Categories
NASIONAL

Kerajaan BN digesa dedah senarai produk dikenakan GST

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa supaya membuat pendirian tegas dan muktamad dengan mendedahkan senarai produk serta perkhidmatan yang akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum dikuatkuasakan mulai 1 April 2015.

Hal itu berikutan kerajaan BN sehingga hari ini dilihat masih berdolak-dalik berkenaan senarai akhir produk dan perkhidmatan yang akan diwartakan di bawah Akta GST untuk dibentangkan di Parlimen walaupun pelbagai asakan dibuat, kata Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, senarai itu juga harus menerangkan dengan terperinci sama ada bahan api seperti petrol dan diesel turut dikenakan cukai enam peratus seperti yang diwar-warkan yang akan menjadi sumber hasil paling besar untuk Kerajaan Pusat.

“Jika banyak produk dikecualikan cukai GST, maka Kerajaan Pusat akan kurang mendapat hasil tetapi tidak terlalu membebankan rakyat, tetapi kalau mahu mendapatkan hasil yang lumayan contohnya daripada bahan api tentu mereka akan dapat pungutan cukai yang banyak.

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01“Putrajaya dan Perdana Menteri perlu diingatkan bahawa GST hanya akan membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Maka, bagi membuktikan ketelusan atau kebertanggungjawaban kerajaan, maka Najib perlu memuktamadkan apa yang masuk dan tidak (dalam senarai GST) serta perlu digazet serta dibentangkan di Parlimen,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, melalui Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat, menteri kabinet sememangnya berhak untuk menilai semula senarai GST, namun diingatkan supaya tidak bertindak melampaui batas untuk mendapatkan pungutan cukai GST dengan begitu mewah.

Katanya, jika terlalu banyak produk dan perkhidmatan dikenakan cukai, maka ia akan mencetuskan kesan berantai terhadap kenaikan harga barangan yang akhirnya menjejaskan pengguna.

Gst biasa“Mungkin senarai (cukai GST) itu sudah siap tetapi hanya menunggu waktu untuk diumumkan. Tetapi kalau naik, kita akan tahu apa yang ingin buat daripada segi tentangan dan tidak akan duduk diam berkenaan perkara yang membebankan rakyat ini,” katanya.

Putrajaya dilaporkan bakal mengutip sejumlah RM3 bilion setahun daripada GST yang dikenakan terhadap pembelian bahan api petrol dan diesel oleh rakyat, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi PKR itu berkata, melalui GST yang dikenakan kepada produk bahan api itu, setiap liter petrol dan diesel akan mengalami kenaikan harga masing-masing pada kadar RM13 sen dan RM12 sen.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerugian tahunan terus meningkat, MAS perlu keluar Bursa Saham

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Ekoran kerugian yang terus dicatatkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan syarikat berkenaan keluar daripada Bursa Saham dan bergerak sebagai entiti swasta supaya lebih agresif dan rancak.

Beliau berkata, jika MAS terus dibiarkan rugi tanpa mencatatkan peningkatan keuntungan, maka rakyat turut mengalami maslaah sama kerana ia adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Khazanah Nasional dengan jumlah pegangan 69.4 peratus.

Katanya, kerugian yang dialami suku pertama tahun 2014 dapat dijangkakan kerana MAS turut berhadapan kehilangan pesawat MH370, sekali gus membawa kepada sentimen negatif pasaran.

dr dzul close 01“Sekali lagi saya kemukakan syor serta pandangan daripada penganalisis kewangan apakah sudah tiba waktunya supaya MAS dibawa menjadi entiti swasta kembali atau keluar daripada Bursa.

“Biar MAS wujud sebagai entiti swasta dan boleh berfikir dengan rancak dan mungkin dapat melaksanakan satu pelan tindakan yang lebih agresif supaya program pemulihan dapat dijayakan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Jelasnya, kehilangan MH370 sedikit sebanyak memberikan kesan kepada MAS yang kini berusaha memulihkan kembali prestasi mereka ke tahap yang lebih baik dan menguntungkan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya memaklumkan Malaysia Airlines menanggung kerugian bersih RM443 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac lalu, berbanding RM279 juta dalam suku yang sama tahun 2013.

