Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPA: Tiada kompromi isu rasuah dalam kalangan penjawat awam

GEORGE TOWN, 18 MAC: “Berani buat, berani tanggung”, demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berhubung pembabitan penjawat awam dalam gejala rasuah.

Katanya, pihaknya tidak pernah sama sekali berkompromi dalam isu yang berhubung kait dengan pelakuan rasuah, pelanggaran peraturan atau undang-undang melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata SPA sentiasa memandang serius isu berhubung penjawat awam menyalahi undang-undang terutama soal amalan rasuah walaupun jumlah mereka yang terbabit dalam kegiatan tersebut adalah kecil.

Zainal Rahim berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuklah penamatan perkhidmatan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang.

Beliau berkata demikian kepada Bernama hari ini ketika mengulas penahanan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disyaki terbabit dengan sindiket melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.

Penahanan itu dilakukan melalui Operasi Sukat digerakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa hari lalu.

Zainal Rahim berkata penapisan ketat dilakukan terhadap calon penjawat awam dan selepas pelantikan, mereka wajib menghadiri pelbagai kursus yang menekankan pelbagai perkara berkaitan kerja serta jati diri termasuk hal rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata seseorang penjawat awam telah diamanahkan kuasa dan tanggungjawab serta perlu bertindak secara telus dengan mematuhi proses atau prosedur undang-undang ditetapkan.

“Mereka harus memahami tanggungjawab dan perlu tahu jika buat kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib malah dibuang kerja.

“Sebenarnya kalau mereka sanggup buat (terima rasuah) dan beranilah tanggung hukuman iaitu dibuang kerja,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Syarikat sewa kapal kes pertama didakwa bawah Seksyen 17A Akta SPRM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini yang didakwa mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak seksyen itu dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Menurut kenyataan SPRM semalam, pendakwaan akan dibuat terhadap pengarah syarikat tersebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, Seksyen 17A akta itu (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

Menurut kenyataan itu, terdahulu hari ini SPRM menahan bekas pengarah syarikat tersebut kerana disyaki terbabit rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal.

Menurut kenyataan itu, perbuatan rasuah tersebut dilakukan antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu membabitkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Susulan itu, SPRM memanggil dan mengambil keterangan pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JPJ dalam kenyataan semalam memaklumkan tindakan itu adalah hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

“Pengurusan tertinggi JPJ berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” menurut kenyataan itu.

Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqomah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

Media melaporkan SPRM menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah RM300,000: Reman ‘Datuk Seri’ disambung empat hari

SHAH ALAM, 15 MAC: Tempoh reman enam hari terhadap dua individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang berakhir hari ini, disambung empat hari lagi.

Perintah sambungan reman hingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari di Mahkamah Majistret selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Ia bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu kononnya untuk membantu melepaskan 22 warga China yang ditahan di depoh imigresen.

Pada 10 Mac lepas, seorang lelaki berumur 44 tahun bergelar Datuk Seri dan seorang wanita yang merupakan ejen pekerja asing berumur 41 tahun ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sumber SPRM memberitahu suspek lelaki itu mendakwa boleh membantu menyelesaikan kes penahanan 22 warga China yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam manakala wanita tersebut bertindak sebagai orang tengah.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru rakyat hayati isi khutbah banteras rasuah

SHAH ALAM, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat islam menghayati khutbah Jumaat hari ini berhubung isu rasuah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu amat tepat dan terperinci.

“Dengan tajuk ‘Perasuah Perosak Agama Bangsa’ baginda berpandangan ia (khutbah) amat tepat dan terperinci serta boleh menjadi peringatan memandangkan situasi rasuah di negara ini yang kian meruncing,” kata Selangor Royal Office di Facebook.

Semalam, Sultan Selangor dilaporkan bertitah supaya pelaku rasuah dibanteras segera bersandarkan bukti kukuh dan pengadilan di mahkamah.

Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Antara intipati khutbah Jais hari ini:

– Rasuah punca kehancuran sesebuah tamadun bangsa dan negara.

– Memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan kejam terhadap sistem kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.

– Islam menetapkan rasuah adalah perbuatan dosa besar.

– Sumber rasuah adalah haram dan tidak berkat serta menjadi punca tidak mendapat kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat.

– Rakyat hilang keyakinan kepada pemerintah, negara kehabisan wang hingga terpaksa menanggung hutang.

– Islam melaknat dan memberi ancaman neraka terhadap orang yang memberi dan menerima rasuah.

– Ketidaktentuan politik dan ketidakstabilan ekonomi semasa akan membawa kehancuran yang dahsyat kepada ummah dan negara.

