Categories
EXCO SELANGOR

Sepuluh peniaga kecil kongsi kejayaan bangkit selepas PKP

SHAH ALAM, 15 OKT: Kejayaan 10 usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini bangkit semula susulan penularan Covid-19 bakal dikongsi dalam dialog khas.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sesi pertama Dialog Industri: Pemulihan Pasca Pandemik bakal disiarkan pada 20 Oktober secara dalam talian.

“Sesi dialog ini disertai usahawan pelbagai bidang antaranya e-dagang, peruncitan, pelancongan, perhotelan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, pengiklanan, perfileman serta logistik.

“Antara fokus ialah bagaimana inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri membantu memulihkan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan selain memastikan peniaga kekal bersaing dalam krisis Covid-19 yang belum berakhir,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 yang dianjurkan secara maya hari ini.

Chang Khim berkata program itu turut membuka peluang kepada semua pihak berkongsi idea dan bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta masa hadapan.

“Kejayaan hanya dapat diraih apabila semua pihak duduk bersama, jadi saya mengajak pemain industri, pemegang taruh, dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan program ini,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peniaga kecil perlu terap norma baharu, manfaat pendigitalan

SHAH ALAM, 15 OKT: Penularan Covid-19 memberi kesedaran kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung kepentingan pendigitalan dalam perniagaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata peniaga perlu memanfaatkan aplikasi pintar untuk kelangsungan perniagaan serta berkembang dalam norma baharu.

“Golongan peniaga amat terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan kini kerajaan melaksanakan pula PKP Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

“Sudah pasti ia sekali lagi memberi kesan kepada kita semua tetapi sektor PKS perlu menerapkan norma baharu yang menggalakkan penggunaan teknologi seiring persekitaran pendigitalan ekonomi,” katanya pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 secara maya hari ini.

Chang Khim berkata peniaga mungkin perlu mengeluarkan kos untuk mengembang atau menaik taraf keupayaan teknologi, namun bakal mendapat manfaat bagi tempoh jangka panjang.

“Penggunaan teknologi akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos gaji pekerja, meluaskan capaian pelanggan serta mewujudkan rangkaian perniagaan baharu,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tetap sasaran baharu pelaburan RM8.5 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan nilai pelaburan baharu RM8.5 bilion tahun ini, sesuai dengan kesan penularan Covid-19 di peringkat global.

Sasaran asal ditetapkan pada Januari lalu ialah RM12 bilion.

Bagaimanapun, EXCO pelaburan berkata di sebalik kelembapan ekonomi, sebanyak 122 projek bernilai RM3.3 bilion diluluskan dalam tempoh setengah tahun.

“Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan atau PKP Bersyarat sejak Mac dan memadai jika Selangor berjaya mencatat nilai pelaburan RM8.5 bilion.

“Kita memerlukan nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM5 bilion lagi dan dengan usaha serta kerjasama semua pihak, kita mampu mencapainya,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media secara maya semalam.

Selangor mencatat nilai pelaburan RM17 bilion tahun lalu dan kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selama beberapa tahun.

Pada 2018, negeri itu mencatat pelaburan RM18.7 bilion, tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor rekod pelaburan RM11.6 bilion setakat Jun

SHAH ALAM, 2 OKT: Selangor berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM11.6 bilion membabitkan bidang pembuatan dan perkhidmatan sehingga Jun tahun ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sektor pembuatan menyumbang RM3.3 bilion manakala baki RM8.3 bilion diperoleh daripada sektor perkhidmatan.

“Keadaan ini berbanding tahun lepas agak rendah sedikit tetapi memandangkan pandemik (Covid-19) ini, kita (Kerajaan Negeri) sudah menjangka ia akan menjejaskan persembahan (pelaburan) kita.

“Bagaimanapun, kita masih berharap (pertambahan) kerana ada beberapa permohonan tahun lepas yang masih ditangguhkan, selain masih ada pertanyaan serta belum mendapat pengesahan. Buat masa ini sekurang-kurangnya ada RM5 bilion (pelaburan) yang kami dimaklumkan adalah disahkan cuma kita belum menerima permohonan secara rasmi,” katanya selepas majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) semalam.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak dapat membuat promosi ke luar negara susulan pandemik walaupun Kerajaan Negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM12 bilion pada tahun ini.

