Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis: Ujian DNA tulang pinggul sah Anna Jenkins

GEORGE TOWN, 11 OGOS: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA Anna Jenkins, warga Australia yang dilapor hilang di negeri ini, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia berhubung ujian itu semalam dan mendapati sampel DNA diberikan anak lelaki wanita tersebut yang datang ke Pulau Pinang, Julai lepas didapati sama dengan DNA tulang pinggul berkenaan.

“Berikutan keputusan DNA itu, polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengenal pasti punca wanita berkenaan mati dan pelbagai (aspek) lagi. Saya difahamkan anak lelaki mangsa masih berada di Pulau Pinang bagi mengikuti perkembangan (siasatan).

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman juga akan ke lokasi penemuan tulang pinggul dan beberapa barangan milik mangsa untuk membina semula siasatan (berdasarkan bukti yang diperoleh) esok bagi menjalankan pemeriksaan lebih terperinci serta mengesan barang kes yang mungkin masih ada di situ yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penemuan tulang pinggul, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lepas.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata polis juga tidak menolak kemungkinan memohon inkues kes itu jika pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian wanita tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi penemuan tulang pinggul itu pada 7 Ogos lalu, telah menemui seketul objek seperti tulang dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Analisis bertujuan mengetahui sama ada ia juga tulang wanita tersebut. Kami masih menunggu keputusannya,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kes Japanese Encephalitis di Pulau Pinang negatif

GEORGE TOWN, 16 JULAI: Empat daripada tujuh kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang sejak Januari hingga semalam disahkan negatif, menurut Jabatan Kesihatan (JKN) Pulau Pinang.

Berikutan itu, jabatan itu dalam kenyataan hari ini, berkata tiga kes telah disahkan positif iaitu dua kes di Sungai Bakap di kawasan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan satu di Balik Pulau di daerah Barat Daya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan umur serta jantina pesakit.

“Kami menjalankan pemantauan rapi pesakit yang mengalami tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pergerakan anggota badan.

“Bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Keliru dan rasa celaru (agitation) boleh berlaku di peringkat awal penyakit serta sawan berlaku dalam 66 peratus pesakit terutamanya kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, orang ramai juga harus mengambil langkah-langkah membendung penyakit JE merangkumi aktiviti sekitar halaman rumah sendiri seperti memastikan sistem perparitan mengalir sempurna, mengelakkan air bertakung, menggunakan racun semburan serangga aerosol dan ubat sapu mengelak nyamuk.

JKN turut menasihatkan penternak khinzir supaya memastikan kawasan ternakan bersih serta mematuhi amalan penternakan baik dan modenisasikan cara penternakan kepada sistem baharu yang bersih iaitu penternakan tertutup di mana risiko penyakit dikurangkan.

Menurut jabatan itu, pelbagai pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk membendung JE iaitu rawatan pesakit di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, siasatan kes yang dinotifikasi, pengesanan kes secara aktif di sekitar kawasan punca pembiakan dan siasatan entomologi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tanah runtuh Pulau Pinang: Identiti tiga mangsa dikenal pasti

 

GEORGE TOWN, 26 JUN: Identiti tiga daripada empat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini, semalam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, tiga lelaki warga Myanmar itu di kenal pasti sebagai Nai Cho Inn, 49, dan Maung Htwe, 38, iaitu mayat pertama serta ketiga ditemui dalam kejadian berkenaan manakala mayat kedua hanya dikenali sebagai Ong, 40-an.

“Pengecaman tiga lelaki itu dibuat oleh pengurus resort berkenaan yang mereka (mangsa) membuat kerja sambilan membina benteng penghadang tanah runtuh sejak seminggu lepas,” katanya di sini malam ini.

Katanya, mayat seorang lagi lelaki juga warga Myanmar masih belum dapat dikenal pasti dan pihak polis juga sedang berusaha mengesan anggota keluarga atau kenalan mangsa bagi membuat pengecaman.

