Categories
SELANGOR

Penyerahan bantuan bencana hawar daun bakteria selesai sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESAR, 8 FEB: Kerajaan Negeri terus membela nasib petani yang berhadapan bencana hawar daun bakteria (BLB) dengan menyalurkan peruntukan RM769,920 membabitkan 802 lot sawah, di Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam.

Penyerahan bantuan kepada 884 penerima disempurnakan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehin Mukhyi dan Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan.

Bercakap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada pesawah Bencana Hawar Daun Bakteria (BLB), Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam di Dewan Seri Bernam, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.54 juta dengan pemberian RM960 satu lot membabitkan 8,953 pesawah.

“Pada masa ini tiada racun kimia mengawal serangan bakteria BLB. Petani diingatkan supaya melaksanakan amalan pertanian baik bagi mengelakkan ia berulang. Guna benih padi sah dan baja seperti yang disyorkan Jabatan Pertanian,” katanya.

Katanya, bencana BLB yang berlaku pada musim 2/2016 itu menjejaskan pendapatan pesawah sehingga 60 peratus.

Difahamkan, setakat ini pesawah sekadar memperoleh hasil sekitar lima tan bagi satu lot, namun ia tidak mencukupi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan berbentuk baja dan racun yang sudah diserahkan kepada pesawah dengan jumlah keseluruhan RM980,000.

Pada masa sama, pesawah diingatkan supaya mendaftar di bawah Skim Takaful Pesawah Padi Negeri Selangor yang memperuntukkan RM3.3 juta bagi 10,000 pesawah sebelum dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Categories
SELANGOR

Terharu bantuan Kerajaan Selangor luluskan pinjaman perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 27 DIS: Penduduk asal Bukit Botak terharu apabila impian memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai ekoran permohonan pinjaman untuk membeli rumah di Taman Mutiara Selayang yang diusahakan bertahun-tahun akhirnya mendapat kelulusan pihak Maybank Berhad Seksyen 14 dengan bantuan Kerajaan Negeri.

Sugan a/l Govindasamy, 27, yang mendiami kawasan itu sejak kecil berkata, pada awalnya bapanya menemui jalan buntu untuk mendapatkan pinjaman, namun dengan adanya bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri menyebabkan peluang memiliki rumah sendiri kembali terbuka.

“Semasa saya kecil rumah kami dirobohkan untuk dibangunkan projek perumahan tetapi bapa saya yang berkerja sebagai juruteknik tidak layak mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah.

“Apabila Kerajaan Negeri baru ambil alih, kami kembali mencuba dengan menggunakan nama saya tetapi masih sukar kerana saya masih belajar pada masa itu. Namun dengan pertolongan Kerajaan Negeri kami mendapat pinjaman untuk membeli rumah,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Taman Mutiara Selayang di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri membantu keluarga beliau untuk memiliki rumah berharga RM99,000 dalam pelbagai aspek seperti membantu menyediakan dokumen dan berunding bagi pihak pembeli dengan pihak bank bagi memudahkan kelulusan peminjam.

Sementara itu, Mohd Zain Mohamad, 60, pula berkata beliau terpaksa menunggu selama kira-kira dua tahun sebelum permohonan pinjamannya diluluskan pihak bank.

“Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan terima kasih banyak kepada Yang Berhormat Mohd Zaidy kerana menjayakan kelulusan pinjaman. Dua tahun menunggu pinjaman diluluskan tetapi sekarang saya lega dapat rumah sendiri,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini beliau juga pernah berhadapan pengalaman dihalau pemilik rumah disebabkan kegagalan membayar sewa rumah.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib sempat berkongsi pengalaman beliau melalui peringkat awal untuk mengesan penduduk asal Bukit Botak.

“Kami menghadapi timbunan dokumen lama di mana banyak antaranya tulisan yang sudah pudar sehingga sukar untuk dibaca tetapi Alhamdulillah mereka ini dapat dikesan dengan bantuan jiran-jiran lama mereka,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Galakan bangun pusat peneraju usahawan ternakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 11 NOV : Kerajaan Negeri menggalakkan sebarang usaha usahawan tempatan untuk membangunkan pusat peneraju usahawan ternakan di seluruh negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, agensi di peringkat Kerajaan Negeri bersedia membantu sebarang keperluan pembangunan itu.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dan tumpuan secara konsisten Jabatan Veterinar dan porfolio pertanian di peringkat Kerajaan Negeri.

“Sebarang usaha ke arah pembangunan pusat peneraju seperti ini di sokong dalam dalam usaha meningkatkan industri penternakan.

“Inisiatif untuk menyokong agenda ini diperluas menerusi Pelan Induk yang mana kita sudah menjalankan kajian secara menyeluruh untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, Zaidy Abdul Talib turun padang meninjau keperluan operasi Nuralis Agro Farm sebagai sebuah pusat pembangunan penternakan ayam negeri.

Untuk rekod, Nuralis Agro Farm merupakan pusat latihan keusahawanan yang menawarkan kemahiran latihan penternakan ayam kepada golongan belia yang berminat dalam bidang penternakan dan keusahawanan.

Pusat latihan keusahawanan itu menerapkan pengurusan ternakan ayam tempatan yang mampu menghasilkan pulangan pendapatan kepada belia sehingga mencecah RM10,000 sebulan.

Terdahulu, penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan dan penternakan dilaksanakan di peringkat negeri menerusi penganjuran karnival infratani dan program Agro GeMS melibatkanya penyertaan belia negeri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Exco kongsi rahsia 4P jana pendapatan produk niaga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 24 OGOS: Pengusaha industri asas tani disaran mengamalkan teknik permasaran 4P sebagai kaedah meningkatkan produk jualan, sekali gus mampu menjana pulangan pendapatan lebih tinggi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, elemen berkenaan dikelaskan mengikut pecahan elemen tertentu iaitu ‘product’, ‘price’, ‘place’ dan ‘promotion’.

“Prinsip asas ‘product’ bermaksud produk pengeluaran barangan perlu bermutu. Jika ia jenis makanan, sudah tentu pelanggan mahu makanan yang sedap dan lazat.

VETMART (4)“Maka, saya menyeru kepada semua pengusaha pemprosesan supaya mencipta resepi, membuat percubaan dan mendapatkan maklum balas pengguna sehingga produk dihasilkan benar-benar sedap juga berkualiti.

“Selain itu, kebersihan dan kesucian produk juga perlu diutamakan,” katanya pada Majlis Perasmian Vetmart Parit Baru, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, istilah ‘price pula merujuk kepada kadar harga dengan galakan kepada pengusaha meletakkan harga berpatutan supaya pelanggan tertarik untuk membeli produk niaga.

“Salah satu cara untuk mengekalkan harga berpatutan dengan memaksimumkan kos operasi pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, rujukan ‘place’ pul merujuk kepada tempat barangan dijual perlu sesuai dengan citarasa penduduk.

Katanya, produk niaga perlu memenuhi keperluan dan tuntuan masyarakat supaya menepati citarasa serta kemahuan masyarakat.

Zaidy berkata, langkah ‘promotion’ atau promosi jualan produk kepada masyarakat tempatan.

“Promosi bermaksud pengusaha dan operator perlu menganjurkan kempen jualan murah dari semasa ke semasa atau menggunakan sistem pengumpulan mata bagi mencipta peluang pertambahan pelanggan,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘Recyle’ bangunan kerajaan, Vetmart jana pendapatan usahawan tempatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 24 OGOS: Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Jabatan Perkhidmatan Selangor (Vetmart) cawangan Parit Baru, di sini, dibuka sebagai inisiatif menempatkan produk usahawan kecil, di peringkat akar umbi.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pembukaannya juga diyakini mampu menjana pulangan pendapatan kepada pengusaha produk tempatan.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mencari ruang supaya pengusaha tempatan mudah memasarkan produk yang dikeluarkan mereka.

“Salah satu usaha yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan mengubahsuai bangunan kerajaan yang tidak digunakan lagi dan menjadikannya sebagai Vetmart.

VETMART (2)“Kini, pengusaha industri asas tani di kampung ini dan kawasan sekitarnya mempunyai pilihan pemasaran untuk menghantar produk masing-masing ke Vetmart,” katanya pada Majlis Perasmian Vetmart Parit Baru, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Akma Ngah Hamid dan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Sabak Bernam, Nurul Husna Aziz.

Difahamkan, ia adalah premis ketiga pembukaan Vetmart dilancarkan selepas perasmian cawangan Sungai Nibong dan Sijangkang.

Zaidy berkata, masyarakat perlu mengambil manfaat daripada pembukaan premis baru itu untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan hasil usahawan kecil dan sederhana.

