Categories
NASIONAL

SAMM: Jangan Mudah Percaya Berita Kebencian Kaum

Badrul Hisham Shaharin AMK Negeri SembilanSHAH ALAM,19 DIS :  Orang ramai di seluruh negara khususnya di Sungai Petani, Kedah diminta untuk bertenang dan tidak terus percaya berita pergaduhan yang membabitkan pelbagai kaum.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, berita kononnya berlaku pergaduhan antara kaum di Sungai Petani cuba diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Disebarkan kononya berlaku pergaduhan besar di beberapa kawasan.

“Yakinlah segala usaha ?orang jahat? itu tidak akan berhasil selagi kita menggenggam pedoman betapa isu perkauman sudah berkubur tidak ada dalam kamus Malaysia baru,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, SAMM membuat pemerhatian penuh melalui aktivisnya yang menetap di Sungai Petani membuat kesimpulan bahawa hanya terdapat pergaduhan kecil membabitkan kumpulan anak muda yang kemudian gagal mengawal diri.

Ujar beliau tiada sebarang kebencian antara kaum berlaku di sebalik pergaduhan tersebut namun campurtangan kumpulan ekstrem kaum merencatkan suasana dan mampu mengundang kecelakaan lebih besar.

“Semua ini terjadi hasil daripada politik perkauman ekstrem Umno dan BN yang sering melagakan kaum.

“Politik perkauman ekstrem Umno-BN umpama memasang bom jangka di kalangan masyarakat.

“Inilah yang mereka mahu, pergaduhan antara kaum akan menyebabkan setiap kaum berpaut kepada parti berasaskan kaum bagi berlindung lantas memberi sedikit nafas kekuatan biarpun memberi kesan buruk kepada seluruh kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata, SAMM berpendapat tiada gunanya berbilion wang ringgit dibelanjakan atas nama perpaduan semenjak merdeka.

Kewujudan Jabatan Perpaduan contohnya hanya membazir bila regim Umno-BN sendiri sentiasa membakar api perkauman.

“Keadaan di Sungai Petani terkawal di atas tahap kesedaran yang baik dari kalangan rakyat Malaysia yang belajar betapa pergaduhan antara kaum hanya akan memberi kelebihan kepada parti perkauman seperti Umno.

“Rakyat pasti tidak sedia untuk memberi nafas baru kepada Umno dan seraya itu menolak sebarang usaha mengembangkan propaganda jahat golongan ini kononnya pergaduhan besar antara kaum berlaku dan merebak ke serata tempat,” ujarnya.

Jelas Badrul, SAMM dengan segala rangkaian kekuatan bertekad memastikan negara ini stabil lebih-lebih lagi dengan pilihanraya yang menjelang, kesempatan pastinya diambil oleh Umno-BN.

“SAMM akan menyekat segenap ruang terutamanya berita yang membangkitkan bibit-bibit pergaduhan antara kaum, ketika kepedulian pihak berkuasa terhadap blog pro-Umno yang membawa propaganda jahat tidak diambil tindakan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rakyat Pelbagai Bangsa, Agama Bangkit Sokong Bantah Lynas

KUALA LUMPUR, 25 NOV :Rakyat memberikan sokongan padu kepada peserta pejalan kaki anti Lynas Kuantan – Kuala Lumpur di sepanjang 300 Kilometer apabila pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan agama menunjukkan keprihatinan terhadap kesan loji Lynas.

Pengerusi Angkatan Rakyat Merdeka (AKAR), Ahmad Nizam Hamid berkata walaupun ramai peserta berjalan kaki itu adalah majoritinya daripada masyarakat Tionghua namun sebenarnya ia adalah isu kepentingan semua tanpa mengira bangsa.

“Kehadiran teman-teman kalangan orang muda Melayu khususnya cukup ramai dan ia isu radiasi ini tidak mengenal agama dan bangsa serta tidak mengenal warna kulit dan bahasa yang akan terkesan.

“Apabila para peserta berhenti untuk bermalam di kawasan orang-orang Melayu, mereka bersedia memberikan mereka tempat penginapan,” ujarnya.

Beliau berkata, penyertaan meluas rakyat dalam himpunan itu memberikan isyarat jelas kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa  rakyat menentang pembinaan loji nadir Lynas.

