Ean Yong : Mangsa Banjir Seri Serdang Akan Dibantu

SHAH ALAM 5 SEPT : Kerajaan Negeri Selangor akan menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang ringgit dalam masa terdekat kepada penduduk di Seri Serdang yang terjejas teruk berikutan kejadian banjir kilat di kawasan itu semalam.

Demikian menurut Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah selepas mengadakan kunjungan ke lokasi bencana awal pagi tadi.

Menurut Ean, Kerajaan Negeri sedang membuat penilaian terperinci terhadap anggaran kerugian dan nilai kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian tersebut.

“Setakat ini,  Kerajaan Negeri mengarahkan Pejabat Daerah Petaling untuk membuat tinjauan (turun padang) bagi membuat laporan berhubung kerugian yang dialami penduduk setempat. Laporan itu nanti akan dinilai sebelum bantuan boleh disalurkan kepada kesemua mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberi kerjasama baik dengan membantu kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman mangsa selain turut menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

Selain mengadakan lawatan, Ean turut menyerahkan bantuan berupa beras kepada mangsa banjir.

Dianggarkan, kira-kira 3,000 penduduk terjejas akibat kejadian banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan.

Kira-kira 600 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah di Taman Sri Serdang dekat ibunegara, terpaksa diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat itu.

Hujan lebat selama dua jam sejak pukul 4.30 petang itu turut menenggelamkan 100 kenderaan milik penduduk dan 30 milik guru di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah.

Categories
SELANGOR

Penduduk Serdang Raya Gembira Jalan Sudah Diturap

SERDANG 23 JUN : Penduduk Serdang Raya kini boleh menarik nafas lega selepas kerja-kerja menurap jalan-jalan di kawasan itu selesai dan kini boleh digunakan.

Seorang penduduk, Eng Teck Hock, 51, ketika ditemui melahirkan perasaan gembira kerana jalan ini merupakan laluan utama bagi penduduk di sini untuk ke jalan utama.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) kerana mengotakan janji untuk menurap jalan yang bermasalah ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000 di bawah Geran Selangorku bagi kerja-kerja menurap jalan di kawasan ini.

Katanya, jalan ini rosak dan tidak diturap selama hampir 10 tahun dan tentunya menyukarkan pengguna serta penduduk di sini melakukan aktiviti harian.

“Sebelum ini jika terdapat kerosakan atau jalan berlubang, tindakan yang diambil hanyalah menampal dan ianya tidak mampu bertahan lama,” katanya yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram.

Manakala seorang lagi peniaga runcit di kawasan ini, Sin Lean Fatt, 48, berkata, jalan yang diturap ini memudahkan urusan peniaga dan juga pembeli kerana jalannya luas dan selesa.

“Sebelum ini keadaan jalan ini sesak kerana jalan berlopak-lopak dan ketiadaan parkir yang selesa bagi penduduk di kawasan ini,” katanya yang sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan di sini.

Selain itu, Ean turut menyatakan terdapat 21 jalan kesemuanya di kawasan ini yang perlu diturap semula di bawah peruntukan Geran Selangorku pada tahun ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SKJ(C) Kajang Terbakar : Kerajaan Selangor Bantu RM100,000

KAJANG,14 JUN : Kerajaan Selangor menyalurkan bantuan RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Cina (SJK (C)) Yu Hwa Kajang terbakar baru-baru ini.

Dalam kejadian itu memusnahkan bangunan dua tingkat yang tedapat di sekolah berkenaan.

Sumbangan itu diserahkan oleh Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali yang menyerahkan cek bantuan sumbangan itu kepada pihak sekolah bagi pihak Kerajaan Negeri.

Menurut Dr Halimah, beliau mengharapkan Kerajaan Pusat agar segera membantu sekolah ini yang jumlah muridnya hampir 2,800 orang agar persekolahan dan pembelajaran mereka tidak terjejas.

“Sekolah telah mengalami kerugian yang amat banyak di mana makmal multimedia dan perpustakaan di mana 500,000 naskah buku-buku telah hangus.

“Orang ramai juga boleh tampil membantu sekolah ini,” ujarnya pada sidang media.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu yang turut melawat sekolah berkenaan berharap pihak Kementerian Pelajaran boleh memberikan bantuan yang secukupnya.

