Categories
GLOBAL

AS gesa sekatan tegas ke atas Pyongyang

NEW YORK, 6 JULAI: Amerika Syarikat (AS) mengetuai gesaan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengenakan sekatan tegas ke atas Korea Utara selepas ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), lapor AFP.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, Washington sedang menyediakan deraf resolusi pelaksanaan sekatan baharu ke atas negara itu dan menyifatkan pelancaran ICBM sebagai kemuncak tindakan ketenteraan yang menjadi ancaman dunia.

“Dalam tempoh beberapa hari lagi, kami akan mengemukakan resolusi kepada Majlis Keselamatan sejajar dengan tindakan Korea Utara,” katanya dalam sesi tergempar PBB, hari ini.

Haley berkata, AS mahu mengelak konfrontasi tentera dan fokusnya kini ialah bagaimana mengetatkan sekatan, mengenal pasti peranan utama China.

“Kami akan bekerjasama dengan China dan negara yang percaya dengan perdamaian, namun kami tidak akan mengulangi pendekatan tidak wajar pada masa lalu yang membawa kita seperti hari ini,” katanya.

Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan mengutuk pelancaran peluru berpandu Korea Utara dan menggesa negara itu memenuhi tanggungjawab antarabangsa dalam mengekal keamanan juga keselamatan.

Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa supaya disambung semula dengan segera dialog dan rundingan antara Korea Utara bersama pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian damai di Semenanjung Korea.

“DPRK (Korea Utara) yang sering enggan mematuhi tanggungjawab antarabangsa seperti termaktub di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu menjadi keprihatinan besar dalam konteks keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

Categories
NASIONAL

AS ceroboh perairan, Korea Utara sedia lancar perang

PYONGYANG, 24 APR : Korea Utara mengeluarkan amaran keras akan melancarkan perang berskala besar dengan menggunakan senjata nuklearnya ketika kapal perang angkatan laut Amerika Syarikat (AS) semakin dekat memasuki perairan negara itu.

“Kini kami memiliki senjata nuklear melindungi kedaulatan negara dari ancaman AS dan kami akan bertindakbalas dengan melancarkan perang berskala besar dan perang nuklear.

“Kami akan menang dalam pertempuran dengan AS,” lapor Al-Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Luar Korea Utara.

JEPUN ASTerdahulu, Agensi Berita NBC melaporkan AS bersiap sedia melaksanakan serangan awal (preemptive strike) menggunakan senjata konvensional terhadap Korea Utara bagi menghalang ujian senjata nuklear.

Korea Utara melaungkan amaran negara itu siap sedia untuk ‘acara besar’ yang menandakan menurut pegawai AS adalah kemungkinan ujian senjata nuklear keenam pada minggu ini.

Serangan AS itu berkemungkinan melibatkan serangan peluru berpandu dan bom, siber dan operasi pasukan khas.

Ketegangan Korea Utara dan Amerika semakin memuncak susulan kecaman hebat Pyongyang terhadap pentadbiran Presiden Donal Trump yang mengkritik cubaan ujian nuklear keenam milik Korea Utara.

 

Categories
NASIONAL

Jepun sertai latihan AS di Semenanjung Korea

TOKYO, 24 APR – Jepun menyertai latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal pemusnah negara itu memulakan latihan dengan kumpulan penyerang AS, semalam.

Kapal perang Samidare dan Ashigara meninggalkan barat Jepun, Jumaat lalu untuk menyertai Carl Vinson bagi menunjukkan perpaduan ketika AS menghadapi Korea Utara berhubung program peluru berpandu balistik dan ujian nuklear.

Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (MSDF) dalam satu kenyataan memberitahu, pemusnah akan mengamalkan pelbagai taktik dengan kumpulan penyerang Washington.

MSDF bagaimanapun tidak memberitahu berapa lama kapal pemusnah berkenaan akan bersama AS.

