Categories
SELANGOR

Usus babi jadi makanan ikan sebelum dijual

Oleh : Nazli Ibrahim

RAWANG 15 NOV: Seorang pemilik perusahaan pemprosesan babi tanpa lesen menjadikan organ dalaman babi seperti usus sebagai makanan ternakan ikan air tawar miliknya sebelum dipasarkan, selain memproses daging haiwan itu.

Ikan air tawar yang terdiri daripada patin, talapia dan keli itu diternak dengan menggunakan kaedah sangkar di lombong dan kolam berhampiran.

Penemuan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu yang diketuai Ketua Unit Tindakan Khas Pejabat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), C Paramasivam, di Jalan Kundang, Kampung Sungai Bakau, di sini, semalam.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAParamasivam berkata, pengusaha terbabit diberikan notis 30 hari sebelum premisnya dikenakan tindakan meroboh, selain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kami akan memohon untuk merobohkan premis ini kerana hanya Yang Dipertua sahaja mempunyai kuasa memberikan arahan itu.Selain menghadapi notis meroboh, pengusaha terbabit turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM6,000 atas enam kesalahan,” katanya.

Antara kesalahan itu adalah menyimpan daging babi tanpa lesen, tidak mematuhi prosedur penyediaan makanan, membuang tali perut babi ke dalam kolam dan lombong serta tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu seperti syarat yang dikenakan terhadap penyedia makanan.

Sementara itu, pengusaha terbabit mendakwa dia hanya memproses babi seperti melapah dan memotong, selepas dihantar pembekal babi untuk dijual di restoran.

Selain itu, Selangor Kini turut difahamkan, air kolam terbabit turut dilepaskan ke Sungai Kundang sebelum mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada sebahagian pengguna air negeri itu.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 2.30 petang itu membabitkan kira-kira 70 anggota daripada pelbagai jabatan dalaman MPS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Operasi turut dijalankan ke atas dua premis lain iaitu kilang membuat tauhu kering bersebelahan tempat memproses babi berkenaan dan kilang kitar semula tong yang terletak di Taman Perindustrian Puteri Permai.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

JPP projek buang masa, rugi dana rakyat – Mat Taib

Oleh : Naeem Raffi

SHAH ALAM 15 NOV : Pembangunan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) lantikan kerajaan pusat disifatkan sebagai satu lagi projek membuang masa dan merugikan dana rakyat.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, berkata hal itu adalah selepas meneliti kebarangkalian berlakunya pertindihan kuasa antara ahli majlis Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) dengan ahli pelaksana JPP.

mat taib“Secara kasarnya, perkara ini jelas akan berlaku kerana satu kawasan mempunyai dua jawatankuasa dengan peranan sama. Ia akan memecah belahkan hubungan masyarakat dan PBT, jadi lebih baik guna saluran sedia ada iaitu mengekalkan ahli majlis di bawah PBT, tanpa JPP.

“JPP ditubuhkan untuk kepentingan rakyat dan saya khuatir dana yang disalurkan tersekat di tengah jalan. Sampai satu peringkat, projek tidak terlaksana, tetapi pihak yang mengurus projek menggunakan dana itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Muhamad yang juga Ahli PAS, berkata dakwaannya itu bersandarkan kepada kegagalan kerajaan pusat memperincikan mekanisme JPP kepada pengetahuan umum walaupun dana RM63 juta untuk pembangunan entiti itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Nasional 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Ke mana dana besar itu akan disalurkan, siapa akan menerima dan menguruskannya, apa mekanisme serta mondus operandi yang akan digunakan.

“Ia tidak dijelaskan secara terperinci dan saya khuatir pembangunan JPP dengan dana puluhan juta itu tidak sampai kepada rakyat, tetapi tersekat di tengah jalan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Subsidi baja : Hak rakyat Kelantan terus dinafi

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Ahli Parlimen PAS Kelantan, mendesak kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya meneliti pemberian subsidi baja di negeri itu kerana ramai rakyatnya hak mereka atas perkara itu.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary, berkata hal itu selaras dengan peruntukan Seksyen 7 (C), Akta SPRM iaitu meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam untuk memudahkan penemuan.