“Bagi mengatasi masalah kekurangan bilik darjah dicadangkan agar pihak berkenaan dapat menyediakan kelas dalam kabin yang mempunyai hawa dingin untuk pelajar meneruskan pelajaran dengan baik buat sementara watku,”katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu,Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

Sebelum itu, Adun Kajang, Lee Khim Sin turut menghulurkan bantuan berjumlah RM30,000 bagi membantu Lembaga Pengurus Sekolah untuk bantuan awal.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 14 : Hari Guru 2012, Hari Pekerja 2012 dan Pertandingan Fotografi, Mesra Rakyat Kuala Langat & Festival Gema Nasyid

Apa Khabar Selangor EPISOD 14 (Bahagian 1 & 2)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 16 Mei 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama.

Segmen 1: Hari Guru 2012
Segmen 2: Program Ramah Mesra Pemimpin Selangor & Kesatuan Sekerja Sempena Sambutan Hari Pekerja 2012 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Kampung Baharu

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 14 (Bahagian 3 & 4)

Segmen 3: Program Khas Mesra Rakyat Kuala Langat 2012
Segmen 4: Festival Gema Nasyid

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantuan Kewangan, Hakmilik Tanah Masalah Utama Diajukan MB

KUALA LANGAT 11 MEI : Sesi kaunter aduan rakyat bersama Menteri Besar dan Exco Selangor sekali lagi disambut baik oleh penduduk Tanjung Sepat yang berasa lega masalah mereka diberi perhatian oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Seperti V.Jayaraman, 57, yang membawa masalah pemilikan tanah isterinya di Kampung Orang Asli Bukit Kemandol.

Katanya, beliau dan isterinya, Siah Junjung, 45, sudah menetap di kampung itu sejak 18 tahun lalu.

“Tanah kebun dan rumah itu berkeluasan empat ekar tetapi belum mempunyai geran lagi setakat ini, saya sudah berusaha sebelum ini tetapi tidak dapat.

“Kawan-kawan lain di kawasan itu semua sudah pindah, hanya tinggal kami sekeluarga sahaja.

?Sekarang saya sudah lega selepas bersua muka sendiri dengan Menteri Besar.

Tan Sri akan menyelesaikan masalah saya sama ada di tempatkan di kawasan lain dan dibayar pampasan atau lain bergantung kepada hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Selangor dalam mengadakan kaunter aduan dan permohonan dalam sesi berjumpa rakyat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari dan exco Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Ean Yong Hian Wah.

Kira-kira 100 penduduk sempat mengadu masalah perumahan dan memohon pelbagai bantuan kewangan dan pemilikan tanah dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu.

Seorang lagi A. Danom, 62, mengemukan permohonan bantuan kewangan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Beliau yang merupakan penduduk Tanjung Sepat, berkata sudah empat tahun menumpang di rumah anaknya.

“Hidup saya susah, saya tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis. Kini saya tinggal bersama anak perempuan saya.

?Rumahnya pun sudah dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.

“Jika boleh saya tidak mahu menyusahkannya kerana anak pun mempunyai masalah sendiri dan tidak bekerja.

?Sekarang sudah dapat jumpa sendiri Yb, sangat lega kerana Yb akan melawat saya dan anak serta akan memberi bantuan kewangan kerana katanya, saya layak untuk menerima,” katanya.

Manakala bagi Misnan Ahmad, 60, peluang bersua muka sendiri dengan Menteri Besar adalah cara yang terbaik bagi menyuarakan masalah penduduk kampungnya.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Kg Jenjarum berkata masih terdapat penduduk termasuk beliau yang tidak dapat hak milik tanah walaupun sudah menetap lebih 20 tahun.

“Sekarang masalah sudah diadukan dan masalah ini juga sudah terus diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, saya harap ianya akan dipertimbangkan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangani Pencemaran Projek Ternakan Khinzir

KUALA LANGAT 11 MEI : Kerajaan negeri akan segera selesaikan masalah pencemaran alam yang berpunca daripada projek ternakan khinzir, di daerah ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pencemaran air dan bau itu akan ditangani segera demi keselesaan penduduk tanpa merugikan penternak.

“Kita akan mengambil kira keseluruhannya dan saya yakin masalah ini boleh diselesaikan kerana kerajaan negeri memandang serius masalah ini.

“Apabila masalah ini selesai, kita yakin harga tanah akan melonjak lebih tinggi kerana rakyat merasakan tempat ini bersih dari segi alam sekitar, pentadbiran dan cara pengurusannya,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Juga hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, pekerja ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pegawai Kerajaan Perlu Turun Sendiri Laksana Dasar Dan Program

KUALA LANGAT 11 MEI : Penjawat awam Selangor di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat harus mengurus dan terlibat secara langsung di dalam perlaksanaan dasar dan program kerajaan.

