Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais terus pantau pematuhan SOP elak masjid, surau ditutup

SHAH ALAM, 9 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di peringkat masjid dan surau bagi mengelak penularan Covid-19.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jawatankuasa Khas Pemantauan Pematuhan Masjid Surau peringkat negeri akan membuat ketetapan selanjutnya selepas Surau Al Jannah di Seksyen 23 diarahkan tutup serta merta pada 7 Ogos lalu.

“Beberapa penemuan dalam pemantauan akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas untuk diperhalusi.

“Tindakan yang sesuai akan diambil berdasarkan jenis dan bentuk perlanggaran kod ketatapan SOP serta perkembangan semasa penularan di Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata Jais menekankan pematuhan SOP ketika solat berjemaah di masjid dan surau kerana bimbang rumah ibadat itu ditutup jika berlaku penularan wabak terutama membabitkan individu tidak bergejala.

“Kes di Seksyen 23 Shah Alam boleh sahaja berlaku di mana-mana namun jika SOP Jais dikuatkuasakan oleh pentadbir dan jemaah berdisiplin, kesan penularan dapat dikurangkan peratusan yang tinggi dan kawalan penularan lanjut dapat dibuat dengan efisyen.

“Tiada siapapun yang mahu jadi pembawa atau dijangkiti, tetapi cabaran besar kita adalah pembawa yang tidak bergejala. Tiada ikhtiar lain, kecuali ikut SOP ditetapkan,” katanya.

Terdahulu Surau Al Jannah diarah tutup selepas seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Mohd Shahzihan menambah, operasi nyahkuman sudah dibuat di surau berkenaan hari ini dan tempoh penutupan bergantung kepada keputusan saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, KKM tentukan tutup masjid, surau di kawasan PKPD bersasar

BUTTERWORTH, 9 OGOS: Penutupan masjid dan surau dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bergantung pada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan solat jemaah amat tegas dan jelas sekiranya berlaku wabak dan atas nasihat MKN dan KKM, penutupan surau dan masjid akan dibuat berdasarkan pada maslahah semasa dan setempat.

“Ini dilakukan untuk menghalang dan menyekat daripada tersebarnya wabak tersebut …berdasarkan SOP yang telah kita tetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Guru Takmir Masjid dan Surau Peringkat Zon Utara Tahun 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menutup semua surau dan masjid dalam kawasan Temco susulan penularan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata guru takmir perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman berhubung hal ehwal agama Islam kepada masyarakat dengan mengimarahkan masjid dan surau.

“Guru takmir antara komponen utama. Saya tak nak masjid kosong, kaku dan tiada pengisian. Justeru, saya menyeru penduduk kampung, desa dan taman mahupun bandar, bila datangnya guru takmir (beri ceramah) hadir lah untuk mendapatkan ilmu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya menyusun beberapa program khusus untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam usaha memberi kefahaman dan kesedaran kepada golongan itu terutamanya hal ehwal agama Islam.

“Saya sendiri akan mengadakan perbincangan dengan mereka dan pada masa yang sama Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan saya juga akan berkolaborasi dengan negeri untuk sama-sama kita menzahirkan kepada mereka (LGBT) kesedaran terutamanya hal ehwal agama kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Warga asing masih tidak dibenar solat jemaah di masjid, surau

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Warga asing masih tidak dibenarkan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat untuk membenarkan warga asing solat berjemaah di masjid dan surau, pihaknya perlu meneliti laporan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengetahui keadaan di masjid dan surau yang kini sudah mula dibuka.

“Kita mahu lihat laporan daripada Jawi (mengenai masjid di bawah Jawi) dan beberapa tempat lain. Sekiranya (keadaan) stabil dan tidak menjadi masalah maka pada masa itu kita akan dapat satu keputusan.

Kita rasa dalam masa sebulan dua lagi kita boleh selesaikan masalah ini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Misi Musa’adah Pasca Covid-19 Jawi Food Bank anjuran Jawi di sini, hari ini.

Pada program itu, Zulkifli menyampaikan bantuan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 50 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa di sini.

Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menurutnya pelaksanaan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Jumaat dibenarkan di dewan, ruang dimaksimum

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

“Bagi melaksanakan perkara itu, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Zulkifli berkata semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau seperti kuliah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Dhuha, kelas fardhu ‘ain dan kelas pengajian Al-Quran boleh diadakan bermula minggu ini.

