Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas media diingat patuhi SOP di kawasan Istana Negara

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Semua petugas media dan agensi berkaitan yang akan bertugas dan berada di sekitar kawasan Istana Negara hari ini diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata aplikasi pendaftaran MySejahtera akan digunakan dan semua pihak wajib memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftar kehadiran di kaunter yang disediakan.

“Petugas media akan dibenarkan untuk memasuki kawasan khas yang disediakan dengan petak khas penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peraturan itu berikutan satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dijadual akan diadakan di Istana Negara, bermula 2.30 petang, hari ini.

Zairulnizam menegaskan petugas media tidak dibenarkan untuk bergerak dan berada di atas jalan raya bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Polis turut menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara bagi mengelakkan kesesakan.

Zairulnizam berkata, kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Sementara, sebarang tindakan provokasi oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan, katanya.

“Semua pihak juga diingatkan agar terus patuh SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran majlis dan mengelakkan penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Istana Negara: Agong dimaklumkan jumlah ahli parlimen sokong Anwar

SHAH ALAM, 13 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah dimaklumkan jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata jumlah itu dikemukakan ketua pembangkang dalam pertemuan kurang 25 minit bersama baginda.

“Bagaimanapun, beliau (Anwar) tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati Anwar supaya “akur dan menghormati” proses perundangan yang termaktub dalam perlembagaan.

Pada 8 Oktober lalu, Anwar memaklumkan mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Istana Negara pandang serius berita palsu babit Agong

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Istana Negara memantau dan memandang serius kenyataan tidak benar beberapa individu kepada media, yang menggunakan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Istana Negara melalui aplikasi WhatsApp.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Seri Paduka dan Istana Negara, untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan sahaja mencemarkan kredibiliti KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Istana Negara tidak akan teragak-agak melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut, di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika perlu.

Dalam pada masa sama, Istana Negara menyeru rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.

“Istana Negara menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama, untuk mengelakkan tindakan oleh pihak PDRM juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” tegas Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Istana Negara sahkan majlis Anwar menghadap Agong ditangguh

SHAH ALAM, 23 SEPT: Istana Negara mengesahkan majlis Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri menghadap Yang di-Pertuan Agong yang dijadual semalam ditangguh susulan baginda gering.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan terus menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda.

“Baginda turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi tatacara operasi piawai kerana negara masih menghadapi ancaman Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menitahkan semua pihak mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara supaya dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT.

Dalam sidang media di ibu kota hari ini, Anwar menjelaskan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguh.

Beliau turut mengumumkan Pakatan Harapan mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang “kukuh dan meyakinkan”.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong jalani rawatan di IJN, rakyat diminta doakan kesihatan – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bagaimanapun memaklumkan keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah adalah tidak membimbangkan dan Seri Paduka dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam waktu terdekat.

“Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN semalam, selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan.

“Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam dalam rangka lawatan peribadi bergegas pulang hari ini, untuk bersama dengan Al-Sultan Abdullah.

Beliau menjelaskan, Tunku Azizah membatalkan lawatan tersebut yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari sehingga esok.

Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan semoga Al-Sultan Abdullah dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong hargai pengorbanan ATM, bendung penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-87 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota ATM, khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

“Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

“Semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka melalui hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook Istana Negara hari ini.

Hari ATM disambut pada 16 September setiap tahun.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong hargai komitmen, dedikasi tinggi jururawat bendung Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di negara ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi perjuangan jururawat atas jasa bakti dan sumbangan mereka kepada keselamatan dan kesihatan masyarakat.

Menurut kenyataan itu, khidmat dan pengorbanan tanpa mengira masa dan penat lelah, yang dihulur oleh para jururawat sebagai benteng utama bersama petugas barisan hadapan lain dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan dedikasi tinggi para jururawat dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas merawat pesakit.

“Para jururawat adalah antara aset yang sangat penting bagi Kementerian Kesihatan dan negara. Syabas dan terima kasih atas perkhidmatan kesihatan dan jasa khidmat kepada masyarakat. Anda semua wira dan wirawati kami!,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram Istana Negara hari ini.

Sementara itu, dalam satu video berdurasi 2.27 minit, Raja Permaisuri Agong bertitah baginda amat menghargai pengorbanan semua jururawat yang sanggup mengetepikan nyawa sendiri demi membantu individu yang dijangkiti Covid-19.

Baginda turut mendoakan semoga Allah SWT membalas jasa semua jururawat yang memberi perkhidmatan begitu ikhlas kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya tabik kepada semua jururawat yang jalankan tugas begitu berat ini, tidak kira kesihatan mereka sendiri. Saya doa semoga anda semua sihat walafiat tidak dijangkiti dan sama-sama kita mainkan peranan menghentikan rantaian Covid-19 ini,” titah baginda.

Pada akhir video berkenaan, Tunku Azizah turut mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua barisan hadapan yang beragama Islam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tujuh petugas istana dijangkiti tapi Agong, Permaisuri negatif

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Istana Negara hari ini mengesahkan tujuh petugasnya positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif.

“Lanjutan daripada proses saringan ini, Seri Paduka Baginda berdua sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari, mulai semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata sehubungan itui, Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik Covid-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini. Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-213 semalam, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen dan ketabahan menjalankan tanggungjawab dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi bagi membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, akan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari yang akan ditentukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Semalam, Zulkifli dalam kenyataannya berkata menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menunaikan solat di rumah atau tempat masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di seluruh negara, sekali gus menangguhkan aktiviti masjid dan surau bagi mematuhi perintah kawalan itu.

Mengenai jangkitan Covid-19 petugas Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengenal pasti punca jangkitan Covid-19 itu dan Pusat Kesihatan Kepong sedang mengesan semua kontak rapat dan mereka yang bertugas bersama tujuh petugas berkenaan.

“Kesemua kontak rapat dan kakitangan tersebut telah diarahkan menjalani proses saringan jangkitan Covid-19. Untuk memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, kesemua kontak rapat dan kakitangan tersebut turut diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, mulai semalam,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Istana Negara akan terus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan ditetapkan KKM.

Pihak pengurusan Istana Negara sentiasa memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di Istana Negara mengikut tatacara serta panduan KKM.

“Langkah-langkah awal untuk memastikan kesejahteraan para pegawai dan petugas di Istana Negara sentiasa diberi keutamaan oleh Seri Paduka Baginda dan ia telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan.

“Istana Negara akan terus memberi bekerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan jangkitan pandemik ini dibendung dengan segera dan berkesan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tan Sri Muhyiddin Yassin perdana menteri baharu – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143)”.

Menurut Ahmad Fadil, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik tersebut berakhir, menurut Ahmad Fadil.

Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Menurut Ahmad Fadil, proses tersebut adalah lanjutan daripada titah Al-Sultan Abdullah dengan ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media, menurut Ahmad Fadil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir tiba di Istana Negara menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr Mahathir dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada 10.57 pagi.

Bernama masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung tujuan kehadiran Dr Mahathir di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual ahli-ahli Parlimen secara individu pada Isnin dan Selasa susulan kemelut politik negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) hilang kuasa.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.

Dr Mahathir pada Isnin, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa jam kemudian Seri Paduka melantiknya sebagai Perdana Menteri sementara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Baki 132 Ahli Parlimen menghadap Agong hari ini

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sesi kedua Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berlangsung hari ini, sekali gus menjadi antara tumpuan utama hal berkaitan perkembangan terkini situasi politik semasa di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian baki 132 daripada 222 ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik yang melanda negara sejak Isnini alu.

Sesi menghadap dan temu bual bersama wakil rakyat secara individu di Istana Negara itu akan bermula jam 10 pagi ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 90 Ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Ia susulan keputusan mengejutkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri ketujuh dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu selepas menerima surat peletakan jawatan itu.

Seri Paduka turut membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Dr Mahathir, sekali gus menyaksikan tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama.

Sementara itu, di Putrajaya, Dr Mahathir dijadual menemui Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pejabat Perdana Menteri

Pakatan Harapan (Pakatan) juga dijangka mengeluarkan kenyataan hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan yang berlangsung malam tadi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Agong titah semua masjid solat hajat

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kesemua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memelihara rakyat daripada sebarang penyakit.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, ia berikutan peningkatan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dan negara lain termasuk Malaysia.

Beliau berkata Seri Paduka sentiasa mengikuti perkembangan terkini wabak itu serta prihatin dan bimbang keselamatan diri rakyat Malaysia yang berada di dalam serta luar negara susulan jangkitan 2019-nCoV.

“Seri Paduka menyeru rakyat memperbanyakan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini.

“Semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihatnya kepada rakyat supaya mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini mengenai wabak 2019-nCoV hanya daripada saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan serta media arus perdana.

Seri Paduka juga sekali lagi menyeru kepada rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan dan amalan kesihatan seperti digariskan KKM.

-BERNAMA