– Umat Islam sepatutnya dihormati, dijadikan contoh, ikon dan panduan kepada bukan Islam, sebaliknya kini dipandang keji, hina dan sebagai faktor rosaknya kelangsungan negara yang aman, damai, membangun dan sejahtera.

– Pemimpin politik beragama Islam diingatkan tidak menjadi pembuka ruang dan jalan kepada perbuatan rasuah demi kepentingan kedudukan dan kuasa.

– Perangi rasuah bersama, buang sifat tamak dan pentingkan diri sendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pengerusi Mara Inc didakwa 22 tuduhan rasuah, ubah wang haram RM20.45 juta

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) Datuk Mohammad Lan Allani hari ini, dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, atas 22 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta, membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.

Mohammad Lan, 65, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia antara 2012 dan 2013.

Kemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Solaris Mont Kiara, Maybank Cawangan Mont Kiara, sebuah restoran di Bukit Kiara dan CIMB Bank Jalan Sagunting, Kota Kinabalu.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Isa Samad dihukum penjara enam tahun, denda RM15.45 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas mendapati dia bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 71, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata hukuman dijatuhkan adalah bagi memberi peluang kepada pesalah melakukan pemulihan dan juga pengajaran untuk tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.

“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang mengugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.

Beliau berkata mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan kes di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa Mohd Isa berjaya mewujudkan keadaan istimewa bagi mahkamah membenarkan permohonan itu.

“Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta iaitu tertuduh perlu membayar RM700,000 sehingga jam 2 petang esok.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai,” kata hakim itu.

Terdahulu peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata sekiranya pelaksanaan hukuman itu berkuatkuasa hari ini anak guamnya akan ditahan di penjara sementara rayuan.

“Oleh itu rayuan anak guam saya akan jadi sia-sia (sekiranya rayuan dibenarkan),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah dalam sukan boleh rencat pembangunan atlet

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Isu rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia, sebaliknya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.

Pelbagai sektor sebenarnya terkait dengan isu berkenaan walaupun tindakan tegas telah diambil pihak berkuasa dalam menangani penyakit sosial itu, termasuklah dalam industri sukan yang boleh merencatkan pembangunan atlet negara sekiranya masalah tersebut tidak dibanteras sepenuhnya.

Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

Menurut laman rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (SPRM) www.sprm.gov.my, suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam jawapan bertulis kepada Bernama, bagaimanapun berkata jika dilihat daripada konteks perkembangan atlet negara, isu rasuah dalam sukan masih berada pada tahap terkawal.

Namun, KBS menegaskan langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.

Menurut KBS, sebagai usaha berterusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhasrat meneruskan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan menyebarkan lagi semangat bebas rasuah kepada semua ahli gabungannya.

Melihat kepada trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia, kebanyakannya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan, yang biasanya berlaku apabila pertaruhan dalam sukan semakin berleluasa.

Misalnya, pada 2018, dua pemain badminton profesional negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang kejohanan masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Kesemua pemain terbabit hanya dikenakan denda selepas FAM mengambil kira faktor bahawa mereka menjadi ‘mangsa keadaan’ penaja yang mendesak mereka supaya terlibat dengan skandal tersebut.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Sukan Dr Wirdati Mohd Radzi yang juga pengamal undang-undang, turut senada dengan KBS dan berpendapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membanteras rasuah dalam sukan.

“Banyak kes (rasuah dalam sukan) yang mungkin tidak dilaporkan.

“Jadi, tidak dapat mengetahui secara tepat betapa besarnya kesan ini kerana tidak ada laporan. Persatuan tidak lapor mungkin ada banyak sebab. Jadi saya minta ahli persatuan tampil untuk membantu mengurangkan atau buang terus gejala ini dalam sukan di Malaysia.

“Apa yang membimbangkan, ia boleh menutup peluang pembangunan sukan kerana wang yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan sukan tidak sampai kepada atlet,” katanya ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Jelasnya, badan sukan tidak sepatutnya terlepas daripada dikenakan tindakan jika disabitkan kesalahan, dan jika kesalahan itu membabitkan persatuan, hanya ahli persatuan boleh membuat laporan kerana mereka terikat dengan perlembagaan persatuan sukan masing-masing.

Melainkan jika kesalahan yang dilakukan berkait dengan orang awam maka orang awam berhak untuk melaporkan salah laku berkenaan bersama dengan bukti yang kukuh, katanya.

Wirdati turut memaklumkan antara faktor gejala rasuah dalam sukan kurang dilaporkan disebabkan kurangnya kesedaran atau pendedahan mengenai hal tersebut dalam komuniti sukan.

