Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Tiada banjir kilat di Seksyen 13, henti sebar maklumat tidak benar

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan kawasan Seksyen 13 di sini mengalami banjir kilat seperti yang tular hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pihaknya telah melakukan pemantauan di kawasan terbabit dan didapati tidak berlaku kejadian banjir kilat seperti didakwa.

“Hantaran video yang dimuatnaik merupakan video kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini.

“MBSA memohon semua pihak supaya tidak menularkan video atau menyebarkan maklumat yang kurang tepat dan sahih kerana ini boleh menimbulkan kegusaran dan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya menerusi Facebook.

MBSA memaklumkan pihaknya melalui Unit Pantas sentiasa memantau lokasi berisiko banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

Video yang dimuatnaik merupakan video kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini. MBSA mohon semua pihak supaya tidak menularkan video ini. Foto Facebook MBSA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota bomba pengsan semasa operasi menyelamat mangsa banjir

MELAKA, 20 OKT: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah tidak sedarkan diri selepas rebah ke dalam air banjir semasa operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Dalam kejadian tersebut, Mohd Diya Che Jusoh, 46, dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.

Pengarah JBPM Melaka Penolong Pesurujaya Abu Bakar Katain mengesahkan kejadian tersebut dan Mohd Diya kini sedang dirawat di Hospital Melaka.

“Buat masa ini beliau masih tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan dengan menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan kecemasan (EMRS) BBP Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beberapa negeri di Pantai Barat dilanda banjir kilat

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Hujan lebat berterusan yang melanda beberapa negeri di pantai barat sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.

Di SELANGOR, tiga kawasan di daerah Klang, dekat sini ditenggelami air selepas hujan berterusan bermula sekitar pukul 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat 6.30 petang tadi kawasan yang dilanda banjir kilat adalah berhampiran Jusco Bukit Raja di Persiaran Bukit Raja 2; Lorong Emas 2 Taman Melawis dan sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin, di Klang.

“Kejadian banjir kilat antaranya disebabkan longkang tersumbat dan berlaku limpahan air sungai ekoran hujan lebat. Di kawasan sekitar Jusco Bukit Raja, Persiaran Bukit Raja 2, kedalaman air adalah 1.22 meter, di sekitar Jalan Mohd Yamin (1.83m), manakala di Taman Melawis (0.30m).

“Setakat ini 35 rumah penduduk terlibat di dua daripada tiga kawasan tersebut khususnya 15 rumah di sekitar Jalan 3 Off, Jalan Mohd Yamin dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa banjir dari dalam rumah sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam berkata banjir kilat di sekitar Jusco Bukit Raja turut menjejaskan Jalan Persekutuan dari arah Klang menghala Kuala Lumpur yang dinaiki air menyebabkan lima kenderaan terkandas di kawasan tersebut dan pemandunya telah diarah keluar dari kenderaan terbabit untuk berlindung di tempat yang selamat.

Katanya berdasarkan pemantauan setakat ini, belum ada trend penurunan di kawasan berkenaan namun pihaknya telah bersiap sedia khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir kilat ekoran hujan yang masih belum reda.

Di NEGERI SEMBILAN, lapan kampung di Rembau dilanda banjir kilat disebabkan limpahan air dari beberapa sungai ekoran hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga pukul 6 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata banjir kilat membabitkan Kampung Tanjung Sena Hilir, Kampung Sungai Ibor, Kampung Minching, Kampung Paya Besar, Kampung Merbau 9, Kampung Sungai Batu, Kampung Raden dan Kampung Pulau Besar.

“Selain itu, jalan Pulau Mampat – Seberang Batu Hampar putus dua kira-kira pukul 4 petang tadi dan kerja penutupan jalan telah dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana keadaan jalan tidak selamat digunakan pengguna jalan raya pada masa ini.

