejayaan kerajaan negeri mengutip semula hutang TALAM yang kemudian disalurkan semula kepada rakyat.

Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai pegawai kanan kerajaan negeri menentukan kelulusan projek berkenaan termasuk pemilihan kontraktor manakala proses sebut harga dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Daripada 150 projek itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 29 projek diikuti Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebanyak 27 projek, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masing-masing 15 projek.

Mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Sri Muda menerima kelulusan terbanyak dengan 31 projek, Meru (20), Telok Datok (13), Morib (14) dan Selat Klang (7).

Sementara itu, Program Khas Mesra Rakyat dimulakan dengan Menteri Besar menghadiri perhimpunan di Dewan Seri Bernam bersama pemimpin masyarakat diikuti sesi aduan rakyat yang memberi peluang orang ramai mengadu masalah secara terus kepada EXCO, pejabat daerah dan tanah.

Menteri Besar selaku Exco Pembangunan Tanah juga meluangkan masa hampir sejam untuk menyelesaikan beberapa masalah tanah yang diadu  kepada beliau.

Pada sebelah petang, Menteri Besar meramah mesra dengan golongan belia dan menyaksikan perlawanan futsal antara pasukan pilihan Menteri Besar dan pasukan pilihan belia tempatan sekali gus merasmikan Gelanggang Futsal Sungai Ayer Tawar. Pada malam pula diadakan ramah mesra dan jamuan rakyat di Stadium Mini Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM 22 Juta Untuk Pembangunan Luar Bandar

SABAK BERNAM, 13 APR :  Kawasan luar bandar di Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM22 juta untuk pembangunan .

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada agihan Geran Selangorku yang berjumlah  RM300 juta.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agihan tersebut akan disalurkan kepada setiap kawasan DUN bertujuan memperbaiki infrastruktur tempat seperti jalanraya berlubang dan kemudahan-kemudahan asas.

Menurut Abdul Khalid agihan ini diberikan kepada Adun-Adun supaya proses agihan ini dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tidak perlu menunggu sehingga tiga ke empat bulan.

“Sebelum ini prosiding seperti menurap jalan yang berlubang dilakukan dengan mengambil masa selama berbulan-bulan sedangkan rakyat setempat menanggung beban akibat jalan yang berlubang.

“Dengan peruntukan ini segala masalah ringan penduduk luar bandar akan dapat di selesaikan dengan segera,” katanya

Selain itu katanya, penduduk di luar bandar seperti di daerah Sabak Bernam turut menerima insentif daripada kerajaan negeri.

” Jika Subang Jaya menerima peruntukan pembangunan, kita akan beri juga kepada Sabak Bernam,” katanya ketika memberi ucapan mengenai pelaksanaan Geran Selangorku di Dewan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil pendekatan yang berbeza dalam isu pembangunan di luar bandar kerana ramai golongon muda yang berhijrah ke bandar untuk mencari kerja.

Jelas Abdul Khalid, kerajaan negeri akan membuat pembangunan yang sesuai bagi golongan belia di luar bandar supaya mereka tidak lagi perlu ke bandar untuk bekerja.

Selain itu, matlamat kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan ekonomi penduduk di luar bandar seperti nelayan dan petani supaya mereka dapat menikmati kehidupan selesa.

Abdul Khalid hadir bersama barisan Exco-exco dan Adun-Adun yang terdiri daripada Ahmad Yunus Hairi, Yaakob Sapari, Xavier Jayakumar, Ronnie Liu Tian Khiew, Ng Suee Lim bersama Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Daerah Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Nelayan Sekinchan Dapat Bot Melalui Program MES

SEKINCHAN APR 13 : Hasrat Persatuan Nelayan Sekinchan untuk memiliki bot kecil bagi bantuan kecemasan akhirnya direalisasikan menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Timbalan Persatuan Nelayan Sekinchan, Tan Thiam Hee berkata, bantuan bot bernilai sekitar RM40,000 itu diperlukan bagi nelayan ketika menghadapi kecemasan.

Bot tersebut mempunyai enjin 60 kuasa kuda, empat tempat duduk dan dilengkapi jaket keselamtan.