Pendapatan syarikat untuk suku pertama meningkat kepada RM3.6 bilion berbanding RM3.53 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala saham syarikat itu jatuh 9.0 peratus kepada 22.5 sen daripada 24.8 sen dalam suku pertama 2014.

mas“Daripada situ kita tahu walaupun jumlah dapatan banyak tetapi kerana dapatan untuk satu penumpang (yield) hanya 22.5 sen bermakna keuntungan sudah jatuh.

“Bila MAS menurunkan harga untuk mendapatkan penumpang (price war), pada masa sama kena ingat, bila beri tambang murah tidak akan dapat mengatasi harga kosnya.

“Sebab itu jumlah dapatan boleh naik tetapi keuntungan jatuh. Ringkasnya, kalau MAS terus begini, maka tidak akan dapat keluarkan daripada perangkap kitaran kerugian,” katanya.

Pada masa sama, Dzulkefly turut membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang dilaporkan berkata kerajaan tidak akan memberikan suntikan modal baru kepada MAS kerana sudah memberikannya RM19 bilion supaya kekal stabil.

Dzulkefly berkata, kenyataan demikian disifatkan sebagai tajam dan boleh menjejaskan lagi sentimen pasaran terhadap MAS.

“Jika kamu tidak boleh membantu adalah lebih baik diam,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pakatan Rakyat boleh lupakan Putrajaya jika Anwar tewas PRK Kajang

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 6 FEB: Pakatan Rakyat (PR) boleh melupakan hajat untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sekali gus menakluki Putrajaya jika tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pada 23 Mac ini.

Hal itu berikutan kemenangan calon PR dalam PRK Kajang nanti iaitu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja membantu mengukuhkan lagi penguasaan PR di Selangor, bahkan menjadi tapak pelancar untuk mara ke Putrajaya nanti.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Phua berkata, perkara itu turut disedari Barisan Nasional (BN) yang sudah pasti akan bermati-matian melaksanakan pelbagai kempen politik kotor bagi memastikan PR tewas dalam PRK kedua pasca PRU-13 itu.

DSC_9934“PRK Kajang adalah sangat penting. Kalau Anwar tewas di Kajang, PR akan berakhir dan lupakan PRU-14, lupakan ‘ubah’, lupakan ‘change’ dan reformasi.

“BN akan melakukan apa sahaja kerana mereka tahu kalau PR kalah, berakhir riwayat politik Datuk Seri Anwar dan PR” katanya sempena forum penerangan Langkah Kajang yang diadakan di Hotel Empire, di sini, semalam.

Tony Phua berkata, beliau menggesa pengundi DUN Kajang memastikan kemenangan Anwar bagi memberi PR menerajui pentadbiran kerajaan pusat, sekali gus memperbaiki kerosakan yang dilakukan BN sepanjang mentadbir negara ini.

Sementara itu, mengulas peranan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, beliau menyifatkan Abdul Khalid sudah meletakkan komitmen 100 peratus bagi memastikan urus tadbir kerajaan negeri berjalan lancar sehingga Selangor mencapai pelbagai kejayaan hanya dalam masa enam tahun dan jauh lebih baik daripada rekod 50 tahun pentadbiran BN di negeri itu.

“Saya penyokong kuat Abdul Khalid. Ingat lagi isu Talam Corporation? Saya juga berusaha membantu memberi penerangan supaya rakyat tahu perkara sebenar isu hutang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula menyifatkan langkah mengosongkan kerusi Kajang disusuli meletakkan Anwar sebagai calon adalah langkah strategik yang dikenali ‘pertahanan ke hadapan’.

