Categories
AGENDA NASIONAL

Bubur lambuk Kampung Baru kembali meriahkan Ramadan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Peminat bubur lambuk Kampung Baru akan dapat menikmati keenakan juadah tradisi berusia lebih 100 tahun itu apabila program edaran makanan tersebut yang menjadi program tahunan akan diteruskan sempena Ramadan tahun ini.

Tahun lepas program edaran bubur lambuk oleh Masjid Jamek Kampung Baru, tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi masjid itu Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk menyediakan, memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

“Buat masa ini, kami hanya akan buat untuk pengagihan kerana berdasarkan maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih tidak membenarkan majlis berbuka puasa dilakukan di masjid,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahun ini, pihak masjid membelanjakan lebih RM200,000 yang diterima daripada sumbangan orang ramai bagi penyediaan hidangan tersebut.

“Kami akan memasak minimum 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini, yang akan dlaksanakan secara gotong-royong membabitkan hampir 30 kariah masjid.

“Biasanya, untuk satu periuk kami akan peroleh hingga 190 bungkus bubur lambuk dan kami akan menggunakan 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, satu kg udang kering serta campuran rempah ratus,” katanya.

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru, Mohd Khay berkata tiada rahsia tertentu di dalam penyediaannya.

“Kami menggunakan resipi turun-temurun dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan atau mengurangkan serta menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khay juga yakin masyarakat boleh mematuhi tatacara operasi piawai SOP) sepanjang proses pengagihan dilaksanakan nanti.

“Kami tidak lihat penetapan SOP ini sebagai satu kesusahan kerana ia sudah menjadi amalan semua masyarakat sejak setahun lepas.

“Selain beratur di perkarangan masjid, mungkin kami juga akan mengaplikasikan kaedah secara pandu lalu namun itu juga mengikut kepada kesesuaian,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kejohanan sukan dengan penonton dibenar berkuat kuasa 1 April

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan tatacara operasi piawai (SOP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

“Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

“Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia akan dijadikan percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.

Beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian, penjarakan fizikal minimum 1.5 hingga dua meter antara penonton, operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium atau venue sahaja, selain pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun.

Berkenaan pengoperasian Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, Ismail Sabri berkata negeri atau daerah sepatutnya mengikuti sebarang arahan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata mungkin terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan majlis daerah (pihak berkuasa tempatan) membuat sedikit pindaan terhadap SOP yang diumumkan kerajaan, sesuai dengan keadaan di lokasi masing-masing.

“Kalau di Sabah, Sarawak, masa misalnya. Kalau Bazar Ramadan kita (Kuala Lumpur) mulakan dari 3 petang, mereka mungkin mula 2 petang kerana waktu berbuka di Sabah saya percaya lebih awal iaitu 6.30 petang, kita 7.30 malam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung arahan supaya sekolah tidak melaporkan kes positif Covid-19 kepada KKM ataupun MKN.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya perkara itu wujud, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka.

“Setiap individu, majikan mahupun pihak pengurusan sekolah wajib melaporkan kepada KKM jika timbul kes positif dalam kalangan pekerja atau pelajar mereka. Perkara ini juga tertakluk kepada universiti,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada aktiviti rentas negeri dibenarkan pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai ketetapan berhubung perkara terbabit kerana penilaian dibuat atas nasihat KKM.

“KKM yang memberi nasihat kepada jawatankuasa teknikal atau dalam sidang khas MKN sama ada untuk membenarkan atau tidak. Saya difahamkan, kalau Mei nanti kita semua patuh SOP sehingga kes turun menjadi 500 sehari mungkin penilaian baharu akan dibuat,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, KPM bincang kelonggaran rentas daerah, negeri hantar anak ke sekolah

KUALA LUMPUR 23 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok mengenai kelonggaran kepada ibu bapa merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan perbincangan itu akan diumumkan Khamis ini dengan mengambil kira sekolah bakal dibuka secara berperingkat bermula 1 Mac.

“Jika pekerja boleh merentas daerah hanya dengan (menunjukkan) surat majikan tanpa (surat) kebenaran (daripada) polis, saya akan berbincang dengan KPM mengenai ini. Khamis ini kita umum.

“Kalau boleh, surat kemasukan asrama dan sebagainya serta surat daripada guru disediakan (oleh KPM) sebagai surat kebenaran khas kepada ibu bapa yang akan menghantar anak mereka ke sekolah atau asrama di luar daerah atau negeri,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Jumaat lepas, KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Mengulas sama ada kerajaan akan membenarkan perkhidmatan merias dan merawat kuku beroperasi di dalam kawasan PKP, Ismail Sabri berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat teknikal esok sebelum membuat pengumuman Khamis ini.

