Categories
SELANGOR

Tempoh perkhidmatan Ahli Majlis dilanjutkan ke 30 Jun 2018

OLEH LIZAWATI MADFA

SERDANG, 31 OKT: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bakal tamat pada 31 Disember ini, ke 30 Jun 2018.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 20 September lalu.

Katanya, ia melibatkan seramai 283 Ahli Majlis di kesemua 12 PBT di seluruh Selangor.

“Ahli majlis yang terlibat adalah wakil parti KEADILAN seramai 100 orang, DAP (93), PAS (67) dan Amanah (sembilan).

“Wakil lain termasuk daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan lima orang, Orang Besar Daerah (sembilan) dan lima lagi yang masih kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti DAP Serdang, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, MMKN juga membuat keputusan melanjutkan tempoh perkhidmatan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Bagan dan Tersusun.

Katanya, mesyuarat pada 4 Oktober lalu, memutuskan tempoh perkhidmatan yang tamat pada 22 Oktober dan 31 Disember 2017 dilanjutkan ke 30 Jun 2018.

“Ia termasuk pelantikan JKKK biasa seramai 74 orang yang dijadual tamat tempoh pada 31 Disember ini, sementara tiga lagi merupakan projek perintis yang tamat pada 22 Oktober lalu,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Keputusan Kerajaan Negeri tepat, jimat kos pengurusan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Penjimatan dicatatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pelupusan sampah di Tapak Pelupusan Jeram menunjukkan keputusan Kerajaan Negeri adalah tepat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, ia membolehkan PBT menjimatkan kos pengurusan seterusnya menyalurkan penjimatan untuk kos lain.

“Antaranya, PBT boleh menyalurkan lebih banyak sumber untuk membangunkan infrastruktur setempat.

“Dengan ini, penutupan Shah Alam Transfer Station bukan sahaja tidak menjejaskan kerja kutipan malah ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 21 September lalu, empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya mendedahkan mereka dapat berjimat dengan penutupan operasi SATS.

Mereka mendakwa, penghantaran ke Jeram lebih menjimatkan dengan ‘tipping cost’ RM36 per tan berbanding RM64.55 per tan di SATS.

PBT terlibat juga mengakui tidak menerima sebarang aduan atau tambahan bajet daripada kontraktor terlibat, setakat ini.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan
Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Idris berkata, pendengaran itu menunjukkan khabar angin kononnya pengurusan sisa pepejal di PBT terlibat bakal kucar kacir ternyata tidak benar.

“Kita diuar-uarkan pengurusan sampah akan lingkup, sebab itu kita adakan pendengaran tetapi ternyata sebaliknya berlaku.

“Nampaknya penutupan SATS yang dimiliki Kerajaan Persekutuan adalah lebih baik buat kita,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2018: Fokus pengurusan sisa pepejal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan lagi operasi dan pengurusan sisa pepejal oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu dilihat berjaya menguruskan sisa pepejal dengan sangat baik sejak mula beroperasi pada Julai 2016.

Katanya, ia termasuk mengurangkan lambakan aduan daripada penduduk sehingga lebih 90 peratus.

ean-yong“Kita akan teruskan rancangan untuk KDEBWM mengambil alih PBT lain agar kerja pengurusan sisa pepejal sama ada sisa domestik atau pembersihan awam berjalan secara lebih sistematik dan efisyen.

“Ia juga sebagai respon kepada kajian kepuashatian rakyat Selangor yang meningkat, namun mahu Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada kerja pembersihan, infrastruktur awam serta pencegahan jenayah,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, kajian Merdeka Centre yang bermula pada 23 Januari hingga 29 Jun lalu mendapati 72 peratus atau 8,640 responden mewakili penduduk Selangor menyatakan kepuasan mereka terhadap prestasi Kerajaan Negeri dan PBT.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan hampir 800 aduan diterima, dan berjaya menurunkan sehingga tujuh aduan sahaja pada Jun lalu.

