Categories
NASIONAL

Malaysia gesa anggota D-8 bantu pelarian Rohingya

ISTANBUL, 20 OKT: Malaysia menggesa Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) membantu etnik Rohingya, di Wilayah Rakhine yang menderita ekoran tidak mendapat keadilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, negara anggota D-8 perlu membantu etnik itu untuk meringankan keadaan sosioekonomi mereka yang menyedihkan.

“Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine sudah mengeluarkan Laporan Terakhir mengenal pasti aspek pembangunan sosial dan ekonomi dalam krisis Rohingya.

“Kami percaya pelaksanaan syor dikemukakan dalam laporan itu akan memperbaiki keadaan sosioekonomi mereka.

“Bagaimanapun, ia hanya boleh dilaksanakan jika ada kestabilan politik kerana saling berkait, yang kemudian itu adalah prasyarat untuk pembangunan sosioekonomi,” katanya semasa menyampaikan ucapannya pada Sidang Ke-17 Majlis Menteri-Menteri D-8, di sini, semalam.

Beliau berkata, satu kaedah segera untuk membantu etnik Rohingya adalah dengan Kerajaan Myanmar memberikan akses terhadap bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

“Dalam hal ini, Malaysia memuji Bangladesh kerana memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya,” katanya.

Ditubuhkan pada 15 Jun, 1997, Kumpulan D-8 adalah sebuah organisasi untuk kerjasama pembangunan terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia.

Semenjak keganasan meletus, pada 25 Ogos lalu, lebih daripada 400,000 etnik Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan menyeberang sempadan ke Bangladesh.

Malaysia juga menghantar bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang kini berlindung di kem pelarian di Bangladesh.

*Sumber: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hospital Rohingya boleh buat, hospital rakyat diabaikan?

 

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengumumkan Malaysia akan membina hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya di Bangladesh.

1. Tindakan murni oleh kerajaan itu boleh dipuji tetapi rakyat di negara sendiri perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Apa yang mengecewakan saya, di Malaysia sendiri masih lagi banyak hospital yang diperlukan dan dijanjikan sejak sekian lama terutama di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak yang sehingga hari ini masih tiada sebarang projek kelihatan.

Sebagai contoh di Pendang Kedah, Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2016 telah menyenaraikan Hospital Daerah Pendang untuk pembinaan, malangnya sehingga hari ini, perkara yang pernah dijanjikan oleh kerajaan Umno BN itu masih belum menjadi kenyataan.

Untuk pengetahuan, hospital Pendang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan keluasan 16.8 hektar tetapi ditunda kepada RMK-10 atas sebab tertentu dan sehingga sekarang Hospital Pendang belum dilaksanakan setelah kerajaan memutuskan untuk membina dalam RMK-11.

Sebaliknya, Zahid menyatakan hospital medan itu akan dibina dalam tempoh sebulan sebaik mendapat kelulusan daripada kerajaan Bangladesh. Bagaimana dengan nasib hospital-hospital yang sedang ‘sakit’ di negara ini?

2. Sejak dahulu lagi, banyak rungutan yang diterima khususnya hospital di luar bandar yang kekurangan wad dan katil pesakit sehingga terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih jauh dari tempat tinggal mereka.

3. Saya turut berasa hairan pada masa negara kita mengutip pelbagai cukai daripada rakyat, namun masih banyak lagi tempat di negara ini tiada kemudahan asas yang diperlukan, selain ekonomi negara sendiri dalam keadaan tenat sehingga rakyat sekarang terpaksa membeli ubat di luar ekoran bekalan di hospital telah dicatu.

4. Justeru, atas faktor mengambil kira bilangan penduduk, beban dan kompleksiti penyakit, selain peningkatan fasiliti kesihatan serta perkhidmatan kesihatan, khususnya yang memerlukan, hospital-hospital sedia ada juga perlu dikemaskini.

Dr Idris Ahmad
ADUN Ijok
Parti KEADILAN Rakyat

Categories
GLOBAL

PBB: Pelarian Rohingya meningkat kepada 536,000

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) 14 OKT– Jumlah pelarian Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine, utara Myanmar mencecah 536,000 dengan 14,000 orang menyeberangi sempadan dalam masa dua hari lalu, lapor Xinhua memetik kenya­taan seorang jurucakap PBB kelmarin.