“Saya memyeru orang ramai dan ahli masyarakat di kawasan ini untuk menyokong usaha itu bagi membantu pengusaha industri asas tani tempatan dengan menjadikan Vetmart sebagai lokasi beli-belah penduduk.

“Pengusaha tempatan juga perlu bijak menggunakan peluang ini untuk memasarkan produk niaga, di samping mengadakan perbincangan dengan operator supaya lebih banyak produk pengusaha dipasarkan,” katanya.

Terdahulu, Zaidy turut menurunkan tanda tangan pada papan tanda rasmi sebagai simbolik perasmian pembukaan premis niaga itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kebun Smart Selangor galak pertanian konsep moden

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Projek Kebun Smart Selangor adalah satu langkah terbaru bagi menggalakkan industri pertanian di negeri ini terutama bagi golongan penduduk bandar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek itu akan dibangunkan di setiap daerah untuk djadikan contoh kepada orang awam supaya menceburi bidang pertanian berasaskan komersil menggunakan teknologi moden.

“Kebun Smart Selangor ini lebih kepada komersial dengan menggalakkan tanaman menggunakan teknologi moden melalui konsep fertigasi.

ZAIDY TALIB (2)“Dalam konsep ini, satu ekar kawasan boleh tanam 1,000 polibeg yang boleh mengeluarkan hasil untuk pendapatan. Setakat ini, kita sudah mengenalpasti satu lokasi untuk setiap daerah di Selangor,” katanya.

Katanya, model itu diusahakan di tanah berkeluasan satu ekar dengan bajet dibawah 50,000 serta boleh dikembangkan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersedia memberikan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pengusaha yang berminat untuk mengusahakan tanaman kontan di atas tanah milik kerajaan supaya mereka memperoleh hasil.

“Langkah ini diharapkan menjadi cabang baru kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil pendapatan memandangkan kawasan komuniti dan bandar memiliki ruang pertanian terhad,” katanya.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan menggalakkan orang ramai mengusahakan ladang komuniti bersifat perkongsian plot kecil yang kebanyakannya diusahakan di kawasan perumahan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tepis dakwaan muflis, Selangor kekal utuh laksana dasar air percuma

KUALA SELANGOR, 21 APR: Walaupun wujud dakwaan di peringkat Persekutuan kononnya pelaksanaan dasar air percuma memungkinkan Selangor menjadi negeri
muflis, namun kejayaan dasar itu untuk tahun kesembilan membuktikan skim berkenaan dijayakan secara berkesan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pencapaian itu sekali gus mengesahkan pentadbiran Selangor sebagai negeri berkebajikan di bawah urus tadbir Kerajaan Pakatan.

“Dulu, ada pihak mendakwa Selangor bakal muflis kalau dasar pemberian air percuma dilaksanakan. Tetapi, sudah tahun kesembilan pelaksanaanya dan ekonomi Selangor kekal utuh.

Zaidy Abdul Talib (1)“Rizab negeri yang dulunya ketika Umno-Barisan Nasional memerintah hanya sekitar RM400 juta sahaja tetapi kini mencecah RM3.5 bilion ringgit dan inilah kejayaan kita.

“Pemberian 20 meter padu ini pula menuntut Kerajaan Negeri membelanjakan RM170 juta setahun yang dilaksanakan sebagai inisiatif peduli untuk kepentingan rakyat Selangor,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ketua Blok Petani di Hotel Apps, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM1.1 bilion bagi pelaksanaan skim air percuma 20 meter padu, sepanjang 2008 hingga 2015.

Statistik mendapati kadar penggunaan air dianggarkan sebanyak 235 liter bagi setiap individu setiap hari yang lebih tinggi berdasarkan piawaian dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Optimis Selangor kekal pengeluar padi terbesar negara

KUALA SELANGOR, 21 APR: Selangor mencapai perolehan pengeluaran padi terbesar negara dengan penghasilan 6500 kilogram tan setahun, untuk tempoh 2011 hingga 2015.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau optimis kejayaan itu mampu dikekalkan walaupun perolehan untuk tahun 2016 masih belum dikeluarkan.

“Komitmen berterusan di pihak pentadbiran negeri dan usaha gigih golongan petani Selangor meletakkan kita sebagai pengeluar produk tani tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tempoh 2016 dan 2017 menyaksikan kesukaran produk pertanian ekoran serangan Bakteri Hawar Daun (BLB), namun kebajikan petani serta pengusaha masih menjadi teras utama pentadbiran negeri.

