Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Deepavali: Sembahyang di kuil dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus

SHAH ALAM, 26 OKT: Penganut Hindu di negeri ini yang lengkap vaksin dibenarkan menyertai upacara sembahyang di kuil sempena perayaan Deepavali awal November.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran terhad 50 peratus daripada keluasan rumah ibadat itu, kata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas).

V Ganabatirau menjelaskan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dipersetujui Kementerian Perpaduan Negara turut melarang membawa kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Jika bangunan itu mampu memuatkan 100 orang, maka hanya 50 dibenarkan. Pengurusan kuil mesti berperanan menasihati rakyat dengan baik demi keselamatan bersama,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau turut mengingatkan semua penganut Hindu berwaspada ketika meraikan perayaan tersebut dengan mematuhi SOP sebaiknya bagi mengelak kluster Deepavali.

“Jangan anggap SOP itu menyusahkan. Kita kena ingat segala garis panduan yang dikeluarkan bukan untuk kepentingan mana-mana pihak tetapi diri sendiri dan orang tersayang,” kata Ganabatirau.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB serah sumbangan RM12,000, baucar beli-belah sempena Deepavali

KLANG, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan bernilai RM12,000 dan baucar Jom Shopping kepada peserta terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang Cabaran Sihat Sejahtera Sentosa 60 hari anjuran pejabat DUN Sentosa.

Beliau yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri kemudian melancarkan Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj, ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 22 cabang parti.

Cabang terlibat ialah Kuala Langat, Shah Alam, Kota Raja, Klang, Kapar, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Selayang dan Hulu Selangor.

Jelajah turut diadakan di Hulu Langat, Puchong, Gombak, Ampang, Pandan, Bangi, Sepang, Damansara, Sungai Buloh, Subang dan Petaling Jaya.

 

Categories
SELANGOR

Little India Klang jadi pilihan, semua kelengkapan mudah didapati

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana menjadi pilihan penganut Hindu mendapatkan segala kelengkapan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Pegawai tadbir diplomatik Kementerian Kewangan Haneeta Kaur berkata walaupun tinggal di Putrajaya dia sanggup mengambil cuti untuk membawa keluarga membeli-belah di situ.

“Di sini semuanya lengkap. Dari pakaian, perhiasan dan kuih ada dijual. Tambahan saya datang hari biasa jadi tidak perlu bersesak.

Haneeta kaur, 35

“Saya memang ambil cuti hari ini untuk pastikan Deepavali tahun ini disambut meriah. Tahun lalu kita tidak dapat beraya sangat kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu K Gunasegaran, 45, berkata hanya biskut serta manisan belum dibeli dan menunggu minggu hadapan untuk mendapatkannya.

“Dua tiga hari sebelum raya saya akan datang semula ke sini. Nanti lagi banyak pilihan yang ada dan tawaran lebih menarik.

“Pengunjung juga pasti ramai jadi semua kena patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan jaga jarak masing-masing,” katanya.

Bagi K Pameela, 25, dia menggunakan waktu rehat syarikatnya dari jam 1 hingga 2 patang untuk datang membeli Sari memandangkan semua ahli keluarga sudah menyediakan pakaian.

K Gunasegaran, 45

“Hari biasa tak ramai orang membeli barang. Jadi senang nak pilih berbanding hari minggu. Pejabat juga tidak jauh jadi memudahkan urusan saya,” katanya.

Tahun ini kawasan itu kembali meriah dan menjadi tumpuan penganut Hindu membeli belah sempena Deepavali selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Little India di Klang kembali meriah, sambutan Deepavali makin terasa

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana yang menjadi tumpuan penganut Hindu membeli-belah ketika Deepavali kembali meriah tahun ini selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.

Rata-rata pengunjung mendapatkan pakaian tradisi Sari dan Dhoti masing-masing serta kuih seperti muruku serta manisan bagi memastikan semua keperluan lengkap.

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk, S Gaithri

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk S Gaithri berkata pelanggan mula membanjiri kedainya sejak beberapa minggu lalu bagi mencari pakaian bersesuaian untuk digayakan di pagi raya.