“Bila kita dapat mendidik sepenuhnya khalayak sukan, insya-Allah kita akan dapat lihat perubahan. Persatuan pun kena dibantu oleh peguam atau pengamal undang-undang untuk membantu mereka bawa kes kepada pihak berwajib.

“Rasuah bukan benda main-main. Sukan juga tidak terlepas daripada akta rasuah,” kata Wirdati.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rasuah dalam kalangan penjawat awam cemar nama baik, ancam keselamatan

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Bak peribahasa ‘seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit’, itulah ibarat bagaimana budaya rasuah dan salah laku segelintir penjawat awam, mencemarkan dan merosakkan imej institusi kerajaan.

Bahkan, apabila tajuk berita mengenai penangkapan penjawat awam sering terpampang di dada-dada akhbar, ia menguatkan lagi stereotaip bahawa penjawat awam banyak ‘makan suap’, menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Hamilye Sham Harun.

Beliau berkata meskipun hakikatnya angka penjawat awam yang terlibat dalam ketirisan itu dilihat kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di dalam negara, namun impak yang diberikan cukup besar dan perlu dicegah sebelum parah.

“Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini merekodkan 46.3 peratus dari 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun 2019 kerana kesalahan rasuah adalah penjawat awam, angka ini kalau nak dibandingkan dengan jumlah penjawat awam, ia memang nampak kecil.

“Tetapi hakikatnya, dalam 1.6 juta penjawat awam ini, walau satu orang sahaja melakukan rasuah, kita tetap perlu bimbang juga, malah membimbangkan lagi kekerapan rasuah sentiasa terjadi, buktinya ada sahaja berita penjawat awam dari pelbagai agensi ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hamilye berkata, impak terhadap kegiatan rasuah penjawat awam memberi pelbagai kesan buruk yang tidak boleh dinilai dari bentuk wang ringgit, termasuklah boleh menjejaskan imej kerajaan selain reputasi keselamatan negara.

“Contohnya melepaskan pendatang asing tanpa dokumen masuk ke dalam negara oleh agensi yang berkaitan, kita boleh tengok kesannya termasuklah jenayah sosial dan ini boleh menjejaskan reputasi keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata terdapat tiga sektor ‘rapuh’ yang perlu diberi tumpuan, iaitu yang terlibat dengan perolehan, penguatkuasaan dan perlesenan, bagi memastikan jenayah rasuah tidak menjadi barah.

“Ketua jabatan setiap agensi contohnya Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya perlu memastikan pembangunan Pelan Anti Rasuah (PAR), selain mengambil tindakan segera terhadap jenayah-jenayah yang berlaku.

“Manakala stigma dalam kalangan penjawat awam yang tidak mahu melaporkan sebarang kegiatan rasuah, sepatutnya tidak wujud lagi kerana identiti mereka akan dirahsiakan, keselamatan dijaga, malah insentif juga diberikan,” katanya sambil menambah, terdapat banyak lagi kementerian, jabatan dan agensi korporat yang masih lagi belum membangunkan PAR masing masing.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat menggesa, penjawat awam agar tidak takut membuat laporan berkenaan rasuah, meskipun perasuah atau penerima rasuah itu adalah ketua jabatan masing-masing.

Seperti mana seruan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang baru-baru ini meminta penjawat awam agar mengamalkan sikap ‘jaga tepi kain orang’, katanya rasuah dalam kalangan warganya akan dapat ditangani jika seseorang itu tidak takut untuk membuat laporan.

“Sebelum ini penjawat awam ada masalah untuk membuat laporan kerana kadang kala orang yang kita laporkan itu adalah ketua kita, yang akhirnya kita pula dianggap bersalah kerana menjejaskan imej, mencalarkan imej jabatan kerana membuat laporan.

“Yang melapor ini kemudiannya ditukar, diberi kerja yang bukan kerja asal, ditukar skop kerja atau ‘disejukbekukan’ kerana membuat laporan, jadi jaminan dan saranan KPPA itu amat kita sambut baik kerana kita mahu banteras terus gejala rasuah dari bermaharajalela, dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan SPRM dengan masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata gejala itu belum sampai ke tahap ‘bimbang sepenuhnya’ memandangkan hanya 0.15 peratus penjawat awam yang terlibat dengan salah laku tersebut

“Itu pun keterlibatan mereka masih di dalam peringkat siasatan, belum ada di peringkat menjatuh hukuman, walaupun begitu, kewujudan rasuah itu tidak sepatutnya berlaku sebab penjawat awam dilantik bukan untuk terima rasuah, tetapi untuk menjalankan perkhidmatan untuk negara dan rakyat,” katanya.