Katanya, disebabkan penafian subsidi itu, kerajaan negeri terpaksa menyediakan RM1.5 juta subsidi kepada rakyat Kelantan.parliment

“Saya percaya kerajaan sengaja buat tidak tahu berkenaan permainan politik terhadap skim bantuan subsidi baja padi ini.

“Kelantan mengalami diskriminasi subsidi baja padi oleh Barisan Nasional (BN) tetapi menjelang Pilihan Raya Umum, calon BN akan memberi kupon baja dan berkempen supaya mengundi parti itu,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media berkenaan adalah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazlan dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Baihaki Atiqullah.

Beliau berkata, laporan polis juga sudah banyak kali dibuat dalam isu itu, namun sehingga kini masih tidak ada tindakan dilakukan.

“Saya harap penemuan laporan audit 2012 bahawa buku stok baja tidak disahkan secara mingguan dan tidak diselenggarakan secara harian di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dapat diatasi. Syor audit supaya dikaji pengeluaran program dasar jaminan bekalan makanan dan skim insentif pengeluaran padi dapat dilaksanakan dengan lebih tepat perlu diteliti,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Henti segera tambak sungai Terengganu, elak kejadian Cameron Highland berulang

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Kerajaan pusat perlu menghentikan projek penambakan Sungai Terengganu supaya kejadian serperti empangan pecah di Cameron Highland tidak berulang.

Kamarul BahrinAhli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah, berkata langkah itu kerana terdapat laporan daripada Majlis Keselamatan Negeri yang menjangkakan akan berlaku lima gelombang banjir di Terengganu, termasuk ramalan hujan lebat dan air pasang surut.

“Dengan berlakunya cuaca luar biasa dengan angin lebih 320 kilometer sejam melanda Filipina, Vietnam dan China, kerajaan harus lebih peka dan berhati-hati dengan situasi ini.

“Begitu juga dengan tragedi di Cameron Higland, kerajaan harus ambil tindakan selepas mengorbankan nyawa penduduk,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Raja Bahrin berkata, , beliau pernah bertanya kepada Menteri Kerja Raya dan Alam Sekitar berkenaan isu itu namun dua kementerian itu tidak memberi jawapan yang memuaskan, pada 12 dan 13 November lalu.

Katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan serius kerana membabitkan lebih 200,000 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berisiko dalam isu terbabit.

“Kerajaan memperjudikan nyawa rakyat dengan tindakan tidak bertanggungjawab. Saya harap kerajaan tolong prihatin dalam hal ini kerana sudah banyak kali membangkitkannya tetapi tidak satu tindakan diambil dan kerja penambakan sudah dua kali di lakukan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kerja penambakan lebih 80.94 hektar itu dibuat tanpa pelaksanaan kajian hidraulik dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) juga tidak mengawasi kerja terbabit dan hanya Jabatan Kerja Raya (JKR) ditugaskan menjaga projek itu.

“Ini adalah satu keadaan luar biasa apabila jabatan yang seharusnya dipertanggungjawabkan tidak ditugaskan mengawas dan mengendalikan projek itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata beliau bimbang kerana projek itu akan menjejaskan penduduk sekitar.

“Projek ini akan menyebabkan rakyat berada dalam keadaan bahaya kerana banjir mudah berlaku jika tidak dikawal berlaku,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Walau digantung, Surendran tekad terus halang roboh kuil

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran akan terus memperjuangkan hak kaum India dalam isu perobohan kuil bersejarah 100 tahun di Jalan P Ramlee.

Surendran berkata beliau akan terus mendesak Kerajaan untuk menghalang perobohan itu berlaku walaupun Dewan Rakyat memutuskan menggantungnya selama enam bulan.

surendran speech mic 02Katanya, tindakan Speaker menyingkirkannya dari Dewan Rakyat sebagai ‘memangsakan rakyat’ kerana beliau menyuarakan hak mereka.

