Categories
SELANGOR

Rafizi Kemuka Saksi Wujud Pengundi Hantu Dalam PRU-13

rafizi

PETALING JAYA, 20 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini  mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Kesemua mereka ini mendakwa  nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi.

Menurut Rafizi selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.

“Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square di sini.

Rafizi turut menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.

“Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.

“Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud,” katanya lagi.

Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.

SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.

Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Rafizi menambah, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Menang Parlimen Pandan DUN Chempaka Dan Teratai

pandan menang 01

PANDAN INDAH, 5 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dinobatkan selaku Ahli Parlimen Pandan dengan jumlah undi besar, 48,183 undi menewaskan dua lagi pencabarnya.

Rafizi memperoleh 26,729 undi majoriti dengan calon BN, Gary Lim Chin Yee memperoleh 21,454 undi sementara Allan Tan (Bebas) mendapat 2,415 undi.

Keputusan ini sekaligus merampas kemenangan PRU-12 BN melalui Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008. Rafizi yang ditemui selepas itu melahirkan rasa gembira berhubung kemenangan berkenaan.

“Dari dulu saya dah nyatakan kepada parti kita akan menang Pandan kerana pengundi di sini campurannya 48 peratus Cina 45 peratus Melayu dan 7 peratus India,” katanya.

Beliau menafikan bakal dilabelkan sebagai ‘Ajen Cina’ kerana menang hampir semua tempat mempunyai pengundi Melayu. Sebelum ini Rafizi termasuk di dalam radar ‘mesti ditumpaskan’ Umno-BN selain Nurul Izzah Anwar dan Tony Pua.

Katanya taktik berkenaan nyata silap kerana pengundi kini lebih gemar kepada politik segar dan berjiwa muda.

Penyandang DUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad pula mengekalkan kemenangan dengan menewaskan Muhammad Faizal Sufar (Umno-BN) Iskandar memperolehi 23,117 undi sementara calon BN 13,509 undi.

Secara keseluruhan Iskandar menang dengan majoriti 9,608 undi sementara 432 undi rosak. Beliau yang ditemui melahirkan rasa gembira dan tidak menyangka menang dengan majoriti besar.

“Saya melihat kali ini adalah kebangkitan rakyat. Kita jangkakan majoriti adalah 5,000 tetapi hari ini hampir 10,000.

“Kebangkitan bukan dari orang Cina seperti yang dijangka tetapi keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat menerajui negeri.

Sementara itu, Adun baru DUN Teratai, Tiew Way Keng berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan selepas menang di sini. Way Keng menang dengan 23,578 undi sementara calon BN, Liew Pok Boon mendapat 9,932.

pandan menang 02

“Ini adalah permulaan. Masa hadapan saya kena bekerja kuat untuk memenuhi permintaan penduduk Teratai.

“Sesungguhnya saya percaya Teratai boleh jadi tempat yang mampan, hijau dan sesuai diduduki oleh semua pihak,” katanya.

Secara keseluruhan di Parlimen Pandan, Pakatan Rakyat menang semua kerusi termasuk dua kerusi DUN yang dipertandingkan.

Semua nama calon yang menang diumumkan Pegawai Pengurus SPR, Abdul Halim Hussain.

Dianggarkan hampir 2,500 orang penyokong hadir pada bagi mendengar pengumuman rasmi yang berlangsung di Dewan Perbandaran Ampang Jaya.

Berikut adalah keputusan rasmi PRU-13:

1) Parlimen Pandan

Rafizi Ramli (PKR) – 48,183

Gary Lim (BN) – 21,454

Allan Tan (Bebas) – 2,415

Majoriti – 26,729

Undi Rosak – 1,022

2) DUN Chempaka

Iskandar Abdul Samad (PAS) – 23,117

Muhammad Faizal Sufar (BN) – 13,509

Majoriti – 9608

Undi Rosak – 432

3) Dun Teratai

Tan Way Keng (DAP) – 23,578

Liew Pok Boon (BN) – 9,932

Jenice Lee (BEBAS) – 1,832

Lim Ah Chai (BEBAS) – 61

Chin Kok Keong (BEBAS) – 115

Majoriti – 13,646

Undi Rosak – 501

Categories
NASIONAL

Anwar: Manifesto PR Pro Rakyat, BN Pro Kroni

Anwar-2

KUALA LUMPUR 18 APRIL : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Pakatan Rakyat (PR) menggunakan pendekatan populis sekaligus menjadikan sebuah manifesto pro-rakyat.

“Manifesto yang bersifat populis itu adalah pro-rakyat, sebelum ini dah lama pro-kroni.

“Mengapa bila pro-Syed Mokhtar, pro-Ananda Krishnan boleh,” kata beliau sambil merujuk slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor yang  dianggapnya sebagai pendekatan pro-rakyat dan wajar dicontohi.

Anwar berkata demikian dalam program yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dalam program Memanisfestasikan Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama anjuran Bersih.

Anwar-1

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata manifesto PR boleh dilaksanakan dengan kesungguhan PR memerangi rasuah, pembaziran dan ketirisan.