KDEBWM KOMPAKTOR (1)Pada Mac lalu, syarikat itu kemudiannya diberi tugas mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Pada awal perkhidmatan, aduan di MPS mencecah sehingga 1,249 aduan, namun menurun kepada 85 pada Julai lalu sementara di MPAJ aduan menurun kepada enam, daripada 227 yang dicatatkan pada Mac.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

GST RM36 juta: Cubaan burukkan imej PBT Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kastam Diraja Malaysia (Kastam) tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan bermotifkan politik berhubung pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, sebarang isu seharusnya diselesaikan secara matang, professional dan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama bagi menyelesaikan isu mengenai tuntutan Cukai GST.

“Saya amat kesal mengenai kenyataan yang dikeluarkan beliau (Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam), apalagi sebagai seorang penjawat awam.

“Ini merupakan satu cubaan untuk memburukan imej PBT dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Subromaniam mendakwa 12 PBT menghantar penyata GST diragui hingga menyebabkan pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh.

“Kita beri mereka tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dokumen diperlukan kerana pihak kastam tidak berhasrat mengambil tindakan mahkamah walaupun tindakan boleh diambil.

“Tetapi jika mereka masih degil kita mungkin akan ke mahkamah untuk selesaikan perkara ini,” kata Subromaniam.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Balakong, Ng Tien Chee mendakwa Kastam masih berhutang lebih RM36 juta jumlah tuntutan bayar balik GST kepada 12 PBT di Selangor pada Julai lalu.

Ia melibatkan tuntutan sejak September 2016 sehingga Jun 2017.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tapak sampah haram terkawal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 MEI: Tapak pembuangan sampah haram di Selangor kini dalam keadaan terkawal ekoran tindakan tegas dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, semua pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang membuang sampah di kawasan tidak dibenarkan.

“Banyak persatuan kontraktor datang mengadu kepada saya berkenaan perkara ini kerana mereka dikenakan tindakan oleh PBT.

“Tetapi Kerajaan Negeri menerusi PBT akan terus bertindak dan mengambil tindakan sewajarnya bagi melupuskan tapak pembuangan sampah haram.

“Kita akui buat masa ini tidak selesai sepenuhnya kerana Selangor luas tetapi kita berusaha keras ke arah itu,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerjah tapak pembuangan sampah haram di beberapa daerah termasuk di Taman Bukit Serdang Seksyen 5 mebabitkan sisa binaan dan industri serta Taman Mas, Sepang membabitkan pembuangan sampah binaan juga industri di rizab sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Tapak lain termasuk di Taman Putra Prima, Puchong dengan sebahagiannya dimiliki kerajaan dan sebahagian lagi adalah milik persendirian yang dilonggokkan sampah bercampur.

Categories
SELANGOR

Subsidi mandul kawal haiwan terbiar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 MEI: Pemilik kucing dan anjing kini berpeluang mendapatkan subsidi bagi memandulkan haiwan kesayangan mereka menerusi Program Selangor Neutering Subsidy.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,000 bagi menjayakan program dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS (PAWS) itu.

Katanya, ia adalah sebahagian inisiatif mengurangkan haiwan liar tidak berpemilik di jalanan, terutama di kawasan perumahan dan komersial.

“Pihak berkuasa tempatan selalu menerima aduan berkenaan haiwan liar yang mendatangkan kacau ganggu hingga menjejaskan kebersihan dan keselamatan.

“Sehubungan itu, memandulkan haiwan adalah salah satu cara berkesan selain daripada penangkapan dan kita berharap penduduk yang berminat dapat menghubungi PAWS untuk khidmat bantuan juga nasihat,” katanya.

eanyongBeliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai Pengurus PAWS, Edward Lim di pejabatnya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Edward berkata, kos pemandulan bagi anjing adalah RM100, manakala kucing RM60.

Katanya, ia terbuka kepada semua rakyat Selangor dengan nombor kad pengenalan xxxxxx-10-xxxx.

“Program ini sudah dibincang dan diteliti selama dua tahun sebelum dilancarkan, pada hari ini.

