Categories
EKONOMI NASIONAL

37,415 usahawan terpaksa ‘gulung tikar’ akibat pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT – Sebanyak 37,415 usahawan terpaksa ‘gulung tikar’ sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26,007 daripadanya adalah usahawan mikro manakala bakinya 2,738 adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, katanya kementerian menyambut baik keputusan kerajaan untuk menarik semula larangan rentas negeri yang bermula semalam.

“Pengumuman ini merupakan langkah yang terbaik dan peluang kepada rakyat terutamanya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi memulihkan perniagaan mereka dan yang penting meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noh, semua sektor perniagaan terutama sektor informal akan menerima ganjaran pendapatan setelah melalui fasa pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

“Saya telah menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program-program di kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi memastikan segala inisiatif dan pakej-pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan sampai kepada golongan usahawan PMKS yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan, kadar bantuan, geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

“Kumpulan fokus tersebut adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat Covid-19; golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan; golongan asnaf serta usahawan yang menggunakan modal sendiri,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rangka garis panduan fasa endemik, elak kes melonjak

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) merangka garis panduan serta langkah pengendalian wabak yang memasuki fasa endemik hujung bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata panduan merangkumi cabaran mendepani kesihatan awam pada masa hadapan selain melibatkan aspek pasca pandemik.

Beliau memaklumkan cadangan dan pandangan berhubung perkara itu sudah diberikan kepada Kerajaan Negeri serta EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud selain bakal mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak boleh ambil tindakan ketika penularan sahaja. Kita mesti buat persiapan menyeluruh dari aspek struktur, infrastruktur, kapasiti, kakitangan termasuk melihat cabaran andainya berlaku perebakan varian Delta atau virus lain.

“Kena buat semua kerana kita penyumbang KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Jadi Selangor perlu bersiap siaga dalam cabaran epidemik ini,” katanya ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor hari ini.

Sementara itu bekas menteri kesihatan berkata buat pertama kali Selangor mencapai nisbah positif ujian (TPR) seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu perlu kurang daripada lima peratus.

“Kalau tidak silap Selangor catat 4.83 peratus, berbanding negeri lain cecah 18 hingga 20 peratus. Bagimanapun saya tak selesa dengan pencapaian ini kerana sebenarnya lebih rendah. Sekarang ramai gunakan kit saliva (ujian kendiri air liur) jadi mereka yang negatif tidak kemas kini di MySejahtera.

“Saya yakin kalau kita terus patuh SOP (tatacara operasi piawai) kita catat lebih rendah walaupun populasi penduduk tinggi padat. Kita kena rancakkan FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) selain vaksin dan kawasan pengudaraan,” katanya.

Pada 14 September, menteri kanan pertahanan berkata SOP bagi mengawal penularan Covid-19 dikurangkan kepada 10 berbanding 181, yang turut membabitkan kebenaran rentas negeri.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan langkah itu bagi memudahkan orang ramai, golongan industri dan penguat kuasa memahaminya susulan peralihan ke fasa endemik dijangka Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ramai susah akibat pandemik, Khir Rahman anggap tragedi buat anak seni

SHAH ALAM, 2 OKT: Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada penggiat seni terutama kru produksi sehingga ada yang tidak mampu membayar sewa rumah.

Pengarah dan pelakon Khir Rahman berkata kehidupan kru atasan lebih terpelihara daripada sudut kewangan berbanding bawahan yang sekadar cukup makan.

“Kesukaran ini dapat dilihat apabila ada yang terpaksa keluar rumah membawa anak dan isteri kerana tidak mampu membayar sewa.

“Ini adalah tragedi yang mungkin tidak berlaku pada semua tetapi boleh dijadikan contoh untuk bersedia dalam banyak hal,” katanya pada program borak santai di Facebook Media Selangor malam tadi.

Pelakon filem Rock Oo! berkata penularan Covid-19 juga menyebabkan penghasilan sesebuah karya lebih terhad berbanding sebelum ini.

“Nasib baik dunia internet ini jauh, jangkauan pembacaan jauh dengan ilmu boleh dituntut walaupun terkongkong. Kita boleh menghasilkan karya yang baik cuma ada limitasi yang menjadi cabaran,” katanya.

Kerajaan melonggarkan semula tatacara operasi piawai (SOP) dalam semua fasa PPN bagi industri kreatif untuk individu lengkap vaksin mulai 9 September.