Seperti Menteri Besar dan barisan exco-nya yang sendiri turun membuka kaunter aduan di setiap daerah, penjawat awam sendiri harus memastikan setiap program dilaksanakan dan tidak hanya mengharap kepada kakitangan di bawah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata konsep yang ditanamkan kepada penjawat awam dan exco itu juga merupakan perbezaan diantara corak pemerintahan Umno-BN dan Pakatan.

Katanya, ahli pemimpin kerajaan negeri bukan sahaja perlu mengeluarkan perintah semata-mata tetapi juga perlu terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintahannya.

Beliau berkata selepas Pakatan menerajui Selangor, pelbagai usaha dilakukan untuk membuat perubahan.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana untuk membuat perubahan. Oleh itu, ianya berbeza dengan PR dan Umno-BN.

“Kerajaan sebelum ini hanya mentadbir. Bagi mengurus mereka menyerahkannya kepada rakyat. Kita tidak mahu penyelewengan berlaku.

?Bagi PR kita mahukan kedua-duanya supaya rakyat tahu mereka dijaga.

“Saya berharap semua penjawat awam dan exco menerima usaha baru ini kerana dalam masa yang sama kita akan meningkatkan simpanan tunai negeri,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Di dalam program tersebut, Menteri Besar dan beberapa exco membuka kaunter aduan supaya penduduk Selangor boleh terus mengemukan masalah mereka kepada kerajaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Turut hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Categories
SELANGOR

Pertandingan Fotografi Cungkil Bakat Penduduk Kampung Baru

SHAH ALAM, 10 MEI : Pertandingan fotografi anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru berjaya mencungkil bakat peserta dalam bidang itu khususnya di kalangan penduduk kampung baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program seumpama itu bukan sahaja berupaya menambah ilmu pengetahuan, bahkan turut meningkatkan kemajuan serta taraf hidup penduduk luar bandar.

Abdul Khalid turut menyifatkan pertandingan itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan ingatan serta memori terhadap kampung baru.

“Secara tidak langsung ia dapat mempromosi keunikan serta kepelbagaian budaya di kampung-kampung baru (bagan atau tersusun) di negeri Selangor kepada rakyat bukan Cina serta pelancong dari dalam atau luar negara.

“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta pertandingan fotografi pada musim ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dapat membuka peluang kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira usia untuk lebih mengenali kampung halaman mereka.

Tambahnya, menerusi program ini, kenangan di kampung dapat diabadikan dalam bentuk fotografi untuk tatapan generasi sekarang dan generasi berikutnya.

“Pada tahun 2011, kerajaan negeri sudah melancarkan laman web rasmi Kampung Baru Cina di negeri Selangor. Saya berharap gambar-gambar hasil pertandingan fotografi ini dapat dimuat naik ke laman web itu untuk tatapan umum,” katanya.

Abdul Khalid berkata, demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi di Bangunan SUK hari ini.

Pertandingan julung kali yang berlangsung selama dua bulan itu turut mendapat kerjasama daripada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Pertandingan itu diselenggarakan di tiga buah kampung terpilih di negeri ini dan seramai 13 peserta dipilih sebagai pemenang.

Hadir sama, Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nguan Wee Yong, 50, melahirkan kegembiraan apabila dipilih menjadi antara pemenang bagi kategori fotografi cemerlang.

Wee Yong yang menggunakan tema makanan tradisi Cina dalam fotografinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil penghargaan.

“Fotografi merupakan minat saya sejak muda lagi. Selain daripada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, saya turut meluangkan masa menjadi jurukamera bebas.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menganjurkan pertandingan seperti ini lagi di masa-masa akan datang supaya lebih banyak bakat dapat dicungkil,” katanya.

Tidak ketinggalan, Lew Chee Leong, 40, turut berkongsi kegembiraan sama apabila dipilih sebagai finalis dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta sijil.

“Walaupun tidak dipilih sebagai pemenang, tetapi saya tetap gembira apabila disenaraikan sebagai finalis. Saya pasti akan menyertainya di masa akan datang sekiranya kerajaan negeri menganjurkannya lagi,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Selangor Sediakan Garis Panduan Untuk Bina Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM, 2 MEI : Kerajaan Selangor sedang menkaji beberapa langkah agar rumah ibadat bukan Islam dapat disediakan dengan lebih teratur.

