Categories
SELANGOR

MB ucap selamat berjaya kepada calon SPM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengucapkan selamat berjaya kepada calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan menjawab soalan peperiksaan. Saya mendoakan anda berjaya mencapai keputusan cemerlang,” tulisnya di twitter.

Hari ini, seramai 421, 706 calon menduduki SPM 2018 sehingga 13 Disember ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,308 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara membabitkan 33, 631 petugas peperiksaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga menyyasarkan peningkatan keputusan peperiksaan SPM tahun ini, berbanding tahun sebelumnya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

SPM: Subjek elektif dan bukan teras diawalkan mulai 2019

PUTRAJAYA, 13 NOV: Semua subjek elektif dan bukan teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dianjakkan ke akhir September sebagai persiapan awal menghadapi musim banjir mulai tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Lembaga Peperiksaan dan mencadangkan mata pelajaran berkenaan dilaksanakan lebih awal antara akhir September dan awal Oktober berbanding November pada masa ini.

Antara subjek terlibat adalah Bahasa Arab, Bahasa Punjabi, Bahasa Kadazan, Bahasa Iban, Kesusasteraan, Tasawwur Islam dan mata pelajaran Teknik Vokasional, katanya.

“Kita mahu memberi keutamaan kepada pelajar menghadapi peperiksaan subjek-subjek itu dengan lebih fleksibel…menghadapi peperiksaan dahulu agar tidak terjejas semasa musim banjir.

“Kita cadang perkara itu berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) di sini hari ini sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

 

Seramai 421,706 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula hari ini.

Sebelum calon SPM SMK Putrajaya Presint 16 (1) memasuki dewan peperiksaan, Maszlee bersalam-salaman dengan mereka serta memberikan kata-kata perangsang dan semangat. Beliau turut menyertai doa bersama pelajar sekolah berkenaan sebelum itu.

Dalam pada itu, Maszlee juga berkata Kementerian Pendidikan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga memindahkan calon-calon SPM ke pusat lain jika berlaku banjir.

“Kita bersedia untuk menghadapi apa jua situasi banjir dan insiden lain sepanjang peperiksaan SPM,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

SPM peluang remaja buka ‘pintu’ dunia, ubah nasib – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 20 OKT: Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang baik dan cemerlang adalah diantara penentu hala tuju remaja untuk mengubah nasib keluarga, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“SPM juga adalah ‘pintu’ penting untuk melakukan perubahan dan sepatutnya anda merebut peluang ini, pergilah menuntut ilmu di universiti-universiti luar negara, bukan di Malaysia sahaja.

“Tidak dinafikan gagal SPM bukanlah gagal semuanya, namun ini adalah batu lonjakan buat calon SPM untuk menerokai ilmu lebih luas sekali gus cemerlang dalam pelbagai lapisan bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program RHB Excel dan RHB Money Master anjuran kumpulan perbankan RHB di Kompleks RHB, Bangi, hari ini.

Amirudin turut berkesempatan berkongsi kisahnya ketika di zaman persekolahan kepada calon peperiksaan SPM 2018.

“Filem yang saya amat gemari ketika zaman persekolahan ialah Dead Poets Society yang dibintangi Robin Williams, filem itu berkisar tentang suntikan inspirasi buat pelajar, dan banyak saya belajar daripadanya.

“Pada zaman persekolahan saya berada dalam aliran sains namun ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, saya mendalami jurusan sains sosial, ia satu perubahan yang agak ketara.

“Namun saya yakin dalam apa sahaja bidang yang kita ceburi, untuk berjaya bukan apa yang kita baca, bukan apa yang diajar, namun ia bergantung kepada sikap seseorang, begitu juga anda, cabarlah diri untuk menjadi insan yang berjaya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Indeks Gred Purata Nasional SPM 2017 lebih baik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MAC: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 lebih baik apabila mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) 4.90 berbanding 5.05 pada tahun 2016.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, nilai GPN yang lebih kecil untuk keputusan SPM 2017 itu menunjukkan peningkatan pencapaian calon yang lebih baik.