Beliau berkata, pihak polis juga sedang dalam proses menghubungi anggota keluarga mangsa untuk tindakan selanjutnya.

Che Zaimani berkata, bedah siasat mendapati empat pekerja asing itu mati disebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutama kepala serta dada akibat tertimbus dalam tanah runtuh.

“Polis juga telah merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terutama pekerja di resort itu bagi membantu siasatan dan setakat ini kes tersebut disiasat sebagai kematian mengejut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.25 malam Selasa itu, empat warga Myanmar dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi.

Kesemua mangsa diupah oleh pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Banjir di Pulau Pinang pulih

TASEK GELUGOR, 11 MEI: Pusat pemindahan banjir yang menempatkan 35 mangsa banjir di Surau Kampung Tok Sani, Butterworth dekat sini di tutup sepenuhnya pagi ini selepas banjir di kawasan berkenaan surut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, semua mangsa dari tujuh keluarga yang di tempatkan di pusat pemindahan itu sejak Khamis telah di benarkan pulang selepas air banjir telah surut.

“Mereka mula pulang ke rumah masing-masing pagi ini selepas pemeriksaan di jalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendapati banjir di kawasan rumah mangsa telah surut dan selamat untuk penduduk pulang ke kediaman,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Katanya manakala seramai 74 mangsa banjir dari 13 buah keluarga masih lagi berada di satu lagi pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Muhibbah Merbau Kudung, di sini sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata mangsa yang masih berada di pusat pemindahan itu terdiri daripada 24 lelaki, 18 wanita, 15 kanak-kanak lelaki, 14 kanak-kanak perempuan serta tiga orang bayi.

Beliau berkata, namun jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Dewan Muhibbah Merbau Kudung itu semakin berkurang kerana 11 mangsa dari dua keluarga telah di benarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di rumah mereka telah surut.

“Kami harap cuaca hari ini baik kemungkinan semua mangsa banjir boleh balik ke rumah masing-masing, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan APM sedang membuat pemantauan lanjut,” katanya.

Sementara itu seorang mangsa banjir di Kampung Tok Sani Nora Azmizah Kassim,40, berkata beliau sekeluarga bersyukur kerana banjir di rumah telah surut sepenuhnya pagi ini dan mereka dapat pulang ke rumah.

Ibu kepada empat anak itu berkata kejadian banjir itu merupakan kali ke tiga sejak tahun 2017 namun ini pertama kali berlaku pada bulan Ramadan dan terpaksa berbuka serta bersahur di pusat pemindahan banjir.

“Alhamdulilah banjir telah surut dan saya sekeluarga serta penduduk lain mencuci rumah hari ini kerana banyak lumpur dan kekotoran lain, ada juga beberapa barangan elektrik rosak akibat banjir kali ini,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

51 mangsa dipindahkan susulan banjir kilat di Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 9 MEI: Hujan lebat di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak malam tadi telah menyebabkan berlakunya banjir kilat dan memaksa 51 orang penduduk di Sungai Dua dan di sini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata mangsa banjir yang terdiri daripada 27 orang dewasa termasuk dua warga emas, 23 kanak-kanak dan seorang bayi itu dipindahkan ke Dewan Muhibbah, Sungai Dua di sini pukul 5.30 pagi.

“Sehingga pagi ini kawasan yang di landa banjir ialah Flat Mak Mandin, Kampung Lahar Ikan Mati, Kampung Setol, Kampung Merbau Kudung, Kampung Sungai Lokan dan Kampung Chegar. Semua mangsa terlibat telah di pindahkan ke Dewan Muhibbah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil langkah segera iaitu penyelesaian jangka pendek dengan menjalankan kerja pembersihan dan penyelenggaraan serta memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran sedia ada.

“Selain itu, kami juga akan melaksanakan pembaikan segera ke atas semua struktur yang telah rosak di kawasan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Phee berkata di bahagian pulau pula, beberapa buah rumah di Teluk Kumbar dan Balik Pulau turut dilaporkan dinaiki air melebihi paras buku lali.

