Categories
AGENDA GLOBAL

Umrah fasa ketiga: Arab Saudi sambut jemaah Pakistan, Indonesia

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Arab Saudi pada Ahad menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing dari Pakistan dan Indonesia selepas menggantung visa ibadah itu pada Februari lalu akibat penularan virus Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam OIC (UNA) dalam satu laporan berkata kumpulan tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, disambut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Taher Benten bersama timbalannya Dr Abdulfattah Suliman Mashat dan pengarah lapangan terbang itu, Issam Nour.

Ketibaan jemaah berkenaan merupakan fasa ketiga kebenaran menunaikan umrah serta ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan setiap jemaah warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama tiga hari di hotel tertentu sebelum dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

“Selain itu, kementerian turut menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk syarikat dan perkhidmatan umrah bagi memastikan tindakan pencegahan virus Covid-19 dapat dilakukan,” kata laporan itu.

Berdasarkan rancangan strategik yang disusun Kerajaan Arab Saudi, fasa ketiga itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung setiap hari.

Pada 23 September lepas, Arab Saudi mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu.

Fasa pertama bermula 4 Oktober lepas, membenarkan rakyat Arab Saudi dan penduduk di negara itu menunaikan umrah dengan 6,000 jemaah setiap hari, diikuti fasa kedua dalam kategori jemaah yang sama, ditingkatkan kepada 15,000 jemaah sehari.

Sementara fasa keempat, Arab Saudi akan membenarkan semua kategori jemaah menunaikan umrah dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Arab Saudi benarkan semula umrah mulai 4 Oktober

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Arab Saudi membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan diterbitkan Saudi Press Agency, Kementerian Dalam Negerinya memaklumkan kira-kira 6,000 warganya dan penduduk di situ dibenar menunaikan umrah setiap hari sebagai permulaan.

“Jemaah dari luar pula akan dibenar menunaikan ibadah itu mulai 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari,” katanya lapor Berita Harian.

Kementerian itu turut memaklumkan ibadah tersebut dibenarkan semula sepenuhnya selepas ancaman wabak pulih.

Sejak Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan umrah dan mengehadkan kapasiti haji tahunan akibat bimbang penularan Covid-19 ke kota-kota sucinya.

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Malaysia sedia benarkan jemaah tunai umrah, bergantung situasi

PARIT, 6 OGOS: Tiada masalah untuk membenarkan jemaah Malaysia menunaikan umrah namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan Covid-19 dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya menyambut baik segala keputusan yang bakal dilaksanakan Arab Saudi namun lebih mengutamakan kemaslahatan dan dari segi kesihatan.

“Jadi, kalau semuanya ok, saya rasa tidak ada masalah tapi buat masa ini dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah-langkah dalam mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bernilai keseluruhan RM25,000 daripada Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama, Kampung Lambor Kanan, di sini, semalam, yang terbakar baru-baru ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media Arab Saudi, yang menyatakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang menilai pembukaan semula Makkah untuk ibadah umrah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kos dalam menunaikan ibadah umrah kerana mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan kerana Covid-19.

Ia kerana kos tambahan dalam menunaikan umrah bagi rakyat Malaysia jika dibenarkan juga akan mengambil kira kos ujian saringan Covid-19 serta beberapa kos tambahan lain yang akan diperhalusi kemudian, katanya.

“Berdasarkan situasi semasa macam kita balik kampung balik raya ada peraturan seumpamanya, jadi tidak pelik kalau berlaku peningkatan kos.

“Namun saya lebih prihatin daripada sudut keselamatan kesihatan dan kepatuhan pada tatcara operasi piawai (SOP) yang sewajarnya untuk elak Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Arab Saudi hadkan jumlah jemaah haji

BEIRUT/ANKARA, 23 JUN: Arab Saudi tahun ini akan mengehadkan jemaah haji hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19, sekaligus menutup pintunya kepada jemaah haji luar negara, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan berkata hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Kes Covid-19 di Arab Saudi melepasi 161,005 dengan lebih 1,300 kematian manakala lebih 105,000 sudah pulih.

