Categories
NASIONAL

Najib rayu keputusan Mahkamah Tinggi tolak permohonan gugur Sri Ram

PUTRAJAYA, 7 MAC: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes beliau membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib juga membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan sementara perbicaraan yang dijadualkan bermula 15 April hingga 3 Mei ini sementara menunggu rayuannya untuk menggugurkan Sri Ram, seorang peguam terkemuka dan juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, didengar.

Kedua-dua rayuan difailkan pada Jumaat lalu selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan Najib.

Dalam pengurusan kes berkenaan di sini hari ini, Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharidah Awang menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh seterusnya untuk pengurusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang mewakili pihak pendakwaan memberitahu pemberita mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes itu disebabkan penghakiman serta rekod rayuan belum siap.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib turut hadir pada pengurusan kes itu.

Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib selepas mendapati tiada bukti untuk menunjukkan Sri Ram akan berat sebelah selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes itu.

Mengenai hujah pihak pembelaan bahawa Sri Ram mesti mengemukakan surat lantikan beliau sebagai pendakwa raya secara arahan, Collin berkata, Najib tidak berhak untuk meminta surat itu.

Pada 20 Sept 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis cari empat individu bantu siasatan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Polis sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah kesalahan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu pertama adalah wanita warga Singapura dikenali sebagai Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55, yang beralamat di No. 19, Parkstone Road, 437662, Singapura.

“Polis juga mencari lelaki tempatan, Low Hock Peng dan wanita tempatan, Goh Gaik Ewe, masing-masing berusia 67 tahun dan beralamat di No. 69, Tanjung Bungah Park, 11200 Tanjong Bungah, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, turut dicari ialah Tan Kim Loong, 41, yang beralamat di No. 20 M, Jalan 5/40, Taman Pusat Kepong, 52000 Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali individu berkenaan supaya menghubungi Superintendan Foo Wei Min di talian 03-26101402 atau Deputi Superintendan Albany Hamzah di talian 019-2412826 dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman atau mana-mana balai polis berhampiran.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Wang dicuri dari 1MDB akan dibawa balik ke Malaysia

SINGAPURA, 14 NOV: Wang yang dicuri dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak US$4.3 bilion akan dibawa balik ke Malaysia walaupun mungkin tidak kesemuannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) kata jumlahnya kira-kira US$4.3 bilion. Kita berharap untuk mendapat balik jumlah itu tetapi mungkin sebahagian besar daripada jumlah itu telah hilang sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, wang itu mungkin tidak dapat dibawa balik dalam masa yang cepat kerana terdapat pelbagai proses yang terlibat, kata beliau.

“Mula-mulanya anda perlu membuktikan bahawa wang itu adalah milik anda. Setelah anda dapat membuktikannya sudah tentulah ada proses-proses yang harus dilalui. Mereka bukan boleh sekadar mengutipnya lalu menyerahkannya kepada anda di depan kaunter.

“Jadi, sudah tentu ia akan mengambil masa. DOJ telah berjanji akan memulangkan wang itu kepada kita,” katanya pada sidang media, semasa ditanya sama ada Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa balik wang itu.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengenakan tindakan-tindakan menghukum terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs Group, yang terlibat dalam skandal 1MDB dan sedang disiasat oleh DOJ, Dr Mahathir berkata: “Kami yakin kepada kedaulatan undang-undang.”

Goldman Sachs memperoleh bayaran kira-kira US$600 bagi urusan dengan 1MDB itu, termasuk tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013 yang telah mengumpul dana sebanyak US$6.5 bilion.

Menurut laporan, pihak pendakwa Amerika Syarikat telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs awal bulan ini.

Seorang daripadanya, Tim Leissner, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan konspirasi pengubahan wang dan berkonspirasi untuk melanggar undang-undang di bawah Akta Amalan Rasuah Luar Negara.

“Jika seseorang didapati telah melakukan jenayah mengikut undang-undang, maka dia akan dihukum dengan hukuman setimpal mengikut proses undang-undang. Tidak kiralah siapa dia. Dia mungkin Goldman Sachs atau mungkin sesiapa jua.”

Justeru, jika mereka didapati telah melanggar undang-undang dan terdapat bukti yang mencukupi maka kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan mengikut undang-undang, kata beliau.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib selesai beri keterangan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selesai memberikan keterangan selama empat jam berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadi beliau.

Selesai memberi keterangan, Najib meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ pada jam 1.38 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Najib kemudian tiba di kompleks mahkamah terbabit pada jam 1.48 tengah hari dibarisi peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada jam 4.13 petang semalam berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadinya.

