Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Bertegas Tidak Akan Naik Tarif Air

SHAH ALAM 30 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk kekal mempertahanan keputusan untuk tidak menaikan tarif air sehingga 70 peratus di negeri itu bagi menjaga kepentingan rakyat.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, rakyat negeri ini tidak boleh dibebankan lagi dengan kenaikan tarif air kerana bebanan kos sara hidup di negara ini sudah sedia tinggi.

“Kos sara yang ditanggung rakyat sudah cukup tinggi, jadi amat tak wajar kalau ditekan lagi dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.

“Sekiranya Langat 2 diteruskan maka, rakyat Selangor akan memikul sehingga RM2,000 juta (RM2 Bilion) beban kos itu dan tarif air dinaikan,” kata beliau.

Abdul Khalid turut menyelar pemimpin Umno-BN yang bercakap soal kebajikan rakyat tetapi pada masa sama mahu menaikan tarif air di Selangor.

Selain itu, beliau turut mengutuk kenyataan yang meramalkan Kerajaan Negeri akan muflis sekiranya pemberian 20 meter padu air percuma dilaksanakan di negeri ini.

“Pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan kerajaan negeri bukan sahaja tidak menyebabkan Kerajaan Negeri Muflis, tetapi rizab simpanan kita semakin meningkat,” ujar Abdul Khalid lagi.

Dalam ucapan Abdul Khalid itu, beliau juga sempat menceritakan pertemuan antara beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit masa dahulu.

“Saya pernah beritahu Tan Sri Muhyiddin, sebab saya nak tolong rakyat maka saya sertai politik,” ujarnya ketika menerangkan isu pemberian air percuma kepada Muhyiddin.

Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Abdul Khalid baru-baru ini memulakan usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mengelakan kenaikan tarif air.

Bagaimanapun usaha itu mendapat halangan daripada Kerajaan Persekutuan dan juga syarikat pemegang konsesi pengurusan air itu sendiri.

Dibawah satu usaha penswastaan oleh Kerajaan Umno-BN dahulu, Syabas diberi kuasa untuk mengurus operasi merawat air mentah untuk dibekalkan kepada pengguna di seluruh Lembah Klang.

Manakala Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula, bertanggungjawab bagi menguruskan empangan yang menyimpan bekalan air mentah.

Bagaimanapun Syabas didapati gagal menguruskan sumber air di negeri itu dengan berkesan apabila pengguna di negeri itu sering mengalami gangguan bekalan air.

Selain itu, Syabas yang membayar gaji Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail sebanyak RM400 ribu sebulan itu, juga didapati gagal mengurangkan kadar pengeluaran air tidak terhasil (NRW) dari 35 peratus ke 15 peratus dari setiap 100 gelen air bersih.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hanya Kerajaan Selangor Boleh Beri Kelulusan Pembinaan Langat 2

 

PELABUHAN KLANG 28 JULAI : Kerajaan Pusat boleh mengeluarkan tender projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetapi kelulusan mengenai pelaksaannya hanya boleh diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga tidak akan terlibat dengan proses tender tersebut kerana beranggapan ia tidak relevan dengan masalah air yang didakwa wujud di Selangor.

Setakat ini, menurutnya, Kerajaan Negeri hanya bersetuju dan ingin berbincang dengan Kerajaan Pusat mengenai proses penstrukturan semula air di negeri itu.

Katanya, pihak tenaga kerja profesional dilantik bagi membuat kajian dan menyiapkan laporan mengenai isu air tersebut dan dakwaan Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang mengatakan laporan Kerajaan Negeri tidak betul tidak boleh diterima.

“Jika laporan itu tidak betul, mari kita jumpa dan berbincang. Mengapa gunakan media untuk bertanya? Ia bukan laporan yang saya buat tetapi laporan disiapkan oleh pihak professional yang dilantik Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti berkaitan isu masalah air ini.

“Jika anda fikir ia tidak betul, bukan Peter Chin yang patut buat kenyataan tetapi itu tanggungjawab Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas). Ini kerana beliau dibayar melebihi harga pihak profesional. Peter Chin patut menilai perkara ini kerana pembayaran diluluskan lebih RM400,000 sebulan untuknya. Mengapa beliau tidak berbincang dengan kita (Kerajaan Negeri)? soalnya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemberimilikan tanah kerajaan dan notis 5A di Kampung Sungai Sireh Tambahan di sini hari ini.

Menteri Besar selanjutnya berkata, Peter Chin tidak memikirkan tentang perihal rakyat Selangor dan mempersoalkan apa dilakukan menteri itu terhadap rakyat Sarawak.

Beliau berkata, Peter Chin seharusnya memberikan teguran terhadap Pengerusi Eksekutif Syabas berhubung perkara itu.

“Kita akan ingatkan dia kerana perkara ini sangat penting kepada kita. Jika anda fikirkan tentang rakyat maka rakyat akan fikir tentang diri kita tetapi jika anda fikir RM400,000 (gaji bulanan Pengerusi Eksekutif Syabas) adalah lebih penting maka tidak akan memikirkan tentang anda,” katanya lagi.

Dalam laporan media semalam, Kerajaan Pusat akan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka kepada semua syarikat yang berkelayakan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Percuma Bukti Selangor Mampu Urus Air Dengan Baik

SHAH ALAM 27 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Program Pemberian Air Percuma yang membolehkan rakyat menikmati 20 meter padu pertama secara percuma setiap bulan adalah bukti keupayaan pengurusan Kerajaan Negeri dan kesungguhan untuk memastikan industri air di Malaysia diuruskan dengan menjadikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

“Secara purata, keluarga yang mendiami rumah bertanah di Selangor menikmati penjimatan RM1,200 setahun sejak program ini diperkenalkan pada Jun 2008 manakala keluarga yang tinggal di rumah bertingkat pula menikmati penjimatan secara purata hampir RM900 setahun dalam tempoh itu.

Kerajaan Negeri telah membekukan cadangan untuk menaikkan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebanyak dua kali iaitu untuk 2009 dan 2012,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya sehingga kini, Kerajaan Selangor membelanjakan RM550 juta untuk Program Pemberian Air Percuma. Namun begitu, Kerajaan Negeri masih berupaya meningkatkan rezab negeri kepada RM2.1 bilion pada 2012 berbanding hanya RM400 juta pada 2008.

Jelanya, ini adalah hasil dasar kewangan mesra rakyat yang mematuhi prinsip-prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor membuat banyak usaha untuk memastikan rakyat berhak untuk berkongsi keuntungan, aset dan sumber negeri.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Sokong Ambil Alih Syabas

SHAH ALAM,27 JULAI : PAS Selangor menyokong penuh usaha pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan negeri Selangor,tegas Khalid Samad.

Beliau yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, BN Selangor sudah ketandusan isu untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Jelasnya, rakyat Selangor tidak nampak kesungguhan Syabas dalam menangani masalah air dan sebaliknya hanya ingin untuk memenangkan BN dalam PRU ke-13.

“Oleh itu direka kisah yang kononnya air sudah mula habis dan catuan oleh Syabas terpaksa dilakukan,” kata Khalid dalam kenyataan medianya.

Jelas Khalid, bekalan air yang tidak terawat dan yang terawat adalah lebih dari apa yang digunakan penduduk Negeri Selangor.

Loji pembersihan air mempunyai kapasiti yang lebih tinggi dari permintaan dan oleh itu, pada hakikatnya terowong untuk membawa air tidak dirawat dari Pahang dan pembinaan loji pembersihan air baru iaitu Langat II adalah perkara yang tidak diperlukan.

“Yang perlu adalah pengurusan bekalan air yang lebih cekap supaya ketirisan dan kebocoran dapat diatasi. Sambil itu saluran paip baru juga perlu dipasang,” katanya.

Dakwa Khalid, ?krisis? bekalan air direka untuk mengelirukan rakyat.

“Pada masa yang sama, penyokong dan kroni BN amat sangat teringin untuk diluluskan projek Langat II supaya melalui projek yang bernilai berbilion ringgit itu, semua akan mendapat komisyen dan habuan mereka,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

AMK Selangor Akan Anjur Roadshow Perjelas Isu Syabas

KLANG 25 JULAI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor sedang merancang untuk mengadakan ‘roadshow’ atau siri jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penjelasan berhubung isu air kepada rakyat.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata siri jelajah itu akan diadakan sekiranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak memberi sebarang maklum balas berhubung memorandum yang dihantar baru-baru ini.

Katanya, AMK akan menerangkan fakta sebenar mengenai krisis air yang sengaja ditimbulkan oleh Syabas.

“Ini kerana kita melihat Syabas sengaja mengelirukan rakyat dan isu air ini sudah menjadi bahan politik mereka dan Umno-BN.

“Dalam jelajah itu juga kita akan mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail untuk letak jawatan. Buat masa ini kita masih menunggu maklum balas dari Syabas,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Andalas.

Azmizam menambah, AMK turut menimbang perancangan untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran sekiranya memorandum itu tidak diberi perhatian oleh Syabas.

Selain itu, beliau turut meminta Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) dan Syabas menamakan 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan membantah tindakan Kerajaan Negeri Selangor menolak Projek Langat 2.

“Kita pasti 54 NGO tidak wujud kerana pada sesi taklimat mengenai isu air di pejabat Syabas semalam membuktikan kehadiran mereka tidak seramai yang diutarakan oleh GPRS,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syabas di Wisma Rozali, bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
SELANGOR

Talian Bebas Tol Bagi Atasi Masalah Air

SHAH ALAM 25 JUL : Orang ramai yang mengalami masalah gangguan air boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2824 untuk tindakan segera Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan menyediakan tangki-tangki ke kawasan-kawasan yang bertahun-tahun mengalami kekurangan air, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tangki dan talian aduan tersebut antara inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi gangguan bekalan air yang disebabkan kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengurus air terawat.

“Talian ini dahulunya disediakan untuk aduan masalah sampah awal tahun lalu dan kini kita membuka talian untuk aduan masalah air,” ujarnya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco sebentar tadi.

Selain itu, beliau turut memberitahu Kerajaan Negeri akan menghantar pasukan pemantau untuk bertemu rakyat dalam menghadapi isu air ini.

“Saya meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama dengan anggota EXCO Negeri bertemu rakyat bagi mencari penyelesaian masalah air,? tambah beliau.

Dalam isu berkaitan, Abdul Khalid berkata sebarang permohonan berkaitan Projek Langat 2 harus dirujuk terus dan mendapat kelulusan hanya daripada Menteri Besar.

“Kita tidak masuk campur urusan Kerajaan Pusat jika mereka ingin meneruskan namun mereka tetap perlu berdepan kelulusan kita dalam perkara tertentu.?

Pada Julai 16, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Pusat sanggup mengeluarkan dana bagi menyiapkan projek pemindahan air Langat 2.

Kerajaan Selangor berpendirian projek RM 6 bilion menelan belanja yang terlalu tinggi dan hanya patut dilakukan selepas Kerajaan Negeri mengambilalih industri air Selangor.

Categories
SELANGOR

Wanita Dan Keluarga Paling Terkesan Dalam Gangguan, Catuan Air

SHAH ALAM, 24 JUL : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seharusnya memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk mengurus industri air di Selangor kerana gangguan bekalan seperti pencatuan dan tekanan rendah akan memberi kesan kepada wanita dan keluarga.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, wanita yang kebiasaannya menjadi nadi rumahtangga memerlukan bekalan air sempurna saban hari agar pengurusan rumahtangga sempurna.

“Syabas tidak pernah meminta pandangan Kerajaan Negeri, jauh sekali untuk berbincang mengenainya. Senario ini sekaligus memberi kebimbangan kepada kaum wanita khususnya, apabila air dicatu di bulan Ramadan.

?Urusan rumahtangga terganggu. Anak-anak tidak terurus sehingga amalan
ibadah juga turut terganggu.

?Ia boleh melibatkan soal-soal kesihatan dan perkara-perkara lain yang
akan timbul akibat penawaran air yang terganggu tanpa alasan yang benar,? Rodziah berkata di dalam kenyataan medianya semalam.

Mengikut perjanjian konsensi 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan edaran air di Selangor.

Kerajaan Negeri mahu mengambilalih operasi itu daripada Syabas kerana syarikat itu dilihat tidak mampu mengurus bekalan dan edaran air terawat dengan baik.

Akan tetapi, pada Julai 23, kerajaan pusat tidak meluluskan permintaan Kerajaan Negeri.

“Suatu pendekatan memberi kebajikan dan keselesaan rakyat tanpa pembaziran dan kos yang berlebihan adalah terbaik untuk rakyat Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Justeru, Syabas diingatkan supaya tidak menjadi dalang utama dengan cuba menyekat bekalan air di Selangor terutama di bulan Ramadan untuk kegunaan rakyat.?

Categories
NASIONAL

Tiada Catuan Air, Bukti Usaha Burukkan Imej Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 24 JULAI : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa tiada keperluan untuk mencatu air di Selangor ketika ini adalah bukti isu air sengaja dijadikan gimik politik dalam usaha memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Exco Selangor, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno-BN untuk terus menekan Kerajaan Negeri meluluskan projek Langat 2.

“Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM 225 juta.

“Sudahlah tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat, mereka cuba pula mensabotaj usaha Kerajaan Negeri melakukan perkara betul demi melindungi kepentingan rakyat,” jelas Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan.

Menurut beliau lagi, tindakan Kerajaan Pusat menghalang usaha Kerajaan Negeri jelas menunjukkan Kerajaan Umno-BN mementingkan keuntungan syarikat kroni mereka berbanding keperluan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri dalam mempengerusikan Jawatankuasa Khas menangani isu air.

“Sedangkan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tarif air di negeri itu antara tertinggi di negara ini sehingga memaksa rakyat Johor berdepan dengan tarif air pada kadar tidak munasabah.

“Kerajaan Umno-BN mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, Elizabeth menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bangkit mempertahankan hak mereka dan mengelak daripada terus dimanipulasikan pihak berkepentingan.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Berdepan Dengan Suara Rakyat Dalam Isu Syabas

SHAH ALAM 23 JULAI : Kerajaan Negeri bersedia membuat ?referendum? atau pungutan suara bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor berhubung hasratnya untuk mengambil alih operasi Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas).

Cadangan ini disuarakan oleh Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar yang berkata rakyat Selangor mempunyai kepentingan dalam usaha ini memandangkan ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

“Kita bersedia untuk melaksanakan pungutan suara rakyat dimana rakyat boleh mengundi secara langsung dan menentukan samada untuk menerima atau menolak hasrat Kerajaan Selangor mengambil-alih SYABAS.

“Kita tahu kita di pihak yang benar, dan kita yakin rakyat Selangor mempercayai kerajaan yang mereka pilih,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengambilalih Syabas, syarikat swasta yang bertanggungjawab untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Usaha mengambilalih atau ?step-in? itu dilakukan apabila Syabas dilihat gagal dalam mengurus bekalan air terawat di Selangor.

Namun usaha itu mendapat tentangan daripada kerajaan persekutuan apabila semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata permintaan untuk Selangor step-in ke Syabas tidak diluluskan.

?Kerajaan Negeri Selangor amat bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya untuk rakyat Selangor.

?Kita komited kepada hakikat bahawa air yang tidak berhasil (NRW) harus dikurangkan ke paras bawah 20 peratus dan tarif air haruslah adil dan berpatutan.

?Kita yakin Selangor mampu mengekalkan kos sekitar kenaikan 12 peratus untuk pengguna,? kata Xavier.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Muhyiddin Bukti Selangor Tiada Krisis Air

SHAH ALAM, 23 JULAI – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat jelas menujukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 seperti yang didesak oleh kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam reaksinya berkata, sehingga kini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) masih gagal mengemukakan bukti kepada umum yang menyatakan keperluan catuan air dilakukan.

“Bila saya baca kenyataan TPM saya sedikit terkejut sebab dua tiga minggu lalu Syabas mengatakan kita (Selangor) berada dalam keadaan krisis air. Tiba-tiba Muhyiddin kata tidak perlu. Apakah mereka ingin mempermainkan rakyat?

“Ini bermaksud kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air. Kalau tidak ada masalah air, mengapa mereka ingin membina Loji Rawatan Langat 2? Ini tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Katanya, Kerajaan selangor sebelum ini telah berulang kali mengemukakan surat kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih Syabas.

Jelas beliau lagi, keputusan yang dibuat hasil mesyuarat oleh Jawatankuasa khas kabinet bagi mengkaji isu air di Selangor jelas menunjukkan kerajaan persekutuan dan Syabas cuba untuk memperbodohkan rakyat agar Kerajaan Selangor bersetuju projek Loji Langat 2 diteruskan.

Katanya, tindakan terdesak ini antara lain bertujuan memastikan kroni Umno-BN mendapat kontrak pembinaan dan mencongak keuntungan berlipat ganda sekiranya usaha berkenaan diluluskan.

“Mereka cakap sahaja (berlakunya krisis air) untuk mendapatkan kontrak itu. Kenyataan muhyiddin merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin memperbodohkan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Syabas Tiada upaya Urus Air

SHAH ALAM, 23 JUN : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dikenalpasti tidak berkeupayaan menguruskan sumber air di negeri ini dengan baik sejak dua tahun lalu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menyedari hakikat itu kata Abdul Khalid, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan menawarkan cadangan penstrukturan semula operasi air kepada Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua cadangan itu ditolak dan masih menemui jalan buntu sehingga hari ini.

“Kalau cadangan kita itu diterima, maka perkara ini tidak akan timbul lagi. Kerajaan Negeri juga telah serahkan kepada Kerajaan Persekutuan satu skim penyusunan semula operasi air di Selangor, tetapi ditolak.

“Bagaimanapun, semua syarikat itu akan dapat pampasan menguntungkan mereka. Ia adalah satu cara yang diterangkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Bulanan Kerajaan Selangor, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Abdul Khalid kekal dengan pendiriannya untuk meneruskan rancangan mengambil alih pengurusan Syabas demi kepentingan rakyat.

Ini kerana katanya, rakyat perlu diberitahu tentang kelemahan Syabas seperti yang terkandung dalam laporan aduit oleh Jabatan Audit Negara.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri menolak penswastaan air kerana mendakwa ia tidak adil untuk rakyat memandangkan mereka tidak diberikan pilihan untuk membuat perbandingan harga.

“Dalam perjanjian itu, rakyat dijanjikan untuk dapat bekalan air pada harga munasabah, dengan cara perkhidmatan yang baik dan tidak membebankan mereka.

“Namun, perjanjian itu tidak beri peluang kepada rakyat untuk mengatakan harga air terlalu mahal, sedangkan rakyat sepatutnya mempunyai pilihan buat perbandingan. Apabila saya bandingkan penswastaan sekarang dengan hasrat Kerajaan
Negeri (lakukan penyusunan semula operasi air), ia selaras undang-undang dan cara itu lebih baik,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Mahu MB Ambil Alih Syabas Bagi Elak Sabotaj

SHAH ALAM 23 JULAI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dengan membeli saham-saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan ?krisis air? yang dipercayai telah dicipta oleh pihak tertentu.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimie Shafie berkata hal itu kerana syarikat itu dilihat cuba mensabotaj kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan mewujudkan krisis air bagi menakut-nakutkan rakyat negeri ini.

“Kita minta kerajaan negeri suntik wang dan beli Syabas. Tindakan segera perlu diambil kerana Syabas cuba mensabotaj dan memburuk – burukkan kerajaan negeri,” katanya selepas menyertai demostrasi Bantahan Kegagalan Syabas, di Wisma Rozali, di sini.

Lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) hari ini bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (Step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Demonstrasi Bantahan Kegagalan Syabas itu dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di hadapan pintu masuk bahagian belakang wisma itu kira-kira 12.00 tengah hari dan kemudian berarak ke perkarangan bahagian hadapan wisma terbabit.

Satu memorandum yang mengandungi tujuh perkara juga disampaikan kepada Pengarah Eksekutif dan Pentadbiran Sumber Manusia, Ismail Hashim untuk diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk memecat Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas kerana gagal memberikan penjelasan berhubung catuan air yang diumumkan syarikat itu baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih pengurusan syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Khalid berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengambil alih pengurusan Syabas dan mengarahkan Peguam Negara mengkaji undang-undang agar projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dapat diteruskan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Isu Air Negeri Selangor, di sini.