?Bot ini akan banyak membantu nelayan menghadapi kecemasan jika ada yang sakit atau mengalami kecederaan dan perlu sampai ke daratan secepat mungkin bagi mendapatkan rawatan segera di hospital serta lain-lain situasi kecemasan lagi.

“Amat sukar jika hendak menggunakan bot besar kerana muara sungai sempit dan akan mengambil masa empat hingga lima jam bergantung kepada pasang surut air,” katanya dipetik menerusi blog DAP Sekinchan.

Beliau berkata demikian sewaktu menerima bot yang disampaikan ADUN  Sekinchan, Ng Suee Lim, di jeti nelayan Sekinchan di sini. Hadir sama wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPENS).

Tambahnya, dengan adanya bot ini, nelayan tidak perlu tunggu air pasang untuk sampai ke dataran.

Thiam Hee turut menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa prihatin terhadap masalah golongan nelayan.

Sementara itu, Suee Lim turut menyatakan perhargaan terhadap keprihatinan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Yaakob Sapari terhadap masalah nelayan.

Menurutnya, bot yang sedia ada untuk kecemasan sudah uzur dan nelayan bimbang ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

?Dengan adanya bot ini, kebimbangan nelayan dapat diatasi. Apa yang kita harapkan, bot yang diserahkan pada persatuan nelayan ini dapat dijaga dan diselenggara dengan baik dan mereka boleh memanfaatkannya sebaik mungkin dalam menghadapi bencana di laut,? katanya.

MiMBAR Bantu 40% Rakyat Selangor Berniaga

SHAH ALAM, 12 APR : Program Pembiayaan Mikrokredit MiMBAR Selangor  yang berlangsung hampir setahun kini mula menampakkan hasil.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata program ini berjaya membantu hampir 40 peratus rakyat Selangor yang ingin memulakan perniagaan.

Katanya, MiMBAR Selangor yang merujuk kepada Skim Mikrokredit Miskin Bandar menyediakan khidmat nasihat, fasilitator dan segala keperluan peniaga dan usahawan yang ingin memohon pinjaman kecil bagi menampung perniagaan mereka.

Jelasnya lagi, pembiayaan yang diberikan ini bukanlah suatu bantuan yang besar tetapi lebih kepada membantu meringankan beban yang ditanggung peniaga untuk membuat modal pusingan.

“Program yang kita anjurkan ini lebih menumpukan kepada bantuan sokongan yang diperlukan kebanyakan peniaga kecil dan usahawan untuk mereka berdikari selepas ini,” jelas beliau di Program Kursus Pra Kelulusan Peserta dan Pelancaran Produk MiMBAR di Dewan Banquet MBSA hari ini.

Turut hadir di program tersebut ialah Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam, Adun Meru, Abdul Rani Osman dan  Ketua Pegawai Eksekutif MiMBAR, Azily Othman.

Tambah Rodziah, program yang dianjurkan MiMBAR Selangor ini mula mendapat perhatian daripada universiti-universiti di Malaysia di mana ia mula dijadikan rujukan dan kajian dari segi ekonomi dan seterusnya menaikkan imej Kerajaan Selangor.

“Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan yang terbaru Universiti Utara Malaysia (UUM) memulakan kajian mengenai program yang dijalankan oleh MiMBAR Selangor,” katanya.

Selain itu, Rodziah turut menafikan kenyataan Umno-BN yang menyatakan bahawa Selangor akan muflis jika terlalu memberi kemudahan yang berlebihan kepada rakyat di negeri ini.

“Selangor menyumbang hampir 30 peratus dalam KDNK negara dan berjaya meningkatkan simpanan tunai kepada RM1.9 bilion, ini membuktikan dengan sistem pentadbiran yang adil dan telus, maka rakyat boleh menikmati hasil yang sepatutnya,” katanya yang juga merupakan Adun Batu Tiga.

Sementara itu, peserta MiMBAR Mohd Nizam Abdul Hamid, 29, berkata, beliau menyertai skim ini bagi membiayai modal pusingan serta membantu kos pembelian barangan.