Beliau berkata pelanggan bukan hanya datang dari sekitar Selangor malah negeri lain selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

“Sini memang menjadi tumpuan kaum Hindu membuat persiapan. Tahun ini semua mahu buat persiapan selengkapnya memandangkan tahun lepas hanya sambut ala kadar.

“Bagi memastikan semua dapat meraikan kemeriahan Deepavali, tahun ini kami tawarkan harga pakaian lebih rendah. Kami faham Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan,” katanya ditemui hari ini.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd J Harikrishnan berkata syarikatnya terpaksa menambah bekalan beras basmathi dan ponni selepas mendapat sambutan memberangsangkan.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd, J Harikrishnan

“Beras ini sesuai untuk masakan Briyani. Ramai pelanggan mahu hidangkan juadah itu ketika Deepavali. Jadi kami terpaksa menambah lebih banyak bekalan,” katanya.

Sementara itu peniaga manisan S Subramanian berkata premisnya Archana Curry House akan menjual 2,000 hingga 3,000 biji manisan sehari mulai minggu depan.

“Kita jual 15 hingga 20 jenis manisan. Sekarang 200 hingga 300 sahaja. Kita tak boleh jual jumlah yang banyak kerana manisan hanya bertahan seminggu.

“Manisan yang menjadi pilihan antaranya laddu, jilebi dan halwa. Bagaimanapun jumlah jualan tahun ini tidak seperti sebelum ini kerana risau tiada pelanggan,”katanya.

Sambutan Deepavali tahun lalu disambut suram selepas kerajaan mengumumkan larangan pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pemilik Archana Curry House, S Subramanian

Upacara keagamaan hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB.

Aktiviti ziarah pula maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat bagi kediaman bertanah sementara strata tidak boleh melebihi 10 orang.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Komuniti India di Ampang terima hamper sempena Deepavali

SHAH ALAM, 25 OKT: Sejumlah keluarga berbangsa India di Jalan Ikan Emas, Ampang Campuran, Ampang menerima hadiah hamper sempena sambutan Deepavali awal bulan depan.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata hamper yang diberi berupa tepung muruku dan tepung kuih tradisional India yang lain.

“Yang menggembirakan saya, senyuman para penerima yang begitu gembira walaupun hamper yang diberikan tidaklah begitu lumayan atau mahal harganya.

“Namun senyuman mereka itu lebih mahal dari harga hadiah yang diberi oleh kami,” katanya menerusi Facebook.

Lawatan melawat rumah ke rumah itu disertai Ahli Majlis Zon 11 A Ragunathan bersama jawatankuasa penduduk (JKP) Zon 11.

Rodziah turut berharap program seumpama itu diteruskan pada setiap perayaan budaya di negara ini agar jurang perbezaan budaya kaum dapat didekatkan.

Categories
PBT SELANGOR

MPHS sedia 27 tong buang perabot terpakai, e-sisa sempena Deepavali

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyediakan 27 tong Roll On Roll Off (RORO) sempena Deepavali bagi memudahkan orang ramai membuang sampah e-sisa dan perabot lama.

Kemudahan percuma bersaiz tiga tan ditempatkan di 11 kawasan bermula 24 Oktober hingga 4 November, menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Kita berharap penduduk memberikan kerjasama dengan membuang sampah pukal ke dalam tong RORO bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih serta selesa.

“Sampah sisa pepejal adalah dilarang sama sekali untuk dibuang ke dalam tong RORO ini,” katanya menerusi Facebook.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS di talian 03-60641331 atau 03-60641050.

Berikut senarai kawasan dan lokasi tong RORO:

24 hingga 29 Oktober

1. Hulu Bernam – Jalan Changkat Asa
2. Kalumpang – Taman Musabika
3. Kerling – Kuil Kerling
4. Kuala Kubu Baru – Ampang Pecah, Taman Teratai
5. Batang Kali – Meranti 3, Taman Wawasan, Taman Semarak
6. Ulu Yam Baru – Tapak Pasar Pagi Ulu Yam Baru
7. Rasa – Taman Rasa Utama
8. Serendah – Taman Tasik Teratai Fasa 2, Taman Serendah Indah, Taman Melati

