Categories
GLOBAL

Trump mohon dana RM33.5 bilion pulih kesan Taufan Harvey

WASHINGTON 2 SEPT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meminta Kongres meluluskan dana awal pemulihan bernilai AS$7.85 bilion (RM33.52 bilion) untuk membantu pembangunan semula mangsa banjir di Texas.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Pengarah Bajet Rumah Putih, Mick Mulvaney, dalam surat kepada Speaker Dewan, Paul Ryan, menjelaskan kegagalan menaikkan had pinjaman yang dijangka dicapai penghujung bulan ini bakal menghalang permintaan seterusnya untuk mendapatkan dana bantuan.

Katanya, dana itu termasuk AS$7.4 bilion (RM31.60 bilion) untuk disalurkan kepada Agensi Pengurusan Dana Bantuan Kecemasan Persekutuan dan AS$450 juta (RM1.9 bilion) untuk program pinjaman pentadbiran perniagaan kecil kepada mangsa.

Harvey2“Permintaan ini adalah bayaran muka terhadap komitmen presiden untuk membantu memulihkan semula negeri yang terjejas dan keperluan permintaan untuk pembangunan jangka masa panjang,” katanya.

Trump dijangka mengemukakan permohonan AS$5.95 bilion (RM25.41 bilion) untuk usaha pemulihan selepas Taufan Harvey menenggelamkan Houston dan beberapa bahagian di Texas.

Rumah Putih berkata, ia bakal mengemukakan beberapa permintaan daripada Kongres untuk menyalurkan dana untuk tujuan pemulihan mangsa Harvey.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Steve Bannon jadi mangsa terbaru pemecatan Trump

WASHINGTON 20 OGOS: Ketua Strategik pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS), Steve Bannon menjadi individu terkini yang dipecat Donald Trump.

Akhbar The New York Times memetik kenyataan seseorang yang rapat dengan Bannon memberitahu surat peletakan jawatannya sudah dihantar pada 7 Ogos lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan Bannon, beliau tidak akan meletakkan jawatan secara sukarela.

“Bannon tidak akan melepaskan jawatannya, sebaliknya menunggu beliau dipecat oleh Rumah Putih. Hingga saat ini beliau masih melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, termasuk beberapa projek,” katanya.

Menurut individu terbabit, pengumuman berhubung peletakan jawatan Bannon sepatutnya dibuat minggu ini tetapi ditangguhkan susulan kekecohan dalam tunjuk perasaan di Virginia.

Isu membabitkan Korea Utara dilihat antara yang mencemarkan imej Bannon selepas bersetuju diwawancara American Prospect minggu ini.

Beliau mendakwa tidak menyedari kenyataan terbabit dirakam kerana beranggapan sedang berbual bersama seorang ahli akademik.

Malahan, Bannon telah memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau boleh kembali bersama agensi berhaluan kanan Breitbart News jika disingkirkan Rumah Putih.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump lonjak minat rakyat AS mengenali Islam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 FEB: Sekatan kontroversi dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka bakal melonjak minat rakyat negara Uncle Sam itu untuk lebih mengenali Islam.

Pensyarah Pengajian Agama di Leeds Trinity University, Anna Piela berkata, rumusan itu diperoleh berdasarkan respon ahli akademik sama ada Islamophobia yang berkembang sejak tragedi 9/11 menjadi lebih teruk dengan pentadbiran Trump.

Katanya, respon bagaimanapun menyatakan minat pelajar universiti terhadap pengajian Islam dan Timur Tengah meningkat setiap kali berlakunya peralihan kuasa politik.

islamophobia3“Prof Madya Pengajian Antropologi dan Silang Budaya di University of Houston-Clear Lake Texas, Maria Curtis memberitahu, setakat ini terdapat 22 pelajar berdaftar dalam kelas Pengajian Islam di Amerika.

“Katanya, mereka berharap mempelajari lebih banyak berkenaan akar umbi Islam di AS dan sangat teruja untuk tahu berapa dalam akar itu,” katanya dipetik Times Higher Education.

Beliau berkata, pandangan itu turut disokong kenyataan Charles Kurzman dan Carl W Ernst dari University of North Carolina di Chapel Hill dalam kertas kerja bertajuk Pengajian Islam di Universiti AS, pada 2012.

“Mereka mendapati minat terhadap Islam di institusi pengajian tinggi AS menunjukkan peningkatan, sejak 2011.

“Bilangan disertasi dan artikel akademik tentang Islam juga berkembang pesat selari dengan tumpuan dan sensasi yang media berikan kepada Islam,” katanya merujuk laporan kertas kerja itu.

Pada 28 Januari lalu, Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Terbaru, Rumah Putih dilapor sedang mempertimbang cadangan merangka perintah eksekutif baru berhubung sekatan terhadap pendatang selepas Mahkamah Agung membatalkan perintah eksekutif terdahulu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Agensi Berita Reuters lancar perang terhadap Trump

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 FEB: Agensi berita antarabangsa, Reuters menyarankan wartawannya melayan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai seorang diktator asing.

Ketua Pengarangnya, Steve Adler mengakui pentadbiran Trump memberi cabaran baru kepada dunia kewartawanan negara Uncle Sam itu.

Katanya, media AS kini berdepan pentadbiran yang aktif menyebarkan berita palsu.

“Bagaimanapun, kami sudah tahu bagaimana mahu berhadapan dengan mereka kerana kami melakukannya setiap hari di serata dunia.

“Reuters ialah sebuah organisasi berita global yang melapor secara bebas dan adil di lebih 100 negara termasuk tempat di mana media tidak diundang dan sering diserang.

“Saya sentiasa berbangga dengan tugasan kami di Turki, Filipina, Mesir, Iraq, Yaman, Thailand, China, Zimbabwe, Rusia dan negara di mana terdapat isu penapisan, pendakwaan undang-undang, penafian visa serta ancaman fizikal terhadap wartawan kami,” katanya dalam satu memo diedarkan kepada semua kakitangan Reuters pada 31 Januari lalu.

Adler turut menggesa wartawan untuk tidak terlalu memikirkan halangan yang ada dan menjadi lebih pintar dalam mencari sumber sekiranya akses disekat pentadbiran Rumah Putih.

“Kami tidak pasti bagaimana tajam serangan pentadbiran Trump atau sejauh mana serangan berkenaan bakal diiringi sekatan undang-undang terhadap carian berita kami.

“Tetapi yang pasti, kami perlu mengikuti peraturan sama yang mengawal kerja kami walau di mana sahaja,” katanya.

Memo sama turut disertakan senarai perkara ‘boleh dibuat’ dan ‘tidak boleh dibuat’ oleh wartawan Reuters.

Antaranya; ‘usah risaukan mengenai akses rasmi seperti laporan kita di Iran yang sangat mengagumkan walaupun tanpa akses rasmi kerana kita ada ‘sumber’.

Terdahulu, Trump menggelar wartawan sebagai ‘manusia paling tidak jujur di atas muka bumi’.

Beliau dan pentadbirannya turut mengugut dan mengganggu wartawan yang menulis berita tidak menyebelahi mereka.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Polisi Trump bawa kesan buruk dunia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JAN: Dasar luar diperkenal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat bakal melebarkan jurang di antara umat Islam dan bukan Islam.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, ia seterusnya menyemarakkan lagi sentimen pelampau (extremism) dalam bentuk radikal Islam seperti Islamic State (IS) dan Islamiphobia dalam kalangan bukan Islam.

Katanya, dasar itu juga diperhatikan negara Eropah serta dunia Barat yang sedang menyaksikan bangkitnya golongan haluan kanan.

“ABIM khuatir dasar luar Trump akan mula dicontohi serta diamalkan sekiranya golongan haluan kanan menguasai politik di beberapa negara seperti Perancis.

“Perdana Menteri Britain, Theresa May misalnya sudah mula mengambil sikap berdiam diri dan tidak mahu mengkritik dasar terbaru Trump itu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Trump menandatangani 10 perintah eksekutif dan dikatakan akan menghentikan visa pelancong ke atas tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Raimi berkata, dasar Trump terhadap Islam itu turut memberi tempias kepada isu kritikal lain.