Dua minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan kapal penyerang Carl Vinson berlayar ke perairan Semenanjung Korea sebagai tindak balas kepada ketegangan yang semakin meningkat dengan Pyongyang.

Difahamkan, sebahagian besar kapal pemusnah Tentera Laut Jepun adalah yang kedua terbesar di Asia selepas China. – The Telegraph

-nR-

Categories
GLOBAL

Rusia beri amaran AS tak serang Korea Utara

MOSCOW 18 APRIL: Russia memberi amaran kepada Washington supaya tidak melancarkan serangan sebelah pihak ke atas Korea Utara selepas Naib Presiden, Mike Pence menyifatkan era ‘tanpa tindakan’ bersama Pyongyang sudah berakhir.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dalam sidang media di sini berkata: “Ini adalah laluan amat berisiko.

“Kita tidak dapat menerima tindakan melulu Pyongyang yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) namun ia tidak bermakna anda boleh melanggar undang-undang antarabangsa.

“Diharap tidak akan ada sebarang tindakan sebelah pihak seperti yang kami saksikan di Syria baru-baru ini,” katanya.

Pence memberi amaran kepada Korea Utara supaya tidak menguji ketetapan Presiden Donald Trump, apabila mengisytiharkan ‘semua pilihan berada di meja rundingan’ bagi mengekang program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Sambil tidak mengendahkan tekanan antarabangsa, Korea Utara Ahad lalu melancarkan satu lagi ujian peluru berpandu namun gagal tetapi dibimbangi ia mungkin bersiap sedia menjalankan ujian nuklear keenam.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata, era ‘tanpa tindakan’ dalam berurusan dengan Korea Utara sudah berakhir, selepas lebih dua dekad.

“Sejak dua minggu lalu, dunia menyaksikan kekuatan dan ketetapan presiden terhadap tindakan diambil di Syria dan Afghanistan.

“Korea Utara lebih baik tidak menguji kesabaran beliau atau kekuatan angkatan bersenjata AS,” kata Pence.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara laung ancaman siap sedia berperang dengan AS

SEOUL 11 APRIL: Korea Utara menyelar tindakan Amerika Syarikat menghantar unit tempur tentera laut ke Semenanjung Korea hari ini, dan memberi amaran bahawa ia bersedia untuk berperang.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan unit penyerang Tentera Laut AS, Carl Vinson, membatalkan kunjungan ke Australia, hujung minggu ini untuk menuju ke rantau itu bertujuan mempamerkan kekuatan berdepan ancaman Korea Utara.

“Ia membuktikan bahawa tindakan melulu Amerika Syarikat untuk menawan Korea Utara sudah sampai ke tahap serius.

“Korea Utara bersedia bertindak balas terhadap apa saja bentuk perang dilancarkan AS,” kata jurucakap Kementerian Luar negara itu kepada agensi berita kerajaan KCNA dalam tindak balas pertama Pyongyang sejak penghantaran unit penyerang itu.

Presiden Donald Trump baharu saja mengarahkan serangan peluru berpandu terhadap Syria dan ia dilihat secara meluas sebagai satu amaran kepada Korea Utara.

Semalam, beberapa pegawai Amerika Syarikat memaklumkan Trump meminta nasihat pembantunya mengenai pilihan bagi usaha menundukkan Pyongyang.

Baru-baru ini, Trump mengancam untuk mengambil tindakan sebelah pihak terhadap Pyongyang, jika Beijig gagal membendung program senjata nuklear negara jirannya itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sembilan rakyat Malaysia di Korea Utara gembira selamat kembali ke tanah air

SHAH ALAM, 31 MAC: Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain bersama keluarganya dan empat lagi rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5.03 pagi tadi.

Beliau bersama isteri Iza Karmila Ramli, 35, dan tiga anak mereka iaitu Annur Zulaikha, 6; Aynur Zhafirah, 5, serta Ayscha Zinnirah, 3, dan empat lagi rakyat Malaysia tidak putus mengukir senyum sebaik tiba di tanah air.

