Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN 50 Tahun = Lima Sekolah Agama, PR Selangor Lima Tahun = Lima Sekolah Agama

SRA PR selangor 01

BANGI, 6 JAN : Hanya dalam tempoh empat tahun, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berjaya membina lima buah sekolah rendah agama (SRA) di Bangi berbanding Kerajaan Umno-BN yang mengambil 50 tahun untuk membina jumlah sekolah yang sama.

Terbaru, sebuah SRA empat tingkat sedang dalam proses pembinaan di Kampung Sungai Tangkas, di sini dengan menggunakan peruntukan sejumlah RM 2.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

Sekolah tersebut merupakan yang ke-lima dibina selepas Pakatan Rakyat mentadbir Selangor bermula pada Mac 2008.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar berkata, bangunan sekolah terbaru itu terletak di atas tanah dua ekar. Projek itu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri pada September 2011 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.

Menurutnya, ia mampu menampung lebih ramai murid di kawasan Bangi untuk mendalami pendidikan Islam dengan lebih baik dan teratur.

“Kelulusan untuk membina SRA di Sungai Tangkas amat cepat. Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, ketua kampung diarah untuk mencari tapak.

“Sekolah ini terdiri daripada dua bangunan empat tingkat yang dilengkapi 30 buah kelas dan sebuah kantin.

“Ia mampu menampung keperluan penduduk di kawasan ini untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap perkembangan pendidikan islam.

“Di Dun Bangi sahaja ada sepuluh buah sekolah. Lima daripadanya dibina semasa pemerintahan Datuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya semasa memberi ucapan sempena Program Mesra Rakyat dan Kenduri Kesyukuran di Kampung Sungai Tangkas, di sini tengah hari tadi.

Program itu turut disertai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Serdang, Teo Nie Ching, MP Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, pembinaan SRA di kawasan itu akan memudahkan penduduk setempat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus memantau projek pembinaan sekolah itu bagi memastikan ia siap dalam tempoh yang ditetapkan.

SRA PR selangor 02

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Jalan Raya Umno-BN Menyusahkan Peniaga di Semenyih

 

SEMENYIH, 3 SEPT: Projek penurapan jalanraya Kerajaan Umno-BN di sebuah kampung di sini menyusahkan penduduk apabila kedai mereka sering dimasuki air setiap kali ia hujan.

Peniaga dan pemilik kedai Kampung Sungai Jai, Beranang, mendakwa mereka terpaksa membersihkan kedai daripada air yang mengalir masuk daripada jalan tersebut yang berhadapan premis mereka.

Projek menaiktaraf laluan alternatif bagi Kuala Lumpur – Seremban itu didakwa diuruskan pejabat DUN Semenyih bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.

MP Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat berkata, banjir ini disebabkan keadaan jalan baru ini terlalu tinggi serta ketiadaan longkang bagi mengalirkan air daripada masuk ke kedai-kedai berhampiran.

“Jalan ini diturap setinggi hampir enam inci tetapi longkang yang sepatutnya penting bagi mengalirkan air terutama ketika hujan tidak dibina,” katanya ketika meninjau keadaan jalan di sini hari ini.

Tambahnya, penduduk di kawasan Beranang menghargai jalan yang diturap serta lampu isyarat baru namun biarlah ia dalam keadaan sempurna tanpa menyusahkan mana-mana pihak.

Seorang peniaga kedai gambar, Wan Mohd Zambri Wan Husin, mengadu kedainya sering dimasuki air sejak jalan ini siap diturap bulan lalu dan ianya menyusahkan urusan perniagaannya.

“Apabila datang musim hujan, saya terpaksa membersihkan kedai setiap hari kerana dimasuki air dan ianya benar-benar merumitkan saya,” katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga kedai gunting rambut Sivarajan Muniandy, JKR sudah berjanji akan membina longkang di depan kedai-tersebut.

“Jurutera JKR ada berjumpa saya dan mereka berjanji untuk membina longkang bagi mengatasi masalah banjir tetapi tiada apa-apa perkembangan sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Che Rosli berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JKR untuk melihat pelan projek seterusnya mengatasi masalah ini.

Turut hadir ketika tinjauan dilakukan adalah Ketua Kampung Sungai Jai, Beranang, Mat Asnawi Mat Daud dan Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Mohamad.

Categories
SELANGOR

Selamatkan Air Yang Tidak Berhasil Sebelum Buat Langat 2

PETALING JAYA, 14 OGOS : Dana berbilion ringgit yang akan digunakan untuk membina projek Langat 2 harusnya digunakan untuk membaiki sistem agih air Selangor supaya air terawat yang dibazirkan setiap hari dapat diselamatkan.

