Categories
SELANGOR

PRK Kajang : BN tandus pemimpin berwibawa lawan PKR

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 29 JAN: Barisan Nasional (BN) ketandusan calon berwibawa mahupun calon boleh menang untuk ditempatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Selangor daripada PKR, DAP dan PAS memberikan kenyataan berhubung calon yang boleh dijadikan ‘ayam tambatan’ oleh BN untuk menandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ADUN Taman Medan (PKR), Haniza Talha, berkata senario yang dihadapi kepimpinan BN hari ini sama seperti senario pencarian calon parti itu di Selangor ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

haniza“Ini antara kesan yang mereka (BN) harus terima. Mereka tidak pernah membuka ruang untuk golongan muda menjadi pelapis. Lihat sahaja PRU-13 lalu, calon BN kebanyakannya lama dan berulang kali diletakkan untuk bertanding.

“Berbeza dengan PR yang mempunyai ramai calon muda dengan pelbagai latar belakang dan kredabiliti yang bagus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, BN tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu lebih kental mengharungi jalan sukar dalam mencari calon boleh menang mendepani pencabarnya, Anwar.

rajiv bukit gasing 01ADUN Bukit Gasing (DAP), Rajiv Rishyakaran, berkata BN sememangnya tidak mendapat tempat di kawasan bandar khususnya Selangor.

Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan rakyat hari ini semakin menjalar hebat kepada PR, sekali gus menolak kepimpinan BN.

“Bukan BN tidak mempunyai calon. Persoalannya adakah rakyat khususnya di wilayah bandar masih menaruh keyakinan menggunung dan percaya kepada kepimpinan BN.

“Kita sedia maklum, ramai calon BN yang dahulunya bertanding di kawasan bandar, lari ke luar bandar dan kampung kerana mereka sendiri sedar bahawa sambutan rakyat terhadap BN hambar,” katanya.

khairuddin othmanSementara itu, ADUN Paya Jaras (PAS), Khairuddin Othman mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menjadi calon di PRK DUN Kajang jika pencarian calon di kalangan BN menemui jalan buntu.

“Kalau Najib berani, apa salahnya mencuba nasib di Kajang. Ia mungkin lucu tetapi tidak mustahil jika beliau (Najib) benar-benar berani untuk bertembung satu lawan satu dengan Anwar.

“Mungkin peluang yang sama boleh dipertimbangkan (Datuk Seri) Noh Omar. Mana tahu beliau mahu mengukur adakah masih mempunyai pengaruh di Selangor,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Penduduk batal demo, puas hati isu tutup Jalan PJS 1/52

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 11 DIS : Penduduk Petaling Utama berpuas hati apabila dialog yang diadakan berjaya mencapai penyelesaian sementara dalam isu penutupan jalan PJS 1/52 yang menghubungkan Petaling Utama dan Taman Kanagapuram, di sini, semalam.

Penyelesaian sementara itu  dicapai dalam majlis dialog antara penduduk dua taman itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

DSC_0027Penduduk bersetuju Jalan PJS 1/52 tidak ditutup sehingga Haniza dan Rajiv mengadakan perbincangan dengan polis trafik dan pengendali lebuh raya, New Pantai Expressway (NPE) dalam masa terdekat.

Haniza berkata, hasil perbincangan antara mereka bersama pihak polis dan NPE itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis MBPJ Januari ini.

“Seharusnya, perbincangan seperti ini diadakan sebelum keputusan dibuat supaya kita dengar pandangan kedua-dua pihak tetapi tiada perbincangan dan mereka terus buat keputusan tutup jalan.

“Ia menyebabkan penduduk rasa diketepi kerana mereka sudah menggunakan laluan berkenaan sejak sekian lama sejak masih kampung setinggan. Laluan menjadi jauh dan membabitkan kos sejak dibangunkan lebuh raya.

“Bagi penduduk berpendapatan rendah, semua faktor ini perlu difikirkan kerana ia  memberi kesan kepada mereka dan keluarga,” katanya selepas menghadiri dialog yang dihadiri hampir 50 penduduk setempat.

Sementara itu, Rajiv berharap satu keputusan kekal yang dapat memuaskan hati semua pihak  dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis MBPJ kelak.

“Saya dan wakil penduduk kedua-dua belah pihak juga akan mengadakan bancian jumlah rumah di Taman Kanagapuram yang didiami,” katanya.

