Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilih 18 tahun dibenar mengundi jika PRN Sarawak selepas 31 Disember

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pengundi muda akan dibenar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya pilihan raya itu diadakan selepas 31 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18, ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat semalam.

“Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari ini… kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Dis, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi 18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022)…kita kena akur dengan arahan mahkamah,” katanya.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.

Sementara itu Wan Junaidi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua berkata ia secara amnya bertujuan memantapkan sektor perundangan dan perkhidmatan peguam bela di Sabah.

“Proses Penggubalan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 ini telah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi yang diperlukan,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna ada alternatif bayar bil Astro tanpa caj perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Bermula 1 Sept lepas Pos Malaysia Bhd mengenakan caj 50 sen bagi pengguna yang membuat pembayaran bil Astro di kaunter mereka, dan ia merupakan persetujuan secara komersial (commercial arrangement) antara dua syarikat berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pengguna perkhidmatan penyiaran Astro mempunyai pilihan untuk membayar bil tanpa dikenakan caj perkhidmatan, antaranya menerusi kaedah auto debit yang memerlukan pelanggan mendaftar di portal layan diri atau di pusat perkhidmatan pelanggan Astro.

Beliau berkata selain itu alternatif pembayaran bil termasuk Astro Quick Pay, saluran Astro 200, aplikasi My Astro serta platform JomPAY.

“Sejak Januari tahun ini, caj perkhidmatan 50 sen untuk Astro telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran bil, cuma Pos Malaysia Berhad sahaja yang baharu mengenakan caj sama bagi bayaran bil Astro di kaunter bermula 1 Sept 2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu mengapa caj 50 sen dikenakan sebagai caj kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di pejabat pos.

Beliau berkata Pos Malaysia yang telah dikorporatkan pada 1992 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001 kini adalah anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM Berhad.

Katanya selain menyediakan perkhidmatan pos asas, Pos Malaysia telah mengembangkan aktiviti perniagaannya dan kini merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan e-Dagang bersepadu yang terulung di Malaysia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Caj tambahan 50 sen bil Astro tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari keempat hari ini bakal membincangkan mengenai caj 50 sen dikenakan sebagai komisen oleh pejabat pos kepada pelanggan yang membayar bil Astro secara manual di premis berkenaan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama juga, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) dijadual mengajukan soalan mengenai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membina semula ekonomi pasca-Covid-19 serta strategi kementerian dalam merangsang pertumbuhan sektor ekopelancongan.

Selain itu, pada sesi soal jawab lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah laporan ajaran sesat sepanjang 2020 hingga suku ketiga tahun ini serta langkah kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran tersebut.

Soalan berhubung usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam meningkatkan hasil sawit dan getah melalui kaedah pertanian pintar khasnya melibatkan penggunaan teknologi sistem navigasi satelit dan sistem pengairan pintar pula dijangka diajukan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut).

Turut dijangka dibincangkan adalah soalan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan tunggakan bil pembetungan Indah Water mengikut negeri dan senarai premis kerajaan yang masih mempunyai tunggakan.

Dalam pada itu, sebanyak enam rang undang-undang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan penjara seumur hidup, sebat seludup migran

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Hukuman bagi kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dicadang dinaikkan daripada penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, kepada pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

Selain itu, pindaan juga melibatkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Ismail berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sidang Parlimen ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif elak Covid-19 naik di PRN Melaka tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka tertumpu kepada inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku di PRN Sabah, tahun lepas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dijadual dibangkitkan semasa sesi soal jawab lisan Waktu Pertanyaan Menteri yang akan diajukan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) kepada Perdana Menteri.

Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan pengenalan mekanisme penyelamat korporat untuk membantu entiti perniagaan bermasalah.

Pada sesi jawab lisan, Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) akan meminta mmenteri kesihatan menyatakan sama ada kementerian sedang atau telah mula meneliti kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) pula meminta menteri sumber manusia untuk menyatakan pendirian kerajaan untuk menaikkan gaji minimum pada kadar RM1,200 sebulan memandangkan sejumlah besar rakyat terbeban akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, sebanyak 10 Rang Undang-Undang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul untuk bacaan kali kedua, hari ini.

Antaranya Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021, Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: 98.18 peratus penjawat awam lengkap terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jumlah penjawat awam yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 mencecah 98.18 peratus setakat ini kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata ini bermakna hanya baki 1.92 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih belum mengambil vaksin itu.

“Program vaksinasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta penjelasan tentang status dan hak penjawat awam yang enggan mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam itu.

Abdul Latiff berkata jika kerajaan mahu mewajibkan penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin untuk menerima vaksin itu, ia memerlukan peraturan dan libat urus supaya boleh dilakukan dengan cara yang berhemah.

Tambah beliau setakat ini kerajaan belum bercadang mewajibkan pengambilan vaksin seperti di negara lain contohnya Singapura dan Kanada.

Namun katanya kerajaan setakat ini menggunakan pendekatan melarang mereka yang enggan menerima vaksin menikmati kemudahan termasuk tidak boleh makan di dalam kedai makan atau aktiviti lain yang boleh dinikmati oleh individu yang telah lengkap vaksin.