“Tindakan itu pastinya mempengaruhi bagaimana mereka menentukan dan berurusan dengan isu seperti Islam radikal, isu Israel-Palestin serta usaha pendamaian dalam kalangan negara Islam,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Adakan sidang tergempar OIC rangka strategi arahan eksekutif Trump

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mengadakan pertemuan tergempar bagi merangka strategi untuk menjamin keadilan dan persefahaman antara semua pihak dalam isu berkaitan arahan eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersama 57 negara Islam perlu membabitkan diri dalam perbincangan itu.

Katanya, arahan eksekutif yang melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat membuatkan banyak yang terkesan.

“Saya kecewa menerima berita arahan eksekutif Trump yang ditandatangani Jumaat lalu (27 Januari) bagi melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat.

wan-azizah“Walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum seperti yang kita saksikan ini dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud pada waktu ini di antara pentadbiran Amerika Syarikat sekarang dan dunia Islam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, arahan itu tidak sah, tidak berperikemanusiaan, malahan turut bersifat perkauman.

Katanya, arahan terbabit menyebabkan beberapa individu yang mempunyai dokumentasi sah ditahan di beberapa lapangan terbang.

“Ini membangkitkan kemarahan rakyat Amerika yang membantah tindakan kejam kerajaan mereka. Saya mengecam tindakan Trump yang menghalang kemasukan individu daripada beberapa negara majoriti Muslim,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu tidak akan memberi jaminan keselamatan di negara lain di dunia.

Sehubungan itu, Nik Nazmi meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian sama ada menyokong atau membantah tindakan Trump.

“Saya juga menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan hal ini dan memutuskan reaksi negara terhadap tindakan itu serta yang kita boleh ambil untuk membantu pelarian,” katanya.

Terdahulu, Trump menandatangani 10 perintah eksekutif dan dikatakan akan menghentikan visa pelancong ke atas tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump bersifat diskriminasi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung kemasukan warga Islam dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu tidak wajar.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mustafa Ishak berkata, sekatan imegresen itu juga adalah satu bentuk diskriminasi nyata.

Katanya, ia juga dibuat secara menyeluruh tanpa mengira sama ada mereka pengganas atau tidak.

syria“Tidak masuk akal kalau seluruh penduduk dari tujuh negara itu pengganas.

“Perkara ini buat pertama kali dilakukan di AS iaitu satu tindakan dibuat presiden berasaskan kepada prinsip yang dijunjung AS selama ini iaitu tidak diskriminasi terhadap individu berdasarkan kaum, agama dan jantina,” katanya dipetik Hari Ini 8 di Astro Awani.

Pada 28 Januari lalu, Reuters melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, sekurang-kurangnya 90 hari.

Kata Trump, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

Tindakan itu bagaimanapun dikecam Parti Demokrat yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan nilai AS dan menjejaskan reputasi negara itu yang mengalu-alukan imigran sebelum ini.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Dasar anti Islam Trump: Najib perlu panggil mesyuarat tergempar OIC

OLEH LIM KIT SIANG

Najib perlu memanggil mesyuarat tergempar OIC untuk menuntut Trump membatalkan perintah eksekutif yang berunsur anti-Islam untuk menghalang warga dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memanggil mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk menuntut Presiden Trump membatalkan perintah eksekutif yang berunsur anti-Islam untuk menghalang pelarian dan warga dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam daripada memasuki Amerika Syarikat selama 90 hari.

Perintah eksekutif Trump, yang buat sementara waktu menghentikan kemasukan semua pelarian selain sekatan selamanya untuk pelarian dari Syria, juga buat sementara mengharamkan kemasukan pemegang visa dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam: Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yemen.

oiclogoPerdana Menteri harus menghantar mesej segera kepada Trump untuk membantah perintah eksekutif ini sebagai satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan tidak menunjukkan nilai negara Amerika yang sebenar.

Mesej bantahan dan kecaman daripada Najib terhadap perintah eksekutif ini adalah penting untuk disegerakan kerana beliau telah mengeluarkan satu mesej tahniah pada 21 Januari semasa Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.

* Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dasar fiskal Trump, ringgit sedikit kukuh

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Ringgit lebih kukuh berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal pagi ini ekoran kebimbangan berterusan berhubung dasar fiskal Presiden Donald Trump terus memberi tekanan kepada dolar.

ringgitPada jam 9.12 pagi, ringgit didagangkan pada 4.4260/4310 berbanding dolar AS dan 4.4370/4400 bagi penutup semalam.

Pedagang berkata, pengukuhan ringgit sejajar prestasi matawang Asia.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding matawang utama dunia, lapor BERNAMA.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1317/1357 dari 3.1271/1296 semalam dan susut berbanding pound British kepada 5.5936/6030 dari 5.5844/5900.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.7619/7691 dari 4.7693/7734 dan mendatar berbanding yen kepada 3.9068/9122 dari 3.9068/9105.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Faktor Trump sukarkan ringgit pulih

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Faktor Trump dijangka terus memberi kesan positif kepada dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus meneruskan tekanan kepada ringgit untuk kembali kukuh dalam pasaran matawang.

Ahli Ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, hal itu ekoran dasar yang akan diperkenalkan Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menambah keyakinan ahli perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi negara ‘Uncle Sam’ itu.

“Sama ada dia stabil atau tidak, bergantung kepada pasaran dan permintaan. Kalau ekonomi kita baik, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu berkembang dengan unjuran lebih empat peratus ada kemungkinan permintaan itu akan kembali stabil.

“Bagaimanapun, masalahnya sekarang adalah kekuatan dolar AS kerana cadangan Trump akan datang ini memberi keyakinan kepada pihak ahli perniagaan iaitu dasarnya makin mengukuhkan dolar. Bila dolar semakin kukuh akan menyebabkan ringgit kita semakin terancam,” kata bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu.

kamal salihKamal berkata demikian pada Forum ‘Integration with Integrity’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Damansara, di sini, semalam.

Beliau yang kini merupakan Profesor Adjunct Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya menjelaskan, negara ketika ini harus berusaha mengembalikan keyakinan kepada pelabur terhadap pertumbuhan dan potensi ekonomi negara untuk berkembang.

Bagaimanapun, katanya, keyakinan pelabur turut dipengaruhi pelbagai isu lain seperti politik dan skandal rasuah seperti kes melibatkan 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB).

Kamal berkata, kemerosotan ringgit akan mengakibatkan inflasi meningkat, kos sara hidup tinggi, peluang pekerjaan berkurangan dan kesan negatif lain.

Selain Kamal, forum anjuran Alumni Maktab Tentera Diraja itu turut menampilkan beberapa bekas pelajar maktab berkenaan yang mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Mereka adalah Penyelidik Kanan (kesihatan & dasar sosial), Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan, Fakulti Ekonomi & Pentadbiran Universiti Malaya, Profesor Chan Chee Khoon; Pengarah Eksekutif Man Yau Holdings Berhad, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail; ahli ekonomi terkenal, Jomo Kwame Sundaram dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Henti kempen Islamophobia, Trump belajarlah kesilapan George W Bush

OLEH NORHAYATI UMOR

Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan kongresnya perlu segera berhenti daripada meneruskan kempen berbaur Islamophobia dan propaganda bernada ancaman terhadap Islam di negra itu serta seluruh dunia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, hal itu kerana manifesto dan kenyataan provokasi Trump yang berbaur Islamophobia dan anti Islam di sepanjang kempennya mengundang kegusaran dalam kalangan minoriti Muslim di Amerika Syarikat khususnya dunia Islam.

ABIM-RAIMI-300x236Katanya, hasrat Trump untuk melaksanakan dasar luar yang lebih agresif untuk menangani ancaman ISIS dan radikalisme Islam dinanti penuh debar oleh pemimpin dunia dan masyarakat global.

“Kemenangan Trump sebagai Presiden AS mengejutkan pelbagai pihak serta masyarakat antarabangsa itu disusuli pelbagai persoalan membabitkan dasar domestik dan antarabangsa serta dasar Islam juga umat Islam.

