Categories
NASIONAL SELANGOR

PRU-13: Tak Kira Sept Atau Nov, Pakatan Bersedia

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pakatan Rakyat (Pakatan) telah bersedia sepenuhnya sekiranya jangkaan Pilihan Raya Umum ke 13  akan diadakan pada bulan September atau November menjadi kenyataan.

Demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media bersama pemimpin PR di Ibu Pejabat PKR, di sini.

“Kemungkinan BN akan mengambil kesempatan daripada perayaan kemerdekaan ini untuk naikkan dia punya imej barangkali, berjaya atau tidak itu soal lain.

“Sebab itu kita jangka kemungkinan paling dekat PRU ini akan diadakan pada bulan September atau kalau tidak, pada November selepas Raya Haji.

“Apa pun, September atau November kita telah mengambil langkah sewajarnya dan kita telah bersedia untuk hadapi PRU-13 walau apa pun tarikh yang ditentukan oleh Kerajaan.

Ketika menjawab satu soalan, Mustafa berkata pemilihan calon-calon telah pun diselesaikan kecuali satu atau dua kawasan di beberapa negeri.

Beliau turut menambah, pembahagian di kawasan tersebut sedang berjalan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sementara itu dalam sidang yang sama Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP, Anthony Loke sekali lagi mengingatkan agar rakyat tidak termakan hasutan pemimpin BN.

“Dikalangan orang Melayu mereka burukan DAP supaya menjejaskan sokongan terhadap PAS.

“Di kalangan pengundi Cina pula mereka takutkan orang Cina dengan Hukum Hudud yang mahu dilaksanakan PAS supaya orang Cina tak berani sokong PAS,” kata Anthony.

Selain Mustafa dan Anthony turut hadip dalam sidang media PR itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Categories
SELANGOR

Turun Faedah Pinjaman Perumahan : Tuntutan CUEPACS Munasabah

SHAH ALAM 4 OGOS : Cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus untuk semua penjawat awam yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) adalah satu tuntutan yang munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu amat munasabah kerana ia berikutan kenaikan kos hidup yang tinggi selain lonjakan harga rumah masa kini.

Katanya, ia perkara yang perlu diberi penekanan oleh Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan  transformasi di negara ini.

Beliau berkata dengan gaji yang diterima penjawat awam pada masa kini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah disamping tidak dapat menjana ekonomi negara.

“Mereka (Umno-BN) selalu lupa apabila turunkan semua ini, mereka ingat pendapatan kerajaan akan berkurangan tetapi sebaliknya mereka lupa bahawa apabila rakyat mendapat kewangan kukuh mereka mampu berbelanja dan menabung.

“Kesan daripada perbelanjaan isi rumah yang kukuh itu, dapat menambahkan pertumbuhan ekonomi negara dan permintaan perkhidmatan dan domestik. Itu bukan satu perkara yang rugi khususnya masa kini. Begitu juga dengan penurunan cukai mereka,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Dr Dzulkefly secara sinis, sekiranya Umno-BN benar-benar mahu meringankan beban rakyat, turunkan ia kepada harga pengurusan seperti yang dicadangkan dan lakukannya secara konsisten.

“Kita tengok sama ada Kerajaan Pusat betul-betul konsisten atau tidak dalam membantu rakyat bukan hanya pada slogan dan pemberian secara ‘One Off’ sahaja tapi dalam jangka masa panjang.

“Bagi Pakatan Rakyat, kami akan memberi respon yang positif kerana kami tidak mahu melihat perkara ini sebagai satu penambahbaikan secara ‘runcit-runcit’, katanya.

Semalam, Cuepacs mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Categories
SELANGOR

Pengasingan Penonton Di Panggung Wayang Hanya Cadangan


SHAH ALAM, 11 JULAI : PAS Selangor menafikan peraturan mengasingkan penonton wanita dan lelaki Islam bukan muhrim telah dikuatkuasakan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi semua premis panggung wayang di daerah itu.

Sebaliknya, cadangan dikemukakan Ahli Majlis dari parti Islam itu adalah cadangan supaya MDKS mengarahkan semua premis hiburan itu meletakkan notis peringatan bagi menyedarkan penonton supaya menjaga akhlak dan tidak melakukan perkara menjolok mata.