Ahli Parlimen Pekan itu dijangka menghadapi beberapa pertuduhan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

Beliau juga pernah didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah, pada Julai dan Ogos lalu.

Terdahulu, pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Namun, Najib tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang sama (RM42 juta) hasil aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya, pada 8 Ogos lalu.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana membabitkan saksi serta dokumen sama.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 4 Oktober lalu.

– Bernama

Categories
NASIONAL

Selesai di SPRM, Najib dibawa ke Menara KPJ

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dibawa ke ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi ini.

Hal itu bertujuan merakam percakapan beliau berhubung siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kehadiran Najib itu juga bertujuan membantu siasatan pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes sama.

Memetik laporan Berita Harian, Najib tiba di perkarangan lobi Menara KPJ pada jam 9.20 pagi dengan diiringi dua motosikal pengiring polis dan sebuah kenderaan SPRM.

Kehadirannya Najib turut disambut beberapa pegawai AMLA yang dilihat menunggu di lobi bangunan itu seawal jam 8.30 pagi.

Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Najib dipanggil selepas beliau pernah dipanggil juga pada 27 Ogos dan 30 Ogos lalu berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Najib ditahan SPRM pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan semalam berkata, Najib ditahan berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Berdasarkan kenyataan itu, SPRM memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah petang ini.

 

Categories
NASIONAL

Ambrin sedia tampil jadi saksi siasatan semula 1MDB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi berhubung siasatan semula pendakwaan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor komited untuk tampil bekerjasama memberi kenyataan jika diperlukan pihak berkuasa.

“Kita mempunyai laporan daripada Jabatan Audit yang sudah digunakan sebagai asas kepada Kerajaan Persekutuan, jadi jika perkara ini hendak dibawa ke mahkamah dan memanggil saya sebagai saksi, saya akan pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor, di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, Ambrin turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor atas sumbangan dan jasa bakti membangunan ummah di negeri itu.

Beliau menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Tengku Laksamana Selangor, Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi Tengku Laksamana, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Categories
NASIONAL

AS percepat siasatan 1MDB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Penyiasat Amerika Syarikat mempercepatkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Reuters melaporkan, lebih banyak bukti bertukar dengan pihak berkuasa Malaysia ketika ini.

Sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya menerima sebahagian daripada wang AS$4.5 bilion yang didakwa daripada 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pula percaya, kerajaan baharu bersedia bekerjasama ketika pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS berkata, walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan mendakwa Najib dan sekutu, namun mereka lebih berminat jika Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya.

Difahamkan Najib kini mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lalu, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai ‘Malaysian Official 1’ (MO1).

Categories
NASIONAL

Polis sahkan wang tunai RM114 juta dalam 35 beg

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis mengesahkan RM114 juta ditemui dalam 35 daripada 72 beg dipercayai membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dirampas dari Pavilion Residences, di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, jumlah itu melibatkan 26 mata wang yang mengikut kadar pertukaran semasa.

Katanya, wang berkenaan dikira 21 pegawai daripada Bank Negara dan seorang pegawai daripada Bank Islam dengan menggunakan 11 mesin.

“Bagaimanapun baki 37 lain mengandungi barang kemas dan jam tangan akan dipastikan minggu hadapan.

“Polis juga sedang berusaha mendapatkan khidmat pakar untuk menilainya,” katanya pada Sidang Media di Ibu Negara, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 72 beg dan 284 kotak berisi beg tangan mewah dirampas dalam operasi 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Amar menggesa semua pihak tidak menyebarkan gambar palsu yang tular di media sosial didakwa memaparkan barangan rampasan daripada Najib.

“Semua ini berita palsu kerana saya sudah mengarahkan anggota polis dan tidak membenarkan mereka membawa telefon bimbit ketika operasi.

“Selain daripada jurugambar rasmi, tiada gambar lain diambil dalam semua serbuan kami,” katanya.

Terdahulu, Umno mendakwa wang tunai terbabit adalah baki dana kempen pilihan raya yang sedang dalam proses untuk dipindahkan kepada kepimpinan baru ekoran peletakan jawatan Najib sebagai presiden.

Categories
NASIONAL

Najib disoal siasat SPRM kali kedua pagi ini

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikehendaki hadir untuk kali kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, 10 pagi ini bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, perlu dirakam keterangan berhubung perkara itu, lapor Bernama

Sebelum ini, Najib disoal siasat SPRM hampir lima jam bagi memberi keterangan mengenai isu berkenaan, pada 22 Mei lalu.