DSC_9972Katanya, ‘pertahanan ke hadapan’ atau ‘foward defense’ merujuk kepada strategi peperangan iaitu melakukan serangan terlebih dahulu sebelum diserang bagi tujuan mempertahankan sempadan sesuatu negara diceroboh musuh.

“Ini langkah yang berisiko, tetapi setiap yang mempunyai risiko itu mampu memberi pulangan lebih baik,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menegaskan, walaupun PKR tidak mengadakan perbincangan bersama PAS atau DAP sebelum tercetusnya isu perletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, namun parti itu tetap berdiri teguh bersama PR bagi memastikan kemenangan Anwar dalam PRK itu nanti.

Selain Phua dan Dr Dzulkefly, forum itu turut menampilkan  Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga.

Forum yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad itu dihadiri kira-kira 200 hadirin.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas terlewat, tidak selesai kenaikan kos sara hidup

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 18 JAN: Penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang diumumkan kerajaan pusat disifatkan sudah ‘terlambat’ dan sekadar meredakan kemarahan rakyat berikutan peningkatan harga barangan secara mendadak.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jawatankuasa khas itu tidak mampu menangani kenaikan kos sara hidup selagi urus tadbir kewangan negara tidak diubah dan amalan monopoli (runding langsung) masih membelenggu kerajaan.

dr dzul green 01Beliau berkata, kerajaan pusat akhirnya sedar tindakan mereka menarik balik beberapa subsidi khususnya bahan bakar dan gula serta menaikkan tarif elektrik juga kadar pengangkutan awam bakal mencetuskan inflasi ‘ganas’ walaupun terlambat.

“Amat malang semua ini tidak difikir lebih awal dan membuktikan itu adalah tahap keprihatinan Barisan Nasional (BN) yang kerap menggembar-gemburkan slogan rakyat didahulukan.

“Jawatankuasa ini walau komprehensif sekalipun pasti tidak mampu menangani punca kenaikan selagi urusan kewangan tidak diperbaiki dan monopoli masih berlangsung serta konsesi berat sebelah tidak diselesaikan,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan jawatankuasa khas berkenaan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barang secara bersepadu.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi membuktikan keprihatinan menteri kabinet terhadap masalah rakyat dalam usaha mengawal kenaikan terbabit.

barang naik copy1Dr Dzulkefly berkata, kerajaan pusat harus tidak mencetuskan kenaikan harga barangan secara serentak berikutan ramalan indeks harga pengguna (CPI) akan melonjak kepada 3.3 hingga 3.5 peratus, pada 2015.

Katanya, ramalan pakar ekonomi bahawa lebih ramai rakyat Malaysia akan muflis dalam tempoh sehari juga bakal menjadi kenyataan.

“Kerajaan pusat harus mengambil kira lebih awal kesan peningkatan kos sara hidup ini bukannya bertindak tidak tentu pasal.

“Perdana Menteri dan kabinetnya macam orang sakit, mereka mencetuskan masalah kemudian cari penawar untuk selesaikannya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

11 langkah jimat Kerajaan Pusat, ibarat lepas batuk di tangga

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 4 JAN: Langkah penjimatan yang diumum kerajaan pusat untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam diibaratkan seperti melepas batuk di tangga kerana tidak berpadanan dengan tujuan mengurangkan defisit negara.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 11 langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas terlambat kerana dilakukan selepas kemarahan rakyat kian memuncak terutama dalam demonstrasi, pada 31 Disember lalu.

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01Katanya, defisit negara yang kian membengkak lebih 16 tahun itu tidak boleh ditangani secara efektif melalui pelaksanaan langkah berkenaan.

“Defisit yang membengkak selama lebih 16 tahun itu tidak boleh ditangani secara runcit dengan mengurangkan sepuluh peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri kerana langkah sebegini tidak besar nilainya.

“Pembaziran dan ketirisan melampau pimpinan Barisan Nasional (BN) seperti penggunaan jet peribadi yang menelan belanja RM180 juta setahun itu sebenarnya harus diberi perhatian.