30 Oktober hingga 4 November

1. Sungai Choh – Taman Bukit Teratai, Taman Ehsan Ibu 2 dan Koskan, Kampung Mohd Taib
2. Bukit Sentosa – Perumahan Tulip, Perumahan Tanjung, Perumahan Teluki
3. Bukit Beruntung – Perumahan Dahlia, Perumahan Semarak, Perumahan Widuri, Perumahan Kekwa, Perumahan Inai/Melur, Perumahan Anggerik/Kemboja, Lot Banglo Anggerik/Kemboja, Perumahan Teratai

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor peruntuk RM192,000 agih pek makanan sempena Deepavali

SHAH ALAM, 22 OKT: Sebanyak 3,500 bakul makanan diagih kepada masyarakat India seluruh negeri sempena Deepavali yang akan diraikan awal bulan depan.

Agihan dibuat melalui Ketua Komuniti India dengan menyasarkan keluarga berpendapatan rendah (B40) itu membabitkan dana kira-kira RM192,000, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau menjelaskan pek bernilai RM55 setiap satu mengandungi bahan untuk masakan tradisional kaum itu bagi meringankan beban perbelanjaan penerima.

“Pandemik melanda negara hampir dua tahun bukan hanya memberi cabaran besar kepada satu kaum sebaliknya semua pihak yang mana ekonomi global menjunam selain menjejaskan pekerjaan dan pendapatan orang ramai.

“Inisiatif yang diambil ini diharap mampu memberikan keceriaan kepada mereka untuk meraikan Deepavali walaupun secara bersederhana,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau memaklumkan tiada penganjuran rumah terbuka berskala besar di peringkat negeri tahun ini meskipun Lembah Klang sudah beralih ke fasa empat pelan pemulihan negara.

“Tidak seperti kelaziman, acara rumah terbuka terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, apatah lagi ia memerlukan perancangan rapi dua atau tiga bulan (sebelum perayaan),” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

1,000 masyarakat India di Rawang dibantu sempena Deepavali

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 1,000 keluarga masyarakat India sekitar Rawang menerima sumbangan sempena Deepavali yang diraikan awal bulan hadapan.

Bantuan khusus buat golongan terkesan akibat Covid-19 itu merangkumi 300 bakul makanan dan 700 baucar Jom Shopping, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang.

“Sebanyak 300 kotak bakul makanan khas yang mengandungi bahan-bahan untuk masakan tradisional diedar dengan setiap pek bernilai RM60 selain baucar Jom Shopping,” kata Chua Wei Kiat.

Beliau berkata pihaknya menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan perayaan itu sebelum ini, namun mengubah sambutan dengan mengagih bantuan susulan pandemik.

“Setakat ini lebih 3,000 keluarga masyarakat India dibantu ketika Covid-19 dengan pelbagai kaedah merangkumi bakul makanan, bantuan perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Pada 1 September, Wei Kiat mengerakkan seramai 50 sukarelawan termasuk ketua kampung bagi mengenal pasti golongan memerlukan di sekitar Rawang untuk dibantu.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus membantu individu yang hilang pendapatan akibat penularan Covid-19 meski sektor ekonomi kembali dibuka.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah terbuka Deepavali DUN Sentosa konsep pandu lalu meriah

SHAH ALAM, 30 NOV: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan rumah terbuka Deepavali berkonsepkan pandu lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ahli dewan negerinya, Dr G Gunaraj berkata beliau mengagihkan pek makanan dan minuman kepada lebih 1,000 orang yang hadir meraikan perayaan itu.

“Walaupun sekarang kita dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perayaan ini tetap disambut tetapi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan.

“Menariknya, sambutan rumah terbuka ini juga turut dihadiri kaum lain seperti Melayu dan Cina yang sama meraikan perayaan ini dengan harmoni,” katanya ketika dihubungi semalam.

Gunaraj berkata pertandingan menghias khemah bertemakan perayaan Deepavali turut diadakan melibatkan lima zon di DUN Sentosa dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang.