“ABIM menghormati keputusan rakyat Amerika Syarikat yang memilih wakil rakyat mereka untuk berada di Dewan Perwakilan, Senat serta Presiden yang baru melalui saluran pilihan raya yang demokratik.

“Namun, manifesto dan kenyataan provokasi Trump yang berbaur Islamophobia dan anti Islam sepanjang kempennya mengundang kegusaran dalam kalangan minoriti Muslim di Amerika Syarikat dan dunia Islam umumnya,” katanya kepada SelangorKini, pada 10 November lalu.

Trump selaku calon Parti Republikan itu memenangi pilihan raya presiden AS selepas melepasi 270 undi elektoral mengalahkan calon Demokrat, Hillary Clinton yang sebelumnya dilihat sebagai pilihan utama untuk menjadi Presiden ke-45 negara ‘uncle sam’ itu.

Taikun hartanah itu dalam kempen pilihan rayanya jelas menunjukkan sentimen anti Islam sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan minoriti Muslim di negara itu dan umat islam seluruh dunia.

Tak perlu terjemah operasi menentang Islam

Raimi berkata, operasi menentang pengganas tidak harus diterjemahkan sebagai operasi menentang Islam dan Muslim dalam dasar luar Amerika.

Republican presidential candidate Donald Trump speaks to supporters as he takes the stage for a campaign event in Dallas, Monday, Sept. 14, 2015. (AP Photo/LM Otero)

Katanya, Trump perlu belajar daripada kesilapan mantan Presiden George W Bush yang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menangani elemen ‘terrorisme’ mengakibatkan konflik, peperangan dan kemelaratan berpanjangan di banyak negara Islam serta melahirkan ISIS juga kumpulan pengganas lain.

“Sentimen Islamophobia itu mewabak seiring dengan berkembangnya arus nasionalisme haluan kanan yang dibawa Trump sepanjang kempen beliau.

“Fenomena Islamophobia dan xenophobia terhadap imigran asing ini sebenarnya merupakan gelombang ‘trend’ global yang sedang tangkas berkembang khususnya di Barat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemenangan Trump adalah indikasi utama selepas peristiwa ‘Brexit’ yang menandakan berkembangnya aliran nasionalis haluan kanan di benua Eropah.

Raimi juga berpendapat, pentadbiran Trump mempunyai kuasa politik lebih besar dan kekangan yang minima dalam rangka merubah secara signifikan polisi domestik dan dasar luarnya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Trump digesa henti kempen Islamophobia

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencermati perkembangan terkini Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (A.S) 2016 yang baru sahaja berakhir dengan kemenangan berpihak pada Donald J. Trump mewakili parti Rupublikan. Beliau akan memulakan tugas beliau sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat setelah mengangkat sumpah pada 20 Januari 2017.

ABIM menghormati keputusan rakyat Amerika Syarikat yang telah memilih wakil rakyat mereka untuk berada di Dewan Perwakilan, Senat serta Presiden yang baru melalui saluran pilihanraya yang demokratik.

Walaubagaimanapun, kemenangan Donald J Trump nampaknya telah mengejutkan pelbagai pihak serta masyarakat antarabangsa. Kejutan ini disusuli dengan pelbagai persoalan terutama sekali membabitkan dasar-dasar domestik dan antarabangsa, yang menyentuh turut menyentuh secara khusus dasarnya tentang Islam dan umat Islam.

Manifesto dan kenyataan provokasi Trump yang berbaur Islamophobia dan anti-Islam di sepanjang kempennya telah mengundang kegusaran di kalangan minoriti Muslim di Amerika Syarikat dan dunia Islam umumnya.

Hasrat Trump untuk melaksanakan dasar luar yang lebih agresif untuk menangani ancaman ISIS serta apa yang ditanggapi sebagai radikalisme Islam pasti dinantikan dengan penuh debar oleh pemimpin dunia dan masyarakat global.

Sentimen Islamophobia ini mewabak seiring dengan berkembangnya arus nasionalisme haluan kanan yang di bawa oleh Trump sepanjang kempen beliau.