Katanya antara kawasan yang terlibat ialah Flat Sri Indah, Kampung Pulau Betong, Permatang Tengah dan Kampung Sulup.

“Beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku sejak petang semalam hingga awal pagi ini , antara di Jalan Paya Terubong menuju ke Relau dan ke Air Itam,” katanya.

Banjir kilat dan hujan lebat itu juga telah menyebabkan kesesakan teruk di jalan-jalan utama termasuk di atas Jambatan Pulau Pinang menghala kedua-dua arah dan di Lebuh Raya Jelutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi semalam, hujan yang berlaku sejak Isnin lepas dijangka berterusan sepanjang hari ini di Pulau Pinang.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gnanaraja kena 68 tuduhan kes wang haram RM11.4 juta

KUALA LUMPUR, 8 APR: Ahli perniagaan, M. G. Gnanaraja yang sebelum ini didakwa menipu seorang pengarah urusan berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Gananaraja, 38, didakwa atas 68 pertuduhan membabitkankan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

Gnanaraja yang memakai kot serba hitam yang sebelum ini bergelar ‘Datuk Seri’ namun telah ditarik balik gelarannya pada 13 Mac lepas, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, satu persatu secara bergilir-gilir oleh dua jurubahasa yang mengambil masa satu jam.

“Tak mengaku, yang Arif,” katanya ketika ditanya Rozina apakah pengakuannya terhadap pertuduhan-pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga Ke-68, Gnanaraja didakwa telah menggunakan dan melupuskan wang berjumlah RM11.4 juta dari akaun bank CIMB Syarikat Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui cek kepada dua organisasi, 26 buah syarikat, dan 10 individu.

Organisasi itu adalah Kementerian Dalam Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, manakala syarikat pula antaranya Mattew Ong Association, Mulia Motor Corporation Sdn Bhd, Digital Tourism Sdn Bhd, Desa Home Theatre Sdn Bhd, CK Films (M) Sdn Bhd, dan Zenith Consulting Services Sdn Bhd.

10 individu itu ialah Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta cagaran sebuah hartanah bernilai RM825,000 milik keluarga mertua tertuduh di Cheras Business Centre serta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Allan turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, untuk didengar dan dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi Gnanaraja, Rabu lepas, berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja bersetuju dengan tawaran jaminan yang ditetapkan pendakwaan dan berkata pihaknya juga tidak membantah kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Rozina membenarkan Gnanaraja diikat jamin RM50,000 beserta cagaran hartanah yang dikemukakan pendakwaan, dengan dua penjamin iaitu pemilik hartanah serta pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim itu juga membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 6 Mei di mahkamah tersebut.

Pada 3 April lepas, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perak mula rundingan jual air kepada Selangor, Pulau Pinang

IPOH, 4 OGOS: Kerajaan Perak sudah memulakan perbincangan tidak rasmi dengan Selangor dan Pulau Pinang berhubung cadangan menjual air kepada kedua-dua negeri jiran itu.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata jika rundingan itu berjaya, Perak berhasrat menjual air terawat dan bukannya air mentah kepada kedua-dua negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri kini mencari tapak sesuai bagi membina loji rawatan air, selepas itu kita akan rawat air tersebut dan seterusnya jual kepada Selangor dan Pulau Pinang.

“Jika rundingan ini berjaya, ia amat membantu Perak,” katanya dalam satu temu ramah khas bersama Bernama di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai harga jualan bakal ditawarkan, Ahmad Faizal berkata Lembaga Air Perak (LAP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membuat kajian berhubung perkara itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rakyat Kedah boleh buat perubahan, contohi Selangor dan Pulau Pinang

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) telah membuktikan mampu mentadbir Selangor dengan baik dalam tempoh singkat berbanding Umno-Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat Kedah mesti menolak Umno-BN dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti agar menikmati kehidupan dan masa depan lebih baik di bawah PAKATAN.

“Orang Kedah pernah melakukan satu kejutan (menukar kerajaan Umno-BN) pada 2008 (PRU12).

“Kita boleh teruskan tradisi itu kerana kuasa di tangan kita, bukan di tangan Perdana Menteri dan biar kita menentukan masa depan anak kita,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang PRU14.

Naib Presiden PAKATAN itu berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri ketika mengumumkan manifesto Umno-BN untuk negeri itu mencontohi Selangor apabila menjadikan agenda peduli rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, sekiranya Kedah dan negeri lain ditadbir Umno-BN ingin mengikuti langkah dirintis Selangor, adalah lebih baik PAKATAN diberi ruang bagi mengambilalih pentadbiran negeri seterusnya Putrajaya.

“Agenda Inisiatif Peduli Rakyat kita laksanakan banyak memberi kebaikan kepada rakyat antaranya masyarakat kampung dikecualikan membayar cukai, skim peduli sihat, bas Smart Selangor dan sebagainya.

“Kalau rakyat Kedah nak bas Smart Kedah, boleh, lakukan perubahan, 10 Mei akan dapat ke Kedah” kata Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, rakyat Kedah boleh menikmati keadaan sama dengan melakukan perubahan kepada pentadbiran negeri seperti mana Selangor kini dengan pelbagai kemajuan termasuk pelaburan domestik dan asing dari Asia, Timur Tengah serta Eropah.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Biayai propaganda ada duit, tapi pinggir mangsa banjir Pulau Pinang

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Tindakan Kerajaan Persekutuan yang didakwa membiayai propaganda memburukkan Kerajaan Pulau Pinang dipersoalkan tetapi memberikan alasan ketiadaan dana mencukupi untuk menaikkan jumlah bantuan mangsa banjir di negeri itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan agihan bantuan berjumlah RM500, sama seperti mangsa banjir di Kelantan dan Pahang pada 2015 dalam lawatannya pada 7 November 2017 ke Pulau Pinang tetapi hanya sebahagian keluarga sahaja menerima bantuan pada jumlah RM250.

“Pada 19 Mac lalu, saya bertanyakan mengenai status dana bantuan banjir seperti yang dijanjikan Perdana Menteri kepada mangsa banjir Pulau Pinang November 2017 lalu.

“Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjawab hanya RM5,467,250 sahaja akan diagihkan kepada 21,869 keluarga di Pulau Pinang dengan setiap keluarga menerima RM250. Wang itu hanya diagihkan pada 11 Mac 2018, empat bulan selepas bencana melanda.

“Apabila saya memohon di Parlimen agar Kerajaan Persekutuan menaikkan jumlah bantuan kepada RM500, jawapan menteri adalah Kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk tujuan tersebut.

“Ini bukan sahaja mengecewakan malah amat mengejutkan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Pusat Media Parlimen beliau berkata, pihaknya hanya meminta jumlah sama yang diberikan kepada mangsa banjir negeri lain seperti yang dijanjikan Perdana Menteri.

“Barisan Nasional boleh membelanjakan jutaan ringgit di Pulau Pinang untuk membiayai video palsu bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Negeri, namun tidak cukup dana umembantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Pulau Pinang telah mengagihkan RM36,647,100 kepada 52,353 keluarga pada Disember 2017 dengan setiap keluarga menerima bantuan RM700.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB tiba di Pulau Pinang sertai Misi Bantuan Selangor Prihatin

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUTTERWORTH, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kira-kira jam 9.45 malam tadi bagi menyertai Misi Bantuan Selangor Prihatin Bagi Bantuan Kemanusiaan Di Pulau Pinang.

Dalam lawatan kedua sejak bencana banjir melanda Pulau Pinang itu, beliau dijadualkan akan menyertai misi membantu mangsa banjir di beberapa kawasan yang terjejas teruk.

Antaranya, program penyampaian sumbangan Kerajaan Selangor, aktiviti kerja pembersihan rumah di Kampung Pertama, Gua Perahu, mencuci jalan di Kampung Kota, membersihkan kawasan di Lahar Yooi dan lain-lain.