“Saya sangat-sangat gembira kerana dapat kembali bersama ahli keluarga dan yang tersayang. Sekali lagi saya mahu berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang berusaha membawa kami pulang ke tanah air

“Kami gembira dapat kembali,” katanya lapor BERNAMA.

Azrin Korea Utara1Mohd Nor Azrin, 37, turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terbabit dalam rundingan serta kedutaan ASEAN lain di Pyongyang yang banyak membantu dan menyokong mereka sepanjang tempoh itu.

“Kami menerima banyak sokongan terutama daripada kedutaan ASEAN seperti Indonesia, Laos, Vietnam dan Kemboja di Pyongyang. Kami menerima sokongan moral, logistik, bekalan makanan dan perubatan daripada mereka,” katanya.

Mohd Nor Azrin berkata, sepanjang tempoh itu juga mereka tidak dihalang untuk keluar dari kedutaan.

“Kami tahu perkembangan semasa dan berusaha mengekalkan semangat yang tinggi,” katanya.

Selain Mohd Nor Azrin sekeluarga, empat lagi rakyat Malaysia yang turut pulang adalah Pembantu Peribadi kepada Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29, dan suaminya, Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan dan pembantu tadbir, S Nirmala Malar Kodi, 45.

Ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara tercetus ekoran pembunuhan abang pemimpin negara itu Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di KLIA2, pada 13 Februari lalu.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara ke Malaysia ketika itu, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia berkenaan cara negera mengendalikan kes itu yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai ‘persona non grata’ dan mengusirnya keluar.

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lalu dan kemudian Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Besar Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac lalu, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

DNA anak Jong Nam diambil di luar negara

SHAH ALAM, 16 MAC: Sampel DNA anak lelaki Kim Jong Nam diperolehi di luar negara selepas pegawai kerajaan bertemu dengannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak mendedahkan di mana pegawai kerajaan dan anak Jong Nam bertemu.

“Saya tak boleh dedahkan. Pihak berkuasa Malaysia pergi ke sana (bertemu anak Jong-nam di luar negara). Saya tak boleh dedahkan butirannya,” katanya di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sampel DNA anak lelaki Jong-nam itu kemudian dibawa ke Kuala Lumpur dan dibuat perbandingan.

“Selepas dibuat perbandingan, memang (lelaki) itu sah Jong-nam,” katanya.

(FILES) This file photo taken on May 4, 2001 shows an immigration officer (L) escorting Kim Jong-Nam, son of North Korean leader Kim Jong-Il, getting off a bus to board an ANA905 (All Nippon Airways) airplane at Narita airport near Tokyo. Kim Jong-Nam, the half-brother of North Korean leader Kim Jong-Un has been assassinated in Malaysia, South Korea's Yonhap news agency said on February 14, 2017. / AFP PHOTO / TOSHIFUMI KITAMURA

Sementara itu, mengulas berkenaan pengurusan mayat Jong-nam, Ahmad Zahid berkata, polis akan mengambil tindakan berdasarkan permintaan waris si mati.

Sehubungan itu, katanya, pihak keduataan tidak boleh meminta mayat berkenaan untuk dibawa pulang ke Korea Utara kecuali mendapat keizinan daripada keluarga Jong-nam.

“Kerajaan juga akan dapatkan nasihat peguam negara dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, keluarga Kim Jong Nam memberi kebenaran kepada Kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada 13 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dan di mana waris mangsa memberikan kebenaran itu.

Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un didakwa dibunuh dua wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong Nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sebelum ini, Pyongyang mendakwa lelaki itu bukanlah Jong-nam walaupun mengakui dia warga Korea Utara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

315 rakyat Korea Utara masih di Malaysia

SHAH ALAM, 13 MAC: Terdapat 315 warganegara Korea Utara tinggal di Malaysia, sejak 2014, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Korea UtaraKatanya, seramai 193 rakyat republik itu memilih tinggal di Malaysia kerana mengikuti program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) anjuran Kementerian Pelancongan, sejak tiga tahun lalu.