Sejak pertama kali dikesan di China pada Disember lalu, Covid-19 sudah menular ke sekurang-kurangnya 188 negara dan wilayah.

Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia antara negara paling teruk terjejas.

Wabak maut itu sudah meragut hampir 470,000 nyawa penduduk di seluruh dunia, dengan lebih sembilan juta kes disahkan dan lebih 4.47 juta pesakit pulih, menurut data Johns Hopkins University.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua penerbangan pulang jemaah umrah berjalan biasa

PUTRAJAYA, 29 FEB: Semua penerbangan pulang jemaah umrah Malaysia dari Jeddah dan Madinah di Arab Saudi berjalan seperti biasa, menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

Konsulat itu, melalui kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata penerbangan berkenaan termasuk kendalian syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia.

Menurutnya, pihak konsulat telah membuat lawatan konsular ke lapangan terbang antarabangsa Jeddah dan Madinah semalam dan hari ini berikutan arahan sekatan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi bermula Khamis lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan berhubung penerbangan pulang ke Malaysia, wakil ejen jemaah umrah atau penumpang diminta berhubung dengan pihak konsulat untuk bantuan dan panduan sewajarnya,” kata konsulat itu.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas akibat Covid-19 berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguh sementara perjalanan ke Arab Saudi

PUTRAJAYA, 27 FEB: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan langkah negara itu menggantung sementara kemasukan warganegara asing termasuk dari Malaysia berikutan wabak Covid-19.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan setelah pengesahan rasmi berhubung perkara itu diterima daripada Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini.

“Pihak Berkuasa Arab Saudi mengambil langkah ini bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak Covid-19. Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah-langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa negara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menggantung sementara kemasukan warganegara asing ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah ke Masjid Nabawi di Madinah.

“ …juga menghentikan kemasukan ke Arab Saudi oleh pengunjung dengan visa pelancong dari negara mengalami wabak COVID-19, berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. Menurut Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dimaksudkan,” katanya.

Wisma Putra berkata pihaknya serta Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.

“Rakyat Malaysia di Arab Saudi yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gantung sementara visa umrah: Puluhan ribu jemaah terjejas

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sekitar tengah hari tadi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata setakat ini, tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura, didapati disekat pendaftaran visa dalam talian.

Beliau berkata bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.

“Yang terjejas itu, kalau Mac sahaja dalam 15,000 hingga 20,000 jemaah. Pagi tadi visa boleh buat, cuma tengah hari sudah tidak boleh lagi. Kita semak dalam pukul 8 pagi, tiada masalah, tapi dalam tengah hari tadi sudah tidak boleh buat visa, sekarang ini online.

“Tapi saya dengar tiga negara sudah terkeluar iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya di sini hari ini.

Razali berkata kira-kira 3 petang tadi, beberapa penerbangan yang sepatutnya dinaiki oleh jemaah umrah dari Malaysia telah dibatalkan setelah menerima arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Agensi Berita Saudi melaporkan, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Luar negara itu mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan Covid-19.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.

“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tinggikan kompaun agensi tipu umrah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) sedang mempertimbang untuk meningkatkan kadar kompaun terhadap agensi pelancongan yang terbabit dengan penipuan pakej umrah.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Haslina Abdul Hamid berkata, ketika ini mereka yang didapati terbabit dengan kes penipuan itu hanya dikenakan denda RM5,000 yang dilihat terlalu rendah dan tidak memberi sebarang kesan kepada pelakunya.

Katanya, kementerian kini di peringkat akhir bagi perbincangan berkenaan dan keputusan akan diserahkan kepada menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik sebelum ia dimuktamadkan serta dibawa ke Kabinet.

“Tujuan utama adalah untuk memberi pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kerana ia menganiayai golongan yang ingin menunaikan umrah terutama yang berada di luar bandar.

“Pengendali pakej umrah yang menipu ini terlalu licik jadi untuk selesaikannya juga mengambil masa jadi langkah meningkatkan kadar kompaun ini sebagai usaha tepat,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian B2B Umrah dan Percutian Muslim 2018 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), semalam.

Sejak 2012 hingga Mei 2018, sebanyak 359 kes dilaporkan berhubung penipuan melibatkan agensi umrah dengan melibatkan kerugian bernilai RM12.4 juta.

Categories
NASIONAL

Saudi larang ziarah beberapa kawasan ketika umrah, haji

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 APR: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan ziarah ke beberapa lokasi terhadap jemaah umrah dan haji berkuat kuasa, pada 19 April lalu.

Larangan itu dimaklumkan kepada semua agensi haji dan umrah serta mutawwif bertugas sepanjang berada di tanah suci.

Kawasan larangan yang dimaksudkan adalah Ladang Kurma, Jabal Thur, Jabal Noor (lokasi Gua Hira’), Bani Sa’ad, Masjid Ku’ dan Masjid Ibnu ‘Abbas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook mutawwif.com, larangan itu dikeluarkan bagi mengelakkan perkara khurafat dan bida’ah kerana ada jemaah India melakukan tawaf keliling pokok di perkampungan Bani Sa’ad, di Thaif.

Kesan daripada itu, para jemaah tidak lagi dibenarkan menziarahi kawasan itu dan hanya fokus kepada Masjidilharam serta Masjid Nabawi sahaja, malahan mereka yang melanggar arahan akan didenda Sr5000.

Para jemaah hanya dibenarkan untuk melihat dari jauh sahaja atau tidak turun daripada bas.

“Peringatan kepada yang sedang pergi, jangan buat perkara pelik-pelik, tingkah laku kalian menjejaskan orang lain.

“Walaupun ada disebut khusus jemaah India, tidak dapat dinafikan, ada juga segelintir daripada jemaah Malaysia dan Indonesia pun melakukan perkara pelik,” katanya.

Categories
GLOBAL

Wanita 25 tahun ke atas boleh masuk tanpa mahram

JEDDAH, 11 JAN: Jurucakap Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) melaporkan wanita berusia 25 tahun dan ke atas dibenarkan masuk ke negara itu menggunakan visa pelancong.

Kebenaran itu tidak membabitkan wanita berusia 25 tahun ke bawah kerana mereka perlu ditemani ahli keluarga atau mahram untuk masuk ke negara itu, lapor Arab News.

Memetik Berita Harian Online, Ketua Pengarah, Jabatan Pelesenan SCTH, Omar Al-Mubarak berkata, visa pelancong akan berfungsi sebagai visa masuk tunggal dan sah selama 30 hari.

“Visa ini turut merangkumi mereka yang sudah berada di Arab Saudi termasuk bagi mereka yang bekerja, melancong, menunaikan haji dan umrah”.

Baru-baru SCTH berkata, peraturan membabitkan pengeluaran visa pelancong itu bakal diumumkan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

“Peraturan eksekutif membabitkan pengeluaran visa itu sedang dimuktamadkan. Jabatan Teknologi Maklumat SCTH juga sedang membangunkan sistem elektronik bagi mengendalikan pengeluaran visa pelancong ini dengan kerjasama wakil Pusat Maklumat Kebangsaan dan Kementerian Luar,” kata Omar kepada Arab News.

Sementara itu, pelaksanaan sistem visa pelancong sepanjang 2008 hingga 2010, berjaya menarik lebih 32,000 pelancong mengunjungi Arab Saudi.

Ketika ini, prosedur pengeluaran visa itu dikendalikan beberapa syarikat pengendali pelancongan yang diberikan lesen oleh SCTH.

Inisiatif visa pelancong ini bertujuan menaik taraf sistem visa pelancong sedia ada bagi membolehkan orang ramai meneroka destinasi baharu pelancongan, di Arab Saudi.