Fenomena Islamophobia dan xenophobia terhadap imigran asing ini sebenarnya merupakan gelombang trend global yang sedang tangkas berkembang khususnya khususnya di Barat.

Dalam erti kata lain; kemenangan Trump adalah indikasi utama selepas peristiwa “Brexit” yang menandakan berkembangnya aliran nasionalis haluan kanan di benua Eropah.

Dengan penguasaan majoriti Republikan di Kongres Amerika Syarikat dalam pilihanraya kali ini, pentadbiran Trump pastinya mempunyai kuasa politik yang lebih besar dan kekangan yang minima dalam rangka merubah secara signifikan polisi domestik dan dasar luarnya.

Dalam konteks inilah ABIM menggesa agar Trump dan kongres Amerika Syarikat berhenti dari meneruskan kempen berbaur Islamphobia dan propaganda bernada ancaman terhadap Islam dan Muslim di Amerika dan seluruh dunia.

Operasi menentang pengganas tidak harus diterjemahkan sebagai operasi menentang Islam dan Muslim dalam dasar luar Amerika.

Trump harus belajar dari kesilapan mantan Presiden George W.Bush yang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menangani elemen terrorisme yang telah menghasilkan konflik, peperangan dan kemelaratan yang berpanjangan di banyak negara Islam serta melahirkan ISIS dan kumpulan pengganas yang lain.

Dalam konteks Malaysia, secara khususnya, kemenangan Donald Trump telah menimbulkan persoalan mengenai masa depan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ataupun TPPA yang masih belum diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat sehingga ke saat ini.

Di Amerika Syarikat; TPPA telah mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak kerana ia dikatakan tidak menguntungkan ekonomi domestik rakyat Amerika Syarikat.

Donald Trump, bahkan pesaingnya Hillary Clinton telah secara konsisten menentang perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang “merugikan” Amerika Syarikat seperti NAFTA serta TPPA.

Dalam hal ini; ABIM ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, (rujuk The Star, “No TPPA without US involvement, says Mustapa, 9 November 2016), yang mengatakan bahawa perjanjian TPPA tidak akan terlaksana tanpa penglibatan Amerika Syarikat.

Bersandarkan kepada kenyataan ini; ABIM ingin menegaskan pendirian dan sikapnya yang sejak dari awal konsisten membantah tindakan kerajaan Malaysia menandatangani TPPA.

Namun, bantahan demi bantahan yang dikemukakan oleh NGO dan suara rakyat dipandang enteng dan diremehkan oleh kerajaan yang tetap meneruskan komitmen menandatangani perjanjian TPPA secara tergesa-gesa walaupun telah acapkali diperingatkan implikasi besarnya terhadap kedaulatan undang undang negara dan kedaulatan rakyat.

Lebih menghairankan, Malaysia berkeras menandatangani TPPA sekalipun hakikatnya sangat jelas bahawa Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Barack Obama masih belum mendapat mandat daripada Kongres untuk meneruskan TPPA.

Justeru atas justifikasi yang jelas inilah ABIM bersama-sama rakan NGO iaitu Teras dan Unggas telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 4 November 2015 yang menuntut agar pihak kerajaan dihalang untuk terus menandatangani TPPA.

Kes tersebut telahpun diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2016 dan kini sedang diteruskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Ini merupakan bantahan dan usaha berterusan ABIM dan NGO yang mewakili suara rakyat Malaysia, yang sejak dari awal lagi menolak TPPA termasuk menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan bahawa TPPA tidak akan terlaksana di Malaysia.

Persoalannya kini, seandainya benar perjanjian tersebut mendatangkan manfaat yang besar kepada negara, mengapa pula nada kerajaan seperti yang disuarakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri sejurus selepas kemenangan Trump seakan mahu berundur ke belakang dan berusaha membatalkan perjanjian TPPA.

Bukankah sepatutnya kerajaan mendesak pentadbiran Trump untuk meneruskan perjanjian TPPA seandainya benar ia membawa manfaat yang begitu besar kepada negara?
* MOHAMAD RAIMI AB RAHIM adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)