“Mereka berjaya menyingkirkan saya, tetapi tindakan itu nampaknya memangsakan rakyat, akhirnya Barisan Nasional (BN) menghukum mereka. Walaupun saya disingkirkan, masalah itu masih belum selesai hingga kini.

“Saya akan teruskan usaha ini walaupun tidak dapat memasuki sidang dewan dan akan kembali selepas enam bulan,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini, pemimpin BN menyingkirkan Surendran daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan, selepas usul untuk menggantungnya diputuskan secara undi belah bahagi.

Usul untuk menggantung keahlian Surendran yang dikemukakan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri itu diluluskan dengan sokongan 92 Ahli Parlimen BN.

Nancy pada awalnya cuba membentangkan usul itu sejak jam 11.30 lagi tetapi tidak berjaya berbuat demikian ekoran bantahan demi bantahan daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Mereka membantah kerana usul itu dibawa tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan dan membawa usul tanpa cukup tempoh waktu bagi sesuatu usul dibahaskan.

Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila kebanyakan pemimpin PR bangun dan menjerit ‘usul haram’, ‘tarik balik’, ‘kuku besi’ dan menepuk meja hingga berlarutan lebih satu jam.

Surendran digantung selepas didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan sebagai “speaker yang bias (berat sebelah)” dan mengeluarkan “fakta yang tidak benar” dalam isu perobohan kuil di Jalan P Ramlee.

Tuduhan itu dianggap penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan yang menjalankan tugas sebagai pengerusi dewan dan bererti penghinaan yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

Surendran dturut ihalau keluar dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam isu yang sama, pada 12 November lalu.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

DYMM Sultan Selangor seru jangan jadikan kalimah Allah agenda politik

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negerì Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam seperti mana yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan DI Kalangan Orang Islam) 1988 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988. Enakmen tersebut adalah terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam di dalam negeri Selangor.

Selanjutnya, Baginda menegaskan bahawa semua rakyat di negeri Selangor, perlu patuh terhadap keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah membincangkan isu berkaitan dengan tuntutan penganut Agama Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa kallmah Allah adalah kallmah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan dalam agama-agama lain. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tersebut telah diwartakan pada 18 Februari 2010 (Sel. P.U. 6).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menegaskan bahawa sesungguhnya kedudukan agama Islam di Malaysia telah didaulatkan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebagaì Agama bagi Persekutuan dan mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama-agama lain.

Berhubung dengan kes The Herald, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sekali lagi menzahirkan dengan tegas pendirian Baginda berhubung isu Nama Allah bahawa Nama Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang dan fatwa yang berkuatkuasa. Oleh yang demikian, penggunaan kallmah Allah di dalam ‘Bible’ dan juga penerbitan ‘Herald’ versi Bahasa Melayu perlu dihentikan serta merta. lni bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut-penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat lslam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat di dalam Surah Al-Ikhlas.

Maka, dengan itu, Baginda menggesa semua rakyat yang duduk di negeri Selangor khasnya perlu menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, undang-undang ser-ta keputusan secara sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & lapan (8) yang lain v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No: W-Ot-l-ZOlO) pada 14 Oktober 2013.

Baginda juga menasihatkan agar mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ini ialah satu kalimah yang suci dan melibatkan akidah umat Islam.

Umat Islam digesa supaya merapatkan barisan, dan bersatu padu dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menghalang segala usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahguna dan menghina kalimah Allah yang suci ini. Adalah ditegaskan bahawa isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

Baginda berdoa ke hadrat Allah S.W.T. agar perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur.