“Keputusan SPM 2017 menunjukkan 48 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 23 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala prestasi dua mata pelajaran tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.

Lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik menunjukkan peningkatan prestasi manakala Pendidikan Moral dan Sains mencatatkan penurunan.

Beliau berkata, prestasi mata pelajaran BM menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 0.46 manakala Pendidikan Moral mencatatkan penurunan tertinggi sejumlah 0.11.

“Untuk bidang elektif sains dan matematik, tiga mata pelajaran iaitu Fizik, Kimia dan Sains Tambahan menunjukkan peningkatan dengan mata pelajaran Sains Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, 0.36 manakala mata pelajaran Biologi pula menunjukkan penurunan tertinggi iaitu 0.12,” katanya.

Amin berkata, kesemua mata pelajaran elektif agama menunjukkan peningkatan prestasi dalam SPM 2017 berbanding tahun 2016, manakala mata pelajaran Tasawwur Islam mencatatkan peningkatan tertinggi 0.43.

Dalam bidang elektif teknikal pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.34 manakala mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam menunjukkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 0.29.

Pada tahun ini, katanya, pengumuman mengenai jumlah A yang diperoleh oleh calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas akan diumumkan oleh Pengarah Pendidikan negeri masing-masing.

Pada masa sama, Amin berkata, pencapaian calon di bandar dan luar bandar dalam SPM 2017 turut memberangsangkan dengan peningkatan masing-masing meningkat 0.14 kepada 4.75 dan 5.22.

“Perbezaan pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar kekal 0.47 pada tahun 2017 sama seperti tahun 2016, katanya.

Menurut Amin, seramai 415,008 calon menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras untuk kali pertama pada 2017.

Katanya, daripada jumlah itu, 85.2 peratus calon layak dianugerahkan sijil iaitu 90.2 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala selebihnya 9.8 peratus adalah calon selain sekolah KPM.

Bagi calon berkeperluan khas, Amin berkata 621 atau 62.5 peratus daripada 994 calon layak dianugerahkan SPM, manakala seramai 54.9 peratus berjaya memperoleh sijil GCE O-Level untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Amin berkata pada tahun ini, Kementerian Pendidikan melaporkan keupayaan calon menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam peperiksaan berdasarkan kemahiran berfikir yang diperlukan untuk menjawab soalan.

Beliau berkata secara keseluruhannya, 66 peratus calon SPM 2017 menguasai KBAT dengan baik.

“Berdasarkan kualiti jawapan calon, 27 peratus calon menguasai KBAT pada tahap tinggi, 39 peratus pada tahap sederhana dan 34 peratus pada tahap rendah, katanya.

Beliau berkata, calon menguasai kemahiran aplikasi pada tahap yang tinggi, namun kemahiran menganalisis, menilai dan mencipta masih pada tahap sederhana.

Terdahulu, seramai 443,883 calon menduduki peperiksaan SPM pada 2017.

Sumber: BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

1,526 calon dapat keputusan cemerlang A di Selangor

SHAH ALAM 15 MAC: Seramai 1,526 calon memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Selangor.

Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 1,459 pelajar.

“Berdasarkan jumlah tersebut, seramai 33 orang calon sekolah telah berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 21 calon tahun 2016.

“Sementara itu, Kolej Islam Sultan Alam Shah dinobatkan sebagai sekolah terbaik SPM pada tahun ini dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.42,” katanya pada sidang akhbar pengumuman SPM, lapor KOSMO!.