Selebihnya adalah pelajar dan pihak yang bekerja di negara ini, lapor theSun.

Zahid berkata, terdapat 2,453 warga Korea Utara pernah tinggal di negara ini sejak 2014 memetik statistik dikeluarkan Jabatan Imigresen.

Daripada jumlah itu, 801 mendapat permit kerja sementara, 11 (pelajar) dan 180 (pelombong) di Sarawak.

“Bagaimanapun, rekod menunjukkan 315 masih kekal di Malaysia dan selebihnya pulang ke tanah air,” katanya ketika melancarkan sebuah karnival di Tawau, Sabah, semalam.

Zahid juga memberi jaminan mereka dipantau secara khusus.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PBB digesa persiap kes dakwa Korea Utara laku jenayah

GENEVA, 10 MAC: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa melantik pakar undang-undang dalam proses persiapan prosiding kehakiman terhadap kepimpinan Korea Utara atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ahli Suruhanjaya Siasatannya, Marzuki Darusman, membuat gesaan itu dengan berkata Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menangani akauntabiliti Korea Utara ekoran situasi berlaku dengan kaitan terhadap pemimpin negara itu.

“Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu memikirkan pelantikan kumpulam pakar bebas bagi tujuan itu,” katanya kepada sebuah panel diadakan di luar forum di sini, dipetik Reuters.

Katanya, gesaan itu dibuat berikutan pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang dan pengkritik pemerintahan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Malaysia, pada Februari lalu.

Korea UtaraSebuah suruhanjaya siasatan PBB dalam apa dilapor pada 2014 yang dikeluarkan selepas ia mengadakan temubual dan pendengaran awam dengan mereka berpaling tadah menyenaraikan pelanggaran besar di Korea Utara termasuk kem penjara besar, kebuluran dan hukuman mati yang menurutnya patut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC ).

Laporan pada 2014 itu yang ditolak Pyongyang menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin secara peribadi bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Pakar berharap sebuah tribunal ‘ad hoc’ ke atas Korea Utara boleh ditubuhkan suatu hari nanti kerana China dijangka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang langkah dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengheret sekutunya itu ke ICC.

“Pembunuhan Kim Jong-nam patut menjadi satu pembuka mata,” kata Lee Jung-Hoon, duta Korea Selatan tentang hak asasi manusia Korea Utara, di sesi itu.

Beliau berpandangan, pembunuhan itu membuat khalayak umum dapat melihat sendiri buat pertama kalinya “apakah jenis rejim yang kita benar-benar hadapi”.

“Jika Korea Utara boleh melakukan ini kepada abang Kim, kepada bapa saudara Kim (Jang Song Thaek yang dibunuh, pada 2013) serta semua penyingkiran elit kiri dan kanan, dapatkah anda bayangkan apa bentuk kehidupannya jika anda seorang banduan dalam kem penjara Korea Utara dengan jumlahnya lebih dari 100,000 orang?” katanya.

Hakim Australia Michael Kirby yang mempengerusikan siasatan itu pada 2014 berkata, kenyataan saksi akan digunakan apabila sebuah tribunal dan pendakwa dilantik.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN sedia kerjasama bawa pulang rakyat Malaysia

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu keselamatan semua rakyat Malaysia di Korea Utara terus diberi keutamaan walaupun dua dari 11 yang terkandas kini dibenarkan pulang ke tanah air.

“Keselamatan warganegara Malaysia itu perlu menjadi keutamaan bagi memastikan semua rakyat kita bukan sekadar dua yang dibenarkan tetapi semua yang di Korea Utara perlu dibawa pulang dan dijamin keselamatan mereka,”katanya.

Beliau berkata, PAKATAN turut menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengadakan taklimat khusus kepada Ahli Parlimen demi memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara pulang dengan selamat.