“Jalan Linggi-Pedas di jambatan Sungai Ibor turut ditutup bagi kenderaan ringan berikutan air sungai masih di paras bahaya iaitu sekitar 600 milimeter (mm). Pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu jalan Kundur-Pilin untuk ke pekan Rembau,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada mangsa dipindahkan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan, selain pihaknya terus memantau dari semasa ke semasa situasi banjir di negeri ini.

Di MELAKA, 36 lokasi di tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak tengah hari tadi.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata daripada jumlah itu, 20 lokasi melibatkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (sembilan) dan Jasin (tujuh).

Beliau berkata setakat pukul 7 malam tadi, tiga PPS telah dibuka sebagai persediaan menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

“PPS terlibat ialah SMK Tun Mutahir di daerah Melaka Tengah, SK Durian Tunggal (Alor Gajah) dan SMK Seri Bemban (Jasin). Setakat ini, jumlah mangsa belum dapat dipastikan kerana mangsa masih dalam proses pendaftaran untuk ke PPS tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi terjejas banjir di daerah Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Katanya bagi daerah Alor Gajah pula, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai, manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasa dan Tehel.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tujuh kawasan DUN Pandamaran terjejas banjir kilat, tiga keluarga dipindahkan

SHAH ALAM, 20 OKT: Kira-kira 500 rumah di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran terjejas akibat banjir kilat petang tadi.

Kawasan berkenaan ialah Jalan Mohd Yamin; Taman Chi Liung, Klang; Taman Chi Liung, Pandamaran; Taman Bayu Perdana; Taman Melawin dan Jalan Sekolah Perlabuhan Klang.

Wakil rakyatnya, Tony Leong Tuck Chee berkata setakat ini tiga keluarga membabitkan lapan individu dari Jalan Mohd Yamin telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah.

“Saya telah minta ahli majlis untuk mengenal pasti sama ada terdapat mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat banjir kilat ini dan jika ada kita akan bantu mereka.

“Kita juga akan periksa rumah-rumah pam sama ada berfungsi atau tidak kerana kita terima maklumat pam di Bayu Perdana tidak berfungsi dan pihak MPK (Majlis Perbandaran Klang) telah ke sana untuk dibaiki,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Tuck Chee berkata situasi banjir kilat itu makin reda selepas beberapa kawasan mulai surut dan beliau berharap hujan tidak lagi lebat bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat, petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5.55 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir kilat: 15 rumah dinaiki air, lima kenderaan terkandas di Klang

SHAH ALAM, 20 OKT: Sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 5.55 petang.

“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Klang dan Banting dikejar ke lokasi dan didapati kedalaman banjir dianggar sedalam 1.8 meter.

Anggota bomba membantu mangsa banjir di Jalan Mohd Yamin, Klang petang tadi. Foto Ihsan Bomba Selangor

“Sebanyak 15 rumah terbabit dalam kejadian itu dengan kerja mengeluarkan mangsa sedang dilakukan,” kata Norazam Khamis menerusi kenyataan.

Beliau berkata setakat ini jumlah mangsa sedang dikenal pasti.

Sementara itu, dalam kejadian banjir kilat di Persiaran Bukit Raja 2, Klang, Norazam berkata sebanyak lima kenderaan terkandas di jalan raya.

“Anggota dari Balai Bomba Penyelamat Sungai Pinang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.30 petang dengan pemandu terlibat telah diarah keluar dari kenderaan masing-masing,” katanya yang memaklumkan kedalaman banjir di lokasi sedalam 1.2 meter.

 

Categories
ADN SELANGOR

Senggara parit kampung sekitar Pelabuhan Klang, elak risiko banjir kilat

SHAH ALAM, 20 OKT: Penyelenggaraan sistem perparitan dijalankan setiap masa di beberapa kawasan sekitar Pelabuhan Klang bagi mengatasi isu banjir kilat.