DSC_0053Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Petaling Utama Blok C dan D, S Sendereprakasam, pula berkata penduduk bersetuju membatal demontrasi memprotes penutupan jalan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kami berpuas hati dengan keputusan perbincangan  dan tidak perlu demontrasi. Kami tidak gemar mengadakan demontrasi tetapi hanya berbuat demikian jika tidak ada jalan lain.

“Kalau laluan ini ditutup, kami terpaksa berpusing lebih lima kilometer dengan jalan sesak waktu pagi berbanding  hanya lebih kurang satu kilometer,” katanya.

Beliau berkata, Jalan PJS 1/52 ketika ini sering digunakan sebagai jalan utama kebanyakan penduduk menghantar anak ke sekolah dan tempat kerja.

Sebelum ini, penduduk Petaling Utama merancang mengadakan demontrasi bagi memprotes keputusan menutup Jalan PJS 1/52 yang bermula, pada 12 Disember ini.

-NFN- FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM3.14juta diperuntuk perbaiki aliran trafik di Jalan Othman Petaling Jaya

pecah tanah 1

PETALING JAYA 30 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat keputusan untuk membelanjakan RM3.14 juta bagi merobohkan bulatan (roundabout) di Jalan Othman di sini dan menggantikannya dengan lampu trafik bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang dihadapi pengguna.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, berkata projek itu yang akan disiapkan dalam masa 10 bulan akan datang diharap dapat memperbaiki aliran trafik di kawasan itu.

“Asalnya, projek ini hanya memerlukan lapan bulan. Namun, atas isu teknikal yang disebabkan oleh paip dan wayar di kawasan tersebut, kami menjangka projek itu akan siap pada bulan September,”

“Sekarang, pengguna lalu lintas di kawasan tersebut perlu mengambil masa sejam untuk melalui bulatan tersebut.

Selepas projek ini disiapkan, kami menjangka pengguna lalu lintas dapat menjimatkan 80 peratus dariapda masa yang diambil sekarang,” kata Loy Sian.

pecah tanah 2

Hee Loy berkata demikian Program Pecah Tanah Projek Naik Taraf Bulatan Jalan Othman bersama Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran di sini.

Beliau berkata, projek naik taraf ini akan memberikan manfaat mereka yang penduduk  di Seksyen 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 18, serta mereka yang menggunakan jalan menghala ke Puchong, Kota Damansara dan Serdang.

Loy Sian berkata, beliau menyeru orang ramai agar bersabar pada ketika ini bagi menantikan  lampu isyarat itu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

-EZY-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hari Malaysia : Hasil perjuangan Pakatan -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 16092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor mahu mengumpulkan seramai mungkin jurutera berbakat untuk membantu usaha merancang pembangunan bandar di negeri ini, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2. Rakyat Selangor perlu mengambil peluang di atas Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang mula dikuatkuasakan pada 5 Mac lalu demi kepentingan masyarakat awam kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

3. Kerajaan Malaysia digesa supaya menyatakan pendirian tegas untuk membantah kezaliman yang berlaku di Mesir dan Syria hingga mengorbankan ribuan nyawa, kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

4. Tanpa cadangan dan desakan pimpinan Pakatan Rakyat, hari ini bukan cuti umum, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua mengingatkan rakyat negara ini betapa cuti umum yang dinikmati hari ini hasil perjuangan berterusan pemimpin Pakatan Rakyat.

Categories
SELANGOR

Rakyat perlu ambil peluang guna Enakmen Kebebasan Maklumat

Rajiv-&-Ahmat

PETALING JAYA, 13 SEPTEMBER: Rakyat Selangor perlu mengambil peluang di atas Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang mula dikuatkuasakan pada 5 Mac lalu demi kepentingan masyarakat awam.

ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, melalui langkah itu rakyat dapat mengetahui secara mendalam ketelusan minit mesyuarat jawatankuasa meluluskan projek dan maklumat status sesuatu projek.

Ianya juga memberikan peluang untuk mengetahui sekiranya terdapat elemen rasuah dalam proses perlaksanaan projek.

“Orang awam mesti lebih peka dan boleh bertanya lebih tentang apa dihadapi, contohnya kalau tempat selalu banjir tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kata tiada duit untuk baiki longkang.

“Orang awam boleh dapatkan maklumat ke mana duit itu pergi atau mana longkang yang sudah dibaiki sebelum ini dan berapa kosnya.

