Categories
SELANGOR

Penantian Hampir 30 Tahun Penduduk Bukit Botak Memiliki Rumah Berakhir

SELAYANG, 21 APR : Kegembiraan Husin Morat, 60, jelas kelihatan apabila beliau ditanya mengenai rumah baru di Bukit Botak yang sudah berdekad-dekad dinantikan.

“Sekarang dengan adanya kerajaan baru (Pakatan Rakyat) di Selangor, Alhamdulilah dan syukur serta lega dengan adanya rumah ini.

?Sebab kalau sekarang hendak menyewa kosnya pun tinggi yang sekurang-kurangnya antara RM400 sehingga RM500 sebulan, jadi mana nak sanggup.

?Sebab itu saya bekerja sekarang ini untuk menampung sewa rumah,? kata Husin yang bekerja sebagai pegawai keselamatan dan mempunyai tujuh orang anak.

Sebagai tanda kesyukuran, beliau berhajat untuk mengadakan kenduri doa selamat bagi meraikan kediaman barunya nanti.

Husin adalah antara 707 peneroka bandar yang dijanjikan tanah di dalam skim penempatan semula Bukit Botak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN pada 1985.

Tanah Bukit Botak diambil oleh Kerajaan Umno-BN dan diberi kepada pemaju swasta untuk membina skim perumahan swasta.

Sebagai ganti rugi, peneroka tersebut dijanjikan rumah.

Walaubagaimana pun, sehingga tahun 2008, pemaju itu gagal berbuat demikian sehingga kerajaan Pakatan Rakyat terpaksa mengambil alih projek tersebut.

Projek tersebut diberi kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kesemua 1,422 unit kediaman berkembar di situ bakal disiapkan sepenuhnya pada Disember tahun ini.

Semalam, 707 peserta skim penempatan itu mengambil bahagian dalam cabutan untuk menentukan nombor rumah mereka.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Seorang lagi peneroka, Mat Johari Saad, 65, berkata beliau menunggu sejak sekian lama dan begitu teruja untuk melangkahkan kaki di rumah barunya.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana telah berjaya rumah di sini,” katanya.

Sentimen itu diulangi Supangah Idris, 74, yang menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan projek terbengkalai yang sudah memakan jangka masa yang lama.

“Lebih 30 tahun saya menunggu untuk mendapatkan rumah ini, Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah.

?Saya sudah berumur lebih 70 tahun dan rumah yang akan diduduki nanti bakal diwariskan kepada anak-anak saya,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata penyelesaian projek Bukit Botak menunjukkan Kerajaan Selangor komited terhadap masalah perumahan terbengkalai.

“Projek perumahan Bukit Botak ini satu contoh yang mana PKNS dapat melaksanakan satu program untuk menyelesaikan masalah peneroka dengan cara yang terbaik dan membina satu penempatan yang mempunyai pelbagai kemudahan,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid turut mengkritik tangapan yang Umno-BN boleh menurunkan harga rumah tersebut kepada RM70,000 jika gagasan itu kembali memerintah Selangor.

“Untuk nilai yang rendah, maka rumah itu tidak akan sampai kepada satu generasi dari segi jangka hayatnya,” kata beliau.

Pengurus Besar PKNS Othman Omar pula berkata syarikat itu telah membelanjakan RM79.6 juta dalam bentuk subsidi agar rumah-rumah tersebut boleh ditawarkan dengan harga yang rendah.

“Ia adalah satu tanggungjawab sosial korporat PKNS bagi melancarkan lagi pembangunan projek ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri Selangor.”

Rumah yang ditawarkan pada harga RM99,000 mempunyai keluasan lantai 850 kaki persegi dan dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

PKNS sebagai pemaju projek turut menyediakan sebuah tapak tadika dan kawasan lapang untuk rekreasi.

Turut hadir di majlis undian itu, Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, MP Gombak, Azmin Ali, MP Selayang ,William Leong, Adun Batu Caves,Amiruddin Shari dan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad.

 

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 10 : Rumah Kos Rendah,Harum 2012,Strategi Kemenangan dan SELCAT Banjir

Apa Khabar Selangor EPISOD 10 (Bahagian 1)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 18 April 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama dan di pecahkan kepada 2 tajuk kecil.