“Ia boleh diadakan dengan syarat SOP dipatuhi berdasarkan keluasan masjid, surau Jumaat atau surau. Pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau bertanggungjawab untuk memastikan semua SOP digariskan, dapat dipatuhi sebaiknya,” katanya.

Bagi pelaksanaan solat berjemaah, Zulkifli berkata berkata pagar masjid, surau Jumaat dan surau disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini, bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutamanya bagi mereka yang bermusafir dan penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing

Zulkifli berkata semua keputusan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerima resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

“Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Maka, dalam melaksanakan perkara tersebut, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,”katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat tuisyen, surau di sekolah boleh dibuka, tunggu umum

SHAH ALAM, 26 JUN: Pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas, institusi pendidikan swasta dan surau di sekolah boleh beroperasi semula mengikut tarikh dan tatacara operasi piawai (SOP) yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Hari ini, KPM sudah bentangkan SOP mengenainya dalam mesyuarat khas menteri, selepas mendengar pembentangan daripada KPM maka kita setuju untuk benarkan pengoperasiannya.

“Bagaimanapun, tarikh dan perincian SOP tersebut akan diumumkan KPM,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata surau di sekolah turut dibenarkan untuk digunakan sepanjang sesi persekolahan dan SOP akan turut diumumkan kementerian terbabit.

Categories
RENCANA

Bina surau guna batu sungai

SINTOK, 24 APRIL: Seorang pesara pegawai tentera sanggup memerah keringat membina sebuah surau dengan menggunakan batu sungai demi menyediakan kemudahan ruang solat untuk pekebun dan penoreh getah di Bukit Kachi, di sini.

Mejar (B) Mustapa Musa, 58, memulakan pembinaan surau itu sejak April tahun lalu, dibantu seorang kenalannya yang membantunya mengutip batu-batu dari sebatang sungai terletak kira-kira 50 meter dari tapak surau dan menyusunnya menjadi dinding.

Katanya, surau itu yang diberi nama Surau Batu Sungai Bukit Kachi, dibina dengan keluasan 7.6 meter lebar dan 10.6 meter panjang atas tanahnya sendiri dalam kawasan kebun getah, di sini​​​​​​.

“Bukan sebarang orang boleh buat surau ini kerana perlu mengutip jumlah batu yang banyak, namun semua perasaan itu hilang apabila ada yang datang bersolat di sini dan rasa sangat bersyukur kerana proses pembinaannya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mustapa berkata, kira-kira 13,000 bongkah batu digunakan untuk membina surau itu yang turut dilengkapi dengan sebuah bilik air dan dewan terbuka untuk kegunaan orang ramai yang datang berkunjung ke kawasan itu.

Selain itu, beliau turut membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk peralatan dan bahan binaan lain untuk surau itu yang kini hampir siap sepenuhnya serta sudah boleh digunakan.

Mustapa mengakui pembinaannya sedikit rumit, namun beliau bertekad menyiapkan demi memenuhi impian memiliki surau sendiri selain bercadang ​​​​​​​menginfakkannya untuk kedua orang tuanya.​​​​​​​

“Surau ini adalah sebagai satu cara berdakwah walaupun ia terletak di dalam kawasan kebun getah, saya mahu ​​​​​​​kelainan supaya orang tertarik untuk singgah menunaikan solat, kerana mereka yang pernah datang bersolat di sini mengatakan suasana di dalamnya sejuk dan menenangkan,” katanya.

Beliau turut bersyukur apabila kemudahan elektrik dan air akan dibekalkan oleh pihak berkaitan sekali gus dapat memastikan surau itu dapat digunakan dengan selesa terutama pada waktu malam.

Surau yang dibina di atas tanah hampir satu hektar itu mampu memuatkan hampir 85 orang jemaah pada satu-satu masa.

-BERNAMA

Categories
AGAMA SELANGOR

Surau perlukan sumbangan tampung kos pembinaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Pihak pengurusan surau Al-Muhajirin, di Taman Sri Melor, Bandar Baru Bangi, di sini, memerlukan peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM500,000 bagi menampung kos pembinaan surau baharu yang sedang dalam pembinaan.

Pengerusi surau, Mohamad Zulkefly Abd Ghani berkata, pembinaan itu bagi menggantikan surau sedia ada yang sudah tidak mampu menampung kepadatan jemaah ekoran pembinaan kawasan rumah teres dan kondominium Intana Ria kedua, di sekitar taman berkenaan.

Katanya, sehingga kini dijangka seramai 350 jemaah memerlukan surau baharu, berbanding 150 jemaah bagi surau lama.