Ia sekali gus bertujuan menjana sektor pelancongan dan membangunkan perkhidmatan pelancongan serta warisan di negara itu.

Pada masa sama, ia juga sebahagian daripada inisiatif Program Transformasi Kebangsaan 2020 untuk mencapai Wawasan 2030 yang memberi tumpuan kepada industri pelancongan.

Categories
NASIONAL

147 jemaah terkandas, lesen syarikat umrah dibatalkan

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah syarikat pengurusan umrah bakal berdepan dengan tindakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan iaitu pembatalan lesen ekoran gagal memberikan alasan munasabah berhubung 147 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 8 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lesen syarikat terbabit akan dibatalkan dalam waktu terdekat dan memberi 14 hari notis untuk mengemukakan rayuan dari tarikh notis pembatalan disampaikan.

“Tidak munasabah apabila alasan yang diberikan penginapan penuh di Mekah sedangkan mereka seharusnya sudah sedia maklum bulan Ramadan adalah waktu puncak.

jemaah umrah“Mereka juga perlu mengambil langkah awal untuk buat tempahan dan sebagainya. Ini satu bentuk penganiayaan kepada mangsa,” katanya semalam, lapor BERNAMA.

Mas Ermieyati berkata, orang ramai diminta menyemak latar belakang syarikat yang mengendalikan umrah sebelum membuat pembayaran dan meminta semua jemaah terbabit membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap syarikat terbabit.

Katanya, tahun lalu syarikat umrah sama turut menyebabkan 31 jemaah terkandas di Mekah selama empat hari selain gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun syarikat itu dikenakan tindakan dan membayar kompaun, pada Februari lalu.

Categories
SELANGOR

Terpilih umrah bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JAN: Penjawat awam terpilih menyertai program Lambaian Kaabah Selangorku menganggap insentif diberikan kerajaan negeri itu bagaikan bulan jatuh ke riba.

Ketua Guru Sekolah Kafa Kampung Bukit Cherakah, Jeram, Siti Zaitun Mohd Said, 48, berkata, ini berikutan kos mengerjakan umrah tinggi dan menjadi impian setiap umat Islam menjejakkan kaki ke Makkah.

SITI ZAITUN MOHD SAID“Saya dah 25 tahun mengajar sebagai guru Kafa tak menjangka Kerajaan Selangor hubungi saya beritahu jemputan mengerjakan umrah yang memang menjadi impian semua orang.

“Macam saya ini nak kata mampu tu, memanglah kurang mampu sebab itu saya teruja sangat rasanya seperti bulan jatuh ke riba dan saya ucapkan terima kasih,” kata Siti Zaitun kepada Selangor Kini di Majlis Pelancaran Lambaian Kaabah Selangorku di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Guru Kafa Intergrasi Al-Insaniah Taman Sri Indah, Sungai Besar, Zurina Zainuddin, 42, turut merasa bersyukur perkhidmatannya selama 20 tahun sebagai guru Kafa mendapat penghargaan Kerajaan Negeri.

ZURINA ZAINUDDIN“Saya mengikut prosedur yang sepatutnya dan tak sangka terpilih. Memang semua orang ada impian masing-masing dan inilah impian saya. Terima kasih banyak-banyak,” kata Zurina.

Shamsuddin Manan, 56, pula memberitahu insentif dipilih mengerjakan umrah itu mendorong beliau untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi.

“Insha-Allah dalam baki empat tahun lagi untuk saya pencen, saya akan berbakti dengan lebih cemerlang lagi. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana memilih saya,” kata Shamsuddin.

Program Lambaian Kaabah yang julung kali diadakan tahun ini merupakan insentif Kerajaan Negeri Selangor terhadap perkhidmatan cemerlang kakitangan anak syarikat negeri, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pentadbiran kerajaan negeri, agensi kerajaan, Pejabat Exco, Pejabat DUN, Pejabat Speaker, Guru Takmir dan Kafa Selangor.

EZY