“Dahulu tak boleh dapat maklumat panjang lebar atau lebih mendalam tetapi sekarang boleh dapat maklumat tambahan seperti ini yang tak boleh dapat sebelum ini,” kata beliau.

Rajiv berkata demikian selepas menyerahkan permohonan status pembangunan di Seksyen 13 Petaling Jaya di Pejabat Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau menghantar permohonan pertama itu bagi mengakses maklumat mengikut Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang diluluskan di Sidang Dewan Negeri Selangor pada 2011 lalu.

Dalam permohonannya, beliau memohon maklumat pembangunan di Seksyen 13 Petaling Jaya yang diluluskan dan yang masih dalam pertimbangan MBPJ.

Menurut Rajiv, kawasan tersebut dahulunya zon industri mengalami pembangunan pesat selepas ditukar kepada kawasan komersial sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sekaligus membimbangkan penduduk setempat.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmat Mohayeen Said memberitahu, permohonan dibuka kepada semua pihak itu boleh dilakukan dengan mengisi borang yang disediakan di kaunter MBPJ dengan bayaran RM2 untuk yuran permohonan dan RM10 bagi yuran pemprosesan.

Setiap permohonan akan mengambil masa 30 hari untuk diproses kecuali kes kecemasan yang melibatkan nyawa seperti bencana alam, runtuhan bangunan atau sebagainya yang kurang tujuh hari berdasarkan kes.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ, KTMB digesa baikpulih longkang elak banjir

ktmPETALING JAYA 4 SEPTEMBER : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) digesa bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah longkang tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat di perumahan Jalan Railway 1/2.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, penduduk sering mengalami tragedi banjir kilat sejak lapan tahun lalu berikutan sistem saliran di kawasan milik KTMB didakwa tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, KTMB perlu menyelenggara saliran berkenaan dengan lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan banjir.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Dhanaraj, 59, berkata beliau seringkali mengajukan masalah berkenaan kepada MBPJ tetapi tiada penyelesaian berjaya dilakukan.rajiv

“Rumah saya dikawasan rendah, bila hujan memang masuk air sampai dalam rumah. Air tidak masuk ke dalam longkang, mungkin sebab longkang itu terlalu rendah dan tak mampu menampung air yang banyak,” katanya yang tinggal di kawasan ini sejak 40 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Wong Ah Lek, 49, berkata kawasan rumahnya dinaiki air sekurang-kurangnya 3kali sebulan dan ini merumitkan kehidupan sehariannya.

“Sekarang musim hujan, saya mintak pihak yang terlibat segera mengambil jalan penyelesaian supaya masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Mereka meminta MBPJ menghantar notis kepada KTMB supaya menyelenggara sistem saliran di kawasan yang didiami lebih 60 buah rumah itu.

Katanya, MBPJ juga diminta membina saliran baru yang lebih besar dan tinggi kerana saliran sedia ada tidak berkesan mengalirkan air hujan.

Categories
SELANGOR

Datuk Bandar jamin isu parkir MBPJ akan diselesaikan

gambar hiasan
gambar hiasan

PETALING JAYA, 28 OGOS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu parkir kereta di Kompleks C yang didakwa tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan bagi kegunaan orang ramai.

Datuk Bandar MBPJ, Datik Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ akan meneliti isu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya akan tengok perkara ini secara holistik. Kita tidak boleh selesai sekaligus aduan yang dibuat, tetapi kita akan pantau dulu dan ambil tindakan secara keseluruhan,” katanya ketika mengulas kenyataan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang meminta MBPJ menaiktaraf parkir Kompleks C, di sini.

Terdahulu, Rajiv dalam lawatannya ke kompleks tersebut menggesa pihak MBPJ supaya segera melakukan kerja-kerja pembaikan di tempat letak kereta itu supaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

Beliau turut meminta supaya MBPJ merobohkan bangunan kolej lama yang sudah dikosongkan di tingkat dua bangunan itu supaya boleh menempatkan kira-kira 400 buah kereta dalam satu-satu masa.

Selain itu, Rajiv turut meminta MBPJ supaya memasang lampu limpah di setiap tingkat bangunan, menempatkan pengawal keselamatan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Kompleks parkir ini sangat strategik kedudukannya kerana dilengkapi laluan pejalan kaki, tetapi malangnya ia tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan orang ramai,” katanya.

Sebagai langkah awal, pihak MBPJ telah mula memasang lampu limpah di tingkat satu dan dua kompleks parkir tersebut selain melakukan kerja-kerja pembersihan.

