Categories
NASIONAL SELANGOR

Pendaftaran Online Tambah Pelajar UNISEL

SHAH ALAM, 18 OKT : Universiti Selangor (Unisel) telah meningkatkan pertambahan pelajar yang memberangsangkan selepas mempraktikan pendaftaran dalam talian atau ?online?.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, kaedah itu menyaksikan kemasukan pelajar ke universiti itu meningkat dengan pantas sehingga institusi itu risau tidak dapat menampung pertambahan pelajar.

Beliau berkata, kaedah itu telah menampung kemerosotan kemasukkan yang dicatat pada 2009 dan 2010.

Menurutnya, kemasukan pelajar ke universiti tersebut pada tahun ini adalah seramai 11,880 pelajar manakala tahun 2011 mencatat kemasukkan 9,902 pelajar.

“Kejayaan diraih seperti dilapor oleh akhbar-akhbar mengatakan bahawa laporan audit negara pada 2009 dan 2010 menunjukkan penurunan pelajar dan pendapatan itu memang betul dan kita telah banyak membuat pembaharuan bagi mengatasinya.?

“Selain kejayaan-kejayaan dibuat pelajar kita di peringkat nasional dan antarabangsa dan data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mendedahkan kebolehpasaran pelajar kita yang antara tertinggi di dalam negara kita,? katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, Unisel juga akan membuat pengambilan pelajar baru pada 5 Januari tahun depan.

Tambahnya, dianggarkan 70 ke 80 peratus pelajar menggunakan kaedah permohonan online.

Daripada 11,880 pelajar itu, katanya, lebih 5,000 ditempatkan di kampus Shah Alam manakala lebih 6,000 lagi di kampus Bestari Jaya.

“Saya risau pada tahun depan kita tidak mempunyai ruang bagi menampung kemasukan pelajar. Bukan risau tidak cukup pelajar masuk,” katanya yang menjangkakan pertambahan pelajar akan terus meningkat ke Unisel dalam masa terdekat.

Categories
SELANGOR

Unisel – Kerajaan Negeri Peruntuk RM248 Juta Untuk Pembangunan

SHAH ALAM, 18 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukan RM 248 juta kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi tujuan pembangunan universiti itu.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata dana tersebut adalah bagi kegunaan membaiki infrastruktur yang dulu dibina dengan tidak begitu sempurna dan membina bangunan baru.

“Peruntukan sebanyak RM 5 juta telah diluluskan baru-baru ini bagi pembinaan kompleks riadah dan dewan makan di kampus Unisel Bestari Jaya serta RM 2.65 juta untuk menambahbaikan infrastruktur Teknologi Maklumat (IT).

“Begitu juga RM 20 juta lagi untuk pembangunan lain di Bestari Jaya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anuar berkata, pertambahan dana itu akan memberi semangat kepada warga Unisel bagi memajukannya.

“Pelajar kita bersemangat sekarang ini untuk memperjuangkan visi Unisel iaitu untuk menjadi sebuah universiti unggul.

?Serta untuk mendidik dan melahirkan kalangan profesional dan juga ilmuan selain moral tinggi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anuar berkata Unisel merangka penubuhan dana wakaf bagi membolehkan universiti itu bergerak lebih aktif dan pelajarnya menikmati suasana yang lebih baik dengan pengecualian bayaran yuran.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihaknya menperolehi idea penubuhan dana wakaf itu daripada kaedah sama yang digunapakai oleh banyak universiti terkemuka dunia.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Rasmi Kolokium Penyelidikan Pertama Unisel

SHAH ALAM 2 OKT : Pentadbiran universiti tempatan seharusnya mengutamakan bidang penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan institut pendidikan tinggi tersebut bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Kolokium Penyelidikan Unisel 2012 dan Pelancaran ‘Unisel Researcher-Fren Facebook’ di Kampus Unisel di sini pagi tadi.

“Bukan setakat (menambah) ilmu sahaja, penyelidikan mampu menjana daya pemikiran dan keupayaan intelektual tinggi.

“Kita harus memikirkan nilai sesebuah universiti dari segi hasil yang diperolehi melalui mahasiswa, bukan keuntungan,” jelasnya di hadapan lebih 400 tetamu yang hadir.

Kolokium ini merupakan kali pertama dianjurkan Unisel melibatkan 500 peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan wakil industri.

Kira-kira 100 kertas kerja meliputi empat kluster akan dibentangkan dalam kolokium penyelidikan yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Antaranya kluster Penyelidik Geran Industri, Penyelidik Geran Kerajaan, Penyelidik Pengajian Pasca Siswazah secara penyelidikan serta beberapa penyelidik Unisel yang sedia ada.