“Pembinaan surau baharu ini untuk memberi keselesaan beribadat kepada ahli kariah, selain menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

“Tambah pula, kedudukan arah bangunan surau baharu ini adalah tepat mengadap kiblat jika dibandingkan dengan sebelumnya,” katanya.

Mohamad Zulkefly berkata, pembinaan surau berkeluasan 50×70 kaki per segi itu berkonsepkan seni bina surau sepenuhnya dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan seandainya aliran kewangan sempurna.

Katanya, Ahli Jawatankuasa surau juga merancang supaya solat jumaat boleh diadakan di surau terbabit, seterusnya dapat menjalankan segala aktiviti surau dengan lancar, selesa dan teratur.

Difahamkan, Surau lama Al-Muhajirin dibina sejak 1997 secara bergotong-royong melalui kutipan derma ahli kariah Taman Sri Melor dan sumbangan perkakasan lama serta terpakai dari surau berhampiran.

Keluasan tapak pembinaan pula sekitar 0.7 hektar dengan keluasan pembinaan asal 30×40 kaki per segi.

Sehubungan itu, individu atau badan korporat yang ikhlas untuk menyumbang boleh disalurkan melalui akaun pembinaan Bank Islam 12029010020543 (Surau Al-Muhajirin) atau terus berhubung dengan Mohamad Zulkefly di talian 019-9902225 atau Setiausaha surau, Syed Abd Rani Syed A Rahman di talian 018-2660020.

Categories
AGAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM219,850 kepada institusi Islam Sepang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 14 SEPT: Lima buah masjid, surau dan Sekolah Agama KAFA di Sepang menerima sumbangan RM219,850 daripada Kerajaan Negeri bagi membiayai kos pembangunan masing-masing.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas selesai solat Jumaat bersama kariah Masjid An Nur, Kampung Chuchoh, di sini.

Antara penerima terbabit ialah Masjid An Nur yang menerima sumbangan RM159,850 daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RM20,000 daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Nazir masjid berkenaan, Yaakob Sadikin berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membiayai projek menaik taraf rumah ibadat terbabit.

“Kita memang merancang untuk membesarkan masjid ini bagi menambah kapasiti kerana pada masa ini ia hanya mampu menampung kira-kira 500 orang sahaja, pada satu masa sedangkan penduduk semakin ramai.

“Kos keseluruhan dianggarkan RM500,000 untuk tujuan ini, sekarang masih belum cukup tetapi akan dibantu pelbagai sumbangan orang ramai persendirian dan syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas selesai program penyerahan sumbangan itu.

Yaakob berkata, sumbangan dihulurkan itu membantu jawatankuasa masjid berkenaan menjayakan projek yang dirancang sejak sekian lama itu.

Wakil Sekolah Agama Intergrasi KAFA Ehsanuddin, Adni Lajis pula berkata, sumbangan RM10,000 yang diterima akan digunakan untuk membeli bangku bagi kegunaan pelajar.

“Sumbangan ini dapat kami gunakan untuk mengganti bangku lama bagi keselesaan anak kita belajar nanti,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Giliran surau Nurul Iman terima RM30,000

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada surau Nurul Iman di Kampung Parit 1, Sungai Besar, di sini.

Beliau berkata, ia bagi menampung kos penambahbaikan surau uzur yang berusia puluhan tahun itu selain inisiatif jangka pendek sempena ketibaan Ramadan dalam tempoh kurang dua bulan lagi.

“Pada masa sama, saya melihat sama ada tapak itu boleh dibangunkan surau baru kerana dimaklumkan ia adalah tapak persendirian dan pemilik sudah bersetuju untuk mewakafkannya.

MB SURAU USANG SABAK BERNAM (1)“Jadi, saya minta pihak berkenaan memulakan proses wakaf dengan persetujuan pemilik. Kita akan lihat kosnya selepas proses wakaf selesai,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menikmati sarapan pagi di Warung Parit 1 yang terletak kurang 100 meter dari surau Nurul Iman.

Walaupun tiada dalam jadual, beliau yang diadukan berhubung hal surau berkenaan segera menapak untuk melihat sendiri keadaannya.

Sejurus ‘ziarah’ mengejut itu, Mohamed Azmin memilih untuk menunggang motor kapcai sejauh kira-kira 12 kilometer untuk ke lokasi seterusnya di Masjid Sultan Muhammad Shah, Kampung Parit 10.

Beliau berkata, tindakannya meninggalkan kereta rasmi bagi memudahkannya memeriksa keadaan jalan di kawasan berkenaan.

