Categories
NASIONAL SELANGOR

YS Akan Buka Tender Lantik Audit Bebas

SHAH ALAM 06 APRIL : Yayasan Selangor (YS) sedang mengadakan persiapan akhir untuk membuat tender terbuka bagi melantik Audit forensik bebas menyiasat ketirisan yayasan tersebut berjumlah RM500 juta ketika pentadbiran kerajaan Umno-BN di negeri ini.

Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki bagaimanapun memberitahu pihaknya tidak akan membuat sebarang spekulasi sebelum siasatan lengkap berserta audit bebas selesai.

“Bagaimanapun, dokumen tender itu hampir siap kerana YS tidak mahu ianya mengambil masa yang terlalu lama.

“Kita tidak akan membuat sebarang spekulasi. Kita wajib berhati2 kerana melibatkan bekas Menteri Besar Selangor dan soal tanggung jawab dan amanah keatas harta-harta YS,”katanya kepada Selangorku.

Sebelum ini, YS membuat kajian dari tahun 1991 hingga Mac 2008 dan mendapati ketirisan aset Yayasan Selangor adalah tidak kurang daripada RM500 juta dibawah pentadbiran UMNO-BN.

Ilham sebelum ini mendakwa akan mengheret tiga bekas pengerusi YS yang juga bekas Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan tiga lagi bekas pengurus besar yayasan itu ke Mahkamah Sivil jika terdapat bukti penyelewengan aset yayasan itu.

Malah, YS turut menuntut enam pihak terbabit membayar balik kerugian seperti yang dilaporkan dalam Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) baru-baru ini.

Jelasnya, YS akan memastikan hak YS yang dilesapkan itu dapat dituntut semula agar YS dapat mengagihkannya kepada mereka yang berhak iaitu pelajar-pelajar miskin negeri Selangor yang layak.

“Apa yang paling penting ialah penentuan sebenar ketirisan oleh Forensik Audit di susuli dengan tindakan mahkamah untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin hak YS.

“Jumlah ketirisan sebenar hanya akan di ketahui dan di umumkan setelah Audit Forensik Bebas melengkapkan siasatannya,” tambahnya.

Categories
SELANGOR

PKNS Rai Anggota Di Malam Anugerah Perkasa

SHAH ALAM, 30 MAC : Ishak Hashim baru menerima berita tentang kematian ayahnya.

Tetapi beliau menahan perasaan sedih supaya dapat melakukan tugasnya untuk mengiring Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke sebuah tapak projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Akan tetapi Ishak tidak mengabaikan tanggungjawbnya kepada keluarganya dan sejurus selepas melakukan tugasnya kepada PKNS, beliau bergegas kembali pulang ke kampungnya.

?Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PKNS dan saya merasakan semua yang berada di sini adalah pemenangnya kerana kerana kita bekerja kuat untuk memajukan PKNS ,? ujar beliau yang memenangi Anugerah Khas Perkasa PKNS malam tadi.

Anugerah tersebut merupakan yang tertinggi yang diberikan PKNS bagi menghargai peranan dan sumbangan anggota-anggotanya yang benar-benar menyerlah dan berwibawa dalam menaikkan imej PKNS.

?Waktu menerima panggilan kematian ayah, perasaan terlalu sedih tetapi saya terpaksa merahsiakannya dari pengetahuan orang lain kerana komitmen tugas saya selaku pengurus perhubungan awam dan tidak mahu membebankan orang lain,” tambah beliau lagi ketika di temuramah selepas majlis itu.

Selain itu, Ishak yang turut memenangi Anugerah Pengurus Perkasa Kumpulan A juga merupakan seorang yang prihatin terhadap anggota dan pelanggan PKNS serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi terhadap kerja.

Malam Anugerah Perkasa PKNS 2011 berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) malam semalam.

Seramai 76 anggota dari empat kategori jawatan iaitu pengurus kumpulan A, eksekutif kumpulan B dan anggota kumpulan C dan D tercalon bagi merebut anugerah yang menyediakan trofi, sijil dan wang saguhati.

Selain kakitangan, PKNS turut memberi pengiktirafan kepada bahagian, pasukan, vendor, kontraktor, juruperunding, dan sub kontraktor yang telah memberi perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada perbadanan itu.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar serta beberapa ADUN Selangor.

Categories
NASIONAL

Isu Jeti: Saman Untuk Halang Diketahui Rakyat

SHAH ALAM, 27 MAC : Cadangan supaya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menyaman mana-mana pihak yang melaporkan isu pembinaan sebuah jeti di Tanjung Karang yang dibina tanpa kelulusan hanya bertujuan menghalang isu sebenar dari diketahui rakyat.