 

Categories
SELANGOR

Hann Hsen inspirasi kejayaan pelajar istimewa

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 31 OGOS: Kekurangan dimiliki tidak menghalang insan istimewa, Tan Hann Hsen, 18, menjadi pelajar cemerlang dengan keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Walaupun mengalami penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) atau lebih dikenali dengan otot mengecil, ia tidak menghalang Hann Hsen menimba ilmu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield sejak 2012 walaupun terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Katanya, pihak sekolah memberikan layanan terbaik sepanjang dia belajar di sana dengan menyediakan kemudahan kelas di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakannya.

“Saya belajar di sana sejak tingkatan satu. Saya sangat berterima ksih kepada pihak sekolah yang menyedikan kemudahan khas terutama meja di makmal untuk saya membuat eksperimen.

“Ibu dan rakan turut membantu sepanjang saya berada di sana,” katanya.

Beliau kini mengikuti kursus ijazah di Universiti Taylor menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS) dalam bidang sains.

Katanya, peluang meneroka bidang sains di AS lebih luas dan beliau akan memberikan tumpuan dalam pengajian selama setahun bagi merealisasikan impian terbabit.

Hann Hsen berkata, penyakit dialami tidak sedikitpun menjejaskan semangatnya untuk berjaya seperti pelajar lain, bahkan ia memberi motivasi tambahan.

“Nasihat kepada mereka yang mempunyai kekurangan seperti saya, jangan mudah mengalah. Kita perlu cekal mengharungi cabaran untuk berjaya.

“Saya percaya jika kita berusaha dan fokus, kejayaan akan dapat dinikmati kelak,” katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-60, Hann Hsen dipilih selaku penerima anugerah pelajar terbaik SPM daripada Persatuan Penganut Agama Buddha Subang Jaya (SJBA).

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pelajar cemerlang Yayasan Selangor meningkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Seramai 114 pelajar tajaan Yayasan Selangor (YS) berjaya memperoleh keputusan 8A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi tahun 2016.

Pengurus Kanan YS, Zahura Zakry berkata, ia peningkatan ketara berbanding hanya 66 pelajar berjaya mencatat keputusan setara, pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan hampir sekali ganda itu memberi inspirasi untuk warga kerja YS menggembeleng tenaga menyediakan kemudahan pendidikan terbaik kepada pelajar tajaannya.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (2)“Semua pelajar ini juga layak menikmati pinjaman pendidikan YS untuk pengajian peringkat diploma berjumlah RM16,000 dan ijazah RM24,000 sepanjang pengajian.

“Ia menjadikan pembiayaan keseluruhan bagi setiap pelajar berjumlah RM40,000 bagi pengajian diploma dan ijazah,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2016, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Terdapat 17 kategori anugerah antara lain Pelajar Terbaik Tingkatan, Pelajar Cemerlang PT3, Pelajar Cemerlang SPM, Pelajar Terbaik SPM dan Pelajar Terbaik Keseluruhan.

Anugerah lain termasuk Guru Penyelaras Terbaik, Sekolah Terbaik Program Hipers (High Performance) dan Sekolah Terbaik.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap tahniah kepada lepasan SPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Dalam laman sosial Facebooknya, Mohamed Azmin turut berterima kasih kepada ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda.

Katanya, peranan mereka itu dapat melahirkan insan yang berkemahiran dan berilmu.

SPM“Detik-detik yang mendebarkan akhirnya tiba. Saya mengucapkan selamat mengambil keputusan SPM 2016 buat adik-adik semua dan mendoakan kejayaan milik anda!

“Tahniah juga buat ibu bapa dan guru-guru yang memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda ini agar mereka menjadi insan yang berkemahiran dan berilmu,” tulisnya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia bersama pelajar dengan menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan pendidikan.

“Kita sentiasa bersama pelajar dalam perjalanan yang bakal bermula menuju ke menara gading dengan pelbagai sokongan dan bantuan pendidikan,” katanya.

Seramai 8,647 dari 434,535 atau 2.13 peratus calon SPM 2016 memperoleh semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 9,721 calon, pada tahun 2015.

SPM 2016 mencatatkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) lebih baik iaitu 5.10 berbanding 5.15, pada tahun 2015.

