Categories
SELANGOR

MB saran patuh titah Sultan, henti politikkan isu air

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Semua pihak harus menghentikan perbuatan mempolitikkan isu air seperti mana dititahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun malangnya perbuatan mempolitikan isu air ini masih terus berlaku.

“Saya dapat menyelami perasaan tuanku kerana tuanku telah pun menitahkan perkara ini pada tahun lalu supaya isu air ini tidak dipolitikkan dan harus ditangani dengan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelasnya, dalam titah ucapan perasmian Pembukaan Persidangan DNS sebentar tadi Sultan Sharafuddin turut mengulangi titahnya supaya Kerajaan Persekutan dan Kerajaan Negeri berkerjasama atas semangat federalisme untuk memuktamadkan isu pengurusan air di Selangor.

Katanya, pada masa sama baginda juga amat berkenan dengan langkah proaktif diambil Kerajaan Negeri untuk menjamin kelestarian bekalan air di negeri itu.

“Bukan sahaja air terawat tetapi juga air mentah dengan pembinaan loji rawatan air, penggantian paip lama, pengurangan air tidak berhasil (NRW) dan semua ini membuktikan Kerajaan Negeri berpandangan jauh untuk tidak menggangu bekalan air terawat dan air mentah dalam Negeri Selangor,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Sultan perkenan DNS pinda Enakmen Akta Perhutanan Negara 1985

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Pembentangan Rang Undang-Undang bertujuan meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada persidangan Dewan Negeri penggal ini mendapat perkenan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pindaan dibuat kepada Enakmen itu selaras dengan pindaan kepada Akta 313 yang akan dibentangkan di Parlimen kelak.

Titah baginda Pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 itu akan mengenakan hukuman lebih berat kepada penceroboh hutan di Selangor.

“Bagi Selangor, Akta Perhutanan Negara diterima pakai melalui Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang berkuat kuasa pada 2 Jun 1986.

“Pindaan ini membuktikan komimen serius Kerajaan Negeri dalam memelihara hutan di Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri ke 13, di Dewan Annexe, di sini.

Titah baginda, usaha dilaksanakan itu menjamin generasi akan datang mewarisi lingkungan yang sihat dan mengekalkan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai aset dan khazanah yang amat bernilai.

Baginda mahu Selangor menjadi perintis sebagai negeri hijau yang mengekalkan hutan simpan dan memelihara flora dan fauna.

“Beta amat berkenan dengan tindakan serius Kerajaan Negeri demi memelihara hutan di Selangor dan mencegah sebarang bentuk aktiviti dan pencerobohan yang boleh mencemar alam sekitar di masa akan datang.

“Beta senantiasa mengambil berat tentang alam sekitar dan kelestarian HSK,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda menyarankan Kerajaan Negeri untuk terus menjayakan Program Tanam Pokok yang mampu menangani cabaran perubahan iklim, pemanasan global dan pelepasan karbon.

Categories
SELANGOR

Sultan berkenan idea IPR Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Kemajuan sesebuah negeri tidak diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi perlu menekankan indeks kebahagiaan sesebuah masyarakat bagi menentukan kejayaan kerajaan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, antara petanda kebahagiaan adalah alam sekitar hijau dan sihat, kebajikan rakyat terjamin, tahap kesihatan berkualiti dan indeks rasuah yang rendah.

“Beta berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberikan perhatian penting terhadap pertumbuhan ekonomi tetapi juga terus memelihara alam sekitar, melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

“Kerajaan Beta juga berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam pentadbiran,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelas baginda, antara skim IPR itu termasuklah Skim Rawatan Jantung Selangor melalui kerjasama pintar dan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah.

Titah baginda, tidak terkecuali program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberi pengiktirafan terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

“Beta turut berkenan dengan kejayaan Kerajaan Negeri membangunkan hampir 25,000 perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku untuk rakyat jelata.

“Beta juga amat sukacita apabila 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di negeri Beta adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000. Demikianlah seharusnya dasar perumahan rakyat dilaksanakan,” titahnya lagi.

Categories
SELANGOR

Sultan mahu rakyat kukuh perpaduan, tepis fitnah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan penyebaran berita palsu yang mendorong gejala fitnah semakin berleluasa, pada masa kini.

Baginda turut bimbang rakyat akan terdedah kepada perpecahan sekiranya keadaan itu berterusan.

“Sejak kebelakangan ini, Beta berasa amat dukacita apabila membaca sendiri berita palsu khususnya media sosial yang bercanggah dengan fakta sebenar.

“Apa yang membimbangkan Beta, ramai pula yang percaya kepada berita palsu ini lantas menyebarkannya tanpa memeriksa kesahihan sesuatu berita itu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri ke 13, di Dewan Annexe, di sini.

Sehubungan itu, Baginda mengingatkan supaya rakyat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan dapat mengukuhkan perpaduan.

Titah baginda, rakyat perlu bersatu padu dan bertolak ansur antara satu sama lain sekiranya mahu mencapai negeri maju dan terus makmur.

“Rakyat perlulah bersatu padu dan bertolak ansur antara satu dengan lain serta tidak menimbulkan ketegangan yang boleh menyebabkan huru hara.

“Semangat keharmonian perlulah sentiasa disemarakkan dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain, tidak kira sesama umat Islam atau bukan Islam,” titah baginda.

Baginda menganggap rakyatnya umpama sebuah keluarga besar sekali gus perlu saling bermuafakat, bekerja dan berganding bahu memajukan negeri.

“Muafakat ini amat penting agar kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi ketika ini dapat berterusan,” titah baginda.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart State digarap, sedia hadapi Industri 4.0

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin usaha Kerajaan Negeri ke arah membangunkan ‘Smart State’ mampu digarap.

Baginda bertitah Kerajaan Negeri dilihat turut bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 ke arah mencapai matlamat itu.

Titahnya, usaha itu memperlihatkan penyediaan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence.

“Memanda Dato’ Menteri Besar yang inovatif dan kreatif membangunkan Selangor sebagai negeri pintar atau ‘Smart State’ dan bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Usaha ini pastinya dapat menyediakan perkhidmatan pintar melalui Internet of Things, Big Data dan Artificial Intelligence,” titahnya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gagasan Smart Selangor adalah teras utama untuk memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State.

Inisiatif itu tidak tertumpu kepada pembangunan semata tetapi turut menggarap nilai kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan sosial untuk segenap lapisan masyarakat.

Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) turut optimis pembangunan evolusi Smart Selangor dapat dijayakan untuk tempoh 2025.

MBI akan melihat keseluruhan industri dan gelombang baru yang mampu mewujudkan sebuah ekosistem baru di negeri itu.

 

Categories
SELANGOR

Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 DNS berlangsung penuh istiadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Pembukaan Persidangan Penggal Ke-6 Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 berlangsung penuh istiadat pagi tadi.

Istiadat diadakan di Bangunan DNS itu dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Istiadat bermula dengan Kawalan Kehormat Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan Hormat Sedia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda berdua sebelum disusuli Lagu Negeri Selangor.

Selepas itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Speaker DNS, Hannah Yeoh.

Sebaik selesai pemeriksaan perbarisan, Lagu Negeri Selangor sekali lagi berkumandang menandakan berakhirnya upacara perbarisan yang diadakan di Dataran Dewan Negeri itu.

Baginda kemudiannya berangkat masuk ke Bangunan DNS dengan melalui barisan jejawat-jejawat istana yang terdiri daripada empat jejawat berpedang, 24 jejawat pembawa 8 tombak, 16 lembing dan payung diraja.

Sebelum menyampaikan titah ucapan, baginda turut berkenan dalam sesi fotografi bersama ahli-ahli DNS.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor hadiri pengkebumian Allahyarham Dato’ Abdul Halim

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat mencemar duli menghadiri majlis pengkebumian Anggota Dewan Diraja Selangor, Allahyarham Dato’ Abdul Halim Abdul Rauf di Makam Diraja Shah Alam di sini, hari ini.

Menyertai baginda memberi penghormatan terakhir pada kira-kira jam 5.30 petang itu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan kerabat diraja lain.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Kerajaan Negeri serta hadirin lain.

Sebelum itu, Mohamed Azmin bersama jemaah menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), selepas solat Asar.

Solat jenazah diimamkan Imam Besar MSSAAS, Muhammad Farhan Wijaya.

Abdul Halim, 79, meninggal dunia kira-kira jam 8.30 pagi tadi di Petaling Jaya, akibat kanser.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataannya berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Noralis Abdullah dan tiga anak lelaki.

Selain pernah dilantik menjadi Anggota Jemaah Pengampunan Negeri Selangor serta Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Abdul Halim juga dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Sultan terima RM49.3 juta untuk guru, pegawai masjid Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan berangkat menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Selangor berjumlah RM49.36 juta.

Peruntukan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu diadakan di Istana Kayangan Shah Alam Selangor di sini, hari ini.

Jumlah itu membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi bayaran imbuhan Imam, elaun Guru KAFA dan Guru Takmir Negeri Selangor 2018 sebanyak RM41,508,084.00 dan bayaran khas ‘one-off’ Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Selangor 2018 sebanyak RM7,854,000.00.

Bayaran ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengenai bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, siak/noja/merbot, guru KAFA dan guru takmir.

Bayaran dibuat dua kali iaitu RM1,00o pada awal 2018 dan RM500 ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri 1439H.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),
Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Bin Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Categories
SELANGOR

MB: Hormati peringatan Sultan Selangor, kekal keharmonian

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 DIS: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak berkaitan menghormati peringatan dizahirkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi mengekalkan keharmonian di negara ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, peringatan itu jelas menggambarkan keperihatinan baginda terhadap kepentingan rakyat di negara ini khasnya di Selangor.

“Titah Sultan Selangor itu harus diberi perhatian oleh semua pihak.

“Dalam keghairahan kita untuk mencari sokongan, kita kena jaga keharmonian semua rakyat Malaysia,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas berakhir Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja bagi Persekutuan Pengakap Selangor disempurnakan Sultan Selangor di sini, hari ini.

Sultan Selangor dalam temubual bersama sebuah media tempatan, menzahirkan kebimbangannya terhadap perkara itu dan meminta ahli politik tidak menggunakan isu sensitif bagi meraihkan sokongan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Baginda bertitah, isu sensitif mengenai kaum, agama dan yang lain digunakan pihak tertentu bagi keuntungan politik akan memusnahkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Dekati warga KL, Sultan Selangor solat Jumaat di Kampung Baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 JUN : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek, Kampung Baru bersama masyarakat di kampung itu.

Keberangkatan baginda diiringi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kira-kira jam 1.00 tengah hari disambut Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Dato’ Haris Kasim.

CP2A6217-1024x683Rata-rata jemaah hadir tidak melepaskan peluang bersalaman bersama baginda di atas perkenan tuanku mencemar duli berangkat ke masjid yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan berkongsi pandangan bersama pengurusan masjid demi ke arah pembaikan dan pembangunan ummah masyarakat Islam di negara ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di sini merupakan sebahagian daripada program tahunan lawatan rasmi baginda ke Masjid di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Masjid Jamek Kampung Baru sebelum ini dibangunkan atas keperluan institusi rumah ibadat masyarakat Islam di tengah kota Kuala Lumpur.

Dibina sekitar 1880 an, masjid berkenaan kini sering menjadi tumpuan masyarakat setempat dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Parit 12 Sungai Panjang

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 9 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Parit 12 sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya, di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM187,500 kepada 281 asnaf fakir dan miskin serta 94 mualaf, dengan masing-masing menerima RM500.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd.

IMG_6200Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi serta Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sultan Selangor turut berkenan menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Terawih sebelum berangkat pulang.

Mula dibina sekitar 1904, Masjid Parit 12 dibina di atas sebidang tanah sawah berkeluasan 20 kaki persegi yang diwakafkan.

Pada 3 Disember 2014, Perbadanan Wakaf Selangor diberikan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah bagi menggunakan Dana Saham Wakaf Selangor berjumlah RM2 juta bagi kerja pembinaan semula masjid.

Pada Jun 2015, kerja pembinaan mula dilakukan dan mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Masjid berkenaan kini merupakan pilihan untuk solat Jumaat dan solat sunat hari raya selain menjadi simbol kepada usaha Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan berwakaf.

Categories
SELANGOR

Hakim dan Pegawai Syariah perlu timba ilmu secara meluas

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 NOV: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Hakim dan Pegawai Syariah menimba ilmu pengetahuan selaras dengan peredaran masa agar dapat menjalankan tugas lebih berkesan.

Seruan itu dititahkan baginda supaya imej Hakim dan Pegawai Syariah dihormati, dipandang tinggi dan mulia di sisi masyarakat sama ada orang Islam atau bukan Islam.

“Komitmen bersungguh bagi mencapai kesempurnaan penting dalam menguruskan pelbagai urusan disamping mendapat kepercayaan serta pengiktirafan dari mereka terlibat.

“Hakim dan Pegawai Syariah mestilah mempunyai integriti tinggi dan berada di dalam keadaan tenang membuat keputusan atau melaksanakan tanggungjawab dengan mengikut undang-undang syariat Islam,” katanya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2016 bertempat di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

img_6149Baginda juga menitahkan Hakim dan Pegawai mencari idea transformasi yang membolehkan masyarakat di nusantara ini mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai sebuah institusi perundangan yang mempunyai identiti dan bidang kuasa tersendiri.

“Ini boleh dicapai sekiranya mempunyai kelayakan dan dapat mengendalikan tugas cemerlang dan berkualiti tinggi.

“Dengan cara itu, masyarakat tidak mempunyai ruang untuk mempertikaikan kredibiliti dan kewibawaan Hakim dan Pegawai Syariah yang ada di nusantara ini,” katanya.

EZY