“Kita berharap Kerajaan Negeri akan terus menyokong program sebegini untuk kesejahteraan bersama,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang permohonan secara dalam talian di selangorneuteringsubsidy.wordpress.com atau di www.facebook.com/selangorneuteringsubsidy.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rancang pinda enakmen pusat hiburan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri dalam usaha mempertimbangkan cadangan meminda dan memperincikan Enakmen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) di Selangor.

ean-yongExco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, cadangan pindaan perlu dilakukan bagi mengelak berlaku kegiatan berunsurkan perjudian haram.

“Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk meminda Enakmen Pusat Hiburan yang kini masih dalam proses semakan.

“Ia bagi memastikan keseluruhan aspek diambil kira sebelum dibentangkan untuk kelulusan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Idris Ahmad, ADN Taman Medan, Haniza Talha dan ADN Telok Datok, Loh Chee Heng dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini jumlah lesen yang ditamatkan pada 2016 adalah 29 dan jumlah rampasan premis pula 17.

Namun, sekiranya aktiviti yang dijalankan berunsurkan perjudian haram, maka ia tertaluk di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu Polis Diraja Malaysia (PRDM) adalah agensi bertanggungjawab bagi memantau operasi pendegahan.

“Bidang kuasa pihak berkuasa tempatan terhad dan bukanlah satu-satu agensi yang mempunyai bidang kuasa luas seperti PDRM yang berkuasa untuk menangkap dan membicarakan individu bersalah di bawah Akta Rumah Judi 1953, Akta Pertaruhan 1953 atau Akta Pertaruhan Pool 1967,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Insiden bunga api: Pegawai bertanggungjawab dihadap lembaga tatatertib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Jawatankuasa Penyiasatan insiden bunga api pada program Fiesta Gegar Klang, baru-baru ini mendapati seorang ketua jabatan bertanggungjawab menguruskan pertunjukan bunga api terbabit walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat peringkat MPK.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri berpendapat pegawai itu perlu dihadapkan ke Lembaga Tatatertib MPK sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7) selepas Kerajaan Negeri meneliti laporan itu.

“Kerajaan Negeri telah mendapat penjelasan dari MPK ke atas hasil siasatan yang diambil berhubung insiden bunga api yang digunakan untuk pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang sempena sambutan tahun baru 2017, meledak dan meletup lebih awal di tanah sebelum ia sempat ke udara.

eanyong“Bagi menyiasat insiden terbabit, MPK menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan dengan melantik empat pegawai dalaman untuk menganggotai jawatankuasa itu.

“Ia berfungsi untuk menyiasat dan mendapatkan keterangan lanjut berkaitan pertunjukan bunga api merangkumi kelulusan program, perbelanjaan, proses semakan dokumen dan menyediakan laporan siasatan,” katany dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7), antara tindakan yang boleh dikenakan adalah amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius ke atas kejadian yang menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat daripada kecuaian penjawat awam.

“Kerajaan Negeri juga amat berharap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah juga pihak berkuasa tempatan perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pegawai MPK diarah cuti sehingga siasatan selesai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Pegawai yang terlibat dalam insiden bunga api meletup di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, baru-baru ini diarahkan bercuti selama 28 hari bermula 3 hingga 31 Januari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, arahan itu dikeluarkan sementara menanti laporan penuh siasatan selesai.

“Kerajaan Negeri memandang serius insiden ini dan mana-mana pihak didapati berlaku cuai serta menyalahguna kuasa akan dikenakan tindakan disiplin atau undang-undang.

“Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga akan terus bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Pada 1 Januari lalu, MPK menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan bagi menyiasat insiden terbabit dan memberi jaminan akan mengemukakan laporan lengkap dalam tempoh 14 hari.

Hian Wah berkata, jawatankuasa itu dianggotai dua pengarah jabatan, seorang timbalan pengarah dan pegawai tadbir.

“Mengikut siasatan awal dan rekod mesyuarat, MPK tidak pernah meluluskan pertunjukan bunga api dalam Fiesta Gegar Klang, sekali gus membuktikan ia bukan komponen atau pertunjukan dibenarkan,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Peruntukan kampung baru naik mendadak di bawah PAKATAN

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 19 DIS: Peruntukan kepada kampung baru di seluruh Selangor dinaikkan sehingga RM5 juta setahun bagi merealisasikan agenda pembangunan di kawasan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, jumlah terbabit meningkat sejak PAKATAN mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri itu, pada 2008.

Katanya, ia berbeza berbanding era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM200,000 setahun untuk pembangunan kampung baru.

“RM200,000 itu bukan peruntukan bulanan tetapi tahunan bagi seluruh Selangor.

“Bagaimanapun, selepas mengambil alih pentadbiran, kita naikkan peruntukan sehingga RM5 juta bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan kampung baru,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Balai Raya Kampung Baru Seri Berjuntai, Pintu Gerbang Kampung Baru Ijok dan Balai Raya Kampung Baru Ijok, di sini.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri konsisten memperuntukkan RM5 juta setahun bagi pembangunan Kampung Baru, antaranya pembinaan balai raya, gelanggang bola keranjang dan jambatan.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kampung baru DUN Ijok terima kemudahan baru

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 19 DIS: Dua kampung baru di DUN Ijok masing- masing menerima balai raya baru dan pintu gerbang dengan kos pembinaan RM430,000.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, RM230,000 diperuntukkan bagi Balai Raya Kampung Baru Seri Berjuntai, sementara baki untuk pembinaan Balai Raya Kampung Baru Ijok dan Pintu Gerbang Kampung Baru Ijok.

Katanya, ketiga-tiga projek terbabit dilaksanakan menerusi agensi pelaksana, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Kita akan sentiasa memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan pesat negeri.

“Diharap dengan adanya kemudahan ini, penduduk dapat memanfaatkan dan menjaganya dengan baik demi kebaikan bersama,” katanya.

whatsapp-image-2016-12-18-at-6-49-43-pmTerdahulu, beliau merasmikan Balai Raya Kampung Baru Seri Berjuntai, Pintu Gerbang Kampung Baru Ijok dan Balai Raya Kampung Baru Ijok di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad dan Pengerusi Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Berjuntai, Yoong Hoi Keun dan Pengerusi JKKK Ijok, Teng Tiam Pang.

Sementara itu, Hoi Keun dan Tiam Peng berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan juga merancakkan program pembangunan kampung baru pada masa hadapan.

“Terima kasih atas sumbangan tidak berbelah bahagi daripada Kerajaan Negeri sejak 2008 dan kami sangat menghargainya.

“Tentunya kami gembira dan akan menggunakan kemudahan disediakan ini dengan sebaik mungkin dan tidak akan menyalahgunakannya,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

MPKj kenal pasti 31 kilang haram

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 NOV: Sekurang-kurangnya 31 kilang diambil tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana beroperasi secara haram di Sungai Semenyih.

Exco Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, menerusi rekod bancian terdapat 58 kilang di sepanjang sungai itu.

Katanya, 27 daripadanya berada di kawasan zon industri, manakala 31 lagi di luar kawasan zon industri.

ean-yong“MPKj mendapati daripada 31 jumlah kilang itu, sebanyak lima kilang didirikan di atas rizab sungai. Empat kilang yang lain pula didirikan di atas tanah kerajaan dan sebuah kilang di atas tanah individu.

“MPKj telah menyiapkan kertas siasatan berhubung kilang haram berikutan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berwajib akan mendapat pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Katanya, MPKj juga akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Hulu Langat bagi mengambil tindakan perobohan keatas lima yang dirikan di atas rizab sungai.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, MPKj komited dalam menangani isu tersebut.

“Selain tindakan perobohan dan pendakwaan di mahkamah, MPKj akan melakukan pemantauan di sepanjang sungai secara berkala,” katanya.

-nR-