“Yang lebih penting ialah solidariti kita semua rakyat Malaysia menzahirkan rasa tidak puas hati kepada pembinaan kilang itu,” katanya.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang ditemui TVSelangor berkata, penyertaan kira-kira 15,000 rakyat pelbagai bangsa dalam himpunan itu membuktikan rakyat Malaysia bersedia membuat perubahan total.

“Hari ini Malaysia sudah bersedia atas nama Rakyat Malaysia yang sebenarnya untuk bangkit dalam membawa isu yang cukup besar merentasi sempadan bangsa,” kata beliau.

Ujarnya, kebangkitan yang ditunjukkan dalam himpunan itu bukan bersifat perkauman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Akhbar berbahasa Malaysia terus memperbodohkan rakyat kerana itu orang Melayu agak sedikit jauh berkenaan isu Lynas ini.

 “Tetapi kita yakin dengan usaha berterusan maka orang Melayu pun sedar dan bersama dengan kebangkitan ini dan ia menyebabkan Barisan Nasional terus tidak jumpa tarikh untuk mengadakan pilihanraya,” kata Badrul Hisham.

Beliau berkata himpunan itu akan memberikan imej kepada dunia bahawa kerajaan pimpinan BN terus semakin hilang sokongan daripada rakyat.

Peserta jalan kaki Anti-Lynas Kuantan – Kuala Lumpur yang memulakan perjalanan mereka 13 hari lepas sejak 13 November tiba di Dataran Merdeka pada kira-kira 5.30 petang.

Categories
NASIONAL

SAMM : Malaysia Bawa Penjenayah Perang Hadiri Forum Ekonomi Islam

SHAH ALAM, 25 NOV: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk tindakan Kerajaan Pusat menjemput Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa sebagai tetamu kehormat dalam Forum Ekonomi Islam Sedunia di Johor Bahru minggu depan.

Ini kerana Rajapaksa merupakan watak terpenting dalam perang yang mengorbankan lebih daripada 30,000 orang awam berketurunan Tamil di Utara-Timur Sri Lanka pada pertengahan tahun 2009.

Malah, penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin menyamakan rejim Rajapaksa dengan rejim Zionis Israel kerana ?angkuh membunuh puluhan ribu rakyat yang tidak berdosa untuk mencapai matlamat mereka”.

“Kerajaan Sri Lanka pimpinan Mahinda Rajapaksa turut melanggar segala konvensyen berkaitan dengan hak asasi manusia sejagat.

?(Dan) telah menggunakan segala cara untuk menghapuskan orang-orang Tamil di Sri Lanka,? kata Badrul Hisham dalam satu kenyataan media.

Rajapaksa telah dijemput untuk menghadiri Forum Ekonomi Islam yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Disember di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

Semasa memegang jawatan Komander Utama Tentera Sri Lanka ketika perang 2009, beliau didakwa memerangkap penduduk Tamil di suatu kawasan bebas perang dan kemudiannya menggugurkan bom ‘cluster’ yang diharamakan sekaligus meragut banyak nyawa etnik tersebut.

Tentera Sri Lanka di bawah arahan beliau ketika itu juga dengan sengaja menyerang sasaran awam seperti kawasan Hospital dan kawasan perumahan dengan tujuan untuk membunuh seberapa banyak orang Tamil yang boleh.

“Kerajaan Sri Lanka tiada bezanya dengan rejim Zionis di Israel?, menurut kenyataan media tersebut.

Categories
NASIONAL

Polis Boleh Iringi 100 Kontena Nadir Bumi, Digesa Iringi Perarakan Rakyat

SHAH ALAM, 25 NOV: Polis digesa mengiringi Perarakan Anti-Lynas di beberapa batang jalan sekitar Kuala Lumpur hari ini sepertimana mereka mengiringi lebih 100 kontena yang mengandungi bahan nadir bumi ke loji Lynas (Lamp) di Gebeng, Kuantan.

Keengganan polis berbuat demikian bakal menimbulkan persoalan kesanggupan agensi itu melindungi rakyat sebagaimana mereka melindungi kepentingan syarikat tersebut.

Demikian menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin kepada TV Selangor semalam.

“Polis harus elakan tanggapan begini dengan bertindak melindungi keselamatan peserta yang sertai perarakan esok (hari ini).

“Bantuan pasukan pengiring pasukan polis amat kami alukan dan saya percaya akan menaikan lagi imej polis di mata rakyat,” kata beliau.

Peserta jalan kaki anti-Lynas Kuantan-Kuala Lumpur yang memulakan perjalanan mereka pada 13 November 2012 lalu dijangka akan tiba di Dataran Merdeka pada jam 4.00 petang hari ini.

Sebelum itu, rombongan yang telah menempuh perjalanan sejauh 300 kilo meter itu turut berhenti dibeberapa lokasi bagi menjayakan beberapa program penerangan berkaitan isu pencemaran alam sekitar tersebut.

Antaranya termasuklah di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM), Taman Melewar, semalam diiringi Yang DiPertua PAS Batu, Ishak Surin.

Ketibaan rombongan yang ‘semakin membesar’ itu turut mendapat sambutan bersemangat dari orang ramai yang menunggu ketibaan mereka di lokasi perhentian.

Menurut Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, SAMM akan turut menyertai perserta Perarakan Anti-Lynas dari Stesen Komuter Sentul sekitar jam 2.00 petang menuju ke Dataran Merdeka.

Selepas itu mereka dijangka tiba di Stesyen Monorail Titiwangsa pada jam 2.30 petang, Maju Junction pada jam 3.00 petang dan Dataran Merdeka pada jam 4.00 petang.

“Orang ramai yang ingin bersama acara kemuncak ini disaran hadir ke Stesen Komuter Sentul sebelum jam 2.00 petang atau di tempat dan masa lain yang saya sebutkan tadi,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

SAMM Dakwa Malaysia Hantar Getah Pada Israel, Bukti Umno-BN Hipokrit

SHAH ALAM 23 NOV : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa mempunyai bukti terbaru bahawa Kerajaan Pusat Umno-BN mempunyai hubungan dengan Israel apabila membantu kuasa Zionis itu dari segi ekonomi.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya memperolehi maklumat bahawa Malaysia memang membekalkan getah ke Israel pada 19 November lalu.

“Tempoh hari kita dedahkan penghantaran minyak sawit ke Israel. Kerajaan Umno-BN kononnya mengatakan sawit tersebut untuk Palestin. Kamu boleh terus berbohong.

?Hari ini kita dapat transaksi terakhir iaitu kerajaan menghantar getah di atas nama Perusahaan Getah Asas Sdn Bhd juga ke Israel.

?Adakah kamu nak kata bekalan itu juga dihantar ke Palestin. Mana ada kilang getah di Palestin?” kata Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Beliau juga mendakwa Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir bertanggungjawab dalam merealisasikan perkara berkenaan.

“Kita cabar Datuk Mukhriz Mahathir menafikan Malaysia menghantar getah ke Israel.

?Jika kamu berani menafikan, kita bersedia keluar dengan bukti dengan satu syarat Mukhriz harus meletak jawatan sebagai orang yang bertanggungjawab,” katanya kepada TVSelangor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat anjuran Pakatan Rakyat (PR) di sini malam tadi yang dihadiri lebih 5,000 orang.

Beliau berkata, Kerajaan Umno-BN hipokrit apabila mengkritik Israel dalam politik domestik tetapi di peringkat antarabangsa mereka membantu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam ceramahnya berkata Umno-BN kini menukar haluan dengan mengiktiraf Ikhwanul Muslimin walaupun sebelum ini melabelkan kumpulan tersebut sebagai pengganas.

“Hubungan rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pimpinan ini seperti Presiden Mesir, Dr Muhammad Mursi; Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan dan Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal mengusarkan Umno-BN yang sebelum ini mengatakan Anwar sebagai agen Israel dan agen Amerika.

“Hasilnya Umno-BN mengubah strategi  dengan sudah mula dekat dengan pemimpin Hamas dan Ikhwanul Muslimin Mesir sehingga pada 4 Disember ini ketika negara menjadi tuan rumah Forum Ekonomi Islam Dunia, Kuala Lumpur telah menjemput Dr Muhammad Mursi hadir ke forum itu,” katanya.

Beliau turut mendakwa Khaled Meshaal difahamkan akan dijemput hadir dalam Perhimpunan Agung Umno hujung November ini.

SAMM: Calon PRU Perlu Isytihar Harta

SHAH ALAM,17 NOV : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru pemimpin, rakyat atau pengundi menyokong usaha pengistiharan harta sebagai sebahagian syarat wajib untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Penyelaras SAMM Kebangsaan, Badrul Hisham Shaharin berkata, rakyat seharusnya bangkit menolak pemimpin calon yang tidak mengisytiharkan hartanya.

“Tahniah di atas komitmen Timbalan Presiden PAS,Mohamad Sabu untuk mengisytiharkan harta sebelum menyertai PRU 13 jika dinamakan oleh parti sebagai calon.

“Komitmen beliau telah ditegaskan melalui ucapan dalam Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-53 di Kelantan beberapa hari lalu,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, tindakan berani ini perlu kerana pilihanraya umum dan pentadbiran negara masa mendatang memerlukan komitmen tinggi pemimpin dan ahli politik yang telus dan berintegriti.

Ujarnya, pengistiharan harta juga perlu dibuat secara serius dengan turut mengumumkan harta calon, isteri, anak dan saudara terdekat bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ramai ahli politik yang menjadi kaya mendadak walaupun baru sahaja memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran negara.

“Baik BN atau PR semua pemimpin perlu istihar hatra sebelum dipilih menjadi calon PRU 13 nanti.
“Maka rakyat boleh menilai berapa banyak laba yang diperolehi apabila duduk sesuatu jawatan atau mandat yang diberikan rakyat,” tegas beliau.

Beliau berkata, rakyat juga perlu menilai kejujuran dan sumber harta yang diisytiharkan oleh bakal calon.
“Mekanisme isytihar harta mungkin ada kelemahan tetapi yang penting wajib isytihar.

“Dan rakyat akan melihat betapa serius kita melakukannya demi menjamin pentadbiran yang berintegriti dimasa depan,” ujar beliau.

Anwar: Najib Perlu Undur Demi Keselamatan Diri Dan Negara


JOHOR BAHRU, 21 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur secara baik demi keselamatan diri dan negara ekoran pencapaian yang mengecewakan sepanjang tempoh pentadbiran beliau.

Bercakap di hadapan hampir 6,000 hadirin di tempat letak kereta Sutera Mall, Skudai dekat sini, Anwar menjelaskan, Najib hanya pandai memperlekeh kebolehan pentadbiran PR di Selangor dan Pulau Pinang sedangkan hutang negara telah mencapai RM 500 billion.

“Najib kata kita ‘tidak pandai’ mengurus. (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dan (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim perintah, kita ada lebihan kewangan.

“‘Pandai’ Najib urus negara, hutang negara sudah sampai RM500 billion,” katanya sinis pada ceramah perdana siri Jelajah Merdeka Rakyat Johor semalam.

Menurut Ketua Umum PKR itu, beliau menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 akan berlangsung dalam masa terdekat.

Hadir sama dalam jelajah ini Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin dan wakil kepimpinan Pakatan Rakyat Johor.

Tegasnya, sekarang merupakan masa terbaik untuk rakyat Malaysia terutamanya di negeri Johor untuk menolak sentimen perkauman Umno-BN dan bangkit membuat perubahan.

“Kepada rakyat, ini bukan soal pimpinan. Ini hasrat rakyat. Sudah cukup sudah rasuah dan fitnah.

“Saya beritahu orang Melayu di sini, yang hilang kuasa bukan Melayu tetapi pemimpin Umno yang rasuah.

“Ini perubahan terpenting kerana berhadapan Melayu yang lebih yakin,” laung Anwar.

Anwar turut mengulangi fakta tentang prestasi kewangan dan urus tadbir baik yang ditunjukkan oleh negeri PR seperti di dalam laporan Ketua Audit Negara.

Jelas Anwar, belum pernah negara yang muflis sekiranya hasil pendapatannya diagihkan secara sama rata seperti pemberian skim rakyat di negeri pimpinan PR sejak tahun 2008.

Anwar turut mengulangi isi kandungan Buku Jingga antaranya penurunan harga minyak dalam tempoh 24jam selepas mentadbir Putrajaya selain menyediakan modul pinjaman pendidikan lebih baik berbanding skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Categories
NASIONAL

SAMM : Kenyataan Keng Liang Tweet Biadap Dan Hina Islam

SHAH ALAM, 15 OKT: Kenyataan Ketua Pemuda Parti Gerakan, Tan Keng Liang yang menyatakan arahan Kerajaan Negeri Kedah tidak membenarkan foto lelaki berseluar pendek untuk mengelakkan golongan lelaki PAS teransang merupakan satu kenyataan biadap dan menghina agama Islam.

Dua kenyataan dalam tweet Keng Liang yang dianggap melampau dan mempersenda hukum agama Islam itu timbul berikutan tindakan Majlis Perbandaran Alor Setar (MBAS) untuk melaksanakan garis panduan supaya model iklan yang dipaparkan dalam kawasan mereka hanya memaparkan model berpakaian sopan.

Demikian menurut Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Badrul Hisham yang juga merupakan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan juga menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas Keng Liang.

“SAMM akan membuat laporan polis ke di seluruh negara berkenaan perkara melampau ini dan Tan Keng Liang perlu di tahan, telefonnya perlu dirampas dan dia perlu dihukum.

“Kita juga ingin melihat PDRM bertindak tegas seperti mana jika ada laporan polis terhadap yang lain.

“Saya pernah ditahan dan telefon saya dirampas, komputer Ketua AMK Rembau dirampas hanya kerana laporan polis yang telah kami buktikan akaun twitter palsu,” ujar beliau.

Terdahulu, satu kenyataan menerusi akaun laman sosial Twitter milik Keng Liang menyebut “Now, PAS govt male model appearing in billboard to wear decently & not to wear short. Why? afraid ‘jambus’ in PAS get arroused?”

Keng Liang turut menyambung dalam tweet berikutnya “imagine what will happen if PAS seize Putra Jaya… All Malaysian atheletes, including non Muslim musat wear long pants & shirt with sleeves.”

Categories
NASIONAL

Budaya Ganas Umno Mula Menular di Universiti

PUCHONG 25 SEPT: Politik ganas yang menjadi budaya Umno sejak kebelakangan ini dilihat sudah menjadi ikutan mahasiswa universiti.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata budaya politik ganas seperti ini yang dianggap mempunyai persamaan dengan insiden membaling kasut ke dalam masjid dan cat yang didakwanya didalangi samseng Umno.

Beliau yang lebih dikenali Chegu Bard berkata nyata kesal dengan insiden ini memandangkan mahasiswa merupakan aset masa depan negara.

“Jika kita perhatikan, situasi politik semasa dalam negara akan memberikan refleks kepada mahasiswa umumnya,” kata Badrul.

Awal pagi ini menyaksikan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto dibelasah ketika pulang berkempen.

Dalam insiden 4 pagi itu, Edikoup dipukul sekumpulan lima orang samseng ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Setakat ini, satu laporan polis berkaitan kejadian tersebut dibuat dan Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya sedang berlangsung.

Categories
NASIONAL

Chegu Bard: Seksyen 29(4) Akta SPRM Boleh Disalah Guna Lindungi Rasuah


SHAH ALAM, 19 SEPT: Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang digubal pada 2009 boleh disalahguna pihak berpengaruh bagi melindungi kesalahan rasuah yang mereka lakukan.

Ini berlaku apabila pihak yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan kuasa atau pengaruh mereka bagi mempengaruhi badan suruhanjaya itu atau pihak Peguam Negara agar tidak melakukan pendakwaan terhadap mereka.

Demikian dakwaan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

“Di satu peringkat, mungkin mereka melihat untuk maklumat perlu dirahsiakan untuk menyelesaikan siasatan tanpa gangguan.

“Tetapi saya juga melihat ia merupakan satu tindakan yang mungkin boleh dipergunakan sebab syaratnya semua laporan yang diberi kepada SPRM, dokumen tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga tindakan diambil terhadap individu tersebut.

“Terlalu banyak kes yang akhirnya tersangkut sebagai contohnya SPRM selesaikan siasatan, kemudian serah kepada Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya Peguam Negara dapat panggilan telefon dari Menteri, daripada itu, daripada ini dan tidak dakwa,” kata Badrul Hisham.

Terdahulu baru-baru ini, Badrul Hisham ketika membuat satu laporan kepada SPRM, beliau dikehendaki menandatangani surat akujanji agar tidak membocorkan maklumat dan dokumen yang dilaporkan kepada suruhanjaya itu.

Menurut Badrul Hisham, beliau boleh dikenakan hukuman dua tahun penjara dan denda RM10,000 sekiranya melanggar akujanji yang ditandatangani itu.

Categories
NASIONAL

Nama Soi Lek Disebut Bantu Rundingan Dana Kebajikan PM Libat Komisyen RM200,00

SHAH ALAM, 18 SEPT: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, merupakan individu  disebut dalam rundingan geran bantuan kerajaan bernilai RM500,000 dari Perdana Menteri kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Bagaimanpun, rundingan tersebut menetapkan sebanyak 40 peratus atau RM200,000 haruslah dibayar kepada sebuah syarikat yang ditetapkan.

Demikian menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin kepada TV Selangor hari ini.

Badrul Hisham memberitahu, nama Soi Lek disebut di dalam minit mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia.

“Dalam dua minit mesyuarat ada disebut dengan jelas nama Chua Soi Lek sebagai orang yang membantu untuk persatuan mendapat dana geran bantuan kebajikan dari Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam minit mesyuarat yang sama juga ada disebut satu nama syarikat yang harus dibayar 40 peratus sebagai komisyen kepada orang perantara,” beritahu Badrul Hisham.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan nama syarikat yang menerima komisyen bantuan kebajikan tersebut.

“Saya boleh dedah setakat itu sahaja kerana SPRM ingatkan saya dan saya juga tandatangan akujanji tersebut sebab kalau saya dedahkan lebih terhadap dokumen yang saya serahkan kepada SPRM, mengikut akta yang ada, saya boleh  dipenjara dua tahun atau denda RM10,000.

Sebelum ini, pada 16 September lalu, satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dibuat Badrul Hisham berhubung isu komisyen geran bantuan kebajikan ini.

Antara lain laporan tersebut turut menyatakan pembayaran kepada syarikat penerima komisyen itu dibuat melalui 10 keping cek dari Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengusaha Burung Walet Berhimpun Secara Aman Di Pejabat Umno Tanjong Karang

TANJONG KARANG,15 SEPT : Kira-kira 300 penyokong Pakatan Rakyat dan pengusaha sarang burung walet mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sekatan terhadap industri itu yang didakwa mengakibatkan kerugian kira-kira RM 5 bilion.

Keadaan aman perhimpunan itu yang dibuat di pejabat bahagian Umno Tanjong Karang, membuktikan bahawa Pakatan menunjukkan semangat demokrasi yang sebenar di dalam penganjuran himpunan bantahan suara.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang berada di situ berkata ini berbeza dengan tindakan segelintir penyokong Umno-BN yang sebelum ini membuat kacau di program Pakatan.

Himpunan itu diketuai Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri dan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon.

Lim mendesak pihak kerajaan pusat menghentikan monopoli ekspot burung walet ke China yang didakwa dikuasai oleh sebuah persatuan lain yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai tertentu.

“Kami tidak bersetuju dengan perwakilan gabungan itu kerana hanya mewakili segelintir peniaga sarang burung walet,? kata Lim semasa menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Memorandum itu dibacakan dihadapan Noh yang pada masa sama mengadakan Majlis Aidilfitri di tapak tersebut.

Noh berkata beliau akan mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah yang diutarakan. 

Perhimpunan aman itu dijalankan dalam suasana terkawal dengan pemerhatian kira-kira 50 anggota polis yang diketuai oleh OCPD Daerah Kuala Selangor, Taib Mahmud.

Kedua-dua pihak kemudianya beredar dengan baik dan mengadakan sidang media di kawasan berbeza.

Perhimpunan berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai aman tanpa kejadian yang tidak dingini.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu, Badrul Hisham berkata, acara ini menunjukkan sekali lagi yang himpunan suara rakyat sebenarnya boleh dilakukan dalam keadaan yang saling menghormati tanpa provokasi.

“Hari ini kita menunjukkan kita menjadi masyarakat bertamadun. Kita tidak datang pejabat orang dengan menyerang dan membaling cat merah ke bas dan tiada maki hamun.

“Kita beri mereka berucap berjam-jam kerana itu adalah rumah mereka dan kita hormat,” katanya.