Langkah-langkah ini termasuk garis panduan bagi rumah ibadat di dalam rumah kedai dan pusat komersil, dan peruntukan tanah di dalam skim perumahan kawasan bandar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata berikutan perkembangan pesat di kawasan bandar serta pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat, berlaku kekurangan tapak untuk mendirikan rumah ibadat bukan Islam di lokasi yang sesuai.

Berikutan itu, tambahnya, banyak pertubuhan agama bukan Islam termasuk persatuan Buddha menggunakan rumah kedai sebagai pusat keagamaan mereka.

“Kerajaan Negeri meneliti secara terperinci prosedur untuk pusat-pusat keagamaan sedia ada yang diwujudkan di kawasan perdagangan akibat kekurangan tanah di kawasan bandar.

?Garis panduan ini untuk diguna pakai bagi permohonan baru bagi menggunakan premis komersil sebagai pusat keagamaan bukan Islam,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wesak 2012 Negeri Selangor di sini semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut; Speaker Dewan Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Satu lagi langkah bagi menangani kekurangan tanah untuk pembinaan rumah ibadat bukan Islam adalah garis panduan sedia ada yang mewajibkan setiap skim rumah 100 ekar ke atas harus diperuntukkan tanah untuk pembinaan rumah ibadat.

“Kerajaan Negeri sedar garis panduan ini masih ada ruang untuk menambahbaikan kerana pada masa ini sekiranya pembangunan dipohon kurang 100 ekar maka pihak pemaju tidak tertakluk pada kriteria peruntukan tanah untuk rumah ibadat bukan Islam.

?Jika keadaan ini wujud, kita akan kenakan pihak pemaju perlu membayar sejumlah caruman berdasarkan jumlah rumah yang dibeli masyarakat bukan Islam dan ia boleh diamsukkan dalam tabung Rumah Ibadat bukan Islam,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sejak 2008 Kerajaan Negeri telah menyumbang sekitar RM4 juta setiap tahun kepada rumah ibadat bukan Islam dan peruntukan itu dinaikkan menjadi RM6 juta bagi tahun ini.

Di dalam ucapannya Ean Yong berkata ini adalah kali kedua Selangor menyambut Hari Wesak dan ia merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyambut perayaan tersebut secara rasmi.

Dalam tempoh empat tahun Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri, katanya, kerjasama dan hubungan yang terjalin bersama pertubuhan penganut Buddha semakin erat dan kukuh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat Terima Notis Borang 5A

HULU LANGAT, 22 APR : Bukti janji Pakatan Rakyat yang membela nasib rakyat tanpa kira agama, bangsa dan fahaman politik sekali lagi terserlah hari ini di dalam satu majlis pemberian hak milik tanah di sini.

Beberapa peneriman notis borang 5A atau kelulusan pemilikan tanah, menceritakan bagaimana mereka sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

“Saya sudah mengemukakan permohonan sebanyak tiga kali dan pemerintahan kerajaan dahulu (Barisan Nasional) sudah masuk dua penggal tetapi tiada apa-apa tindakan sehinggalah Pakatan Rakyat mengambil alih,” kata Thamaselvam Chelliah, 54, seorang penerima notis 5A.

Thamaselvam berkata beliau menunggu lebih dari 20 tahun untuk menerima hak pemilikan tanah yang didudukinya.

Begitu juga Lim Choo On, 60, yang sudah tinggal di kampung tersebut melebihi 20 tahun.

“Kalau dahulu semasa pemerintahan BN, terlalu banyak karenah dan mesti menyokong BN tetapi pentadbiran Menteri Besar telus dalam menangani masalah rakyat,” katanya.

Thamaselvam dan Choo On antara 55 penduduk yang menerima Notis 5A dari Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di padang Taman Titiwangsa, Kampung Sungai Makau di sini.

Turut hadir Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ean Yong Hian Wah, MP Che Rosli Che Mat, Adun Bangi, Shafie Abu Bakar,  Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyerahkan surat hak milik kepada 29 orang penduduk Kampung Bahagia, Bangi yang berjaya menjelaskan premium setelah menerima notis borang 5A.

Categories
SELANGOR

Selangor Peneraju Anjur Perayaan Wesak

SHAH ALAM, 20 APRIL : Kerajaan Selangor komited untuk terus menjadi negeri peneraju yang menganjurkan perayaan Wesak secara rasmi di negara ini.