Kerja dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang menumpukan kawasan berisiko iaitu Kampung Perajurit, Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri menjelaskan langkah itu juga sebagai persediaan awal menghadapi musim air pasang besar sekali gus menjamin keselamatan penduduk setempat.

“Kita tidak boleh halang cuaca, jadi mereka (JPS) laksana kerja pengorekan sepanjang masa tanpa menunggu aduan daripada penduduk.

“Sekurang-kurangnya kalau berlaku banjir hanya di atas jalan. Sistem perparitan juga tidak akan tersumbat sekali gus mengelak air masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi supaya sentiasa memantau longkang dan parit di kawasan pentadbiran yang perlu menjalani proses sama.

“Mereka kena lebih proaktif untuk memastikan sistem perparitan dapat mengalirkan air dengan lancar. Saya berterima kasih kepada JPS Klang dan MPK yang mengambil langkah seperti ini di kawasan berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Naik taraf parit, kolam takungan atasi banjir kilat di bandar

SHAH ALAM, 6 OKT: Kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di bandar berpunca perubahan iklim semasa, kata timbalan menteri alam sekitar dan air.

Datuk Mansor Othman berkata keputusan itu diperoleh hasil pemantauan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Banjir kilat berlaku selepas hujan berkeamatan tinggi dan surut selepas enam jam. Sekiranya hujan melebihi reka bentuk saliran, banjir tetap berlaku walaupun tak ada halangan dalam saluran air

“Namun faktor sistem saliran serta halangan dalam saluran air dan hujan lebat turut menyumbang kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Nibong Tebal itu berkata bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar, JPS melaksanakan beberapa langkah termasuk menyedarkan masyarakat supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem perparitan.

“Kita sediakan pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu, tebatan banjir dan kajian saluran induk mesra alam di bandar utama untuk dijadikan panduan pihak berkuasa tempatan (PBT)

“JPS akan sediakan garis panduan manual mesra alam selain menjalin kerjasama dengan PBT untuk mantapkan pematuhan kebenaran merancang,” katanya.

Beliau berkata JPS turut memperbaiki sistem saliran menerusi kerja pembinaan dan menaik taraf infrastruktur seperti kolam takungan dan perparitan.

Pada 26 September beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk sifatkan banjir kilat Shah Alam antara terburuk

SHAH ALAM, 28 SEPT: Penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini menyifatkan kejadian banjir kilat pada Ahad paling teruk menimpa mereka.

Mohammad Fadli Khairudin, 21, berkata banjir kilat pernah berlaku di kawasan itu tetapi disebabkan kejadian ban pecah beberapa tahun lalu.

Mohammad Fadli Khairudin

“Kawasan kampung ini ibarat seperti sebuah mangkuk yang menjadi tempat limpahan air sekiranya hujan lebat kerana kawasan yang rendah.

“Ibu, ayah dan dua adik perempuan bermalam di dewan disediakan sementara saya pula kekal di rumah untuk mengangkat barang elektrik keluar,” katanya ketika ditemui.

Manakala Rasimah Jarjis, 28, berkata rumahnya dinaiki air pada jam 6.30 petang dan ketika itu beliau berada di rumah bersama anaknya berusia 10 tahun.

Rasimah Jarjis

“Menyedari air mula naik saya bersama anak mengangkat barang sedikit demi sedikit sementara menunggu suami pulang ke rumah.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana setiap tahun perlu berhadapan dengan banjir kilat,” kata suri rumah itu.

Ahad lalu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula jam 5.30 petang sebelum surut kira-kira jam 9 malam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

 

Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat: Ketua kampung buat bancian permudah bantuan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga meminta ketua kampung Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga membuat bancian mangsa terlibat dengan banjir kilat.

Wakil rakyat Rodziah Ismail berkata bancian itu membolehkan supaya bantuan dapat disalurkan kepada mangsa terlibat.

“Buat masa ini sebuah dewan MBSA dibuka untuk mangsa ditempatkan sementara waktu selain sukarelawan dihantar bagi membersihkan rumah.