Kelonggaran itu memanfaatkan lebih 19,000 syarikat dengan mematuhi syarat berikut:

  • Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung
  • Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kapasiti penonton 30 peratus
  • Penggambaran industri kreatif dalam dan luar studio
  • Busking dalaman
  • Persembahan di lounge hotel
  • Aktiviti panggung wayang dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam
  • Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan kapasiti penonton 30 peratus
  • Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dengan kapasiti pengunjung 30 peratus
Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Wakil rakyat kerajaan, pembangkang senada mahu data kemiskinan disemak

SHAH ALAM, 30 SEPT: Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang senada supaya data kemiskinan negara dikaji semula susulan penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai kehilangan pendapatan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pandemik itu mengubah keadaan dan masyarakat menghadapi tekanan kewangan sehingga ada segelintirnya tidak mampu membeli makanan asas.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan garis kemiskinan negara dikaji semula bagi merangka bantuan dan membantu memulihkan golongan terjejas menerusi latihan kemahiran supaya boleh kembali bekerja.

“Saya juga meminta kerajaan mendaftarkan lima juta pekerja sektor tidak rasmi yang beralih susulan pandemik dan menyediakan skim insurans kepada mereka,” katanya berbahas RMK-12 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Gesaan Charles itu disokong Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin yang menjelaskan data kemiskinan negara tidak lagi relevan pada masa kini.

“Saya setuju dan berharap pandangan rakan saya dari Klang itu diambil kira oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) demi kebaikan bersama.

“Kumpulan B40 yang kita selalu sebut kini sudah berubah menjadi B50 manakala kumpulan M40 pula terjerumus jadi M30,” katanya yang turut mencadangkan gaji minimum dikaji semula.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Bukit Lanjan bantu 10,000 keluarga susah sepanjang pandemik

PETALING JAYA, 25 SEPT: Lebih 10,000 keluarga sekitar Bukit Lanjan yang terkesan akibat Covid-19 dibantu sejak tahun lalu, menurut Ahli Dewan Negerinya.

Elizabeth Wong berkata bantuan bakul makanan dan makanan yang siap dimasak paling banyak diedar pada Jun dan Julai ketika perintah kawalan penuh dikuat kuasa.

“Kedua-dua bulan ini menyaksikan permintaan yang luar biasa di mana kita peruntuk 500 pek makanan setiap minggu kerana waktu berkenaan ramai yang hilang pendapatan.

“Kita juga bekerjasama dengan restoran yang masak dengan percuma dan edarkan 400 bungkus setiap minggu,” katanya ditemui pada program Vaksin Selangor di Dewan Komuniti Damansara Damai hari ini.

Beliau berkata bantuan itu berkurangan sekitar 100 ke 200 pek setelah kerajaan melonggarkan beberapa sektor ekonomi mulai akhir Ogos.

Pada 31 Julai, Elizabeth berkata warga asing yang hilang pendapatan tidak terkecuali daripada menerima bantuan makanan sejak perintah kawalan ketat dikenakan awal Jun lalu.

Beliau berkata permohonan dibuat melalui Facebook, sistem pesanan ringkas dan borang dalam talian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggap Covid-19 sebagai endemik bukan tanda mengalah

PUTRAJAYA, 9 SEPT:  Pendekatan menganggap Covid-19 sebagai satu endemik bukan tanda mengalah terhadap pandemik itu sebaliknya adalah bersifat untuk mengadaptasi diri, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini beliau berkata dengan adanya varian Delta, saintis seluruh di dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.

“Sebab itulah kita (Malaysia) terima hakikat bahawa mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik. Saya sebutkan akhir Oktober (Covid-19) akan dianggap sebagai endemik. Ini banyak bergantung kepada varian dan apa yang akan berlaku dalam dua bulan akan datang.

“Andaian saya adalah dengan kadar vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober kita (Malaysia) boleh mula peralihan kepada peringkat endemik. Bukan pada 31 Okt tiba-tiba endemik sepenuhnya,” kata beliau.

Perkara itu bergantung kepada tingkah laku masyarakat di negara ini dalam tempoh dua bulan ini, kata Khairy yang mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya rasa tidak akan ada negara yang akan menyatakan bahawa penerimaan Covid sebagai endemik adalah mengaku kalah terhadap pandemik,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata proses vaksinasi Covid-19 kepada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan berjalan serentak dengan pembukaan sekolah yang akan bermula 3 Okt ini.

