Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Selangor digalak perkasa bahasa kebangsaan

bahasa 1

SHAH ALAM 28 OKT : Rakyat Selangor digalakkan menyokong usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam segala urusan, bersesuaian dengan taraf dan peranannya yang sudah diketahui umum.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat dapat memupuk perpaduan pelbagai kaum dan membentuk jati diri bangsa Malaysia.

bahasa 2Beliau berkata, rakyat perlu mencontohi pendirian negara maju seperti Rusia, Cina, Perancis dan Jerman yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan masing-masing dalam semua aspek termasuk urusan rasmi negara.

“Penggunaan bahasa kebangsaan ini adalah antara cara untuk menyerlahkan citra negara bangsa yang merdeka dan berjati diri.

“Justeru, saya menyeru supaya komunikasi bagi kegiatan rasmi kerajaan negeri dan semua agensi dibawhanya mengutamakan bahasa kebangsaan bagi semua program serta aktiviti rasmi seperti mesyuarat juga perhimpunan.

“Saya juga menyeru syarikat yang terbabit dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya turut berusaha memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan syarikat,” katanya ketika merasmikan Majlis Himpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor dan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Negeri Selangor, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail serta Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr Zaharani Ahmad.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut menggesa DBP supaya berusaha menyemak dan mengemas kini daftar ejaan, tatabahasa dewan dan kamus dewan supaya pengguna mendapat panduan yang betul sebagai rujukan.

bahsa 3Beliau turut meminta DBP supaya memanfaatkan pakar bahasa berpengalaman untuk membimbing pihak yang melakukan kesilapan bahasa dalam situasi rasmi mseperti dalam penulisan iklan dan papan tanda.

“Jika kesilapan umum dibiarkan berleluasa oleh DBP, ia boleh menjadi kelaziman dan akhirnya diterima sebagai “betul” oleh masyarakat Malaysia.

“Selain itu, penggunaan bahasa kebangsaan yang betul wajar disokong dan dipimpin jemaah menteri kerajaan pusat supaya menjadi contoh dan teladan kepada rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB ketuai misi perdagangan ke 3 negara Eropah

khalid ibrahimSHAH ALAM, 1 OKT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai misi perdagangan dan pelaburan kerajaan Selangor ke Belgium, Switzerland dan Jerman bermula 29 September sehingga 7 Oktober.

Misi yang diaturkan oleh Selangor State Investment Centre (SSIC) itu bertujuan menarik pelaburan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai pusat pelaburan utama di Malaysia kepada pihak industri dan usahawan di Belgium, Switzerland dan Jerman.

Di Belgium, delegasi kerajaan Selangor akan mengunjungi Essenscia iaitu Persekutuan Industri Sains Hayat dan Kimia Belgium yang mewakili 800 syarikat dari sektor berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Essenscia, Yves Verschueren.

Delegasi berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke ibu pejabat Syarikat Bekaert, pengeluar utama wayar keluli (steel wire transformation and coatings); melawat makmal kepunyaan Syarikat Emulco serta mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Emulco, Jean Vanhoebost. Seterusnya mereka dijangka melawat ibu pejabat syarikat Oleon – pengeluar produk oleochemicals yang mempunyai kilang di Pelabuhan Klang.

Di Switzerland, Menteri Besar dan delegasi akan melawat syarikat penyelenggaraan kapal terbang, SR Technics dan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Penyelenggaraan Komponen, Christof Spaeth.
Mereka juga akan melawat ibu pejabat syarikat Zeochem iaitu pengeluar pengayak molekul dan gel kromatografi bermutu tinggi (high quality molecular sieves dan gel chromatography gels). Selain itu, Menteri Besar akan dibawa ke ibu pejabat syarikat makanan global Nestle selain mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Pengeluar Jentera Switzerland.

Delegasi kemudian ke negara Jerman dan mengadakan pertemuan bersama syarikat Hensen Trade and Invest – agensi kerajaan untuk meningkatkan perdagangan bagi wilayah Hensen dan melawat Kawasan Industri Hensen, melawat Wurth Group – pengeluar utama peralatan pemasangan seperti skru yang mempunyai 400 anak syarikat di 80 negara selain mengadakan pertemuan dan dialog bersama Dewan Perniagaan dan Industri Ostwestfalen.

Turut sama dalam misi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah; Ketua Pengawai Eksekutif SSIC, Hasan Azhari Idris, Penolong Pengurus SSIC, Sven Schneider dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Puan Norzila Sidek.

Menteri Besar dan delegasi dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada 7 Oktober.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor

Gergasi Thailand

SUBANG JAYA, 23 SEPT : Kestabilan ekonomi dan kemajuan pesat selain jaringan kemudahan yang baik menjadi faktor Selangor terus diyakini pelabur asing. Dalam perkembangan terbaru, Central Pattana dari Thailand melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan itu amat memberangsangkan kerana sebelum ini Thailand tidak tersenarai sebagai pelabur utama.

“Kita biasa dengan syarikat dari Jepun, Taiwan, Jerman dan British tetapi kali ini ada syarikat dari Thailand nak melabur RM500 juta di Shah Alam. Ia satu jumlah yang besar.

“Syarikat ini difahamkan pernah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan berminat melabur di Shah Alam kerana ia berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Gergasi Thailand 2Central Pattana adalah sayap Central Group (CPN) dan merupakan pemaju hartanah runcit yang terbesar di Thailand. Ia memiliki serta mengurus 21 pusat membeli-belah premium di negara itu. Pelaburan di Shah Alam ini merupakan tujahan pertama CPN menembusi pasaran serantau.

“Pelaburan ini merupakan batu loncatan yang penting untuk mencapai wawasan kami, iaitu untuk menjadi pemaju hartanah runcit serantau dan kerjasama ini memperkuatkan lagi komitmen kami untuk mencapai wawasan itu,” tegas Pegawai Eksekutif Kanan Central Pattna, Kobchai Chirathivat, lapor Inside Retail.Asia.

Syarikat tempatan, i-BHD, dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama dengan CPN Global Company Ltd untuk membina CentralPlaza i-City itu. Dibawah perjanjian itu, CPN akan merangkumi dua syarikat iaitu CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd yang secara bersama memegang 60% saham disamping syarikat unit i-BHD, i-City Properties Sdn Bhd.

CentralPlaza@i-City akan mula dibina tahun hadapan dan dijangka dibuka kepada awam menjelang 2016. Pusat membeli-belah seluas 1.5 juta kaki persegi ini dijangka menelan kos RM580 juta.

“Kita berbesar hati untuk menjana ekonomi melalui perjanjian ini, lebih-lebih lagi ini merupakan hasil pertama pelaburan asing secara langsung untuk negara ini selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas,” kata pengasas i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, lapor The Star.

Sebelum ini, Abdul Khalid melahirkan keyakinan pelaburan itu akan menjadikan Shah Alam syurga beli-belah di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, pelaburan Central Pattana ini dicapai di sesi retreat EXCO Kerajaan Negeri selama tiga hari di Bangkok baru-baru ini.

Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri memilih Bangkok sebagai lokasi retreat untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai Central Pattana, selain dari tugas merangka Pelan Tindakan Lima Tahun bagi Belanjawan Negeri 2014.

“Ini menunjukkan mereka percaya kepada negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengamalkan pelaburan terbuka kepada semua pelabur-pelabur di peringkat Asean dan dunia,” katanya, ketika berucap pada Majlis Jamuan Pimpinan Bersama Rakyat Sabah dan Sarawak Sempenan Sambutan Hari Malaysia ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam, 21 September lepas.

Turut hadir di sambutan itu adalah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian. Sekurang-kurangnya 300 warga Sabah dan Sarawak dari kalangan pelajar dan keluarga yang menetap di Selangor turut menghadiri majlis tersebut.