Dalam sidang media di Dewan Annex di sini hari ini, Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman mendakwa perkara pengasingan jantina itu timbul seolah-olah dipolitikkan pihak BN bagi menggangugugat hubungan erat antara PAS dan DAP.

Malah, katanya, cadangan dikemukakan itu juga bukan permulaan kepada pengenalan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini.

Beliau berkata, biarpun cadangan itu disuarakan Ahli Majlis MDKS dari PAS tetapi ia belum dibawa ke mesyuarat penuh majlis itu malah Exco kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut menjelaskan perkata itu masih ditangguhkan.

“Sebenarnya kita perlu kembali kepada asas iaitu dengan meningkatnya kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan semuanya maka timbul kesedaran di kalangan orang Islam dan bukan Islam yang risau kalau ada perkara yang mendorong ke arah perlakuan yang kurang atau tidak baik di kalangan masyarakat.

“Atas dasar itu kita tidak mahu perkara sebegini berlaku bukan sahaja orang Islam malah bukan Islam juga,” katanya.

Kenyataan itu disokong MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad dengan menyatakan isu itu dimainkan MCA dalam akhbar Cina iaitu ingin mewujudkan satu benteng supaya menghalang masyarakat Cina meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat (Pakatan).

Menurutnya, pengunjung panggung wayang perlu menghormatinya sebagai kawasan awam dengan menjaga kelakuan dan bersopan.

“Bukan setakat wanita dan lelaki Islam yang belum kahwin tetapi juga yang telah kahwin juga perlu menjaga akhlak mereka malah orang bukan Islam juga tidak suka perkara yang tidak diingini berlaku dan dipertontonkan di kawasan awam,” katanya.

MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, BN tidak seharusnya mempolitikkan perkara sebegitu kerana isu pengasingan penonton tersebut tidak berlaku di Kuala Selangor.

Jelasnya, hanya cadangan dikemukakan dan perbincangan akan dijalankan oleh MDKS di mana keputusan mengenainya belum diputuskan.

Categories
SELANGOR

Pakar Air : Data Yang Menyokong Langat 2 Tidak Tepat, Lemah

SHAH ALAM 14 JUN : Laporan yang digunakan untuk justifikasikan projek mega Langat 2 bagi memindah air mentah dari Pahang ke Selangor, tidak tepat and mengandungi kelemahan.

Malah laporan itu, Kajian Sumber Air Negara 2000 (NWRS2000), tidak mencerminkan tahap penggunaan air sebenar di Selangor dan didakwa cuba memperbesarkan tahap permintaan air bagi mewajarkan projek berharga RM 6 billion itu.

Menurut Dr Lee Jin dari pertubuhan Coalition for Sustainable Water Management (CSWM) statistik permintaan air di Selangor yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat ini jauh tersasar dari realiti sebenar.

“Kajian NWRS menunjukkan beberapa kelemahan seperti angka bagi permintaan air perkapita sengaja ditambah.

“Kaedah untuk menganggar permintaan alam industri air dan pertumbuhan ekonomi turut menampakkan kecacatan.

“Ia sengaja dilakukan untuk meningkatkan keraguan terhadap daya maju perancangan Negeri Selangor untuk ambil alih pengurusan air dan cubaan mewajarkan projek pemindahan Air Mentah Pahang-selangor.

“Pada tahun 2009, CWSM menjalankan analisis laporan NWRS 2000 kerana Pakatan Rakyat tidak percaya anggaran permintaan air yang digunakan untuk mewajarkan pemindahan air dari Pahang ke Selangor,” ujar Dr Lee Jin dalam kertas kerjanya yang dibentangkan di Forum Air Selangor baru baru ini.

Kerajaan Pusat sendang mendesak Selangor untuk meluluskan projek Langat 2 kerana ia mendakwa Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami masalah bekalan air pada masa akan datang.

Manakala Kerajaan Selangor berpendirian projek tersebut terlalu mahal dan tidak diperlukan kerana Selangor mempunyai kebolehan untuk membekalkan air dengan cukup jika industri air distruktur semula.

Malah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah berkata harga air akan melonjak sebanyak 100 peratus jika Langat 2 dibina. Manakala penstrukturan semula lebih menjimatkan dan harga air tidak akan naik lebih dari 12 peratus.