“Tahniah Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam kerana jalan elok.

“Jalan berturap bukan kerana menteri tetapi mereka lakukan untuk kemudahan dan keselesaan penduduk setempat,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Surau Othmaniah kini lebih selesa

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 26 OGOS: Jemaah Surau Othmaniah, di sini, boleh menjalankan ibadah dengan lebih selesa apabila surau itu dilengkapi lebih kemudahan alat penghawa dingin dan kipas.

Jawatankuasa surau terbabit menjalankan pemasangan kelengkapan tambahan itu selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv.

“Bantuan diberi melalui peruntukan Kerajaan Negeri kepada ADN dalam membantu rumah ibadah di kawasan ini.

DSC_9359 kecil“Sedikit sumbangan ini adalah usaha bagi menyediakan keselesaan kepada jemaah surau,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Rajiv mengadakan lawatan ke Surau Othmaniah bagi meninjau kerja pendawaian dan pemasangan alat penghawa dingin juga kipas dilakukan di situ.

Beliau berkata, terdapat tiga surau di DUN Bukit Gasing dan surau terbabit antara rumah ibadah yang sering dilawatinya termasuk berbuka puasa bersama jemaah dalam Ramadan.

Difahamkan, Surau Othmaniah dapat menyediakan kemudahan tambahan itu apabila menerima sumbangan hampir RM10,000 daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Mewakili jawatankuasa surau, salah seorang ahlinya, Karim Ghazali merakamkan penghargaan kepada Rajiv atas sumbangan diberikan itu.

“Hubungan baik terjalin bersama beliau memudahkan kita berkongsi pandangan dalam usaha menambahbaik surau ini. Dengan sumbangan diterima, kita dapat melakukannya dengan lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

RM2.5 juta baiki dan naik taraf surau

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 29 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembangunan semula surau di seluruh negeri itu dengan reka bentuk baru berdasarkan keperluan semasa.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi, berkata reka bentuk surau bersesuaian dengan peruntukan itu masih di peringkat penelitian.

yunuskhairi-web4“Setakat ini kita mengenal pasti beberapa surai di lima daerah iaitu Klang, Kuala Langat, Petaling, Ulu Selangor dan Ulu Langat.

“Setiap surau diperuntukkan RM500,000 untuk pembinaan baru mahupun naik taraf mengikut keperluan surau tersebut,” katanya sewaktu Majlis Penyerahan Tabung ‘Selangor Humanitarian Fund’ di Dataran Sakinah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam menyediakan peruntukan pembinaan surau namun sejumlah peruntukan dalam Belanjawan 2016 disediakan bagi membiayai pembinaan surau baru.

“Sebelum ini, pembiayaan naik taraf surau inisiatif daripada sumbangan masyarakat dan bantuan daripada Lembaga Zakat selangor (LZS).

“Kita juga mempertimbangkan sistem penghawa dingin di surau bersesuaian di kawasan tersebut setelah meneliti beberapa faktor keperluan semasa,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Surau reka bentuk baru bakal dilengkapi penghawa dingin

Oleh: NAZLI IBRAHIM

BANTING, 27 SEP: Projek pembangunan surau dengan reka bentuk baru di Selangor akan turut mengambil kira keperluan semasa, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata, antaranya termasuk sistem penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara yang mempunyai cuaca panas hampir sepanjang tahun.

yunus“Saya berbincang dengan arkitek dan kita mengambil kira semua aspek. Memang kebanyakan surau dilengkapi penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara kita yang panas.

“Bagaimanapun, keperluan hawa dingin ini perlu sejajar dengan keperluan semasa. Adakala, masjid atau surau besar memerlukan keperluan penghawa dingin yang banyak tetapi jemaah yang ada tidak seramai hari Jumaat jugahari lain yang ada majlis.

“Ini juga kita fikirkan,” katanya kepada Selangor Kini pada Program Sijangkang Fun Run 1st Edition di Kampung Sawah, Sijangkang, di sini, hari ini.

masjid01Dr Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri juga mendapati terdapat beberapa surau di Selangor yang berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung pertambahan jemaah, sekali gus membahayakan jemaah yang menggunakannya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis di Kampung Melayu Ampang, berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah dana dalam Belanjawan 2016 bagi membiayai pembinaan surau baru di seluruh Selangor.

Katanya, surau baru itu nanti bukan sahaja memiliki ciri keselamatan, bahkan diberi satu reka bentuk baru yang standard di seluruh negeri.

-NFN-