“Sebenarnya LKIM, (Datuk Seri) Noh Omar pun memang tahu kebenaran isu yang saya sebutkan tempoh hari.

“Cuma mereka ambil tindakan saman semata-mata untuk dapatkan perintah sementara mahkamah menghalang dari isu ini disebarkan sekaligus cuba menyekat rakyat dari mendapat maklumat dalam isu ini.

“Tetapi ini adalah hakikat sebenar apa yang berlaku dalam isu ini, rakyat mesti tahu,” kata Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri tentang isu jeti itu di Pasir Penambang,

Tambahnya, duit bina jeti itu bukannya duit LKIM, Noh Omar ataupun Umno, tetapi milik dana awam atau rakyat.

“Jadi apa yang tak kenanya jika rakyat tahu kedudukan sebenarnya?” Soal beliau ketika dihubungi petang ini.

Menurut Yahaya, LKIM tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengambil tindakan saman dalam isu ini.

“Di bahagian mana cakap saya ada yang salah tentang pembinaan Jeti LKIM ini, dah memang mereka bina tanpa pelan kelulusan.

“Kalau bukan LKIM sekalipun, tak kiralah samada melibatkan pihak pro Pakatan Rakyat pun saya akan dedahkan,” kata beliau.

Yahaya turut memberitahu Noh dan LKIM sepatutnya menghormati undang-udang negara ini.

“Tetapi mereka sendiri tidak hormati undang-undang dengan membelakangkan peraturan untuk bina bangunan, jadi macamana nak didik masyarakat supaya ikut undang-undang,” kata beliau lagi.

Dalam laporan akhbar Sinar Harian Jumaat lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, LKIM sebuah agensi di bawah kementeriannya akan mengambil tindakan saman terhadap akhbar Selangor Kini terbitan kerajaan negeri setelah melaporkan ia dibina tanpa pelan kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Bagaimanapun selain akhbar Selangor Kini, Sinar Harian yang turut memberikan fokus dalam isu yang sama tidak pula disebut sebagai pihak yang akan berhadapan dengan tindakan saman itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kutipan Royalti Pasir Kini Lebih Baik Dari Era Umno-BN

SHAH ALAM, 26 MAC : Gagal diurus dengan baik sewaktu era Umno-BN, kini hampir semua berjaya ditangani dengan baik oleh Syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) sehingga keuntungan perlombongan pasir meningkat sejak di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat(Pakatan).

Bukti ketelusan itu,Ā  royalti yang diterima kerajaan negeri meningkat kepada RM32.5 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011 berbanding hanya RM12.51 juta dari tahun 2005 – 2007 dibawah Umno-BN.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap Dewan Plenary, Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini bagi majlis menandatangani kontrak di antara KSSB dan kontraktor-kontraktor yang terpilih bagi melombong pasir di Selangor.

“Dulu pengurusan pasir tidak diurus dengan baik kerana pegawai kerajaan tidak mempunyai kepakaran dalam melombong pasir.

“Semasa Umno-BN memerintah, ramai yang melombong pasir tetapi tidak ikut peraturan, ada lesen atau tidak ada lesen tiada beza kerana mereka sesuka hati melombong pasir tanpa had,” ujar Menteri Besar .

Tambahnya, Pejabat Daerah tiada pemantauan yang rapi tentang pengeluaran pasir yang dilakukan sebelum ini.

Peningkatan hasil pasir secara mendadak ini adalah disebabkan oleh urus tadbir perlombongan pasir dilakukan dengan adil dan berhemah serta sentiasa mendapat pemantauan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, KSSB dengan usahasama Transparency International (TI-Malaysia) sedang melaksanakan Sistem Integrity Pact (IP) ataupun dikenali sebagai Pakatan Integriti (IP) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2012.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Wan Halim Wan Ismail berkata, kontraktor-kontraktor yangĀ  dilantik mestilah mematuhi segala syarat – syarat yang ditetapkan oleh KSSB seperti tidak boleh meminta dan menerima rasuah, menyalahguna jawatan atau kedudukan dan lain-lain lagi.

Majlis ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Selangor, Datuk Jaafar Maahad.

Categories
SELANGOR

Geran Selangorku Lulus 20 Projek Pembangunan

SHAH ALAM 23 MAC : Jawatankuasa Pemandu Geran Selangorku meluluskan 20 projek pembangunan insfrastruktur serata Selangor dengan peruntukan lebih RM2 juta bagi fasa pertama.

Projek yang diluluskan ini antaranya bertujuan untuk menurap semula jalan dan membaiki jalan termasuk pemasangan lampu jalan dan pembinaan longkang di Seksyen 17 Shah Alam, Sekinchan, Meru, Ampang, Hulu Klang, dan Kuala Langat.

Menurut Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, pemilihan kontraktor bagi menjalankan projek insfrastruktur oleh jawatankuasa berkenaan dibuat berdasarkan harga terendah dan menepati spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jawatankuasa Pemandu Geran Selangorku menetapkan setiap projek insfrastruktur ini perlu disiapkan dalam tempoh antara dua hingga lima minggu.

Geran Selangorku memperuntukkan RM50 juta untuk projek insfrastruktur daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM300 juta.

Categories
SELANGOR

Amalan Minum Arak Dikalangan Umat Islam Berkurangan

SHAH ALAM, 22 MAC: Kesedaran umat Islam terhadap larangan sebarang urusan berkaitan minuman keras di Selangor telah meningkat sejak tahun 2008 selain daripada kerjasama pihak pengusaha yang menghormati kawasan perniagaan yang mojoritinya diduduki oleh orang Islam.

Menteri Besar yang juga Exco Agama Islam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, pendekatan Self Regulatory (kawalan sendiri) oleh premis jualanĀ  bagi kawalan penjualan arak terhadap orang Islam dilihat berkesan sehingga mampu mencetuskan beberapa program baru sebagai usaha dakwah terhadap masyarakat.

“Hasil daripada mekanisme ini, telah mencetuskan beberapa program yang telah disusun oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menyedarkan masyarakat Islam betapa bahayanya arak pada individu seperti Kempen Pencegahan Arak peringkat Negeri, Operasi Pusat hiburan dan lain-lain,” katanya.

Jelas Abdul Khalid, langkah ini diambil bukan untuk menyekat kuasa pihak Jais sebaliknya agensi berkenaan sentiasa memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat dengan jelas penjualan arak yang melibatkan peniaga beragama Islam.

Sepanjang tahun 2011, bahagian Penguatkuasaan Jais telah mengambil tindakan terhadap 20 premis yang menjual arakĀ  dan 28 kes yang telah ditahan di bawah kesalahan yang berkaitan dengan arak telah dibawa ke Bahagian Pendakwaan.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan juga mengetatkan undang-undang dari sudut perlesenan agar minuman keras tidak dijual di kawasan majoriti orang Islam terutamanya melibatkan premis serbaneka.

Categories
SELANGOR

RM10J Untuk Bantu GLC Tingkat Kemahiran Pekerja

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri akan membantu kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membincangkan isu gaji minima sebanyak RM1,500 yang sepatutnya diberikan oleh majikan kepada kakitangan mereka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10 juta kepada syarikat GLC bagi melatih kakitangan mereka menjadi pekerja yang berkebolehan dan berkeupayaan dalam meningkatkan produktiviti syarikat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok berkata pekerja yang mempunyai gaji dibawah paras RM1,500 perlu keluar daripada menjadi golongan yang berpendapatan rendah sesuai dengan taraf hidup semasa.

” Dalam masa dua bulan kita akan berjumpa syarikat GLC bagi membincangkan berkenaan perkara itu dan dalam masa tiga bulan kita bersedia untuk memberi latihan kepada mereka,” katanya yang menjawab soalan Adun Batu Caves,Amirudin Shari mengenai gaji minima yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Khalid berkata tujuan perlaksanaan itu juga kerana mahukan pekerja syarikat GLC milik kerajaan negeri mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja lain.

” Sebagai contoh jika dia hanya budak pejabat tetapi kita boleh latih dia untuk menjadi kerani penyimpan data atau sebagainya untuk membantu pegawai lain dan dia perlu dibayar gaji lebih dari RM1,500 kerana memberi peningkatan produktiviti kepada syarikat.

” Jadi kita gabungkan konsep gaji dan produktiviti.Kita laksanakannya dalam syarikat GLC kerana ianya mudah dilaksanakan dan jika kita lakukan kepada penjawat awam, gred gajinya belum dapat diterjemahkan kerana bentuk kerja yang dilakukan dalam organisasi chart susah diubah,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam program Selangorku, peruntukkan RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakannya.

MB Lulus Permohonan YS Siasat Ketirisan RM500J Ketika BN

SHAH ALAM, 18 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim telah meluluskan permohonan Yayasan Selangor (YS) bagi membolehkan sebuah badan audit bebas dilantik bagi membongkar dakwaan penyelewengan RM500 juta ketika yayasan tersebut dibawah kerajaan Umno-BN.

Pengurus Besar YS, Ilham Marzuki berkata pelantikan pihak audit tersebut akan dibuat secara tander terbuka dan proses ini akan memakan masa hampir lapan minggu.

Katanya, selepas sesi SELCAT awal bulan lau, YS telah menulis surat kepada Menteri Besar untuk memohon pandangan dan tindakan yang akan di ambil.

Menurut Ihlham, Abdul Khalid telah memberi pandangan dan kebenaran supaya urusan audit bebas tersebut perlu segera dilakukan.

“Semua orang boleh masuk, memanggil tander empat minggu bagi membolehkan orang yang ingin mendapatkan tander untuk membuat peniaian dan maklumat.

Selepas itu kita akan memilih dan membuat penilaian dalam masa dua minggu.

“Setelah siap laporan kita akan serah kepada ahli lembaga pengarah untuk membuat pemilihan, juga dalam masa dua minggu,” katanya.

Sebelum ini dalam pendengaran SELCAT, Ilham memberitahu kajian dari tahun 1991 sehingga Mac 2008 mendapati ketirisan Yayasan Selangor adalah tidak kurang daripada RM500 juta.

Setakat ini aset tetap milik Yayasan Selangor bernilai RM500 juta dan aset semasa dalam bentuk wang tunai berjumlah RM51 juta berbanding hanya RM21 juta pada tahun 2007.

Categories
NASIONAL

Fuziah : Abdul Khalid Tak Hilang Kelayakan Tanding DUN Selangor


SHAH ALAM, 16 MAC: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan pusat mengundi Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menghilangkan kelayakkan beliau untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Tindakan tersebut juga tidak menghalang Abdul Khalid untuk terus menjawat jawatan Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan datang.

Demikian menurut Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh dalam satu sidang media di Ibu Pejabat parti itu hari ini.

“Itu sebenarnya konspirasi Umno memindahkan nama Tan Sri Khalid ke luar Selangor supaya dia hilang kelayakan dicalonkan sebagai MB.

“Tetapi SPR telah pun membetulkan perkara tersebut dengan mengatakan ini adalah perpindahan mengikut sempadan.

“Salinan kad pengenalan (KP) Tan Sri Khalid ini bahawa alamat di KP beliau di lot 133, Kampung Pasir Kuntum, Bukit Rotan, Kuala Selangor ini adalah alamat kampung beliau dalam KP.

“Jadi disini dari segi kelayakan beliau sebagai MB tidak ada isu kerana memang sah alamat dalam KP beliau di Kuala Selangor, jadi tak timbul isu Tan Sri Khalid hilang kelayakkan sebagai MB atau dicalonkan bertanding.

“Jadi kepada blogger Umno lain kali kena buat kerja rumah lebih sedikit,” kata Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan.

Semalam, media internet melaporkan yang kawasan mengundi Abdul Khalid telah dipindahkan daripada Petaling Jaya Selatan ke Lembah Pantai.

Penukaran kawasan mengundi menimbulkan kerisauan yang Abdul Khalid akan hilang kelayakan bertanding di Selangor.

Fuziah turut memberitahu media bahawa bahawa Khalid telah menjadi pengundi di PJS semenjak tahun 1985 lagi.

“Perkara kedua, berkenaan pusat mengundi beliau dipindahkan, sebenarnya beliau tinggal di jalan 16/2 PJ dan mengundi di PJS semenjak tahun 1985.

“Jadi apabila beliau tukar alamat dalam KP beliau ke kampung beliau di Ijok, beliau tidak menukar tempat mengundinya menyebabkan beliau terus mengundi di PJ Selatan.

“Apabila SPR buat persempadanan semula ikut sempadan Wilayah (Persekutuan) dan Selangor, maka secara automatik SPR memindahkan beliau.

Fuziah juga memberitahu bahawa SPR tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membuat persempadanan semula tanpa majoriti dua pertiga parti yang menang di Parlimen.

“Jadi BN tidak boleh menggunakan SPR untuk buat persempadanan semula untuk keuntungan politik mereka kerana mereka telah dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen.?

 

Categories
NASIONAL

Isu Pasir: KSSB Akan Saman The Star

SHAH ALAM,16 MAC : Tidak wujud pertikaian antara Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB) berhubung operasi perlombongan pasir seluas 50 ekar di Dengkil, tegas Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Wan Halim Wan Ismail.

Sebelum ini laporan The Star bertarikh 15 Mac di muka depan dan empat bertajuk “KSSB’s shortcomings the reason for rampant illegal mining” mendakwa wujudnya penyelewengan dan kecurian dalam pengendalian perlombongan pasir di Selangor.

Wan Halim berkata KSSB kini sedang berunding dengan pihak peguam untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang berhubung penyiaran artikel tersebut.

“KHSB bersetuju untuk KSSB untuk melombong kawasan pasir sebelum operasi bermula dengan terma yang dirundingkan bersama.

“KSSB telah membayar dengan sewajarnya KHSB berjumlah RM630,968 pada bulan Februari 2011, dan KHSB tidak pernah membangkitkan perkara tersebut sejak itu,” kata Wan Halim dalam satu kenyataan.

Beliau juga menafikan bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah terlibat dalam rundingan atau perkiraan kewangan antara kedua-dua syarikat.

Wan Halim juga menjelaskan bahawa KSSB tidak terlibat dalam penguatkuasaan terhadap perlombongan pasir haram kerana syarikat tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian, tetapi ia telah membantu dengan melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada pegawai-pegawai tanah masing-masing.

Categories
NASIONAL

Pemuda PAS Dakwa Ada Usaha Sabotaj MB Selangor

SHAH ALAM,15 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang telah menukar tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tanpa pengetahuan beliau merupakan usaha untuk menafikan peluang beliau untuk dilantik Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya umum ke 13.

Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa pertukaran ini disedari setelah nama Abdul Khalid disemak dalam senarai daftar pemilih baru yang dikeluarkan oleh SPR.

Ketua Penerangan PAS Pusat Riduan Mohd Nor berkata pada pilihanraya tahun lepas, Abdul Khalid berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Petaling Jaya Selatan dan tidak pernah memohon untuk menukar tempat mengundi.

Tetapi, semakan oleh Pas mendapati beliau ditukar ke Parlimen Lembah Pantai yang berada di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengikut peraturan SPR, individu yang ingin bertanding kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri perlu menjadi pengundi berdaftar di negeri tersebut.

“Tindakan SPR memindahkan tempat mengundi Tan Sri Khalid Ibrahim adalah satu kesalahan besar. SPR telah dianggap menyalahgunakan kuasa mereka kerana bertindak atas kuasanya memindahkan mana-mana pengundi mengikut kehendak mereka.

“Apakah rasionalnya Abdul Khalid dipindahkan tempat mengundi? Jika Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dipindahkan tempat mengundi, apa jaminan rakyat biasa yang lain tidak diperlakukan begitu?,” tegas Riduan dalam kenyataan medianya.

“Dewan Pemuda PAS menuntut penjelasan berkenaan kes ini yang boleh menimbulkan prejudis masyarakat bahawa daftar pemilih yang dikendalikan oleh SPR tidak bersih dan mempunyai data-data yang meragukan.?

Categories
NASIONAL

Hanifa Maidin: Dokumen Umno Jual Tanah Sedang Di Teliti

SHAH ALAM, 13 MAC : Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin berkata beliau perlu meneliti fakta kes dan dokumen-dokumen berkaitan sebelum membuat sebarang rumusan daripada segi perundangan berkenaan unsur salah laku berhubung penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor oleh Umno Bahagian Tanjung Karang.

Umno Tanjung Karang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

“Hendak memberi pandangan daripada segi perundangan tanpa kita melihat dokumen itu susah juga untuk membuat keputusan.

“Saya tidak pasti daripada segi perundangan samada boleh ataupun tidak tanah ini diberikan kepada parti politik,apa yang saya tahu,ia mesti diberi kepada pemegang amanah, jika pindah milik tanah kepada parti politik daripada segi undang-undang tidak boleh.” kata beliau yang juga bekas calon Parlimen Tanjung Karang ketika PRU 2008 lalu.

Hanipa yang dihubungi TVSelangor menjelaskan adalah menjadi kesalahan jika pihak yang membuat keputusan pemberian tanah jika ada kepentingan dalam penjualan tanah itu yang bertentangan dengan undang-undang.

” Jika contohnya si A hendak memberi tanah kepada si B. Tiba-tiba si A ini ada kepentingan dalam tanah yang hendak dapat ini maknanya di sini ada kepentingan pecah amanah dan rasuah serta sebagainya,” katanya.

Sebelum ini,menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

?Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

?Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM,? beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.