Categories
SELANGOR

RM3.5 juta naik taraf Sungai Bakau

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 13 FEB: Sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk menaik taraf Sungai Bakau bagi mengurangkan kejadian banjir kilat, di kawasan sekitar.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia merangkumi pembesaran laluan jambatan dan mendalamkan sungai memandangkan kawasan itu sedikit rendah.

“Projek itu turut menggunakan konsep mesra hijau dengan penanaman rumput sepanjang 1.3 kilometer (km) di laluan sungai terbabit,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan itu, hari ini.

Beliau berkata, projek yang bermula pada 9 Disember 2016 itu sepatutnya siap, pada Februari ini, namun terpaksa ditangguh atas beberapa faktor.

Pei Nei berkata, antara faktor itu ialah penstrukturan semula jajaran sungai bagi mengelak pengambilan tanah persendirian, bukan di bawah Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, projek itu dijangka siap sepenuhnya, penghujung April ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerja menaik taraf sungai berkenaan boleh mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di jalan utama.

“Jambatan ini juga boleh mengurangkan kesesakan kepada mereka yang ingin keluar masuk ke Bandar Country Homes,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Rumah Prihatin ceriakan Tahun Baru Cina Chin Yoke Ming

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 2 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini cukup bermakna buat Chin Yoke Ming, 42, dan abangnya Chin Yoke Sen, 43, apabila mereka menerima kunci rumah baru yang dinantikan menerusi program Rumah Prihatin.

Sebelum ini, Yoke Ming hanya menyewa di sekitar Rawang ekoran kekurangan wang untuk membina rumah sendiri yang akhirnya direalisasikan Kerajaan Negeri.

“Saya gembira rumah yang dinantikan siap dibina. Tanah ini sudah lama dimiliki keluarga tetapi akibat kekurangan wang kami terpaksa menyewa RM300 sebulan lebih 10 tahun.

“Akhirnya tahun ini, kami dapat rumah baru dan bercadang mendudukinya selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai operator kilang tinggal bersama abangnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat serangan angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Majlis Perasmian Rumah Prihatin di Kampung Sungai Terentang itu dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei.

Pei Nei berkata, rumah itu dibina menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri dengan kos RM50,000 seunit pada keluasan 600 kaki persegi.

Rumah yang siap dalam tempoh tiga bulan ini dilengkapi tiga bilik, satu bilik air, tandas, dapur serta ruang tamu.

“Dahulunya kos pembinaan rumah ini sekitar RM35,000. Tetapi akibat faktor kenaikan harga barangan pembinaan dan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), kos pembinaan meningkat kepada RM50,000 seunit.

“Skim Rumah Prihatin ini terbuka bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri dengan syarat mempunyai hak milik tanah sendiri khusus bagi kawasan perkampungan.

“Ini rumah pertama dirasmikan untuk 2018 dan setakat ini terdapat empat permohonan di DUN Rawang,” katanya.

Menurutnya, di bawah Skim Rumah Prihatin ini terdapat dua jenis permohonan iaitu pembinaan rumah baharu dan membaiki bumbung dengan peruntukan maksima RM20,000.

Katanya, permohonan boleh dikemukakan kepada Pejabat Penghulu sebelum disemak Pejabat Tanah dan Daerah sebelum dibawa ke Jawatankuasa Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Kerajaan Prihatin untuk diluluskan.

Categories
SELANGOR

Semak sebelum sebar, pastikan kesahihan berita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 DIS: Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei, berkata sebarang maklumat tidak tepat hanya akan menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Semak sebelum sebar. Sejak kebelakangan ini, saya terima banyak pertanyaan tentang berita yang mengatakan Jalan Rawang Bypass runtuh.

“Penyebaran berita yang palsu dan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja menyebabkan kebimbangan awam, bahkan juga bazirkan masa dan tenaga jabatan berkenaan untuk membuat penjelasan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan palsu dan sebaran sekeping gambar di media sosial yang mengaitkan kejadian tanah runtuh di Jalan Selayang – Serendah, baru-baru ini.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menafikan kenyataan kononnya runtuhan itu turut mengorbankan lima sekeluarga.

JKR dalam kenyataannya memaklumkan, hasil siasatan mendapati bahawa foto yang dikaitkan dengan kenyataan tersebut adalah sama dengan foto kejadian gempa bumi di Ecuador pada April 2016.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM1.3 juta bangun insfrastruktur di Rawang

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 22 DIS : Sejumlah RM900,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pembangunan kompleks pelbagai guna padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Batu 17, di Taman Jati, di sini.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia bertujuan menjadikan padang berkenaan sebagai zon riadah bagi kemudahan penduduk sekitar.

“Pelbagai aduan diterima daripada penduduk setempat (berhubung padang ini), justeru cadangan pembangunan ini mula dibincang dan dilaksanakan.

“Cadangan pembangunan kompleks pelbagai guna ini selaras hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan amalan kelestarian hijau di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media cadangan pembangunan kompleks pelbagai guna di padang PKNS, Batu 17 dan cadangan menaik taraf infrastruktur taman rekreasi awam (Fasa 1) di Tasik Taman Bersatu, di sini, hari ini.

Pei Nei berkata, padang PKNS berkeluasan 3.22 ekar itu akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti pagar keselamatan, padang bola sepak, ‘mini granstand’ berserta tandas, alatan senaman, gelanggang serb aguna, kerusi taman, tong sampah, lampu limpah dan lampu solar.

“Projek pembangunan ini bakal bermula pada Januari dan dijangka siap pada September 2018,” katanya.

Pada masa sama, taman rekreasi awam di kawasan itu akan dinaik taraf dengan peruntukan hampir RM400,000 daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Arkitek Landskap MPS, Syamsul Arif Mahmud berkata, projek itu mula dilaksanakan pada Januari 2018 dan dijangka siap, pada Jun tahun sama.

“Tasik ini merupakan kawasan riadah utama komuniti sekitar setiap hari, jadi kami mencadangkan untuk menaik taraf infrstruktur demi kemudahan mereka,” katanya.

Antara cadangan menaik taraf adalah memperbaiki lantai dataran terbuka, laluan pejalan kaki, alatan permainan, kawasan padang, membina aerator, menaik taraf mini ‘skate park’, gelanggang bola keranjang dan gelanggang serbaguna.

Selain itu, Pei Nei turut menyeru penduduk setempat untuk menjaga kemudahan awam disediakan dan mengelakkan berlakunya vandalisme.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan KPKT nafi hak rakyat nikmati hasil negara

RAWANG, 21 APR: Tindakan tidak memadai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen bukan Umno-Barisan Naional (BN) menafikan hak rakyat menikmati hasil negara dengan adil.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, rakyat seharusnya menikmati kemudahan seperti dijanjikan itu tanpa mengira di kawasan Parlimen Umno-BN atau bukan sebagai pembayar cukai.

“Ini adalah perkhidmatan asas sepatutnya dinikmati rakyat tidak kira di Selangor (dikuasai PAKATAN) atau negeri lain di seluruh Malaysia kerana sebagai rakyat, kita berhak menikmati hasil daripada cukai dibayar.

“Saya rasa, ini satu tindakan berniat jahat dan bermotif politik,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

gan pei nei1Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar, supaya membatalkan keputusan itu dan menyalurkan peruntukan pembangunan seperti dijanji serta diluluskan ke semua kawasan sama rata juga tidak pilih kasih.

Katanya, rakyat sememangnya berhak menuntut kembali segala hasil dibayar daripada Kerajaan Persekutuan tidak terkecuali di kawasan Parlimen bukan Umno-BN.

“Kita tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan politik kepartian kerana rakyat yang menjadi mangsa. Kalau boleh, kita berpolitik secara profesional dan kalau nak lawan (bersaing) ketika berlangsung pilihan raya,” katanya.

Pada 19 April lalu, KPKT mengeluarkan arahan membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen yang gagal dimenangi Umno-BN berdasarkan pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, bertarikh 17 Mac lalu.

Arahan itu meliputi semua projek BP 1 yang menurut laman sesawang KPKT merujuk kepada projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat 9 Mac lalu untuk ‘penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017’ yang dihadiri Noh bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Malaysia.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek tebatan banjir atasi banjir kilat sekitar Bandar Country Home

RAWANG, 21 APR: Kerajaan Negeri meluluskan dua projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat berlaku di Bandar Country Home dan kawasan sekitarnya.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei, berkata dua projek itu adalah di Sungai Gong serta Sungai Bakau yang sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya, pada November ini.

Bagaimanapun, katanya, berlaku sedikit kelewatan hingga menimbulkan masalah apabila hujan lebat mengakibatkan sistem sungai dan kolam takungan sedia ada gagal mencapai kapasiti sepatutnya.

gan pei nei“Itu sebabnya berlaku banjir kilat dan menimbulkan kesulitan kepada penduduk juga pengguna lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Namun, saya sendiri akan memantau projek ini dan kita meminta jabatan berkaitan khasnya Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyegerakan segala kerja pembinaan projek mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Pada 18 April lalu, berlaku banjir kilat di pasar Rawang seterusnya kawasan tol Rawang hingga Bandar Country Home akibat hujan lebat hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dalam tempoh lama di kawasan itu.

Pei Nei berkata, dua Sungai Gong dan Bakau adalah sungai utama yang selama ini tidak dinaik taraf tetapi dalam sistem tebatan banjir di DUN Rawang, kini sedang melalui proses terbabit.

Beliau berkata, pembangunan pesat di kawasan itu ditambah musim hujan ketika ini antara punca banjir kilat itu berlaku.

“Dengan hujan lebat, maka kuantiti air besar di Sungai Gong menyebabkan sistem sungai dan saliran sedia ada tidak dapat menampung hingga mengakibatkannya melimpah ke tepi jalan raya memenuhi kawasan dari tol Rawang ke Bandar Country Home,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Taman Tun Perak juga antara kawasan yang kerap berlaku banjir akibat air dari Sungai Pajam yang melimpah keluar.

Katanya, pihaknya meminta JPS Gombak mengkaji semula sistem sungai di situ dengan mengambil kira pembangunan projek Lebuhraya Assam Jawa-Taman Rimba Templer (LATAR) yang dijalankan ketika ini hasil lawatan ke kawasan itu.

“Kita perlu buat kajian lebih menyeluruh sama ada sistem sedia ada perlu dinaik taraf atau terdapat cadangan lain supaya tidak lagi berlaku banjir kilat,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Rawang nikmati bas Smart Selangor, kurangkan beban hidup

 

RAWANG, 21 APR: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang pasti lega dan gembira kerana bas Smart Selangor akan menawarkan perkhidmatannya untuk dinikmati mereka di kawasan berkenaan.

Dijangka mula beroperasi Julai ini, perkhidmatan bas percuma ditawarkan Kerajaan Negeri bakal membawa perubahan dan memberi manfaat besar kepada orang ramai yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri khasnya Exco berkaitan iaitu Dato’ Teng Chang Kim berhubung perkara itu amat dihargai dan pihaknya berterima kasih dengan kelulusan diberikan terhadap permohonan yang dibuat, sejak setahun lalu.

gan pei nei1“Saya amat gembira dengan keputusan Kerajaan Negeri meluluskan empat bas Smart Selangor ke Rawang yang memang lama dinantikan penduduk untuk menikmati perkhidmatan bas secara percuma.

“Bas Smart Selangor mendapat sambutan baik sejak pelancarannya di beberapa kawasan di negeri ini dan dijangka sambutan sama di sini ekoran permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang memerlukan perkhidmatan itu,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Beliau berkata, kemudahan bas Smart Selangor ditawarkan secara percuma tentu membawa impak positif dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam selain mengurangkan bebanan sara hidup golongan berkaitan termasuk pelajar yang menggunakan bas sekolah.

Katanya, perkhidmatan bas itu juga diyakini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang juga antara isu utama di kawasan itu.

“Ia akan memberi impak baik jika perkhidmatan bas ini bermula. Malah, akan membawa manfaat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah yang kebiasaannya bergantung kepada pengangkutan awam untuk keperluan ke tempat kerja atau kawasan awam,” katanya.

Pei Nei berkata, kajian lanjut berkenaan perkhidmatan bas itu akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak serta orang awam supaya perkhidmatan efektif dan efisien dapat diberikan.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Bandar Country Homes bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 24 MAC: Pasar Moden Bandar Country Homes, Rawang yang mengalami kerosakan ekoran kejadian vandalisme bakal dinaik taraf tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, kerja menaik taraf itu meliputi penukaran bumbung, siling, pemasangan pair air baru, pembaikan tandas dan surau.

Katanya, ia bakal menelan belanja RM118,560 menerusi peruntukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kontraktor akan mula kerja pada minggu depan, selepas waktu operasi penjaja bagi kesenangan semua dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu.

“Diharap orang awam bersama menjaga kebersihan dan infrastruktur di pasar ini supaya tiada lagi vandalisme berlaku secara kerap,” kongsinya menerusi status di Facebook.

Terdahulu, Pei Nei membuat lawatan di pasar terbabit bersama kakitangan MPS dan penjaja.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan peniaga di pasar berkenaan turut memohon diletakkan pengawal keselamatan di situ ekoran masalah kecurian yang semakin membimbangkan, terutama pada waktu malam.

-AA-

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

50 LED dipasang di DUN Rawang usaha atasi jenayah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Sebanyak 50 unit lampu LED dipasang di kawasan DUN Rawang bagi fasa pertama untuk Projek Penggantian lampu High Presure Sodium Vapour (HPSV) kepada Light Emitting Diode (LED)

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, setiap DUN mendapat 50 unit lampu LED yang diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi projek tersebut.

“Bandar Country Homes (BCH) dan Taman Bersatu antara dua lokasi yang dipilih untuk memasang lampu tersebut.

“Saya memberikan keutamaan di dua kawasan ini bagi DUN Rawang kerana ia mempunyai laporan kes jenayah yang kerap berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 29 unit lampu LED dipasangkan sepanjang jalan utama BCH manakala selebihnya 21 unit dipasang di jalan utama Taman Bersatu.

“Teknologi ini diyakini mampu memberikan penjimatan eletrik sehingga 50 peratus berbanding terdahulu walaupun harga sedikit mahal iaitu RM2,000 seunit berbanding HPSV dianggarkan RM700 hingga RM800.

“Walaubagaimanapun, ia baik untuk jangka masa panjang dan mempunyai jaminan sehingga tujuh tahun.

Tambahnya lagi, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga mensyaratkan segala pembangunan perlu menggunakan lampu LED ke arah penjimatan tenaga lebih efektif.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Salah guna dewan beban masyarakat setempat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OGOS: Tindakan parti komponen pembangkang menyalah guna dewan orang ramai sebagai hak milik parti menyusahkan komuniti setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei, berkata persatuan penduduk kadangkala terpaksa membayar sewa kepada parti politik untuk menggunakan dewan yang sepatutnya terbuka secara percuma kepada orang awam.

Katanya, tindakan itu tidak adil kepada penduduk selain memberi bebanan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

“Seperti contoh di Bukit Rawang Jaya, Persatuan Penduduk membuat cadangan baik supaya dewan orang ramai diuruskan mereka tetapi masalahnya dewan di situ juga dipegang MCA.

“Kalau dilihat dari segi undang-undang, itu bukan sepatutnya prosedur yang perlu dilalui kerana dewan dibina di atas tanah kerajaan.

“Ia milik kerajaan dan hanya agensi kerajaan berhak untuk tadbir dan uruskan segala yang berkaitan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini

DSC_6816 kecilTerdahulu, beliau mengiringi Exco Negeri, Ean Yong Hian Wah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Suliman Abd Rahman melawat Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai.

Pada 15 Oktober 2012, dewan berkenaan digazetkan sebagai suatu tapak untuk tujuan dewan orang ramai dan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Pei Nei berkata, siri rundingan secara baik sehingga kini tidak membuahkan hasil, malah parti politik berkenaan terus menduduki secara haram Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai.

“Kita bertuah kerana Kerajaan Negeri menyediakan tempat berbumbung di sini, namun mesyuarat terpaksa diadakan di rumah anggota JKKK.

“Sepatutnya ini tidak berlaku kerana kita ada dewan orang ramai, namun tidak dapat digunakan kerana parti politik,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Eat, Travel, Write promosi eko-pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 APR : Inisiatif mempromosi pelancongan Selangor ke peringkat antarabangsa diteruskan menerusi program Eat, Travel, Write anjuran Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor.

Pembantu Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Gan Pei Nei, berkata program tahunan buat kali ketiga penganjurannya itu memilih daerah Hulu Selangor berikutan potensi dimilikinya sebagai kawasan tumpuan eko pelancongan negeri.

eat travel 3“Kita ingin berkongsikan pengalaman manis peserta kali ini untuk merasai pelbagai keunikan di Hulu Selangor khususnya dalam aspek eko pelancongan.

“Pengalaman ini diharap dapat dikongsi dan dihebahkan kepada masyarakat luar melalui medium media sosial Instagram, Twitter dan Facebook berhubung tempat menarik di kawasan ini,” katanya.

Berliau bercakap pada sidang media di Bangunan Annex, sebelum perlepasan ‘Flag Off’ di Dataran SUK, di sini, pagi ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Pengarah Negeri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Mohammad Nor Ismail.

eat travel 4Pei Nei berkata, program tiga hari dua malam bermula 21 hingga 24 April ini juga merupakan program siri lanjutan kejayaan penganjuran sebelumnya pada Jun dan November tahun lalu.

Katanya, program kali ini mendapat penyertaan lebih 30 peserta daripada media tempatan dan antarabangsa seperti Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura selain blogger pelancongan terkenal.

“Ini juga merupakan sebahagian kempen promosi bagi menarik lebih ramai masyarakat melawat daerah Hulu Selangor menerusi kempen Jom Lawat Hulu Selangor 2017 ini,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Sepantas 10 minit ADN Rawang respon masalah jalan rosak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 FEB : Kurang daripada sepuluh minit aduan dibangkitkan pengguna Facebook, Spark Nauza berhubung kerosakan di Jalan Bandar Rawang 2, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Gan Pei Nei segera memberi respon terhadap perkara tersebut.

Kata Pei Nei, masalah itu dibawa kepada Jabatan Kerja Raya Gombak dan pihak terbabit untuk tujuan tindakan lanjut dan penambahbaikan.

FB_IMG_1456210424296“Aduan ini dikemukakan untuk tindakan JKR Gombak,” tulisnya pada ruangan komen pengguna laman sosial berkenaan.

Gan mengulas kebimbangan dibangkitkan pengguna laman sosial terbabit berhubung masalah jalan berlubang yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motorsikal.

Tindakan pantas Pei Nei itu turut mendapat pujian beberapa pengguna laman sosial itu.

Dalam pada itu, kerosakan jalan itu dipercayai berpunca daripada tindakan kontraktor yang melakukan kerja penambahbaikan saluran pendawaian di kawasan terbabit.

Screenshot_2016-02-23-14-52-30-254“Ini kerja kontraktor TNB. Mereka korek lubang dan masukkan wayar pada waktu malam.

“Oleh kerana belum siap, mereka tutup dengan papan besi. Tapi mereka tutup lubang itu agak cincai (tidak sempurna),” tulis pengguna Facebook, Rawang Ku.

Kawasan itu juga dikatakan berdekatan dengan Mcd Donalds, Rawang.

Sehingga berita ini ditulis, status berkenaan dikongsikan lebih 60 perkongsian di Facebook.

EZY