LANTIKAN KETUA BLOK (3)“Kesungguhan ini dinyatakan sendiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan bantuan RM8.7 juta bagi membantu pengusaha tani yang terkesan.

“Bantuan disalurkan mengikut keutamaan kadar kerosakan dan mengenepikan sentimen sokongan parti politik seperti didakwa individu tertentu sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ketua Blok di Hotel Apps di sini, hari ini.

Tidak terhenti setakat itu, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan keperluan bantuan baja organik dan racun rumpai kepada pengusaha tani terbabit dengan jumlah peruntukan RM943,300.

“Peringkat awalnya di bawah portfolio saya, kita salurkan bantuan dalam bentuk baja mikro sebanyak 2000 botol membabitkan 2000 lot dan racun rumpai 2600 lot.

“Bantuan Kerajaan Negeri ini tentunya sedikit sebanyak melegakan pengusaha tani kerana difahamkan di peringkat Persekutuan khabarnya ada janji untuk diberikan bantuan. Tetapi sampai sekarang belum lagi,” katanya.

Terdahulu, seramai 169 petani bagi kawasan Barat Selangor dipilih sebagai ketua blok baru bagi tempoh lanjutan dua penggal bermula tahun ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lantikan 169 Ketua Blok Kuala Selangor tingkat produk tani

KUALA SELANGOR, 21 APR: Seramai 169 petani di kawasan pengairan daerah Kuala Selangor dipilih sebagai Ketua Blok Pertanian Sawah Padi bagi mengusahakan produk pertanian kawasan diwakili mereka.

Lantikan membabitkan kawasan pengairan di Sawah Sempadan (39), Sungai Burong (61), Sekinchan dan Sungai Leman (69).

Sementara 25 individu lagi bertanggungjawab sebagai Ketua Kampung Pecahan Pengairan membabitkankan tujuh orang di Sawah Sempadan serta masing-masing sembilan di Pengairan Sungai Burong, Sekinchan dan Sungai Leman.

Majlis penyerahan watikah disampaikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib di Hotel Apps, di sini, hari ini.

LANTIKAN KETUA BLOK (3)Zaidy berkata, lantikan itu diharap dapat memberi sumbang saran kepada mereka dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pertanian di daerah berkenaan.

“Lantikan ini penting disertakan dengan tanggungjawab untuk memastikan golongan petani memberi khidmat bakti terbaik kepada masyarakat.

“Tanggungjawab ini juga memerlukan anda menjadi medium terpenting kepada Kerajaan Negeri untuk mendapat sebarang makluman berkaitan isu pertanian padi di peringkat akar umbi.

“Anggaplah amanah ini sebagai landasan untuk melebar cakupan perkhidmatan terbaik yang perlu diperluaskan demi kebajikan golongan tani seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, menzahirkan penghargaan, Abu Samah Ismail yang juga Pengerusi JKKK Kampung Parit 3 Sungai Burong berkata, tanggungjawab itu akan digalas secara konsisten bagi menambah baik mutu penghasilan padi negeri.

LANTIKAN KETUA BLOK (1)“Ini bukan pertama kali peluang sama diberikan. Amanah ini akan dilaksanakan sehabis baik demi manfaat umum khususnya golongan tani di sini,” katanya.

Bagi Ng Ah Kim yang mewakili JKKK Kampung S3B Sekinchan, beliau percaya komitmen diberikan akan dijayakan secara efektif berpandukan sokongan berterusan di peringkat negeri.

“Saya mengucapkan terima kasih apabila diberi kepercayaan ini. Terima kasih juga kepada pentadbiran negeri khususnya DUN Sekinchan yang rajin turun padang bantu petani di sini,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Blok di bawah pentadbiran Kerajaan PAKATAN menerima elaun bulanan RM1200 setahun, berbanding RM480 ketika zaman pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek Langat 2 siap akhir 2019

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Perancangan awal pelaksanaan Projek Langat 2 yang dijangkakan siap suku tahun ini kini berubah dan dijadualkan siap, pada akhir 2019.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja tapak bagi pembangunan Semenyih 2 yang bermula sejak 20 Mei 2016 sudah mencapai 24.14 peratus berbanding jadual 25.5 peratus.

Katanya, projek pembangunan yang masih ditangguhkan kelulusannya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menurut rekod sehingga 31 Disember 2016 memerlukan bekalan air yang dianggarkan 964 juta liter sehari.