Forum yang dihadiri kira-kira 200 jemputan itu memperlihatkan sebanyak sembilan kertas kerja dibentangkan oleh pakar industri air dan agensi pengurusan air Selangor seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Forum itu bertujuan membincangkan isu-isu berkaitan penyusunan semula industri air di selangor seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Turut hadir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Klang Charles Santiago, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Panggil Balik Duta Dari Syria

SHAH ALAM,30 MEI : Pimpinan Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Pusat untuk mengambil pendirian tegas terhadap serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan mengusir duta Syria dan memanggil balik Duta Besar Malaysia dari negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan media bersama, pemimpin tersebut menggesa Menteri Luar Negari, Datuk Seri Anifah Aman supaya mengeluarkan kenyataan dan pendirian mengutuk serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan segera.

“Pakatan Rakyat mengecam keras pembunuhan lebih daripada 90 orang awam di Syria Jumaat lepas di mana 32 adalah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

“Kami seterusnya menuntut bahawa kerajaan Syria segera menghentikan penggunaan senjata berat di pusat penempatan penduduk, dan menyeru tentera kerajaan Syria dan militia untuk mematuhi sepenuhnya oleh pelan damai oleh Kofi Annan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.

Dilaporkan bahawa lebih daripada 15,000 orang awam telah terbunuh di Syria dan lebih 1 juta telah  melarikan diri dari rumah dan kampung-kampung mereka sejak pemberontakan menentang Presiden Syria Bashar al-Assad.

“Selepas 15 bulan keganasan, kami menuntut kerajaan Syria untuk menghentikan keganasan dalam semua bentuk,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkefly: Gaji Minimum, “Too Late Too Few”

SHAH ALAM, 1 MEI : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelaksanaan gaji minimum pada kadar RM900 untuk semua sektor pekerja di negara ini kecuali perkhidmatan domestik dilihat tidak ubah seperi melepaskan batuk di tangga.

Sambil menyifatkan keputusan itu tidak munasabah, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad turut mempersoalkan kesungguhan kerajaan pusat untuk membantu rakyat seperti yang diuar-uarkan dalam program transformasi negara.

Dr Dzulkefly berkata, penyelarasan gaji minimum itu tidak mencapai sasaran atau hasrat kesatuan sekerja walaupun kerajaan pusat dilihat cuba memenuhi permintaan mereka.

“Ini perkara yang cukup mengecewakan. Baguslah ada gaji minima, tetapi ia diibaratkan seperti “too late too few”. Sudahlah lambat, jumlahnya pun terlalu sedikit.

Kita bukan tidak mahu berterima kasih, tetapi isunya apakah gaji itu munasabah untuk mengizinkan rakyat hidup secara bermaruah tanpa perlu mencari kerja sampingan?

Kita sangat kecewa dengan angka itu kerana setelah 50 tahun menunggu, akhirnya keputusan yang dibuat itu macam acuh tak acuh sahaja,” katanya.

Tambahnya, situasi ini jelas berbeza daripada keputusan Pakatan Rakyat yang mengumumkan sejumlah RM1,100 sebagai gaji minima jika berjaya mentadbir negara satu hari nanti.

Beliau dengan sinis turut menyelar tindakan kerajaan persekutuan yang dilihat lebih bersikap “murah hati” terhadap kroni terutama berhubung isu pelupusan hutang.

“Ia dapat dilihat dengan jelas apabila kerajaan Umno-BN melepaskan tanggungan hutang membabitkan kroni mereka, Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta

Begitu juga apabila kerajaan bertindak melepaskan Maju Holdings Sdn Bhd dengan keuntungan RM976.2 juta setelah menjual konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur- Putrajaya kepada EP Manufacturing Berhad yang dilaporkan bernilai RM1.7 juta, sementara geran sebanyak RM976.2 juta tidak dituntut kembali Kementerian Kewangan,” katanya.

Najib hari ini mengumumkan pelaksanakan gaji minimum pada kadar RM900 untuk tenaga kerja di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula RM800 sebulan.

Kadar itu akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan sejak tarikh ia dikuatkuasakan dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira lima juta tenaga kerja.

Tindakan terdesak Najib tersebut juga ekoran tekanan dari Pakatan Rakyat yang telah melaksanakan gaji minima sebanyak RM1,500 khususnya di Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Jangan Politikan Isu Perumahan

KUALA SELANGOR 29 APR: Kerajaan Pusat diminta tidak mempolitikkan isu perumahan di negeri Selangor kerana perumahan adalah hak milik rakyat.

Mengambil contoh projek terbengkalai Taman Alam Perdana, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) sepatutnya tidak melambatkan pemberian sijil layak menduduki (CF).

SPNB, sebuah agensi Kerajaan Pusat, telah mengambil alih projek perumahan di Ijok itu pada 2009. Tetapi setelah dua tahun, SPNB gagal menyiapkan projek itu.

Tetapi setelah Kerajaan Selangor mengambilalih projek tersebut pada Januari 2012 dan menyiapkannya, SPNB pula berkata CF tidak boleh diberi untuk rumah-rumah itu.

“Hari ini kita beri kunci, geran hak milik dan sijil layak menduduki (CF). Tindakan SPNB yang melengahkan dan memberikan alasan bahawa CF tidak boleh diberikan adalah satu tindakan yang salah.

“Saya lihat, Yang Dipetua Perbandaran Kuala Selangor sudah menyemak dan mendapati CF sebenarnya tiada masalah,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Hak Milik rumah teres satu tingkat dan dua tingkat kepada pemilik rumah Taman Alam Perdana.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad, Ketua Pentadbir MBI, Rohany Talib, Ketua Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad dan MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Seramai 1,116 pemilik rumah terumbang-ambing setelah projek tersebut gagal disiapkan selama lebih 10 tahun, semasa Selangor ditadbir Umno-BN.

Masalah itu juga gagal diselesaikan oleh SPNB setelah agensi itu mengambil-alih pada 2009.

Akhirnya, Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat terpaksa mengambil-alih projek berkeluasan 1,037 ekar itu dan membelanjakan RM200 juta bagi menyiapkannya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Keengganan Speaker Benarkan Usul Laporan Minoriti Dibahaskan Disifatkan Sebagai Angkuh

KUALA LUMPUR, 3 APR : Tindakan Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang enggan memberi ruang kepada MP Pakatan Rakyat bagi membahaskan usul kenyata minoriti PSC disifatkan sebagai angkuh dan tunduk kepada tuntutan Umno-Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Speaker enggan mengesahkan kenyata minoriti tersebut kerana ia menjelaskan isu pokok berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membersihkan senarai daftar pemilih yang sah.

Menurutnya, Speaker tidak mahu melayan perbahasan tersebut sedangkan beliau (Speaker) mencabar ahli Parlimen Pakatan sebanyak tiga kali untuk mengemukakan amalan berhubung alasan amalan ini.

“Daripada awal sidang, ketiga-tiga ahli jawatankuasa yang mewakili Pakatan Rakyat menegaskan keperluan mengemukakan laporan minoriti.

?Speaker menolak dengan alasan tidak pernah ada amalan dalam negara Komanwel berhubung perkara berkenaan.

?Speaker baca amalan di New Zealand, tetapi dia hanya baca separuh, tidak lengkap. Sedangkan negara-negara seperti Australia, New Zealand, United Kingdom dan Jamaica membenarkan amalan ini.

?Bila beberapa ahli Parlimen bangkitkan isu amalan ini, dia tidak hadir, dia masuk terus gantung  (ahli Parlimen),” katanya di dalam sidang media di lobi Parlimen.

Anggota PSC Pakatan pagi tadi memohon satu Laporan Minoriti dimasukkan dalam laporan akhir PSC untuk mengetengahkan lima perkara yang tidak selesai.

Usul itu dikemukakan oleh MP Gombak, Azmin Ali, MP Rasah Loke Siew Fook dan MP Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Walaubagaimanapun, usul mereka ditolak oleh Pandikar Amin dan apabila tiga MP Pakatan enggan mematuhi arahan beliau, ke-tiga-tiga MP itu diarahkan keluar.

Meraka adalah Azmin, MP Subang, R.Sivarasa dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Speaker dilihat enggan menerima pandangan yang dikemukakan ahli Parlimen Pakatan berhubung amalan tersebut, sedangkan beliau sendiri meminta mereka berbuat demikian.