“Saya faham rungutan ini, saya juga menerima permohonan hampir setiap hari. Di kawasan PKPB dan PKPP telah pun dibenarkan beroperasi dan yang memohon ini di kawasan PKP di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Beliau juga berkata setakat ini, kerajaan masih belum memberi kebenaran merentas negeri bagi yang berstatus PKPB namun dibolehkan dengan kebenaran polis sekiranya ada keperluan mendesak.

“… tetapi seperti yang kita tahu, status PKP, PKPB dan PKPP ini akan kita ketahui selepas tamatnya ketiga-tiga PKP ini pada 4 Mac dan dua hari sebelum itu, saya akan umumkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Pendekatan Selangor depani Covid-19 jadi rujukan agensi persekutuan

SHAH ALAM, 23 FEB: Beberapa pendekatan Kerajaan Selangor dalam menangani cabaran perebakan Covid-19 menjadi ikutan agensi persekutuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri ini paling awal memperkenal tatacara operasi piawai (SOP) di pusat kuarantin sebelum ia diguna pakai Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pusat kuarantin di negeri lain pada awalnya tiada SOP tetapi Selangor ada laksana SOP dan akhirnya SOP kita turut digunakan MKN.

Buku edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19 terbitan Pejabat Menteri Besar Selangor

“Unit Pengurusan Bencana Negeri juga menjadi rujukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan sebahagian modus operandi agensi ini mengambil contoh dari Selangor,” katanya melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai mulai minggu ini.

Amirudin menambah Selangor juga negeri pertama membuka pusat penjagaan anak-anak petugas hadapan di hospital.

“Selain itu dalam kesibukan petugas hadapan, Kerajaan Negeri memikirkan bentuk sokongan yang boleh diberikan, jadi kita tubuhkan pusat penjagaan untuk anak mereka.

“Inisiatif mewujudkan pusat jagaan antara buah fikiran diberikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penumpang ikut kapasiti tempat duduk kenderaan

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk bagi negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (keselamatan) berkata peraturan sama turut dilaksanakan bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya jumlah kenderaan ini menimbulkan isu bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan tidak boleh ditinggalkan di rumah.

“Justeru, mesyuarat teknikal mendengar rayuan itu dan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk.

“Kalau ada empat tempat duduk satu kereta, maka empat orang dibenarkan. Kalau ada enam tempat duduk, enamlah dibenarkan,” katanya pada sidang media PKP di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini kerajaan hanya membenarkan dua orang dalam sebuah kenderaan.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

KBS minta MKN beri kelonggaran lebih banyak jenis sukan

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal membawa cadangan untuk pertimbangan meliputi hampir 151 jenis sukan lagi merangkumi acara ‘indoor’, ‘outdoor’ dan sukan dalam air diberi kelonggaran.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan Facebooknya berkata pasukan KBS telah membuat penelitian dan akan mencadangkan lebih banyak aktiviti sukan khususnya yang tidak melibatkan sentuhan fizikal, dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Beliau berkata beberapa negeri yang akan bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat akan membawa lebih banyak kelonggaran sektor sukan, termasuk penganjuran kejohanan dan aktiviti yang boleh merancakkan lagi industri sukan.

“Insya-Allah, KBS akan terus berusaha meyakinkan kerajaan untuk membuka lebih banyak sektor sukan secara selamat dan berfasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Usaha memerangi pandemik Covid-19 perlu diteruskan dan kita sama-sama harus memainkan peranan dalam komuniti sukan untuk mengimbangi antara kesejahteraan hidup dengan kelangsungan ekonomi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa di kawasan PKP yang masih berkuat kuasa iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ketika ini, hanya 10 jenis sukan dibenarkan secara terhad dan dalam kawalan seperti diumumkan minggu lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M manfaatkan kelonggaran MKN jalani latihan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran mengadakan latihan yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermula hari ini dengan memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi musim 2021 menjelang sepak mula pada 5 Mac ini.

Selepas persediaan pasukan terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu, kebenaran diberikan untuk menjalani latihan menerusi konsep gelembung sukan, iaitu semua pemain dan pegawai perlu melakukan ujian calitan serta memasuki gelembung selepas didapati bebas daripada wabak Covid-19 hingga tamat liga.

Selepas memasuki gelembung itu, mereka perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan masing-masing, yang mana mereka tidak dibenarkan keluar atau bergaul dengan individu dari luar gelembung itu.

Skuad Liga Super Selangor FC, Pahang dan Petaling Jaya (PJ) City FC merupakan antara pasukan yang memulakan latihan pada hari ini setelah keputusan ujian calitan semua yang terlibat dalam pasukan itu didapati negatif.