Segmen 1: Rumah Kos Rendah bersama YB Iskandar Abdul Samad
Segmen 2: Harum 2012:Karnival Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 10 (Bahagian 2)

Segmen 3: Strategi Kemenangan bersama YB Shuhaimi Shafiie
Segmen 4: SELCAT (Isu Banjir)

Categories
SELANGOR

Kontraktor Jalan Janji Selesaikan Aduan Penduduk

PANDAN, 13 APR: Kontraktor lebuhraya Besraya Sdn Bhd hari ini berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di dua pangsapuri di sini akibat pembinaan Lebuh Raya MRR2 Link oleh syarikat tersebut.

Penduduk pangsapuri M-14 dan M-15 di Pandan Jaya di sini mengalami masalah air hujan bertakung dan masuk rumah mereka akibat longkang yang tersumbat dengan sisa binaan.

Seorang penghuni blok M-14, Pia, 39, berkata beliau bimbang anak-anaknya dijangkiti demam denggi sebab nyamuk Aedes cukup banyak membiak di dalam longkang yang tersumbat.

“Dulu tak banyak macam sekarang, tetapi bila dah ada air bertakung depan rumah, dah jadi banyak,? Pia berkata apabila ditemui TVSelangor semalam.

ADUN Cempaka Iskandar Abdul Samad berkata Besraya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu selesaikan masalah-masalah tersebut.

?Saya harap Besraya tidak membiarkan pasir atau batu masuk ke dalam longkang ini sebab boleh menyebabkan keadaan lebih teruk,? katanya selepas melawat tapak binaan lebuhraya tersebut di sini semalam.

Lawatan tersebut dihadiri wakil Besraya, MPAJ dan IJM Corporation Bhd.

Iskandar juga telah mengesa pihak Besraya agar memasukkan pokok-pokok dalam pelan pembinaannya.

“Jadi saya dah minta pada Besraya kira-kira sebulan setengah sudah supaya masukkan semula landskap, kalau tidak pun pokok besar kita boleh letak pokok kecil.?

Selain itu, Iskandar turut meminta Besraya memasang semula tanda-tanda jalan dan garisan penanda seperti sediakala.

Sementara itu menurut Pengurus Besar Besraya, Wan Salwani Wan Yusoff ketika ditemui di lokasi lawatan tersebut berkata, masalah pengaliran longkang tersebut akan dapat diselesaikan dalam masa dua hingga tiga bulan.

Menurut beliau pada masa ini pihak Besraya sedang berurusan dengan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengatasi masalah berkaitan paip utama Syabas yang terdapat di hadapan Blok M-14.

Projek sepanjang 12.3 KM Lebuh Raya MRR2 Link yang masih dalam peringkat awal pembinaannya ini dijangka siap pada 2014.

Apabila siap, lebuh raya ini bakal menghubungkan Salak Selatan dengan Jalan Lingkaran Tengah 2.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 9:Harum 2012,Rumah Mampu Milik,Turun Kawasan DUN Kota Damansara dan Pengurusan Kewangan

Apa Khabar Selangor EPISOD 9 (Bahagian 1)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 11 April 2012, Rabu, jam 12tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama dan di pecahkan kepada 2 tajuk kecil.

Segmen 1: Harum 2012:Karnival Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara
Segmen 2: Rumah Mampu Milik bersama YB Iskandar Abdul Samad

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 9 (Bahagian 2)

Segmen 3: Turun Kawasan YB Tuan Dr Mohd Nasir Hashim
Segmen 4: Anak Muda & Hutang (Pengurusan Kewangan)

Categories
SELANGOR

23,637 Unit Rumah Mampu Milik Telah Dibina

SHAH ALAM 26 MAC : Golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini berpeluang  memiliki rumah mampu milik sendiri dengan adanya pelbagai pilihan yang disediakan Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Pakatan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat negeri dengan penyediaan rumah mampu milik mengikut beberapa kategori.

“Bagi kategori Rumah Kos Rendah, harga jualan bermula daripada RM 35,000 sehingga RM 42,000, Rumah Kos Sederhana Rendah pula berharga kurang daripada RM 72,000 sementara bagi Rumah Kos Sederhana berharga di bawah RM 100,000.

“Secara keseluruhannya, setakat ini sebanyak 23,637 unit rumah mampu milik dibina oleh PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) dan PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) bagi tempoh April 2008 sehingga kini,” ujar Iskandar ketika menjawab soalan daripada Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

Kerajaan Negeri merangka 5,612 projek Rumah Kos Rendah seluruh Selangor dengan 287 unit sudah siap dan sedia untuk diduduki, manakala 826 lagi masih dalam pembinaan selain 4,499 masih belum di bina.

Bagi Rumah Kos Sederhana Rendah pula, terdapat 2,532 projek yang sudah dirangka dengan 16 unit siap dibina dan 2,516 lagi masih belum dibina.

Sementara itu, bagi Rumah Kos Sederhana, sebanyak 5,510 siap dibina manakala 9,983 lagi masih belum dibina menjadikan jumlah keseluruhan unit Rumah Kos Sederhana adalah sebanyak 15,493 unit.

Daripada jumlah keseluruhan 23,637 unit, terdapat 1, 422 unit rumah di Bukit Botak merupakan projek rumah berkembar satu yang merupakan projek terbengkalai yang kini diusahakan PKNS.

Untuk jangka masa 2011 hingga 2021, PKNS merancang untuk membina lebih daripada 11,000 unit Rumah Mampu Milik yang mana 16 tapak yang terletak di Seksyen 3 Bangi telahpun dimulakan pembinaanya.

Kerajaan Negeri juga mensasarkan beberapa projek Rumah Mampu Milik yang dijangkan lancar iaitu di Kampung Seri Temenggong (Gombak), Seksyen 12 (Shah Alam), Kota Puteri dan Antara Gapi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Sedia Selesaikan Kes 20 Tahun “Railway Lines”.

SHAH ALAM 19 MAC : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersedia untuk turun menemui bekas penghuni ‘Railway Lines’ Sungai Buloh bagi mencari penyelesaian kepada kes mereka yang berlarutan hampir 20 tahun.

“Saya yang mengalas Exco Perumahan sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan penduduk.

“Apa yang mereka tuntut itu adalah tanah dan sekirannya mereka ada cadangan ataupun alternatif lain sebagai gantian kepada lot tanah mereka itu, saya sentiasa bersedia untuk mendengar dan teliti perkara tersebut,” ujar Iskandar.

Beliau ditemui TVSelangor selepas sekumpulan bekas penduduk ?Railway Lines? atau Kampung Keretapi, Sungai Buloh berkumpul dilobi Ibu Pejabat Kerajaan Selangor di sini pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.

Mereka menuntut pertolongan pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut perumahan mereka yang tidak dapat diselesaikan sejak pemerintahan Umno-BN.

Kes mereka bermula pada Januari 1992 apabila mereka diusir dari kampung itu oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana tanah mereka akan digunakan untuk projek landasan berkembar KTM.

Seramai 299 keluarga ditawarkan lot tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Gombak di Matang Pagar sebagai gantian bagi tapak rumah mereka.

Apa yang dikesalkan, setelah menunggu hampir 20 tahun, mereka masih tidak mendapat tanah-tanah lot yang dijanjikan.

Kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah untuk menuntut hak tanah mereka seperti menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar era pemerintahan Umno-BN, selain menulis surat bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Mereka juga telah berjumpa dengan Mantan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Velu.

Malangnya segala usaha tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil.

Mereka juga telah mengambil tindakan mahkamah namun setelah 10 tahun kes ini dibicarakan, mahkamah telah membatalkan kes mereka pada 30 Mac 2011, atas alasan ?tiada balasan?.

“Semasa Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, tanah penduduk diambil dan dijanjikan rumah kos rendah kepada mereka.

?Namun ianya tidak dilaksanakan dan penduduk membawa kerajaan negeri ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

“Jadi, semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih, Menteri Besar (Abdul Khalid) hanya bertindak diatas keputusan mahkamah tersebut.

?Perkembangan ini berakhir dimahkamah dan sekirannya penduduk ingin jumpa, saya sentiasa bersedia untuk mereka,”jelas Iskandar.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Baiki Prasarana di Hulu Langat dan Lembah Jaya

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana bagi membaiki prasarana seperti jambatan dan jalanraya yang rosak di dalam banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat dan Lembah Jaya kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerja-kerja baikpulih tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat melalui peruntukan geran Selangorku .

Beliau berkata, usaha membaikpulih itu akan dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kepakaran dari segi pembinaan dan khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat GLC yang memiliki kepakaran dari segi pembinaan untuk memberi khidmat teknikal dengan melukis pelan dan sebagainya bagi urusan baikpulih prasarana di kawasan itu selain turut meminta kerjasama daripada penduduk setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau pembinaan tersebut.