“Kalau ia dapat ditangani, maka kos operasi kerajaan dapat dikurangkan dan lebih besar penjimatannya,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa dalam satu kenyataan kelmarin menjangkakan kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi langkah penjimatan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan sektor awam dan ia adalah kesinambungan kepada 11 langkah yang diumumkan Najib, sebelum ini.

Sementara itu, ketika mengulas saranan kerajaan supaya rakyat berjimat-cermat ketika berhadapan kenaikan kos sara hidup, Dzulkefly menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Katanya, rakyat berpendapatan rendah khususnya sudah lama terbeban terhadap peningkatan kos sara hidup yang semakin melampau, bahkan tidak ada ruang untuk bermewah seperti pimpinan BN.

Dzulkefly turut menyifatkan saranan itu sebagai sesuatu yang munafik dan tidak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

“Apa juga yang disarankan wajar diambil kira tetapi rakyat berpendapatan rendah sebenarnya sudah lama tertekan dan terbeban dengan kos sara hidup, bahkan tiada ruang untuk bermewah.

“Mereka disuruh ubah cara hidup tetapi pemimpin negara tidak memgubah tabiat mereka. Memang rakyat sudah mengambil langkah untuk terus berubah, tetapi pemimpin atasan tidak tahu derita rakyat di bawah.

“Tutup ketirisan, kebocoran dan perbelanjaan boros kerana itu yang diperlukan. Bukan buat saranan begini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Barang naik : BN memangsakan rakyat, tingkat kemalangan dan jenayah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Impak inflasi bukan sahaja membabitkan aspek kewangan tetapi kesan sosial ke atas keutuhan kekeluargaan apabila ibu bapa mula membuat pelbagai kerja tambahan yang akan menjejas pelbagai aspek keharmonian keluarga.

“Ini sudah pasti. Apa lagi? Ada lagi dan yang ini tentunya menyayat hati,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad yang dipetik daripada Harakahdaily.

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01Beliau berkata, mengikut kajian sebuah badan penyelidikan (International Association of Traffic and Services) setiap kali bahan bakar iaitu petrol dan diesel naik dan inflasi tercetus, maka golongan berpendapatan rendah akan merubah cara hidup mereka.

“Menteri Barisan Nasional (BN) tidak perlu suruh rakyat ikat perut atau suruh ambil jalan alternatif kalau tidak bayar kenaikan tol sebab mereka memang tahu sangat untuk ‘survive’,” katanya.

Katanya, hanya menteri yang boleh hidup mewah membeli-belah di Harold, London dan bandar besar dunia ketika cuti krismas dan Tahun Baru, tetapi rakyat sudah mula mengikat perut serta bergelut untuk menyiapkan anak yang bakal memulakan sesi persekolahan.

Dzulkefly berkata, apabila rakyat bertukar daripada kereta Kancil dan Proton Saga kepada menunggang motosikal untuk ke pejabat, maka dapatan kajian membuktikan kadar kemalangan meningkat.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara punyai risiko kematian jalan raya tertinggi di dunia, yang mana penunggang motosikal terdedah tiga kali ganda risiko kemalangan berbanding menaiki kereta.

“Dengan kenaikan kos saraan hidup ini atau inflasi barang naik, rakyat Malaysia berdepan dengan kemalangan maut. Apakah kerajaan BN sedar akibat perbuatan mereka menaikkan secara mendadak ini? BN memangsakan rakyat,” katanya.

Katanya, satu dapatan kajian sekumpulan penyelidik Universiti Saians Malaysia (USM) juga menemui hubungan faktor inflasi dan kadar jenayah, pada 2009.

“Sayugia dingatkan kerajaan Najib dengan NKRA jenayah serta KPInya pasti akan tercalar apabila rakyat lebih mudah menukar kerjaya mereka atau menambah pendapatan dengan meragut, mencuri dan merompak. Dapatan menemui hakikat bahawa ketika dalam tekanan kos sara hidup yang tinggi iaitu inflasi akan turut meningkatkan kadar jenayah.