Menteri Besar turut menyampaikan sijil kepada sembilan penerima geran penyelidikan iaitu Dr. Mohd Fadzil Shuhaimi Ramli, Ainil Hawa Sazali, Rosyida Mohd Razlan dan Roshani Othman.

Selain mereka, turut menerima geran ialah Prof. Sharr Azni Harmin, Prof. Dr. Mohd Zaidi Mohd Hajazi, Prof Dr. Aziah Mohd Yusoff, Dr. Ting Chek Ming serta Prof. Dr. Mujaini Tarimin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali serta pemangku Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad.

Categories
NASIONAL SELANGOR

UNISEL Bangunkan Penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan Jana Hasil Kewangan

BESTARI JAYA, 26 SEPT: Walaupun dikritik dan kemampuannya dipersoal, Universiti Selangor (Unisel) tetap berjaya mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dengan penyelidikan Kultur Tisu Tumbuhan yang boleh menjana keuntungan kewangan.

Melalui Unit Kultur Tisu FaSBio, Unisel dijangka boleh menghasilkan anak pokok bagi tumbuhan yang mempunyai nilai komersil seperti orkid, tanaman perhiasan, herba, pisang dan nenas melalui teknik mikropropagasi.

Bagi peringkat permulaan, unit ini akan memberi tumpuan untuk menghasilan anak pokok orkid dan dijangka dapat menghasilkan sebanyak 7,000 anak orkid berkualiti setahun.

Unit ini diterajui Prof Madya Dr Aziah Mohd Yusoff yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang kultur tisu.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, geran permulaan bagi projek ini diperolehi daripada Kerajaan Negeri.

“Pemberian awal geran sebanyak RM 500 ribu dengan tujuan mengadakan pelbagai penyelidikan di Unisel membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan imej universiti ini setanding universiti lain di negara ini dan dunia,” katanya.

Anuar berkata demikian ketika berucap di Majlis Perlancaran Projek Kultur Tisu di bangunan Fakulti Sains & Bioteknologi Unisel Kampus Bestari Jaya hari ini.

Majlis ini disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, pembangunan penyelidikan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat setempat melalui hasil tani.

Katanya, penghasilan anak-anak pokok melalui teknik kultur tisu dapat mengurangkan kos pembelian anak-anak pokok di samping dapat meningkatkan kadar kemandirian anak-anak pokok.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Unisel kerana berjaya membangunkan projek ini dan diharap dapat memberi manfaat khususnya kepada petani di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, melalui aktiviti penyelidikan yang dijalankan, unit ini juga membuka peluang kepada graduan yang berminat untuk menyambung pengajian mereka di dalam bidang kultur tisu di peringkat Sarjana (M.Sc) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Di dalam waktu yang terdekat, unit ini dijangka dapat menjana kewangannya sendiri melalui penjualan anak-anak pokok, teknologi kultur tisu dan latihan jangka pendek yang ditawarkan.

Categories
SELANGOR

Masalah Penginapan Pelajar Unisel Selesai

SHAH ALAM, 17 OGOS : Masalah penginapan asrama yang dihadapi kira-kira 1,600 pelajar Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya bakal berakhir apabila mereka dijadualkan akan menerima kunci pada 23 Ogos depan.

Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab menguruskan penginapan pelajar bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi Pejabat Residen Komuniti Siswa seperti biasa.

Menurutnya, tindakan itu diputuskan JNSB susulan daripada permohonan Unisel yang memfailkan Saman Pemulanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Ekoran keengganan pihak Jana Niaga untuk membuka semula operasi pejabat Residen Komuniti Siswa dan menyerahkan kunci kepada pelajar, Unisel melalui peguamcara telah memfailkan Saman Pemula pada 16 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Atas permohonan Unisel, pendengaran telah diadakan di mahkamah dan Jana Niaga melalui peguamnya bersetuju untuk membuka semula dan melaksanakan operasi mereka bermula 23 Ogos seperti biasa,” katanya dalam satu sidang media di Unisel hari ini.

Hadir sama, peguamcara mewakili Unisel, Edmund Bon.

Tambahnya, peguam Unisel bersama peguam Jana Niaga juga akan memulakan perbincangan untuk cuba menyelesaikan pertikaian di antara kedua-dua pihak demi kepentingan mahasiswa universiti milik penuh Kerajaan Negeri itu.

“Sebarang pertikaian yang bermula sejak Jun 2009 antara pihak Unisel dan Jana Niaga akan dibincangkan secara terperinci dan spesifik supaya masalah ini boleh selesai,” kata Dr Anuar.

Kontroversi berhubung isu penginapan pelajar timbul apabila sebilangan besar daripada mereka masih gagal menerima kunci meskipun sesi pengajian dilaporkan sudah bermula.