“Skim ini banyak membantu kami bagi memulakan perniagaan dengan memberikan pinjaman tanpa faedah serta khidmat nasihat,” ujar Nizam ketika ditemui selepas sesi penyampaian surat tawaran mikrokredit di Dewan Banquet MBSA hari ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan losyen dan minyak wangi secara kecil-kecilan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana berjaya menganjurkan skim yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan.

Categories
SELANGOR

MB Melawat Sabak Bernam Esok Dalam Program Khas Mesra Rakyat

SHAH ALAM, 12 APR : Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Fasa 3 dijadualkan berlangsung esok (Jumaat) di daerah Sabak Bernam.

Siri jelajah Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini merupakan kesinambungan daripada lawatan sebelum ini di mana beliau akan bertemu dan berdialog dengan rakyat dan  kakitangan kerajaan negeri di samping melihat sendiri corak dan perkembangan setiap daerah.

Program yang dijangka bermula seawal pukul 9 pagi itu juga akan mengambil tempat di beberapa lokasi berasingan.

Bermula di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Sabak Bernam, siri jelajah itu akan diteruskan di Masjid Jamek Sultan Hishamudin (Pekan Sabak Bernam) untuk solat Jumaat diikuti oleh Majlis Penerangan Geran Selangorku di Dewan Sungai Air Tawar pada jam 3 petang.

Manakala lokasi berikutnya adalah di Padang Futsal Sungai Air Tawar untuk pertandingan futsal pada jam 5 petang dan diakhiri dengan Majlis Jamuan Rakyat di Mini Stadium Sabak Bernam, Pekan Sabak bermula pukul 9 malam.

Program ini adalah sebagai salah satu medium kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan empat mata bersama pemimpin daerah selain merapatkan hubungan antara pemimpin tertinggi negeri dengan masyarakat setempat.

Oleh itu, penduduk di sekitar Sabak Bernam dan Selangor dijemput hadir memeriahkan acara.

Categories
SELANGOR

Air Mata, Kiriman Salam Kepada MB, Tanda Terima Kasih Skim SMUE

GOMBAK SETIA, 11 APR: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) mendapat sambutan hangat daripada warga emas di DUN Gombak Setia dengan hampir 2,300 orang yang telah menyertai program Jom Shopping dan Khairat Kematian.

Menurut Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehhuddin Mohd Nasir, ada peserta yang tidak dapat menahan emosi dan mengeluarkan air mata sebagai tanda terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Selangor.

Salehhuddin berkata setakat ini seramai 2,300 orang telah mendaftar untuk menyertai SMUE dan program Jom Shopping pula sudah memasuki fasa keempat yang melibatkan 600 orang.

Pejabat penyelaras DUN telah memberikan sumbangan RM2,500 setiap seorang kepada 100 orang waris keluarga warga emas yang telah meninggal di bawah Skim Khairat Kematian.

Tambahnya lagi, Jawatankuasa Penyelaras DUN mendapat kerjasama daripada ketua kampung, pihak masjid dan Ahli Majlis bagi melancarkan lagi gerak kerja dan memastikan bantuan disalurkan tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sudah dua program saya pernah melihat sendiri warga emas mengalirkan air mata di hadapan saya.

“Ada diantara mereka yang mengirimkan salam kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana cukup terharu mendapat bantuan dengan skim yang memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Pihaknya membuat semakan semula terhadap rekod yang ditinggalkan oleh mantan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali bagi memastikan mereka yang layak tidak tercicir.

LAPORAN KHAS – TAWAS – Bantuan Masa Depan Anak-Anak


Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan rakyat di Selangor tanpa mengira usia tua mahupun muda.

Kini, pasangan suami isteri juga boleh menikmati program-program merakyatkan ekonomi selangor apabila mereka berdaftar di bawah tabungan anak warisan Selangor (TAWAS).

Sehingga kini, seramai 75,756 orang yang telah berdaftar di bawah TAWAS.

 

Categories
SELANGOR

Jom Shopping Dun Taman Templer Dapat Sambutan

SELAYANG, 10 APR : Program Jom Shoping ke Nilai buat kali kedua dijalankan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Templer berikutan sambutan menggalakkan dari masyarakat tempatan di kawasan itu.

Penyelaras Dun Taman Templer, Mohamad Abdul Rahman pihaknya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua kerana memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menyertai progran pertama pada Januari lalu.