ZAIDY DUN“Bagaimanapun, melalui Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2 yang sedang dilaksanakan, ia dapat meningkatkan kapasiti boleh agih sementara menunggu Projek Langat 2 siap.

“Loji Rawatan Air Semenyih yang dijangka siap Disember ini berkapasiti 100 juta liter sehari, manakala Labohan Dagang dijadualkan siap pada Disember 2018 dan mampu membekalkan 200 juta liter air sehari,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkenaan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dan Semenyih 2 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Zaidy berkata, dalam melaksanakan dua projek itu, masalah utama dalam pengambilan balik tanah sudah diselesaikan, manakala pemantauan secara berkala dan rapi melalui mesyuarat diadakan setiap bulan bagi membincangakan kemajuan projek serta mencari penyelesaian bagi sebarang permasalahan yang timbul.

Pada masa sama, Zaidy turut menjelaskan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang, Kuala Langat pelengkap kepada sistem agihan air yang menyeluruh bagi kawasan utara, Sungai Langat dan Semenyih.

“Projek ini dapat memberikan bekalan air terawat tambahan khusus menampung permintaan bagi beberapa kawasan. Justeru, masalah air dapat diatasi.

“Apabila Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 siap beroperasi, ia dapat membekalkan air khusus ke kawasan Semenyih-Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan menampung permintaan pembangunan baru di sepanjang Lebuhraya LEKAS,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

1,563 petani laksana 50 projek di Daerah Kuala Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 23 MAC: Sebanyak RM2.46 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi geran projek pembangunan pertanian yang melibatkan 1,563 petani bagi Daerah Kuala Selangor tahun ini.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM18 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

“Sebanyak 50 projek pertanian yang bakal diusahakan daripada pelbagai bentuk pertanian antaranya tanaman fertigasi, tanaman padi, projek buah-buahan, herba, madu kelulut dan sebagainya.

“Proses pemberian bantuan ini akan berterusan sepanjang tahun,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Penyampaian Geran Pembangunan Projek Pertanian 2017 Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor

Zaidy berkata, Kerajaan Negeri sentiasa merangka untuk penambah baikkan dalam sektor pertanian dengan menfokuskan teknologi baru.

IMG_8693“Kini Kerajaan Negeri merangka Pelan Induk Pertanian Negeri Selangor bersama pakar dari Universiti Putra Malaysia untuk mengenalpasti tanah yang ada kerana berlakunya tanah yang khusus untuk tanaman padi tetapi ada yang melaksanakan tanaman lain dan ada juga yang membangunkan struktur pembangunan.

“Kita juga melihat kawasan yang boleh dibuka untuk dijadikan kawasan pertanian dan jenis tanaman sesuai, dalam masa sama kita memikirkan cara meningkatkan pendapatan petani, setidaknya melebihi paras kemiskinan iaitu dengan meletakkan pelan induk pembangunan pertanian paling kurang RM3,000 sebulan,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

116 nelayan terima bantuan hampir RM1 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 4 MAC: Seramai 166 nelayan di daerah Klang menerima bantuan peralatan menangkap ikan daripada Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, seramai 50 daripadanya menerima bantuan jaring manakala 116 lagi menerima bantuan GPS (Global Positioning System).

Katanya, mereka merupakan sebahagian daripada 698 penerima di seluruh Selangor yang layak menerima bantuan dengan peruntukan RM995,000.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan nelayan, malah kita menyediakan program bantuan khas bagi memajukan nelayan.

“Kita juga bersedia meneliti bentuk bantuan lain dari masa ke masa dalam usaha memantapkan lagi taraf ekonomi golongan nelayan agar tidak terpinggir,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Bantuan Nelayan dan Akuakultur Peringkat Daerah Klang, di Kampung Delek Kanan, di sini, semalam.

Pada 2016, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.6 juta bagi menyediakan bantuan berbentuk peralatan menangkap ikan kepada nelayan serta makanan ternakan ikan untuk usahawan akuakultur Selangor.

Selain hampir RM1 juta untuk bantuan peralatan, sejumlah RM600,000 diperuntuk bagi bantuan peralatan kolam ternakan melibatkan 168 penerima.

“Bagi tahun ini pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi tujuan sama dan dijangka 500 penerima bakal memperoleh manfaat,” kata Zaidy.

Pada 2016, terdapat 1,324 nelayan berdaftar di Klang daripada 7,395 jumlah keseluruhan nelayan di Selangor.

=EZY=