Puan Hanafisah binti Jais, A.I.S.
Setiausaha
Dewan di-Raja Selangor
Istana Alam Shah, Klang
14 November 2013

Categories
SELANGOR

MB cadang bayaran syarikat konsesi air ditentukan perantara bebas

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 14 NOV : Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada badan bebas sebagai perantara untuk menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada empat syarikat konsesi air jika persetujuan itu masih menemui jalan buntu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat bagi kepentingan semua pihak memandangkan permintaan harga syarikat konsesi terbabit bercanggah dengan tawaran kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya, perbincangan masih diteruskan sehingga kini dan keputusan itu bakal diambil supaya ketelusan Selangor menguruskan air dirasai rakyat.

mb - majlis inovasi kerajaan negeri selangor 3“Pada saya, jika Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) masih berbeza dengan harga negeri, kita memang cadangkan ia dibuat mengikut perantara bebas.

“Jika rakyat tanya kepada saya kenapa Selangor bayar lebih daripada itu, kita boleh kata ia diadili dengan baik. Kalau perantara kata tidak perlu bayar, maka tidak perlulah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor 2013, di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Berhubung pendirian kerajaan pusat yang akan menggunakan undang-undang jika isu terbabit menemui jalan buntu, Abdul Khalid berkata, penyelesaian itu adalah lebih baik apabila membabitkan dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kementerian.

“Kita akan terus lindungi bekalan air dan akan menawarkan bekalan air bersih jika kementerian setuju, yang mana pakej pampasan akan dibincangkan kemudian,”katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan isu Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang mendakwa beliau menolak cadangan pembangunan rakyat, Abdul Khalid berkata, perjumpaan sudah diadakan dan lakaran Belanjawan 2014 akan diserahkan kepada mereka esok.

“Jumaat (15 Oktober), kita akan beri lakaran Belanjawan dan Selasa (19 Oktober) akan bentangkan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan insentif bernilai RM200,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Petaling bagi kategori kutipan tertinggi.

Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mendahului dengan kutipan cukai tanah semasa sebanyak 95.5 peratus dan tunggakan cukai tanah sebanyak 104.2 peratus, manakala Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pula memenangi kategori premium tanah 2012 dengan kutipan paling tinggi berjumlah RM318 juta.

Anugerah Inovasi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dimenangi Majlis Bandaraya Shah Alam yang membawa pulang piala, sijil dan cek bernilai RM20,000 manakala Anugerah Inovasi Menteri Besar Selangor diterima Majlis Perbandaran Subang Jaya yang menerima piala, sijil dan cek bernilai RM30,000.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PR kecam tindakan Speaker Dewan Rakyat gantung Surendran

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Pakatan Rakyat (PR) mengecam penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran daripada Dewan Rakyat kerana tindakan itu tidak berprinsip.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan Parlimen mengantung Surendran membuktikan Barisan Nasional (BN) memperbodohkan dan menghina sistem demokrasi Malaysia.

anwar whiteKatanya, perkara terbabit harus dibawa ke peringkat jawatankuasa Parlimen bagi menyiasat kebenaran sesuatu perkara, sebelum penggantungan dibuat.

“Kita dapat lihat cara Parlimen memperalatkan kita. Keputusan cukup jelas iaitu mesti cukup waktu usul dikemukakan, tetapi dalam kes ini perkara itu diketepikan. Apakah dengan mudah kita boleh mengantung Ahli Parlimen kerana menyuarakan suara rakyat?

“Sepatutnya mereka perlu membuat penyiasatan dalam perkara ini dan membawa ke peringkat jawatankuasa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, tidak seharusnya Dewan Rakyat meminta Ahli Parlimen membahas usul pengantungan itu, sedangkan ia tidak dirujuk dalam peraturan mesyuarat.

“Nak suruh bahas buat apa, ia tiada dalam peraturan, sedangkan kita sanggup membawa Surendran ke peringkat jawatankuasa untuk disiasat,” katanya.

Anwar berkata, jelas membuktikan bahawa Parlimen diperalatkan untuk kepentingan individu dalam kes terbabit.