“Rakyat juga diheret ke kancah jenayah atau menjadi mangsa jenayah. Pencetusnya siapa?,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Strategi MB urustadbir rizab Selangor diyakini

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01

SHAH ALAM, 20 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diyakini mempunyai strategi tertentu dalam mengurus tadbir dana Kerajaan Negeri, kata Pengarah Eksekutif Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau juga berpendapat pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengurusan dana Kerajaan Negeri baru-baru ini sebagai perkembangan yang sihat dan perlu untuk penambahbaikan urustadbir yang berterusan.

“Teguran Anwar itu baik selaku Penasihat Ekonomi Negeri, tetapi Menteri besar juga komited. Bagi saya, ia perlu diterima secara terbuka dan jangan bersikap defensif,” katanya, ketika dihubungi TV Selangor.

Minggu lalu, Anwar ketika berucap di pentas terbuka semasa forum Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Petaling Jaya berkata Abdul Khalid seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan Kerajaan Negeri.

Dzulkefly berpendapat rizab perbendaharaan yang hampir mencecah RM3 bilion itu berkaitan dengan pelan jangka panjang pentadbiran Abdul Khalid dan jemaah exco beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sesebuah pentadbiran berhak menentukan sasaran mereka sendiri, namun haruslah memastikan keperluan rakyat itu dipenuhi dengan sebaiknya.

“Belanjawan yang cantik adalah apabila perbelanjaan dan pembangunannya seimbang. Apabila sesebuah kerajaan bercakap tentang bajet, mereka mesti menggunakan metodologi (kaedah atau prinsip) untuk tentukan apa yang hendak dicapai.

“Tidak timbul masalah sama ada Kerajaan ingin menyimpan atau membelanjakan rizab simpanan kerana ia tidak termasuk dalam pendapatan negeri atau negara untuk tahun itu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Peranan Paul Low Tidak Berkesan Jika Tidak Didayakan Dalam Kabinet

bn putrajaya

SHAH ALAM, 21 MEI : Perlantikan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (TIM), Datuk Paul Low sebagai Menteri disifatkan tidak mendatangkan hasil sekiranya beliau tidak diberikan kuasa sepenuhnya untuk memperkenalkan pembahruan untuk membasmi rasuah.

Perlantikan Paul akan hanya bermakna sekiranya pembahruan-pembahruan yang dibawa beliau diterima kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebelum ini, Malaysia telah menubuhkan institusi, agensi dan undang-undang anti-rasuah tetapi persepsi rasuah masih buruk kerana tiada iiltizam politik untuk membersihkan pentadbiran.

Dr Dzulkefly berkata Paul dibawa masuk ke dalam Kabinet dengan harapan supaya komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membanteras rasuah dapat dilihat rakyat sebagai sesuatu yang positif.

“Saya mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun Low adalah daripada TIM, beliau tidak akan dapat berbuat apa-apa sekiranya peranannya (Low) tidak didayakan di dalam Kabinet.

“Ini bermakna, sekiranya Low mengesan kecurangan dalam tadbir urus dan tata kelola khususnya pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya, beliau mesti menyatakan tentangan dengan tegas, telus, lantang dan berani,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Paul, seorang yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti politik Umno-BN dilantik sebagai Menteri di Dalam Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tegas Dr Dzulkefly, pelantikan Paul tidak akan mengubah tanggapan buruk rakyat terhadap pentadbiran Najib ekoran pelbagai salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku sebelum ini.

“Undang-undang itu ada, institut pun ada, badan penguatkuasaan pun ada tetapi kesemuanya akan gagal andainya pihak eksekutif tidak mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

“Peraturan boleh dibolosi kerana tiada iltizam politik untuk membersihkan pentadbiran,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan melahirkan kebimbangan beliau terhadap pemilihan Paul dalam Kabinet yang dikatakan mungkin tidak akan mendatangkan sebarang impak.