Ini kerana air yang dicuri atau hilang akibat paip yang bocor, atau dikenali sebagai NRW lebih 30 peratus dari jumlah keseluruhan air terawat yang diedarkan di Selangor.

Cadangan itu disuarakan oleh Abdullah Mohamad, seorang peserta awam pada Majlis Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Di laporkan sebelum ini, Kerajaan Pusat ingin meneruskan projek Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 bilion bagi memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Masalah dihadapi di logi seperti paip lama yang rosak dan sebagainya, saya rasa perlu dibaiki segera supaya masalah yang timbul dapat diatasi segera.

“Untuk tujuan itu peruntukan bagi projek Langat 2 boleh digunakan bagi kerja baik pulih.

Cara ini lebih bagus. Lagi satu jika kita menghadapi masalah bekalan air terawat maka ia bukan masalah di empangan tetapi masalah Syabas yang gagal membekalkan air kepada pengguna.

Syabas seharusnya berusaha meningkatkan bekalan air untuk disalurkan kepada semua pengguna dan bukannya memikirkan untuk melaksanakan projek Langat 2,” katanya.

Majlis tersebut dipengerusikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua.

Bagi Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, isu utama yang perlu diberikan keutamaan ialah bekalan air mencukupi bgi kegunaan orang ramai.

“Isunya di sini pengguna perlukan air dan pihak berkuasa perlu menyalurkan air mengikut kapasiti ditetapkan. Perancangan mesti dilakukan supaya tidak timbul masalah bekalan air.

“Usaha perlu dilakukan bagi meningkat bekalan air di empangan agar proses air terawat dapat dijalankan tanpa sebarang masalah,” katanya.

UNISEL Sentiasa Mendapat Perhatian Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 4 JULAI : Universiti Selangor (UNISEL) sentiasa mendapat perhatian daripada pentadbiran Pakatan Rakyat sejak ia mengambil alih kerajaan pada tahun 2008.

Menurut Naib Canselor UNISEL, Profesor Dr Anuar Ahmad, ahli Exco serta Adun-Adun sentiasa mengunjungi UNISEL untuk bertanyakan masalah serta memberikan pendapat mengenai penambahbaikan kemudahan serta sistem pembelajaran di sini.

Ini berbeza semasa pentadbiran Umno-BN dahulu, di mana UNISEL tidak pernah dikunjungi oleh ahli Exco atau Adun-Adun mereka bagi menyumbang idea kepada universiti.

“Tahun pertama Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali sentiasa datang untuk bertanyakan masalah serta membantu memberikan idea mengenai penambahbaikan universiti ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menghadiri rancangan ‘Apa Khabar Selangor’ di studio TVSelangor di sini hari ini.

Katanya, selain Dr. Halimah, Exco Pertanian Moden, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr. Yaakob Sapari juga hadir memberikan seminar tentang keusahawanan kepada mahasiswa di universiti ini.

“Rata-rata Exco dan Adun-Adun Selangor mempunyai kepakaran serta kemahiran tertentu dan UNISEL tidak pernah menyekat mana-mana ahli politik untuk hadir memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada semua pihak disini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kerajaan UMNO-BN mengecam UNISEL berikutan perlantikan tiga orang wakil yang mempunyai kaitan dengan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.

Perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dikecam hebat UMNo-BN yang mendakwa institusi pendidikan seharusnya bebas daripada sebarang unsur politik.

Ketika mengulas perkara ini, Prof Dr Anuar berkata, individu-individu tersebut mempunyai kewibawaan, kelayakan serta kepakaran akademik bagi menjadikan UNISEL sebuah universiti yang kompetetif di masa akan datang.

“Individu seperti Dr Che Rosli merupakan seorang pakar nuklear dan UNISEL mempunyai Fakulti Sains dan Bioteknologi yang memerlukan kepakaran bagi membantu penyelidikan berkaitan bidang tersebut,” katanya sambil menambah Faekah merupakan seorang individu yang pakar dalam bidang perundangan.

Selain itu, katanya, politik tidak dapat dipisahkan dengan akademik kerana kebanyakan universiti di Malaysia menyediakan subjek politik untuk dipelajari.

“Kenapa politik perlu dilihat dari aspek negatif sedangkan di universiti-universiti terdapat bidang sains politik di peringkat diploma dan ijazah?” soalnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SKJ(C) Kajang Terbakar : Kerajaan Selangor Bantu RM100,000

KAJANG,14 JUN : Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Cina (SJK (C)) Yu Hwa Kajang terbakar baru-baru ini.