Bagaimanapun, Chang Khim berkata pihaknya telah mengadakan dan menyertai 10 seminar berasaskan web (webinar) dan sambutan yang diterima sangat baik.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran Taman Eng Ann: 21 bahan industri ditemui

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 15 MAC: Sebanyak 21 bahan industri ditemui dalam laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel pencemaran di lokasi pencemaran di Taman Eng Ann.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim berkata, secara keseluruhan keadaan pencemaran di kawasan ini terkawal dan orang awam diminta untuk bertenang serta tidak menyebarkan maklumat palsu terutama menerusi laman sosial.

“Laporan awal daripada makmal mendapat 21 bahan kimia dikesan. Kita masih menunggu hasil keputusan penuh untuk menentukan bahan kimia dibuang dan bentuk tindakan yang sesuai.

“Sejak semalam, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan oil bomm dan oil pad untuk menyerap serta menyekat sisa buangan.

“LUAS juga sudah menutup tali Kunci Air Bukit Kuda bagi mengelakkan sisa buangan masuk ke Sungai Klang.

“Kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jalan Kasawari 2, Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi pembuangan sisa industri di buang berasingan di dua lokasi iaitu kawasan takungan air banjir dan beberapa longkang di sekitar yang menghubungkan laluan air sepanjang 1.5 kilometer ke Sungai Klang.

Setakat ini, sisa industri yang terdapat di kolam takungan air banjir tidak mengalir ke longkang dan akan disedut sepenuhnya sebelum dilupuskan.

Pasukan Forensik polis juga tiba di kawasan kejadian bagi menyiasat kejadian dan mengambil sampel bahan kimia.

Sebelum ini, Unit Bencana Negeri Selangor juga sudah digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan menggunakan langkah-langkah mengatasi bencana.

Chang Kim yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat pantas mengenai kejadian itu, semalam.

Dalam sidang media sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS, Zuraini Ahmad Tajudin memaklumkan kes ini disiasat dibawah Seksyen 25 Akta Kualiti Air Alam Sekeliling 1974.

Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat terlibat boleh didenda RM100,000 atau penjara maksima lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Balai Bandar Baru Klang, ASP Harun Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan selepas menerima laporan polis dibuat LUAS, semalam.

 

Categories
SELANGOR

Industri Halal Selangor makin berkembang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Industri halal semakin berkembang dengan kadar menggalakkan di Selangor selepas wujudnya Halal Hub di Pulau Indah.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, hasil produk halal itu menjadikan ia sebagai sasaran industri halal di seluruh dunia.

“Apa yang lebih menggalakkan ialah hasil produk halal ini menjadikan pasaran dunia sebagai sasaran industri ini.

“Usaha berkenaan memperkukuhkan Selangor sebagai pusat industri produk terunggul di dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim kini mengetuai delegasi Selangor ke ‘Smart City Expo World Congress 2018′ (SCEWC) di Barcelona bagi mempromosikan, membincangkan dan mempamerkan teknologi pintar serta pogram inovasi sosial bandar.

Pada 2015, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Selangor Halal Hub di kawasan seluar 60 hektar di Pulau indah.

Halal Hub diwujudkan bagi memenuhi permintaan produk halal yang semakin meningkat sekali gus menjadikan Selangor sebagai pusat dagangan halal tersohor di dunia.

Sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan produk halal di rantau ini.

Selangor Halal Hub menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan industri baik dari dalam mahu pun luar negara termasuk negara bukan Islam.

Terdahulu, beliau berkata demikian bagi mengulas syarikat NH Foods Ltd dari Jepun merancang untuk mengeksport makanan beku halal yang dikeluarkan daripada kilangnya di Pulau Indah, Selangor, pada separuh kedua 2019.

Dengan kapasiti pengeluaran 1,200 tan sebulan untuk fasa pertama, fasiliti makanan beku halal itu direka bagi memenuhi keperluan bukan sahaja bagi pasaran tempatan tetapi untuk dieksport ke Timur Tengah, Singapura dan Jepun.

Syarikat itu meramalkan kilang di Pulau Indah akan mengeksport 60 peratus daripada produknya menjelang 2019.

 

Categories
SELANGOR

EXCO: Fahami isu, henti sensasikan OktoberFest

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Penganjuran OktoberFest tidak perlu disensasikan kerana ia hanya membabitkan masyarakat bukan Islam, kata Dato’ Teng Chang Khim.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan itu berkata,sebaliknya semua pihak perlu menghormati budaya dan agama pihak lain bagi menjamin keharmonian hidup.

Katanya, isu itu menjadi hangat apabila ada golongan pelampau sengaja membangkitkannya tanpa memahami sensitiviti masyarakat majmuk.

“Ini satu perkara jelas tak perlu disensasikan melainkan jika pihak penganjur menjemput orang Islam, maka menjejaskan orang Islam.

“Sekiranya itu berlaku, barulah boleh dibangkitkan isu ini tetapi sekarang tidak, pesta ini terhad kepada bukan Islam,” katanya pada sidang medianya di pejabat beliau di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Terdahulu, penganjuran ‘OktoberFest 2018’ di Mid Valley mendapat bantahan banyak pihak, namun ia dibenarkan berlangsung kerana tidak melanggar undang-undang.

 

Categories
SELANGOR

DAP yakin menang di Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: DAP Selangor melahirkan keyakinannya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, kali ini.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, keyakinan itu disebabkan rekod cemerlang yang dikekalkan partinya sepanjang memegang kerusi DUN terbabit.

“Paling penting, saya harap pengundi terus turun padang dan manfaatkan peluang yang diberikan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Eddie Ng Tien Chee mengekalkan kerusi Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

 

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

SIBS 2018 sidang perniagaan terbesar di Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 OGOS: Dengan penyertaan menggalakkan, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018 pada 6 hingga 16 September ini bakal menjadi persidangan perniagaan terbesar pernah dianjurkan, di negara ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIBS 2018 dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) buat tahun kedua menyasarkan penyertaan lebih baik dengan nilai transaksi kira-kira RM250 juta.

“Pada tahun lalu, SIBS mencatat penyertaan lebih kurang 22,000 pelawat dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM204 juta.

“Dengan kejayaan ini, kita menyasarkan penyertaan lebih baik iaitu kira-kira 25,000 pelawat dengan nilai transaksi sekitar RM250 juta.

“Ia bakal menjadi persidangan perniagaan terbesar pernah dianjurkan sebuah Kerajaan Negeri, di Malaysia,” katanya dalamn sidang media, di Invest Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Projek SIBS 2018, Sven Schneider dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

SIBS 2018 akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, merangkumi tiga acara iaitu Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor 2018 (6 dan 7 September); Ekspo Antarabangsa Selangor (6 hingga 9 September) dan Konvensyen Ekonomi Digital & Bandar Pintar Selangor (13 hingga 15 September).

Chang Kim berkata, ia membabitkan penyertaan 60 peratus pelabur dan usahawan domestik serta 40 peratus daripada antarabangsa.

Katanya, penyertaan pelabur dan usahawan tempatan serta antarabangsa di dalam SIBS 2018 adalah kombinasi terbaik dalam menjadikan Selangor sebagai hab perdagangan antarabangsa.

“Cetusan idea untuk tujuan ini dilaksanakan sejak empat tahun lalu melalui Expo Antarabangsa Selangor dengan Kerajaan Negeri berjaya mencapai kejayaan membanggakan menerusi persidangan ini.

“Kita yakin SIBS akan menjadi antara acara utama di rantau ini, pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, melalui SIBS 2018, pelabur dan pedagang akan mempamerkan produk mereka kepada dunia luar yang turut disertai negara ASEAN, Eropah juga Afrika.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Pelabuhan Klang bakal jadi kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Pelabuhan Klang bakal dijadikan sebagai kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kedua selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim berkata, cadangan itu boleh direalisasikan berpandukan kepada kebolehan pasaran pusat industri itu.

Katanya, komitmen itu selaras visi pembaharuan penjenamaan prospek pelaburan ekonomi negeri yang baharu.

“Ia masih di peringkat perancangan ketika ini, kerana tumpuan utama kita ketika ini adalah untuk mengukuhkan perkembangan pembangunan positif zon bebas digital KLIA terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri melihat kepada potensi Pelabuhan Klang ini kerana kedudukan lokasinya yang strategik dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Forum Pelaburan Industri Pengangkutan Logistik dan pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index, di Hotel Concorde, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Sementara itu, Selangor turut mensasarkan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai destinasi 10 pelabuhan terbaik dunia.

