PM Didesak Perjelas Hubungan Dengan Kolumnis Pro-Israel

SHAH ALAM 28 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berkenaan hubungan kerajaan syarikat perunding FBC Media dan kolumnis pro-Israel, Joshua Trevino.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR menyokong akhbar The Guardian UK berhubung keputusan untuk memecat Trevano ekoran pembabitannya dalam FBC Media.

Syarikat itu, termasuk Trevino, dilihat sebagai perunding media untuk pengurus perhubungan awam pentadbiran Najib.

Trevino, khususnya adalah operatif terkemuka pro-Zionis.

“Ia adalah aneh bahawa kerajaan sekarang mengupah perunding itu tetapi pada masa yang sama cuba untuk menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli politik ‘pro-Israel’.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui mengapa kerajaan yang bekerjasama dengan firma dan perunding yang dikecam secara umum oleh media antarabangsa,” kata Saifuddin dalam kenyataan media.

FBC Media sebelum ini didakwa dibayar RM82.6 juta bagi kempen perhubungan awam pentadbiran Najib.

Namun, kontrak yang bermula pada 2007 itu tamat tahun lalu selepas hal tersebut terdedah ekoran kekerapan pemimpin kerajaan Malaysia muncul dalam program berkenaan.

Categories
NASIONAL

Disiasat Bank Negara PKR Minta Awang Adek Beri Penjelasan

SHAH ALAM 30 JUN : PKR menuntut penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek Hussin berhubung dakwaan wujudnya penyiasatan terhadap salahlaku semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR meragui hubungan Awang Adek dengan seorang ahli perniagaan, Chung Hon Cheong yang menjadi pemilik serta pengarah kepada syarikat Sun Prestige Sdn Bhd dan syarikat Vertex United Sdn Bhd, berikutan beberapa transaksi kewangan yang membabitkan mereka berdua.

“Keraguan juga timbul berikutan terdapat fakta yang membuktikan beliau mempunyai hubungan dengan Sun Prestige Sdn Bhd, yang memperolehi kontrak mencetak nota RM2.00 sebanyak 100 juta keping dari BNM,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Menurut Saifuddin beliau meminta Awang Adek memberikan penjelasan berhubung tindakan beliau pada 1999 yang menjual rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd pada harga RM550,000.00.

Turut dipersoalkan ialah tindakan Chung Hon Cheong menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd membuat pembayaran penerbangan Awang Adek ke Tokyo untuk trip penerbangan 28 Jun 1999 hingga 1 Julai 1999.

Dan kebenaran isteri Awang Adek membeli Honda Civic 1.6 menerusi Chung Hon Cheong dan benarkah beliau yang membayar ansuran bulanan sebanyak RM2122.00 sebulan,

“Ada banyak lagi maklumat mengenai pelbagai pembayaran insuran hartanah, pembayaran road tax, pembelian kereta, bayaran pengaturan permainan golf, pembayaran bil telefon yang membabitkan Awang Adek dengan Chung Hon Cheong.

“Kes-kes ini seolah-olah menunjukkan, wujudnya hubungan rapat bekas Penolong Gabenor BNM dengan syarikat yang memperolehi kontrak jutaan RM dari BNM,” kata Saifuddin.

Sehubungan itu, tegas Saifuddin pihaknya memberikan tempoh tiga minggu untuk Awang Adek menjelaskan segala dakwaan yang disenaraikan terhadap beliau.

Saifuddin juga mencabar Awang Adek untuk menafikan beliau mempunyai hubungan erat dengan individu dan syarikat terbabit.

“PKR akan mengemukakan langkah susulan dan mengemukakan bukti-bukti tambahan selepas penjelasan Awang Adek dibuat.

“Awang Adek tidak seharusnya hanya berani mencabar Kelantan dalam isu Dinar, jawab dahulu cabaran kami,” kata Saifuddin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN Patut Ukur Baju Di Badan Sendiri

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Umno-BN yang sebenarnya ?tidak membayar hutang, tidak menepati janji dan tidak kenang budi? seperti kata pemimpin agungnya Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat ketiga-tiga ciri di atas yang cuba dikaitkan dengan Pakatan oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, sebenarnya mencerminkan cara pentadbiran Umno-BN.

MP Bukit Mertajam, Chong Eng, berkata, kerajaan Pulau Pinang Pakatan telah membawa banyak perubahan termasuk membayar semula hutang lama kerajaan Umno-BN kepada kerajaan pusat.

?Umno-BN sebenarnya yang lupa kepada jasa rakyat. Saya rasa PM dan BN masih tidak tahu rakyat mahu berubah kerana kerajaan BN tidak melakukan kerja-kerja mereka dengan baik,” katanya.

Minggu lalu, Najib di dalam ucapannya di Kuala Langat, menyatakan tiga nilai buruk Pakatan yang boleh menghakis keharmonian dan menjejaskan pembangunan negara.

Tiga nilai buruk yang disebut adalah ?janji tidak ditepati, budi tidak dihargai dan hutang tidak dibayar?.

Manakala MP Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Umno-BN yang sebenarnya tidak menghormati asas kenegaraan.

Katanya, hubungan kerajaan negeri dan persekutuan menjadi kucar kacir angkara Umno-BN menarik hak negeri selain menyekat peruntukkan pembangunan kepada negeri.

Tegas Saifuddin, Najib sepatutnya bersifat jujur dan menyatakan apa terjadi kepada hutang yang tidak dibayar oleh kroni Umno-BN.

“Yang mewujudkan budaya berhutang dan tidak membayar semula hutang adalah amalan Umno-BN,” jelas beliau yang juga,

setiausaha agung PKR.

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, rakyat kini mula merasakan keselesaan dibawah negeri-negeri pentadbiran Pakatan walaupun ia memerintah selama satu penggal.

Katanya, perubahan yang dibawa oleh PR meskipun melalui program bantuan kecil kepada rakyat masih tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan Umno-BN walaupun telah memerintah lebih 50 tahun.

“Pakatan Rakyat bukan bercakap mengenai soal bila kita memerintah tetapi kita telah membuktikan janji tersebut apabila kita telah memerintah,? kata Mahfuz yang juga Naib Presiden Pas.

“Najib masih beranggapan bahawa masyarakat yang kuno dan tidak punya pengetahuan sedangkan jurang maklumat yang besar telah dinikmati rakyat untuk mendapatkan informasi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Perletakan Jawatan Untuk Fokus PRU 13

 

PETALING JAYA, 25 JUN : Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menegaskan perletakan jawatan beliau sebagai Penasihat Ekonomi di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dirancang dari awal bagi menumpukan sepenuh tumpuan dalam usaha PKR dan Pakatan Rakyat (Pakatan) menumbangkan Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13).

Katanya selain itu pelbagai strategi juga turut di rancang bagi memastikan Selangor terus dipertahankan.

Menurutnya, isu tersebut adalah keputusan peribadi yang sengaja diperbesarkan media kawalan Umno-BN kononnya petanda wujudnya keretakan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, soal tersebut adalah sekadar rekaan dan imaginasi media kawalan Umno-BN yang mahu menggambarkan wujudnya perselisihan antara dirinya dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Politiknya, Faekah Hussin.

Beliau berkata, hubungannya juga rapat dengan pimpinan PKR yang lain termasuk Timbalan Presiden, Azmin Ali.

“Rakyat akan menghakimi sendiri putar belit Umno-BN ini kerana selepas ini dengan masa yang ada saya akan menumpukan perhatian terhadap kerja parti serta akan makin lantang membongkar segala penyelewengan dan salah rasuah melibatkan mereka.

“Bermula hari ini kita akan dedahkan satu isu besar berhubung projek LRT Ampang yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Dengan cabaran dilontarkan pimpinan Umno-BN sendiri, jelasnya, beliau akan mula berbincang dengan Faekah esok untuk meneliti fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno-BN dahulu.

Rafizi menambah, perletakan jawatannya juga berlandaskan pada asas moral atas kepercayaannya seorang ahli politk tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuan condong kepada aktiviti parti politik.

“Malangnya, konsep kebertanggungjawaban sebegini tidak wujud di dalam Umno-BN. Mereka menggunakan jawatan dan kemudahan kerajaan yang ditanggung oleh rakyat untuk membayar pimpinan dan aktiviti mereka, sedangkan keseluruhan masa digunakan untuk berkempen politik bagi Umno-BN,” katanya.

Beliau selanjutnya berkata, perletakan jawatan itu juga sebagai persiapan dirinya untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU13 nanti.

Katanya, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Sudah tentu kita ada strategi pilihanraya, sudah tentu juga kita ada kerusi yang yakin kita boleh menang dan kerusi ini memerlukan strategi tertentu. Kalau nama saya disebut di Pandan, Kemaman, nama saya juga disebut di Padang Rengas dan juga di Permatang Pauh…..contohnya.

“Keputusan akhir di mana saya akan diletakkan, itu adalah keputusan yang dibuat parti sehingga hari terakhir sebelum pencalonan dibuat. Cuma yang pasti saya akan bertanding,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Selangor Ambil Tindakan Terhadap Penyelewengan Baucer Jom Shopping

KLANG 15 JUN : Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan penyelewengan baucer program Jom Shopping.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri tidak akan memandang ringan perkara itu walaupun hanya lima orang yang terlibat.

“Kita mempunyai satu sistem yang baik bagi memantau warga emas yang menyertai program itu, sesiapa yang dijemput dan menerima untuk menyertai program ini, kita ada rekod online.

“Jadi kita mahu mereka menerangkan perkara itu dan jika mereka tidak boleh terangkan, kita mahu mereka bayar balik.

?Walaupun jumlah itu kecil tidak sampai RM6,000 tetapi kita tidak boleh pandang ringan,” katanya dalam sidang media selepas Program Terima Kasih Rakyat bagi Daerah Klang di Kapar.

Sebelum ini, dua anggota PKR dari Cabang Kapar, Mohd Bakir Abdul Wahab dan Mohamed Amkah Ahmad didakwa menyeleweng baucer Jom Shopping.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, PKR telah mengambil tindakan terhadap Mohd Bakir dan Mohamed Amkha.

Katanya, mesyuarat Biro Politik pada 13 Jun lalu telah meminta Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.

Katanya, ia termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua ahli berkenaan.

Pada waktu yang sama, katanya, keanggotaan seorang daripadanya digantung secara serta-merta berdasarkan Fasal 27.3 perlembagaan Parti sementera menunggu siasatan disiplin selesai.

“PKR sekali lagi menegaskan tidak akan berkopromi kepada mana-mana anggota yang melakukan kesalahan disiplin, lebih-lebih lagi kesalahan yang mencemarkan maruah dan nama baik parti,” tambahnya.

Categories
NASIONAL

Hanif Disaran Tolak Ketuai Panel Bebas Siasat Insiden BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 10 MEI : Mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar disaran menolak pelantikan sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan BERSIH 3.0, ujar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Beliau menyifatkan pelantikan ini sebagai  tidak munasabah, tidak wajar dan sangat mengejutkan disebabkan latar belakang Hanif sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden rusuhan oleh polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Jelasnya, ia ditambah dengan kenyataan bias Hanif sebelum ini yang mengatakan perhimpunan itu adalah untuk menggulingkan kerajaan dan disertai pihak yang simpati terhadap komunis.

“Penyerahan jawatan ketua panel siasatan bebas kepada Hanif yang mengeluarkan keterangan memihak kepada kerajaan sebelum ini sudah pasti tidak akan mendapat kepercayaan awam terhadap jawatankuasa itu.

“Justeru, jalan terbaik untuk Hanif sendiri adalah tidak menerima tawaran pelantikan tersebut,” ujarnya.

Nama Hanif diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengetuai pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika pertembungan polis dan orang awam.

Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail.

Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan.

Tambahnya, sebarang panel siasatan untuk menyiasat salah laku polis sebaik-baiknya tidak membabitkan pihak berkuasa itu sendiri sama ada yang masih berkhidmat atau sudah tamat.

Beliau turut mengimbas peristiwa kegagalan penemuan bukti oleh panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat anggota sendiri ketika kejadian mata lebam membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999.

“Merujuk kepada kes Anwar, siasatan polis yang diketuai Bekas Pegawai Kanan Polis, Datuk Mat Zain Ibrahim pada ketika itu sebenarnya berjaya mengesan pelaku tersebut iaitu Tan Sri Rahim Noor. Tetapi kerana percaturan politik oleh Perdana Menteri masa itu, jawatankuasa itu kemudiannya dimanipulasi dan tidak berjaya mensabitkan Rahim.

“Hanya apabila Siasatan Diraja dilantik, barulah kita dapat lihat Rahim berjaya disabitkan. Oleh itu, kerajaan perlu ambil penghalaman dari situ supaya tidak mengulangi kesilapan sama apatah lagi reputasi Hanif yang sangat buruk,” katanya.

Categories
SELANGOR

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

BATU CAVES, 8 MEI : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

“Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

?Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN,” katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR  akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Saifuddin: Pakatan Hargai Usaha HRP, NGO

SHAH ALAM 19 APR : Pakatan Rakyat sentiasa berpegang teguh kepada prinsip sama rata antara rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa dari segi ekonomi dan sosial sepertimana yang termaktub dalam Buku Jingga Dasar Rangka Kerja Bersama.

Dengan pegangan tersebut, Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Pakatan sentiasa mengalu-alukan usaha semua parti politik, NGO dan aktivis untuk membawa keadilan kepada semua kaum dan lapisan masyarakat Malaysia.

“Setakat ini, kami menghargai usaha HRP (Human Right Party) dan NGO-NGO dan aktivis dalam mengambil isu-isu berkaitan ekonomi dan sosial kepada masyarakat India.

“Kita mesti menolak dengan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan politik Umno-BN dan percaya dalam pengagihan kekayaan, bantuan dan pembangunan mengikut keperluan,” jelas Saifuddin dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah, Pakatan juga mengambil serius politik perkauman mainan Umno-BN sehingga kaum India dilihat terabai dan kini menghadapi pelbagai konflik yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh.

Bagaimanapun, Pakatan berpendapat perkara sedemikian tidak sesuai dibincangkan di padang awam sepertimana diminta oleh Parti Hak Asasi Manusia (HRP) kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu kita terpaksa menolak permintaan mereka untuk mengadakan perbincangan secara terbuka di Padang Chetty, Klang pada 22 April ini mengenai isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai rancangan lebih awal untuk hari tersebut, maka permintaan HRP tidak dapat dipenuhi,” beritahu Saifuddin sambil menambah Pakatan sentiasa bersedia untuk menerima representasi dari mana-mana pihak untuk kebaikan awam.

Categories
NASIONAL

Anwar Akan Sertai Himpunan Hijau 2.0 Di Kuantan

SHAH ALAM, 24 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta memberi sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari 2012 ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya menggesa seluruh pimpinan PKR serta seluruh pimpinan parti disemua peringkat untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Sebelum ini Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, Temurapat Pimpinan PKR pada 24-26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota KEADILAN di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.” kata Saifuddin

Dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membuat gesaan yang sama terhadap PAS supaya semua ahli PAS Pahang serta negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Himpunan Hijau 2.0 pada Ahad ini dijangkakan akan dihadiri lebih 100,000 orang bagi membantah projek radioaktif Lynas tersebut.