“Saya bersimpati dengan penduduk kerana setiap kali hujan mereka menjadi mangsa banjir kerana peringkat Kerajaan Negeri kita telah menaik taraf longkang di kampung tersebut,” katanya.

Rodziah juga memaklumkan pihak berwajib terutama berkaitan saliran perlu bertanggungjawab menaik taraf bahu-bahu jalan sepanjang Persiaran Selangor.

“Sepanjang menjadi wakil rakyat saya tidak pernah nampak perkara ini dilakukan dan sudah tiba masa tindakan perlu dilakukan seperti zon penampan supaya menghalang air terus masuk,” katanya.

Terdahulu lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga disini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor bantu bersih rumah penduduk terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seramai 30 sukarelawan Team Selangor membantu membersihkan 105 rumah di Batu 3 dan Padang Jawa di sini yang terjejas dalam kejadian banjir kilat petang semalam.

Pasukan itu berkata usaha terbabit meringankan beban dihadapi penduduk yang terkesan dalam bencana berkenaan.

“Jutaan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada sukarelawan Team Selangor yang telah menyahut seruan pada hari ini.

“Moga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk terjejas,” katanya di Twitter hari ini.

Petang semalam beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Categories
ADN SELANGOR

Pendalaman kolam takungan atasi isu banjir di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyegerakan kerja mendalamkan kolam takungan air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bagi mengelak banjir terus berlaku.

Wakil rakyat Kota Kemuning V Ganabatirau berkata projek tersebut tertangguh selama dua bulan sehingga menimbulkan keresahan penduduk terutama apabila hujan lebat.

“Projek ini sudah diluluskan tetapi pelaksanaannya tidak mengikut jadual. Sekiranya tidak dibuat, kita bimbang kolam tersebut tidak mampu menampung kapasiti air.

“Saya telah berbincang dengan JPS Klang dan berharap kerja pendalaman kolam takungan dapat dimulakan dalam minggu ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut menggesa jabatan terbabit melaksanakan projek pembangunan kincir air di lokasi sama melalui peruntukan RM10 juta yang disalurkan tahun lalu.

“Mereka (JPS) sudah memasang papan tanda pembangunan projek berkenaan yang dijadual pada Julai tahun ini tetapi masih tertangguh. Selama ini mereka tunggu kelulusan pelan pembangunan dan lantikan kontraktor.

“Alasan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga mengekang pelaksanaannya tidak masuk akal kerana ini melibatkan projek berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ganabatirau berkata hampir 70 peratus kawasan perumahan sekitar Kota Kemuning dinaiki air dalam kejadian banjir kilat semalam, namun tiada keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita juga memberikan 150 pek makanan yang dimasak kepada penduduk di Taman Sri Muda dan Batu 8, Bukit Kemuning (100 pek) melalui ahli majlis, ketua kampung dan ketua komuniti India.

“Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu turut bekerjasama dengan pejabat pusat khidmat masyarakat Kota Kemuning membantu ratusan penduduk yang terjejas,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

60 rumah di Seksyen 4, 10 terjejas akibat banjir kilat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kira-kira 60 rumah di Seksyen 4 dan 10 di sini terjejas berikutan banjir kilat yang melanda sekitar daerah ini petang semalam.

Sebanyak 20 rumah dinaiki air di Seksyen 4 manakala 40 lagi di Seksyen 10 dalam kejadian bermula jam 5.30 petang sebelum surut kira-kira jam 9 malam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda serius.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad  menziarahi sebahagian penduduk yang ditimpa musibah itu.

Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik turut menyalur bantuan bagi meringankan beban penduduk untuk membersihkan kediaman mereka.

“Kejadian di Seksyen 13 berpunca akibat limpahan dari Sungai Damansara, sungai itu sepatutnya didalamkan kerana tidak lagi mampu menampung air yang banyak,” kata Najwan.