Beliau berkata proses itu juga akan dikendalikan secara berperingkat dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali akan menjadi penyelaras kepada program vaksinasi untuk golongan remaja itu.

— BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

2,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Sungai Kandis

KLANG, 31 OGOS: Sebanyak 2,000 bakul makanan diagih sepanjang tahun ini kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang terjejas akibat pandemik Covid-19 .

Wakil rakyat Mohd Zawawi Mohd Mughni berkata kebanyakan penerima terdiri golongan berpendapatan rendah selain mereka yang hilang sumber pendapatan.

“Bantuan berupa makanan asas seperti beras, minyak, gula dan tepung itu dapat mengelakkan mereka terputus bekalan makanan,” katanya selepas Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Menurutnya beberapa syarikat terkemuka antaranya IOI Corporation Bhd dan GM Klang turut menghulur bantuan kepada penduduk Sungai Kandis menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita alu-alukan syarikat korporat atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk sama-sama membantu bagi menjaga keperluan rakyat ketika pandemik ini,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 setiap DUN bagi menjayakan Program Bakul Makanan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perjuangan memerdekakan negara daripada pandemik tanggungjawab semua

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Selepas hampir dua tahun kita memerangi Covid-19, dan masih belum ada tanda-tanda kita akan dapat “memerdekakan” negara daripada pandemik itu dalam masa terdekat, tidak dapat dinafikan rata-rata masyarakat sudah semakin lelah.

Namun bagi anggota barisan hadapan yang turun “berperang” sejak pandemik dikesan di negara ini pada awal tahun lepas, khususnya petugas kesihatan, ternyata tidak wujud istilah “lelah”, “putus asa” dan yang seumpamanya dalam kamus harian mereka.

Dalam temu bual bersama Bernama bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara, Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur Prem Singh berkata apa yang amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan sekarang ialah kerjasama dan sokongan orang ramai.

“Petugas barisan hadapan dan orang ramai perlu terus bersatu menerusi semangat ‘Keluarga Malaysia’ dan moto ‘kita jaga kita’ bagi mengharungi ujian pandemik ini. Dalam usaha ini, matlamat mencapai imuniti berkelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), perlu menjadi keutamaan agar ujian pandemik ini dapat diharungi secara bersama,” katanya dalam temu bual menerusi panggilan telefon.

Stres antara isu yang menekan warga kesihatan 

Menurut Dr Kuldip Kaur, sejak pandemik dikesan di negara ini, rata-rata petugas kesihatan terpaksa melakukan pengorbanan yang besar, khususnya dari segi masa bersama keluarga, menyebabkan ada yang mengalami tekanan.

“Pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah stres dalam kalangan kami warga kerja hospital, antaranya terpaksa bertugas lebih masa hampir setiap hari, ditambah dengan kurangnya mendapat cuti untuk berehat kerana ketibaan pesakit Covid-19 yang bagaikan tidak berhenti-henti.

“Namun kami tidak boleh cepat mengalah demi membebaskan negara daripada pandemik ini,” katanya.

Bagi menangani masalah stres dalam kalangan petugas hospital itu, beliau berkata Hospital Sungai Buloh mewujudkan program Psychological First Aid (PFA) yang membolehkan petugas berkongsi tekanan melalui sesi luahan perasaan.

“Program ini yang diterajui oleh pakar psikiatri dan pegawai psikologi di sini sememangnya banyak membantu pihak pengurusan hospital, terutama dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap pelbagai aspek termasuk menguruskan situasi stres dan burn out dalam kalangan petugas kesihatan,” jelasnya.

Dr Kuldip Kaur turut berpandangan penghargaan masyarakat umum terhadap komitmen petugas barisan hadapan juga mampu membantu menaikkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan.

“Rakyat Malaysia perlulah sentiasa terus menghargai komitmen dan pengorbanan semua petugas kesihatan dalam membendung penularan wabak Covid-19, kerana pada akhirnya kita ingin menang bersama,” katanya.

Terus bersiap siaga 

Bercakap mengenai pengurusan hospital itu selepas ditukarkan status kepada Full Covid-19 Hospital, Dr Kuldip Kaur berkata beberapa perubahan dilakukan termasuk menubuhkan Unit Pengurusan Katil Hospital bagi mengurus dan mengawal selia pesakit CovidD-19.

Katanya hospital turut menubuhkan unit porter yang berperanan menguruskan pergerakan pesakit.