Jurucakap terbabit, Farhan Haq juga berkata, Ketua Hal Ehwal Politik PBB, Jeffrey Feltman berada di Myanmar sejak semalam sehingga Selasa ini untuk perbincangan dengan pegawai Myanmar.

Menurut Farhan, kunjungan itu dibuat susulan beberapa gesaan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menamatkan operasi ketenteraan dan keganasan di Rakhine untuk memboleh­kan akses bantuan kemanusiaan selain pelarian dapat kembali ke kawasan asal mereka dengan selamat.

“Perbincangan akan memfokuskan kepada pembinaan kerjasama antara Myanmar dan PBB bagi menangani isu tersembunyi yang melibatkan semua komuniti di kawasan berkenaan.

“Agensi kemanusiaan PBB melaporkan pada Rabu lalu, jumlah pelarian yang melarikan diri dari Myanmar menuju ke Bangladesh sejak penghujung Ogos lalu mencecah 536,000 dengan seramai 14,000 orang menyeberangi sempadan dua hari lalu,” kata jurucakap itu.

Farhan juga memberitahu pemberita di ibu pejabat PBB bahawa Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan kerajaan Bangladesh telah bersetuju untuk segera membina 10,000 tandas di kem dan pe­nempatan untuk pelarian di Cox’s Bazar.

“Matlamatnya untuk mengelakkan wabak penyakit,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap tandas itu hanya menelan kos di bawah AS$150 (RM630), namun akan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 orang.

“UNICEF berkata, sudah ada laporan penyakit bawaan air di kem-kem tersebut dan perlunya perlindungan sanitasi,” kata Haq.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

PBB gesa Myanmar tamatkan keganasan

COX’S BAZAR, Bangladesh 30 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kerajaan Myanmar menamatkan ‘mimpi ngeri’ ekoran kejadian lebih 60 etnik Rohingya dikhuatiri mati selepas bot mereka karam kelmarin.

Dalam kejadian itu, 23 orang disahkan meninggal dunia, manakala 40 orang hilang dan dipercayai lemas, kata jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, Joel Millman kepada pemberita di Geneva, lapor AFP.

“Keadaan kini menjadi kecemasan pelarian paling pantas berkembang di du­nia, mimpi ngeri kemanusiaan dan hak asasi manusia,” kata Guterres ketika menggesa mereka yang melarikan diri daripada konflik dibenarkan kembali ke rumah.

Kejadian bot karam tersebut berlaku ketika mereka berusaha melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar di negeri Rakhine.

Rohingya1Lebih separuh daripada setengah juta penduduk Islam Rohingya membanjiri Bangladesh bulan lalu selepas tentera Myanmar bertindak keras ke atas pemberontak Rohingya dengan memusnahkan kampung-kampung di negeri Rakhine, utara Myanmar.

Sejumlah pelarian lemas ketika cuba menyeberangi perairan yang memisahkan antara kedua-dua negara itu, manakala mereka yang terselamat pula berdepan bahaya baharu apabila bersesak di penempatan pelarian yang kekurangan bekalan makanan dan air bersih.

Gelombang krisis kemanusiaan itu menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan perbincangan pertama berkaitan Myanmar selepas lapan tahun walaupun negara-negara anggota gagal mencapai resolusi bersama.

Amerika Syarikat menyelar pihak tentera kerana cuba ‘melakukan pembersihan ettik minoriti negara itu’, manakala Beijing dan Moscow menawarkan sokongan kepada pihak berkuasa Myanmar yang menolak tuduhan bahawa pembersihan etnik sedang dijalankan.

Bercakap kepada 15 anggota majlis, Guterres menggesa Myanmar menghentikan operasi ketenteraan dan membuka akses kemanusiaan ke wila­yah dilanda konflik terbabit.

Guterres menegaskan bahawa ‘keganasan sistemik’ boleh menyebabkan pergolakan di bahagian selatan hingga pusat negeri Rakhine dan mengancam 250,000 orang agar berpindah.

=EZY=

Categories
GLOBAL

PBB: 480,000 Rohingya lari ke Bangladesh

COX’S BAZAR 27 SEPT: Kira-kira 480,000 Muslim Rohingya lari ke Bangladesh sejak keganasan meletus di Myanmar 25 Ogos lalu, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Angka itu tambahan kepada anggaran kemasukan 45,000 orang dalam dua hari, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Satu laporan agensi PBB dan pertubuhan kebajikan antarabangsa berkata, perubahan itu sebahagian besarnya disebabkan anggaran 35,000 etnik Rohingya yang tidak dikira sebelum ini, berpindah ke dua kem pelarian.

Ia juga berkata, jumlah pelarian yang menyeberang sempadan mula meningkat. PBB memberi angka ketibaan lebih 435,000 etnik Rohingya Sabtu lalu.

RohingyaSelepas laporan penurunan ketara ketibaan minggu lalu, laporan baharu berkata, ratusan lain menyeberangi sempadan secara harian beberapa hari lalu.
Satu ruang seluas 809 hektar (lapan kilometer persegi) berhampiran kem sedia ada dikhususkan untuk menempatkan ketibaan baharu, namun tiada kemudahan dibina setakat ini.

Kem pelarian dan penempatan sementara di sebelah sempadan Bangladesh sudah menempatkan kira-kira 300,000 etnik Rohingya sebelum keganasan terbaru dan kini terlebih sesak.

=EZY=

Categories
GLOBAL

WHO: Taun ancam 435,000 pelarian Rohingya di Cox’s Bazar

GLOBAL 26 SEPT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap peningkatan risiko penularan wabak taun sekitar kem sementara pelarian Rohingya di Bangladesh, yang kini sesak dengan lebih 435,000 penghuni.

Ini kerana dalam tempoh sebulan, pelarian didapati berselerak membanjiri 68 kem dan penempatan di sepanjang sempadan negara itu, hidup tanpa bekalan air minuman atau kemudahan kebersihan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Semua kem terbabit turut berdepan kekurangan makanan dan perubatan, memandangkan ia berubah menjadi antara penempatan pelarian terbesar dunia dalam tempoh yang singkat.

“Risiko penyakit bawaan air tinggi, terutamanya wabak taun dan semua pihak amat bimbang.

“Walaupun usaha campur tangan bantuan ditingkatkan, ia masih tidak mampu menangani situasi kritikal dan mencabar ini,” kata WHO menerusi satu kenyataan.

Rohingya refugees get off a boat after crossing the Bangladesh-Myanmar border through the Bay of Bengal, in Shah Porir Dwip, Bangladesh September 11, 2017. REUTERS/Danish Siddiqui

Kehadiran sejumlah besar pelarian baharu didapati melampaui kapasiti kem di sekitar Cox’s Bazar, yang sebelum ini menempatkan sekurang-kurangnya 300,000 penghuni yang melarikan diri daripada kekejaman kerajaan Myanmar di negeri Rakhine.

WHO berkata, pusat perubatan bergerak sudah disediakan, sementara pihak berkuasa kesihatan Bangladesh memaklumkan mereka sudah merawat 4,500 pelarian Rohingya akibat cirit birit dan memberikan vaksin campak dan polio kepada 80,000 kanak-kanak.

“Kami melakukan yang terbaik berdepan cabaran ini, namun kami bimbang,” kata Timbalan Ketua Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Bangladesh, Enayet Hossain.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Malaysia desak OIC bersatu bantu Rohingya

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Malaysia mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu menghulurkan bantuan terhadap etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia ekoran tindakan keganasan terhadap etnik itu di wilayah Rakhine, sejak 25 Ogos lalu semakin membimbangkan.

Katanya, pelakuan yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa itu mencetuskan krisis kemanusiaan sehingga menyaksikan lebih 400,000 etnik Rohingya melarikan diri mencari perlindungan di Bangladesh.

“Saya ingin mengambil kesempatan memuji usaha mulia Bangladesh kerana membantu masyarakat Rohingya susulan nasib yang menimpa etnik berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Koordinasi Tahunan OIC di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor BH Online.

Anifah berkata, pelarian Rohingya yang ketika ini berada dalam keadaan terdesak dijangka menjadi sasaran mudah untuk direkrut dan radikalisasi puak pelampau jika kemelut di Myanmar tidak ditangani secara tuntas.

Sehubungan itu, Malaysia mendesak Myanmar menghentikan siri keganasan yang meruncing di republik berkenaan, selain memberi laluan kepada misi kemanusiaan menghantar bantuan di wilayah berkaitan.

“Punca sebenar konflik ini wajar dikenal pasti jika kita ingin memperoleh penyelesaian yang akan kekal selamanya,” katanya.

Categories
GLOBAL NASIONAL

Wujud zon selamat untuk Rohingya

NEW YORK, 22 SEPT: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mencadangkan pembentukan zon selamat di Myanmar untuk melindungi etnik Rohingya menerusi pemantauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bercakap pada sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB, beliau berkata, etnik itu mesti dibenarkan kembali ke negara mereka dengan selamat dan bermaruah.

“Myanmar perlu menghentikan keganasan dan amalan pembersihan etnik, bersetuju membenarkan misi PBB, memastikan kepulangan pelarian dan mematuhi laporan yang mencadangkan kerakyatan kepada Rohingya,” katanya lapor AFP.

Hasina sebelum itu membentangkan pelan lima cara untuk melindungi Rohingya dalam ‘zon selamat yang akan diwujudkan di Myanmar di bawah pemantauan PBB’.

Beliau turut mendakwa pihak berkuasa Myanmar menanam periuk api di sempadan untuk mengelakkan etnik Rohingya kembali ke negara terbabit selain menggesa PBB mengambil langkah segera mencari penyelesaian.

Menurut PBB, lebih 420,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk mencari perlindungan daripada keganasan tentera Myanmar di Rakhine.

Operasi tentera itu didakwa susulan serangan militan Rohingya ke atas pos polis, pada 25 Ogos lalu.

PBB menggambarkan operasi tentera sebagai ‘pembersihan etnik’ dan Presiden Perancis, Emmanuel Marcon, pula menyifatkan ia sebagai genosid (penghapusan bangsa).

Categories
GLOBAL

Trak Palang Merah misi bantuan Rohingya terbabas, 9 maut

COX’S BAZAR 21 SEPT: Sebuah trak Palang Merah yang membawa bantuan untuk pelarian Islam Rohingya terbabas di Bangladesh hari ini, meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, kata polis.

Agensi Berita Antarabansa AFP melaporkan pemandu trak itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit berhampiran bandar sempadan, di sini, di mana lebih 420,000 pelarian Rohingya melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera dan mangsa kebanyakannya adalah buruh yang ditugaskan mengagihkan bantuan.

Pegawai Palang Merah berkata, trak itu membawa makanan dan bekalan lain untuk Muslim Rohingya yang terkandas di antara sempadan Myanmar dan Bangladesh di Nykhongchhari.

“Sembilan orang maut, termasuk enam di tempat kejadian, manakala tiga lagi mangsa meninggal dunia di hospital,” kata Timbalan Ketua Polis daerah sempadan Bandarban, Yasir Arafat, kepada AFP.

Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, Mozaharul Huq, berkata trak terbabit membawa beras, bijiran beras, air minuman, gula dan makanan lain.

“Persatuan Bulan Sabit tempatan dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa menyewa trak berkenaan untuk membawa makanan kepada pelarian Rohingya di sempadan, termasuk mereka yang terkandas di antara kedua-dua negara,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Himpunan Semangat Sejuta Umat desak henti keganasan Myanmar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 SEPT: Himpunan Semangat Sejuta Umat dijangka berlangsung pada 28 Oktober atau 4 November ini bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan itu mensasarkan sejuta individu hadir tanpa mengira bangsa dan agama dari 50 bandar raya di seluruh dunia.

“Kami sangat kecewa dengan badan-badan dunia yang dilihat berkompromi dengan pembunuhan ini, malah statistik tidak rasmi yang kami peroleh menyatakan puluhan ribu etnik Rohingya dibunuh tentera Myanmar sehingga hari ini.

“Oleh itu, himpunan ini adalah untuk menunjukkan mesej tegas daripada warga dunia, terutama rakyat Malaysia yang tidak boleh menunggu cara badan dunia ini bertindak,” katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat himpunan berkenaan, semalam.

save-the-rohingya-fb-imagePada masa sama, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menjemput semua ahli politik bagi menzahirkan sokongan kepada etnik terbabit.

“Kami turut sasarkan 100 NGO tanpa mengira latar belakang untuk bersama turun padang mengutuk tindakan Kerajaan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mempertimbangkan beberapa lokasi dan akan mengadakan perbincangan dengan Polis bagi mendapatkan nasihat lokasi sesuai.

“Kami juga sedang merancang tema, warna pakaian dan logo sesuai untuk dijadikan sebagai simbol rasmi himpunan ini. Kami akan bermesyuarat sekali lagi bagi membincangkan gerak kerja,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Perancis: Krisis Rohingya pembunuhan beramai-ramai

PARIS 21 SEPT: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan serangan ke atas minoriti Rohingya di Myanmar adalah satu genosid.

Dalam temu bual dengan saluran televisyen Perancis, TMC, Macron berkata, negaranya akan bekerjasama dengan anggota lain Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengecam ‘pembunuhan beramai-ramai’ itu.

Penggunaan perkataan genosid oleh Macron menandakan serangan lisan paling tegasnya setakat ini terhadap tindakan tentera Myanmar ke atas Rohingya, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Lebih 420,000 anggota etnik minoriti Islam itu melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh.

“Kita perlu mengutuk pembersihan etnik yang sedang berlaku dan bertindak meminta keganasan ditamatkan, meminta akses kemanusiaan secara progresif boleh dipertingkat di bawah seliaan PBB.

Rohingya“Apabila PBB mengeluarkan kecaman, ada akibatnya yang boleh menjurus kepada satu rangka kerja untuk campur tangan di bawah badan berkenaan,” kata Macron.

Ketua hak asasi manusia PBB menggambarkan serangan sistematik ke atas minoriti Rohingya oleh pasukan keselamatan sebagai satu ‘contoh jelas pembersihan etnik.’

=EZY=

Categories
GLOBAL

Bangladesh mohon bantuan dunia tangani krisis Rohingya

DHAKA 17 SEPT: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berlepas ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam untuk merayu bantuan dunia bagi menangani krisis Rohingya.

Perkembangan itu berlaku ketika keadaan kira-kira 400,000 pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh menjadi semakin buruk, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Sheikh Hasina akan membangkitkan isu Rohingya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB. Beliau mahu keganasan di negeri Rakhine ditamatkan segera dan akan meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menghantar misi mencari fakta ke Rakhine.

“Beliau juga akan menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB memberi tekanan terhadap Myanmar supaya menerima kembali semua pelarian Rohingya,” kata jurucakap Perdana Menteri itu, Nazrul Islam.

RohingyaTerdahulu, Menteri Luar Bangladesh, A.H. Mahmood Ali memberitahu wartawan bahawa negaranya berdepan krisis di luar jangkaan berikutan kebanjiran begitu ramai pelarian Rohingya sejak tiga minggu lalu.

“Kami juga akan meneruskan tekanan antarabangsa ke atas kerajaan Myanmar supaya segera menamatkan tindakan penghapusan etnik terhadap penduduk Rohingya,” katanya.

Dalam pada itu, keadaan di kem-kem pelarian di bandar Cox’s Bazaar dekat sempadan Bangladesh menjadi bertambah buruk dari hari ke hari.

Ramai pelarian Rohingya yang baru tiba terpaksa berteduh di tepi jalan-jalan berlumpur akibat hujan monsun kerana keadaan kem yang penuh sesak.

Banyak keluarga tidak mempunyai tempat berlindung dengan pelarian Rohingya juga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan bekalan makanan dan air minuman.

“Penyakit taun turut dikesan. Saya diberitahu bahawa seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat taun.

“Pihak berkuasa perlu bertindak segera sebelum ia merebak menjadi wabak,” kata seorang aktivis tempatan di Cox’s Bazar, Nur Khan Liton.

Sementara itu, kerajaan Bangladesh telah mengarahkan tentera untuk menghantar dan mengagihkan bantuan asing ke Cox’s Bazar.

Dhaka juga akan membina 14,000 tempat perlindungan baharu dengan setiap khemah dapat menempatkan enam keluarga Rohingya.

=EZY=