Katanya, untuk program kedua itu seramai lebih 300 orang turut serta dengan sebanyak tujuh buah bas disediakan.

Beliau berkata, ia dijalankan menerusi program Ceria Rakyat dengan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) kepada pusat khidmat dun berkenaan.

“Kita menganjurkan program ini demi memberi kemudahan kepada orang ramai di kawasan Dun Taman Templer pergi membeli belah di Nilai, Negeri Sembilan iaitu satu kawasan tumpuan awam dengan harga patut yang menyediakan pelbagai barangan keperluan.

“Program ini membolehkan penduduk tempatan menyertainya serta membeli belah secara berkumpulan yang mana menjimatkan perbelanjaan. Kita menyediakan kemudahan pengangkutan bas dan peserta hanya perlu pergi dengan wang untuk membeli belah. Ia terbuka kepada semua tidak mengira bangsa dan agama serta fahaman politik.

“Program kedua ini ternyata mendapat sambutan lebih meriah berbanding sebelumnya yang hanya disertai kira-kira 100 orang dengan tiga buah bas,” katanya.

Program Jom Shoping ke Nilai itu diadakan pada 8 April lalu di mana semua peserta menaiki bas disediakan dan dilepaskan secara berperingkat-peringkat bermula di Pusat Khidmat Dun Taman Templer.

Antara peserta terlibat dari kawasan seperti Kampung Selayang Indah, Taman Prima Selayang, Kampung Selayang Baru, Taman Daya dan Kepiung Hulu.

Mohamad berkata, pihaknya mungkin mengadakan program itu lagi seandainya mendapat sambutan dan ianya akan diberi penekanan kepada mereka yang belum menyertainya.

Ketua Kampung Kepong Hulu, Tommy Lai berkata pihaknya mengalu-alukan penganjuran program itu kerana ia memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menyertainya secara berkumpulan.

Tambahnya, program tersebut jelas menarik dan berwajah muhibbah kerana terbuka kepada semua bangsa di kawasan Dun berkenaan.

“Saya lihat program ini bagus dan sebelum ini memang tiada. Dari Kampung Kepong Hulu sendiri seramai 37 orang dari bangsa Cina menyertainya. Mereka menyatakan rasa gembira dapat turut serta dan membeli belah bersama bangsa lain dari kawasan ini,” katanya.

Seorang peserta, Zainah Daud, 53, berkata beliau gembira dapat menyertai program itu kerana memang berhasrat untuk pergi membeli belah di Nilai, Negeri Sembilan.

“Gembiralah kerana kalau pergi sendiri kena keluar belanja untuk kenderaan tapi kali ini saya hanya perlu siapkan duit untuk beli barang. Lagipun saya saya berbelanja dengan kawan-kawan,” katanya.

Seorang peserta lagi, Rosmawati Hussin, 41, berkata, selepas tidak menyertai buat kali pertama, dia amat gembira dapat turut serta dalam program yang kedua itu.

“Saya mendengar dari mereka yang pergi dalam program sebelumnya. Saya gembira sebab program kedua dijalankan dan tidak melepaskan peluang kali ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bonus Selangorku Diperuntuk RM7.5juta

KLANG 08 APRIL : Bagi meneruskan usaha memberi bantuan menerusi pelbagai program kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan negeri hari ini sekali lagi melancarkan program baru iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

” Insyaallah bantuan ini akan diteruskan untuk bayi-bayi yang lahir pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran program terbabit di Econsave Kampung Jawa, Klang.

Hadir sama, MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Pentadbir Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu.

“Oleh kerana publisiti yang meluas mengenai program TAWAS, ramai yang terlupa untuk mendaftar anak-anak, jadi kita memberi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja bermula sekarang.

“Kita juga akan pergi ke hospital dan klinik bagi membantu anak-anak yang lahir supaya tidak ketinggalan dalam program ini,” katanya.

Setakat ini, jumlah yang mendaftar sebagai ahli TAWAS lebih 65 peratus berbanding 30 peratus semasa TAWAS diperkenalkan.

“Saya berasa berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan wang simpanan negeri Selangor yang besar untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Categories
NASIONAL

‘Jom Shopping Bonus SelangorKu’ Kepada TAWAS Di Perkenal

KLANG, 8 APRIL : Banyak program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, dasar kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengutamakan kebajikan rakyat itu diberi tanpa mengira usia mahupun bangsa.

Program yang baru diperkenalkan iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’ umpamanya, membawa kegembiraan kepada ahli-ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di negeri ini.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada ahli TAWAS berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Ditemui SelangorKini pada Majlis Pelancaran program itu bagi kumpulan pertama di Econsave Kg Jawa, baru-baru ini, tiada kata-kata lain yang diucapkan penduduk, melainkan terima kasih kepada kerajaan PR dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

Seorang penerima, R.Sakulthala, 42, mengakui amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kerana bantuan RM100 kepada anaknya itu dianggap amat besar.

Katanya, beliau berpuas hati seratus peratus dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu membeli barangan keperluan anaknya bagi meringankan beban suaminya.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira keturunan mereka.

“Wang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli makanan dan baju baru sebagai hadiah kepada anak saya yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya minggu depan,” katanya.

Penerima lain, Mohd Saifuddin Azlan, 35, program baru itu merupakan program yang baik kepada penduduk negeri Selangor.

Katanya, walaupun jumlah itu tidak seberapa banyak tetapi sedikit sebanyak membantu keluarga membeli keperluan anak masing-masing.

“Sebagai rakyat negeri ini, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini dan saya gembira dengan ‘hadiah’ untuk anak saya daripada Menteri Besar ini.

“Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memerintah negeri ini dengan baik dan banyak lagi manfaat dapat diberikan kepada rakyat,” katanya.

Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun bermula kini.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

 

Categories
SELANGOR

MB: Peruntukan RM67.5 Juta Untuk Pembangunan Belia

SHAH ALAM, 31 MAC : Golongan belia di Selangor disaran agar memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang selaras dengan tuntutan keperluan masa kini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Bajet 2012 menyediakan peruntukan yang besar bagi manfaat golongan belia di negeri ini.

Katanya berdasarkan perangkaan tahun 2011 sebanyak 41.2 peratus atau lebih 2.2 juta daripada 5.4 juta penduduk Selangor terdiri daripada golongan belia.

“Kerajaan negeri menyedari kepentingan belia dalam impak ekonomi dan pembangunan masyarakat di Selangor dan merangka pelbagai program kepada belia untuk bersama-sama membangunkan negeri supaya terus maju dan hasilnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.” jelas beliau

Katanya, menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM67.5 juta untuk pembangunan belia yang merangkumi program latihan belia (RM3.5 juta), keusahawanan muda (RM30 juta), pembangunan sukan (RM4 juta), penyediaan infrastruktur sukan (RM30 juta).

Menurut Abdul Khalid Kerajaan negeri mengiktiraf pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) setaraf dengan kelulusan akademik dan layak memohon berkhidmat di sektor awam, sementara bagi bagi sektor swasta, mereka layak menerima gaji setaraf dengan pemegang sijil dan diploma.

Selain itu katanya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) yang sebelum ini dijadikan pilihan terakhir pelajar diiktiraf kerajaan negeri untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja cemerlang daripada segi teknikal tetapi mempunyai jati diri yang lengkap.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan memperuntukan sebanyak RM33.5 juta untuk pelaksanaan program khas kepada belia untuk menceburi bidang perniagaan menerusi program Usahawan Muda dan melalui latihan yang disediakan secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dengan keperluan belia dalam permulaan melangkah dan mengembangkan karier selepas lulus di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah.

“Oleh itu, Program Usahawan Muda ini berinisiatif sebagai platform kepada belia-belia yang ingin memulakan perniagaan mahupun yang ingin melebarkan perniagaan keluarga yang sedia ada,” tambah Abdul Khalid yang juga MP Bandar Tun Razak.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen INPENS International College Kali ke 16 yang diadakan di Dewan Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Seramai 432 graduan pelbagai bidang kemahiran menerima sijil dan anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum termasuk 14 graduan Diploma Eksekutif Automotif yang pertama kali diadakan di kolej ini.