Ahli Dewan Negeri Sentosa G Gunarajah menghulurkan sumbangan makanan ketika majlis sambutan Deepavali secara pandu lalu di hadapan pusat khidmatnya pada 29 November 2020.
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong ucap Selamat Menyambut Deepavali

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua masyarakat beragama Hindu di seluruh negara.

Kedua-dua Seri Paduka Baginda menyampaikan ucapan tersebut menerusi akaun Facebook Istana Negara, hari ini.

“Semoga festival cahaya akan menerangi kehidupan anda dengan keamanan, kemakmuran, kesihatan dan kegembiraan,” menurut tulisan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Bangun usahawan perkukuh komuniti India depani cabaran

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor mewujudkan program pembinaan usahawan sebagai bantuan khusus terhadap komuniti India supaya mampu mengharungi cabaran pasca pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut meliputi penyediaan latihan keusahawanan dan kursus kemahiran pembuatan.

Selain itu, katanya jumlah ketua komuniti India turut ditambah kepada 62 berbanding 48 sebelum ini yang menerima elaun bulanan dan peruntukan program.

“Saya mengajak masyarakat India mengambil peluang-peluang ini dan berharap usaha Kerajaan Negeri dapat memberi peluang pekerjaan baharu.

“Ia sekali gus meningkatkan keberdayatahanan komuniti India sehingga kita memasuki fasa pasca Covid-19,” katanya menerusi perutusan Deepavali 2020.

Beliau berkata pandemik Covid-19 mendorong Kerajaan Negeri membawa pendekatan digitalisasi bagi ‘Melakar Realiti Baharu, Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat’ dalam Belanjawan Selangor 2021.

Menurutnya, Selangor segera mengambil tanggungjawab sebagai negeri barisan hadapan untuk mencari beberapa solusi bagi menjaga kepentingan rakyat

“Ini termasuk iltizam bagi menyediakan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif digitalisasi seperti Selangor Kerjaya, Selangor Freelancers, Selangor Automotif TVET dan Rakan Digital Selangor agar cabaran pengangguran dapat diatasi.

“Aspek kebajikan sosial rakyat turut dipelihara melalui Skim Mesra Usia Emas 2.0 yang memberi RM500 sebagai bantuan khairat kematian kepada waris warga emas,” katanya.

Beliau berkata penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) ditambah seramai 5,000 penerima khususnya buat ibu tunggal serta menambah nilai insurans bagi program Skim Peduli Sihat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Raikan Deepavali dalam normal baharu

SHAH ALAM, 14 NOV: Dato’ Menteri Besar menggunakan pendekatan berbeza dalam meraikan kemeriahan Deepavali tahun ini berikutan negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemeriahan itu disambut dengan mengutuskan ucapan melalui aplikasi Whatsapp dan video sebagai menggantikan aktiviti menziarahi rumah kenalannya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua seperti kelaziman dilakukan sebelum ini.

“Saya percaya ianya juga sama untuk anda yang mungkin tidak berpeluang bertegur sapa dan menyambut perayaan ini dengan keluarga serta rakan taulan disebabkan pelbagai jenis kawalan pergerakan di hampir seluruh negara.

“Namun saya yakin kepentingan perayaan Deepavali ataupun Diwali tetap akan disambut dengan cara tersendiri yang kita anggap sebagai suatu realiti baharu pada 2020 yang amat unik,” katanya menerusi perutusan Deepavali hari ini.

Beliau turut mengajak penganut Hindu mengimbau riwayat kepulangan kembali Dewa Rama ke Ayodhya dengan pelbagai jenis lampu setelah berusaha hampir 14 tahun dalam perjuangannya.

Katanya kisah kejayaan Dewa Rama ke atas Ravana wajar ditelusuri kerana mempunyai persamaan kepada situasi yang sedang dihadapi ketika ini.

“Deepavali pada asasnya adalah perayaan lampu berasal daripada perkataan ‘deep’ yang bermaksud lampu dan ‘avali’ (barisan).

“Deepavali juga membawa makna lebih mendalam iaitu kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kejayaan kebaikan mengatasi keburukan serta kekuatan harapan dan ilmu mengatasi kejahilan,” katanya.

Amirudin turut mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor, khususnya kepada masyarakat beragama Hindu dan Sikh.