“Saya percaya dengan cara ini, semua pihak akan dapat memahami masalah hasil daripada perancangan bandar dan dengan itu masyarakat bersedia menerima cadangan supaya rizab sungai dapat diusahakan untuk mengelakkan banjir,” tegasnya.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga akan membina kolam takungan sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, projek tersebut akan dikendalikan oleh dua Exco Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Iskandar Abdul Samad.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa banjir dan telah meningkatkan wang tambahan supaya setiap keluarga menerima bantuan sejumlah RM1,000 sebagai kegunaan untuk menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 8 Mac lalu, lebih 700 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Categories
SELANGOR

Akhirnya Penduduk Banjaria Court Boleh Gembira

BATU CAVES, 10 MAC : Selepas hampir dua tahun menunggu, pembeli Pangsapuri Banjaria Court, Taman Samudera di sini menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah mereka daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dalam sebuah majlis di sini, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri bagi mewakili 704 pembeli yang sudah pun menerima kunci lebih awal. Projek itu sepatutnya siap pada Disember 2010 tetapi ditangguhkan.

Pembeli, Azni Izzah Abd Aziz, 36, melahirkan rasa kesukuran dengan penyerahan kunci oleh PKNS baru-baru ini.

“Banyak tindakan yang diambil oleh jawatankuasa penduduk termasuk menghantar surat sebanyak empat kali kepada PKNS melalui pos, serahan tangan, fax dan email bagi tuntutan tindakan segera PKNS.

“Bagaimanapun kami (pembeli) merasa lega apabila semuanya sudah selesai dan kami juga memahami pihak PKNS dalam menghadapi kekangan tertentu untuk melengkapkan proses pembinaan rumah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis penyerahan kunci rumah itu dirasmikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad. Turut hadir Timbalan Pengurus Besar bahagian Pentadbiran dan Pembangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof dan Timbalan Pengurus Besar bahagian Teknikal, Abdul Ghani Hashim.

Dalam majlis itu, sembilan pembeli menerima replika kunci pangsapuri sebagai simbolik mewakili 704 pembeli yang lain.

Projek perumahan yang merangkumi blok A, B1, B2, dan B3, masing-masing mempunyai keluasan 891 hingga 1,224.95 kaki persegi dan bernilai RM192,500 hingga RM326,700 setiap unit.

Sebelum ini, penduduk mendakwa, akibat kelewatan itu, pembeli terpaksa membayar faedah dan keuntungan pembiayaan kepada pihak bank.

Penduduk juga mengambil inisiatif mewujudkan sekretariat bertindak bagi mewakili suara penduduk dalam masalah itu.

Seorang pembeli lain, Ahmad Akil Ariffin, 30, meluahkan rasa gembiranya apabila kerajaan negeri berjaya menyelesaikan projek perumahan itu.

“Saya berasa gembira dan senang hati apabila menerima kunci ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana akhirnya berjaya juga menyiapkan projek perumahan ini setelah dua tahun menunggu,? katanya.

Projek itu mula dilaksanakan pada 2007 dan mula dijual pada 2009 dan memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) pada 4 Januari 2012 dan proses penyerahan kunci secara berperingkat sudah bermula pada 23 Januari 2012.

Projek perumahan itu menelan belanja lebih RM100 juta dan pangsapuri itu dilengkapi kemudahan termasuk rumah kelab, ruang gym, dua gelanggang badminton, lot tadika, pejabat, BBQ Bit, taman permainan dan tempat letak kereta berbumbung.

Categories
SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 Risau Dengan Syarat Baru Syabas

AMPANG  5 MAC: Penduduk Pangsapuri Pandan Utama 2 di sini risau akan bekalan air bangunan itu apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengenakan surat akuan dan aku janji kepada mereka.

Surat itu dilihat sebagai usaha menjadikan 600 penduduk ‘mangsa’ kepada pertelingkahan antara pemaju pangsapuri dan pihak Syabas.

Ia dikeluarkan pada 23 Februari lalu selepas perbincangan untuk menyambung semula bekalan air kepada bangunan itu.

Sebelum ini, penduduk bangunan itu terpaksa turun mengambil air dari tangki sementara yang disambung secara haram kepada paip Syabas kerana pemaju tidak menyiapkan tangki air yang tetap.

Apabila Syabas memotong bekalan air haram mereka, penduduk mendapatkan khidmat ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad.

Di dalam perbincangan antara Iskandar, Syabas dan Pemaju, Syabas bersetuju menyediakan meter pukal bagi menyambung bekalan air sementara dan pemaju di arah membina tangki air tetap.

Timbalan Pengerusi Penduduk, Jeffery Abdul Rahman, berkata penduduk beranggapan masalah pemotongan air itu sudah selesai tetapi secara tiba-tiba Syabas mengenakan surat akuan dan aku janji.

“Kami penduduk merasakan digunakan sebagai senjata bagi Syabas semata-mata mahu melengkapkan prosedur antara Syabas dan pemaju.

Mereka seolah-olah mahu melepaskan tangan dalam hal ini sekiranya pemaju tidak dapat menyelesaikan masalah ini,? kata Jeffery ketika ditemui Selangorkini.

Antara isi kandungan surat itu ialah Syabas berhak memotong meter pukal sementara jika pemaju gagal menyiapkan sistem bekalan air tetap. Syabas juga berhak memotong bekalan air jika pemaju tidak membayar bil air sementara.

Jeffery berkata penduduk sudah membuat keputusan tidak mahu menandatangani surat itu kerana bimbang bekalan air mereka akan terjejas jika pemaju gagal mematuhi syarat persetujuan.

“Kami juga sudah membawa masalah ini kepada Adun Chempaka, Iskandar Samad dan beliau menghantar wakil dan diatas nasihat wakilnya, kami tidak menandatangani surat itu kerana tidak perlu lagi perjanjian dengan pihak Syabas.

“Kami persatuan penduduk juga mahukan meter individu tanpa sebarang syarat dari mana-mana pihak kerana kami risau sekiranya pemaju tidak mematuhi janjinya, penduduk akan menanggung akibat apabila pemotongan air berulang kembali.

“Bagaimanapun kami menghargai sumbangan dan jasa Yb Iskandar yang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah itu dan untuk Syabas, kami penduduk tidak boleh menerima cara dan strategi Syabas yang menuntut pembinaan tangki air itu tetapi menjadikan kami sebagai mangsa pertelingkahan mereka dan pemaju,” katanya.

Pangsapuri itu dibina semasa pentadbiran Umno-BN pada tahun 2005 dan disiapkan pada 2009. Penduduk mula menerima kunci pada tahun 2010.

Akan tetapi, pemaju berjaya mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) untuk bangunan itu walaupun ia tidak menyiapkan tangki bekalan air untuk pangsapuri tersebut.

Categories
SELANGOR

Air Ke Pandan Utama Fasa Dua Disambung Kembali

SHAH ALAM 23 FEB : Nasib 600 pengguna di Taman Perumahan Pandan Utama Fasa Dua terbela apabila Kerajaan Negeri berjaya berunding dengan  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan pemaju perumahan itu untuk menyambung kembali bekalan air setelah terjejas sejak lebih seminggu lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Samad berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan dengan pihak Syabas dan wakil pemaju taman perumahan tersebut di pejabat Syabas di Kuala Lumpur semalam.

“Syabas memulakan kerja-kerja penyambungan bekalan air hari ini setelah pemaju menghantar surat aku janji kepada Syabas semalam yang menyatakan mereka akan mengemukakan “Bank Guarantee” bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.

“Bank Guarantee” ini adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan,”katanya.

Sebelum ini, Syabas memotong bekalan air di taman perumahan tersebut kerana penduduk memperoleh bekalan secara tidak sah sejak 2010 menerusi sambungan haram daripada paip sedia ada milik Syabas di Jalan Cempaka.

Penduduk berbuat demikian kerana mendakwa pemaju tidak membekalkan meter air semasa mereka mula mendiami rumah tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som sebagai berkata, tindakan mengambil air secara tidak sah adalah menyalahi undang-undang Akta Industri Perkhidmatan Air, Seksyen 123 (1).

Hasil mesyuarat sebelum ini, pihak pemaju diminta untuk menjelaskan bayaran kepada Syabas bagi penggunaan air secara tidak sah selama 17 bulan.

Abdul Halem berkata, kemudahan infrastruktur bekalan air kekal seperti tangki air, rumah pam dan tangki sedut luaran perlu disediakan oleh pemaju terlebih dahulu supaya pihak Syabas boleh membekalkan air ke perumahan berkenaan.

Mengulas lanjut perkara ini, Iskandar berharap pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menyediakan kemudahan isnfratruktur tersebut bagi membolehkan pihak Syabas menyambung bekalan secepat mungkin  agar penderitaan penduduk akan berakhir.

“Walau bagaimanapun adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.

“Buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti ini berlarutan.”