Dilaporkan, perkara itu berlaku ekoran keengganan Jana Niaga yang sepatutnya memberi kunci untuk akses ke asrama pelajar pada 3 Ogos lalu.

Categories
NASIONAL

Penempatan Sementara Di sedia Untuk Pelajar Unisel

SHAH ALAM, 8 OGOS : Bagi menyelesaikan isu penempatan asrama pelajar, Universiti Selangor (Unisel) mengambil alternatif dengan menyediakan penginapan sementara di Asrama Kota Puteri, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Demikian ujar Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Menurut Halimah, penginapan sementara ini hanya untuk menempatkan sebilangan kecil pelajar yang mendaftar awal di Unisel sebelum Lembaga Unisel menilai masalah ini secara terperinci.

“Sekiranya syarikat kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) masih lagi tidak membenarkan hostel itu diduduki pelajar selepas menjelangnya cuti Aidilfitri, maka Unisel
akan mengadakan mesyuarat untuk selesaikan masalah berkenaan .

“Kita tidak akan biarkan pelajar Unisel ini terganggu pembelajarannya berikutan cara sebuah syarikat membina bangunan (asrama) tujuan pembelajaran tidak memuaskan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media lain, Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad menyifatkan isu itu sengaja diada-adakan untuk menjatuhkan imej serta kredibiliti universiti kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihak pengurusan telah memaklumkan kepada pelajar bahawa tarikh pendaftaran pelajar lama bagi semester ini adalah pada 27 Ogos, iaitu selepas Aidilfitri.

“Jadi tidak timbul isu mengatakan kesemua pelajar ini tidak dibenarkan tinggal di asrama atau dihalau keluar. Saya cukup kecewa dengan isu penginapan yang dimainkan oleh pelbagai pihak.

“Mujurlah pelajar Unisel cukup matang dalam mendepani semua isu sebegini, mereka bukan dari kalangan yang mudah terpengaruh dengan andaian buruk,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan lebih 3,000 pelajar Unisel bakal berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing.

Masalah itu didakwa berlaku kerana Unisel tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak syarikat konsesi sejak 15 bulan bagi pembayaran kampus induk dan tujuh bulan pengurusan asrama.

Apa Khabar Selangor Episod 20 – PKNS Response Team,Zon Bersih MBSA 2012,Kepimpinan Pendidikan UNISEL dan EURO 2012

Apa Khabar Selangor Episod 20 Bhgn 1 – PKNS Response Team dan Zon Bersih MBSA 2012

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 4 Julai 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama
Segmen 1 : PKNS Response Team – En Mohd Wasir (Pengurus Khidmat Pelanggan PKNS)

Segmen 2 : Zon Bersih MBSA JUN 2012

 

Apa Khabar Selangor Episod 20 Bhgn 2  – Kepimpinan Pendidikan UNISEL dan Sorotan EURO 2012


Sinopsis:
Segmen 3 : Kepimpinan Pendidikan Unisel – Prof. Dr. Haji Anuar Haji Ahmad (Naib Canselor UNISEL)

Segmen 4 : Sorotan EURO 2012 – Laporan khas bersama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sepanjang EURO 2012

Categories
SELANGOR

Prof Dr Anuar-UNISEL Bakal Menjadi Sebuah Universiti Terkemuka Di Malaysia

SHAH ALAM, 4 JULAI : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad memberi jaminan bahawa institusi tersebut bakal menjadi sebuah universiti terkemuka di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, pelbagai rancangan sedang diatur bagi menaiktaraf dan meningkatkan kemudahan prasarana di UNISEL seiring dengan peningkatan jumlah pelajarnya tahun ini.

“Pada permulaannya, bulan Februari 2011 lalu, nama universiti ini ditukar dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor bagi menjadikan ia lebih umum dengan menyediakan pelbagai program dan kursus kepada pelajarnya,” katanya ketika ditemubual di pejabat TVSelangor hari ini.

Beliau berkata, UNISEL sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kursus Undang-Undang Perniagaan yang di letakkan di bawah Fakulti Perniagaan di universiti ini.

“Saya akan menghantar cadangan ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan kursus ini kerana keperluan di dalam bidang ini tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, tahun ini UNISEL berjaya menempa nama apabila berjaya melahirkan dua pelajar terbaik bidang kejuruteraan dan perakaunan yang mendapat pengiktirafan dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Ini membuktikan pelajar di UNISEL mampu bersaing bersama pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seterusnya menangkis dakwaan bahawa graduan universiti ini tidak berkualiti,” katanya.

Katanya, UNISEL sentiasa peka dan mengambil kira faktor ?kebolehpasaran? graduannya kerana turut menyediakan kursus kejururawatan di universiti ini.