“Bagi saya, Speaker akan dilihat lebih berjiwa besar sekiranya dia boleh memperbetulkan kesilapan apabila kita telah mengemukakan hujah yang cukup konkrit.?

Mahfuz berkata, ia adalah sesuatu yang memalukan apabila laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) ini diterima dalam keadaan yang jelas membuktikan terdapat banyak lagi kepincangan dalam sistem pilihanraya.

Kenyataan itu turut dipersetujui Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan kejadian sedemikian rupa adalah insiden paling memalukan dalam sejarah 53 tahun Parlimen di Malaysia.

Menurutnya, Speaker dilihat gagal mengawal dewan sehingga berlaku kekecohan dan huru-hara dalam Parlimen.

“Kejadian yang berlaku hari ini jelas menunjukkan Speaker telah melakukan kesilapan, bersikap berat sebelah dan tidak rela memperbetulkan kesilapan beliau.?

Categories
NASIONAL SELANGOR

MP Umno-BN Tolak Cadangan Bersihkan Daftar Pemilih

KUALA LUMPUR 03 APR : Gagasan Umno-BN yang menguasai Dewan Rakyat hari ini menolak cadangan untuk memperbetulkan sistem pilihanraya Malaysia dengan membersihkan daftar pemilih dari lebih 50,000 pengundi yang statusnya diragukan.

Majoriti MP Umno-BN juga telah menolak cadangan yang dibawa MP Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memgembalikan lebih 30,000 pengundi-pengundi yang dipindahkan tanpa pengetahuan mereka ke lokasi mengundi yang asal.

Ini berlaku setelah Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul bagi memasukkan penyata minoriti dari Ahli Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dari Pakatan ke dalam laporan rasmi PSC itu.

Kenyata minoriti itu ditulis tiga ahli panel PSC Untuk Penambahbaikan Pilihanraya dari Pakatan yang tidak puas hati terhadap gerak kerja ahli panel PSC yang terdiri dari MP Umno-BN.

Mereka ialah MP Gombak Azmin Ali, MP Rasah Loke Siew Fook dan MP Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Menurut kenyata minoriti itu, ahli PSC Pakatan berpendapat perkara yang paling asas dalam penambahbaikan pilihanraya, iaitu satu daftar pengundi yang bersih dan telus, masih tidak dapat perhatian yang sepatutnya.

Malah, Pandikar Amin Ahli bertindak mengarahkan Azmin, MP Subang R. Sivarasa dan MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad keluar dari Dewan selepas mereka mempertikaikan keputusan Pandikar Amin untuk menolak kenyata minoriti itu.

Azmin berkata tiada peraturan mesyuarat Parlimen yang menghalang Pandikar Amin untuk memasukkan laporan minoriti ke dalam laporan terakhir PSC tentang penambahbaikan pilihanraya.

Oleh itu kata Azmin, Pandikar Amin tiada sebarang alasan kukuh untuk menolak laporan minoriti itu yang memuatkan cadangan bagi membaiki kelemahan di dalam sistem pilihanraya negara.

“Walaupun di peringkat awal, Speaker telah mengaitkan dengan amalan daripada beberapa buah negara, tetapi kita juga telah mengemukakan beberapa amalan yang telah dilaksanakan, namun pandangan ini diketepikan begitu sahaja.

?Sebagai contoh, saya nak bawa perhatian kepada Parlimen New Zealand. Speaker boleh membenarkan laporan minoriti dimasukkan dalam laporan terakhir PSC. Oleh itu, kalau dikatakan tiada amalan dalam negara Komanwel adalah tidak benar sama sekali,” tegas Azmin di dalam satu sidang akhbar di luar Dewan.

Kenyata minoriti Pakatan antara lain mendesak SPR supaya memindah kembali 31,294 pengundi yang telah dipindahkan kawasan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Ia juga mahu SPR membersihkan daftar pemilih dari 42,000 pemilih yang status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Ahli PSC Pakatan juga mengesyorkan SPR supaya menyiasat nama pemilih warga emas yang lebih 100 tahun dan 15,000 pemilih yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina.

?Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam daftar pemilih sebagai pemilih biasa,? kenyata itu berkata.