Adnan berkata ada juga penjawat awam yang terlibat dalam penguatkuasakan peraturan dan undang-undang, dijadikan sasaran dan diburu untuk diberikan rasuah oleh individu yang mahukan jalan pintas, dan pemburu ini juga wajar diheret dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM Nor’afiza Saim berkata, tahap rasuah dan salah guna kuasa yang membimbangkan itu bukan sahaja dalam kalangan kakitangan awam, malah juga dalam kalangan sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan anak-anak syarikat kerajaan.

“Perkara ini sudah berada di satu tahap yang kritikal dan perlu tindakan drastik dari semua Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan Ketua Jabatan organisasi, memandangkan mereka adalah bertanggungjawab untuk memastikan organisasi ditadbir urus dengan baik dan mewujudkan budaya integriti yang tinggi.

“Tanggungjawab untuk mengubah budaya terletak di bahu ketua setiap organisasi, seperti mana ditekankan di dalam kod, standard, pelan dan inisiatif yang telah dikeluarkan kerajaan dan juga badan antarabangsa, termasuklah Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Kod dan Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dan Sistem Pengurusan Anti-rasuah menurut standard antarabangsa ISO 37001,” katanya.

Nor’afiza berkata, sekiranya organisasi melaksanakan inisiatif, standard atau kod, yang telah sedia ada tersebut dengan penuh komitmen, institut itu percaya ia juga akan membantu pihak SPRM untuk menerima lebih banyak aduan.

“Persoalannya, adakah organisasi tersebut bersedia dan komited untuk berubah atau tidak, perubahan ini bukanlah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi, malahan akan membendung ketirisan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam perlu jadi pemberi maklumat, jamin ketelusan – SPRM

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Penjawat awam perlu menjadi pemberi maklumat atau whistleblower kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mendedahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di jabatan atau agensi masing-masing, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata isu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

“SPRM menyeru kepada penjawat awam agar ‘membuka mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat kepada SPRM kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

“Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan pendedahan yang dibuat kepada SPRM,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertajuk ‘Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi’ di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam, semalam.

Antara amanat Mohd Khairul Adib ialah penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Azam berkata amanat Mohd Khairul Adib tepat pada masanya kerana isu penjawat awam terlibat rasuah perlu dilihat dalam skop lebih besar.

“SPRM sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Perkara itu amat membimbangkan dan sudah tiba masanya semua pihak khususnya penjawat awam bekerjasama dengan SPRM,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam perlu tampil untuk melaporkan kegiatan rasuah di jabatan masing-masing agar isu ketirisan dan salah guna kuasa dapat ditangani demi kepentingan semua.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Empat individu menyamar pegawai SPRM ditahan

PUTRAJAYA, 17 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu yang disyaki menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya dan meminta rasuah sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu.

Tiga daripada mereka termasuk perancang utama yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ yang mengaku sebagai Pengarah SPRM ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel di sini pada jam 4.30 petang semalam, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka pada jam 8.30 malam tadi.

Empat lelaki itu termasuk seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah syarikat berusia 39 hingga 54 tahun, direman enam hari bermula hari ini sehingga 22 Disember setelah SPRM membuat permohonan di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, keempat-empat lelaki yang menyamar itu dikatakan telah meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada seksyen kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM.

“Hasil risikan mendapati ahli kumpulan itu sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM,” kata sumber SPRM itu, yang menambah kesemua pergerakan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berkenaan..

Menurut sumber SPRM itu, identiti seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan telah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan.

Pengarah Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman, yang mengesahkan penahanan itu, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah.

Beliau turut menasihatkan agar berhati-hati dengan individu tertentu yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta wang rasuah untuk menyelesaikan kes siasatan SPRM.

“Kegiatan menyamar sebagai pegawai SPRM ini dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini memandangkan tindakan tegas SPRM menerusi pelbagai operasi yang dijalankan dalam tahun ini.

“Akan ada individu yang mengambil kesempatan menyamar dan meminta wang daripada orang ramai. Ini merupakan satu bentuk scam (penipuan) yang sedang berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Tindakan dua lelaki warga Indonesia mencampakkan sejumlah wang ke dalam kenderaan Cawangan Kereta Peronda (MPV) bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dalam satu pemeriksaan semalam, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun terbabit ditahan oleh sebuah MPV yang melakukan rondaan rutin di Km14 Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang pada 7.35 pagi.

“Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memecut laju namun berjaya ditahan oleh MPV terbabit.

“Ketika diperiksa, kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM170,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota bertugas.

“Suspek yang diberi amaran agar tidak berbuat demikian kemudian bertindak mencampak wang tersebut ke dalam kereta peronda, menyebabkan mereka ditangkap atas kesalahan cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Arifai berkata mereka kini direman selama 14 hari hingga 25 Dis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-BERNAMA