“Dengan cara begini lama-kelamaan mereka akan sedar, mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat yang orang lain (dapat), mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan teruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen: Usul bahas untuk ungkai Ordinan Darurat dibawa ke sidang akan datang

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya memohon usul Perdana Menteri berkenaan pengungkaian Ordinan-ordinan darurat nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini dibawa ke mesyuarat akan datang juga,” katanya di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu, Wan Junaidi berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 62, lapan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang tersenarai di nombor 5 hingga 12 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini turut akan dibawa ke mesyuarat akan datang.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbahasan ungkai Ordinan Darurat antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hari terakhir Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini dijadual membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan darurat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Perdana Menteri akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Sementara itu, sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada permulaan persidangan Dewan Rakyat akan menyentuh isu berkaitan pakatan keselamatan tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia (Aukus) serta status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin.

Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan bertanya mengenai pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan Aukus manakala Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri sama ada kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin.

Selain itu, soal persempadanan semula atau menambah kawasan pilihan raya akan dibangkitkan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Perdana Menteri.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 17 hari bersidang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara sedia bantu siasat isu Kertas Pandora, kata menteri kewangan

SHAH ALAM, 11 OKT: Bank Negara Malaysia sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk menyiasat pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan melibatkan beberapa nama besar.

Menteri kewangan berkata sebarang aktiviti mencurigakan akaun luar pesisir sentiasa dipantau bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan badan terlibat termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam.

“Kalau ada isu yang timbul inilah agensi bertanggungjawab, kalau ada isu perlu disiasat maka Bank Negara sebagai pihak berkuasa berwibawa bawah AMLA sedia bekerjasama dan panjangkan sokongan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkara itu dibahaskan kerana membabitkan kesan kewangan besar terhadap negara.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga rang undang-undang dijangka dibentang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Berbaki dua hari lagi penutupan sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, tiga Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, dua lagi adalah Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula, Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada para peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sejauh mana perancangan kementerian dalam meneruskan usaha melaksanakan satu aliran sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan supaya tiada lagi masyarakat yang tidak fasih berbahasa Malaysia.

Selain itu, soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengenai skrip drama yang menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

Turut ditanya adalah soalan mengenai pengeluaran dan pengedaran benih padi sah kepada peladang yang diajukan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen tolak usul bahas isu Kertas Pandora babit dana pemimpin negara

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

Usul yang dikemukan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditolak Yang Dipetua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun atas alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Azhar sebaliknya mencadangkan agar perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk penelitian lanjut dengan tempoh yang lebih lama berbanding ia dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat (Anwar) bahawa perkara itu (Kertas Pandora) menepati elemen ia suatu perkara tertentu, ia perkara berkepentingan awam dan ia perkara penting yang perlu disiasat.

“Tetapi saya mendapati ia (usul) tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan kita ini didahulukan dengan Aturan Urusan Mesyuarat dan jika hendak ditepikan, maka sesuatu perkara yang hendak dibawa itu (usul) mestilah perlu disegerakan.

“Pada pendapat saya, kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuk bidang ekonomi yang merangkumi MOF (Kementerian Kewangan) dan saya rasa lebih sesuai jika perkara ini dibawa ke jawatankuasa pilihan khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dengan masa lebih panjang, oleh itu saya terpaksa menolak usul Yang Berhormat,” katanya.

Terdahulu Anwar meminta untuk menyegerakan usul membahaskan pendedahan Kertas Pandora. Pemberitahuan bersurat memohon mengemukakan usul itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 4 Okt.

Dalam usulnya, ketua pembangkang itu meminta dewan yang bersidang membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara disebut melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan terdapat kekangan peraturan untuk membincangkan isu itu kerana pendedahan Kertas Pandora itu adalah daripada laporan media berdasarkan kebocoran maklumat daripada berapa agensi.

“Dalam Peraturan 23 (1) (i) menjelaskan bahawa; sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidaknya penerangan-penerangan dalam surat khabar atau penerangan-penerangan yang dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan badan-badan kewangan.

“Dan jika saya baca peraturan ini bersekali dengan 18 (7) (c), itu pun satu kekangan peraturan… saya akui perkara (usul) ini penting… saya syor Yang Berhormat ambil prosedur lain dalam perkara ini. Jadi saya rasa cadangan (rujuk jawatankuasa pemilihan khas) itu lebih efektif daripada kita kena ketepikan Aturan Urusan Mesyuarat membincangkannya” katanya.

Peraturan 18 (7) (c) menyatakan apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesihatan mental anggota tentera antara isu tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Isu berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Kanan Pertahanan, yang turut ingin tahu pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Sarawak baru-baru ini.

Selain soalan-soalan berkaitan Covid-19 dan vaksin, sesi pertanyaan bagi jawab lisan juga dijangka turut menyentuh kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya yang akan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).

Wong turut meminta Menteri Luar menyatakan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil terhadap rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini melibatkan 12 lagi kementerian antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

-BERNAMA