-NFN-

Categories
SELANGOR

SPM 2015: 1,629 calon Selangor peroleh gred cemerlang

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MAC: Seramai 1,629 (2.41 peratus) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki pada 2015 seluruh Selangor.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata jumlah itu menurun berbanding 2014 iaitu seramai 2,122 calon (3.00 peratus) yang memperolehi gred yang sama.

Katanya, Gred Purata Negeri dalam peperiksaan SPM 2015 ialah 5.06 berbanding 4.95 pada tahun 2014.

SPM“Penurunan sebanyak 0.11 mata ini menunjukkan kuantiti pencapaian calon yang mendapat keputusan cemerlang tertinggi, cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran yang diambil adalah menurun.

“Sistem penggredan baru SPM dapat memperincikan lagi kecemerlangan calon apabila diperkenalkan gred yang lebih tinggi daripada sistem lama yang menggunakan Gred 1A. Sistem Gred A+ ialah gred Cemerlang Tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Salleh berkata daripada jumlah itu juga, seramai 27 calon sekolah KPM (0.04 peratus) berjaya memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 63 calon (0.09 peratus) pada tahun 2014.

Katanya, ia bermaksud terdapat penurunan seramai 36 calon (0.57 peratus) memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi setiap mata pelajaran yang diduduki.

Bagi pencapaian keseluruhan calon, pada 2015 seramai 37,896 calon (56.14 peratus) lulus dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Manakala bagi 2014, seramai 41, 283 (58.30 peratus) lulus dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

“Ini menunjukkan penurunan pencapaian calon lulus semua mata pelajaran sebanyak 2.16 peratus.

“Seramai 14,779 calon (21.89 peratus) berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred C (A+ hingga C) bagi semua mata pelajaran yang diduduki dalam SPM 2015 berbanding 16,335 calon (23.07 peratus) bagi tahun sebelumnya,” katanya.

Sekolah Menengah Seri Puteri (Bandar) mendapat keputusan paling tinggi cemerlang iaitu sebanyak 47.16 peratus dengan calon cemerlang sebanyak 83 orang.

Manakala Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Luar Bandar) mendapat keputusan tertinggi cemerlang iaitu 28.95 peratus dengan calon cemerlang sebanyak 44 orang.

Bilangan calon SPM bagi 2015 ialah 68,268 (Sekolah Kerajaan), 2,513 (Sekolah Swasta), 4,939 (Persendirian) dan 546 (Bilangan Pusat).

Bagi 2014, 71,615 (Sekolah Kerajaan), 2,482 (Sekolah Swasta), 4,414 (Persendirian) dan 555 (Bilangan Pusat).

EZY

Categories
NASIONAL

SPM 2015: 9,721 calon peroleh keputusan cemerlang

PUTRAJAYA, 3 MAC: Seramai 9,721 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendapat keputusan cemerlang (Gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, namun menurun 0.25 peratus berbanding 11,289 calon pada 2014.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata Indeks Gred Purata Nasional (GPN) 2015 turut mencatatkan penurunan 0.07 kepada 5.15 berbanding 5.08 pada 2014.

SPMNilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

“Penurunan jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dan penurunan GPN bukan satu kelemahan yang ketara dan signifikan. Ia adalah dalam julat yang dibenarkan iaitu 3 peratus,” katanya dipetik BERNAMA.

“Ia juga menggambarkan turun naik prestasi murid dan berlakunya fluctuation (turun naik).

“Penurunan ini juga dipengaruhi jumlah calon yang menduduki SPM 2015 yang lebih rendah iaitu 440,682 calon berbanding 455,839 calon pada tahun 2014,” katanya.

EZY

JURNAL BERITA – KLIA 2, PM patut bertindak sebelum kos meningkat RM5 bilion.