“Kita sedar bahawa industri perkhidmatan dapat memberikan pulangan hasil kepada negara seperti perkhidmatan kesihatan yang mampu mengubati penyakit tertentu seterusnya menarik orang asing ke negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan RM 2.65 juta bagi meningkatkan prasarana IT apabila UNISEL dipilih untuk menyediakan pengajian jarak jauh kursus Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua(TESL).

“Saya mewakili UNISEL mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan dana ini bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana di universiti ini,” katanya.

UNISEL Sentiasa Mendapat Perhatian Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 4 JULAI : Universiti Selangor (UNISEL) sentiasa mendapat perhatian daripada pentadbiran Pakatan Rakyat sejak ia mengambil alih kerajaan pada tahun 2008.

Menurut Naib Canselor UNISEL, Profesor Dr Anuar Ahmad, ahli Exco serta Adun-Adun sentiasa mengunjungi UNISEL untuk bertanyakan masalah serta memberikan pendapat mengenai penambahbaikan kemudahan serta sistem pembelajaran di sini.

Ini berbeza semasa pentadbiran Umno-BN dahulu, di mana UNISEL tidak pernah dikunjungi oleh ahli Exco atau Adun-Adun mereka bagi menyumbang idea kepada universiti.

“Tahun pertama Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali sentiasa datang untuk bertanyakan masalah serta membantu memberikan idea mengenai penambahbaikan universiti ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menghadiri rancangan ‘Apa Khabar Selangor’ di studio TVSelangor di sini hari ini.

Katanya, selain Dr. Halimah, Exco Pertanian Moden, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr. Yaakob Sapari juga hadir memberikan seminar tentang keusahawanan kepada mahasiswa di universiti ini.

“Rata-rata Exco dan Adun-Adun Selangor mempunyai kepakaran serta kemahiran tertentu dan UNISEL tidak pernah menyekat mana-mana ahli politik untuk hadir memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada semua pihak disini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan UMNO-BN mengecam UNISEL berikutan perlantikan tiga orang wakil yang mempunyai kaitan dengan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.

Perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dikecam hebat UMNo-BN yang mendakwa institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang unsur politik.

Ketika mengulas perkara ini, Prof Dr Anuar berkata, individu-individu tersebut mempunyai kewibawaan, kelayakan serta kepakaran akademik bagi menjadikan UNISEL sebuah universiti yang kompetetif di masa akan datang.

“Individu seperti Dr Che Rosli merupakan seorang pakar nuklear dan UNISEL mempunyai Fakulti Sains dan Bioteknologi yang memerlukan kepakaran bagi membantu penyelidikan berkaitan bidang tersebut,” katanya sambil menambah Faekah merupakan seorang individu yang pakar dalam bidang perundangan.

Selain itu, katanya, politik tidak dapat dipisahkan dengan akademik kerana kebanyakan universiti di Malaysia menyediakan subjek politik untuk dipelajari.

“Kenapa politik perlu dilihat dari aspek negatif sedangkan di universiti-universiti terdapat bidang sains politik di peringkat diploma dan ijazah?” soalnya.

Categories
SELANGOR

Anuar Masih Pemangku Naib Canselor Unisel

SHAH ALAM 13 APR : Isu perlantikan Naib Canselor Unisel bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebaliknya berkata, ia adalah di bawah kuasa Lembaga Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Oleh itu, jawatan tersebut masih belum diisi tetapi dipangku oleh Prof Dr Anuar Ahmad.

Namun begitu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri dibenarkan untuk menyenarai pendek calon-calon yang sesuai untuk memegang jawatan berkenaan.

“KPT berpendapat calon itu mestilah seorang yang berkelayakan dan berkebolehan untuk menjaga nama baik universiti terutama dari segi akademi.

“Oleh sebab itu, mereka mengenalpasti Prof. Dr. Anuar (Ahmad) sebagai pentadbir dan untuk jawatan Naib Canselor, Prof. Dr. Anuar dan beberapa orang telah dikenalpasti dan diambil kira prestasinya namun kita belum membuat sebarang keputusan,” jelas Abdul Khalid ketika mengulas mengenai isu kekosongan jawatan Naib Canselor Unisel yang kini dipangku Prof. Dr Anuar.

Abdul Khalid menambah, kewujudan sebuah iklan yang menggugurkan perkataan ‘pemangku’ kepada jawatan yang disandang Anuar tidak seharusnya dijadikan isu.

“Buat masa ini, beliau masih lagi Pemangku Naib Canselor. Tidak mengapalah tentang perkara itu, kita tidak perlu susah-susah. Asalkan beliau buat kerja sudahlah,” ulas Abdul Khalid ringkas.

Anuar dilantik pemangku Naib Canselor berkuat kuasa serta merta Ogos tahun lepas setelah perletakan jawatan tersebut oleh Datuk Dr. Rosti Saruwono.