Azmin“Sebarang tindakan diplomasi yang berkesan perlu diteruskan kerana kita tidak mahu ketegangan ini memberikan kesan kepada warganegara Malaysia yang terkandas dan menjadi tebusan di Korea Utara.

“Saya mendoakan keselamatan mereka. Saya juga mahu perkara ini diselesaikan dengan cara paling berkesan demi keselamatan warganegara Malaysia,” katanya yang ditemui selepas menziarahi Senator Dewan Negara di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, di sini, semalam.

Mohamed Azmin turut menyatakan sudah menjadi tanggungjawab sebagai ahli Dewan Rakyat untuk mendukung usaha membawa balik rakyat Malaysia di Korea Utara.

“Kita ingin memberi jaminan bahawa sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Sembilan lagi rakyat Malaysia yang masih berada di republik berkenaan terdiri dari tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga.

Terdahulu, Pyongyang mengumumkan sekatan sementara kepada semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu atas alasan memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya yang masih berada di Malaysia.

Ia ekoran ketegangan yang semakin memuncak selepas Korea Utara tidak berpuas hati dengan siasatan Malaysia terhadap kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpinnya, Kim Jong Un.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tangani isu Malaysia-Korea Utara secara diplomasi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyokong saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya Kerajaan Persekutuan memberikan taklimat khusus kepada Ahli Parlimen bagi memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat pulang dengan selamat.

Katanya, sebarang saranan yang menyatakan bahawa mereka bukan tebusan adalah pembohongan kerana faktanya rakyat Malaysia di sana tidak bebas untuk meninggalkan Korea Utara walaupun membawa passport yang sah.

“Keselamatan warga Malaysia yang menjadi tebusan di Korea Utara adalah persoalan yang penting dan perlu ditangani secara bijaksana.

azmin-parlimen“Saya mendukung saranan Permatang Pauh supaya kerajaan segera memberikan taklimat kepada Ahli Dewan Rakyat menangani isu ini secara diplomasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat.

Katanya, penyelesaian secara diplomasi itu penting selain menjangkakan reaksi balas ketika berurusan dengan negara seperti Korea Utara.

“Kita tidak boleh bertindak dengan tergopoh-gapah dan hanya mengambil tindakan balas yang bersifat reaksi kepada sesuatu hal buruk yang sudah berlaku.

“Ketika ini, kerajaan harus bertindak dengan cara yang paling berkesan demi memastikan warganegara kita selamat pulang,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Kerajaan tak cekap tangani krisis Korea Utara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar Kerajaan Persekutuan dalam menangani krisis dengan Korea Utara ketika ini.

Beliau berkata, insiden yang dialami ketika ini tidak ditangani dengan cekap sehingga menimbulkan ketegangan antara Malaysia dengan Korea Utara.

“Saya fikir ini jadi satu pengajaran kepada kita, iktibar tangani masalah ini pada masa depan,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

tun-mDr Mahathir berkata, Malaysia juga tidak perlu menjadikan Korea Utara sebagai musuh dan perlu menangani krisis itu dengan lebih bijak serta menjadikannya satu pengajaran, pada masa akan datang.

“Terdapat banyak misteri dalam kes ini, siapa yang berniat untuk membunuh apa hasil daripadanya dan macam mana boleh berlaku.

“Ini kerana, negara kita dipenuhi ramai orang asing dan mereka bawa perkara yang tidak baik. Sebab itu, sementara kita perlu berterus terang, kita mesti tentukan fakta itu betul apabila buat sesuatu kenyataan,” katanya.

Beliau turut berpendapat, Malaysia perlu mengikut dasar dahulu dengan memilih berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara.

“Dasar dahulu adalah kita berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara. Kita bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira dasar atau ideologi mereka.

“Sekarang ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri dengan satu negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita. Adalah lebih baik, pilih dasar berkecuali kerana beri banyak manfaat kepada kita,” katanya.

-NFN-