Beliau akan berada di Pulau Pinang selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Sehingga malam ini, antara pemimpin Kerajaan Selangor yang hadir menyertai misi ini adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Selain itu turut kelihatan menyambut ketibaan beliau adalah Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi bin Mohd Zain; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain dan lain-lain.

=EZY=

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Alih jentera strategik bantu operasi di Seberang Prai

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 8 NOV: Pasukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor terus menggiatkan usaha bagi membantu Kerajaan Pulau Pinang dalam operasi pembersihan sekitar negeri itu.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, semua anggota juga peralatan berada dalam keadaan baik bagi menjayakan misi kemanusiaan banjir terbabit.

“Sebahagian besar anggota dan jentera sudah kita tugaskan untuk melaksanakan kerja pembersihan kawasan serta penebangan pokok di lokasi seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Selebihnya membantu operasi membabitkan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang banyak mengalami masalah pokok tumbang,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Pulau Pinang dilanda banjir ekoran hujan lebat selama 15 jam selain ribut yang melanda negeri itu, pada 4 November lalu.

Sehubungan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menghulurkan sumbangan RM1 juta selain mengarahkan 175 Anggota UPBN dan 12 OBT bersama 47 aset untuk turun padang membantu Kerajaan Pulau Pinang.

Pada masa sama, Ahmad Fairuz berkata, pihaknya akan memindahkan aset strategik dari bandar raya Pulau Pinang ke kawasan Seberang Prai bagi melaksanakan operasi pembersihan dengan lebih efektif.

“Banjir di Seberang Prai sudah mulai surut dan sesuai untuk kerja pembersihan membabitkan jentera berat.

“Setakat ini, kita menerima kerjasama baik dari dua PBT Pulau Pinang bagi melaksanakan semua operasi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Banjir Pulau Pinang: Terharu Kerajaan Selangor prihatin nasib mangsa

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 6 NOV: Penduduk Permatang Rawa melahirkan rasa syukur atas bantuan yang disalurkan Kerajaan Selangor yang diketuai Pertubuhan Bantuan Misi Kemanusiaan Selangor (PANTAS), hari ini.

Kerja pembersihan di kediaman mangsa banjir serta surau juga kelas agama bermula, sejak jam 9.30 pagi.

Ia dijayakan 70 anggota PANTAS, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Armada Selangor yang tiba di negeri itu, semalam.

Penduduk, Zaharah Awang, 62, berkata rumahnya dinaiki air sejak petang 4 November selepas hujan lebat berterusan hingga memaksa beliau berpindah ke rumah anak, di Jalan Baru, di sini.

“Air naik paras pinggang di bahagian dapur. Ini yang paling teruk berlaku, sejak 50 tahun hingga menyebabkan saya dan keluarga terpaksa berpindah sementara.

“Hari ini, saya sangat bersyukur kerana Kerajaan Selangor sudi menggerakkan sukarelawan untuk membersihkan rumah mangsa banjir, di sini.

“Memang saya tak jangka, ada yang sudi bantu sepantas ini. Ia sedikit sebanyak melegakan saya dan keluarga kerana banyak peralatan rumah musnah,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Azizah Hashim, 61, menyifatkan bantuan yang disalurkan membantu dirinya yang turut terkesan ekoran banjir besar itu.

“Memang banyak yang rosak. Peti sejuk juga terkena litar pintas.

“Nasib ada yang datang membantu di kawasan kami. Ramai orang muda, jadi makin cepat urusan pembersihan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata, beliau terus menggerakkan 15 anggota selepas mendapat panggilan daripada AMK untuk misi terbabit.

“Saya fikirkan mangsa yang terkesan dan mengharapkan bantuan. Apa yang diusahakan Kerajaan Selangor sudah terbaik kerana pantas menyalurkan bantuan.

“Kami sebenarnya ada skuad briged aman yang sedang menyiapkan beberapa keperluan di peringkat pusat. Jadi, kami akan beri maklumat kepada mereka berkenaan keadaan semasa, di sini, ” katanya.