Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SELangkah berkesan, wajar diguna seluruh negara kekang Covid-19

SHAH ALAM, 4 OGOS: Aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) dibangunkan Kerajaan Selangor wajar digunakan di seluruh negara berikutan keberkesanannya menjejak kontak Covid-19.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar Damansara berkata aplikasi melibatkan kecerdasan buatan (AI) selain kaedah FTTIS iaitu kenal pasti (finding), pengujian (testing), pengesanan (tracing), kuarantin (isolation) dan sokongan (support) serta mempertingkat vaksinasi dapat mengekang penularan wabak.

“Kita kena guna penyelesaian digital semasa. Ini zaman IR 4.0 (Revolusi Industri), tak kan nak suruh pegawai kesihatan membuat panggilan lebih 400 rumah untuk kesan kontak rapat?

“Kita guna MySejahtera tapi aplikasi tak efektif nak kesan kontak, tak seperti SELangkah. Bila gunakannya terus boleh hentikan kes sporadik, kluster serta perebakan virus,” kata Datuk Dr Musa Nordin dalam program Solusi Selamatkan Malaysia.

Program secara langsung di Facebook Reset Malaysia itu turut menampilkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebelum ini, Dr Musa mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia hanya melakukan pengesanan kontak dengan kaedah manual kerana sistem MySejahtera tidak secanggih SELangkah.

Pada Mei tahun lalu, SELangkah diperkenalkan bertujuan memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu daftar MySejahtera dapat Vaksin Selangor di PPV terpilih

PETALING JAYA, 30 JULAI: Individu yang mendapat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dibenar menerima suntikan vaksin Program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata keputusan itu hasil kerjasama yang dipersetujui antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kerajaan Selangor bagi menpercepat proses suntikan kepada penduduk.

Halimey Abu Bakar menjelaskan proses tersebut hanya melibatkan beberapa PPV di negeri ini termasuk Kompleks Sukan PKNS di kawasan yang diwakilinya.

“Perkara ini tidak mendatangkan masalah kerana jumlah dos pelalian dari Kerajaan Selangor mencukupi selain matlamat Selvax sememangnya mahu membantu pembentukan imuniti kelompok lebih cepat.

“Hari ini, buat pertama kalinya di PPV Kompleks Sukan PKNS, kita satukan penerima program Selvax Komuniti DUN Seri Setia dengan MySejahtera.

“Walaupun kehadiran peserta ramai, namun proses lancar hasil kerjasama petugas dan sukarelawan,” katanya ketika ditemui dalam program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Kelana Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, PPV berkenaan yang sebelum ini dikhas kepada peserta Selvax menerima ramai kehadiran berikutan penyertaan peserta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Peniaga Roslan Abdul Razak, 53, memuji petugas PPV yang memberi suntikan kepada peserta sama ada pendafaran dibuat menerusi aplikasi MySejahtera mahupun SELangkah.

“Anak saya Izwan Akmal, 26, merupakan pesakit Autisme. Dia dapat giliran di sini menerusi MySejahtera. Mulanya risau juga tidak dapat suntikan tetapi petugas beri jaminan.

“Proses juga berjalan lancar malah OKU dan warga emas juga diutamakan menerusi kaunter khas,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Suami isteri tempuh perjalanan 300 km untuk terima vaksin Selangor

PETALING JAYA, 30 JULAI: Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan lebih 300 kilometer dari Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan suntikan pelalian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini.

Kuan Dah Zeong, 31, berkata dia dan isteri Goh Bee Khim, 33, bertolak seawal jam 6 pagi bagi mengelak terlepas janji temu yang dijadual jam 10 pagi hari ini menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Kuan Dah Zeong, 31.

Pekerja kilang kayu itu berkata mereka teruja untuk melengkapkan dos kedua pelalian meskipun perjalanan memakan masa tiga jam untuk tiba di pusat vaksin selain melalui beberapa sekatan jalan raya.

“Sebaik tiba di PPV kira-kira jam 9.30 pagi, saya lihat ramai beratur untuk menerima suntikan, namun tidak menyangka prosesnya lebih cepat berbanding dos pertama 9 Julai lalu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini.