Pengurus Selangor FC Mahfizul Rusydin berkata pasukan berkenaan memilih menggunakan kaedah kuarantin di rumah untuk semua pemain dan pegawai yang terlibat, serta mereka dikehendaki menjalani saringan Covid-19 seminggu sekali bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjaga.

“Mereka bertanggungjawab menjaga gelembung masing-masing, di mana mereka tidak dibenarkan menerima pelawat atau keluar rumah tanpa sebab. Bagi yang mempunyai pasangan yang bekerja, pasangan mereka hanya boleh keluar rumah untuk bekerja dan kemudian balik ke rumah, segala pembelian barangan keperluan digalakkan dilakukan secara dalam talian.

“Pihak Selangor FC sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan pasukan menghadapi Liga Super 2021, setakat hari ini satu perlawanan telah disahkan dan akan diadakan secara tertutup pada hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sri Pahang FC pula bakal menempatkan skuad di kem latihan kuarantin di Temerloh bermula esok, sebelum menghadapi perlawan persahabatan dengan pasukan Kelantan United dan Negeri Sembilan FC pada minggu depan, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohammed Suffian Awang.

“Pemain dan pegawai telah menjalani ujian saringan Covid-19, ini sudah menjadi amalan kita supaya tidak menjejaskan Liga-M kelak. SOP yang ketat akan dipatuhi, kita cuma bantu kerajaan dalam mengekang penularan pandemik ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua jurulatih PJ City FC P. Maniam berkata pasukan tersebut telah memulakan latihan pagi ini dengan fokus kepada latihan ringan dan fizikal bagi mengelakkan kecederaan.

Beliau berkata kebanyakan pemain didapati teruja untuk kembali memulakan latihan yang dinanti-nantikan selepas terjejas oleh PKP, selain pasukan juga merancang mengadakan tiga aksi persahabatan dengan Selangor 2, PDRM FC dan sebuah lagi pasukan.

“Semua pemain telah selesai menjalani ujian, manakala pengurusan juga telah meminta semua ahli keluarga yang tinggal bersama dalam home-based quarantine ini untuk melakukan ujian bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

Di Ipoh, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohammad Yadzan Mohamad tidak menolak kemungkinan menjalankan latihan secara kuarantin di kem untuk skuad Perak FC.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan dan kita juga kena ingat bahawa liga dah nak mula, masa pun makin suntuk untuk kita siap sedia. Jadi, saya fikir dengan pendekatan ini, para pemain akan lebih fokus terhadap latihan tanpa sebarang gangguan dari luar,” katanya, menambah mereka mungkin mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perak FC II.

UiTM FC, bersama-sama Melaka dan Negeri Sembilan FC yang telahpun selesai menjalani saringan Covid-19, dijangka memulakan latihan dalam masa terdekat selepas mendapat lampu hijau daripada MFL.

Naib juara Liga Super 2020 Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC dan Kelantan United (KUFC) yang baru sahaja menjalani ujian calitan pada hari ini, berkeyakinan dapat memulakan latihan sejurus keputusan dan kelulusan MFL diperoleh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN pinda SOP, kini acara makan besar dibenar hingga 15 orang

PUTRAJAYA, 7 FEB: Makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina (11 Februari) dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju meluluskan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik.

Mesyuarat turut bersetuju aktiviti keagamaan di rumah ibadat dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Februari dan tertakluk kepada SOP ketat antaranya, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa, dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.

Selain itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja, dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi ‘Hokkien Clan’.

Halimah berkata, pegawai-pegawai perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Beliau juga menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP, MKN bincang benarkan lebih banyak sektor niaga beroperasi

PUTRAJAYA, 6 FEB: Perbincangan untuk membenarkan sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan buka untuk beroperasi semula sedang berjalan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebolehnya mahu semua sektor perniagaan belum dibuka, dibenarkan beroperasi dengan syarat semua pihak bersetuju untuk bekerjasama mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tahap yang tinggi.

“KPDNHEP sangat prihatin dan mendengar rayuan pelbagai sektor perniagaan yang meminta untuk diberikan kebenaran beroperasi. KPDNHEP memahami keperluan untuk membuka semua sektor perniagaan kerana ‘ekonomi satu keperluan’, dengan syarat kedua-dua peniaga dan pengguna patuh kepada SOP PKP sepenuhnya, agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung demi kebaikan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata antara sektor perniagaan yang masih belum dibenarkan beroperasi adalah kedai pakaian, kedai barangan sukan, kedai barang rumah dan peralatan dapur dan kedai kosmetik.

Sementara itu, Nanta berkata hasil tinjauan hari ini ke sebuah kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, Selangor serta pemeriksaan pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara termasuk di bandar Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini, mendapati bekalan minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) amat mencukupi.

Katanya berdasarkan maklumat dari lapangan, kekurangan di sesebuah premis peruncit hanyalah bersifat sementara, disebabkan kehabisan stok dan peruncit berkenaan sedang menunggu penghantaran baru dari pemborong.

Beliau berkata KPDNHEP telah mendapat mandat dan peruntukan dari kerajaan untuk melaksanakan program bersifat ‘people-centric’, dan salah satunya ialah menyediakan subsidi minyak masak pek polibeg 1kg pada harga kawalan, untuk meringankan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya tujuan lawatan ke kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, adalah untuk meninjau dari dekat bekalan dan proses pengeluaran minyak masak sawit dari ladang ke kilang dan dari kilang ke pemborong dan peruncit, ekoran maklum balas dari pengguna dan netizen yang bekalan minyak masak pek polibeg 1kg berkurangan di pasaran, terutama di peringkat peruncit.

“Sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun minyak masak bersubsidi diperuntukkan dalam bentuk pek polibeg 1kg. Ini bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun. Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8kg sebulan atau 22kg setahun untuk setiap rakyat, termasuk kanak-kanak,” katanya.

Nanta berkata terdapat sebanyak 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negara, dan bagi tahun 2020, jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi adalah sebanyak 1,836,000 metrik tan setahun.

Beliau berkata sebagai langkah sementara, KPDNHEP telah melaksanakan Arahan Penetapan Had Pembelian Minyak masak Pek Polibeg 1kg di peringkat peruncit bermula 19 Jan lalu di mana setiap pengguna hanya dihadkan tiga pek polibeg 1kg untuk setiap pembelian.

Nanta juga menyeru kepada pengguna untuk menggunakan aplikasi ‘mobile Price Catcher’ untuk mengetahui premis peruncit yang mempunyai bekalan di sesebuah lokaliti, contohnya di bandar Muadzam Shah itu membuktikan ketiadaan di sesebuah premis peruncit bukan bermakna bekalan terputus, malah bekalan masih ada di lebih dari tiga premis peruncit di bandar tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Perpaduan kemuka rayuan berhubung SOP Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA, 5 FEB: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan membawa pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina berkaitan majlis makan besar keluarga dan kehadiran ke rumah ibadat tokong, untuk perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan SOP Tahun Baharu Cina itu disediakan setelah pihak kementerian berbincang dengan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina dan pihak berkaitan pada 12 dan 18 Jan lepas.

Antara persatuan yang terlibat semasa perbincangan pada 12 Jan lepas ialah Malaysian Buddhist Association, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Malaysia-China Chamber of Commerce and Industries.

Persatuan yang hadir pada 18 Jan lepas pula antaranya Cheng Ho Multi Culture Education, Malaysian Faith And Culture Interaction Kuala Lumpur dan Huazhong Malaysia.

Menurut KPN, sebarang pengumuman berkaitan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baharu Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan beberapa SOP untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Feb ini, antaranya hanya membenarkan aktiviti majlis makan besar diraikan bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Aktiviti perayaan yang tidak dibenarkan pula meliputi upacara sembahyang di tokong, ziarah rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri serta persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa atau tarian naga, perarakan ‘tanglung, perarakan ‘chingay’ dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran – MKN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘ Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

Menurut MKN, NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan serta sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tindakan itu jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober 2020.

Antara dakwaan ‘Anonymous Malaysia’ dalam video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, memaklumkan pautan https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-798.122020 boleh dirujuk bagi mengetahui amalan terbaik mengelak daripada menjadi mangsa pencerobohan dan penggodaman.

Antara cadangan menerusi pautan itu termasuk memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini dan kerap melakukan salinan sandar terhadap semua maklumat kritikal.

Semua organisasi juga dicadang untuk sentiasa membuat penilaian kelemahan dan ujian penembusan terhadap sistem masing-masing, selain melaporkan insiden sekuriti kepada pihak berwajib supaya tindakan pemulihan dapat dilakukan secepat mungkin.

Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan insiden keselamatan siber ke Cyber999 menerusi saluran e-mel kepada [email protected]; hubungi Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +60 19 2665850; faks kepada +603 8008 7000 (waktu pejabat); atau melapor aduan melalui pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: Perarakan pedati ke Batu Caves lulus dengan syarat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam.

Beliau berkata perarakan pedati membawa arca Dewa Murugan dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves adalah pada 27 Jan dan akan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar pada 29 Januari, namun perlu mengikut syarat dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Syaratnya, ‘Chariot’ (pedati) tidak boleh berhenti di mana-mana, pengikut tidak lebih daripada 10 orang, tiada muzik dan lain-lain,” katanya dalam hantaran Twitter rasmi beliau semalam.

-BERNAMA