Justeru, menurut beliau, PR akan mempraktikkan ‘kosong tolenrasi’ kepada mana-mana pemimpin yang didapati rasuah termasuk pemimpin PR sendiri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Tindakan BN memplagiat manifesto PR turut menerima sindiran apabila Rafizi mendakwa manifesto BN seolah-olah ‘macam pernah tengok’ sebelum ini.

Sebelum itu, ketika ketibaan Anwar mendapat sambutan hangat daripada kira-kira lebih 1,000 hadirin tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi  gagal  bersemuka dengan Anwar dalam program seumpama ini.

Najib sebelum ini beberapa kali menolak jemputan debat bersama Anwar dengan alasan debat bukanlah budaya di negara ini.

Pengacara majlis ketika mengumumkan ketidakhadiran Najib dengan nada kecewa mempersoalkan adakah berbual juga akan dianggap bukan budaya masyarakat negara ini.

Anwar-3

Categories
NASIONAL

Rafizi: Subsidi RM6.8 Bilion Untuk Turunkan Harga Minyak Lebih Berbaloi Daripada Subsidi RM8 Bilion Untuk IPP

Manifesto PR 2013PETALING JAYA 8 APR: Subsidi RM 6.8 bilion bagi penurunan harga minyak sebanyak RM 0.50 sen yang dijanjikan Pakatan Rakat (PR) adalah lebih berbaloi berbanding subsidi RM 8 bilion yang diberikan Kerajaan Umno-BN kepada syarikat pembekal penjana bebas (IPP) yang dimiliki kroni.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sehingga kini kerajaan menanggung subsidi tahunan sebanyak RM 35 bilion dan RM 8 bilion daripadanya diberikan kepada IPP.

Katanya, adalah lebih baik subsidi tersebut diberikan kepada rakyat untuk penurunan harga minyak kerana IPP telah membuktikan subsidi yang diberikan kerajaan tidak sampai kepada rakyat.

“IPP telah membuktikan subsidi itu tidak sampai kepada rakyat, kerana subsidi itu tersangkut.

“Jadi bezanya, PR tekad untuk berlawan dengan kroni-kroni, kita akan buat semula perjanjian yang sebelum ini tidak adil kepada rakyat, dan kita akan lawan mereka.

“Jika kita perlu duduk berbincang dengan mereka, kita buat. Jika kita perlu bawa mereka ke mahkamah, kita buat,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, hari ini.

Katanya, manifesto BN tidak menunjukkan sebarang usaha untuk menghapuskan rasuah dan monopoli syarikat kroni yang hanya membebankan rakyat.

“PR mencadangkan reformasi meyeluruh untuk menghapuskan monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan berbanding BN yang menawarkan RM 100 sebulan.?

Dalam manifestonya, Kerajaan Umno-BN menawarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia sebanyak RM 1,200 setahun untuk setiap keluarga atau bersamaan RM 100 sebulan.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Manifesto BN Tidak Konkrit, Akui Keberkesanan Manifesto PR

rafizi pc white stripes 01

PETALING JAYA 8 APR: Manifesto Umno-BN bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak ada sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbanding Manifesto Pakatan Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sebagai contoh, Umno-BN berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM 1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru tetapi tidak dinyatakan bagaimana ia mahu dilaksanakan.

Berbanding dengan Manifesto PR yang jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran untuk mengambil alih satu juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing.

“Semakan ke atas keseluruhan Manifesto BN menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji BN,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di sini hari ini.

Rafizi menambah BN bukan sahaja meniru idea PR untuk menurunkan harga kereta tetapi tidak pula menyatakan secara khusus bila ia akan dilaksanakan.

“PR berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh lima tahun.

“Berbanding BN yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya,” ujarnya lagi.

Rafizi berkata, PR berjanji untuk menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan BN yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya.

Katanya, Manifesto BN adalah kesilapan terbesar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana terpaksa memasukkan dasar yang dijanjikan Pakatan.

“Kalau dulu kamu (BN) kata akan membangkrupkan negara, kenapa sekarang kamu (BN) masukkan dalam manifesto. Akhirnya kamu akur terhadap apa yang telah dijanjikan PR lebih awal,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Serah Bukti Rasuah Konsensi Balak Sabah Kepada ICAC Hong Kong

PETALING JAYA, 11 DIS: PKR menghantar satu delegasi ke Hong Kong dalam usaha membuka semula siasatan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) terhadap tuduhan rasuah yang didakwa melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Delegasi itu yang diketuai Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan membawa bukti-bukti transaksi wang dari syarikat yang mendapat konsesi balak Sabah kepada akaun milik ahli perniagaan, Michael Chia.

Rafizi menunjukkan salinan slip pemindahan wang yang beliau mendakwa adalah bayaran deposit bagi syarikat yang medapat konsensi balak.

Antara syarikat yang mendapat konsesi balak dari Kerajaan Negeri Sabah dan membuat bayaran bernilai jutaan ringgit kepada Michael, termasuklah Ever Fame Enterprise Limited, Borion Enterprise Limited dan Wayco Enterprise Limited.

?Kewujudan akaun yang dimiliki Michael dan pemindahan wang oleh pemegang konsensi mengesahkan bahawa Michael bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip wang hasil dari konsensi balak yang dikeluarkan kerajaan Sabah,? kata Rafizi.

Transaksi tersebut melibatkan akaun Bank UBS di Hong Kong dan akaun Shahghai Banking (HSBC) di Singapura.

Rafizi mendakwa mempunyai bukti pemindahan wang dengan jumlah berbeza di mana amaun tertinggi yang dicatatkan bernilai USD 1,727,928.33 (RM 5,290,210.18) pada 18 September 2007, manakala lainnya sekitar USD 100,000 (RM 306,011.81) hingga USD 700,000 (RM 2,141,736.33).

Rafizi turut menunjukkan kepada media transaksi bernilai AU $2,350 (RM 7,537.51) ke akaun anak Musa, Mohammed Hayssam di Australia oleh Zenique Investment Ltd.

Pada 2008, Michael Chia ditangkap di Lapangan Terbang Hong Kong disyaki cuba menyeludup keluar wang haram berjumlah S$16 juta (RM 40 juta).

Menurut laporan media ketika itu, Michael mendakwa wang tersebut milik Musa.

Bagaimanapun ICAC menerusi kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros, berkata ICAC tidak meneruskan siasatan terhadap wang ini kerana gagal mendapatkan kerjasama dari pihak berkuasa Malaysia untuk mengumpul maklumat dan bukti.

Pada Oktober lepas, Menteri Di Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata wang tersebut adalah sebagai sumbangan kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Nazri Perlu Bercuti Hingga Selesai Di Siasat SPRM

PETALING JAYA, 2 NOV – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz bercuti buat sementara waktu dari jawatannya sementara menunggu sisatan SPRM berhubung dakwaan keluarganya mendapat habuan dari ahli perniagaan, Michael Chia.

Saranan ini dibuat Rafizi ekoran Nazri Aziz lantang mengkritik Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang pernah dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan menyaksikan penglibatan keluarganya.

“Mengambil kira pendekatan yang telahpun diambil oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bila berdepan dengan seorang menteri yang dituduh di dalam rasuah yang melibatkan keluarga beliau seperti mana kes NFC dan Datuk Seri Shahrizat Jalil, maka wajarlah Datuk Seri Nazri Aziz bercuti dari jawatan beliau sementara menunggu siasatan dijalankan untuk membersihkan nama beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Rafizi juga turut merujuk Akta SPRM 2009 Bahagian IV, (Kesalahan dan Penalti) kesalahan menerima rasuah yang menakrifkan pelakuan rasuah mengikut Seksyen 16(a) dan 16(B).

Seksyen 16(a) menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati orang lain.

Seksyen 16(B) menguatkan lagi dakwaan yang didedahkan PKR dengan menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun tiada suapan sebenar yang diterima.

Kenyataan Rafizi tersebut ekoran pendedahan beliau berhubung dakwaan penggunaan kereta mewah Hummer dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Michael Chia oleh Nedim Nazri Aziz dan keluarganya.

Ahli perniagaan Michael Chia telah didakwa dikaitkan dengan  dengan pendedahan mengenai wang berjumlah RM40 juta yang dipercayai mempunyai kaitan ‘rapat’ dan ‘mempunyai hubungan baik’dengan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Umno Sabah.

Menurut Rafizi lagi, beliau menyambut baik reaksi pantas yang dibuat Nazri meskipun banyak menghamburkan kata nista terhadapnya yang bersifat peribadi.

Beliau yang sebelum ini seorang akauntan berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan peribadi dengan sesiapa sebaliknya memberikan fokus kepada persoalan rasuah dan salahguna kuasa yang mungkin berlaku.

Sehubungan itu, PKR akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegaha Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin hadapan pada jam 3 petang.

Sebelum ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang turut menggesa kerajaan agar sebuah suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyeludupan dana asing oleh Umno, terutamanya berhubung “sumbangan politik” RM40 juta yang juga dikaitkan dengan Michael Chia.

Categories
NASIONAL

Rafizi Dibebas Dengan Ikat Jamin RM15,000

SHAH ALAM 1 OGOS: Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan NFC.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Awal pagi tadi, Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Johari Muhamad yang turut ditahan bersama Rafizi merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

Sehubungan itu, satu dana sumbangan untuk membantu kos ikat jamin dan guaman kedua-dua mereka dilancarkan serta merta.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun:

Oversight & Whistleblower Sdn Bhd
MAYBANK 562441603039

Rafizi sebelum ini disiasat mengikut Bafia kerana mendedahkan butiran penyelewengan perbankan National Feedlot Corporation (NFC) yang dikendalikan oleh suami dan anak kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dakwaan ini mengaitkan keluarga Shahrizat dengan menyalah guna dana berjumlah RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot.