Categories
SELANGOR

MB: Bangunkan Selangor sebagai negeri penyayang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Seluruh rakyat sentiasa diberikan pembelaan dan perhatian dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan kebajikan supaya tiada mana-mana kaum atau golongan merasa tersisih.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha ini selaras dengan hasrat beliau mahu membangunkan Selangor sebagai negeri penyayang.

“Selangor ini maju tetapi sebagai Menteri Besar saya mahu tegaskan saya bukan sahaja mahu Selangor maju dalam bidang industri sahaja, saya bukan mahu Selangor maju dalam bidang kewangan sahaja tetapi saya mahu bangunkan Negeri Selangor sebagai negeri penyayang.

“Kita sayang orang India, Melayu, Cina dan kita sayang rakyat Selangor dan rakyat Malaysia, boleh?,” katanya di hadapan lebih seribu penganut Hindu yang hadir ke Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar di sini, malam tadi.

Jelasnya, sebagai negeri penyayang Kerajaan Negeri bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk masyarakat India di negeri itu.

Katanya, beliau juga mahu supaya masyarakat India mendapat tempat dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sosial supaya golongan itu dapat hidup sebagai rakyat Selangor yang merdeka dan bermaruah.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Selangor dan saya sebagai seorang Melayu – Islam tetapi saya beri jaminan orang India beragama Hindu akan tetap kami jaga hak mereka untuk mengamalkan agama masing-masing dan budaya orang India dengan aman dan sejahtera di dalam Negeri Selangor ini.

“Selangor adalah negeri kita. Negeri Selangor adalah untuk rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Rakyat makin terbeban, masih ramai miskin

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya usaha kerajaan pimpinannya mula menampakkan hasil dalam merungkai kesengsaraan rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, realitinya rakyat semakin terbeban dan masih ramai yang hidup dalam kemiskinan.

“Walaupun median pendapatan bulanan isi rumah RM4,585 pada 2014 meningkat kepada RM5,228 pada 2016 dengan kadar pertumbuhan pertumbuhan 6.6 peratus setahun pada nilai nominal, namun ia bukan ukuran untuk kerajaan ‘berkokok’ bahawa kehidupan rakyat sudah selesa serta lepas daripada kesengsaraan.

“Bagaimana pula dengan kenaikkan harga barang yang menyusahkan rakyat dan tidak selari dengan pendapatan mereka?

“Kenaikan harga bahan api misalnya mengakibat kos pengangkutan meningkat, membentuk pula kesan berantai kepada kenaikan beberapa kos sara hidup lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Najib berkata usaha kerajaan kini mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Mengambil contoh Indeks Harga Pengguna (CPI), Adun Bandar itu berkata, bagi bulan Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 pada paras 4.5 peratus kerana peningkatan mendadak kos barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan.

“Ini jelas memberikan kesan buruk kepada rakyat. Apakah kerajaan fikirkan perkara ini?

”Bukan itu sahaja, peningkatan kadar inflasi juga memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat yang mencatatkan rekod sejak krisis kewangan dunia sedekad lalu.

”Bahkan, Malaysia telah merekodkan kadar inflasi sebanyak 4.3 peratus setahun pada September, yang tertinggi sejak bulan Mac akibat peningkatan kos pengangkutan dan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol,” katanya.

Katanya, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga langsung tidak membantu meringankan beban rakyat, sebaliknya menambah beban termasuk menambahkan lagi jumlah miskin bandar.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak membantu menampung hidup rakyat kerana ia hanya pemberian ‘one-off’ yang bersifat sementara.

”Berhentilah Najib daripada memperbodohkan rakyat, rakyat sudah buka mata dan bijak menilai,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM2.6 bilion di Selangor untuk seluruh rakyat, bukan ‘makan seorang’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Sehingga 31 Julai 2017, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM2.6 bilion yang diagihkan kepada seluruh rakyat negeri itu yang menyertai 47 skim di dalam program Inisitif Peduli Rakyat (IPR).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, isu membolot RM2.6 bilion untuk diri sendiri sama sekali tidak berlaku di Selangor.

“Kalau kita lihat ada 47 program IPR di mana sehingga 31 Julai 2017 lebih RM2.6 bilion dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk rakyat seluruh Selangor yang memerlukan di mana RM2.6 bilion itu bukan hanya untuk seorang tetapi untuk seluruh rakyat negeri Selangor.

“Ini adalah jumlah yang cukup besar tetapi saya dapati misalnya dalam program Perkahwinan Perdana di mana ada lagi pasangan yang tidak tahu inisiatif perkahwinan untuk belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha menyampaikan maklumat mengenai inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat khususnya di desa-desa termasuk melalui program Karnival Kampungku Kesayangan (3K).

Katanya, sebelum ini beliau mendapati sebahagian masyarakat di luar bandar masih tidak menyertai program IPR ekoran kurang mendapat maklumat berhubung skim itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rakyat mahukan pembelaan bukan politik tak bernilai, maki hamun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Rakyat semakin mual dengan tindakan sesetengah pihak yang mengamalkan politik tidak bernilai, maki hamun dan mencetuskan ketegangan di dalam masyarakat demi memastikan kelangsungan politik mereka.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sedangkan rakyat hari ini sedang tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Kita sedang berlumba membuat kebaikan seperti diperintahkan Allah, bukan berlumba-lumba untuk memfitnah, bukan berlumba untuk budaya samseng dan rakyat hari ini tidak berminat dengan politik tidak bernilai, maki hamun dengan mencetuskan ketegangan sedangkan rakyat di bawah sedang susah.

“Rakyat sedang memerlukan pembelaan dan saya berdiri di sini bersama pimpinan berikrar kepada tuan-tuan, tanggungjawab yang sedang kami galas ini kami akan laksanakan dengan jujur, ikhlas dan berintegriti demi mengangkat martabat umat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelasnya, usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat menerusi pelbagai program cuba ditenggelamkan oleh media kawalan kerajaan Umno-BN dengan memaparkan pelbagai fitnah yang memburukkan Kerajaan Negeri.

“Pembohongan dan fitnah seperti ini tidak akan kekal kerana saya dan kepimpinan akan turun ke bawah memastikan setiap kampung dan desa juga menikmati kekayaan hasil negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Perpaduan kaum, tiang seri Kerajaan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendukung sepenuhnya pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia seiring penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

“Pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, pendirian tegas itu menuntut prinsip toleransi, kesederahaan dan keharmonian yang akan menjadi tiang seri Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak ‘gutter politics’, budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu menyeru imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari dengan tindakan keterlaluan serta boleh memisahkan rakyat.

Perkara itu disampaikan Penyimpan Mohon Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berhubung kebimbangan terhadap isu keharmonian dan perpaduan antara kaum negara kini.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Team Selangor realisasi pembangunan komuniti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas bagi merealisasikan program pembangunan komuniti yang diterajui Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana penubuhan Team Selangor dilihat mempunyai komitmen jitu yang berpegang kepada nilai dan idealisme iaitu asas kepada sesebuah negara.

Katanya, penubuhan program itu dirangka secara dasar untuk menyuntik nilai kenegaraan dan pemerkasaan komuniti dalam kalangan Gen Y.

“Kerajaan Negeri percaya masa depan negara bukan terletak di tangan pemimpin lama tetapi anak muda.

IMG_20170818_224010“Bagi merealisasikan matlamat Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri, kita bertanggungjawab memupuk semangat sayangi negeri dan melahirkan masyarakat peduli juga berdaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan penyertaan Team Selangor yang mencecah 3,000 orang sejak ditubuhkan, Januari lalu.

“Saya bangga anak muda di Selangor mampu wujudkan satu kumpulan sukarelawan yang sanggup turun ke bawah menyantuni rakyat, fahami denyutan dan aspirasi rakyat, hari ini.

“Kumpulan sukarelawan ini bukti tidak selesa dengan kebobrokan dalam negara ketika ini. Anak muda pada hari ini perlu berpegang kepada idealisme bukan usia yang menjadi penghalang,” katanya.

Beliau menggesa anak muda di negeri itu supaya menanam semangat membawa perubahan serta mempunyai prinsip dan idealisme tinggi.

“Kita mahu anak muda yang menjurus kepada tindakan. Lihat seperti anak muda di Perancis, gerakan itu menjurus kepada tindakan sehingga tokoh muda diangkat menjadi Presiden.

“Melihat kepada sambutan penyertaan, semangat ini dapat membawa negara ke arah lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berharap Team Selangor mampu mencapai sasaran penyertaan iaitu sebanyak 20,000 orang.

Categories
NASIONAL

Najib perlu henti politik takutkan rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menghentikan politik yang menakutkan rakyat, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemimpin nombor satu negara itu seharusnya melihat negeri yang diambil alih pembangkang diuruskan dengan lebih baik.

“Baru-baru ini, ada seorang dalam negara menyatakan perubahan tidak semestinya membawa kebaikan. Inilah politik yang menakutkan rakyat.

IMG_20170818_224010“Saya hendak menjawab. Wahai Najib, lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Perubahan adalah perkara yang sangat baik untuk rakyat kerana mereka semakin matang.

“Jangan sesekali takutkan mereka. Malah, negeri yang diberi sokongan rakyat ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan serta diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor, di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini menjalankan tanggungjawab dengan telus bukan sekadar mahu mendapatkan ‘habuan’.

“Jika sebelum ini tanah di Selangor diberikan kepada pemimpin politik dan setiap ketua bahagian sekurang-kurangnya 50 ekar.

“Namun, saya beri jaminan sejak 2008, tidak ada seinci tanah pun kita bagi pimpinan politik. Ini adalah satu perubahan besar, bahkan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menandatangani borang isytihar kepentingan sebelum mesyuarat bermula bagi memastikan semua pihak tidak mempunyai kepentingan sebelum kertas dibentang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Persekutuan tambah derita rakyat mulai 1 Julai

SHAH ALAM, 19 JUN: Lebih 60 jenis barangan makanan akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), bermula 1 Julai ini.

Ia disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy yang dipetik akhbar The Star dan kenyataan penuh akan dikeluarkan, hari ini.

“Ia hanya beberapa barangan yang jarang digunakan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, akhbar China Press melaporkan antara barangan berkenaan termasuk makanan laut tertentu, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi.

GSTBarangan baru yang akan dikenakan GST itu termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri.

Sementara itu, sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis juga akan dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.

Barangan lain termasuk bihun, kuey teow, laksa, mee dan minyak kelapa.

Kerajaan mula memperkenalkan GST pada April 2015 dalam bentuk cukai enam peratus ke atas barangan dan perkhidmatan.

Untuk senarai lengkap barangan dan perkhidmatan berkadar sifar, lawatan gst.customs.gov.my atau www.federalgazette.agc.gov.my.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kita perlu jadi contoh rakyat

OLEH DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA

Saya menyokong kenyataan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar bahawa penyebab utama berlakunya rasuah dalam negara ini adalah kerana ketiadaan integriti.

Malah cadangan untuk menyeru kepada rakyat agar memilih wakil rakyat yang bersih daripada rasuah pada pilihanraya juga sangat terpuji. Beliau juga ada menambah agar semua calon atau wakil rakyat atau posisi-posisi yang memegang dana/kuasa rakyat untuk membuat deklarasi harta secara berkala.

Sebagai seorang Ahli Parlimen Parit Buntar saya telah mengistiharkan harta saya kepada awam sepertimana yang telah dicadangkan oleh beliau, malah sahabat-sahabat saya seperti Rafizi Ramli, Lim Guan Eng dan lain-lain turut melakukan langkah yang sama.

Saya percaya ramai yang melihat bahawa politik adalah suatu yang kotor, maka usaha untuk menjernihkan persepsi itu perlu dibuat dan ia perlu bermula dari ahli politik itu sendiri.

Saya menyeru agar semua rakan-rakan saya yang turut berada dalam arena politik ini untuk menjadi contoh yang terbaik dalam berbakti kepada rakyat disamping memelihara akhlak dan maruah sebagai rakyat Malaysia.

# Dato’ Dr Muhajid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Parit Buntar

Categories
KENYATAAN MEDIA

KPDNKK jangan lepas tangan, rakyat semakin terbeban

OLEH G MANIVANAN

Sememangnya berulangkali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan bahawa kementerian itu hanya mengawal harga bagi enam barangan keperluan sahaja.

Tetapi apa yang berlaku sekarang, kenaikan harga barangan keperluan lain dilihat mendadak sehingga ada yang tidak masuk akal harganya. Takkan KPDNKK hendak membiarkan begitu sahaja?