1. MB: Selangor galak industri berpotensi tinggi berkembang

2. MB: Laksanakan WSIA, pelaburan Selangor tidak terjejas

3. Exco: Wanita berpeluang tambah pendapatan jadi pengasuh dari rumah

4. KLIA 2, PM patut bertindak sebelum kos meningkat kepada RM5 bilion

5. Tawas perkenal Teras, boleh nikmati rebat cukai

6. Perangsang Selangor salur RM14.7 juta laksanakan CSR

7. Perangsang Selangor tandatangani MOU bangun sukan bernilai RM1.8 juta

8. Hadiah RM100 untuk lepasan SPM di Kuala Kubu Bharu

9. Lebih 1000 sertai Kayuhan Malam Earth Hour MBSA

10.Kes Denggi meningkat, orang ramai patut lebih waspada

11.Town Hall Meeting tingkat kefahaman masyarakat hala tuju MPSJ

12.Salimah gesa Kerajaan Pusat sekat hiburan maksiat

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Kerajaan Pusat diminta jangan pinggir 68,208 pelajar SPM gagal

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 1 APRIL: Kerajaan Pusat digesa memberikan penumpuan dan menyediakan rancangan kepada 68,208 pelajar yang gagal dalam Peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013 agar tidak terpinggir.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata kegagalan sebesar ini menunjukkan bahawa selama ini kerajaan terlalu menumpukan perhatian kepada pelajarcemerlang, sehingga meminggirkan mereka yang gagal, yang lebih memerlukan dukungan.

nurul izzah parlimen 11.10.2012 01Dua minggu lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan sejumlah 13,970 pelajar menduduki SPM berjaya mendapatkan keputusan cemerlang A dalam semua subjek; suatu peningkatan sebanyak 0.05 peratus berbanding 2012.

“Statistik Kementerian menunjukkan 14.5 peratus atau 68,208 daripada 470,395 calon telah gagal dalam peperiksaan tersebut.

“Bandingkan 408 orang calon mendapat A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan 128 orang pelajar gagal dalam semua mata pelajaran,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan.

Kata Nurul Izzah, Kerajaan perlu mengambil tindakan komprehensif membantu pelajar gagal ini dengan meningkatkan “employability” dan seterusnya memastikan mereka menyumbangkan tenaga positif peningkatan ekonomi.

Nurul Izzah menambah, Dr Frederico Gil Sander, sorang pakar ekonomi Bank Dunia berkata dalam sebuah laporan yang rakyat Malaysia perlu sedar dan berwaspada kerana pelajar luar bandar di Vietnam, sebuah negara yang jauh lebih miskin dari Malaysia, mempunyai keputusan yang lebih baik.

Nurul Izzah berkata, melihatkan bagi setiap pelajar yang mendapat semua dalam semua subjek yang diambil dalam SPM, ada lebih kurang lima (5) pelajar yang gagal dalam peperiksaan ini, kerajaan perlu mengambil suatu inisiatif bagi mengkaji perkara seperti ini berlaku.

“Kita memerlukan sebuah reformasi pendidikan yang radikal demi menyelamatkan anak-anak kita daripada jurang pendidikan yang jelas kelihatan berlaku pada masa ini.

“Kita bertanggungjawab untuk memastikan 68,208 orang calon SPM yang gagal pada tahun lepas, dan juga calon calon yang gagal pada tahun-tahun terdahulunya, tidak dibiarkan terumbang-ambing,” katanya.

Nurul Izzah menyeru Kerajaan mengajak semua pihak yang berkepentingan agar sama berbincang, untuk mencari penyelesaian kepada kegetiran pendidikan yang melanda kini.

“Sebagai langkah pertama, sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan pendidikan mestilah ditubuhkan.

“Kita semua mestilah berganding bahu, melupakan perbezaan politik agar masa depan anak-anak kita akan terjamin. Berikan perhatian kepada semua anak-anak kita, bukan sekadar anak-anak emas,” kata Nurul Izzah.

EZY