Categories
NASIONAL

Jalan Taman Kelana Idaman, Jalan Universiti, Dinaiktaraf Atasi Kesesakan

naik taraf jalan taman kelana idaman 01

PETALING JAYA 20 JULAI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melakukan beberapa pembinaan dan penaiktarafan beberapa jalan di bawah kawasan bandaraya berkenaan.

Ini termasuk pembinaan jalan alternatif di Taman Kelana Idaman iaitu jalan ke tempat letak kereta stesen LRT No.2 di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Turut terlibat, menaiktaraf Jalan Harapan 17/17 dari Bulatan Universiti dan Jalan Semangat hingga ke Jalan Damansara.

Pengarah Kejuruteraan MBPJ, Ismail Shafie berkata, bagi projek di kawasan Taman Kelana, jalan baru sepanjang 400 meter akan dibina daripada permukaan terowong FAS bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

Ini bermakna penduduk di PJU 1A/4F perlu menuju ke Jalan PJU 1A/4C untuk menggunakan terowong FAS bagi merentasi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Selain itu, bagi kawasan Jalan Universiti, fasa pertama menaiktaraf jalan ini telah siap pada bulan September 2011.

“Antara kerja yang dijalankan ialah menaiktaraf bulatan sedia ada kepada persimpangan lampu isyarat dan menaiktaraf persimpangan T kepada persimpangan lampu isyarat,” ujar Ismail.

Manakala bagi fasa kedua pula, kerja-kerja pelebaran jalan kepada tiga lorong dua hala akan dilakukan dan menaiktaraf persimpangan masuk-keluar ke Lebuhraya Sprint.

“Kontraktor yang berjaya dilantik akan memulakan kerja pembinaan dan projek ini dijangka siap keseluruhannya pada Julai 2014,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pemakluman pembinaan jalan-jalan berkenaan di Bilik Gerakan, MBPJ di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad serta Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

naiktaraf jalan pj jalan harapan 01

Categories
SELANGOR

Masalah Pembangunan Bukit Gasing Fokus Rajiv

rajiv bukit gasing tony pua 01

PETALING JAYA 18 MEI : Sebagai ADUN baru, Rajiv Rishyakaran akan menumpukan kepada penyelesaian isu-isu pembangunan di kawasan Dewan Negeri Selangor (DNS) Bukit Gasing yang terletak di tengah-tengah bandaraya Petaling Jaya.

Oleh kerana bandaraya itu pesat membangun, Rajiv berkata aspek dan kesan pembangunan merupakan isu sensitif yang perlu ditangani dengan teliti demi kepentingan umum.

“Seperti program pembangunan semula kawasan industri kepada pembangunan komersial di Seksyen 13 (Petaling Jaya), kita risau dengan impak trafik di kawasan tersebut.

“Untuk itu, kita telahpun mulakan, dari semasa ke semasa sesi dialog dan perbincangan dengan wakil pihak yang terlibat serta wakil penduduk bagi memberi penambahbaikan kepada program tersebut,” ujar Rajiv dalam satu sidang media.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez.

Selain itu, Rajiv juga akan terus memantau sebarang rancangan pembangunan di Seksyen 5, yang meliputi kawasan-kawasan cerun.rajiv bukit gasing tony pua 02

“Setakat semalam, kita telahpun mendapat jaminan daripada Datuk Bandar MBPJ sendiri bahawa tiada sebarang projek pembangunan yang dibenarkan di kawasan tersebut untuk tempoh akan datang,” tegas Rajiv.

Sebelum menjadi ADUN, Rajiv pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada tahun 2008 hingga 2013.

Dalam Pilihan Raya Umum lalu, beliau berjaya menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 15,842 undi.

Dalam perkembangan lain, rakyat setempat dialu-alukan untuk mengunjungi Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing yang terletak di Stadium Hoki MBPJ, Jalan Selangor di sini untuk mengajukan sebarang aduan.

Pusat tersebut akan beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 5 petang selain turut dibuka pada hari Rabu malam bermula jam 7.30 hingga 10 malam.

“Buat sementara waktu, penduduk dinasihatkan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada kita bagi memastikan ada staf di pejabat kerana kita masih tidak mempunyai staf tetap,” jelas Rajiv.

Orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat di talian 03-7784 7490 mahupun melalui email di [email protected].