“Semua skop kerja petugas kesihatan telah disusun semula dan ditambah baik untuk mengendalikan sepenuhnya perawatan semua pesakit Covid-19,” katanya, menambah pasukannya sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang keadaan luar jangka.

Hospital Sungai Buloh merupakan antara beberapa hospital Kementerian Kesihatan yang kini berfungsi merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya.

Berkongsi kepedihan ‘kehilangan’ pesakit

Sementara itu, Pegawai Perubatan Residen di Hospital Pakar Regency Johor Bahru Dr Nagappan N. Sekar ketika berkongsi pengalamannya merawat pesakit Covid-19, berkata hingga kini beliau tidak dapat melupakan satu kes terawal melibatkan pesakit lelaki berusia dalam lingkungan 50-an.

“Ketika kami menerima pesakit yang mempunyai diabetes ini, beliau terpaksa dimasukkan ke ICU akibat masalah sesak nafas disebabkan oleh jangkitan Covid-19. Pesakit tersebut menerima bantuan oksigen, namun keadaannya terus merosot sehingga beliau memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Pada masa itu beliau bersendirian di hospital dan hanya kelihatan beberapa rakannya. Difahamkan ahli keluarganya berada di luar negara ketika itu,” katanya.

Menurut Dr Nagappan, beliau dan pasukannya berusaha memberikan rawatan yang terbaik kepada lelaki itu namun keadaannya semakin merosot dan akhirnya pesakit tersebut meninggal dunia.

“…melihat beliau berjuang melawan penyakit ini juga amatlah sukar bagi kami,” katanya.

“Lebih menyedihkan, keluarganya tidak mempunyai peluang untuk melihatnya secara fizikal dan bersamanya pada waktu-waktu terakhir. Saya dapat memahami betapa hebatnya trauma mental yang terpaksa dilalui keluarga pesakit itu,” tambahnya.

Menjadikan kes itu sebagai peringatan untuk diri sendiri dan masyarakat, Dr Nagappan berkata ahli masyarakat harus terus saling menyokong dan bantu-membantu serta mengelak berfikiran negatif selain berusaha melindungi diri dan orang sekeliling.

“Kita semua berada di barisan terakhir pertahanan negara dan sementara menunggu kehadiran cahaya di hujung terowong, kita masih perlu melalui jalan yang panjang. Oleh itu, kesihatan mental kita sangat penting. Lakukan aktiviti yang boleh menggembirakan anda dan keluarga. Semoga kita semua dapat segera keluar daripada pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Nagappan berkata pandemik tersebut turut membawa hikmah tersendiri, dan menurutnya hikmah terbesar ialah sikap prihatin rakyat Malaysia terserlah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Semua orang saling melihat kebajikan saudara mara dan rakan-rakan mereka. Bantuan terus ditawarkan tanpa jangkaan pulangan. Itulah perkara paling indah yang berlaku kepada kita sebagai sebuah negara. Ini juga selaras amanat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan kita semua bersatu sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

Menurutnya pandemik juga menyaksikan kehadiran pelbagai organisasi menawarkan bantuan kepada yang memerlukan termasuk mewujudkan bank makanan.

Mengakhiri temu bual beliau, Dr Nagappan menggesa semua lapisan masyarakat tampil untuk divaksinasi secepat mungkin serta terus patuh pada prosedur operasi standard sebagai tanda solidariti ke arah memerdekakan negara daripada pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: 73 peratus mahu ubah suai kediaman, pindah akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kira-kira 73 peratus rakyat Malaysia berhasrat mengubah suai kediaman mereka setelah menghabiskan lebih banyak masa di rumah akibat Covid-19, demikian menurut Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru bagi separuh kedua 2021.

Hasil kaji selidik itu mendapati sebanyak 38 peratus responden mahu mengubah suai atau membaik pulih ruang tertentu di kediaman mereka, manakala 35 peratus lagi memikirkan untuk memiliki rumah atau berpindah dari lokasi semasa.

Menurut kajian itu, pandemik Covid-19 telah mempengaruhi tanggapan rakyat Malaysia mengenai ruang kediaman dengan tiga daripada empat orang (77 peratus) orang kini menganggap pentingnya mempunyai ruang tambahan di rumah bagi hartanah baharu untuk dijadikan pejabat.

Peningkatan kemahuan memiliki rumah atau berpindah rumah kepada hartanah yang dapat memenuhi keperluan mereka adalah sangat tinggi terutamanya dalam kalangan penyewa (74 peratus), individu yang tinggal bersama ibu bapa (63 peratus) dan kumpulan berpendapatan rendah (50 peratus).

Menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, Malaysia telah melalui pelbagai bentuk kawalan pergerakan sejak 17 bulan lepas dan masa yang dihabiskan di rumah telah membuatkan banyak pihak menyedari kepentingan dan faedah memiliki ruang peribadi sendiri, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara jarak jauh.

“Kesan pandemik dari segi bagaimana mereka merancang kehidupan di rumah lebih terserlah dalam kalangan anak muda di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang masih tinggal bersama ibu bapa, yang menamakan ‘keperluan terhadap lebih banyak ruang peribadi’ sebagai antara sebab utama mereka ingin membeli rumah baharu,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kajian berkenaan, tiga faktor utama yang dinyatakan mereka yang mahu membeli hartanah adalah untuk tujuan pelaburan (43 peratus), keperluan mempunyai lebih banyak ruang peribadi (26 peratus) dan peluang menggunakan kelebihan kadar faedah rendah yang diberikan pada masa ini (27 peratus).

Menurutnya kadar faedah dan prospek harga yang memberangsangkan serta kepuasan hartanah semasa yang tinggi telah meningkatkan kajian keseluruhan indeks sentimen sebanyak tiga mata daripada 42 pada separuh pertama 2021 kepada 45 pada separuh kedua 2021.

Sebaliknya, sentimen rakyat Malaysia terhadap iklim semasa hartanah merosot tiga mata daripada 35 pada separuh pertama 2021 kepada 32 pada separuh kedua 2021.

“Bagaimanapun, keinginan untuk memiliki rumah tetap kuat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana empat daripada lima orang berhasrat membeli hartanah di Malaysia pada masa hadapan,” kata Fernandez.

Hasil kajian mendapati berbanding separuh pertama 2021, lebih ramai rakyat Malaysia pada masa ini tidak pasti mengenai harga hartanah (56 peratus; meningkat daripada 52 peratus), mengalami kelewatan dalam urus niaga hartanah (51 peratus; naik daripada 42 peratus) dan sukar mendapatkan pinjaman perumahan (46 peratus; naik daripada 43 peratus) pada separuh kedua 2021 akibat pandemik.

Menurut PropertyGuru, pencari rumah di Malaysia turut berkongsi dua kekangan utama untuk mengambil pinjaman perumahan pada separuh kedua 2021 iaitu tidak mampu membayar wang pendahuluan dan pekerjaan atau gaji yang tidak stabil.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah pelepasan hartanah seperti lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga akhir tahun ini, hanya 16 peratus rakyat Malaysia berpendapat usaha kerajaan untuk menjadikan perumahan mampu milik itu adalah memadai.

Rakyat Malaysia juga percaya insentif kewangan daripada pemaju hartanah seperti diskaun atau pulangan tunai (84 peratus), pakej dan skim pembelian (66 peratus), serta baucar atau hadiah (38 peratus) membantu mendorong keputusan untuk membeli rumah pada masa hadapan.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelitup muka tepat lindungi diri lebih baik ketika pandemik

Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA, 18 OGOS: Jadikan pelitup muka sebagai aksesori terkini yang dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang tersayang.

Namun, daripada memilih pelitup muka yang mempunyai corak, logo atau slogan menarik, sebaiknya pilih yang menawarkan perlindungan terbaik agar kita terhindar daripada dijangkiti virus maut Covid-19 walau dalam apa juga persekitaran.

Menurut pakar perubatan, pemilihan pelitup muka yang tepat amat penting memandangkan lebih banyak varian mudah berjangkit sedang menular, termasuk varian Delta yang boleh menjangkiti seseorang dalam tempoh 15 saat sahaja.

Dekan Fakulti Sains Farmasi USCI University Prof Madya Dr Mogana Sundari Rajagopal berkata pelbagai jenis pelitup muka dijual di pasaran termasuk yang diperbuat daripada fabrik dan boleh diguna semula serta pelitup muka perubatan atau pembedahan.

“Setiap negara ada piawaian pensijilan tersendiri bagi setiap pelitup muka. Contohnya, Eropah menggunakan piawaian EN 14683 atau ASTM F2100 bagi pelitup muka perubatan manakala China pula menggunakan piawaian YY 0469.

“Sekalipun piawaian sedikit berbeza, pelitup muka terbabit amnya sama sahaja. Untuk pelitup muka respirator, China menggunakan piawaian KN (contohnya KN95), sementara Amerika Syarikat menggunakan N (contohnya N95),” katanya kepada Bernama.

Bagi mengelakkan terbeli pelitup muka tiruan, Dr Morgana berkata ada beberapa cara untuk mengenal pasti kualiti pelitup muka.

Orang ramai yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan pada 5 Februari 2021. Foto BERNAMA

Pelitup muka dengan penarafan ASTM (Persatuan Amerika untuk Pengujian dan Bahan) atau EN (Piawaian Eropah) memenuhi standard dan keperluan antarabangsa, jelasnya.

Tahap keperluan antarabangsa

Penarafan ASTM merupakan piawaian untuk semakan semula kualiti pelitup muka perubatan. Terdapat tiga pengkelasan untuk piawaian ini dengan Tahap 1 merupakan peringkat minimum yang diperlukan untuk memenuhi piawaian ASTM dan Tahap 3 bagi pengilang yang mahu mengeluarkan pelitup muka.

“Jika piawaian pelitup muka perubatan, pelitup N95 dan lain-lain peralatan perlindungan diri (PPE) gred perubatan sudah lama diwujudkan, piawaian baharu bagi pelitup muka kegunaan harian ini adalah yang pertama dan bertujuan menyediakan penanda aras bagi pengilang dan juga masyarakat umum.

“Pengilang digalakkan mematuhi piawaian ini dan pengguna pula akan berkeyakinan terhadap produk apabila mengetahui pelitup muka tersebut diperakukan.

“Bagaimanapun, sesetengah pengilang pelitup muka mematuhi Piawaian Eropah iaitu EN14683 dan mengkategorikan pelitup muka mereka sebagai Jenis I, II dan Type IIR,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh membaca pada bungkusan untuk mengetahui penarafan produk tersebut sama ada ASTM Tahap 1, 2 atau 3 sebelum membelinya. Bagaimanapun tidak semua pelitup muka bertaraf ASTM.

“Memang berbaloi membeli pelitup muka dengan penarafan ASTM selain memastikan anda menerima perlindungan pada tahap yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata orang ramai sering kali keliru tentang N95 dan pelitup muka bergred perubatan seperti pelitup muka pembedahan. Pelitup muka N95 atau KN95 dikategorikan sebagai respirator.

Dr Morgana memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang menyatakan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada KN95 yang dinilai oleh agensi di bawahnya – Institut Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH AS) – tidak memenuhi syarat yang didakwa pengeluar telah dipatuhi.

“Sebahagian besar pelitup muka KN95 atau N95 yang dikhususkan untuk petugas kesihatan yang ada di pasaran adalah tiruan,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan perlindungan secukupnya daripada virus Covid-19 yang bersaiz kira-kira 0.1 mikron, individu amat disaran menggunakan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi EN Jenis IIR atau ASTM Tahap 3 dengan penapisan yang baik.

Kenal pasti pelitup muka tiruan

Dr Mogana berkata respirator yang diluluskan oleh NIOSH AS sepatutnya mempunyai label kelulusan bermula dengan TC – XXX- XXXX yang boleh disemak melalui laman web http://www.cdc.gov/niosh/nppt/topics/respirators/disp_part/default.html.

Orang ramai mematuhi arahan dengan mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Orang ramai juga boleh mengenal pasti pelitup muka tiruan melalui ketiadaan logo NIOSH bagi respirator, maklumat peruncit yang samar-samar serta harganya terlalu murah.

“Malah, NIOSH tidak meluluskan mana-mana pelitup muka untuk kanak-kanak, justeru sebarang kenyataan mendakwa respirator itu diluluskan untuk kanak-kanak adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata pengeluar pelitup muka perubatan atau pembedahan di Malaysia disyaratkan mempunyai pensijilan ISO 13485 dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

“MDA membantu memantau peranan pengeluar peranti perubatan dan kesemua pengilang terbabit perlu mendaftarkan kilang serta produk mereka.

“Orang awam perlu pastikan pelitup muka dikawal selia menurut piawaian antarabangsa seperti EN atau ASTM oleh badan berwajib seperti SIRIM Berhad, SGS Malaysia dan lain-lain.

“Malangnya, ramai pengeluar dan pengedar tidak berdaftar dan menjual pelitup muka yang tidak dikawal selia dengan baik,” katanya.

Dr Morgana berkata sekalipun sesetengah pengilang mengeluarkan pelitup muka dalam pelbagai warna dan corak, tidak ada pengkodan warna bagi pelitup muka pembedahan.

“Warna atau tulisan atau cetakan pada pelitup muka harus dielakkan sepertimana yang disyorkan oleh kajian. Pewarna harus dipilih berdasarkan piawaian industri yang diterima antarabangsa bagi melindungi kesihatan kita dan persekitaran.

“Justeru, satu konsensus antarabangsa berkaitan warna pelitup muka berasaskan kesannya ke atas kesihatan perlu diselidiki dan ditentukan.

“Sesetengah pewarna adalah toksik dan mempunyai kesan jangka pendek serta panjang ke atas kesihatan manusia, binatang dan tumbuhan,” katanya.

Bagi memilih pelitup muka yang dapat menyediakan perlindungan secukupnya daripada Covid-19, Dr Morgana mengesyorkan pelitup muka yang dikeluarkan oleh syarikat yang mempunyai sijil Sistem Pengurusan Kualiti Peranti Perubatan ISO 13485:2016.

Satu daripadanya ialah Careline Manufacturing Sdn Bhd yang mengkhususkan dalam pembuatan pelitup muka pembedahan dan perubatan untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kesemua produknya diuji dalam makmal oleh SIRIM selain turut berdaftar di bawah Pensijilan Produk SIRIM.

“Satu daripada kriteria pada Careline Face Mask ialah bahan lapisan dalamnya tidak menyebabkan alahan kulit. Bahannya juga mempunyai ciri antikabus.

“Pelitup muka sedemikian adalah mesra pengguna yang mengalami masalah alahan kulit disebabkan pemakaian pelitup muka untuk tempoh yang lama dan mereka yang berkaca mata,” kata Dr Mogana, menambah semua produk Careline termasuk Careline Kids Face Surgical Face Mask mematuhi penarafan ASTM Tahap 3 dan EN Jenis IIR.

Pelitup muka dua lapis cegah jangkitan

Kebelakangan ini, pakar kesihatan mengesyorkan pemakaian dua lapis pelitup muka, iaitu memakai dua helai pelitup muka pada satu-satu masa bagi melindungi orang ramai daripada varian Covid-19 yang lebih agresif serta sangat mudah berjangkit.

Pemakaian dua lapis pelitup muka bermakna memakai pelitup fabrik di atas pelitup muka perubatan yang mana menurut pakar dapat menapis lebih banyak zarah berbanding pemakaian selapis.

Orang awam mematuhi arahan tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA

Prof Madya Dr Kyu Kyu Win, pensyarah mikrobiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UCSI University, berkata gabungan pelitup muka fabrik dan perubatan boleh mengemaskan lagi pemakaian selain meningkatkan kadar penapisan zarah.

“Pakai satu pelitup muka perubatan pakai buang dan di atasnya pelitup muka fabrik bagi memastikan pelitup muka terletak dengan kemas selain memberikan lebih perlindungan. Pelitup fabrik itu juga boleh digabungkan dengan pendakap.

“Simpul dan selitkan gelung telinga pelitup muka tiga lapis di bahagian tepi serta lipat dan selitkan lebihan yang tidak diperlukan di bawah bahagian tepinya.

“Bagaimanapun, pelitup muka perubatan atau pembedahan tidak harus dilapisi oleh pelitup muka jenis sama kerana gabungan ini tidak menambah baik kekemasan pemakaian, manakala N95 pula perlu dipakai begitu sahaja tanpa dilapisi oleh pelitup lain,” katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jangka hayat empat jam bagi pelitup muka pembedahan iaitu perlu diganti selepas dipakai selama empat jam.

Naib Pengarah Pusat Antarabangsa Hospital Universiti Perubatan China Dr Hean Ooi pula berkata pemakaian pelindung muka semata-mata bukan sahaja bertentangan dengan prosedur operasi standard tetapi juga tidak menawarkan perlindungan yang mencukupi.

Pelitup muka perubatan, pembedahan untuk kegunaan harian

Dr Ooi berkata prestasi pelitup muka diuji dengan menilai kecekapan penapisan bakteria (bagi bakteria bersaiz lebih besar daripada tiga mikron), kecekapan penapisan zarah (bagi zarah bersaiz kurang daripada 0.1 mikron) dan sebagainya.

“Covid-19 lazimnya merebak melalui titisan dan saiz virus SARS-CoV-2 (penyebab COVID-19) ialah kira-kira 0.1 mikron,” katanya.

Beliau berkata piawaian pelitup muka pembedahan mempunyai keperluan lebih tinggi bagi memerangkap zarah bersaiz virus (0.1 mikron) pada kadar 98 peratus.

“Bagi respirator seperti N95 dan KN95, ia guna banyak lapisan bahan sintetik untuk melindungi diri anda daripada zarah di luar.

“Seperti nama produk tersebut, kedua-duanya mesti menapis 95 peratus zarah yang bersaiz 0.3 mikron atau lebih besar,” katanya.

Dr Ooi turut menasihati orang awam agar mendapatkan pelitup muka perubatan atau pembedahan yang mematuhi piawaian EN atau ASTM.

“Pelitup muka yang bagus seharusnya dibuat dengan tiga lapisan bukan seperti pelitup muka murah yang hanya mempunyai satu lapisan,” katanya.

Beliau berkata respirator seperti N95 dan KN95 atau KF 94 tidak digalakkan untuk kegunaan harian kerana boleh menyebabkan kesukaran bernafas sekiranya dipakai selama lapan jam sehari.

“Untuk orang awam, CDC dan WHO mengesyorkan mereka memakai pelitup muka perubatan atau pembedahan bagi melindungi diri mereka dan orang lain.

“Justeru, untuk kegunaan harian, pemakaian pelitup muka pembedahan atau perubatan sudah memadai dan boleh melindungi orang ramai daripada dijangkiti,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RiDE diperluas kepada peserta usia 30 hingga 40 tahun

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kerajaan Negeri bersetuju memperluas program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada penunggang p-panggilan berusia 30 hingga 40 tahun.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata keputusan dibuat berikutan ramai penghantar makanan peringkat usia tersebut yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Exco Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman berucap ketika program Sumbangan p-panggilan inisiatif RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Apabila wabak melanda, bukan sahaja belia terlibat dengan isu pekerjaan dan ekonomi malah ramai yang melepasi umur 30 ditimpa kesusahan serta mula menjalankan khidmat penghantaran barang menggunakan motosikal.

“Lalu, saya meminta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor (Mohamad Nizam Marjugi) buat kertas kerja dan mendapat kelulusan supaya individu usia 30 hingga 40 diberi peluang memohon RiDE tahun ini selain belia,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyerahkan bantuan kewangan RM500 kepada kira-kira 600 peserta RiDE di pekarangan Dewan MBSA Seri Pagi, Seksyen 19 di sini semalam.

Permohonan RiDE dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui laman sesawang https://msnselangor.gov.my.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais bantu masjid, pusat tahfiz ‘tenat’ akibat pandemik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang sebanyak RM537,500 bagi menampung keperluan masjid, surau dan pusat tahfiz negeri ini yang terkesan akibat Covid-19.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sebanyak RM337,500 diagihkan kepada 316 masjid dan 322 surau terpilih dengan masing-masing menerima RM500.

Manakala baki RM200,000 disumbangkan kepada 250 pusat tahfiz melalui Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) bagi kos utiliti dan sewa bangunan.

“Sumbangan berbentuk wang tunai ini diberikan menerusi peruntukan baitulmal Mais dengan pembayaran dikreditkan secara berperingkat kepada penerima,” katanya selepas menyerahkan cek cura di Lobi Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Abdul Aziz berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban institusi berkenaan terutama bagi menampung bil utiliti dan keperluan kecil sepanjang tempoh perintah kawalan.

Sementara itu, pengerusi Pitas berkata operasi pusat tahfiz terjejas berikutan ramai ibu bapa tidak mampu membayar yuran dalam tempoh tujuh bulan yang kini mencecah RM8 juta.

“10 daripada pusat tahfiz terpaksa ditutup sementara jadi kita akan guna peruntukan Mais untuk bantu….yuran telah diberi diskaun namun ibu bapa juga terkesan dan kerana itu pusat tahfiz tidak mampu membayar utiliti, gaji guru.

“Sumbangan Mais ini adalah sinar untuk kita tambah kepada yang amat-amat memerlukan,” kata Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz yang memaklumkan Lembaga Zakat Selangor turut membantu pusat tahfiz yang terkesan.