“Dulu saya juga kena ketika membicarakan isu APCO, begitu juga dengan Ahli Parlimen Puchong. Nampaknya Parlimen digunakan, sedangkan ini adalah soal prinsip bukan teknikal dan kita harus menghormatinya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, berkata DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan BN yang angkuh dan bersifat kuku besi.

Katanya, dalam kes terbabit jelas menunjukkan Parlimen mengenepikan hak Ahli Parlimen untuk bersuara dengan bebas bagi membincangkan isu rakyat.

“Kita lihat dalam lima tahun, ramai Ahli Parlimen di ambil tindakan yang sama,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat kecoh, Surendran digantung 6 bulan

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) membantah usul Ahli Parlimen, Padang Serai, N Surendran digantung selama enam bulan dari Dewan Rakyat.

Pemimpin PR mula bangun selepas usul itu dibentangkan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri. 20130623_PKR_Padang_Serai_N_Surendran

Pemimpin PR bangun mula menjerit ‘tarik balik’ berulang kali.

Antara yang bangun membantah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan beberapa pemimpin lain.

Kekecohan itu berlangsung sudah berlangsung selama satu jam dan Azmin turut mencadangkan usul untuk mengantung Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Usul gantung Surendran selama enam bulan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong kerana tidak mengikut Peraturan Mesyuarat dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang DiPertua Dewan sebagai speaker yang bias dan mengeluarkan fakta tidak benar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PSRA: Restu ibu bapa pemangkin kejayaan Nur Nabiha, Aidil Ikram

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 14 NOV: Pelajar cemerlang Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat Selangor, Nur Nabiha Nasuha Muhammad Zamri menyifatkan restu ibu bapa sebelum ke sekolah adalah kunci kejayaannya.

Nur Nabiha, 12, yang memperoleh markah 99.2 peratus berkata, amalan itu dilakukan selain disebabkan perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap kedua ibu bapanya, selain bertujuan mendapatkan keberkatan ketika menimba ilmu di sekolah.

“Setiap kali sebelum ke sekolah saya akan memohon restu ibu bapa, minta mereka doakan kejayaan saya, selain berdoa sendiri selepas solat,” katanya selepas diumumkan sebagai pelajar perempuan cemerlang PSRA 2013 Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini, semalam.

Nur Nabiha yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah, Batu Belah, Klang juga yakin restu yang diberikan ibu bapanya antara faktor kejayaan dalam peperiksaan itu.

Sementara itu bapa Nabiha, Muhammad Zamri Che Ros, 41 tahun yang bertugas sebagai agen penghantaran memberitahu dia tidak pernah menghantar anaknya menyertai kelas tuisyen, sebaliknya lebih menumpukan kepada pendidikan di rumah dan menyediakan buku rujukan pelajaran yang diminta.

“Dia memang rajin buat ulangkaji pelajaran, sembahyang juga tak tinggal dan selalu baca Al-Quran,” katanya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERASementara itu, bagi kategori lelaki, Muhammad Aidil Ikram Amran yang bersekolah di Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong, berkata dia sentiasa memberikan fokus 100 peratus ketika sesi pembelajaran di sekolah dan itulah kunci kejayaannya memperoleh markah 98.8 peratus.

“Ada masa bermain dan berehat, tetapi saya akan beri sepenuh perhatian ketika sesi pembelajaran dan sangat penting adalah hormati ibu bapa dan guru untuk mendapat keberkatan,” katanya.

Bapanya, Amran Abdullah yang bertugas sebagai juruteknik swasta, berkata dia hanya memasukkan Aidil ke kelas tuisyen yang disediakan sekolah ketika hampir musim peperiksaan.

“Sebelum peperiksaan, sekolah ada buat kelas tuisyen malam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberikan tumpuan kepada pelajar sekolah itu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MySikap RM200 juta satu lagi projek pembaziran BN

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 14 NOV : Kegagalan sistem MySikap bagi menangani masalah kebanjiran pengguna berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu lagi bukti projek pembaziran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri, berkata beliau kesal dengan kegagalan sistem berharga RM200 juta itu berfungsi dengan sempurna sehingga menyusahkan pengguna.

“Kita berharap JPJ memperbaiki sistem yang menjadi rungutan apabila kaunter di seluruh negeri tidak dapat memberikan khidmat dengan baik dengan sempurna.

“Seharusnya, JPJ perlu memperhalusi keberkesanannya sebelum memperkenalkan sistem MySikap ini,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Media turut melaporlan portal MySikap menghadapi masalah menangani kapasiti beban besar daripada pengguna yang menggunakan sistem itu yang menyebabkan masalah teknikal menjejaskan berjuta pengguna dan mengikut rekod Malaysia mempunyai kira-kira 14 juta pemandu dan 24 juta kenderaan didaftarkan di bawah JPJ.

Yahya berkata, kerajaan perlu bertegas mengambil tindakan mendenda syarikat kontraktor yang dilantik mengendalikan operasi MySikap.

“Apa yang berlaku menyusahkan penggunadan kita mengharapkan supaya kerajaan pusat bertindak dengan menamatkan khidmat mereka dan melantik kontraktor lain. Pengguna yang berhadapan dengan masalah itu perlu memberikan komen dan aduan secara terus kepada laman sesawang JPJ dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

yahya saari batik songkok 01“Berikan aduan yang dihadapi di semua kaunter JPJ seluruh negara supaya tindakan segera dapat diambil kerajaan,” katanya.

Komen pengguna Facebook, Iean Nizar, berkata, kerajaan harus mengkaji secara menyeluruh dan menyediakan pelan keselamatan sebelum MySikap diperkenalkan.

“Perlu ada pelan kecemasan A, B, C, D jika perlu bila berlaku ‘server breakdown’ dan sebagainya, bukan bila sudah laksana dan dijalankan secara menyeluruh baru ada pelan kitu. Sebab utama adalah MySikap membabitkan ramai pihak daripada pelanggan hingga pejabat JPJ sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen Penampang : Speaker tolak usul

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 13 NOV : Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Darell kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menolak usul tergempar bagi mengkaji semula Perkara 20 dan Perkara 18 dalam Perjanjian Malaysia 1963, pada Isnin lalu .

darellDarell berkata, beliau mengemukakan usul terbabit bagi membolehkan satu penubuhan Suruhanjaya Khas mengkaji semula secara terperinci perjanjian terbabit.

Katanya, cadangan itu adalah bagi menentukan sama ada kandungan perjanjian itu dipenuhi dan ditepati kerajaan.

“Baru-baru ini, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa Perkara 20/18 dikaji semula selepas 10 tahun pembentukan Malaysia iaitu pada 1973. Dalam hal itu satu jawatankuasa khas sudah dibentuk, namun tidak sempat menjalankan kajian,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, usul terbabit perlu disegerakan kerana beberapa isu yang timbul kebelakangan ini dan antaranya kes pencerobohan di Lahad Datu dan penggunaan kalimah Allah yang mencabar asas penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Contohnya, kes penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak dan tindakan kerajaan yang menukar hakim anak asal Sabah dan Sarawak ke Semenanjung. Ia menampakkan sebagai ancaman kepada autonomi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga dengan kes Lahad Datu, tidakkah semua insiden ini memberi kesan kepada Sabah dan adalah hal yang perlu disegerakan,” katanya.

Darell berkata, beliau juga mahu membentangkan usul itu kerana kajian boleh dilihat sebagai ‘pembaharuan ikrar perkahwinan’ untuk mengeratkan lagi hubungan rakan kongsi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Tahun ini, adalah tahun ke 50 Persekutuan Malaysia. Walaupun 50 tahun sudah berlalu perkara ini masih lagi dibincangkan oleh warga Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Namun, tindakan speaker yang menolak usul ini dengan mengatakan ia tidak mendesak sangat mengecewakan saya,” katanya.

-NFN-