Dah Zeong berkata mereka layak menerima suntikan pelalian bawah Selvax Industri selepas nama didaftarkan ahli keluarga Bee Khim yang memiliki sebuah syarikat teknologi komunikasi di ibu kota.

“Kami ada mohon di aplikasi MySejahtera April lalu tetapi sehingga kini belum menerima tarikh janji temu. Atas faktor itu, ahli keluarga isteri memasukkan nama kami sebagai penerima dan kebetulan syarikat berkenaan berdaftar dengan Selvax untuk kakitangan mereka,” katanya lagi.

Halifah Rahman, 37.

Sementara itu, perunding takaful Halifah Rahman, 37, yang juga lengkap dua dos vaksin bawah Selvax Industri menyambut baik inisiatif Kerajaan Selangor untuk mempercepatkan imuniti kelompok.

Ibu kepada dua anak yang menetap di Batu Caves, Gombak juga menghargai komitmen majikan menanggung kos suntikan vaksin bagi melindungi semua kakitangan tanpa perlu menunggu tarikh janji temu di MySejahtera.

“Justeru, saya berharap dengan lengkapnya dua dos ini kerajaan akan segera beri kebenaran untuk merentas negeri memandangkan hampir dua tahun tidak pulang ke kampung halaman di Perak,” katanya.

Azli Mat Udin, 41.

Seorang lagi perunding takaful, Azli Mat Udin, 41, berkata majikan sudah mendaftar nama semua kakitangan yang belum divaksin di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) Jun lalu untuk menerima suntikan pelalian bawah Selvax Industri.

“Saya bersyukur kerana majikan mengambil berat keselamatan pekerja, apatah lagi kebanyakan kami bertugas di lapangan bertemu dengan pelanggan,” kata bapa empat anak yang tinggal di Bangi.

Bagi Rozaila Syahir, 22, inisiatif ditawarkan majikan harus dimanfaatkan berikutan semua ahli keluarganya sudah menerima vaksin sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Rozaila Syahir, 22.

“Alhamdulillah, syarikat mendaftarkan nama kami (pekerja) pada 8 Julai sebelum menerima dos pertama keesokan hari dan hari ini lengkap dos kedua.

“Saya juga melihat proses pemberian vaksin yang disifatkan lancar serta tersusun meskipun ramai penerima datang hari ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif kit penilaian dan laporan kesihatan menerusi SELangkah diiktiraf

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong mengenai kit penilaian di rumah dan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) merupakan pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengiktirafan terhadap dua inisiatif yang dilaksanakan itu adalah hasil saranan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Pengiktirafan ini sangat bermakna untuk Kerajaan Negeri meneruskan program-program inisiatif bagi melengkapi usaha kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berusaha sehabis baik mengurus dan menangani pandemik Covid-19.

“Sejak Jun 2021, Kerajaan Negeri melaksanakan sistem sokongan melalui proses penilaian dan pengurusan kes Covid-19 bagi kategori kes positif tidak bergejala atau bergejala ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemberian kit termasuk alat pengukur kandungan oksigen bertujuan mengurangkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 serta pejabat kesihatan daerah selain meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Kit penilaian di SELangkah membolehkan pesakit mengemas kini status kesihatan dengan memasukkan keputusan bacaan oksigen beserta simptom. Petugas kesihatan akan memantau keadaan pesakit dan memberi rawatan segera sekiranya perlu.

“Kerajaan Negeri berharap strategi ini dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama baik dari semua pihak demi mengurangkan lonjakan kes dan seterusnya memutuskan rangkaian Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Dr Chee Kheong mengarahkan individu tidak bergejala menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian menggunakan kit penilaian di rumah dalam aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

SELangkah  yang diperkenalkan pada 4 Mei tahun lepas merupakan sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kad fizikal lengkap suntik vaksin belum dikeluarkan, hanya sijil digital

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Kerajaan belum mengeluarkan sijil lengkap pengambilan dos vaksin berbentuk kad yang dicetak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kad yang dijual di pasaran dan ditularkan baru-baru ini, bukan dikeluarkan oleh kerajaan.

“Tidak ada kad fizikal, hanya ada sijil digital di aplikasi MySejahtera. Itu sahaja,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.

Dr Adham turut menegaskan bahawa kad tersebut tidak diiktiraf kerajaan atau diterima sebagai bukti telah melengkapkan dos suntikan vaksin.

Menurutnya kerajaan akan mengeluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge dalam bentuk kad dicetak tidak lama lagi sebagai bukti bahawa seseorang individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Hanya sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sahaja diakui kerajaan. Buat masa ini, kami menunggu kelulusan Kabinet untuk keluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu 12 tahun ke atas kini boleh daftar terima suntikan vaksin

SHAH ALAM, 21 JUN: Orang ramai kini boleh mendaftarkan ahli keluarga berusia 12 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi Mysejahtera.

Proses pendaftaran dibuat dengan mengisi nama, hubungan, nombor kad pengenalan, umur, jantina dan alamat semasa, poskod dan negeri.

Aplikasi berkenaan juga membenarkan proses pendaftaran dibuat lebih satu tanggungan pada ruangan ‘tambah tanggungan’ yang tersedia dalam kategori ‘vaksinasi’.

Sebelum ini, MySejahtera membenarkan keluarga mendaftarkan tanggungan berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Pada Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kegunaan golongan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belum dapat janji temu MySejahtera, 1,000 penduduk kampung serbu PPV

LABUAN, 18 JUN: Seramai 1, 000 penduduk dari empat kampung di sini berpusu-pusu ke pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 baharu di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) yang mula beroperasi hari ini.

Majoriti penduduk yang hadir terdiri daripada individu yang telah mendaftar melalui MySejahtera, namun belum menerima janji temu dan tersenarai untuk menerima vaksin secara jumpa terus (walk-in) yang diuruskan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Kampung terlibat dalam pusingan pertama pemberian vaksin hari ini ialah Kampung Pohon Batu, Manikar, Lubok Temiang dan Ganggarak.

“Hanya individu yang namanya disenaraikan oleh ketua kampung atau pengerusi jawatankuasa penduduk akan dibenarkan masuk ke PPV,” kata Pengerusi MPP Mohd Dzulfaizal Abd Manan kepada Bernama di PPV LMC.

Beliau berkata, vaksinasi secara jumpa terus bagi nama yang disenaraikan oleh MPP bermula dari 8 pagi hingga 3 petang, manakala bagi individu lain bermula dari 3 hingga 4 petang.

Pusingan kedua vaksinasi secara jumpa terus esok, melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Lajau, Bukit Kuda, Kerupang dan Pantai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan, kompaun dibatalkan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan tidak perlu dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata, kompaun yang telah dikeluarkan oleh mana-mana penguat kuasa atas kesalahan tersebut, perlu dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (tatacara operasi piawai), yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang memproses ayam dikenakan RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera, ketika memasuki tempat kerja.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid kemudian dipetik sebagai berkata, kompaun tersebut akan dibatalkan.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, walaupun perkara tersebut tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342, rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi tersebut.

Ini kerana beliau berkata, MySejahtera merupakan aplikasi dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.

“Sebagai rakyat kita bukan hanya perlu jujur dalam memberikan maklumat berkaitan diri kita, tetapi juga memegang amanah untuk memastikan setiap maklumat diberikan adalah tepat dan benar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Daftar orang tanggungan terima vaksin Covid-19 dibuka

SHAH ALAM, 19 MAC: Orang ramai kini boleh mendaftar untuk menerima vaksin bagi orang tanggungan melalui aplikasi MySejahtera mulai hari ini.

Kementerian Kesihatan menerusi Facebook memaklumkan tanggungan itu meliputi bapa, ibu, anak (18 dan ke atas) saudara, penjaga atau pembantu di rumah (warga Malaysia).

“Pendaftaran untuk menerima vaksin bagi orang tanggungan melalui aplikasi MySejahtera dibuka bermula hari ini, 19 Mac 2021. Sila kemaskini MySejahtera,” katanya.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan salah satu daripada lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu dengan fasa pertama untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa ketiga untuk penduduk berumur 18 tahun ke atas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir tiga juta daftar suntik vaksin Covid-19, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Seramai 2,990,577 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat jam 8 pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulllah menerusi infografik di Twitter rasmi beliau pagi ini memaklumkan sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Februari lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak 240,630.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara, setakat 6 Mac.

Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima, diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kemas kini MySejahtera untuk dapat vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Orang ramai kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera versi 1.0.28.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya kira-kira pukul 2.43 petang, sekali gus menjadi antara individu terawal dalam negara menerima vaksin itu.

Sebelum mendaftar bagi menerima vaksin, pengguna iOS dan Android perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera terlebih dahulu, dan ikon ‘Covid-19 Vaccination’ yang mengandungi maklumat lengkap mengenai profil peribadi perlu dikemas kini sebelum disahkan.

Setelah maklumat disahkan, pengguna akan diberi beberapa soalan antaranya persetujuan penerimaan vaksin, sejarah penyakit dan sejarah kontak rapat pesakit Covid-19 sebelum permohonan dihantar.

Aplikasi itu turut menyarankan pengguna untuk mengaktifkan notifikasi bagi menerima sebarang info mengenai program vaksinasi yang akan bermula secara berperingkat, dan sekiranya terpilih, mereka perlu mengesahkan persetujuan untuk hadir janji temu.

Pengguna yang terpilih untuk menerima vaksin perlu hadir ke pusat vaksinasi berkenaan dan mengimbas kod QR pusat itu bagi pengesahan kehadiran.

Selepas itu, profil pengguna perlu disahkan mengikut arahan petugas perubatan, dan setelah selesai penerimaan vaksin, pengguna perlu mengimbas kod QR vaksin dan mengesahkan proses apabila diarahkan oleh petugas perubatan.

Sebagai tindakan selepas proses vaksinasi, penerima perlu menghantar maklum balas berkaitan simptom yang dialami dalam aplikasi MySejahtera, dan mereka juga akan menerima sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh disemak dalam menu profil aplikasi.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan salah satu daripada lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian adalah melalui laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Fasa pertama pemberian vaksin dijadualkan bermula hari ini hingga April melibatkan anggota barisan hadapan, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU), sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2020 – untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperolehi sebanyak 66.7 juta dos vaksin Covid-19 iaitu melalui fasiliti COVAX dan lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino dan Gamaleya.

Bagi maklumat lanjut mengenai vaksin, orang ramai boleh melayari www.vaksincovid.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SELangkah perkenal ciri baharu, kini boleh imbas MySejahtera

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor hari ini memperkenalkan empat ciri baharu Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi melindungi keselamatan pengguna susulan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan ciri baharu meliputi imbasan dwisistem, daftar masuk menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS), sejarah imbasan dan paparan buletin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aplikasi yang dilancar pada 5 Mei tahun lalu memudahkan pemantauan orang awam sepanjang pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“SELangkah menjadi penanda aras terbaik bagi kehidupan norma baharu. Ia bukan sekadar sistem penjejakan kontak sahaja, sebaliknya menawarkan kemudahan untuk memastikan pengguna selamat sambil melakukan aktiviti sejak PKP pertama,” katanya.

Beliau yang menerangkan aplikasi itu secara maya menambah SELangkah ketika ini boleh mengesan peta premis terjejas, semakan risiko pendedahan dan trend serta log pengunjung.

Jelas Amirudin, sistem itu turut membangunkan portal saringan komuniti dengan pengguna boleh mendaftar dan mendapatkan keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh dua jam secara digital.

Berikut penerangan lanjut ciri-ciri baharu SELangkah:

• Imbasan dwisistem: Kamera pengimbas aplikasi boleh mengimbas kedua-dua kod QR SELangkah dan MySejahtera

• Tanda/kesan GPS: Daftar masuk menggunakan GPS di telefon tanpa perlu mengimbas kod QR

• Log imbasan kod QR: Pengguna boleh menyemak sejarah pendaftaran masuk mereka

• Paparan buletin: Memaparkan notis pengumuman terkini daripada kerajaan berhubung perkembangan semasa Covid-19