Categories
SELANGOR

Selangor Latih Wanita Selamat Diri Daripada Mangsa Jenayah

woman against crime wan azizah 07

SHAH ALAM, 13 JAN: Program Kempen Wanita Menentang Jenayah yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor hari ini disambut baik oleh golongan wanita di negeri ini.

Rata-rata yang ditemui melihat kempen yang dilancarkan di Tapak Bazarena Stadium Shah Alam itu mampu memberi kesedaran dan pengetahuan berguna untuk wanita apabila berdepan dengan penjenayah.

Kempen tersebut yang dihadiri kira-kira 100 hadirin itu dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Geran Selangorku, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi tadi.

Ina FionaMenurut peserta kempen tersebut, Ina Fiona, 41, dari Ampang, golongan wanita haruslah mengambil serius terhadap panduan dan tip keselamatan yang ditekankan dalam kempen tersebut.

“Panduan yang diberikan seperti membawa wisel dan penyembur lada ke mana-mana mungkin sebelum ini kita tidak terfikir, tetapi bila mendapat penerangan tadi memang ia sesuatu yang sangat berguna ketika berdepan saat cemas.

“Langkah membela diri yang ditunjukkan dalam demontrasi tadi juga nampak sukar, tetapi boleh dipraktikan, kena kerap membuat latihan di rumah,” ujar beliau.

Roslida UdinRoslina Udin,34, dari Shah Alam pula berkata kempen seperti ini amat wajar diteruskan kerana wanita merupakan golongan yang sering menjadi sasaran mudah penjenayah.

Dalam sidang media di program sama, Wan Azizah memberitahu, jenayah terhadap wanita meningkat seperti kes ragut, bunuh, rogol dan sebagainya dan apa yang Kerajaan Persekutuan buat hanya memberi persepsi indeks jenayah menurun.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail pula berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri mengambil langkah memperkasakan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi membantu wanita yang menjadi mangsa rogol atau seumpamanya.

Sehingga kini terdapat enam buah hospital yang menyediakan perkhidmatan OSCC di seluruh Selangor.

“Pelancaran Kempen Wanita Menentang Jenayah hari ini hanyalah permulaan dan akan diteruskan ke seluruh Selangor bagi memastikan kaum wanita khususnya di Selangor dapat berkongsi pengetahuan.

Sebelum itu dalam pelancaran kempen yang turut disertai Timbalan Speaker Selangor, Haniza Talha dan Adun Rawang, Gan Pei Nei itu, kira-kira lebih 500 wisel, penyembur lada dan kad tip keselamatan diedarkan kepada orang ramai yang berada di Pasar Pagi Shah Alam.

Selain itu turut dipaparkan dalam program sama, demontrasi beberapa langkah mudah yang boleh dipraktikkan oleh kaum wanita bagi menyelamatkan diri ketika diserang penjenayah.

Categories
SELANGOR

MB : Sokong PR Untuk Pacu Pembangunan

 

BANDAR SUNWAY, 9 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa rakyat Selangor untuk terus menyokong kepimpinan Pakatan Rakyat(PR) agar dapat memacu pembangunan negeri dalam suasana aman dan gembira.

Menurutnya, sebagai keluarga besar, rakyat di negeri ini tidak boleh dipinggirkan dalam setiap pembangunan kerana setiap kejayaan yang diperoleh negeri merupakan kejayaan bersama.

“Saya harap anda dapat memberikan sokongon agar kita dapat gerakkan negeri menjadi sebuah negeri untuk semua.

“Sambutan perayaan ini menjadi sebahagian (acara) rakyat Selangor kerana berbilang kaum.

“(Sambutan perayaan) bukan hanya menyatu rakyat Selangor, tapi kita adalah keluarga besar.

“(Justeru) kita tidak mahu tinggalkan mereka dalam pembangunan kerana kejayaan kita adalah kejayaan bersama,” katanya pada Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor di Sunway Piramid Resort di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihak Kerajaan Negeri sudah semestinya akan melaksanakan setiap bentuk pembangunan dengan penuh bertanggungjawab termasuk melaksanakan projek yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN dahulu.

“Kita ada belanjawan berimbang (tahun 2013), tetapi kita juga ada rizab simpanan besar kerajaan iaitu melebihi RM2.5 bilion.

“Salah satu kegunaan rizab ini adalah untuk rakyat selangor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan tidak lebih RM500 juta untuk pembangunan rakyat Selangor dalam pembinaan jambatan baru Klang.

“Saya rasa rakyat Klang akan dapat jambatan yang dijanjikan BN pada 4 Mac 2008. Kita patut lakukan kepada rakyat.

“Kita akan buat jambatan yang sama, model yang sama dengan perbelanjaan tidak melebihi RM200 juta,” katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Dalam majlis sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam berjumlah RM30,000 kepada Church of Shekinah Glory.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada empat buah sekolah iaitu PIBG SJKT Puchong dengan jumlah RM30,000, PIBG SJKT Ladang Tumbok, Sepang, RM15,000, PIBG SJKT Teluk Merbau Sepang, RM15,000, dan RM10,000 kepada PIBG SJKT Tun Sambathan, Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan, sembilan rumah kebajikan dimana masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM2,500.

 

Adun BN Batang Kali Didapati Bersalah Keluar Kenyataan Berbaur Seksis

SHAH ALAM, 30 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini mendapati Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong pada 22 November lalu.

Ekoran itu, Isa dikenakan denda sebanyak RM1,000 melalui potongan Elaun Khas Ahli Dewan Negeri.

Keputusan itu ditetapkan Speaker DNS, Datuk Teng Chang Khim setelah mengambil kira persetujuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul pindaan berhubung mengenakan denda kepada Isa.

“Bahawasanya dewan yang mulia ini mengambil ketetapan untuk mengenakan denda RM1,000 yang akan dipotong dari Elaun Khas Ahli Dewan Negeri ke atas Adun Kawasan Batang Kali terhadap kenyataan seksis yang dikeluarkan oleh beliau terhadap Adun Bukit Lanjan pada 22 November 2012 semasa sesi penggulungan Yang Berhormat Bukit Lanjan yang berbunyi “…(Tapi) jangan sampai terlupa jaga hutan kita sendiri”,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikaikan Isa dengan mendakwa Speaker tidak berlaku adil terhadapnya ekoran kenyataannya tempoh hari tidak melanggar mana-mana peraturan tetap dewan.

Namun, Teng menegaskan tindakan itu adalah adil berdasarkan Peraturan 36(4) di mana Adun dilarang untuk menggunakan bahasa biadap.

“Bagi saya itu mencukupi untuk membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah berbaur seksis,” ujarnya.

Usul berkenaan dibawa Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dan disokong oleh kumpulan penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tidak puashati dengan keputusan usul tersebut Adun-adun BN bertindak keluar dewan sebaik Speaker membacakan keputusannya.

Categories
NASIONAL

Geran Selangorku Dipastikan Sampai Ke Tangan Rakyat

SHAH ALAM, 29 NOV : Proses permohonan dan kelulusan Geran Selangorku diperketatkan untuk memastikan kesemua dana itu sampai kepada rakyat dan bukannya disalurkan kepada orang tengah, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, dengan cara itu, rakyat akan mula memberi sepenuh kepercayaan kepada ketelusan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

?Kita buat konsep ini kerana kita dapati walaupun Kerajaan mempunyai geran, tetapi ia disalurkan kepada orang tengah.

?Orang tengah akan gunakan duit bukan sahaja untuk pelaksanaan tetapi ada kos di sebaliknya. Oleh sebab itu, kita ingin mula kurangkan itu supaya mereka boleh diukur tugasnya.

?Kita akan buat laporan berapa banyak perkara yang dilakukan oleh Geran Selangorku untuk tahu siapa yang dapat.

?Dengan cara itu rakyat akan mula memberikan kepercayaan kepada kita yang setiap ringgit duit rakyat digunakan sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Gan Pei Nei (DAP-Rawang) berhubung aduan segelintir pihak yang sukar memohon Geran Selangorku daripada Kerajaan Negeri.

Tambah Abdul Khalid, program infrastruktur menggunakan lebih 80 peratus daripada peruntukan Geran Selangorku, sementara program kebajikan kepada bekerja (workfare) hanya digunakan dalam skala kecil sahaja.

Beliau berkata, peruntukan yang masih belum habis digunakan akan diteruskan sehingga tahun depan.

Katanya, bagi membuktikan pelaksanaan Geran Selangorku dibuat secara telus, segala maklumat tentang penggunaan serta permohonan dimasukkan ke dalam laman web supaya perkembangannya diketahui semua pihak.

“Saya telah meminta penjawat awam menubuhkan jawatankuasa untuk menentukan keutamaan permintaan supaya kita berlaku adil terhadap geran dan penggunaan dana tersebut.

?Geran Selangorku adalah pemangkin di mana hasilnya digukana untuk kepentingan orang ramai berasaskan konsep hasil negeri untuk rakyat,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Acara Green Walk Anti Lynas Akan Diteruskan Ke Parlimen

 

KUALA LUMPUR 25 NOV : Pemimpin perarakan Anti-Lynas ?Green Walk? akan meneruskan misi mereka dengan berarak ke Parlimen esok bagi menyeru Kerajaan Pusat supaya menghentikan operasi loji nadir bumi Lynas di Pahang.

Ini setelah perarakan yang berjaya mencecah 15,000 orang itu dihalang daripada memasuki Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack berkata beliau dan aktivis lain akan bermalam di Kuala Lumpur dan meneruskan kempen mereka dengan berarak ke Parlimen.

?Saya akan teruskan kempen ini sehingga kerajaan menghentikan operasi Lynas,? kata beliau kepada media di luar perkarangan
Dataran Merdeka.

Sebelum itu perarakan yang telah mencecah kira-kira 15,000 orang telah sampai di Dataran Merdeka Kuala Lumpur petang tadi di mana mereka di halang daripada memasuki padang bersejarah tersebut.

Peserta yang berbaju hijau daripada berbilang kaum itu telah membanjiri persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak tetapi dihalang daripada memasuki Dataran Merdeka oleh pasukan polis dan penguatkuas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Walaubagaimanapun, mereka berada di dalam keadaan aman dan ceria sementara menunggu isyarat daripada pemimpin mereka berkenaan langkah seterusnya jika masih dihalang untuk memasuki Dataran Merdeka.

Turut kelihatan dalam perarakan tersebut pemimpin Pakatan Rakyat seperti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, MP Kuantan Fuziah Salleh, Exco Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong dan Adun Rawang Gan Pei Nei.

Acara ?Green Walk? dimulakan oleh Wong sebagai kempen untuk memupuk kesedaran tentang bahayanya operasi loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Wong yang memulakan acara Green Walk di Kuantan pada Nov 12, telah berjalan kaki sepanjang 300 km dari Kuantan ke Kuala Lumpur bagi meraih sokongan terhadap kempen itu.

Beliau yang memulakan acara tersebut secara peseorangan telah mengumpul beratusan penyokong yang turut berjalan bersama beliau.

Categories
SELANGOR

Ronnie : Tingkat Kualiti Kutipan Sampah

SHAH ALAM 22 NOV : Bagi menguruskan jumlah sampah yang meningkat di Selangor, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) akan mempertingkatkan kualiti kutipan sampah.

Perkara ini dikatakan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu apabila menjawab pertanyaan Adun Rawang, Gan Pei Nei berkenaan isu sampah di Selangor.

Setakat ini, jumlah kutipan sampah dan sisa pepejal di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencatatkan peningkatan setiap tahun.

Jumlah kutipan sampah dan sisa pepejal, bagi tahun 2012 sebanyak 4,330 tan metrik sehari berbanding 4,220 bagi tahun 2011, 4,180 pada 2010 ; 4,150 pada 2009 ; 4,140 pada 2008 dan 4,080 pada 2007.

Oleh itu, Kerajaan negeri menubuhkan ‘task force’ bagi memantau operasi kutipan sampah mengikut jadual.

Katanya, ia termasuk perjumpaan secara terus dengan pihak kontraktor bagi mengetahui masalah yang dihadapi oleh kontraktor kerja.

Selain itu, PBT juga sudah mengkaji pengezonan semula agar dengan ruang lingkup kerja yang lebih kecil dapat membolehkan waktu maklum balas dipercepatkan dan membolehkan mutu perkhidmatan dipertingkatkan demi kebersihan awam.

Statistik mengikut pecahan PBT mencatatkan Majlis Perbandaran Klang sebagai PBT tertinggi melalui kutipan sampah iaitu sebanyak 600 tan metrik sehari dan diikuti Majlis Perbandaran Subang Jaya sebanyak 550 tan metrik sehari.

“Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius bagi memastikan pembuangan sampah berkurangan dan dapat mewujudkan alam sekitar yang bersih dan hijau.

“Antaranya kita melakukan pelbagai program antaranya ialah ‘Kempen Kitar Semula’ bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri bercadang menambah bilangan hari tanpa plastik kepada dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu.

Categories
SELANGOR

PBT Dicadang Guna Media Sosial Respon Aduan Rakyat

SHAH ALAM, 21 NOV: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini disaran memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dengan penggunaan aplikasi popular seperti Face Book (FB), Twitter dan Emel agar lebih responsif terhadap aduan rakyat di Selangor.

Cadangan tersebut dibuat oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei ketika membahaskan Belanjawan 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Isnin lalu.

“Dengan cara ini lebih memudahkan rakyat membuat aduan hanya dengan PBT membuka FB, Twitter atau Emel pegawai.

“Sebelum ini saya sendiri pernah buat aduan tetapi mungkin disebabkan kesibukan pegawai menyebabkan tindakan lambat diambil.

“Selalunya alasan yang diberi samada tiada peruntukan atau dalam proses dan tiada memberi had masa aduan diselesaikan,” kata beliau.

Pei Nei turut mencadangkan agar setiap PBT mempamirkan peta aduan agar rakyat lebih memahami prosedur tindakan terhadap aduan yang mereka kemukakan.

Beliau juga memberikan penekanan kepentingan memberikan kelulusan segera kepada projek-projek yang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat dan negeri.

Categories
SELANGOR

Chua Tee Yong Disaran Buka Kertas Putih Audit NFC

SHAH ALAM, 21 NOV: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2, Datuk Seri Chua Yong disaran agar membuka kertas putih dalam isu National Feedlot Corporation NFC yang melibatkan kementeriannya.

Saranan tersebut dibuat oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei apabila beliau mencelah ketika Adun Teratai, Lee Ying Ha sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 hari ini.

“Datuk Chua patutnya tidak menyibuk isu Talam (Corporation) sebab dia pun tak berani buka kertas putih isu NFC, saya minta dia buka kertas putih NFC,” kata Pei Nei.

Sebelum itu, Adun BN sekali lagi cuba menimbulkan isu Talam di Dewan Negeri Selangor(DNS) meskipun Kerajaan Negeri membentangkan Kertas Putih isu terbabit.

Dalam Kertas Putih tersebut, turut dijelaskan segala langkah Kerajaan Negeri untuk mengutip hutang lapuk Talam yang diabaikan Kerajaan Negeri ketika di bawah era BN sebelum ini.

Selain itu turut dikepilkan dalam laporan kertas putih tersebut termasuklah laporan (firma) juruaudit KMPG.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pei Nei – Segerakan Pembinaan Balai Polis Bandar Country Homes

KUALA LUMPUR, 15 OKT : Kementerian Dalam Negeri diminta menyegerakan pembinaan balai polis di Bandar Country Homes, Rawang kerana kadar jenayah kawasan itu semakin meningkat.

Pada masa kini, hanya 10 anggota polis bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Country Homes dan penduduk merasakan anggota tersebut tidak cukup untuk mengekang kadar jenayah di kwasan mereka.

Adun Rawang Gan Pei Nei berkata beliau sudah mengajukan surat kepada pihak polis pada tahun 2009 tetapi permintaan mereka tidak mendapat maklumbalas daripada kerajaan pusat.

“Penduduk yang datang kepada kita melihat sebagai satu permintaan yang mendesak,” katanya dalam satu sidang media

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Yong dan wakil Jawatankuasa penduduk Bandar Country Homes, Gunaraj George.

Jelas Pei Nei, sebidang tanah seluas lapan ekar telah digazetkan oleh pihak pemaju untuk pembinaan balai polis dan kuarters anggota.

Namun sehingga sekarang tiada keutamaan yang diberikan meskipun satu surat rasmi telah diajukan pada tahun 2009 kepada Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Pada waktu itu, maklum balas yang diberikan adalah meraka katakan sudah masuk dalam kajian perancangan Malaysia.

“Tetapi selepas tiga tahun, kita tidak boleh tunggu lagi sebab keselamatan penduduk disitu begitu terancam,” katanya yang turut mewakili Jawatankuasa Penduduk Bandar Country Homes.

Jumlah penduduk Bandar Country Homes kini hampir 50,000.

Menurut Pei Nei, antara kejadian jenayah yang berlaku adalah rompakan tabung Masjid Cahaya Iman meskipun memiliki kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera berkenaan dirosakkan.

Selain itu, dalam tempoh tiga hari, hampir tiga buah rumah dipecah masuk selain nasib malang yang dihadapi Sekolah Agama Rakyat berhampiran ekoran kehilangan komputer sekolah.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu turun sendiri melihat keadaan pondok komuniti berkenaan selain meninjau keadaan anggota polis yang tidak mempunyai keharmonian suasana kerja ketika bertugas.

Beliau menambah, anggota polis dari Balai Polis Rawang terpaksa turun membantu sekiranya berlaku sebarang kes besar.

Categories
NASIONAL

MB: Pusat Tidak Agih Kekayaan Negeri Dengan Adil


SHAH ALAM, 12 JULAI : Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengagihkan peruntukan secara adil terutamanya kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan peruntukan sesuka hati kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (Meru-Pas) dan Gan Pei Nei (Rawang -PKR), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun Selangor menyumbangkan kutipan bayaran cukai tinggi kepada Kerajaan Persekutuan namun bayaran pulangan yang diterima semula adalah rendah dan tidak bebrpatutan.

“Lebih RM10 bilion dikutip daripada rakyat Selangor tetapi jumlah terimaan daripada Kerajaan Persekutuan, kita dapat hanya RM562 juta sahaja.

“Jika dilihat dari kajian Melaka mendapat peruntukan lebih sedikit dari segi peratus berbanding Selangor atau Perak. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah dan Langkawi mendapat peruntukan yang sangat tinggi,” katanya.

Bagi mengatasinya, beliau berkata, cadangan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibangkitkan di Parlimen tetapi belum mendapat maklumbalas.

Tambahnya, sewajarnya negeri yang memperolehi perolehan cukai yang tinggi mendapat bayaran pulangan yang tinggi mengikut keperluan bagi pembangunan negeri tersebut.

“Jadi negeri yang bayar banyak boleh dapat lebih mengikut keperluan dan negeri yang bagi sedikit mungkin dapat kurang. Maka tidak perlulah sesebuah negeri itu tertunggu dan terpaksa melobi.

“Yang Berhormat Batang Kali (Mohd Isa Abu Kasim – BN) pernah menyatakan Kerajaan Persekutuan buat ini buat itu tetapi peruntukan itu tidak dijelaskan dan yang kedua adalah negeri ini bersetuju dengan pembangunan yang maknanya pembangunan itu bergerak selari,” katanya.

Amalan perbincangan itu, katanya, melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah dilaksanakan di negara Australia dan Kanada bagi pengagihan ke negeri-negeri demi tujuan pembangunan secara adil dan saksama.