Categories
NASIONAL SELANGOR

Demo Tuntut Syabas Serah Konsesi Air Kepada Kerajaan Negeri

SHAH ALAM 23 JULAI : Lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) di Wisma Rozali, di sini hari ini bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Desakan itu dibuat berikutan membantah cadangan Syabas untuk program catuan air dan kegagalan Syabas memenuhi tanggungjawab dalam membekalkan air terawat yang mencukupi kepada pengguna seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

Demonstrasi Bantahan Kegagalan Syabas itu dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di hadapan pintu masuk bahagian belakang wisma itu kira-kira 12.00 tengah hari dan kemudian berarak ke perkarangan bahagian hadapan wisma terbabit.

Kumpulan berkenaan membawa kain rentang dengan slogan “Kembalikan air kepada rakyat”, “Hentikan catuan air”, “Pecat Tan Sri Rozali Ismail” , “Air bukan politik jangan politikkan air”, “Kerajaan Negeri segera ambil alih Syabas” dan “Syabas peras ugut rakyat Selangor”.

Satu memorandum yang mengandungi tujuh perkara juga disampaikan kepada Pengarah Eksekutif dan Pentadbiran Sumber Manusia, Ismail Hashim untuk diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.

Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata pihaknya melihat beberapa tindakan Syabas yang tidak profesional malah tidak mengutamakan keperluan pengguna dengan mensabotaj Kerajaan Negeri menjelang PRU13.

“Tindakan sabotaj ini sengaja ditimbulkan bagi mengundang kemarahan rakyat, antaranya cadangan catuan air dengan alasan kononnya bekalan air terawat tidak mencukupi dan menyalahkan Kerajaan Negeri atas keengganan meluluskan Projek Langat 2,” katanya.

Azmizam menambah, ekoran keadaan itu, Kerajaan Negeri kehilangan 60 projek pelaburan akibat perkhidmatan Syabas yang tidak memuaskan.

“Manakala, 162 buah projek pembangunan di negeri tidak diluluskan oleh Syabas dan itu membuktikan Syabas tidak layak mengurus air di negeri ini.

“Kita tidak mahu Syabas terus menganayai rakyat dan menjadi orang suruhan Umno-BN dengan mengugut rakyat. Hentikan politik ugutan,” katanya.

Memorandum yang mengandungai tujuh perkara itu antaranya ialah perkhidmatan Syabas yang tidak memuaskan, kedudukan kewangan Syabas yang membimbangkan, bantahan cadangan catuan air dan desakan menyerahkan operasi air terawat kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu, berhenti mensabotaj Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri lebih cekap mengendalikan operasi air terawat dan menolak Projek Langat 2.

Hadir sama, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei ; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin ; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan Kerajaan Negeri, Ronnie Liu.

Turut disertai oleh lima gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demonstrasi Bantah Catuan Air Syabas, Sokong Kerajaan Selangor Esok

SHAH ALAM 22 JULAI : Satu perhimpunan ‘anti-SYABAS’ daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan diadakan esok bagi mendesak Syabas supaya menyerahkan operasi air terawat kepada Kerajaan Selangor.

Naib Ketua AMK Azmizam Zaman Huri berkata demonstrasi itu juga supaya Syabas tidak lagi bermain tarik tali dengan menyusahkan rakyat terutama ketika Ramadan dan menjelang Syawal Ogos depan.

Himpunan di depan Wisma Rozali, Seksyen 13, pada 12 tengahari di sini akan melibatkan penyerahan memorandum kepada Syabas.

“AMK Selangor juga mengalu-alukan semua parti politik serta NGO dan badan tidak berkepentingan untuk menyertai bantahan itu,” katanya.

Mengikut satu perjanjian pada 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri sedang di dalam proses mengambil alih operasi itu dari Syabas ekoran kegagalan Syabas untuk melaksanakan tugasnya yang menyebabkan ganguan bekalan air terawat di beberap kawasan di selatan Selangor.

Dua minggu lalu, Syabas dilaporkan meminta agar catuan air dilakukan di beberapa kawasan di Selangor. Tindakan itu dikritik Kerajaan Negeri yang berkata bekalan air mentah melimpah di tujuh empangan Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.

Gaji Orang Atas Diberhenti Apabila Kerajaan Selangor Ambilalih Syabas


PETALING JAYA, 21 JULAI : Antara gaji bulanan yang akan diberhentikan kata Menteri Besar, adalah Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana tidak menjalankan tugas sepertimana dipertanggungjawabkan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun pengerusi eksekutif itu dibayar gaji bulanan sebanyak RM 400,000 sebulan, beliau masih tidah dapat memastikan semua rakyat Selangor mendapat bekalan air terawat yang konsisten dari Syabas.

“Sebab apa saya tak nak bayar? Gaji itu dia tak buat kerja, dia dapat mana boleh. Saya tak boleh bagi gaji buta.

“Boleh jadi sebelum 2008 dia boleh dapat gaji buta tapi sekarang tak boleh sebab kalau tidak saya suruh rakyat semua pergi ke rumah dia tuntut duit itu.

?Saya mahukan rakyat dapat nilai untuk wang itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perjumpaan dengan pembeli rumah kos rendah di Bangunan Sebaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor akan tetap mengambilalih pengurusan Syabas selepas syarikat konsesi air itu gagal memberikan perkhidmatan kepada pengguna sepertimana termaktub di dalam perjanjian antara ia dan Syabas.

Mengikut perjanjian itu pada 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor boleh mengambilalih pengurusan Syabas atau “step ini” apabila terbukti syarikat tersebut tidak mampu menjalankan tugasnya kepada pengguna air Selangor.

Baru-baru, Kerajaan Pusat bersetuju melantik sebuah jawatankuasa bagi merancang proses pengambilalihan itu.

Abdul Khalid berkata, apa yang penting semua pihak perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian isu air tersebut demi kepentingan rakyat di Selangor.

“Saya seorang professional walaupun saya ahli politik, tujuan saya bukan untuk menyalahkan sesiapa baik Syabas, Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Selangor.

?Pengguna kata dia nak air bersih, paip dia mesti ada air dengan harga yang terbaik. Tujuan saya apapun saya akan betulkan sehingga pengguna dapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Xavier: Hanya SUK Berkuasa Umumkan Krisis Air, Bukan Syabas

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kuasa untuk mengumumkan krisis bekalan air di sesuatu negeri terletak pada tangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan syarikat konsesi yang mengendalikan operasi air.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sepatutnya memaklumkan kepada Kerajaan Negeri sekiranya krisis air benar berlaku.

“Kalau ada masalah pengurusan atau tak cukup air, Syabas bertanggungjawab memberitahu kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sampai sekarang dia tak memberitahu kepada kita dan itu kesalahan besar dalam (perjanjian) konsesi yang ada.

“Orang yang boleh buat kenyataan dalam krisis air di mana-mana negeri ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang jadi pengerusi untuk jawatankuasa kecemasan.

Ini akan jadi isu keselamatan,” ujar beliau di dalam program FOKUS Isu TVSelangor bersama Naeem Raffi.

Dibawah satu usaha penswastaan oleh Kerajaan Umno-BN dahulu, Syabas diberi kuasa untuk mengurus operasi merawat air mentah dan mengedarnya kepada pengguna di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab mengurus empangan yang menyimpan bekalan air mentah.

Menurut Xavier, kerajaan negeri telah menjalankan tanggungjawab dan menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi.

Bagaimanapun, sekiranya bekalan air terawat di Negeri selangor tidak mencukupi, ianya merupakan kegagalan pada Syabas sebagai syarikat konsensi.

Xavier mengulangi pendirian kerajaan Selangor bahawa projek Langat 2 bagi menyalurkan air dari Pahang bukan satu usaha yang wajar memandangkan Selangor mempunyai bekalan air mentah yang cukup di empangan.

“Air mentah kita mencukupi, mengapa kita perlu ambil air mentah lagi dari Pahang pula?” Kata Xavier.

Selain itu, Xavier berkata harga air di Selangor bakal naik 70 peratus sekiranya Langat 2 diteruskan.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Urus Air Terawat Lebih Baik Dari Syabas

SHAH ALAM, 18 JUL : Pengurusan dan pengedaran air terawat akan lebih cekap dan menyeluruh selepas Kerajaan Selangor mengambilalih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan memasukkan sistem dan badan pengurusan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Badan pengurusan ini akan memastikan air di rawat dan sampai ke pengguna di seluruh Selangor supaya tidak timbul lagi rugutan tentang bekalan.

Badan pengurusan ini akan dimasukkan ke dalam Syabas sejurus sahaja Kerajaan Pusat memberi kelulusan untuk Selangor mengambil alih operasi syarikat air itu.

Usaha mengambil-alih operasi Syabas dimulakan selepas Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mampu menguruskan industri rawatan dan edaran air seperti yang tertakluk di dalam perjanjian konsensi antara Syabas dan Kerajaan Negeri.

Ini kerana Syabas telah meminta supaya catuan air atau water rationing dilakukan untuk kawasan di selatan Selangor kerana mendakwa tidak mampu menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi.

Syabas tidak berupaya menyediakan air terawat yang mencukupi walaupun bekalan air mentah di tujuh empangan Selangor melimpah.

?Kita nak menambahbaik pengurusan Syabas kepada tahap supaya ia boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat seperti mana perjanjian penswastaan pada 2004.

?Ini supaya tiada lagi masalah di dalam pengedaran,? Abdul Khalid berkata pada sidang media selepas mesyuarat exco di ibupejabat Kerajaan Negeri.

Mengikut perjanjian itu, Syabas, sebuah syarikat swasta, dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sistem rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Dua Exco Selangor iaitu Dr Xavier Jayakumar dan Teresa Kok akan mengetuai delegasi penyerahan surat untuk ‘step in’ ke dalam pengurusan Syabas kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KETTHA) esok pagi.

“Kita berharap Syabas dan Kerajaan Pusat tidak menyalahgunakan isu air untuk menyusahkan rakyat terutama kepada umat Islam yang akan mula berpuasa hujung minggu ini.

Dalam isu yang sama, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sudah menyediakan satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syabas bagi mengenal pasti keadaan semasa air terawat di Selangor.

Menurutnya, kumpulan profesional ini dilantik ekoran Syabas gagal memberi penjelasan terperinci dan memuaskan dalam beberapa isu ketika syarikat tersebut memberi taklimat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi tadi.

“Kumpulan profesional ini dianggotai oleh Suhaimi Kamaruzaman (Ketua Pegawai Eksekutif KDEB), Abbas Abdullah (Pengarah Abbas), Karim Endut (Pengurus Besar Pengurusan Air, Kumpulan Perangsang Selangor) dan Kelvin Lee (Ketua Perancangan Strategik dan Pelaburan, Perangsang Selangor).

“Kerajaan Negeri yakin kumpulan ini akan dapat bekerjasama dengan Syabas kerana semua anggotanya berpengalaman luas dalam operasi dan pengurusan air,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SYABAS Gagal Atasi Tekanan Air Rendah

SHAH ALAM 17 JULAI : Empat tahun lalu Hashim Maon sekeluarga menderita apabila kediamannya yang terletak di Gombak mengalami tekanan air yang sangat rendah serta menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Beliau yang hadir ke TV Selangor pagi tadi menyatakan rasa terpanggil untuk berkongsi pengalamannya yang pernah merasakan keperitan sepanjang berurusan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang gagal menjalankan tanggungjawab selaku syarikat yang diamanah mengurus air di negeri ini.

Hashim juga menyokong hasrat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu mengambil alih sepenuhnya pengurusan Syabas dalam tempoh terdekat.

“Bukan sahaja tekanan air rendah, air yang dibekalkan juga tidak bersih kerana paip saluran yang digunakan sudah lama, sudah berkarat dan harus diganti.

“Tetapi apabila perkara ini diajukan kepada Syabas, mereka membalas secara jelas dalam satu surat yang dihantar melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahawa perkara itu tidak dapat dilakukan akibat kekangan kewangan Syabas,” ujar beliau sambil menceritakan satu ketika dulu menjadi rutin harian mereka sekeluarga mandi di tempat kerja.

Disebabkan pengakuan Syabas yang tidak mampu menukar paip air yang berkarat, beliau terpaksa mengambil inisiatif sendiri melakukan penyambungan baru di luar bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumahnya.

“Malangnya tindakan saya itu mengundang tuduhan Syabas sehingga mereka mengeluarkan surat kononnya ada aktiviti mencuri air dalam rumah saya dan mereka juga bertindak mengunci meter air secara menceroboh.

“Air bukan hak Syabas, ia adalah hak asasi manusia. Jadi jika mereka tidak mampu saya sudah maklumkan kepada Syabas bahawa saya sanggup untuk mendahulukan duit saya membuat penyambungan itu untuk mendapatkan hak asasi saya.

“Sebaliknya saya pula dikatakan pencuri,” tegasnya yang kini dalam proses memfailkan saman malu dalam masa terdekat ini terhadap Syabas kerana menuduh beliau sekeluarga sebagai ‘pencuri air’ dan yang kedua kerana gagal menyediakan perkhidmatan yang baik kepada beliau sebagai pengguna.

Beliau turut menunjukkan dokumen berkaitan dan akan mendedahkan semuanya nanti di mahkamah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kegagalan Syabas Jejaskan Pelaburan Ke Dalam Selangor

SHAH ALAM 17 JULAI : Perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyebabkan Selangor kehilangan 60 projek pelaburan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai senarai pelabur yang mana projek pembangunan mereka terjejas akibat kelemahan Syabas.

“Kita ada senarai, sebanyak 60 pelabur. Perkara itu kita sudah sediakan untuk dijawab dalam Sidang Dewan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Seminar ‘Vibrant Selangor’ 2012 di SACC, di sini.

Katanya, ekoran kegagalan Syabas itu, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil alih dan menyelesaikan masalah pengurusan industri air di bawah Syabas.

“Syabas hanya sebuah syarikat bukan pihak berkuasa. Mereka tidak boleh memberi sebarang keputusan atau kelulusan tetapi Kerajaan Negeri. Itu termaktub dalam perjanjian konsesi,” katanya.

Beliau berkata surat rasmi bagi pengambilalih itu telah dihantar kepada Syabas dan Kerajaan Pusat semalam.

“Kita juga memberi tempoh dua minggu kepada mereka. Ini dilakukan atas dua sebab, iaitu Syabas gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) dan Syabas juga mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air,” jelasnya.

Semalam, Abdul Khalid memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syabas.

Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Kerajaan Negeri juga bersedia mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat sekiranya ia tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih operasi Syabas.

Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.

?Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%,? katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Categories
NASIONAL

Air Percuma : Noh Tabur Janji Kosong

SHAH ALAM, 17 JUL : Datuk Seri Noh Omar sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor berhubung pemberian air percuma sekiranya Umno-BN menawan semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Demikian selar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media.

Sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tidak berasas, Dr Xavier turut mengatakan ia adalah retorik politik yang dicetuskan Umno-BN.

Ini kerana menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikkan kadar tarif air sehingga 70 peratus kepada pengguna sebagai bayaran balik kepada dana yang diperolehi melalui pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (JICA).

“Ekoran daripada pembinaan Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion, Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM60 juta ‘royalti air’ setiap tahun kepada Pahang bagi mendapatkan air mentah tersebut.

“Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, tetapi sumber dana itu adalah melalui pinjaman syarikat JICA. Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku, di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain?” soalnya.

Tambahnya, Syabas juga dilihat tidak mampu mengorbankan keuntungannya sebagai syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ bagi melaksanakan tujuan tersebut.

Katanya lagi, Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air.

“Dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini, maka adalah sukar untuk Syabas memberikan air percuma. Jadi berdasarkan fakta-fakta ini, jelaslah Noh hanya bercakap kosong dan sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor,” ujarnya.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor sebelum ini mendakwa Umno-BN tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu melalui pendekatan berbeza demi kepentingan rakyat.

Beliau mendakwa, jika dasar itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat Selangor menikmatinya.

MB Cadang Ambil Alih Operasi SYABAS

SHAH ALAM, 16 JUL : Ekoran krisis air yang sengaja ditimbulkan bagi menakutkan rakyat, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Kerajaan Pusat tidak memberi sebarang maklumbalas terhadap dua surat yang dihantar Kerajaan Negeri pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi tersebut.

Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Menteri Besar juga memaklumkan beliau sudah menulis surat kepada Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi mencari penyelesaian masalah ini.

Abdul Khalid menjangkakan keputusan dari Kerajaan Pusat akan diumumkan pada minggu depan.

“Sekiranya Kerajaan Pusat pentingkan keperluan rakyat Selangor, maka mereka akan menerima keputusan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di SUK hari ini.

Jelasnya, tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat akan diambil sekiranya mereka masih berdegil untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.

“Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Katanya, jawatankuasa ini akan meminta Syabas memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

“Konsortium Abbas juga akan diminta menyertai jawatakuasa ini yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh Syabas.

“Masalah kekurangan air tidak sepatutnya berlaku dan Kerajaan Negeri meragui pengumuman cadangan catuan air oleh Syabas kerana Pengawal Selia Air Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Syabas tidak dimaklumkan.

“Kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha mencari sumber air alternatif seperti air tanah dan menambah baik kapisiti loji rawatan air sedia ada dengan mengguna pakai teknologi terkini,” ujarnya.

Syabas sebelum ini memaklumkan akan menghantar kertas cadangan kepada Span bagi melaksanakan program catuan air di Kuala Lumpur, Klang dan Hulu Langat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu akan dikemukakan minggu depan dalam usaha mengurangkan masalah pengguna di tiga kawasan terbabit yang didakwa berdepan krisis air serius.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri Ada Pilihan Lain Selain Bina Loji Langat 2

TANJONG KARANG 14 JULAI : Kerajaan Selangor mempunyai pilihan lain selain pembinaan Loji Air Langat 2 bagi meningkatkan jumlah pengeluaran air bersih di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan Loji Langat 2 bukan pilihan terbaik kerana ia mempunyai kos yang tinggi bagi membinanya yang akan memberikan kesan tarif air kepada dua juta pengguna.

Abdul Khalid mengulas isu berhubung dakwaan sesetangah pihak akan berlaku krisis air jika kerajaan Selangor menolak cadangan pembinaan Loji Air Langat 2.

“Kita ada pilihan lain, antara pilihan yang kita cuba timbangkan ialah memperbanyakkan lagi air terawat di setiap loji pembersihan air yang ada sekarang.

“Pilihan itu boleh dibuat dalam masa setahun, kalau kita bersetuju hari ini dengan pembinaan Loji Air Langat 2, ia akan selesai dua tahun akan datang,” kata Abdul Khalid semasa sidang media selepas Program Mesra Khas Terima Kasih Rakyat Daerah Kuala Selangor yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat di sini semalam.

Abdul Khalid berkata kini sudah ada syarikat yang mampu menawarkan perkhidmatan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air di setiap loji menggunakan teknologi ‘membrane’.

“Sebab itu kita hendak tukar Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) sebab ada syarikat yang boleh meningkatkan pengeluaran air bersih di setiap loji,” kata beliau.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga ingin berbincang berkenaan aset air yang berjumlah RM10.5 bilion agar diiktiraf oleh Kerajaan Pusat.

“Supaya kita dapat tentukan jika ada perkara yang tidak betul Kerajaan Negeri boleh ambil balik harta-harta tersebut.

“Kita sudah membuat tinjauan paip-paip yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri yang tidak tidak diserahkan kepada Syabas iaitu meliputi paip-paip besar dan kecil serta loji pembersihan air dan juga empangan yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri,” kata Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

PBT di Larang Bina Pembangunan Baru Tanpa Kelulusan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 12 JULAI :Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta tidak memberi kelulusan bagi sebarang pembangunan baru di mana-mana kawasan kerana Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab dalam pengurusan air.

Ini berikutan kegagalan syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) gagal menguruskan air terawat di Selangor.

Sehubungan itu Syabas diminta menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Selangor jika syarikat konsesi itu gagal mengurus dan membekalkan air terawat yang cukup ke seluruh Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata Selangor tidak menghadapi masalah bekalan air kerana semua empangan di seluruh negeri adalah mencukupi.

Menurutnya, masalahnya adalah dari Syabas sendiri yang perlu menyedia dan menyalurkan air terawat ke seluruh Selangor untuk kegunaan orang ramai.

“Kalau Syabas sebagai syarikat di mana Kerajaan Negeri mempunyai pegangan 30 peratus saham, tidak boleh menguruskan air di Selangor maka pihak pengurusan Syabas perlu mengadakan perjumpaan dengan Kerajaan Negeri dan memaklumkannya bagi jalan penyelesaian.

“Kerajaan Negeri akan adakan program segera bagi mengatasi masalah yang timbul itu. Kita boleh selesaikan, saya sudah katakan ada beberapa cara dan dalam tempoh kira-kira satu tahun masalah ini boleh diatasi,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, di satu forum air hari tentang kononnya berlaku krisis air terawat di Selangor.

Noh mendakwa pembangunan perumahan dan industri di Selangor terbantut kerana kekurangan air terawat dan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri.

Xavier berkata krisis air yang dikatakan berlaku ketika ini yang sering diperkatakan Umno-BN boleh dipersoalkan kerana kajian Syabas sendiri memaklumkan krisis air akan dihadapi pada 2015.

Kerajaan Negeri, jelasnya, akan membuat audit forensik yang dikendalikan tiga syarikat di mana satu keputusan bebas dan tepat akan diperolehi tanpa bergantung kepada keputusan kajian dibuat Syabas.

Berhubung isu projek Langat Dua yang sering dimainkan Umno-BN termasuk Dr Xavier menganggap Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani keliru antara projek tersebut dan masalah air terawat di negeri itu.

“Walaupun projek Langat Dua itu dilaksanakan hubungannya bukan untuk keseluruhan Selangor iaitu sedikit sahaja dengan kawasan-kawasan yang akan dipastikan.

“Saya anggap ini macam melobi dengan Noh sebagai pelobi besar untuk syarikat tertentu bagi mendapatkan projek ini yang kosnya melebihi RM6 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian berhubung kenyataan dibuat Noh banyak projek pembangunan tidak dapat dijalankan di Selangor akibat kekurangan bekalan air di negeri itu.