“Pelantikan Low ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana beliau bukan daripada kalangan ahli politik.

Tetapi apa yang membimbangkan ialah sama ada beliau akan diberikan tanggungjawab yang membolehkannya melakukan tugasan atau hanya bertindak sebagai penasihat sahaja.

“Kita perlu tunggu sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga enam bulan untuk melihat perubahan,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kabinet Najib, Kabinet “Kitar Semula”

bn putrajaya

SHAH ALAM 16 MEI : Jemaah Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi penggal kali ini menyaksikan monopoli muka-muka lama dengan rekod perkhidmatan yang kurang menyakinkan.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan jemaah menteri Umno-BN kali ini tidak mempunyai daya tarikan tersendiri.

Pasukan itu sekadar menumpang reputasi individu bukan ahli politik seperti Paul Low dari Transparency International, P Waythamoorthy dari Hindraf dan Abdul Wahid Omar dari Maybank.

Menurut Dr Dzulkefly, kehadiran individu-individu bukan BN dalam jemaah menteri kali ini seolah-olah cuba mengimbangi kelemahan menteri-menteri Umno-BN.

?Kesemua ini untuk mengimbangi  kabinet yang sudah nyata tidak punya daya tarikan dan nyata akan berakhir dengan apa yang disebutkan ?bisness as usual lah? (beroperasi seperti dahulu).

?Sepertimana di penggal lalu, portfolio kewangan terus dipegang Najib, meskipun hutang negara terus mencatatkan peningkatan pada penggal lalu,? kata Dr Dzulkefly apabila dihubungi.

Jemaah Menteri Najib menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memegang portfolio pendidikan dan portfolio keselamatan dalam negeri dan pertahanan pula bertukar tangan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang pernah mengganggap lonjakan jenayah adalah persepsi dan penceroboh Lahad Datu ?bukan pengganas? kini dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan negara.

Manakala Datuk Seri Abdul Zahid Hamidi, yang mana kementerian dibawahnya dahulu dibidas Ketua Audit Negara atas tuduhan pembaziran, kini menerajui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Datuk Anifah Aman, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Shafie Apdal terus memegang portfolio lama.

Manakala orang-orang seperti lama Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Datuk Dr S Subramaniam, Datuk G Palanivel, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Idris Jusoh dari penggal dahulu kini dikitar semula ke dalam barisan jemaah kali ini.

Dr Dzulkefly menganggap ?transformasi? yang diwar-warkan Najib tidak mungkin akan berlaku dengan pasukan menteri ini.

?Muka-muka kitaran semula sekali gus tidak menyuntik satu ransangan yang besar terhadap harapan rakyat yang mahukan apa jua yang beliau war-warkan sebagai  tranformasi atau reformasi.?

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzul : GPMS Sepatutnya Ketengahkan Masalah PRU 13

dr dzul close 02

SHAH ALAM 15 MEI : Gesaan lucut kewarganegaraan terhadap rakyat Malaysia yang membantah keputusan pilihanraya ke-13 adalah tindakan reaktif berasaskan emosi.

Pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia juga tidak mengendahkan masalah-masalah yang mencacatkan proses pengundian pada hari itu.

Dr Dzulkefly berkata Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, selaku gabungan terpelajar yang besar, sewajarnya lebih proaktif untuk mengangkat isu tersebut untuk diselesaikan.

Akhbar Kosmo melaporkan GPMS melalui Setiausaha Agung Zambri Mohd Isa mahu kewarganegaraan 21 rakyat Malaysia yang menunjuk perasaan terhadap dakwaan penipuan PRU13 di Singapura Rabu lalu dilucutkan.

Zambri berkata perbuatan mereka itu menjatuhkan imej negara.

“GPMS macam tidak memahami perkara latar seperti tidak mahu dan enggan menerima akan hakikat bahawa pilihanraya itu yang sarat dengan perkara yang dipertikaikan.?

Beliau menambah rakyat yang membantah keputusan PRU13 lalu itu terbit dari keprihatinan yang serius akan sistem demokrasi Malaysia.

“Penggesaan untuk melucutkan warganegara ini adalah diambil dengan cara sangat emosi.

“Bantahan seperti ini adalah masih lagi sifatnya demokratik, tambahan bukti-bukti itu makin nyata dan semakin meluas,? kata Dzulkefly.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Kepada Najib: Mulakan Perdamaian Dengan Serah Industri Air Pada Selangor – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 14052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik perlaksanaan proses Perdamaian Nasional yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

2. Para ibu tunggal yang bertindak menyaman Kerajaan Negeri sebelum ini diseru untuk mendaftar bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai program yang disediakan Kerajaan Negeri.

3. Pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata gesaan lucut kewarganegaraan terhadap rakyat Malaysia yang menyatakan perasaan terhadap isu-isu pilihanraya adalah tindakan reaktif berasaskan emosi, bahkan tidak membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit.

 

Categories
NASIONAL

Mantan MB Selangor : ‘Kepada Ahli Umno…Bertaubatlah…’

muhd taib ceramah 26 apr 01

KUALA SELANGOR 27 APRIL : Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib  menyeru ahli-ahli Umno untuk ‘kembali ke pangkal jalan’ yang sebenar dengan meninggalkan parti itu yang sarat dengan pelbagai kerosakan.

Ujarnya, pimpinan Umno-BN yang mempermainkan pelaksanaan hukum hudud disifatkan beliau sebagai seorang yang angkuh dan tidak wajar diikuti oleh rakyat di negara ini.

Sifat angkuh itu berlaku kerana Umno-BN sudah memerintah dalam tempoh yang lama sehingga berlaku banyak penyelewengan dan kezaliman.

“Bagaimana kita hendak mengikuti mereka, jika imam saya sudah tidak betul maka saya perlu memisahkan dengan mereka ,” ujarnya yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib sambil diikuti dengan laungan takbir daripada hadirin.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya ‘PAS Pilihan Saya’ yang diadakan di Padang Bolasepak Bukit Kuching Hilir Jeram di sini yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Turut hadir dalam program ceramah itu,  Calon Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Calon DUN Jeram, Rashid Kassim.

Sebelum ini, Muhammad Taib menjadi Menteri Besar Selangor sejak 1986 sehingga 1997 dan beliau juga pernah menjadi ADUN Batang Kali bagi penggal 1982, 1986, 1990 dan 1995. muhd taib ceramah 26 apr 02

Ujar beliau, barisan pemimpin Pakatan Rakyat mempunyai pakej kepimpinan yang berkaliber dan mempunyai integriti bagi menerajui kuasa di peringkat Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) ini.

Katanya, pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Guan Eng, Anwar Ibrahim dan Tok Guru Nik Aziz menunjukkan daya kepimpinan yang berkualiti untuk memimpin negara.

Mat Taib juga dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam melaksanakan budaya ilmu dan keagamaan dalam Majlis Sambutan Merdeka dengan menjemput penceramah agama yang tidak pernah dilaksana di bawah Umno-BN.

Ia berbanding dengan Kerajaan Umno-BN yang lebih kepada program berbentuk hiburan melampau yang merosakkan rakyat.

“Apabila saya menjelajah ke seluruh negeri Selangor saya menyeru, wahai ahli-ahli Umno marilah balik semula dan mengikuti jalan Allah kembali.

“Ikut jalan yang lurus dan diajar kepada kita sebagaimana apa yang diajar oleh sebelum kita,” kata beliau.

Beliau juga menyeru rakyat Selangor memberikan sokongan penuh kepada calon Pakatan Rakyat bagi memastikan kemenangan mereka walaupun katanya akan wujud ‘pengundi luar’ yang akan di bawa bagi merampas Selangor daripada PR.

“Berilah peluang sekali kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara,” kata Muhammad Taib.