Beliau yang tiba sekitar 10 pagi di ibu pejabat SPRM itu bagaimanapun keluar kira-kira jam 3.15 petang

Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memaklumkan bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan dan pihaknya akan merekodkan terlebih dahulu kenyataan beliau sebelum sebarang tindakan diambil.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Categories
GLOBAL

AS akan terus siasat 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengeluarkan kenyataan pihaknya akan meneruskan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jurucakap DoJ menerusi satu kenyataan yang diemelkan kepada Reuters menyatakan hasrat sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Malaysia yang membuka semula siasatan ke atas dana pelaburan kerajaan itu.

“Jabatan tersebut beriltizam memastikan AS dan sistem kewangan negara ini tidak terancam dengan mana-mana individu rasuah dan kleptokrat yang cuma menyembunyikan kekayaan mereka yang didapati secara salah.

“Sekiranya semua aset berjaya diperoleh, ia akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat semula,” katanya dalam kenyataan.

AS memfailkan aduan perampasan pada 2016 dan 2017 perlucutan (forfeiture complaints) bertujuan mendapatkan balik semua aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.75 bilion) membabitkan isu penyelewengan dana 1MDB tersebut.

Aduan itu juga mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM17.87 bilion) diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS dan beberapa negara lain.

Categories
NASIONAL

284 kotak tas tangan, 72 beg barang kemas dirampas berkait 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Sebanyak 284 kotak mengandungi tas tangan mewah pelbagai jenama dan 72 beg berisi barang kemas serta wang tunai pelbagai mata wang dirampas polis dipercayai berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, rampasan itu dijalankan ekoran ia mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari beberapa kondominium mewah di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

“Jumlah nilai rampasan tidak dapat ditentukan lagi kerana jumlah barang yang dirampas adalah banyak.

“Polis akan membuat pemeriksaan secara terperinci bagi menentukan jumlah nilai sebenar rampasan,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Difahamkan polis berada di lokasi sejak kira-kira 7.30 malam.

“Antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton.

“Bagaimanapun, ketika operasi dijalankan tiada penghuni di unit kediaman berkenaan,” katanya.

Difahamkan, Polis terpaksa menggunakan lima trak polis untuk membawa bagasi dan kotak beg tangan mulai jam 12. 15 tengah malam dan selesai dua jam setengah kemudian.

Amar berkata, JSJK juga membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin di enam permis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini serta tiga unit kediaman di kondominium tersebut.

Diminta menjelaskan mengenai pemilik tiga unit kediaman tersebut, Amar berkata, salah satu daripada unit itu milik seorang “Tan Sri”, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

 

Categories
NASIONAL

1MDB : Apa tindakan pihak berkuasa Malaysia?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Pendedahan mengenai dakwaan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berunding dengan ahli perniagaan Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” supaya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digugurkan kini kembali menjadi tumpuan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kes besar itu.

“Pendedahan ini dibuat selepas rampasan kapal layar Equanimity di Bali ini membawa skandal 1MDB kembali dalam tumpuan.

“Apabila pihak berkuasa seluruh dunia memberi fokus kepada skandal ini, kita wajib bertanya, apa yang dibuat pihak berkuasa Malaysia?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Wall Street Journal (WSJ) pernah menerbitkan tuduhan baru berkaitan skandal 1MDB.

“Menurut WSJ, penyumbang utama Parti Republikan Elliott Broidy dan isterinya, peguam Robin Rosenweig mengadakan perbincangan dengan Jho Low mengenai kontrak perundingan.

“Broidy dilaporkan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Artikel WSJ mendakwa bahawa salah satu terma kontrak adalah yuran 75 juta dolar Amerika (RM295 juta) sekiranya Jabatan Kehakiman (DOJ) menghentikan siasatan skandal 1MDB,” katanya.

Malah, Nik Nazmi dalam kenyataanya berkata, Broidy juga pernah menyediakan nota percakapan (talking point) untuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Washington DC pada 2017 untuk bertemu dengan Presiden Trump.

Beliau berkata, Broidy di samping firma guaman Rosenweig, Colfax Law Office Inc., kedua-duanya menafikan mewakili Malaysia atau pemimpinnya atas sebarang kapasiti.

“Mereka mengakui firma mereka dilantik Pras Michel, sahabat Low bertujuan memberikan nasihat strategik sebagai pasukan yang lebih besar kepada Low,” katanya.