Pembaharuan dalam persekitaran negara ini turut diharap menjadi contoh untuk negeri-negeri lain sebagai meraikan perayaan penganut buddha ini.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata sejak negara merdeka, perayaan Wesak tidak pernah disambut secara rasmi sehinggalah Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengukir sejarah menjadi negeri pertama yang menyambutnya secara rasmi.

“Pada Jun 2011, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah ini bagi menghargai dan meraikan perayaan ini.

“Tahun ini sekali lagi Kerajaan Negeri penganjurkannya,”jelasnya.

Majlis Sambutan Hari Wesak 2012 Peringkat Negeri Selangor ini akan berlangsung 1 Mei hadapan bermula pada 7.30 malam, bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK Shah Alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadualkan akan merasmikan majlis ini yang akan disertai oleh 38 persatuan buddha serata Selangor dan Kuala Lumpur.

Antara program yang akan mewarnai sambutan ini adalah persembahan nyayian dan tarian kebudayaan dari Yayasan Guan Yin, Persatuan Kebajikan Buddha Tzu-Chi, Persatuan Penganut Agama Buddha Bodhi, Kuala Lumpur, San Malaysia FoGuang dan tarian kumpulan Dua Space.

Mengulas lanjut, Ean menyeru keterlibatan penganut Buddha dan rakyat Selangor untuk sama-sama meraikan sambutan ini.

“langkah ini adalah satu permulaan yang baik, seperti tahun lepas ketika pertama kali ianya disambut, Auditorium dipenuhi dengan orang ramai. Diharapkan pada tahun ini ianya akan lebih bertambah dan meriah dalam kita menghormati dan berkongsi perayaan sesama kita,”ujarnya.

Ean menambah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengikut jejak Selangor untuk turut sama meraikan perayaan Wesak secara rasmi pada tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Komuniti Buddha Selangor, Loka Ng Sai Kai berkata usaha kerajaan negeri meraikan perayaan Wesak secara rasmi ini mendapat pujian ramai pihak dari kalangan kumpulan persatuan dan komuniti buddha.

“Usaha meletakkan Perayaan Wesak sebagai sambutan rasmi peringkat negeri jelas membuktikan kerajaan pimpinan Pakatan Raktar sebagai sebuah kerajaan yang perihatin dan peka kepada semua kaum,”jelasnya.

Menteri Besar Kesal Dengan Serangan Terhadap Exco

SHAH ALAM, 7 APR : Kejadian serangan ganas terhadap ahli Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah di Serdang kelmarin dipandang serius oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media, beliau melahirkan rasa kesal dengan kejadian serangan tersebut dan menyeru agar semua pihak menolak keganasan dalam semua aspek kehidupan.

Beliau sebaliknya mengesa agar semua masalah diselesaikan melalui perbincangan yang berhemah dan terbuka.

“Saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan adil dan telus agar mereka yang bersalah akan dibawa kepada muka pengadilan,” katanya.

Ean Yong yang juga Adun Seri Kembangan cedera ditumbuk oleh dua lelaki di sebuah restoren di Jalan Sekolah Kampung Baru, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, Ean yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram ditumbuk oleh lelaki terbabit selepas selesai makan di restoran itu.

Ketika keluar dari restoran itu, dua lelaki terbabit menghampirinya dan terus memarahi serta bercakap dengan nada kasar.

“Seorang daripada lelaki itu terus menerpa ke arah saya dan memukul bahagian kiri wajah menggunakan tangan, dia turut memukul dan menarik tangan saya.”

“Sebelum beredar, rakan peniaga berkenaan turut mengugut mengancam nyawa saya. Sebaik kejadian, kedua-duanya terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di luar restoran,” katanya.

Ean berkata beliau ditumbuk di hadapan 20 ahli jawatankuasa DAP Seri Kembangan dan beberapa pelanggan di restoran itu.

Katanya, beliau mengenali salah seorang daripada dua lelaki terbabit.

Jelasnya, salah seorang lelaki terbabit merupakan salah seorang peniaga daripada 184 peniaga yang dipindahkan ke pasar rakyat Jalan SK  6/1.

“Peniaga itu tidak berpuas hati dengan lokasi tapak gerainya itu, manakala rakannya itu merupakan seorang ahli parti politik lain,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berunsurkan politik.

Ean membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan selepas setengah jam kejadian.