Tidakkah kerajaan Umno-BN seharusnya bertanggungjawab dengan adanya pelbagai Akta seperti Akta Antipencatutan dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

KPDNKK sepatutnya memikirkan permasalahan rakyat, terutama bagi barangan keperluan harian dan makanan. Kerajaan Umno-BN hendaklah memastikan barang-barang ini tidak boleh naik dengan sewenang-wenangnya.

Takkan hendak tunggu pada musim perayaan sahaja untuk mengawal harga barang dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga?

Melihat kepada trend terkini, kita tidak perlu menunggu ahli ekonomi untuk menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia. Rakyat sendiri sebenarnya boleh merasai keperitan ekonomi dengan terpalit skandal 1MDB.

Adakah nanti rakyat akan dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik seperti ‘kalau harga gula naik, jangan makan gula nanti kena diabetis’, ‘kalau minyak masak naik, jangan makan makanan bergoreng’ dan sebagainya. Begitulah alasan demi alasan yang pentadbiran Umno-BN bagi untuk menjustifikasikan ketidakcekapannya.

Ini ditambah pula dengan faktor kelemahan berterusan nilai ringgit. Walaupun rakyat berbelanja tetapi duit Malaysia sekarang tidak ubah seperti ‘duit Jepun zaman perang’ dahulu.

Tahun 2017 amat mencabar bagi rakyat Malaysia apabila terpaksa berhadapan dengan ringgit yang lemah dan harga makanan yang semakin mahal.

Salam Reformasi

#G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor: Rakyat kecapi nikmat pembangunan seluruh negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Rakyat Selangor akan mengecapi nikmat pembangunan yang melebar ke serata negeri menerusi Belanjawan Negeri 2017.

RAKYAT SELANGORDYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, hal itu bertepatan dengan konsep Selangor sebagai negeri pembangunan.

Baginda turut berkenan Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan Belanjawan 2017 berjumlah RM3.45 bilion yang juga peruntukan terbesar pernah tercatat sebelum ini.

“Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengambil langkah bijak dan berani dengan meningkatkan peruntukan pembangunan kepada 52.2 peratus.

“Beta mengalu-alukan peningkatan peruntukan pembangunan dari tahun ke tahun. Peruntukan pembangunan pada tahun 2015 sebanyak RM1.13 bilion ditingkatkan kepada RM1.8 bilion, pada tahun 2017,” titah baginda di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke Lima Dewan Negeri Selangor yang ke 13, di Bangunan Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda bertitah Unit Perancang Ekonomi Negeri bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran dan semua pihak berkuasa tempatan perlu memikul tanggungjawab besar bagi memastikan projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

Titah baginda, ia bagi memastikan pembangunan terancang dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi Selangor.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tradisi diteruskan, MB dan Exco santuni masyarakat luar bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 3 FEB: Sudah menjadi kelaziman buat pentadbiran Kerajaan Negeri yang terus komited turun padang mendekati rakyat melangkaui perbezaan kawasan bandar dan luar bandar.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi dan Zaidy Abdul Talib mendekati masyarakat di sekitar daerah Kuala Langat.

MB Kuala Langat (8)Mengambil kira kepedulian dan kebajikan rakyat, Dato’ Menteri Besar mendengar setiap keluhan rakyat di daerah Kuala Langat yang terkesan akibat pelaksanaan dasar Kerajaan Persekutuan yang menekan ekonomi rakyat kebiasaan.

Sikap peduli rakyat pimpinan Kerajaan Negeri dizahirkan menerusi Program Turun Padang Dato’ Menteri Besar meliputi lawatan sekitar Kampung Sungai Lang dan daerah sekitarnya.

Tidak terhenti setakat itu, Dato’ Menteri Besar mengambil peluang menunaikan solat Jumaat bersama penduduk tempatan selain turut meraikan penduduk pada Majlis Jamuan Rakyat bersama Qariah Masjid Al Ikhsan Sungai Lang.

Sebelumnya, Mohamed Azmin turut menyantuni masyarakat melalui penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat kepada penduduk berkelayakan.

Ia termasuk penyerahan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), bantuan Program Insentif Perkahwinan Belia Negeri, bantuan ‘Food Stem’, baucer Hijrah serta penyampaian bantuan nelayan dan usahawan.

-NFN-