Categories
SELANGOR

Kerajaan Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

Dr Muhammad Nur Manuty - ketua penerangan PKR wacana melayu pasca PRU13SHAH ALAM 5 NOV : Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.

Katanya, adalah tidak wajar Kerajaan Kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke nagara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan Kerajaan Kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan Kerajaan Kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Strategi monarki Najib kuasai kewangan negara

shah_alam_mp_khalid_samadSHAH ALAM 5 NOV : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menambah peruntukan sehingga 43 kali ganda di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilihat sebagai satu strategi ala monarki penuh dalam usaha menguasai kewangan negara.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata strategi itu membolehkan Najib mempunyai kelebihan mengguna wang pembayar cukai sewenang-wenangnya tanpa butiran yang jelas dan dikhuatiri digunakan untuk survival politik Barisan Nasional (BN).

“Dengan cara ini, JPM ibarat menjadi raja dan sultan menguasai penuh segalanya serta tidak boleh dipersoalkan. Dengan ini juga, kewangan negara boleh digunakan sama ada untuk menaikkan imej Perdana Menteri mahupun projek ‘mi segera’ membeli undi ketika pilihan raya bagi memenangkan BN,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkenaan jumlah peruntukan untuk JPM meningkat sehingga 43 kali ganda sejak Najib mengetuai pentadbiran negara, pada 2009.

Pada 2010, jumlah peruntukan bagi JPM hanya RM 158 juta iaitu 0.3 peratus daripada keseluruhan RM 54 bilion peruntukan pembangunan, namun meningkat sehingga RM 6.8 bilion, iaitu 15 peratus daripada RM53 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan bagi 2014.

Khalid yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, tindakan Najib berselindung berkenaan urusan perbelanjaan kewangan negara di bawah nama JPM dilihat sebagai tidak telus dan bertanggungjawab.

“Ia bukti tindakan terdesak bagi Najib dalam usaha memperkukuhkan BN yang dilihat semakin hari semakin hilang kepercayaan rakyat kerana Kn menjadi lebih mudah berbanding jika diletakkan di bawah kementerian lain kerana perlu diaudit, berbanding jika diletakkan di bawah JPM,”katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

KDN digesa keluar surat tunjuk sebab kepada syarikat keselamatan

SHAH ALAM, 5 NOV : Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya mengeluarkan surat tunjuk sebab dan membatalkan lesen syarikat keselamatan yang terbabit dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas di Setapak, minggu lalu, dengan kadar segera.

Desakan itu dibuat kerana sebelum ini, KDN mengambil langkah drastik membatalkan lesen syarikat Kawalan Prima Sdn Bhd apbila pengawal keselamatan syarikat berkenaan menembak mati pegawai bank Ambank Jalan USJ 2, dekat sini, bulan lalu.

surendranAhli Parlimen Padang Serai, N Surendran, berkata KDN dan Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab berhubung perkara terbabit memandangkan kuasa kelulusan senjata api dikeluarkan mereka kepada syarikat keselamatan.

“Kegagalan dan tanggungjawab ini terletak pada KDN dan Ketua Polis Negara kerana lesen kelulusan senjata api datang daripada kementerian terbabit.

“Bermakna masalah ini adalah kegagalan KDN untuk memastikan syarikat keselamatan yang diberikan lesen itu mempunyai kemampuan dan kebolehan menjalankan tugas tanpa melakukan jenayah,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran berkata, sikap tidak konsisten dalam membatalkan lesen syarikat keselamatan yang terbabit dalam sebarang jenayah perlu diatasi kerana membabitkan nyawa orang awam.

Pada 30 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan mengacukan pistol kepada majikannya ketika mahu memulakan perniagaan kedai emas sebelum membawa dulang berisi 100 utas rantai leher yang tidak dapat dipastikan nilainya di premis yang terletak di KL Festive City Mall.

Mengulas dakwaan pembabitan seorang bekas Ketua Polis Negara dalam syarikat keselamatan, Surendran berkata, KDN perlu menjelaskan perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

Menurut laporan portal MStar, carian di laman web Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) menunjukkan salah seorang ahli lembaga pengarah dalam firma yang mengambil suspek bekerja adalah bekas Ketua Polis Negara.

Portal Astro Awani melaporkan pengawal keselamatan warga Filipina berkenaan sudah ditahan bersama rakannya di Lapangan Terbang Tambang Murah, LCCT dan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 10 November ini.

tangkapan itu turut disahkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Khairi Ahrasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PR : Tahniah pengundi DUN Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 5 NOV : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah kepada jentera mereka di atas kesungguhan gerak kerja dan pengundi DUN Sungai Limau yang memberikan kejayaan kepada calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, semalam.

“Alhamdulillah, syukur atas kemenangan calon PAS di Sungai Limau. Tahniah kepada Ustaz Azam, petugas dan pengundi serta terbukti asakan, sogokan juga fitnah media Umno ditolak rakyat,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di laman Twitternya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, PAS akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada petugas daripada PAS dan rakan PR yang datang dari seluruh pelusuk tanah air untuk membantu kemenangan calon kami.

“Sumbangan tenaga dan dalam apa juga bentuk bantuan sepanjang tempoh PRK itu sangat dihargai. Semoga Allah SWT membalas segala pertolongan semua,” katanya.

Bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kemenangan PR dalam PRK itu akan memberikan inspirasi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi berhadapan jentera kerajaan pusat dan negeri yang digunakan Barisan Nasional (BN).

“Kemenangan PAS dan PR memberikan inspirasi besar untuk berhijrah dari ‘Sungai Limau ke Putrajaya’,” katanya.

Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi yang membolehkan parti itu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Pada PRU ke-13 Mei lalu, mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak memenangi kerusi DUN Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK DUN Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, kira-kira jam 9 malam, semalam.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menyifatkan kemenangan calon parti itu sebagai kemenangan hari pertama tahun hijrah 1435H.

Dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Nik Aziz memanjatkan kesyukuran dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama dengan PAS.

“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharap menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara,” katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

SPR dan SPRM ‘tertidur’ di Sg Limau, rasuah berleluasa

PRK DUN Sungai Limau

SHAH ALAM 3 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi ‘kayu mati’ yang gagal menghalang rasuah pilihanraya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

“SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar menjadi bahan ketawa pemerhati asing.

“Kini ia menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Diminta Perjelas Jawapan Bercanggah Dengan Parlimen

logo SPRM

PETALING JAYA 5 JULAI : Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjawab dakwaan percanggahan antara angka kejayaan yang diberikannya dengan angka yang dinyatakan di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini,

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pada 2012, SPRM menyatakan peratusan sabitan telah meningkat sehingga 85 peratus. Manakala angka itu telah meningkat sehingga 89 peratus menjelang Jun 2013.

Namun tegas beliau, angka yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low di Dewan Rakyat adalah 67 peratus sabitan pada 2012 dan 34 peratus pada Jun 2013.

“Percanggahan angka sebegini tentu mengundang pelbagai persoalan dan menimbulkan lebih banyak keraguan mengenai keberkesanan dan kecekapan SPRM,” kata Rafizi dalam Sidang Media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas beliau, peratusan laporan yang diberikan kepada SPRM secara puratanya masih rendah iaitu hanya 0.02 peratus per kapita rakyat. Di Hong Kong peratusan itu tiga kali ganda lebih tinggi.

Ujarnya, jika rakyat tidak tampil ke hadapan dan tidak mahu memberikan maklumat maka sudah tentu lebih sukar untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

“Hanya satu daripada setiap lima maklumat atau laporan yang diberikan yang berakhir dengan dengan fail siasatan dibuka,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun mungkin banyak maklumat dikategorikan sebagai bukan berkaitan rasuah namun angka itu membayangkan samada kemahiran siasatan SPRM perlu dipertingkatkan atau berlaku campur tangan.

“Kesudian SPRM menerima pandangan mengenai perkara ini dihargai namun ia perlu disusuli dengan peningkatan angka prestasinya terutama jumlah laporan dan maklumat yang berakhir dengan fail siasatan dibuka.

“Selagi kedua-dua angka ini tidak meningkat, SPRM masih berdepan dengan masalah persepsi negatif di kalangan rakyat,” kata beliau.