Dalam kejadian itu memusnahkan bangunan dua tingkat yang tedapat di sekolah berkenaan.

Sumbangan itu diserahkan oleh Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali yang menyerahkan cek bantuan sumbangan itu kepada pihak sekolah bagi pihak Kerajaan Negeri.

Menurut Dr Halimah, beliau mengharapkan Kerajaan Pusat agar segera membantu sekolah ini yang jumlah muridnya hampir 2,800 orang agar persekolahan dan pembelajaran mereka tidak terjejas.

“Sekolah telah mengalami kerugian yang amat banyak di mana makmal multimedia dan perpustakaan di mana 500,000 naskah buku-buku telah hangus.

“Orang ramai juga boleh tampil membantu sekolah ini,” ujarnya pada sidang media.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu yang turut melawat sekolah berkenaan berharap pihak Kementerian Pelajaran boleh memberikan bantuan yang secukupnya.

“Bagi mengatasi masalah kekurangan bilik darjah dicadangkan agar pihak berkenaan dapat menyediakan kelas dalam kabin yang mempunyai hawa dingin untuk pelajar meneruskan pelajaran dengan baik buat sementara watku,”katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu,Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

Sebelum itu, Adun Kajang, Lee Khim Sin turut menghulurkan bantuan berjumlah RM30,000 bagi membantu Lembaga Pengurus Sekolah untuk bantuan awal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat Terima Notis Borang 5A

HULU LANGAT, 22 APR : Bukti janji Pakatan Rakyat yang membela nasib rakyat tanpa kira agama, bangsa dan fahaman politik sekali lagi terserlah hari ini di dalam satu majlis pemberian hak milik tanah di sini.

Beberapa peneriman notis borang 5A atau kelulusan pemilikan tanah, menceritakan bagaimana mereka sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

“Saya sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali dan pemerintahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) sudah masuk dua penggal tetapi tiada apa-apa tindakan sehinggalah Pakatan Rakyat mengambil alih,” kata Thamaselvam Chelliah, 54, seorang penerima notis 5A.

Thamaselvam berkata beliau menunggu lebih dari 20 tahun untuk menerima hak pemilikan tanah yang didudukinya.

Begitu juga Lim Choo On, 60, yang sudah tinggal di kampung tersebut melebihi 20 tahun.

“Kalau dahulu semasa pemerintahan BN, terlalu banyak karenah dan mesti menyokong BN tetapi pentadbiran Menteri Besar telus dalam menangani masalah rakyat,” katanya.

Thamaselvam dan Choo On antara 55 penduduk yang menerima Notis 5A dari Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di padang Taman Titiwangsa, Kampung Sungai Makau di sini.

Turut hadir Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ean Yong Hian Wah, MP Che Rosli Che Mat, Adun Bangi, Shafie Abu Bakar,  Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyerahkan surat hak milik kepada 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi yang berjaya menjelaskan premium setelah menerima notis borang 5A.

Pekan Semenyih Perlu Lampu Jalan

SEMENYIH 7 MAC : Ketiadaan lampu jalan di sepanjang laluan utama pekan ini menimbulkan kebimbangan dari segi soal keselamatan pengguna selain kejadian jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan DUN untuk memohon lampu jalan namun kesemuanya tidak berhasil.

“Alasan yang kita terima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ialah tiada permohonan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi buat masa ini kita cuma bergantung harap pada lampu-lampu kedai sekitar sini dan juga lampu masjid. Namun sampai waktu tertentu keadaan menjadi gelap gelita bilamana kesemua lampu ini tadi sudah tertutup,” jelas Dr Che Rosli.

Sementara itu, Penyelaras DUN, Nor Azlan Mohamad berkata, keadaan gelap di sini ketika malam menyebabkan banyak kemalangan jalan raya dan ada antaranya kemalangan maut.

“Selain itu, kita juga risau keadaan gelap begini memberi ruang kepada kejadian jenayah yang berleluasa,” ujar Nor Azlan yang ditemui ketika tinjauan lokasi di sepanjang jalan utama sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Bagi Fazil Zakaria ,40, penduduk dari Kampung Sungai Macang berkata, pekan ini sudah lama wujud dan kini laluan ini semakin sibuk. Jadi lampu jalan itu sepatutnya diadakan.

“Terutama waktu pagi penduduk keluar untuk bekerja, ibubapa hantar anak ke sekolah, keadaan yang gelap memang mampu mengundang bahaya,” beritahu Fazil.