“Kita perlu bergerak lebih pantas bagi memastikan perancangan ini boleh dilaksanakan secepat mungkin.

“Memandangkan keperluannya sangat terhad, kami cukup optimis ia boleh direalisasikan kerana kita mempunyai keupayaan yang cukup untuk memastikan perancangan ini boleh dicapai,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor – MIDA luas kerjasama tingkat pelaburan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Kerajaan Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) giat menjalin kerjasama dalam usaha menggalakkan kemasukan prospek pelaburan dalam negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim berkata, kerjasama itu diwujudkan menerusi penganjuran forum pelaburan logsitik bersama delegasi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, hala tuju itu tertumpu kepada tawaran peluang pelaburan negeri yang mampu meningkatkan jaringan perolehan nilai kemasukan nilai pelaburan ke Selangor.

“Ini termasuklah tawaran di peringkat Kerajaan Negeri terhadap kemudahan fasiliti yang boleh disediakan Kerajaan Selangor terhadap kemudahan jaringan pelaburan negeri kepada pelabur luar.

“Kami yakin, kerjasama ini membuka peluang kepada pelabur luar untuk kekal memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Forum Pelaburan Industri Pengankutan Logistik dan pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index, di Hotel Concorde, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Sementara itu, penganjuran forum bertemakan, ‘Memperkenalkan rantaian kemudahan pelaburan logistik di Selangor’ turut dihadiri delegasi pelabur tempatan dan antarabangsa.

Categories
SELANGOR

Chang Khim tak gentar hadapi pencabar baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 APR : Selepas hampir 20 tahun menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, calon N.45 Bandar Baru Klang (sebelum ini Sungai Pinang), Dato’ Teng Chang Kim tidak gentar menghadapi pencabar baharunya, calon Barisan Nasional (BN), Teoh Kah Yeong.

Chang Kim berkata, beliau bakal menghadapi persaingan dua penjuru itu amat memahami kawasan Klang berbanding pencabarnya yang bekerja di luar negara sudah 12 tahun dan baru sahaja pulang ke tanah air.

“Saya rasa beliau memerlukan masa panjang untuk memahami masalah rakyat dan pembangunan di Klang ini kerana dikhuatiri nanti akan sesat.

“Namun, tidak dapat dinafikan dengan usianya yang masih muda mungkin beliau mempunyai idea baharu yang perlu dikaji samada boleh diterap untuk membangunkan Bandar Klang ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Chang Khim berkata, selain pencabar baharu beliau menghadapi turut berdepan cabaran geografi persempadanan kerana kawasan bertanding lebih luas dengan jumlah pengundi bertambah dua kali ganda daripada 27,000 kepada 58,000.

“Bagaimanapun, sekiranya diberi mandat saya perlukan usaha keras kerana tugas yang bakal dihadapi sememangnya sedikit berat akibat pertambahan penduduk di kawasan baru ini.

“Jika sebelum ini, saya cuma perlu menjaga Taman Eng Ann dan Kampung Rantau Panjang tetapi kini Kampung Rantau Panjang sudah dikeluarkan namun kini terdapat lima kawasan baharu iaitu Taman Berkeley, Bukit Kuda, Batu Belah, Sungai Bertih dan Taman Klang,” katanya.

Chang Khim berkata, sememangnya memerlukan usaha yang lebih untuk beliau memahami kawasan baru itu namun ia tidak menjadi masalah kerana sudah pelbagai pembangunan pesat dilaksanakannya selama menjadi wakil rakyat di kawasan Klang.

Terdahulu, Chang Khim pernah merangkap jawatan Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan Kerajaan Negeri sejak 2014 hingga April 2018.

Manakala, sudah tahun ke-14 Chang Khim memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang (2004-2018), ADN Bandar Klang (1999-2004), ADN Bukit Gasing (1995-1999).

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of London, beliau memulakan kerjaya sebagai peguam bela dan pegam cara di Mahkamah Tinggi Malaya dan mula aktif dalam politik sejak 1995 sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS).